Friday, July 23, 2010

Muhasabahlah Dirimu Setiap Hari

Wahai Sahabatku yang dirahmati Allah,
Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri.
Kamu ibarat pedagang di dunia ini :
Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.
Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.
Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.
Keredhaan Allah adalah matlamatmu.
Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.
Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'

Sahabat yang dimuliakan,
Hayatilah firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan :' Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Jika ditakdirkan kamu kurang bernasib baik dalam hidup ini, rugi atau gagal apa yang dihajatkan maka janganlah lemah dan patah semangat, perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. Mungkin ada dosa-dosamu yang menyebabkan kegagalan ini. Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu.

Sahabat,
Kamu adalah batu-bata yang menegakkan bangunan Islam.
Jangan biarkan masamu walaupun sedikit berlalu begitu sahaja.
Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kamu ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan.
Dengan demikian, kamu dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang yang beriman dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akalmu, jiwamu dan syaksiahmu.

Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Kerana itu sahabatlah yang diharapkan untuk membawa kebenaran dan kejayaan Islam!
Oleh itu berilah perhatian yang sungguh-sungguh akan semua pesanan ini.
Lantaran itu, fikirkan sedalam-dalamnya mengenai :

Pertama : Gerak hatimu.
Adakah gerak hati dan niatmu ikhlas kerana Allah s.w.t. dalam melakukan sesuatu kerja. Adakah hatimu ada perasaan takabur dan ujub?.Ingatlah perasaan takabur dan ujub akan menghapuskan pahala dan amalan kebaikan.

Kedua : Perkara yang memenuhi akalmu.
Adakah kamu faham perbedzaan antara fikrah Islam dengan fahaman-fahaman sekular yang lain seperti nationalis, sosialis, kapitalis dan komunis? Untuk menjadi Muslim yang tulin dan baik, maka fahaman-fahaman yang sesat ini perlulah dijauhi dan dihindari agar ia tidak mempengaruhi akal dan fikiranmu sehingga ianya boleh membei kesan dalam kehidupan untuk menjadi hamba Allah s.w.t.

Oleh itu tingkatlah ilmu pengetahuan Islam, hadirlah dimajlis-majlis ilmu dan membaca buku-buku karangan ulama'-ulama' yang muktabar supaya ilmu dan fikrahmu benar-benar tulin yang tidak dipengaruhi dengan fahaman-fahaman sekular.

Ketiga : Kerjaya dan perniagaanmu.
Adakah semua kerja kamu semata-mata untuk menimbunkan kekayaan hingga melupakan perjuangan menegakkan agama Islam? Adakah kerja-kerja kamu menguntungkan atau merugikan Islam? Adakah kamu memperolehi rezeki dari sumber yang halal? Adakah dengan rezeki yang kau terima ada memberikan sedekah dan infak dijalan Allah?

Oleh itu ingatlah semua rezeki datangnya dari Allah s.w.t, kita akan ditanya dari mana sumber datangnya rezeki dan kemana ianya digunakan.

Keempat : Ibdah kamu kepada Allah.
Adakah kamu tunaikan solah lima waktu dengan sempurna, tepat waktunya dan khusyuk? Adakah kamu tunaikan secara berjemaah di masjid? Dan adakah kamu tunaikan zakat jika simpananmu mencukupi? Adakah kamu menjaga hubungan kamu dengan Allah setiap masa dan ketika, dan merasai bahawa Allah s.w.t. memerhatikan setiap pergerakanmu setiap masa dan ketika?. Ingatlah bahawa kita diciptakan Allah s.w.t. adalah semata-mata untuk memperhambakan diri kepada-Nya.

Kelima : Aktiviti dan tugas harianmu.
Adakah kamu telah melaksanakan tugasmu terhadap orang tuamu, rakan-rakanmu, jiranmu, anak-anak yatim dan masyarakat sekelilingmu? Adakah kamu menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah dan melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar? Semua amal-amal kebajikan yang kamu laksanakan akan dikira sebagai amal soleh dan amal kebajikan yang akan dapat membantumu ketika kamu berhadapan dengan Allah dihari akhirat nanti.

Wahai sahabatku,
Memanfaatkanlah sisa-sisa usiamu yang tinggal dengan berusaha memperbaiki diri.
Hiasilah diri kalian dengan akhlak Islam, melahirkan contoh dan peribadi yang mulai untuk menjadi ikutan oleh orang lain.

Jangan pandang dan buangkan jauh-jauh budaya serta akhlak yang bukan datang dari al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w. Jauhkan diri dari budaya barat dan timur yang bertentangan dengan Islam.

Juga sentiasalah kalian merasakan Allah sentiasa mengawasimu. Dialah Penguasa dan Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, baik yang nampak oleh mata zahirmu atau yang tidak kelihatan.

Ingatlah! CCTV Allah merakamkan setiap masa dan ketika dan malaikat pencatat amal tidak pernah rehat mencatat amal kebaikan dan keburukanmu. Setiap anggotamu (melainkan mulut) dan bumi yang kau pijak akan menjadi saksi di hadapan Allah di atas setiap perbuatan dan niat-niatmu ketika di dunia.

Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya."
Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud "Akan dihadapkan pada hari kiamat seorang hamba, lalu ia meihat dalam suratan amalnya ada haji, umrah, jihad, zakat dan sedekah, maka ia berkata dalam hatinya; dari mana semua itu padahal aku tidak berbuat semua itu, mungkin ini bukan suratan amalku. Maka Allah berfirman;' Bacalah itu suratan mu, semasa hidupmu dulu sering berkata, andainya aku mempunya harta nescaya aku jihad. Aku mengetahui akan niatmu itu, maka Aku beri pada mu pahala semua itu."

Akhirkata, fahamai dan amalkanlah apa yang dinyatakan oleh hadis Nabi s.a.w.
Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t.)
(HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)
 
Semoga sahabatku sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat dari Allah s.w.t.

No comments: