Thursday, August 20, 2009

Hitunglah Dirimu

Wahai Sahabatku yang dirahmati Allah,

Ingatlah ketika Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan kita agar selalu menghitung diri.
Kita ibarat pedagang di dunia ini :
Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.
Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.
Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.
Keredhaan Allah adalah matlamatmu.
Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.
Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'

Sahabatku yang dimuliakan,
Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan :' Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Jika ditakdirkan kalian kurang bernasib baik, rugi atau gagal maka janganlah lemah dan patah semangat, perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu.

Sahabat,

Kalian adalah batu-bata yang menegakkan bangunan Islam.
Jangan biarkan masamu walaupun sedikit berlalu begitu sahaja.
Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kamu ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan.
Dengan demikian, kamu dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang yang beriman dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akalmu, jiwamu dan saksiahmu.

Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Kerana itu sahabatlah yang diharapkan untuk membawa kebenaran dan kejayaan Islam!
Oleh itu berilah perhatian yang sungguh-sungguh akan semua pesanan ini.
Lantaran itu, fikirkan sedalam-dalamnya mengenai :

Pertama : Gerak hatimu.

Adakah gerak hati dan niatmu ikhlas kerana Allah SWT dalam melakukan sesuatu kerja. Adakah hatimu ada perasaan takabur dan ujub?.Ingatlah perasaan takabur dan ujub akan menghapuskan pahala dan amalan kebaikan.

Kedua : Perkara yang memenuhi akalmu.

Adakah kamu faham perbedzaan antara fikrah Islam dengan fahaman-fahaman sekular yang lain seperti nationalis, sosialis, kapitalis dan komunis? Untuk menjadi Muslim yang tulin dan baik, maka fahaman-fahaman yang sesat ini perlulah difahami dan dihindari agar ia tidak mempengaruhi akal dan fikiran sehingga ianya boleh membei kesan dalam kehidupan untuk menjadi hamba Allah s.w.t.

Oleh itu tingkatlah ilmu pengetahuan Islam, hadirlah dimajlis-majlis ilmu dan membaca buku-buku karangan ulama'-ulama' yang muktabar supaya ilmu dan fikrah kita benar-benar tulin yang tidak dipengaruhi dengan fahaman-fahaman sekular.

Ketiga : Kerjaya dan perniagaanmu.

Adakah semua kerja kamu semata-mata untuk menimbunkan kekayaan hingga melupakan perjuangan menegakkan agama Islam? Adakah kerja-kerja kamu menguntungkan atau merugikan Islam? Adakah kamu memperolehi rezeki dari sumber yang halal?
Oleh itu ingatlah semua rezeki datangnya dari Allah SWT  kita akan ditanya dari mana sumber datangnya rezeki dan kemana ianya digunakan.

Keempat : Ibdah kamu kepada Allah.

Adakah kamu tunaikan solah lima waktu dengan sempurna, tepat waktunya dan khusyuk? Dan adakah kamu tunaikan ibadah puasa dengan memenuhi semua syarat-syaratnya yakni kamu berpuasa zahir dan batin? Adakah kamu menjaga hubungan kamu dengan Allah setiap masa dan ketika, dan merasai bahawa Allah s.w.t. memerhatikan setiap pergerakan kamu setiap masa dan ketika?. Ingatlah bahawa kita diciptakan Allah s.w.t. adalah semata-mata untuk memperhambakan diri kepada-Nya.

Kelima : Aktiviti dan tugas harianmu.

Adakah kamu telah melaksanakan tugasmu terhadap oramg tuamu, rakan-rakanmu, anak-anak yatim dan masyarakat sekelilingmu?
Semua amal-amal kebajikan yang kamu laksanakan akan dikira sebagai amal soleh yang akan dapat membantumu ketika kamu berhadapan dengan Allah dihari akhirat nanti.

Wahai sahabatku,
Memanfaatkanlah sisa-sisa usiamu yang tinggal dengan berusaha memperbaiki diri.
Hiasilah diri kalian dengan akhlak Islamiah.

Jangan pandang dan buangkan jauh-jauh budaya serta akhlak yang bukan datang dari al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Juga sentiasalah kalian merasakan Allah sentiasa mengawasimu.
Dialah Penguasa dan Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, baik yang nampak oleh mata zahirmu atau yang tidak kelihatan. Tapi, yakinilah akan kekuasaan-Nya.
Semoga sahabatku sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat dari Allah SWT.

No comments: