Thursday, August 27, 2009

Mari Muhasabah Ibadah Kita...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Syukur kita kepada Allah SWT. sehingga kehari ini kita telah menjalani ibadah puasa selama enam hari. Allah SWT masih memanjangkan usia dan di berinya kesihatan pada kita untuk melaksanakan kewajipan berpuasa untuk melaksanakan salah satu daripada Rukun Islam. Untuk muhasabah diri, adakah selama berpuasa enam hari ini kita ada merasakan sedikit kesan atau perubahan dalam hati dan jiwa kita?

Sekiranya ada alhamdulillah! Ini bermakna kesan iman dan takwa dan rahmat Allah itu ada menunjukkan peningkatan dan berlaku keatas diri kita.Tetapi sekiranya kita rasakan tidak ada apa-apa perubahan, hati dan jiwa kita sekarang ini sama seperti ketika berada dibulan-bulan sebelum Ramadhan, bermakna ada sesuatu yang tak kena pada proses tarbiyyah di Madrasah Ramadhan yang sedang dilalui ini.

Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa permulaannya rahmat (10 hari pertama), pertengahannya pengampunan (10 hari kedua) dan penghujungnya terlepas dari api neraka (10 hari terakhir).

Tanda-tanda Allah SWT memberikan rahmatNya kepada kita adalah kita merasakan keseronokan menjalankan berbagai-bagai aktiviti ibadah, rasa tak puas-puas dengan ibadah. Tak cukup dengan solat tarawih 20 rekaat dan 3 witir, bangun awal pagi untuk melaksanakan solat taubat, solat tahajud,solat hajat dan solat tasbih. Membaca al-Quran pada masa-masa yang terluang, bertekat untuk khatam 30 Juzuk al-Quran sebelum masa 10 hari terakhir.

Memperbanyakkan zikir-zikir yang lain dan berdoa berulang-ulang kali tanpa jemu dan bosan dan memohon dan bermunajat bersungguh-sungguh dengan keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa-doa kita tanpa sedikit pun keraguan. Salah satu tempat doa anak Adam yang mustajab dan diterima oleh Allah SWT  adalah mereka yang berpuasa sehingga waktu berbuka.

Sudah berapa banyak sedekah yang kita telah hulurkan pada orang fakir miskin dan anak yatim? Dan berapa wang telah di masukkan dalam tabung-tabung masjid? Adakah solat 5 waktu kita kerjakan berjemaah dimasjid? Berapakalikah kita berbuka puasa dan solah jemaah Magrib dimasjid dan kiamulail ? Persoalan ini perlu dijawab kerana amalan-amalan tersebut perlu di laksanakan tanda perubahan dan peningkatan amal kita kepad Allah SWT

Salah satu tanda Allah SWT kasih dan memberi rahmat pada hamba-hamba-Nya, Dia memberi kefahaman terhadap deen Islam dan diberi-Nya kekuatan untuk beramal dan merasa rakus dan tak puas-puas untuk melaksanakan amal soleh.

Sahabat yang dimuliakan,
Sekiranya peningkatan amal telah berlaku maka teruskan dan istiqamahlah hingga akhir Ramadan, hasilnya nanti insya Allah SWT kita akan menjadi insan yang berakal dan bertakwa. Tetapi seandainya belum ada perubahan yang diharapkan, jangan risau masih ada masa lagi untuk kita pertingkatkan amal ibadah dan amal soleh. Rebutlah peluang keemasan ini, mohonlah sungguh-sungguh pada Allah s.w.t semoga permulaan rahmat ini tidak terlepas begitu sahaja tanpa kita menikmati kemanisannya.

Minta kita dilindungi Allah SWT dari hadis Nabi SAW. yang bermaksud, “ Dan celaka bagi sesiapa yang bertemu dengan Ramadan tetapi tidak mendapat apa-apa daripadanya.”

Berpuasa dan mengerjakan amal ibadah di bulan Ramadan dengan hati yang penuh ikhlas akan melahirkan manusia yang berakal dan bertakwa.

Abul Laits as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Said bin Al-Musayyab bahawa Umar dan Ubai bin Kaab dan Abu Hurairah r.a masuk bertemu Nabi SAW. dan bertanya,” Ya Rasulullah, siapakah orang yang terpandai?”

Rasulullah SAW menjawab maksudnya, “Orang yang berakal”

Kemudian mereka bertanya lagi, “ Siapakah orang yang sangat banyak ibadat?”

Jawab Nabi SAW, “Orang yang berakal.”

Mereka bertanya,” Siapakah orang yang lebih utama (afdal)?”

Jawab Nabi SAW, “Orang yang berakal.”

Lalu mereka berkata,” Ya Rasulullah tidakkah orang-orang yang berakal itu orang yang sempurna akhlaknya, jelas kata-katanya, murah tangannya dan besar kedudukannya?”

Baginda menjawab, “ Itu semua perlengkapan kepuasan hidup di dunia sedang akhirat yang di sisi Tuhan itu untuk orang yang bertakwa meskipun dia di dunia tiada kedudukan, yakni orang yang bertakwa ialah orang yang taat dan meninggalkan semua maksiat.”

Sahabat yang dikasihi,
Berilah dorongan kepada anak-anak dan adik-adik kita supaya mereka dapat melatihkan diri mengerjakan ibadah puasa. Walaupun usia mereka masih terlalu muda tetapi asuhan dan didikan perlu diberilkan supaya apabila mula meningkat usia remaja latihan puasa telah mereka terima sejak kecil lagi dan ianya akan menjadi kebiasaan. Pepatah melayu ada menyatakan ‘Bila nak lentur buluh biarlah semasa rebung’.

Betapa besarnya dosa meninggalkan ibadah puasa tanpa uzur syarie.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,”Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Didalam syurga terdapat satu pintu bernama Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud,”Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman : Di manakah orang yang berpuasa? Mereka berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah seorang yang terakhir dari mereka masuk. Pintu itu ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhir kata, marilah sama-sama kita hudupkan malam-malam Ramadan ini dengan hati yang penuh khusyuk dan tawaduk kepada Allah SWT. Sebaik-baiknya banyakkan beriktikaf di masjid walaupun belum sampai sepuluh terakhir, kerana beriktikaf banyak fadilatnya.

Kita bertandang dirumah Allah dan menjadi tetamu Allah. Sebenarnya para-para malaikat juga bersama-sama beribadah dan berdoa di dalam masjid. Alangkah mulia dan beruntungnya bacaan ‘amin’ disebut bersama-sama ‘amin’ para malaikat ketika solat berjemaah dilaksanakan.

No comments: