Saturday, November 14, 2009

Rezeki : Antara Janji Allah dan Usaha Manusia

Sahabat yang dimuliakan Allah,
Setiap kali kita menghadapi makanan dan minuman, kita berdo’a kepada Allah agar di berikan barakah dari rezeki yang akan kita santapi. Setiap kanak-kanak Muslim juga di ajari sejak dari Tadika lagi untuk berdo’a sebelum makan. Barakah dari rezeki itulah yang kita hajatkan.

Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan aqidah seorang Muslim, Allah s.w.t. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah s.w.t. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu kisah dizaman tabi’in, seorang wanita dan beberapa orang anak-anaknya menjadi perhatian orang ramai terutama kaum wanita yang berkerumun di rumahnya. Semua yang hadir menampilkan wajah yang redup menggambarkan kesedihan yang mendalam. Rumah itu adalah rumah salah seorang tabi’in yang syahid dalam pertempuran. Orang ramai yang hadir ingin mengucapkan takziah kepada isteri tabi’in itu. Sebahagian dari mereka merasa khuatir terhadap nasib isteri dan anak-anak tabi’in yang syahid itu. Tanpa disedari terlahir kata-kata dari salah seorang wanita dari mereka :”Bagaimana nasib dia dan anak-anaknya nanti. Siapa yang akan memberinya makan dan pakaian…”

Mendengar kekhuatiran wanita itu, isteri tabi’in itu menjawab dengan nada yang tegas dan yakin : “Setahu saya, suami saya adalah pemakan (rezeki Allah) dan bukan pemberi rezeki. Maka jika pemakan (rezeki) itu tiada maka Pemberi rezeki pasti tetap ada.”

Keyakinan bahawa hanya Allah yang mengurniakan rezeki kepada manusia dan seluruh makhluk adalah hasil dari Tauhid Rububuyyah. Ini bermakna ikrar dan pengakuan bahawa Allah adalah Rabbul ‘Alamin (Tuhan sekelian alam) secara otomatik mesti bermaksud keyakinan hanya Allah saja Pemberi rezeki. Tanpa keyakinan ini bermakna seseorang tidak memiliki Tauhid Rububuyyah manakala tanpa tauhid ini bagaimana seseorang itu akan mempunyai Tauhid Uluhiyyah?

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu keyakinilah ‘hanya Allah Pemberi rezeki’ merupakan jambatan bagi manusia agar mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah (Tauhid Uluhiyyah). Ini terakam dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud, : “Katakanlah, ‘Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa mencipta pendengaran dan penglihatan dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?’ Maka mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka katakan, “Mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”
(Surah Yunus ayat 31).

Allah juga menegaskan bahawa setiap makhluk mempunyai hak untuk mendapatkan rezeki dan Dialah yang menjaminnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan tiada suatu makhluk melatapun di muka bumi melainkan (menjadi) jaminan Allah lah rezekinya.”
(Surah Huud ayat 6).

Individu Muslim yang meyakini rezeki itu hanya datang dari Allah mampu menunjukkan kesan yang mendalam terhadap rohnya. Antara kesan yang jelas kelihatan pada mereka yang yakin adalah memiliki pandangan yang positif terhadap kehidupan. Ia dengan penuh yakin mengorakkan langkah-langkah dalam kehidupan. Dia sentiasa menghadapi pelbagai gelombang kehidupan dengan penuh optimis terutama tentang keperluan kebendaan. Kisah isteri tabi’in di atas mengambarkan sikap ini yang perlu dicontohi. Ungkapan kata-kata isteri tabi’in tadi mesti sentiasa terukir abadi dalam setiap diri kita.

Apabila hati seorang yakin bahawa segala yang diperolehi dalam hidupnya semata-mata datang dari Allah maka dia tidak akan bergantung kepada sesiapa pun selain Allah s.w.t. Dia tidak akan merasa takut berkurangnya rezeki apabila mengatakan atau melaksanakan sesuatu yang benar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Allahlah yang telah menjadikan bagi kamu bumi sebagai tempat menetap dan langit sebagai atap dan membentuk kamu lalu memperelokkan paras rupamu serta memberimu rezeki dari yang baik-baik. Itulah Allah Rabb kamu. Maha Suci Allah, Rabb sekelian alam. Dialah Yang Maha Hidup. Tiada Tuhan selain Dia. Maka sembahlah Dia dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.”
(Surah Al-Mukmin ayat 64-65)

Sudah pasti orang yang yakin kepada Allah akan sentiasa mendekatkan diri kepada Pencipta dan Pemberi rezekinya, tiada pada yang lain.

Sahabatku,
Allah Pemberi rezeki. Namun ini bukan bererti manusia hanya menadah tangan berdo’a sahaja tetapi tidak berusaha dan berikhtiar untuk bekerja mencari nafkah. Rezeki yang dijanjikan Allah mesti diiringi dengan usaha. Antara usaha yang perlu kita laksanakan adalah bekerja dan berusaha secara yang halal dan menjauhi perkara-perkara yang haram dan syubahat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Rezeki datang dari Allah. Oleh itu ia mesti di manfaatkan sesuai dengan kehendak Allah. Guna dan belanjakanlah rezeki yang diperolehi mengikut batas ketentuan Allah bukan menurut seruan hawa nafsu. Atur dan rancanglah rezeki yang ada agar ia menjadi saksi kepada kita di hari Perhitungan. Bersederhanalah dalam membelanjakan harta, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan) itu di tengah-tengah antara yang demikian." (Surah Al-Furqan ayat 67)

Berapa banyak pun harta yang di perolehi hendaklah kita bersyukur. Kekurangan dalam memiliki harta bukan bererti Allah tidak menyayangi kita. Berlimpahnya harta pula bukan bermakna kita di sayang Allah. Semuanya adalah ujian bagi kita untuk dinilai oleh Allah siapa yang paling bersyukur. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah (rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim ayat 7).

Selain daripada bersyukur kepada Allah di atas pengurniaan rezeki, kita juga dikehendaki memohon kepada Allah agar rezeki yang di perolehi mendapat keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang cita-citanya adalah dunia, maka Allah akan memporakperandakan urusan kehidupannya. Menjadikan kefakiran di hadapannya. Dan ia tidak memperolehi bahagian dunia selain dari yang sudah diberikan kepadanya. Dan barangsiapa menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah akan membereskan urusan hidupnya. Menjadikan kekayaan berada di dalam hatinya. Dan dunia akan menghampirinya tanpa perlu di kejar-kejar." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tarmidzi.

Akhirkata, yakinilah bahawa rezeki yang kita perolehi dan makhluk-makhluk Allah yang lain adalah atas sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t. Dan jangan adapun sedikit keraguan di dalam hati dan sanubari kita. Sesungguhnya segala keraguan datangnya dari syaitan dan Iblis laknatullah. Mohonlah perlindungan Allah s.w.t. dari segala bentuk gangguan dan keraguan.

No comments: