Saturday, January 9, 2010

Kalimah Allah Khusus Untuk Umat Islam Sahaja

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa ini umat Islam digemparkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ telah dibenarkan dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya pada 31 hbb. Disember, 2009. Hasil daripada keputusan tersebut telah mencetuskan bantahan daripada umat Islam dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan mereka mendesak agar mahkamah dan kerajaan mengambil inisiatif untuk membatalkan keputusan tersebut demi menjamin kesucian agama Islam yang menjadi agama resmi dan ianya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seminggu selepas keputusan tersebut Kementerian Dalam Negeri telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan tersebut untuk dilaksanakan, sementara menunggu masa perbicaraan.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan peristiwa tersebut di atas, apakah resionalnya Herald The Catholic Weekly  beriya-riya benar untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ sedangkan dalam kitab Bible mereka tidak wujud langsung kalimah tersebut.Yang terdapat adalah perkataan ‘God’, ‘Sons of God’ dan ‘God’s wife’ Yang pastinya ini adalah stratigi mereka untuk menyebarkan dakyaan dan ajaran agama mereka keatas umat Islam.

Dalam Islam merujuk kepada kitab suci al-Qur’an perkataan Allah adalah merujuk kepada nama Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti yang terdapat dalam Surah al-Ikhlash( ayat 1-4) firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Katakanlah : ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia’.”

Sebenarnya dalam bahasa Melayu juga perkataan Allah merujuk kepada hakikat Tuhan Yang Maha Esa. Sebab itu terjemahan bahasa Inggeris ‘God’ ialah Tuhan, bukan Allah.

Sahabat yang dihormati,
Apabila nama Allah dibenarkan dalam tulisan mereka, maka ia akan membuka implikasi yang lebih besar kepada umat Islam iaitu :

Pertama, akan berlaku kekeliruan terjemahan, seperti ‘Sons of God’ kepada Anak-anak Allah, ‘God’s wife’ kepada Isteri-isteri Allah. Bentuk tulisan yang membawa nama Allah telah menukar makna hakiki nama Allah yang difahami dalam bahasa Melayu, iaitu Yang Maha Esa.

Kedua, ia seolah mengikhtiraf nama Allah yang ‘baharu’. Maka umat Islam menghadapi tugas yang berat untuk menjernihkan nama Allah yang hakiki dan nama Allah yang digunakan oleh agama Kristian.

Didalam Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988 Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1 :

Terdapat 25 perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama Islam iaitu :

Allah, Fatwa, Imam, Dakwah, Syariah, Syiekh, Haji, Mufti, Ibadah, Illahi, Wahyu, Ulama, Nabi, Qiblat, Salat, Khalifah, Wali, Rasul, Iman, Mubaligh, Hadith, Injil, Kaabah, Kadi dan Firman Allah.

Umat Islam sering dikelirukan dengan hujah bahawa semua agama menuju Allah Yang Esa, hanya berbeza bentuk ibadat dan do’a yang disampaikan. Fahaman ini amat bahaya kerana mengiktiraf semua agama sama taraf. Maknanya al-Qur’an mungkin sama dengan Bible, para Rasul sama dengan Confucius, dan berbagai lagi. Hanya Islam agama yang benar di sisi Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 19)

Tedapat beberapa tokoh ulama dan pemimpin Islam menyatakan bantahan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam :

Semua pihak dalam Negara ini perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian agama Islam.”
(En Amidi Abd Manan, Timbalan Presiden ABIM. Pada 3 Januari 2010 Bernama)

“Tidak terdapat tasawur kefahaman mengenai ‘Allah’ dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga…Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible.”
(Dr. Syed Ali Tawfik Al-Atas, Mantan Ketua Pengarah IKIM. Pada 6 Januari, 2008 di Utusan Malaysia)

“Allah adalah nama khas, kita minta pimpinan Katolik tunjukkan kepada kita (nama Allah dalam Bible)… ini (ketegangan) patut kita elak sebab Malaysia terlalu kaya dengan sejarah ketegangan antara kaum dan penganut agama.”
(Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM . Pada 3 Mac 2009 di Berita Harian.)

“Sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan Allah itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu adalah khusus kepada agama Islam sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Dalam agama Kristian sendiri, mereka tidak menggunakan perkataan Allah dalam kitab mereka, sebaliknya mereka menggunakan perkataan seperti God, Lord dan sebagainya bagi merujuk tuhan mereka.”
(Dato’Setia Hj Mohd Tamyes Abd Wahid Mufti Selangor).

Sahabat,
Jika perkataan ‘Allah’ dibenarkan dalam terbitan agama lain di negara kita, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam terutama golongan muda. Paling dibimbangi, penggunaan perkataan itu juga mempunyai agenda tersembunyi. Kita tidak mahu wujud usaha penyebaraan dakyah agama lain secara tidak langsung menerusi penggunaan perkataan ‘Allah’ tersebut. Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat Islam dan kesucian agama Islam dinegara kita. Sebarang provokasi yang menjejas dan mempersendakan kesucian agama Islam perlu dihalang.

Kalau dilihat kes murtad yang membabitkan orang Islam amat membimbangkan kerana menurut Mufti Perak jumlah umat Islam yang murtad dan keluar daripada agama Islam melebihi 100,000 orang. Kita kuatir jika umat Islam hanya membiarkan diri dan tidak menghalang pengunaan nama Allah oleh pihak Kristian berkemungkinan kes murtad akan bertambah lagi.

Sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t kita bukan sahaja sensitif terhadap nama Allah dipersendakan tetapi juga kita sensitif terhadap mereka yang cuba mempersendakan hukum-hukum Allah s.w.t. dan engan untuk melaksanakannya dalam kehidupan .

Apabila kita marah kepada agama lain yang cuba hendak permainkan nama Allah, adakah kita merasa marah juga kepada sesiapa sahaja yang tidak menjalankan hukum-hikum Allah? Sepatutnya kita konsisten dalam mempertahankan hak-hak Allah, dan tidak bersikap 'double standard' untuk mempertahankan kebenaran.

Islam diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia. Tanda kita cinta dan kasih pada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w maka pelulah kita berusaha dan mempraktikan Islam sebagai satu cara hidup, melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya.






No comments: