Wednesday, August 4, 2010

Hayatilah Konsep Kalimah Tayyibah.

 Sahabat yang dimuliakan,
Segala puji bagi Allah s.w.t, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi  Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat, tabi'en dan sekelian pengikut mereka sehingga ke hari kiamat.

Ya Allah! Permudahkanlah dan janganlah disusahkan segala urusan kami. Amin Ya Karim!

Kalimah Tayyibah adalah tahlil, kalimah yang mulia, ianya adalah kalimah tauhid, kalimah takwa, kalimah ikhlas, kalimah suci, kalimah peneguh, anak kunci langit dan bumi, nilaian Syurga, tali yang teguh dari Allah dan dakwah yang benar dan sebagainya.


Firman Allah s.w.t. :
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (٢٤)تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥)وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الأرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (٢٦)

Maksudnya : Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah Tayyibah itu (yakni kalimah la ilaha illAllah - لا اله الا الله) adalah sebagai sebatang pohon yang bagus, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah Khabithah (kalimah yang jahat dan buruk) samalah seperti sebatang pohon yang rosak yang tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tempat baginya untuk terus hidup.
(Surah Ibrahim: 24-26)

Keterangan:
Ibnu Abbas r.a  dilaporkan berkata bahawa Kalimah Tayyibah ini maksudnya ialah kalimah syahadah - أشهد أن لا اله الا الله di mana akarnya ialah pada hujung lidah (ucapan) orang-orang mukmin dan ia di bawa ke langit. Manakala Kalimah Khabithah maksudnya ialah syirik, kerana itu tiada amalan yang akan diterima apabila syirik.

Seterusnya, beliau menyatakan bahawa "mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa" bermaksud berzikir mengingati Allah s.w.t. siang dan malam yakni pada setiap waktu (secara istiqamah).

Qatadah r.a. dilaporkan meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, seorang bertanya kepada Nabi s.a.w. "Wahai Rasulullah! Bukankah saudara-saudara kita yang kaya mendapat pahala yang tak terkira banyaknya (kerana sedekah jariah mereka)?"

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Seandainya jika seorang yang harta kekayaannya disusun satu demi satu daripada bawah ke atas, mampukah ia sampai ke langit?" (Sudah tentu tidak mampu!)

Bukankah aku telah memberitakan kepada kamu tentang satu amalan yang berakar umbi jauh ke dalam bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit? Yakni hendaklah kamu berzikir:
سُبْحَانَ اللْهِ  وَالْحَمْدُ للهِ  وَلَا اِلَهَ اِلَّا اللهُ  وَاللهُ  أَكْبَر
sebanyak sepuluh kali selepas tiap-tiap solat kerana akarnya jauh ke dalam tanah dan dahan-dahannya sampai ke langit."

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bila di lafaz sahaja Kalimah Tayyibah “ Tiada Ilah di sembah melainkan Allah” ini bermakna seseorang itu telah mengaku, mengikrar dan mengumumkan bahawa Allah s.w.t adalah Ilahnya, Allah s.w.t sebagai sembahannya, Allah s.w.t sebagai tempat dia berserah diri dan meminta pertolongan, tempat bertawakkal dan tempat seharusnya di takuti . Allah s.w.t adalah tempat memohon segala harapan. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
“Barang siapa yang takut akan kebesaran Allah kemudian dia mencegah dirinya dari menurut hawa nafsunya, maka Syurgalah tempat kembalinya.”

Suatu perkara yang kita kena didik dalam diri kita ialah rasa takut kepada Allah s.w.t dan kita asuh nafsu kita supaya tunduk di bawah telunjuk iman.Kalimah Tayyibah yang kita ucapkan bermakna Allah s.w.t yang menghidupkan kita dan Allah s.w.t sahaja yang berkuasa mematikan kita bila-bila masa yang di kehendakiNya, Allah s.w.t sahaja Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Allah s.w.t yang mengatur dan mengubal UNDANG-UNDANG SEJAGAT termasuk undang-undang untuk manusia, untuk alam tumbuhan, haiwan, dan jin. Manusia tidak boleh memilih selain daripada undang-undang yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. Undang-undang Allah s.w.t sudah cukup sempurna kerana Allah s.w.t bersifat Maha Sempurna.

Bagi mereka-mereka yang angkuh dan merasa puas dengan kehidupan duniawi dan menafikan hak Allah s.w.t di muka bumi ini, maka tempat tinggal mereka adalah Neraka Jahim.

Rasulullah pernah bersabda kepada Ibnu Umar yang bermaksud :
“Jagalah hak Allah nescaya Allah menjaga kamu, ketahuilah sekiranya sesuatu kaum itu ingin memusnahkan kamu, yakinilah bahawa mereka tidak dapat melakukannya kerana apa yang di tentukan oleh Allah.”

Bilamana seseorang itu mengaku Allah s.w.t sebagai Ilah maka beliau juga mesti menerima dan mengaku Allah s.w.t sebagai Rabb, iaitu mengaku bahawa Allah s.w.t sebagai Pemilik dan Penguasa alam ini termasuk manusia itu sendiri.

Tauhid terbagi kepada dua :
1.Tauhid Uluhiyah (meng Esakan Allah s.w.t, menerima undang-undang dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t)
2.Tauhid Rububiyah (meyakini segala sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t dan meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Pemilik, Pencipta dan Penguasa alam semesta)

Apabila Tauhid ini (Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah) tidak ada dalam hati kita ini bermakna kita telah mensyirikkan dan menyekutukan Allah s.w.t. Tidak ada dosa yang lebih besar melainkan dosa mensyirikan Allah s.w.t. Di hari akhirat nanti Allah s.w.t ,tidak akan mengampunkan dosa mereka-mereka yang mensyirikanNya ketika di dunia ini.

Kalimah Tayyiba yang kita ucapkan perlu kepada tuntutan, ingatlah bila mana kita mengucap sahaja Kalimah Tayyibah, ini bermakna kita telah mencabut segala kekuasaan yang di kuasai oleh sesiapa sahaja dalam kehidupan kita dan di kembalikan kepada Kekuasaan Allah s.w.t. 

Manusia akan bebas dari belengu yang mengikat dirinya iaitu belengu adat istiadat yang di warisi dari datuk nenek moyang mereka yang bercangah dengan Syariah, belengu yang berupa undang-undang ciptaan manusia yang mengusai pemerentahan dan penguatkuasaan di dalam kehidupan harian yang mana ianya terang-terang bertentangan dengan Al- Quran dan Sunnah Nabi-Nya dan belengu yang berupa hawa nafsu yang menguasai hati dan perasaannya.

Orang-orang Arab jahiliyah percaya bahawa langit dan bumi di ciptakan oleh Allah s.w.t, tetapi apabila di ajak beriman kepada Allah s.w.t dengan pengakuan bahawa “Tiada Ilah yang di sembah melainkan Allah” maka mereka menolaknya di sebabkan mereka cukup sayang pada ilah-ilah yang lain iaitu sistem hidup dan adat istiadat “latta dan uzah” yang di warisi dari datuk nenek moyang mereka. Mereka tidak mahu meninggalkan amalan mengikut hawa nafsu yang menjadi sebagai ilah-ilah mereka. Hidup mereka telah sebati dengan perbuatan zina, bermain judi, minum arak, mengambil riba’, menindas orang fakir miskin, membunuh anak perempuan dan meninggalkan hidup anak lelaki, tenung nasib dan lain-lain lagi. Mereka cukup faham apabila mereka mengucapkan sahaja kalimah ini mereka pasti dan terpaksa meninggalkan segala amalan-amalan jahiliyah yang telah sebati dalam kehidupan mereka seharian. Itulah sebabnya mereka bermati-matian memerangi dan menzalimi Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Apabila kita kaitkan suasana di zaman jahiliyah dahulu berbanding dengan suasana kita sekarang ini ada beberapa persamaan dari segi prinsip, walaupun suasana ketika itu tidak ada kemajuan sain dan teknologi. Hari ini manusia rata-rata menolak hukum-hukum Allah s.w.t, mereka menganggap hukum-hukum Allah s.w.t tidak sesuai di laksanakan dalam kehidupan sekarang ini kerana kepesatan kemajuan sain dan teknologi dan hidup di dunia tanpa sempadan. Alasan yang lain hidup dalam masyarakat majmuk perlu toleransi dan mengiktiraf kebebasan dan hak asasi manusia!

Sahabat yang dihormati,
Ingatlah ! sebagai seorang Muslim-Mukmin yang beriman kepada Allah s.w.t dan rukun-rukun Iman yang lain dan beriman kepada Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah, maka kita perlu meyakini sepenoh hati bahawa keimanan tidak boleh di pisahkan dalam kehidupan. Apabila kita beriman kepada Allah s.w.t ini bermakna kita kena terima sistem hidup Isam yang sempurna. Islam merangkumi segala kehidupan manusia, dalam bidang ekonomi, politik, pemerentahan, pentadbiran, sosial, kewangan, kekeluargaan, kehakiman dan lain-lain lagi. Yakinilah bahawa undang-undang Islam dan hukum Hudud sesuai di sepanjang zaman. Hanya perlaksanaannya sahaja perlu kepada peringkat demi peringkat berdasarkan keadaan semasa.

Justeru, marilah kita sama-sama beramal dengan Kalimah Tayyibah dengan istiqamah, pada setiap masa dan ketika, semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah, rahmat dan keberkatan, inayah dan kebahagiaan daripada Allah s.w.t.

No comments: