Friday, September 23, 2011

Apakah Ciri-ciri Orang Munafik?

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Munafik dari segi bahasa maksudnya : "Orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar."

Dari segi syarak pula munafik bermaksud : " Seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati."

Sifat munafik ini terbahagi dua bahagian iaitu :

Pertama : Munafik darisegi akidah dan I'tiqad.

Kedua : Munafik darisegi perbuatan dan amalan.

Huraiannya :

Pertama : Munafik darisegi akidah dan I'tiqad.

Munafik darisegi akidah dan I'tiqad adalah orang kafir yang mengaku beriman dan berpura-pura masuk Islam. Golongan ini adalah orang yang tidak mendapat hidayah atau petunjuk dari Allah SWT, sehingga jalan hidupnya yang ditempuhi tidaklah mengandungi nilai-nilai ibadah dan segala amal yang dikerjakan tidak mencari keredaan Alah SWT.

Orang munafik seperti ini  adalah orang yang bermuka dua, mengaku beriman padahal hatinya engkar (kufur dan syirik). Perbuatan orang munafik  di sebut nifak. Mereka ini hanya pada mulutnya sahaja beriman dan nampak baik tetapi hakikat sebenarnya hanya tipu helah belaka untuk mencari habuan dunia dan merancang untuk menghancurkan Islam.

Ertinya segala amal perbuatan yang dikerjakan itu bukan ditegakkan di atas dasar keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT, akan tetapi hanya didasarkan pada perasaan dan hawa nafsunya semata-mata untuk mencari muka, penampilan, harta dan pangkat, mengambil hati dalam masyarakat dan pandangan orang belaka. Segala perbuatan baiknya itu hanya dijadikan tempat berlindung untuk menutupi segala keburukan I’tikad dan niatnya yang menentang Islam.

Terdapat lima ciri-ciri munafik darisegi akidah dan I'tiqad :

1. Ingin menipu daya Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang maksudnya : “Dan diantara manusia ada yang mengatakan,’aku beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian,’padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.Mereka itu hendak menipu Allah berserta orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri,sedang mereka tidak sedar” (Surah Al Baqarah ayat 8-9)

2. Lebih suka memilih orang kafir sebagai pepimpinnya.

Firman Allah SWT maksudnya : “…..(iaitu) orang yang mengambil orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan disisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah”
(Surah An Nisa’ ayat 139)

3. Tidak mahu diajak berhukum dengan hukum Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT. maksudnya : “Apabila dikatakan kepada mereka (org munafik) :'Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul,' nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia ) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu”
(Surah An Nisa ayat 61)

4. Malas menegakkan solat, tapi kalau solat suka menunjuk-nunjuk (riyak)

Firman Allah SWT. maksudnya : “Dan bila mereka berdiri untuk melaksanakan solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riyak dihadapan manusia. Dan tidaklah mereka itu menyebut asma Allah, kecuali sedikit sekali."
(Surah An Nisaa ayat 142)

5. Berusaha siang dan malam untuk memadamkan cahaya Allah SWT. Menghidupkan maksiat dan kemungkaran . (sifat bermusuhan dengan para alim ulama, pendakwah Islam, menyekat dakwah, tarbiah dan tazkirah daripada tersebar luas dalam masyarakat)

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mereka (orang munafik) hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka. Dan Allah telah menyempurkan cahayaNya, meskipun orang kafir membenci.”
(Surah Asy-Shaf ayat 8)

Dalam sejarah telah banyak membuktikan bahawa umat Islam zaman dulu sering diperdaya oleh orang munafik dan hal itu akan berterus sampai zaman sekarang bahkan zaman yang akan datang dari generasi ke generasi.

Di zama Nabi SAW , ketua orang munafik bernama Abdullah ibn Ubay ibn Salul dengan hatinya yang busuk  mengejek-ejek dan mengancam untuk mengusir Nabi SAW dan kaum muslimin dari kota Madinah. Kemudian setelah ucapannya yang menjelaskan kekentalan kemunafikannya itu dilaporkan kepada Nabi SAW  dan baginda pun menegurnya lalu Abdullah ibn Ubay pun mengelak dengan mengatakan bahawa ia tidak pernah mengatakan apa-apa pun seperti yang dilaporkan kepada baginda.

Oleh kerana itu kita umat Islam dimana saja berada hendaknya berhati-hati terhadap orang munafik yang berhasrat mematahkan semangat juang kita umat Islam, memporak-perandakan kekuatan Islam, memadamkan cahaya Allah ditengah-tengah orang Islam dan selalu kerosakan dan kekacauan dimana-mana.

Munafik golongan pertama ini di hari akhirat akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam yang paling bawah sekal kekal selama-lamanyai, lebih azab daripada orang-orang kafir.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka." (Surah. an-Nisaa ayat 145)

Kedua : Munafik darisegi perbuatan dan amalan.

Munafik darisegi perbuatan dan amalan adalah masih menjadi orang Islam, akidahnya masih mempercayai Allah  dan Rasul dan rukun-rukun Iman yang enam tetapi perbuatan dan amalannya menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar.

Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.” (Hadia Riwayat  al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat empat ciri-ciri munafik darisegi perbuatan dan amalan (melakukan dosa besar) , sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT.

1. Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya.

2. Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar.

3. Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama.

4. Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.

Di dalam masyarakat umat Islam memang terdapat kaum munafik yang berlindung dibalik agama Islam . Mereka ini memerangi saudara seagama, merancang dan menangkap para pejuang Islam yang menegakkan syariat Islam. Mereka lebih gembira bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian atau kaum kafir daripada bekerjasama dengan ulama-ulama, para pendakwah, para mujahidin dan aktivis Islam.

Semua sifat-sifat munafik yang tersebut itu boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada ketenteraman masyarakat manusia, malah boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan dan boleh menghilangkan rasa kepercayaan terhadap satu sama lain yang merupakan batu asas bagi kerukunan sesebuah masyarakat yang padu dan kukuh, selagi mana ada manusia serupa ini dunia ini tidak akan aman tenteram.

Sifat munafik jenis kedua ini masih berpeluang kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah SWT. Keempat-empat sifat ini adalah dosa-dosa besar yang hanya boleh diampunkan Allah SWT apabila dia bertaubat nasuhah dan meminta ampun dan maaf sesama manusia jika ada dikalangan manusia yang menjadi mangsa tipu helah dan kezalimannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada sifat-sifat munafik samaada munafik darisegi akidah dan I'tiqad maupun munafik darisegi perbuatan dan amalan.

Jika dalam hati kita bersarang perasaan hasad dengki, ada perasaan benci pada pendakwah Islam, benci pada pakaian menutup aurat dan sering menfitnah para daie yang berjuang menegakkan Islam ini bermakna dalam hati kita masih bersarang sifat nifak atau munafik. Sifat inilah yang akan menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT.  Oleh itu sama-samalah kita perbaiki hati dengan mendekatkan diri dengan majlis ilmu, bersahabat dengan orang soleh dan menjauhkan diri daripada orang-orang yang suka melakukan maksiat.

Apakah Ciri-ciri Orang Fasik?

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang fasik adalah seorang muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain orang tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah SWT dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Orang fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi” (Surah Al Baqarah ayat 27)

Allah SWT memberi peringatan kepada orang Islam agar jangan sekali-kali bertindak seperti orang yang lupa diri di mana Allah SWT menyifatkan mereka sebagai orang fasik iaitu orang yang suka berbuat dosa dan kejahatan serta derhaka kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.”

Yang dimaksudkan dengan fasik, Syeikh Raghib al-Asfahani mendefinisikan sebagai keluar daripada landasan syariat atau agama. Istilah fasik digunakan khusus kepada orang yang diperintahkan dengan hukum Allah SWT namun mereka menolak untuk mentaatinya dan seterusnya mengingkari sama ada sebahagian mahupun keseluruhan hukum itu.

Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dalam al-Quran terdapat celaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak menerapkan hukum berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah subhanahu wa taala.  dalam ayat ke 47 surah al-Maidah pula mereka dicela sebagai orang fasik.

Memang benar, terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah subhanahu wa taala. Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)

Ayat tersebut, meskipun diturunkan berkenaan kaum Yahudi dan Nasrani, namun tidak terhad ke atas mereka semata-mata kerana ungkapan ayat tersebut bersifat umum. Perkataan ‘man’ menunjukkan bahawa ia makna umum, dan tidak dikhususkan kepada kelompok tertentu. Sedangkan dalam kaedah yang rajih ada dinyatakan:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

"Berlakunya hukum dilihat dari keumuman lafaz, bukan pengkhususan sebab."

Bertolak daripada sini, dapat disimpulkan bahawa sifat fasik ini pada hakikatnya adalah sifat lupa diri itu sendiri. Ia berdasarkan kaedah berikut iaitu apabila seseorang manusia lupa diri, maka secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan sifat lupa kepada Tuhannya menguasai dirinya, maka dia sudah pastinya akan berani melawan dan menentang segala hukum Allah.

Kesannya, tercetuslah kezaliman, berlakulah kerosakan dan tersebarlah kekacauan di seluruh pelosok muka bumi ini. Ringkasnya di sini dapatlah disimpulkan betapa sifat fasik itu begitu sinonim dan signifikan kepada kerosakan dan kezaliman itu sendiri.

Mungkin timbul pula persoalan mengapa dan bagaimana sifat lupa diri ini boleh wujud dalam diri seseorang manusia. Sebenarnya ada beberapa punca utama yang boleh menyebabkan seseorang lupa diri dalam kehidupannya.

Pertama : Apabila seseorang itu lupa kepada Allah yang selayaknya disembah, dipuji dan dipuja, dipanjatkan doa dan diminta segala pertolongan. Allah SWT jugalah yang menurunkan al-Quran sebagai kitab hidayah dan pedoman kepada umat manusia. Namun, manusia sering ingkar dan angkuh, lalu membelakangkan ajaran al-Quran.

Ketika itu, dia lupa kepada Tuhannya dan mula menempah saat-saat kehancurannya. Hatinya sudah mula menjadi semakin keras dan berkarat dengan timbunan dosa dan tertutup rapat daripada menerima cahaya kebenaran dan seruan taubat ke jalan yang benar.

Oleh itu, dia semakin berani melakukan amalan kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Allah sehingga seluruh detik kehidupannya sarat dengan kegiatan menyalahi syariat . Di samping itu juga, mengikut bisikan iblis dan terpengaruh dengan ajakannya menyempang daripada  landasan yang lurus. Akhirnya, dia termasuk ke dalam golongan penghuni neraka yang disediakan azab yang tiada terperi.

Orang fasik akan berkekalan dengan melakukan dosa-dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, minum arak, berjudi, berzina.

Kedua :  Manusia lupa dirinya ialah lupa akan asal usulnya sebagai hamba dan makhluk Allah SWT. Kisah keangkuhan iblis menjadi bukti nyata hingga menyebabkan iblis lupa diri lalu enggan tunduk patuh kepada perintah Allah SWT agar sujud kepada Nabi Adam. Iblis menganggap bahawa penciptaan dirinya daripada api lebih baik daripada penciptaan Nabi Adam daripada tanah sehingga dia lupa asal-usul dirinya juga adalah hamba dan makhluk Allah. Apabila manusia sudah melupakan dirinya sendiri daripada mana dia datang?, Apa tujuan dia dihidupkan? dan Kemana arah yang akan ditujunya selepas kematian?

Siapakan golongan yang termasuk dikalangan orang-orang fasik?

1. Seorang pemimpin tidak mahu melaksanakan hukum-hukum Allah SWT walaupun dia berkemapuan dan berkuasa untuk melaksanakannya. (jika dia masih percaya hukum-hukum Allah SWT adalah yang paling baik tetapi tidak mahu melaksanakannya dia jadi fasik tetapi jika dia yakin bahawa hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai dilaksanakan dan mempertikaikannya maka dia jatuh murtad)

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)

2. Suka melakukan dosa-dosa besar dan maksiat seperti derhaka kepada kedua ibu bapa, berzina, minum arak. berjudi, melakukan sihir dan membunuh manusia tanpa hak, derhaka (nusyuz) isteri kepada suami dan tidak menutup aurat.

3. Tidak melakukan kewajipan kepada Allah SWT seperti meninggalkan solat, meninggalkan puasa Ramadan, tidak mahu membayar zakat dan tidak mahu mengerjakan haji (walaupun berkemampuan)

4. Suka mengambil harta secara haram  seperti mencuri, mengambil rasuah, makan riba dan makan harta anak yatim dan merampas hak orang lain secara penipuan.

5. Suka mengumpat, membuat fitnah, menuduh wanita atau lelaki yang baik berzina dengan tidak membawa 4 saksi, mengadu domba, suka bersumpah palsu dan menjadi saksi palsu dimahkamah.

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali orang yang bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nuur ayat 4-5).

6. Berkekalan dengan melakukan dosa-dosa kecil . Dosa kecil yang menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

Allah SWT  berfirman, maksudnya: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui." (Surah Ali Imran ayat 135)

Mengenai tindakan sesetengah di antara kita yang menganggap remeh dosa, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seseorang mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat orang fasik maka apakah pandangan Islam terhadap mereka ?

Dalam Islam orang fasik tidak dibenarkan melaksanakan beberapa tugas seperti dibawah :

1. Tidak layak menjadi khalifah atau pemimpin negara.
(Orang mukmin perlu pastikan pemimpin yang ingin dipilih tidak mempunyai ciri-ciri orang fasik)

2. Tidak layak menjadi mufti, hakim, qadi atau juru nikah.

3. Tidak layak menjadi saksi dalam hukum hudud, saksi nikah dan saksi perjanjian muamalah dalam Islam.

4. Tidak layak menjadi wali nikah (qadi /juru nikah perlu mencari wali lain yang bersesuaian menggantikan wali yang fasik)

5. Tidak layak menjadi imam solat berjemaah

Apakah kedudukan orang fasik di hari akhirat?

Sekiranya seseorang mempunyai ciri-ciri orang fasik dan dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan tidak minta maaf sesama manusia di atas perbuatan zalim dan kejahatannya sesama manusia ketika di dunia maka dia akan dimasukkan kedalam neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan adapun orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka adalah neraka." (Surah as-Sajdah ayat 20)

Jika terdapat pada diri kita ciri-ciri orang fasik maka janganlah bertangguh-tangguh lagi teruskanlah bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Daripada Anas bin Malik r.a katanya : "Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman: 'Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.'

'Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.'

'Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.'

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Thursday, September 22, 2011

Hayatilah Lima Ciri-ciri Orang Bijaksana

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kata-kata hikmah yang dituturkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah satu kata-kata nasihat yang cukup bermakna dan memberi kesan kepada hati-hati kita untuk diamalkan.

Saidina Uthman bin Affan r.a berkata : "Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:

Pertama : Hatinya selalu berniat suci.

Kedua : Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.

Ketiga : Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).

Keempat : Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah.

Kelima : Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia."

Huraiannya :

Pertama : Hatinya selalu berniat suci.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama.."
(Surah al-Bayyinah ayat 5)

Dalil lain membuktikan tentang wajibnya niat ialah ijmak ulama iaitu kata sepakat daripada imam-imam mujtahid yang hidup dalam satu zaman, dan tidak seorang pun daripada mereka yang membantah tentang wajibnya niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT di dalam setiap ibadah yang dilaksanakan.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila hati sentiasa berniat suci, bersih daripada riak, sombong dan takbur maka inilah yang membawa nilai kepada amalan seseorang muslim itu.

Kedua : Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.

Orang mukmin yang bijaksana sentiasa membasahkan lidahnya dengan memuji dan memuja Allah SWT, menyebut nama-Nya yang mulia setiap masa siang dan malam.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah al-Insan ayat 25-26)

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 205)

Dari Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda  :

الحمد لله تملأ الميزان,وسبحان الله والحمد لله تمللآن أو تملأ ما بين السماوات والأرض

Maksudnya : "Alhamdulillah memenuhi Mizan, dan Subhanallah serta Alhamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada diantara langit dan bumi." (Hadis Riwayat  Muslim).

Ketiga : Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Dari Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah SAW.  yang mana dia menyatakan tujuannya : "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat". Maka baginda SAW telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa yang engkau kehendak."

Dia berkata : "Siapa yang terselamat daripada dosa?"

Baginda S.A.W menjawab : "Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan."

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefarduan yang telah difardhukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :"Bahawa tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Keempat : Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah.

Allah SWT. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu.Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah SWT akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kemalangan jalan raya, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi ujian maka Allah SWT akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah SWT terhadap hambanya yang dikasihi.

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. "
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia. Orang mukmin akan sentiasa bersifat sabar, tenang dan istiqamah walaupun menghadapi berbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan dan perjuangan.

Kelima : Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

Kehidupan di dunia merupakan permainan dan senda gurau. Ada kalanya menang ada kalanya kalah. Susah dan senang silih berganti. Senangnya merupakan kesenangan yang menipu, sedihnya merupakan kesengsaraan sementara. Itulah di namakan kehidupan di alam fana. Sungguh berbeda dengan kehidupan sejati dan abadi di akhirat  nanti. Barangsiapa senang, maka ia akan selamanya senang (Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan ini). Barangsiapa menderita, maka ia akan menderita selamanya (na’udzu billahi min zalik).

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu." (Surah Muhammad ayat 36)

Apabila kalian merasai kesukaran dan menghadapi banyak masaalah hidup di dunia ini, janganlah berputus asa dan rasa kecewa kerana sesungguhnya Allah SWT adalah tempat bergantung dan tempat di letakkan sepenuh pengharapan. Berdoalah bersungguh-sungguh kepada-Nya.

Allah SWT menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada menusia, dan dapat menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.

Sabda Rasulullah SAW :

كن في الدنيا كأنك غريب أو عابر سبيل, إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح, وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء, مثلي والدنيا كمسافر جلس يستظل تحت شجرة ثم قام وتركها

Maksudnya; "Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya. "

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan 5 perkara  ciri-ciri orang yang bijaksana seperti kata-kata Saidina Uthman bin Affan r.a . Orang yang bijaksana adalah orang mukmin yang niat hatinya semata-mata kerana Allah SWT, sentiasa berzikir kepada Allah SWT, sentiasa menitiskan air mata penyesalan, bersabar dengan dugaan dan mengutamakan akhirat lebih daripada kehidupan di dunia yang fana ini. Berfikiran jauh, yakin dengan janji-janji Allah SWT, tidak mudah kecewa di dunia ini apabila di uji dengan kesusahan dan kemiskinan.

Wednesday, September 21, 2011

Cara-cara Bayaran Fidyah Untuk Mereka Yang Meninggalkan Puasa

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat ramai dikalangan sahabat-sahabat kita bertanya mengenai fidyah yang wajib dibayar apabila meninggalkan puasa dan juga cara kiraan fidyah yang diwajibkan dibayar apabila puasa yang ditinggalkan melebihi tahun berikutnya. Di bawah ini dihuraikan berpandukan tafsiran Jalalain dan pendapat ulama-ulama fiqah untuk rujukan kita bersama.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 184 :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (184)

Maksudnya : "(iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): Memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 184)

Pada ayat 184 dan permulaan ayat 185, Allah SWT menerangkan bahwa puasa yang diwajibkm itu ada beberapa hari yaitu pada bulan Ramadan menurut banyaknya hari bulan Ramadan itu (29 atau 30 hari).

Nabi Besar Muhammad SAW  semenjak turunnya perintah puasa sampai wafatnya, baginda selalu berpuasa di bulan Ramadan selama 29 hari kecuali satu kali saja yang genap 30 hari.

Sekalipun Allah SWT. telah mewajibkan puasa pada bulan Ramadan kepada semua orang-orang yang beriman, akan tetapi Allah Yang Maha Bijaksana memberikan keringanan kepada orang-orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa pada waktu itu dan menggantinya pada hari-hari lain di luar bulan Ramadan. Pada ayat tersebut tidak diperincikan jenis/sifat dan ukuran tentang kadar dan musafir itu, sehingga para ulama memberikan hasil ijtihadnya masing-masing antara lain sebagai berikut:

(a).Dibolehkan tidak berpuasa bagi setiap orang yang sakit dan musafir tanpa membedakan sakitnya itu berat atau ringan demikian pula perjalanannya, jauh atau dekat, sesuai dengan bunyi ayat ini. Pendapat ini dipelopori oleh Ibnu Sirin dan Daud Az-Zahiri.

(b).Dibolehkan tidak berpuasa bagi setiap orang yang sakit yang benar-benar merasa kesukaran berpuasa, kerana sakitnya. Ukuran kesukaran itu diserahkan kepada rasa tanggung jawab masing-masing. Pendapat ini dipelopori oleh sebagian ulama tafsir.

(c).Dibolehkan tidak berpuasa bagi orang yang sakit dan musafir dengan ketentuan-ketentuan, apabila sakit itu berat dan akan mempengaruhi keselamatan jiwa atau keselamatan sebagian anggota tubuhnya atau menambah sakitnya bila ia berpuasa; dan juga bagi orang-orang yang musafir, apabila perjalanannya itu dalam jarak jauh, yang ukurannya paling sedikit ialah 16 farsakh (kurang lebih 89 km).

(d).Tidak ada perbedaan pendapat mengenai perjalanan musafir, apakah dengan berjalan kaki, atau dengan apa saja, asalkan tidak untuk mengerjakan perbuatan maksiat.

Sesudah itu Allah menerangkan lagi pada pertengahan ayat 184 yang terjemahannya: "Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin."

Menurut bunyi ayat itu, barangsiapa yang benar-benar merasa berat menjalankan puasa, maka ia boleh menggantinya dengan fidyah, walaupun ia tidak sakit dan tidak musafir.

Termasuk orang-orang yang berat mengerjakan puasa itu ialah:

(a).Orang tua yang tidak mampu berpuasa, bila ia tidak berpuasa diganti dengan fidyah.

(b).Wanita hamil dan yang sedang menyusui bayi.

(c).Orang-orang sakit yang tidak sanggup berpuasa dan penyakitnya tidak ada harapan akan sembuh, hanya diwajibkan membayar fidyah.

(d).Mengenai buruh dan petani yang penghidupannya hanya hasil kerja keras dan membanting tulang setiap hari, dalam hal ini ulama feqah mengemukakan pendapat sebagai berikut:

(1).Imam Al-Azra`i telah memberi fatwa "sesungguhnya wajib bagi orang-orang pengetam padi dan sebagainya dan yang serupa dengan mereka, berniat puasa setiap malam Ramadan. Barang siapa (pada siang harinya) ternyata mengalami kesukaran atau penderitaan yang berat, maka ia boleh berbuka puasa. Dan kalau tidak demikian, ia tidak boleh berbuka."

(2).Kalau seseorang yang pencariannya tergantung kepada suatu pekerjaan berat untuk menutupi keperluan hidupnya atau keperluan hidup orang-orang yang harus dibelanjainya di mana ia tidak tahan berpuasa maka ia boleh berbuka di waktu itu (dengan arti harus berpuasa sejak pagi).

Kemudian pada akhir ayat 184 ini Allah menjelaskan bahawa barangsiapa yang dengan rela hati mengerjakan kebajikan dengan membayar fidyah lebih dari ukurannya atau memberinya makan lebih dari seorang miskin, maka perbuatan itu baik baginya. Sesudah itu Allah SWT menutup ayat ini dengan menekankan bahawa berpuasa itu lebih baik daripada tidak berpuasa.

Dalam Tafsir Jalalain  ayat 184 Surah al-Baqarah menyatakan :

"(Beberapa hari) manshub atau baris di atas sebagai maf`ul dari fi`il amar yang bunyinya diperkirakan 'shiyam' atau 'shaum' (berbilang) artinya yang sedikit atau ditentukan waktunya dengan bilangan yang telah diketahui, yakni selama bulan Ramadan sebagaimana yang akan datang nanti.

Dikatakannya 'yang sedikit' untuk memudahkan bagi mualaf. (Maka barangsiapa di antara kamu) yakni sewaktu kehadiran hari-hari berpuasa itu (sakit atau dalam perjalanan) maksudnya perjalanan untuk mengerjakan puasa dalam kedua situasi tersebut, lalu ia berbuka, (maka hendaklah dihitungnya) berapa hari ia berbuka, lalu berpuasalah sebagai gantinya (pada hari-hari yang lain.)

(Dan bagi orang-orang yang) (tidak sanggup melakukannya) disebabkan usia lanjut atau penyakit yang tak ada harapan untuk sembuh (maka hendaklah membayar fidyah) yaitu (memberi makan seorang miskin) artinya sebanyak makanan seorang miskin setiap hari, iaitu satu gantang/mud dari makanan pokok penduduk negeri. Menurut satu qiraat, dengan mengidhafatkan 'fidyah' dengan tujuan untuk penjelasan. Ada pula yang mengatakan tidak, bahkan tidak ditentukan takarannya.

Di masa permulaan Islam, mereka diberi kesempatan memilih, apakah akan berpuasa atau membayar fidyah. Kemudian hukum ini dihapus (mansukh) dengan ditetapkannya berpuasa dengan firman-Nya. "Maka barangsiapa di antara kamu yang menyaksikan bulan, hendaklah ia berpuasa." Kata Ibnu Abbas, "Kecuali wanita hamil dan yang sedang menyusui, jika berbukanya itu disebabkan kekhawatiran terhadap bayi, maka membayar fidyah itu tetap menjadi hak mereka tanpa nasakh."

(Dan barangsiapa yang secara sukarela melakukan kebaikan) dengan menambah batas minima yang disebutkan dalam fidyah tadi (maka itu) maksudnya berbuat tathawwu` atau kebaikan (lebih baik baginya. Dan berpuasa) menjadi mubtada', sedangkan khabarnya ialah, (lebih baik bagi kamu) daripada berbuka dan membayar fidyah (jika kamu mengetahui) bahawa berpuasa lebih baik bagimu, maka lakukanlah."

Sahabat yang dimuliakan,
Qadak puasa Ramadan pada tahun ini adalah wajib ditunaikan terlebih dahulu sebelum datangnya bulan Ramadan tahun hadapan. Kerana hutang puasa wajib adalah kita berhutang dengan Allah SWT, oleh kerana kita tidak tahu saat kematian maka jika mempunyai masa dan kelapangan janganlah diangguh-tangguh perkara wajib untuk dilaksanakan. Tidak digalakkan puasa sunat Isnin dan Khamis jika kita belum qadak puasa wajib yang ditinggalkan.

Jika kita tidak mengqadakkan puasa tahun ini sehingga datang Ramadan tahun hadapan ini bermakna kita wajib mengqadakkan puasa yang ditinggalkan dan membayar fidyah kepada fakir miskin dengan kadar secupak beras untuk setiap hari puasa yang ditinggalkannya.

Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin atau pun digantikan dengan nilai mata wang masa kini.

Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. Tahun berikutnya digandakan mengikut tahun (lihat contoh mudah di bawah ini).

Persoalan yang pertama, banyak mana sebenarnya ukuran secupak beras?

Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi tidak sampai satu kilo.

Dalam hal ini, satu perkara perlu diberi perhatian, iaitu membayar lebih tidak mengapa, membayar kurang jangan sekali.

Mengikut kiraan semasa 1kilo beras harganya bersamaan dengan rm 2.60

Jika kita ambil kiraan secupak beras (556gm) = 2.60 x 0.556 = rm 1.45

Oleh itu secara kasar harga untuk dibayar secupak beras adalah rm 1.50

Persoalan yang kedua, kepada siapa seelok-eloknya kita perlu membayar fidyah?

Ada pendapat yang mengatakan bayar fidyah lebih afdal terus kepada fakir miskin, daripada melalui amil yang dilantik.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa lebih afdal membayar fidyah melalui amil, kerana amil telah dilantik dengan cara tertentu oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, bukan senang hendak mencari fakir miskin di kawasan tempat tinggal kita.

Bagaimana pun menurut Imam Shafie, ikut mana-mana pendapat yang dirasakan sesuai kecuali apabila ditentukan oleh mufti negeri masing-masing. Dalam hal ini mufti hendaklah diutamakan.

Sekarang ini terdapat masjid-masjid yang telah mengadakan kutipan wang fidyah untuk diberikan kepada fakir miskin. Cara ini amat memudahkan orang ramai yang ingin membayar fidyah (wang denda)

Persoalan yang ketiga, berapakah nilai pendapatan yang boleh diklasifikasikan sebagai fakir miskin?

Nilai fakir sebenarnya boleh diukur begini. Ambil RM10 untuk buat pengukuran. Andaikan seseorang itu memerlukan RM10 sehari untuk perbelanjaan harian, termasuk diri sendiri dan tanggungan di bawahnya.

Sekiranya pendapatannya sehari cuma RM3. Maka dia adalah seorang fakir. Sekiranya pendapatannya RM7, maka dia adalah seorang yang miskin.

Sekiranya pendapatannya RM10, maka dia seorang yang sederhana. Sekiranya pendapatannya RM12, maka dia seorang yang berada. Sekiranya pendapatannya RM18, maka dia seorang yang kaya.

Persoalan yang keempat, selepas bayar fidyah, adakah saya bebas dari hutang puasa?

Tidak, belum lagi. Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diqadak (diganti), dalam nisbah dan kadar yang sama, iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari qadak. Jumlah fidyah meningkat mengikut tahun, tetapi bilangan puasa tetap sama.

Contoh mudah (seperti yang dinyatakan di awal artikel):
 1. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas, bayar 1 cupak.
 2. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas, bayar 2 cupak.
 3. Tinggal puasa 1 hari 2 tahun lepas, bayar 2 cupak.
 4. Tinggal puasa 2 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
 5. Tinggal puasa 1 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 3 cupak.
 6. Tinggal puasa 2 hari tahun lepas dan 1 hari 2 tahun lepas, bayar 4 cupak.
 7. Tinggal puasa 7 hari tahun lepas dan 7 hari 2 tahun lepas dan 7 hari 3 tahun lepas, (7 + 14 + 21) bayar 42 cupak.

Dalam kes ke 7, seseorang yang telah meninggalkan puasa selama 3 tahun adalah 21 hari, wajib diqadakkan adalah 21 hari puasa qadak dan wajib membayar fidyah sebanyak 42 cupak (42 x rm 1.50 = rm 63.00)

Kesimpulannya, darabkan jumlah hari dengan jumlah tahun lalu (berasingan mengikut tahun) dan kemudian tambahkan kesemua tahun-tahun ini, maka dapatlah jumlah cupaknya.

Mudah bukan? Kalau dapat, cuba kira bayaran fidyah yang wajib dibayar oleh seseorang yang tidak pernah berpuasa selama 40 puluh tahun hidup di atas muka bumi Allah maka kalian bolehlah buat kiraan berdasarkan formula tersebut di atas.

Sahabat yang dikasihi.
Marilah sama-sama kita mematuhi setiap hukum-hakam yang datangnya daripada Allah SWT. Melaksanakan semua yang wajib dan meninggalkan semua yang haram, makruh dan syubhat. Kita pertingkatkan amal kita dengan memperbanyakkan amalan sunat, kerana amalan sunat ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT untuk menjadi orang-orang yang bertakwa. Jika kita masih ada puasa qadak yang belum ditunaikan maka percepatkanlah berpuasa terutama yang ditinggalkan beberapa tahun yang lalu dan kiralah dengan tepat atau lebihkan sedikit bayaran fidyah sekiranya perlu dibayar fidyah. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita di dunia ini semata-mata mencari keredaan-Nya.

Tuesday, September 20, 2011

Tafsir Surah Al-Furqan Ayat 10

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

تَبَارَكَ الَّذِي إِنْ شَاءَ جَعَلَ لَكَ خَيْرًا مِنْ ذَلِكَ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَيَجْعَلْ لَكَ قُصُورًا (10

Maksudnya : "Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya Dia jadikan bagimu yang lebih baik daripada itu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir dibawah sungai-sungai, dan Dia jadikan (pula) istana-istana untukmu." (Surah al-Furqan ayat 10)

Asbabun Nuzul ayat 10.

Khaitsamah r.a meriwayatkan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Rasulullah SAW yang pernah ditawarkan Jibril (atas perintah Allah),"Jika mahu, Kami akan memberimu kunci perbendaharaan bumi tanpa mengurangi nikmatmu di akhirat. Atau jika kamu mahu, keduanya akan Kami gabungkan untukmu di akhirat". Rasulullah SAW pun menjawab,"Gabungkan sahaja keduanya di akhirat kelak." (Hadis RiwayatIbnu Abi Syaibah, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim)


Sahabat yang dimuliakan,
 Suatu ketika Jibril sedang bersama baginda, dan tiba-tiba datang seorang malaikat yang lain. “Aku khuatir, jangan-jangan ia membawa sebuah tugas untukku,” kata Jibril. 

Tetapi  malaikat itu terus berjalan menuju Rasulullah SAW  dan kemudian berkata, “Salam daripada Allah untukmu, Muhammad. Saya membawa kunci-kunci perbendaharaan bumi untuk engkau. Jika engkau mahu, ambillah, nescaya semua yang ada di bumi ini akan menjadi emas dan perak. Semua itu akan abadi bersamamu hingga hari kiamat, dan tidak mengurangi sedikit pun dari apa yang akan engkau peroleh di sisi Allah.”

Mendengar hal itu, Rasulullah SAW tidak terpengaruh oleh tawaran duniawi dari Allah SWT melalui malaikat tersebut. 

Baginda menjawab, “Biarlah saya terkadang lapar dan terkadang merasa kenyang.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kerana kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia, agar kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih dekat." (Surah Thaha ayat 131)

Para Nabi dan Rasul tersebut sentiasa menghindarkan diri jangan sampai menikmati kelazatan yang mungkin mereka ambil daripada kurnia Allah SWT. Mereka berkeyakinan bahawa segala bentuk nikmat yang datang adalah medan ujian yang maha berat daripada Allah SWT. Mereka lebih suka menikmati zikir dan ibadah kepada-Nya.

Mereka tidak pernah terpikat dengan kekayaan yang mereka miliki, sehingga tidak pernah pula merasa berduka jika kekayaan itu lenyap dari tangan mereka. Juga tidak merasa gembira dengan kekayaan tersebut, sehingga tidak perlu berfikir panjang jika hendak memberikannya kepada orang lain.

Menurut ahli tafsir Abu Said Kharraz, mereka adalah seperti yang difirmankan Allah SWT, yang bermaksud: “Mereka  itulah (para Nabi) yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutlah petunjuk mereka..."(Surah al-An’am ayat 90)

Tafsirannya :

Kemudian sebagai hiburan kepada Nabi SAW yang selalu dihina dan direndahkan oleh orang-orang kafir itu, Allah menjelaskan bahawa kalau Dia menghendaki nescaya Dia akan memberikan kepadanya kebun-kebun yang lebih baik dari yang disuruh minta oleh orang-orang kafir itu dan akan memberikan pula istana-istana yang paling megah dan indah. 

Hal itu adalah amat mudah bagi Allah SWT tetapi bukan demikian yang dikehendaki-Nya. Allah menghendaki yang lain dengan hikmah kebijaksanaan-Nya, Allah SWT menghendaki agar Rasul pembawa Risalah-Nya sebagai manusia biasa yang menjadi ikutan dan suri teladan bagi umatnya dalam memperjuangkan suatu cita-cita, memperjuangkan kebenaran dan memperjuangkan kalimat Allah. 

Di samping perjuangan yang maha berat itu dia harus pula memikirkan keperluan dan hajat peribadinya. Begitulah seharusnya seorang Rasul yang akan menjadi contoh dan teladan. 

Kalaulah Nabi Muhammad SAW itu seorang kaya mempunyai kebun-kebun dan istana serta perbendaharaan yang berlimpah-limpah tentulah tidak akan sebesar itu nilai perjuangannya dan tentulah tidak akan dapat dicontoh oleh pengikut-pengikutnya di belakang hari. 

Apa erti istana, apa erti kebun-kebun dan apa erti perbendaharaan yang berlimpah-limpah bila seorang berhadapan dengan Khaliknya Yang Maha Kuasa Maha Kaya dan Maha Perkasa? 

Demikianlah Nabi Muhammad SAW  reda dengan keadaannya. Biar miskin lemah menerima berbagai hinaan dan cemoohan kaumnya, tetapi dia senang dan bahagia kerana dia mengemban tugas suci dari Tuhannya. Pernah baginda berkata: "Ya Tuhanku apapun yang terjadi pada diriku dan bagaimanapun beratnya penderitaanku tetapi aku tetap bahagia selama Engkau reda terhadapku."

Sahabat yang dikasihi,
Begitu mulia dan sucinya hati Rasulullah SAW, menolak tawaran Allah SWT untuk diberikan kunci perbandaraan bumi kepada baginda sebagaimana Allah SWT pernah berikan kepada Nabi Sulaiman a.s. Baginda tidak mahu diri baginda dan umatnya terlalu seronok dengan kenikmatan dunia hingga melupakan kehidupan di hari akhirat. Dunia ini adalah tempat persinggahan semata-mata, walaubagaimana hebat sekalipun nikmat dunia ianya tetap tidak kekal dan akan ditinggalkan oleh manusia. Akhiratlah tempat akhir kehidupan manusia dan syurgalah tempat yang kekal abadi untuk orang-orang bertakwa.

Dengan rasa rendah diri Nabi SAW menolak tawaran malaikat daripada Allah SWT dengan berkata “Biarlah saya terkadang lapar dan terkadang merasa kenyang.”

Inilah contoh peribadi mulia, bersifat zuhud, tawaduk dan qanaah yang perlu menjadi ikutan untuk setiap muslim mukmin sebagai umat baginda yang ingin berjaya di dunia dan akhirat.
Anggaplah dunia ini tempat pelaburan (harta-benda, masa, tenaga dan amal soleh) yang mana di akhiratlah tempat kita mengambil dividen dan keuntungannya.

Monday, September 19, 2011

Wanita Muslim Wajib Menutup Aurat dan Tidak Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A’raaf ayat 26)

Batas aurat untuk wanita muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ( 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada:
* suami mereka atau
* bapa mereka atau
* bapa mertua mereka atau
* anak-anak mereka, atau
* anak-anak tiri mereka atau
* saudara-saudara mereka atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
* perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau
* orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
* kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)

Berdasar ayat diatas wanita muslim hanya boleh membuka aurat kepada 11 golongan sahaja  sedangkan golongan dibawah tidak boleh dibuka auratnya (walaupun terdiri daripada saudara maranya)

1. Suami kepada ibu saudara.

2. Sepupu lelaki.

3. Abang ipar (suami kepada kakaknya)

4. Adik ipar (suami kepada adiknya)

5. Semua lelaki yang bukan mahramnya.

Wanita muslim perlu juga mengambil perhatian mereka tidak boleh bersalaman dengan 5 golongan tersebut di atas kerana mereka bukan mahramnya. Hanya dengan mahram sahaja boleh bersalaman. Kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat mereka dirumah kepada kaum keluarga yang bukan mahram dan suka bersalaman dengan mereka dengan tujuan menjaga hati mereka sedangkan bersalaman dengan bukan mahram haram hukumnya.

Bilakah bermulanya wanita muslim diwajibkan menutup aurat?

Wanita muslim diwajibkan menutup aurat adalah ketika mencapai usia akil baligh.

Untuk wanita usia akil baligh adalah wanita yang berakal dan cukup umur dan telah datang haid. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun dan sudah wajib menunaikan perintah Allah SWT. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan.

Apakah jenis-jenis pakaian wanita yang dikira tidak menutup aurat seperti kehendak agama?

1. Pakaian yang dipakai terlalu nipis hingga menampakkan bayangan warna kulit.

2. Tudung yang dipakai terlalu nipis dan tidak menutup dada-dada mereka.

3. Baju dan seluar yang dipakai terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badan dan peha mereka.

4. Tudung yang dipakai hanya membelit leher mereka dan tidak dilabukkan ke dada mereka.

5. Sebahagiannya memakai tudung tetapi memakai baju kemeja T, hingga menampakkan lengan tangan mereka dan memakai seluar yang ketat.

Wanita boleh berfesyen dan bercorak untuk tudung dan baju kurung , baju maxi atau jubah tetapi biarlah labuh dan menutup keseluruhan tubuh dan jangan menampakkan bentuk badan dan menutup sebahagian besar dada-dada mereka kerana disitulah terletak perhiasan wanita. Jika bercadang nak memakai seluar biarlah seluar yang labuh bukan seluar jeans atau slack.

Firman Allah SWT maksudnya : ”Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, 'hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka (memakai baju yang labuh dan longgar)'. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59).

Asbabun Nuzul ayat 59.

Aisyah r.ha. menceritakan bahawa peristiwa ini terjadi setelah turunnya ayat hijab. Suatu saat Saudah r.ha, salah satu isteri Rasulullah , keluar rumah untuk suatu urusan. Umar bin al-Khattab r.a melihat Saudah r.ha dan bertanya, 'Mengapa kau keluar rumah?' Saudah r.ha bergegas pulang ia menemui Rasul dan berkata, 'Rasulullah , aku keluar rumah untuk suatu urusan. Namun Umar menegurku'. Atas hal itu, turun ayat ini.Lalu Rasul bersabda, "Sesungguhnya Allah telah mengizinkan kamu keluar rumah untuk sesuatu urusan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Jika semua wanita muslim yang telah sampai usia akhil baligh menutup auratnya, menjaga pergaulan dengan lelaki yang bukan mahram, tidak mendekati zina dan sentiasa menjaga adab-adab dan akhlak Islam maka masyarakat akan mempunyai suasan yang baik dan tidak mungkin berlaku gejala sosial dan melahirkan ramai anak-anak tidak sah taraf. Islam amat tegas dalam menjaga aurat dan kehormatan kaum wanita kerana wanita adalah aset penting untuk melahirkan keluarga muslim dan masyarakat Islam yang mampu mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT.  Tanpa ada wanita sebagai ibu dan isteri solehah tidak mungkin keluarga muslim, masyarakat Islam dan daulah Islamiah dapat dilahirkan dalam negara kita.

Oleh itu wahai lelaki mukmin kalian bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kaum wanita yang berada didalam tanggungan kalian (isteri-isteri, anak-anak perempuan, adik dan kakak dan ibu) sentiasa menutup auratnya dan berakhlak dengan akhlak Islam. Gunakan cara hikmah dan perkataan yang baik untuk menasihati mereka supaya mereka sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Sunday, September 18, 2011

Siapakah Yakjuj dan Makjuj Tanda Besar Kiamat?

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa dan saat kedatangan hari kiamat hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui , semua makhluk samaada malaikat, manusia dan jin tidak tahu bila saat datangnya hari kiamat.

Walaubagaimana pun Nabi SAW dalam hadis sahih ada menjelaskan tanda-tanda awal dan tanda-tanda besar kiamat akan berlaku dahulu sebelum kedatangan hari kiamat. Sebagai seorang muslim mukmin kita wajib percaya dan beriman kepada berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW.

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:
“Datang kepada kami Rasulullah SAW. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.

Lalu Nabi SAW. bersabda:
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat 10 tanda-tanda besar akan berlaku dimuka bumi, dan setelah iannya berlaku maka akan datanglah hari kiamat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :

1. Asap (dukhan) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit seperti selesema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.

2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

3. Dabbah, binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah SWT.

4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Pada saat itu Allah SWT tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.

5. Turunnya kembali Nabi Isa a.s. Baginda akan mendukung pemerintahan Imam Mahdi yang berdaulat pada masa itu dan baginda akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian, membunuh babi dan baginda juga yang akan membunuh Dajjal.

6. Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

7. Gempa bumi di Timur.

8. Gempa bumi di Barat.

9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.

10. Api besar yang akan keluar dari Yaman.

 Huraiannya :

Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah baginda turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.

Perbincangan kali ini kita cuba fokus kepada perkara ke 6 tanda-tanda besar kiamat iaitu
"Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj" yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah telah berfirman: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu. (Surah Fussilat 41: 53)

Allah menceritakan kisah lelaki itu (Zulkarnain) seperti firman-Nya dalam surah itu: “Dan mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: ‘Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya’. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan.Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: ‘Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka’. Berkata Zulkarnain: ‘Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya’.” (Surah Al-Kahfi ayat 83 hingga 87)

“Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,” (Surah Al-Kahfi ayat 89 dan 90).

Yakjuj dan Makjuj tinggal di antara dua gunung :  

"Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka (Zulkarnain) tidak dapat memahami perkataan. "(Surah Al-Kahfi ayat 93)

Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di bumi :  

"Mereka berkata: 'Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?'." (Surah Al-Kahfi ayat 94)

Zulkarnain telah menahan Yakjuj dan Makjuj :  

"Dia menjawab: '(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya'. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya."(Surah Al-Kahfi ayat 95 - 97)

Yakjuj dan Makjuj akan keluar kembali :  

"(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: 'Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar'.". (Surah Al-Kahfi ayat 98)

Yakjuj dan Makjuj turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi :
Dikhabarkan di dalam Al Quran bahawa Yakjuj dan Makjuj akan turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

"(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): "Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri". (Surah Al-Anbiyaa’ ayat 96 - 97)

Hadis Nabi SAW :
Dinding Zulkarnain menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka :

Dari Zainab binti Jahsy : Bahawa Rasulullah bangun dari tidurnya sambil bersabda: "Laa ilaaha illallah, celakalah orang-orang Arab kerana suatu bencana akan terjadi, iaitu hari ini dinding menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka sebesar ini. Dan Sufyan (perawi hadis ini) melingkarkan jarinya membentuk angka sepuluh (membuat lingkaran dengan jari telunjuk dan ibu jari). Aku (Zainab binti Jahsy) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kita semua akan binasa padahal di antara kita banyak terdapat orang-orang soleh? Baginda menjawab: "Ya, jika banyak terjadi kemaksiatan." (Hadis Riwayat Muslim)

Selain dari berita Yakjuj dan Makjuj dalam Al-Quran, terdapat banyak
hadis yang kuat membicarakan mengenai kaum ini. Namun ulama berbeza pendapat mengenai ciri-ciri kaum ini.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj ialah bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah. Ada pendapat lain menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj berasal dari bangsa Tartar dan Monggol, dan lokasi tahanan mereka adalah di kawasan pergunungan Caucasus yang luas. Kebanyakan ulama menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah dengan tembok yang dibina oleh Zulkarnain.

“Tugas kaum Yakjuj dan Makjuj ini ialah mengorek tembok tersebut untuk tembus ke muka bumi tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan tembok tersebut sehinggalah hampirnya hari kiamat. Bila hampir kiamat, Allah mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj Makjuj bebas ke permukaan bumi. Peristiwa ini menjadi salah satu daripada 10 tanda besar kiamat. Yakjuj dan Makjuj akan muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Kaum Yakjuj dan Makjuj akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan mereka.

“Nabi Isa a.s. memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj. Kemudian baginda berdoa ke hadrat Allah lalu Allah membinasakan kaum Yakjuj dan Makjuj dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan mereka hingga mati. Selepas kaum Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat-mayat itu daripada muka bumi.

“Ulama juga cenderung berpendapat bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj berasal dan di kurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran Ayat 90 Surah Al-Kahfi yang menyebut bahawa Zulkarnain sampai “di tempat terbit matahari” iaitu timur dunia.

Kaum Yakjuj dan Makjuj ini hebat, tiada siapa yang mampu menewaskan mereka, dan mereka hanya binasa dengan kekuasaan Allah.

“Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan kebimbangan baginda kerana pada zaman baginda, kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan jari telunjuk.

Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj? Dari sumber Al-Quran dan Hadis, ternyata bahawa mereka ini adalah dari bangsa manusia. Jelasnya, mereka adalah anak-anak Adam juga. Mereka adalah dari keturunan Yafits bin Nuh a.s.

Yahjuj dan Makjuj adalah amat kuat dan gagah dan tidak mampu dikalahkan oleh
manusia di muka bumi. Diriwayatkan juga bahawa mereka ini punya muka yang lebar, mata kecil, rambutnya kelabu keputihan dan muka mereka adalah seperti perisai yang ditutupi oleh kulit. (Musnad Ahmad).

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa pada setiap hari Yakjuj dan Makjuj cuba menggali atau memecahkan tembok Zulkarnain hinggalah mereka sampai ke peringkat bila mana mereka sudah nampak cahaya di luar sana. Kemudian mereka pulang dengan berkata “Esok kita akan dapat membolosinya”. Tapi Allah telah menjadikan tembok itu kembali ke bentuk asalnya menyebabkan mereka terpaksa menggalinya sedari mula. Proses ini berterusan hari demi hari selama mana Allah menghendaki mereka ini terkepung. Bila Allah menghendaki mereka ini keluar, di hujung hari mereka menggali itu mereka berkata “InsyaAllah, esok kita akan dapat membolosinya”. Pada esoknya mereka akan dapati tembok itu berkeadaan sebagaimana mereka
telah tinggalkan hari semalam, dan setelah memecahkan bakinya itulah
mereka akan keluar (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidhi, Ibn Majah).

Sahabat yang dikasihi,
Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain. Dalam rentetan perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila dunia terlalu hampir dengan kiamat..

Ada pendapat yang meneliti dengan lebih terperinci. Sheikh
Hifzur-Rahman dalam “Stories of the Quran” telah menuliskan bahawa “Yakjuj Makjuj melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di kawasan yang luas, dan kerana gangguan mereka ini, banyak tembok dan dinding telah dibina di zaman dan tempat yang berlainan oleh raja-raja zaman silam. Ada empat yang paling terkenal:

1) Tembok Besar China, dibina oleh Raja China 3,460 tahun selepas Nabi Adam a.s.
2) Tembok di Asia Tengah berhampiran Bukhara dan Tirmidh, di tempat bernama Derbent.
3) Tembok di Degistan Rusia, juga dikenali sebagai Derbent berhampiran Laut Caspia.
4) Tembok yang berada di bahagian barat Derbent di Degistan Rusia itu, iaitu di kawasan Caucasus.

Beliau berpendapat oleh kerana tembok-tembok di atas dibina untuk tujuan yang sama (melindungi rakyat dari gangguan kaum yang ganas) maka amatlah sukar untuk menentukan secara tepat di manakah sebenarnya tembok yang dibina oleh Zulkarnain. Allama Anwar Shah Kashmiri dalam bukunya Aqeeda-tul-Islam berpendapat bahawa tembok Zulkarnain berada di kawasan Caucasus. Allama Aloosi pula berpendapat bahawa kedudukan tembok Zulkarnain tidak dapat diketahui secara tepat, dan besar kemungkinan ia sebenarnya berada jauh di sebalik gunung-ganang yang dipisahkan oleh laut yang luas.

Menurut satu pendapat mereka (Yahjuj dan Makjuj) adalah terdiri daripada suku bangsa Scythian iaitu suku kaum di Mongolia (Xiongnu, Mongol dan Tartar) dan juga suku kaum di wilayah selatan Russia (Khazar, Aryanomad, Hun Alan). Mungkin orang akan tertanya-tanya iaitu kenapa pada waktu ini masyarakat di sana tidak sedikit pun membuat kekacauan terhadap dunia? Menurut pendapat para pengkaji Islam, Yakjuj dan Makjuj sebenarnya adalah manusia biasa (cucu-cicit Nabi Adam) Jadi kesimpulannya, kehidupan Yakjuj dan Makjuj pada masa kini adalah sama sahaja seperti kita iaitu mempunyai pegangan agama, patuh pada undang-undang negara dan sebagainya.

Untuk pengatahuan semua, masyarakat Mongol dan Khazar (Yakjuj dan Makjuj) sejak turun temurun lagi mengamalkan corak pemakanan yang amat bebas. Mereka akan makan apa sahaja yang mereka mahu seperti ulat, anjing, kucing, labah-labah, katak, ular, kura-kura, daun pokok, usus beruang dan lain-lain (sumber: National Geographic). Kesan daripada corak pemakanan bebas yang diamalkan oleh bangsa ini telah menyebabkan keadaan mereka menjadi agak berlainan sedikit berbanding bangsa-bangsa yang lain. Sifat mereka dikatakan agak sensitif dan tubuh badan mereka pula jauh lebih kuat berbanding bangsa lain tetapi mudah dihinggapi penyakit.

Cuba bayangkan betapa dasyatnya malapetaka akhir zaman kelak (harap ia tidak lagi berlaku semasa hayat kita ini). Ketika bangsa Yakjuj dan Makjuj telah memunculkan dirinya, dunia ketika itu dikatakan baru sahaja hampir pulih daripada kesan tanda kiamat besar yang pertama iaitu kemunculan asap dukhan yang menyelubungi timur dan barat bumi. Asap itu dikatakan akan mengakibatkan orang kafir (tidak berpuasa dan solat) boleh menghidapi penyakit radang manakala orang yang beriman (yang bersolat dan selalu berpuasa) pula hanya menghidapi penyakit selsema sahaja. Asap dukhan itu dikatakan akan menyelubungi bumi dalam tempoh masa yang agak lama, kemungkinan besar asap itu datangnya dari meteor yang akan terhempas ke bumi (wallahualam).

Menurut sumber rujukan, pada akhir zaman kelak segala kecanggihan teknologi akan musnah sama sekali. Segalanya adalah berpunca daripada kesan asap dukhan yang menyelubungi dunia ketika itu (tanda kiamat yang pertama) dan orang kafir pula banyak yang akan mati akibat dari perperangan, wabak penyakit serta kebuluran. Asap dukhan itu dipercayai akan merosakkan segala hasil pertanian dan penternakan sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi kurang! Ini adalah kerana, asap dukhan itu akan menghasilkan hujan asid yang berlarutan sehingga membawa kepada ketandusan dunia. Lihatlah hadis di bawah ini:

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan datang hari kiamat sehingga hujan turun secara merata kepada manusia tetapi bumi tidak menumbuhkan tumbuhan sama sekali” (Hadis Riwayat Ahmad 3:140)

Kesimpulannya. Setelah membaca berbagai sumber hadis dan pendapat ulama di atas tadi, semakin jelaslah pada kita semua bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj ini adalah anak Adam juga, iaitu dari keturunan Yafits bin Nuh a.s. Mereka ini dikatakan berjumlah begitu ramai, umur mereka pun panjang-panjang, membolehkan mereka beranak-pinak begitu ramai sebelum mereka mati. Mereka juga dikatakan begitu kuat dan hebat, hinggakan seluruh manusia di bumi tidak terdaya mengalahkan mereka. Namun mereka akhirnya akan mati bergelimpangan akibat serangan “ulat”.

Walaupun mereka ini hebat dan kuat (hampir pasti juga mereka ini berteknologi canggih), mereka tidak dapat memecahkan tembok Zulkarnain menggunakan segala kepakaran dan teknologi yang ada selagi Allah tidak mengizinkan.Selain daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW, segala pendapat dan huraian mengenai Yakjuj dan Makjuj adalah pendapat dan pandangan ulama dan pakar-pakar dan pengkaji sejarah, semoga Allah SWT memberi rahmat dan pertolongannya dan mengampunkan jika berlaku kesilapan mengenai perkara ini. Segala yang benar itu datangnya daripada Allah SWT, waullahualam.

Sahabat yang dihormati,
Kehadiran Yakjuj dan Makjuj pasti akan berlaku di akhir zaman seperti yang dijelaskan daripada hadis diatas. Semua ini adalah ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dimuka bumi. Sesiapa yang beriman dan bertakwa dan istiqamah diatas jalan Islam maka mereka semua akan selamat, sebaliknya apabila manusia kufur kepada ayat-ayat Allah SWT, melakukan dosa dan maksiat maka manusia akan menanggung akibat daripada keingkarannya kepada Allah SWT. Mohonlah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi daripada fitnah hidup dan mati, fitnah al-Mashi Dajjal, kejahatan Yakjuj dan Makjuj dan azab sengsara dan kerosakkan kehidupan di akhir zaman.