Thursday, January 7, 2010

Ganjaran Wang Satu Dinar

Pada satu hari, Sayyidina Ali k.w bertanya kepada istrinya (Saydatina Fatimah) samaada terdapat sesuatu untuk makanan mereka sekeluarga. Fatimah menjawab : "Demi Allah yang telah memuliakan ayahku dengan kenabian, tiada apapun untuk kita makan hari ini. Aku sendiri telah dua hari tidak makan sesuatu pun. Aku benar-benar pilu memikirkan nasib anak-anak kita."

Dengan hati yang sedih Ali berkata : "Mengapa engkau diam sahaja dan tidak mahu memberitahuku supaya aku dapat berusaha mencari rezeki."

"Aku malu kepada Allah..., aku tidak mahu membebani dirimu dengan sesuatu yang tak dapat kau pikul," jawab Fatimah r.h sambil menundukkan kepalanya.

Terlalu sedih Sayyidina Ali mendengan jawapan isteri yang penuh dengan ketakwaan dan kasih sayang. Lantas beliau keluar meninggalkan rumah tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Beliau yakin Allah akan melimpahkan rezeki kepada keluarganya.

Beliau menuju ke rumah seorang sahabat dengan maksud hendak meminjam wang satu dinar. Setelah berhasil mendapat pinjaman, beliau pun segera ke pasar untuk membeli makanan. Tiba-tiba pada saat itu, beliau terpandang seorang sahabatnya sedang  berjalan dengan wajah yang lesu, Sayyidina Ali segera menegur.

"Hai Miqdad, apa yang memaksamu ke pasar di tengahari yang panas terik ini?

"Hai Abul Hassan, tak payah bertanya, biarkan sahajalah aku ini...." jawab Miqdad.

"Sahabatku, tidak sepatutnya anda merahsiakan sesuatu daripadaku" tanya Ali.

"Sebenarnya begini...., aku terpaksa keluar rumak kerana tak tahan melihat keluargaku menangis kelaparan. Aku tak sanggup melihat anak-anakku yang masih kecil menangis meminta makanan. Begitulah jika anda benar-benar ingin tahu."

Sayyidina Ali tunduk menyembunyikan air mata yang berlinang di kelopak matanya. Dengan hati sebak, beliau berkata : "Hai Miqdad, demi Allah yang menguji diriku sama seperti keresahaamu pada hari ini, aku baru saja mendapat pinjaman wang satu dinar. Ambillah...., engkau lebih memerlukan...." pada mulanya Miqdad agak keberatan untuk menerima wang tersebut. Tetapi akhirnya beliau menerimanya juga kerana Sayyidina Ali bersungguh-sungguh memberinya dan beliau yakin akan keikhlasan Ali.

Berbalik kepada Sayyidina Ali yang solah berjemaah di masjid, selepas solah magrib Rasulullah mengajak Ali pulang. Rasulullah bertanya, "Hai Abu Hassan, apakah engkau mempunyai makanan malam ini?"

Sepatah pun Sayyidina Ali tidak menjawab. Beliau hanya menundukkan kepalanya dengan penuh rasa malu. Rasulullah segera berkata, "Katakan sahaja...., kalau tidak aku akan pergi. Tetapi sekiranya memang ada..., aku akan turut makan bersama."

Mertua dan menantu berjalan bersama menuju ke rumah Sayyidina Ali. Fikiran Ali resah kerana mengingatkan tiada sebarang makanan di rumahnya.

Setiba diruamh Sayyidina Ali, Fatimah kelihatan sedang berada di tempat solah. Dibelakangnya terdapat sebuah periuk yang terletak diatas tungku yang menyala dan mengeluarkan asap. Apabila mengetahui ayahnya datang dan suaminya pulang, lantas Fatimah menyambut mereka dengan wajah yang berseri-seri. Fatimah segera menyiapkan hidangan, dan baunya sungguh menyelerakan.... Sayyidina Ali kelihatan bingung dan airmukanya mendadak berubah, dengan pandangan tajam beliau menatap wajah Fatimah. Berbagai persoalan timbul difikirannya....

Fatimah kehairanan, lantas bertanya, "Apa dosa dan kesalahanku hinggakan memandangku begitu rupa?"

"Dosa...? Salah?" sahut Ali, dengan suara terputus-putus menahan marah

"Dosa apa yang lebih besar? Tadi siang katamu sudah dua hari tidak makan, dan tidak ada apa-apa makanan untuk kita makan hari ini.... tetapi sekarang? dan ini...? " tanya Ali sambil menunjuk ke arah periuk yang berkepul-kepul mengeluarkan bau lazat.

Lantas Fatimah berkata dengan perlahan-lahan, "Tuhanku mengetahui segala apa yang ada di langit dan di bumi.... Aku tidak mengatakan sesuatu kepadamu melainkan yang benar." Kelihatan airmata tertahan di kelopak mata Fatimah.

"Kalau begitu, makanan ini dari mana? Belum pernah aku mencium makanan selazat ini." tanya Sayyidina Ali yang masih belum puas hati dengan jawapan Fatimah.

Rasulullah s.a.w yang tadinya sudah sedia tunduk menghadap hidangan tersebut hanya mendiamkan diri. Baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi setelah dilihatnya Fatimah tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan suaminya, baginda cuba meleraikan kekusutan kedua suami isteri tersebut.

Rasulullah memegang bahu Sayyidina Ali dan sambil tersenyum berkata, " Wahai Ali, itulah pahala wang satu dinar yang kau berikan kepada Miqdad. Itulah ganjaran daripada Allah s.w.t. Dia memberi ganjaran kepada sesiapa sahaja menurut kehendak-Nya tanpa hitungan."

Dengan terharu Rasulullah terus berkata, "Segala puji bagi Allah yang tidak akan mengeluarkan kalian dari dunia ini sebelum Dia melimpahkan pahala seperti yang pernah di berikan kepada keluarga Zakaria. Wahai Fatimah, ganjaran pahala yang dilimpahkan Allah kepadamu sama seperti  yang dilimpahkan kepada Maryam yang sentiasa melihat rezeki tersedia di tempat ibadatnya. Dan ketika Zakaria bertanya kepada Maryam, dari mana rezeki itu diperolehi? Maryam menjawab, itulah pemberian Allah, Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa sahaja menurut kehendak-Nya tanpa hitungan."

Begitulah secebis kisah daripada rumahtangga Saydatina Fatimah yang sewajarnya kita jadikan contoh dan panduan dalam menghayati tuntutan ukuwah. Melalui kisah di atas dapat kita lihat sesungguhnya perasaan ukuwah yang Allah kurniakan kepada setiap Mukmin itu dapat disuburkan dengan keikhlasan dan ketakwaan yang mendalam. Manakala pengorbanan dan kerelaan mendahulukan kepentingan saudara Muslim pula terbina melalui keyakinan kepada janji-janji Allah.

Hakikat ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah seperti mana yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi, Abu Daud dan Ahmad : "Orang yang merahmati orang lain, akan dirahmati oleh Allah Yang Maha Pengasih. Rahmatilah orang yang di atas bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh sesiapa yang di langit."

(Di petik daripada majalah Haluan 10/1998 oleh Noraini Eslah)

No comments: