Saturday, March 3, 2012

Terdapat 12 Golongan Manusia Akan Bangkit Daripada Kubur

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Naba ayat 18 maksudnya :- "Yaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok."

Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut di atas pernah ditanyakan oleh Saidina Muaz bin Jabal r.a., katanya, "Ya Rasulullah, apa maksudnya ayat ini?" Maka Rasulullah SAW menangis sebelum menjawab soalan tersebut kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda menjawab:

"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang akan memasuki syurga.

Adapun 11 golongan yang memasuki neraka adalah seperti berikut:-

1. Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2. Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat lima waktu.

3. Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4. Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Inilah balasan mereka yang berdusta.

5. Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6. Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7. Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut. Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8. Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas. Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9. Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10. Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit2 lain yang menjijikan. Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11. Meraka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga keperut, dari perut dan pehanya keluar kotoran. Ini adalah balasan mereka minum minuman keras.

Dan satu golongan yang masuk ke syurga ialah:

12. Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian mustaqim laksana kilat. Ini balasan orang yang beramal soleh dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat."
 
Mereka (golongan ke 12) digiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang berama saleh dan banyak berbuat baik.

Mereka menjauhi perbuatan durhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Syurga, mendapat ampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih."

Sahabat yang dikasihi, 
Marilah sama-sama kita muhasabah diri kita, kedudukan kita sekarang ini berada dibarisan mana? Adakah kita berada disalah satu dari barisan pertama hingga ke dua belas? Jika kita berada di barisan pertama hingga ke sebelas adalah amat malang sekali kerana mereka yang berada dibarisan ini akan dihumbankan kedalam Neraka kerana dosa dan kesalahan mereka ketika di dunia dan mereka tak sempat hendak bertaubat.

Jika kita berada dibarisan ke dua belas alhamdulillah kerana barisan ini sahaja akan terselamat daripada azab Allah SWT. dan kita akan dihisab dengan mudah dan akan meniti sirat seperti kilat dan dimasukkan ke dalam syurga.

Marilah sama-sama kita beristighfar, bertaubat dan berdoa kepada Allah s.w.t semoga kita terpilih menjadi hamba Allah yang dirahmati dan diredhai, di ampunkan dosa-dosa kita  dan dimasukkan kedalam barisan ke dua belas yang terselamat daripada siksaan api Neraka.
 

Thursday, March 1, 2012

Bumi Syria Bermandi Darah Kerana Kezaliman Rejim Basyar Assad


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Damsyik ialah ibu kota bagi Negara Syria. Yang dahulunya terkenal dengan nama ‘negeri syam’. Dimana negeri syam ini adalah pada hakikatnya meliputi 4 buah Negara. Iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Tetapi telah melalui proses pemecahan dan pengasingan sempadan oleh kerajaan kafir Eropah suatu ketika dahulu. Meskipun telah terpisah kepada 4 buah negara, namun Syria masih kuat disebut-sebut dengan gelaran negeri syam kerana terdapat didalamnya ibu kota damsyik.

Bumi Syam mempunyai nilai dan harga yang amat tinggi. Pernah tersebut di dalam hadis Rasulullah SAW  yang mendoakan keberkatan negeri Syam. Maksud sebuah hadis: Rasulullah SAW  berdoa:  ”Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. 

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa negeri Syam adalah sebuah tempat atau kawasan yang di dalamnya mempunyai beribu keberkatan. Jadi tidak hairanlah pelancong atau pengunjung yang tiba di Syria akan merasai aura keberkatannya. Selain itu di dalam al-Quran juga membuktikan bahawa negeri Syam ialah kawasan yang diberkati oleh Allah. Maksud dari Surah al-Israk ayat 1: “Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda  (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. 

Maksud ‘sekelilingnya’ yang terdapat di dalam ayat ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai bumi Syam. Selain dari hadis dan ayat al-Quran ini, masih banyak hadis lain yang menceritakan tentang kelebihan negeri Syam dan bandar Damsyik.

Syria merdeka dari penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya Basyar Al-Assad yang telah memerintah selama 11 tahun. Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator.

Hafez Al-Assad berpegang pada Syiah Nusairiyah (sesat), yang menyimpan perasaan dengki terhadap rakyatnya daripada Muslim Sunni, yang mencaci dan menghina Saidatina Aisyah dan Ummahatul Mukminin radhiyallahu anhum, diharamkan sembelihan mereka, mereka melakukan kejahatan yang pelbagai, mereka tidak solat di masjid Ahli sunah waljamaah.

Kerajaan Syria didokong oleh Iran yang terkenal dengan Syiahnya, bahkan Hafez sendiri merupakan pelampau Syiah yang sesat. Penduduk Syria yang mana 6 peratus darinya merupakan Syiah Alawie, 10% darinya beragama Kristian dan 84% daripada rakyatnya beragama Muslim Sunni. Iran mempertahankan tindakan ganas regim Hafez yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan juga menyokong tindakan Hafez Al-Assad.

Hafez Al-Assad adalah pemimpin yang sungguh kejam dalam konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama. Peristiwa ini menyebabkan rakyat Syria mendiamkan diri dari politik sekian lama.

Basyar Assad yang menjadi Presiden Syria sekarang adalah merupakan anak kepada Hafez Assad yang sangat dikenali dengan kejam sejak rejim ini memerintah Syria. Sejak kecil Basyar Assad diajar oleh ayahnya membunuh bayi. Pada tahun 1982, peristiwa yang berlaku di HAMA hampir 46,000 rakyat Syria mati dibunuh oleh regim Assad. Selepas itu mereka berterusan melakukan kekejaman terhadap rakyat Syria.

Sahabat yang dimuliakan,
Kesan daripada kebangkitan negara-negara Arab di sekeliling Syria iaitu Tunisia, Mesir, Yaman dan Libya telah menaikkan semangat rakyat Syria yang telah sekian lama ditindas dan dinafikan hak bersuara dan menuntut keadilan.

Rakyat mula kembali bangkit terhadap kezaliman yang berlaku semenjak 8 bulan yang lalu.
Permulaan revolusi berlaku di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti Dar'aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria.

Punca kebangkitan rakyat adalah bermula apabila sekumpulan kanak-kanak seramai lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah "RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN". 

Slogan ini telah dilaungkan di negara-negara Arab yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak-kanak itu telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayat kanak-kanak itu serta kanak-kanak lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak-kanak itu, mereka perlu memberi wanita-wanita dikalangan mereka untuk di perkosa oleh puak-puak Kerajaan Syria ini ( satu bentuk penghinaan), keluarga kanak-kanak tersebut telah mengadakan tunjuk perasaan bantahan sebaliknya pihak tentera telah membunuh mereka yang adakan bantahan tersebut, maka berlakulah kebangkitan rakyat di Syria.

Beberapa peristiwa kekejaman tentera rejim Basar Assad membunuh rakyatnya sendiri :

1. Seorang anak kecil bernama Marwah 'Adil Bahar telah menjadi korban kepada kezaliman rejim Bashar jika mereka mempunyai sifat perikemanusiaan. Tetapi Marwah ‘Adil Bahar tiada pilihan lain kecuali mati mulia dengan pisau sembelihan tentera Bashar. 

2. Seorang anak kecil, Muhammad Dhiya’ yang ditembak oleh Rejim Bashar. Ayah Muhammad Dhiya’ menjerit-jerit supaya Rejim Bashar berhenti daripada menembak untuk menyelamatkan anaknya, namun permintaannya itu tidak dipedulikan hingga anaknya terbunuh dengan kejam. 

3. Tentera Syria membedil beberapa daerah di bandar Homs semalam menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 150 lagi cedera. Kebanyakan mangsa yang mati adalah orang awam. Homs sebelum ini menjadi pusat penentangan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.  

4. Tentera Basyar Assad telah melakukan penyembelihan  secara beramai-ramai . Sumber Arabia.net melaporkan bahawa penduduk yang ketakutan telah melarikan diri sehingga mereka tiba di satu sekatan pasukan keselamatan, mereka dibawa menaiki empat buah bas dengan alasan kononnya untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat. Anggota keselamatan terbabit telah menurunkan warga tua sebelum menyembelih kesemua pemuda-pemuda di dalam bas tersebut seramai 64 orang. Turut dilaporkan ialah kehilangan wanita-wanita yang dikatakan telah diculik dan dibawa ke destinasi yang tidak diketahui. Lebih menyayat hati, sumber melaporkan Hospital Kebangsaan di wilayah Homs menerima 47 mayat yang terdapat kesan disembelih pada leher mereka.

5. Pencerobohan dan serangan jahat tentera Basyar Assad  ke atas Masjid sahabat yang mulia, Khalid Al-Walid di Homs, Syria (dari luar dan dalam masjid) pada 25 Februari 2012.  Masjid Khalid Al-Walid, sebuah masjid besar yang terdapat di wilayah Homs dan dalamnya bersemadi jasad panglima jihad yang juga sahabat agung Rasulullah s.a.w, Khalid Al-Walid r.anhu. Masjid ini cuba dibakar dengan serangan bom oleh tentera Syiah Nusairi Basyar laknatullah. 

6. Beberapa insiden ketika rakyat Syria melarikan diri ke Lubnan, Hizbullah menghalang dan menembak mereka. Tentera Iran pula ditempatkan di bumbung-bumbung rumah sebagai penembak tepat. (Iran Syiah dan Hasbullah Syiah adalah dua puak yang tidak boleh dipercayai oleh umat Islam, mereka ini umpama gunting dalam lipatan).

7. Baba ‘Amru merupakan penempatan Sunni dalam wilayah Homs yang telah dikepung dan digempur sejak tiga minggu lalu. 18 orang, 3 orang daripadanya adalah kanak-kanak termasuk 7 orang dari satu keluarga dibunuh di pinggir Hama awal pagi semalam.
Seorang aktivis, Muhammad El-Homsi memberitahu, antara yang terbunuh seorang bapa dan anaknya yang berusia 14 tahun. Mereka berdua dibunuh ketika cuba melarikan diri setelah mengalami kecederaan akibat terkena serpihan bom. 

8. Beberapa aktivis kemanusiaan memberitahu, tentera Syria membunuh sekurang-kurangnya 18 orang di sebuah perkampungan di tengah Syria, tujuh daripada mereka dari sebuah keluarga. Keluarga yang dibunuh itu bekerja sebagai petani, mereka dari kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak. Lebih memilukan, terdapat kanak-kanak tersebut berusia 7 tahun dan seorang bayi lelaki yang masih menyusu berusia 10 bulan. Kata aktivis, tentera mengarahkan mereka keluar dari rumah dan diperintah berdiri dalam satu barisan dan ditembak beramai-ramai.

Kekejaman yang dilakukan oleh rejim Basyar Assad , Kesatuan Eropah (EU)  mengetatkan sekatan ke atas sektor tenaga dan kewangan Syria bagi menghukum rejim Presiden Bashar al-Assad untuk tindakan keras mereka terhadap rakyat.

Sahabat ayng dihormati,
Sumber pembangkang Syria memaklumkan, para saksi memberitahu mereka melihat lebih 10 buah bas yang sarat dengan tentera militia Al-Mahdi, pengikut pelampau Syiah di Iraq,Moqtada As-Sodr di sempadan Syria yang mula memasuki Dir Az-Zur menuju ke Syria.

Ia ekoran ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh ulamak Syiah di Iran semalam, Ayatullah Ahmed Jannati bahawa perjuangan mempertahankan rejim Syria adalah JIHAD demi memastikan Syria tidak jatuh ke tangan “musuh Ahlul Bait” iaitu (yang dimaksudkan ialah Sunni).

Iran adalah negara yang tidak boleh dipercayai kerana Rejim Syria dan Syiah Iran menjadi sekutu yang kuat sejak sekian lamanya. Hal ini kerana bagi menjamin Syiah terus berkembang. Ia juga diketahui umum setelah Khomainie Iran membuat kenyataan terbuka menyokong Assad.  

Hamas secara rasmi membantah tindakan keganasan rejim terhadap rakyat. Pimpinan mereka secara rasmi telah meninggalkan Syria.

Naib Ketua Biro Politik Hamas, Musa Abu Marzouq berkata, beliau bersama-sama pimpinan Hamas lain telah keluar dari Syria sebagai membantah tindakan kezaliman yang dilakukan rejim Basyar sebagai yang disifatkan sebagai “kempen kezaliman Basyar menentang rakyatnya”. Selain terus membuka pejabatnya di ibu negara, Damsyik, Abu Marzouq yang juga pembantu kepada Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mash’al memberitahu ketuanya itu bersama-sama beberapa pimpinan lain telah berlepas ke Doha, ibu negara Qatar bagi meninjau tapak baru pejabat Hamas menggantikan pejabatnya yang berada di Damsyik.

Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniya menggelarkan rakyat Syria yang menuntut kebebasan dan demokrasi sebagai “wira” sewaktu berucap di dalam Masjid Universiti Al-Azhar, universiti tertua di Mesir itu. Kata Haniya: “Saya mengucapkan salam kepada seluruh negara Arab bahkan Islam, saya ucapkan salam kepada rakyat Syria, wira dan pahlawan yang sedang menuntut kebebasan, demokrasi dan perubahan.” Pemimpin Hamas itu berucap di hadapan ribuan rakyat Mesir selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Al-Azhar di Kaherah semalam.

Perlu disebut, ini adalah pertama kali Hamas menyatakan pendirian secara terbuka kepada revolusi Syria yang sekaligus menyaksikan penentangan terhadap pemerintahan Syria kerana selama ini, dunia menyaksikan pemerintah Iran dan Syria adalah sekutu kepada Hamas.

Seorang pendakwah terkenal, Dr.’Aid El-Qorni dari Saudi menyeru tentera Syria agar berpaling tadah dari rejim taghut tersebut.  Sambil menyifatkan Basyar sama seperti Ariel Sharon yang menyembelih umat Islam seperti dilakukannya di khemah perlarian Shabra dan Shatila.

Kenapa Rusia dan Cina menggunakan kuasa veto untuk menghalang usul untuk memberi tekanan kepada rejim Assad?. Sebenarnya mereka merupakan sekutu lama yang saling memberi sokongan terutamanya dalam kebijakan faham sosialis dan komunis mereka (tidak sama tapi hampir serupa terutama dalam menzalimi rakyat). Di samping itu juga, Rusia adalah pembekal senjata paling banyak ke Syria.

Hakikat sebenarnya rejim Assad ada mengadakan perhubungan sulit dengan rejim Israel. Secara zahirnya kita akan melihat Syria seolah-olah bertindak sebagai anti Israel. Dakwaan ini meleset ketika ditemukan fakta yang menyatakan bahawa Assad telah melakukan kesepakatan sulit dengan Israel dalam isu yang berkaitan dengan Bukit Golan .

Assad mendapat imbalan yang besar dari pakatan sulit ini dan dibantu oleh Amerika Syarikat. Apakah logik bagi sebuah kerajaan yang punya kekuatan tentera dan berada bersempadanan dengan Israel termasuk Iran duduk diam terhadap kekejaman Israel tehadap saudara mereka di Gaza. Manakala menyerahkan Bukit Golan kepada Israel tanpa ada sebab yang munasabah.

Sahabat yang dikasihi, 
Marilah kita membantu saudara-saudara kita yang dizalimi di Syria. Berdoalah setiap lepas solat untuk kejayaan saudara-saudara kita untuk menuntut keadilan dan menjatuhkan rejim Basyar Assad yang sangat kejam terhadap rakyatnya sendiri. Berilah bantuan mengikut kemampuan kita berupa wang ringgit untuk keperluan makanan dan perubatan  di bumi Syria, sesungguhnya setiap muslim adalah bersaudara.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi sungguh mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih) 

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”. (Surah al-A’raaf (7) ayat 47)






Tuesday, February 28, 2012

Jauhi Tujuh Perkara Boleh Menjadi Isteri yang Nusuz

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan
ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu. Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Quran, dan juga dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sahaja dan tidak pada yang lainnya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.


Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.

Terdapat tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah seperti berikut:

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.

Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.
 
Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya. 

Sahabat yang dimuliakan,
Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan berbuat nusyuz itu, hak isteri terhadap nafkah dan qasm iaitu hak giliran bermalam bagi isteri yang mempunyai lebih dari seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada isterinya akan gugur.


Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyuz isteri ini:

1. Ketika nampak tanda-tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut kepadanya, maka sunat ke atas suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)

Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyuz sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:

- Menasihati isterinya dengan berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah pada perkara-perkara hak-hak yang wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak melaksanakannya.”


-Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyuz boleh mengugurkan (hak) nafkah dari suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri bagi suami yang mempunyai lebih dari seorang isteri.

- Menyebut hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyuz.“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

- Adalah sunat juga bagi suami berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya sesuatu.

2. Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyuznya.

Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

(Surah an-Nisa: 34)

Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga memberi garispanduan tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.

Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.

Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya.

Isteri juga diperintahkan untuk menjaga kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri solehah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika ( suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka) ”(Surah an-Nisa: 34)

Sesungguhnya ganjaran Allah Subhanahu Wa Ta‘ala terhadap isteri yang solehah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah radhiallahu ‘anha yang bermaksud : “Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan RasulNya serta dengan mentaati suami.

Sahabat yang dikasihi,
Para isteri wajiblah mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri di belakang suaminya. Berdosa besar apabila seorang isteri menderhaki suaminya, begitu juga haram seorang wanita yang telah bersuami bercinta dengan lelaki lain melalui facebook atau talipon bimbit. Jauhkan diri kalian daripada menjadi isteri nusuz kerana isteri nusuz tidak akan mencium bau syurga, jika kalian mati tidak mendapat redha suami kalian tidak akan mendapat redha Allah SWT, kerana redha Allah SWT bergantung kepada redha suami kalian.

Tetapi sekiranya kalian memiliki suami yang bengis (sering memukul isteri tanpa kesalahan besar) dan tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi nafkah maka kalian perlulah menasihatinya dahulu, jika tidak berkesan maka kalian perlulah mengadu di pejabat agama untuk mendapat pembelaan dan jika perlu menuntut fasakh atau tebus talak. Jika kalain tercedera sila buat pemereksaan doktor kerana lapuran perubatan sebagai bahan bukti apabila berlaku perbicaraan dimahkamah syariah nanti dalam kes tuntutan fasakh.

Setiap suami perlulah mendidik isterinya supaya dia menjadi isteri yang solehah, pastikan isteri menutup aurat dan diberi didikan agama yang mencukupi kerana tanggunhjawab tarbiah adalah tanggungjawab suami. Jika suami biarkan isterinya keluar rumah dengan mendedahkan aurat atau suami tidak prihatin isterinya bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya dikhuatiri suami akan menjadi suami yang dayus sesungguhnya suami yang dayus tidak akan mencium bau syurga.


Monday, February 27, 2012

Carilah Keredhaan Allah Melalui Empat Amalan Yang Sukar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Saidina Ali bin Abi Talib k.w berkata : "Sesungguhnya amalan yang paling sukar ada empat perkara iaitu:

Pertama : Memberi maaf pada waktu marah.

Kedua : Suka memberi pada waktu susah.

Ketiga : Menjauhi yang haram pada waktu sunyi.

Keempat : Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau
kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya."

Huraiannya :

Pertama : Memberi maaf pada waktu marah.

Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. Maka agama tidak melarang marah, jika kena pada salurannya yang betul iaitu marah kerana Islam dihina atau mereka mempersendakan junjungan mulia Rasulullah SAW. Kita diperintahkan untuk dapat mengawal perasaan marah dan senantiasa menjadi pemaaf apabila berlaku perselisihan yang melibatkan hal-hal peribadi.

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Fiirman Allah SWT  yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kedua : Suka memberi pada waktu susah

Sifat suka bersedekah dan memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan adalah satu sikap yang mulia. Terutama apabila pertolongan yang diberikan ketika itu kita juga sedang berada di dalam kesusahan.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : “Satu dirham mengatasi seribu dirham.”

Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”

Nilai sedekah ketika susah lebih bernilai disisi Allah SWT daripada sedekah orang kaya yang diberikan tidak mendatangkan apa-apa kesusahan kepadanya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." 
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Menjauhi yang haram pada waktu sunyi

Biasanya sesaorang manusia suka melakukan maksiat ketika bersunyian, ketika itu tidak ada siapa  yang melihatnya . Baginya akan terselamat daripada penglihatan manusia lain.

Tetapi sebaliknya apa yang berlaku kepada orang mukmin iaitu dia merasai bahawa Allah SWT sentiasa melihat perbuatan dan amalannya sehingga segala hasad dengki yang tersimpan  di hatinya juga dapat diketahui oleh Allah SWT.

Orang yang muraqabah , bertakwa dan muhsin akan  tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah SWT. Baginya ketika sunyi atau ketika bersama orang ramai adalah sama sahaja kerana hati dan jiwanya sentiasa berhubung dengan Allah SWT dan merasai bahawa Dia melihat segala amalan-amalannya.

Nabi SAW pernah berpesan yang bermaksud "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam mukmin." Maknanya , ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah  dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). 
Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Keempat : Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.

Dalam hadis Nabi SAW mengatakan jihad yang paling besar adalah menyatakan sesuatu kepada pemimpin yang zalim. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Jihad yang paling utama ialah berkata benar dihadapan pemimpin yang menyeleweng" (Hadis riwayat Tirmizi dan Abu Daud (taraf hadis hasan)

Kaedah menasihatinya juga pelbagai, bergantung terhadap bagaimana reaksi pemimpin tersebut apabila dinasihati. Kita dituntut untuk menasihatinya dengan cara yang paling hikmah. Namun perlu diingat hikmah bukan hanya dengan kata lemah lembut, berkeras juga dianggap berhikmah sekiranya ia perlu dilakukan untuk menyedarkannya dari kezaliman yang dilakukannya.

Diriwayatkan oleh Jabir, Nabi SAW menyebut yang maksudnya: “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah daripada bercakap benar.” (Hadis riwayat Baihaqi) 

Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit di dengar kepada orang yang kita mengharapkan sesuatu daripadanya. Contoh kepada ibu bapa  sendiri atau majikan kita. Jika di dapati sesuatu yang tidak betul maka tanggungjawab kita untuk memperbetulkannya. Cara nasihat atau teguran biarlah cara hikmah dan bijaksana. Terpulanglah kepada mereka untuk menerimanya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita hayati empat perkara yang paling sukar tetapi wajib kita laksanakan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT. Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita sentiasa dipermudahkan-Nya untuk membuat kebaikan dan kebajikan. Latihkan diri kita supaya mudah memaafkan kesalahan orang lain, bersedekah walaupun ketika kita sendiri memerlukannya, tinggalkan yang haram ketika sunyi dan nyatakan kebenaran walaupun kepada orang yang ternama atau dihormati. Tidak ada sesuatu yang akan menjadi mudah apabila dipermudahkan oleh Allah SWT, begitu juga tidak ada sesuatu yang sukar melainkan dihalang dan di sukarkan oleh Allah SWT .



Sunday, February 26, 2012

Orang Mukmin Sentiasa Yakin Dengan Janji-janji Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diceritakan pada suatu ketika yang lalu, terdapat seorang lelaki beriman yang soleh. Dia tidak disenangi oleh raja yang zalim kerana ketegasan dan keberaniannya menyuarakan kebenaran. Dia ditangkap dan disumbatkan dalam penjara dengan cara yang begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Beberapa hari kemudian dia dilawati seorang pesuruh raja untuk meninjau keadaannya dalam penjara. Alangkah terkejutnya pesuruh tersebut apabila dia mendapati lelaki mukmin itu berada dalam keadaan tenang, riang dan gembira. Dia bertanya penuh kehairanan. Apakah rahsia kebahagiaannya sedangkan dia terkurung di dalam bilik sempit. Dikelilingnya dinding serta tembok yang sepi?

Mukmin yang soleh pun menjawab :
“Setiap hari aku mengambil ubat yang terdiri daripada tujuh ramuan. Ubat itulahyang menjadikan aku seperti yang awak lihat.”

Pesuruh itu bertanya dengan penuh kehairanan ingin mengetahuinya. “Apakah ubat yang awak ambil dan apakah ramuannya?”

Mukmin soleh itu pun menjawab :
Ramuan Pertama : Aku yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa saja ketentuan Allah keatas diriku. Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku. Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik.

Ramuan Kedua : Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana. Tiada siapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya.

Ramuan Ketiga: Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan didalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik samaada di dunia dan akhirat. Dengan itu aku tidak di himpit kerisauan dan keluh kesah.

Ramuan Keempat : Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedehan, kerisawan, keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tak lena, makan tak selera dan ibadah tak bahagia.

Ramuan Kelima : Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang. Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini Bukankah pepatah ada menyebut ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya’.

Ramuan Keenam : Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah s.a.w. berdoa maksudnya : “ Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami”

Ramuan Ketujuh : Dan yang akhir, sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.

Firman Allah SWT. yang bermaksud “…Dan demikianlah Kami tukar gantikan hari-hari itu di antara manusia…” (Surah Ali- Imran ayat 140)

Sahabat yang dikasihi,
Demikian besarnya erti keyakinan kepada Allah SWT. Sesungguhnya apa yang dianggap oleh mukmin yang soleh itu merupakan menifestasi rahmat keyakinan yang dianugrahkan Allah kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Apa-apa rahmat yang dibukakan Allah kepada manusia, maka tidak ada yang akan dapat menahannya. Dan apa-apa yang ditahan-Nya, maka tidak ada yang akan dapat memberikannya selepas itu. Dia maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Oleh itu untuk mendapat ciri-ciri mukmin sejati kalian perlulah yakin kepada Allah, beriman sepenuhnya kepada Allah, pegangan yang mantap, kepercayaan yang utuh serta ketenangan hati yang padu terhadap ke Esaan Allah, yakin sepenuhnya terhadap kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya, keagongan-Nya dan kebijaksanaan-Nya.

Hidaya-Nya sahajalah yang sebenar-benar petunjuk.Tidak ada lagi selain daripada petunjuk-Nya kecuali kesesatan. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah, Allah akan memeliharanya. Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya, sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba. Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik. Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa tiada permusuhan kecuali keatas orang-orang yang zalim.