Saturday, May 21, 2011

Hakikat Orang Kaya dan Miskin

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini terdiri daripada berbagai latar belakang kehidupan . Ada yang berpendidikan dan ada yang kurang pendidikan. Ada yang berjawatan tinggi dan ada yang bekerja  sebagai orang bawahan saja. Ada yang kaya raya dengan memiliki harta kekayaan dan ada pula yang menjadi fakir-miskin.

Di sisi Allah SWT kekayaan harta benda bukanlah ukuran  seseorang mendapat kemuliaan di sisi-Nya . Kerana kemuliaan seseorang bergantung kepada ketakwaannya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi  Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat ayat 13)

Untuk mengenal hakikat orang kaya dan miskin yang sebenarnya, terdapat hadis riwayat dari Abu Zar r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadaku : "Wahai Abu Zar, apakah engkau mengira bahawa orang yang banyak hartanya itu adalah orang kaya?"

Saya berkata : "Benar wahai Rasulullah "

Baginda bersabda : "Apakah engkau juga menyangka bahawa orang yang sedikit hartanya itu adalah orang yang fakir.?"

Saya berkata : "Benar wahai Rasulullah."

Baginda pun bersabda : "Bahawa sesungguhnya yang dinamakan kaya itu adalah kaya hati dan fakir itu adalah fakir hati. Oleh itu, sesiapa kaya (merasakan cukup) dalam hatinya maka tidak akan membahayakan dirinya apa yang sedikit dari harta dunia. Sesiapa fakir (merasa kurang) dalam hatinya maka harta dunia yang banyak tidak akan mencukupi baginya. Sesungguhnya yang merosak itu adalah sifat kikir yang ada pada dirinya."

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa hakikat kaya atau fakirnya seseorang itu adalah bergantung pada hatinya. Dan Allah SWT akan menilai dan memandang pada hati seseorang itu dan Allah SWT tidak memandang pada zahir seseorang.

Dari Abu Hurairah, sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada tubuh dan bentuk kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu.” (Hadis Riwayat Muslim no.2564)

Apabila hati seseorang kaya dengan iman dan takwa, sentiasa bersyukur dan sabar, sentiasa berbaik sangka dengan Allah SWT dan reda dengan qadak dan qadar , hatinya merasa cukup dengan pemberian daripada Allah SWT maka hati seperti ini adalah hati yang mulia dan bernilai di sisi Allah SWT walau pun dia seorang yang fakir tidak mempunyai harta kekayaan di dunia ini.

Sebaliknya apabila seseorang yang fakir hatinya iaitu hatinya tidak pernah bersyukur, tidak cukup dengan apa yang dimiliki, lahir sifat tamak haloba, cinta dunia dan bersifat kikir (tidak suka bersedekah dan infak dijalan Allah) maka hati seperti ini adalah hati yang tidak akan cukup walau pun memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah.

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." (Hadis Riwayat Bukhari).

Hadis di atas menjelaskan bahawa  ramai penghuni syurga adalah orang miskin dan penghuni neraka adalah kaum wanita. Orang miskin yang menjadi penghuni syurga adalah orang miskin yang hatinya kaya dengan iman dan takwa dan sentiasa bersyukur dan reda dengan ketentuan Allah SWT. Ramai wanita di neraka menurut hadis yang lain adalah disebabkan mereka tidak bersyukur  dan selalu menderhakai suami mereka dan mereka tidak menjaga kehormatan diri.

Dalam riwayat yang lain ada dinyatakan bahawa di syurga diberitakan kebanyakan penghuni-penghuninya orang yang miskin di dunia, di dalam neraka ramai penghuni-penghuni orang yang  berstatus tinggi di dunia, maksunyanya penghuni neraka ramai pembesar-pembesar, orang yang berkuasa dan orang-orang kaya.

Mengikut logik tentulah yang masuk syurga orang-orang mewah dan serba ada, kerana dengan serba ada mereka mudah dan senang membuat baik dengan manusia dan bersedekah. Tapi berita-berita ini menolak logik kita. Orang yang serba ada nampaknya tidak membuat lebih baik daripada yang miskin.

Tapi mereka membuat baik adalah tujuan dunia dan mencari nama kalau pun mereka membuat baik, pemurah kerana nama, menolong orang minta dipuji, membuat baik minta dikenang jasa, akibatnya kebaikan itu Tuhan tidak terima, kerana upahan mereka sudah terima atau sudah dapat di dunia . Lainlah orang miskin kalau menolong orang akhlaknya ada, bukan kerana nama, bukan kerana glamour, bukan minta kenang jasa, mereka sedar diri siapalah mereka, mereka buat baik, fitrah mereka bersih daripada mencari nama, mereka membuat baik tidak terfikir hendak dikenang jasa.  Mereka rasa orang hina tidak seperti orang yang ada statusnya, tidak hairanlah orang miskin ramai didalam syurga, orang yang tinggi kedudukan didunia seperti orang kaya ramai ke neraka, oleh itu kalau kita serba mewah dan berada berkhidmatlah dengan manusia dengan ikhlas, agar kita selamat di syurga tempat yang kekal abadi kebahagiannya.

Bukanlah ini bermakna Islam menyuruh umatnya menjadi miskin tidak mempunyai harta kekayaan. Tetapi hadis di atas ingin menjelaskan bahawa janganlah orang yang miskin merasa hina di dunia kerana tidak berharta tetapi mereka akan menjadi mulia apabila mereke memiliki hati yang kaya (rohaninya) dengan iman dan takwa. Sebaliknya hadis ini juga motivasi untuk orang kaya supaya janganlah dengan kekayaan yang mereka miliki akan menjadikan diri mereka sombong dan kikir untuk sedekah dan infak di jalan Allah SWT. Kerana hanya dengan hati yang kaya (dengan iman dan takwa dan bersyukur) seseorang itu akan sedekahkan hartanya di jalan Allah SWT.

Terdapat dalam hadis yang lain menyatakan orang kaya yang banyak bersedekah hinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanannya akan mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat nanti. Orang kaya seperti ini adalah orang kaya zahir dan batin (dihatinya kaya dengan iman dan takwa dan bersyukur dan reda denga Allah SWT).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga hati kita supaya sentiasa kaya (meraca cukup) dan sentiasa bersyukur dengan nikmat dan rezeki daripada Allah SWT. Untuk melahirkan hati seperti ini kita perlu kepada proses tarbiah imaniah, banyakkan menghadiri majlis-majlis ilmu, banyak membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan solat-solat sunat supaya hati kita sentiasa hidup, bersih, sihat dan yakin dengan janji-janji Allah SWT.

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka

Assalammualaikum kepada sahabat-sahabat yang di rahmati ALLAH SWT sekalian. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW,kaum keluarga dan para sahabat-sahabat Baginda.
 
Taubat

Setiap manusia ada melakukan dosa.tidak kira sama ada para remaja atau pun orang dewasa.namun kajian yang telah dibuat kebanyakkan yang melakukan dosa adalah golongan-golongan remaja kita. setiap dosa yang dilakukan ada yang sifatnya dosa besar dan ada yang bentuknya dosa kecil. Sifat manusia itu ialah nisyan atau lupa dan ghaflah atau lalai. Di peringkat umur remaja kelalaian dan kelupaan lebih ketara. Mereka perlu diingatkan selalu. Kadang-kadang leteran juga berlaku. Kelemahan-kelemahan ini menyebabkan remaja silap dan salah. Kelupaan menyebabkan remaja melanggar pedoman ALLAH. Kelalaian menyebabkan remaja melampaui batas.

Mengulangi melakukan dosa ia ibarat titik-titik hitam di hati. Terlalu banyak titik hitam menyebabkan warna hati bertukar. Secara rohaniahnya, titik-titik hitam yang tidak dibersihkan akan menyebabkan lebih banyak kelupaan dan kelalaian. Ia boleh mendorong ke arah tabiat keji dan mungkar. Hati remaja diibaratkan seperti cermin. Cermin yang baik ialah cermin yang ada kilauan. Cermin yang jernih memantulkan imej wajah yang jernih. Bila cermin terkandung banyak titik hitam, titik itu ada melitupi cermin dan cermin akan kehilangan daya pantulan.

Cermin yang hilang daya pantulan ibarat hati yang hilang sensitivitinya terhadap perkara baik dan mungkar. Bila hati tidak lagi ada daya pantulan remaja akan mengalami penyakit mati rasa. Penyakit mati rasa menyebabkan perlanggaran dosa dianggap perkara biasa. Melakukan kesalahan dan kemungkaran dianggap lazim. Dan akhirnya apabila dosa terus dilakukan cermin hati akan dilitupi ibarat hijab menutup wajah.

Sifat ibadah khusus dalam Islam dilakukan berulang-ulang. Tujuan dihantarkan Nabi dan Rasul pun antaranya ialah membawa khabar gembira dan peringatan. Perulangan dalam ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zikir dan lain adalah proses tazkiah an nafs iaitu latihan rohaniah untuk membentuk nilai-nilai baik dan murni supaya jiwa kehambaan yang tinggi wujud pada diri insan. Jiwa kehambaan yang membawa sifat patuh, taat, akur dan tunduk boleh membentuk watak remaja menjadi orang-orang yang sentiasa berfikir untuk mendapat reda ALLAH.

Manifestasi ibadah khusus boleh menjadi jalur pengembangan maksud ibadah yang lebih luas. Ketundukan kepada pedoman ALLAH iaitu bersifat jujur kerana-Nya, ikhlas kerana-Nya, amanah kerana-Nya, adil kerana-Nya, tulus dan telus kerana-Nya membimbing manusia melihat seluruh pekerti dalam hidupnya terkandung sifat-sifat rohaniah yang tinggi. Bercakap benar dan tidak berdusta adalah gambaran sifat rohaniah yang tinggi. Memimpin dengan amanah dan jujur adalah gambaran sifat orang-orang yang beriman. Takut akan azab ALLAH dan insaf keTuhanan yang tinggi God-conciousness  adalah gambaran orang-orang yang berjiwa muttaqin. Kualiti ini apabila menjadi amalan remaja ia akan berhikmah atau berpulang kembali kepada dirinya atau kepada orang lain.

Seseorang remaja yang jujur dan amanah, bila sifat itu diamalkan dalam hidupnya, tidak saja kebaikan itu dirasakannya tetapi kebaikan itu juga dirasakan oleh orang lain. Seseorang remaja yang cintakan ilmu, kebaikan ilmu itu tidak saja memberikan suluh kepada jalan hidupnya tetapi akan menerangi orang lain. Seseorang remaja, sabar dalam menghadapi ragam hidup, kesabarannya itu akan menyebabkannya terelak daripada kegelojohan kerana kesabaran adalah mutiara kebijaksanaan.

Mengapa remaja melakukan dosa??? Pertama, remaja mungkin tidak memiliki kesedaran rohaniah yang meyakini bahawa ALLAH itu Maha Perkasa dan Maha Mengetahui. Konsep berTuhan hanya sekadar percaya. Percaya yang tidak ditunjangi oleh ilmu boleh berubah-ubah kadang-kadang berada dalam kesamaran. Kesamaran boleh menyebabkan remaja ragu-ragu. Ragu-ragu dalam keyakinan dan pendirian boleh menyebabkan perlanggaran. Perlanggaran dalam amal dan perbuatan boleh menyebabkan dosa.

Kedua, remaja tidak dititipkan ilmu-ilmu yang berguna dan bermanfaat dan tidak mempunyai kesempatan yang berkesan untuk melalui proses didik dan hadir dalam persekitaran yang membantu ke arah pembentukan akhlak yang baik. Akibatnya remaja tidak memiliki perasaan peka nilai. Ia menyebabkan remaja tidak menjadikan nilai-nilai murni sebagai jalan hidup keremajaan sebaliknya menjadikan naluri dan nafsu sebagai jalur memenuhi niat dan hajat.

Ketiga, ramai remaja yang tidak memiliki qudwah atau contoh yang baik dan cemerlang dalam hidup. Ia menyebabkan remaja kekosongan dalam mencari contoh yang fitrah untuk diteladani dan diikuti. Atas dorongan naluri dan nafsu-nafsi remaja boleh terdorong untuk membina idola dan diva yang akhirnya menjerumuskan remaja kepada ‘pemujaan’ terhadap selebriti seperti artis, pelakon dan juga personaliti-personaliti lain.

Keempat, sesetengah remaja tidak ada rasa berdosa terhadap apa dan terhadap sesiapa pun. Dorongan naluri dijadikan pedoman dan gesaan nafsu dijadikan turutan. Akhirnya dosa-dosa kecil berlaku secara berterusan dan dosa besar semacam suatu kebiasaan.

Dalam Islam ruang untuk bertaubat dan mohon keampunan sentiasa terbuka. Sebab itu para remaja yang insaf tentang hubungannya dengan ALLAH akan sentiasa melakukan istighfar bila berlaku sesuatu kesilapan, merenung ke dalam diri, mencari sebab-musabab kejadian dan berazam tidak mengulangi lagi.

Kesilapan yang dilakukan oleh remaja tidak bermakna itulah akhirnya hidup. Dalam sejarah sahabat-sahabat Nabi baik di Mekah mahupun di Madinah, ramai yang melakukan pelbagai dosa kecil dan besar tetapi apabila keinsafan timbul, hidayah diberikan dan kembali kepada diri yang fitrah bertukar menjadi pejuang-pejuang di barisan depan Islam. Saidina Omar, sebagai contoh, pada zaman jahiliahnya melakukan pembunuhan anak perempuan tetapi bila mendengar ayat-ayat ALLAH digemakan, timbul keinsafan yang amat mendalam untuk kembali kepada fitrah. Dan apabila menerima akidah tauhid, beliau menjadi benteng utama perjuangan Islam yang amat digeruni oleh musuh.

Di Malaysia, remaja Melayu dibesarkan dalam keluarga orang-orang Islam. Paling tidak secara keturunan mereka adalah orang-orang Islam. Harus ada didikan di peringkat keluarga, sekolah dan masyarakat tentang kesedaran rasa bersalah dan rasa berdosa di kalangan mereka. Kesedaran ini amat penting wujud dalam diri remaja supaya ada perisai dalam diri remaja untuk mengenal dan membentengi diri supaya mengetahui yang salah itu salah dan yang benar itu tetap benar.

Remaja Islam harus insaf bahawa kumpulan mereka ini sedang dijadikan sasaran oleh musuh-musuh umat khususnya para pendakyah Kristian dan Yahudi yang menguasai media cetak dan elektronik, melabur dengan kos yang tinggi terhadap acara-acara yang bersifat festival dan hiburan yang berterusan dengan harapan apabila para remajanya asyik dengan hiburan dan festival yang melampau ia akan memesongkan perhatian remaja untuk cemerlang dalam bidang ilmu dan pendidikan. Bila hiburan, muzik, festival dan bahan-bahan lucah dalam internet menjadi ketagihan, para remaja mula alpa tentang tanggungjawab kepada ALLAH dan akhirnya mudah terjebak dalam perangkap dosa yang kadang-kadang menyebabkan remaja hilang jalan kembali.

Oleh itu sebagai Ibubapa peranan penting untuk membentuk anak-anak remaja perlu diambil perhatian. pimpinlah mereka kembali kepada ALLAH dengan melakukan taubat. Melakukan taubat mesti ada keikhlasan dan kejujuran pada diri. Keikhlasan yang diikuti untuk tidak mengulanginya lagi bakal memimpin remaja ke jalan yang diredai. Dosa remaja dengan dengan remaja lain atau sesama manusia harus diselesaikan sesama manusia dan dosa remaja terhadap ALLAH harus langsung dengan-Nya. 

Remaja yang melakukan taubat dan berazam untuk melakukan kebaikan dan amal yang bermanfaat dalam hidup, ibarat seorang anak yang lahir semula. Sebagai anak yang baru lahir, para remaja hendaklah mendedahkan diri dalam suasana dan persekitaran yang baik supaya kebaikan persekitaran boleh membantu remaja yang kekal dalam kebaikan. Sekiranya berlaku dosa kecil kembali mohon keampunan kepada ALLAH dan apabila amalan yang baik sebati pada diri remaja, ia akan memberikan rasa kekebalan remaja untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Bertaubatlah sebelum terlambat kerana ALLAH SWT maha penerima taubat dari hamba-hambaNya dan jangan sehingga ajal datang menjemput kerana tidak sempat bertaubat. Astagfirullahal'adzim..Nauzubillah.

 azita_idris79@yahoo.com
islamyangterindah.blogspot

(Di petik daripada tulisan Nor Azita Idris)

Siapakah Lelaki Pilihan Wanita Solehah?

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap wanita solehah berkeinginan dan berhajat memiliki seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab. Suami yang soleh bukan saja akan menjadi suami pilihannya ketika di dunia tetapi suami yang soleh dan berakhlak Islam akan menjadi suami pilihannya ketika di syurga nanti.

Umi Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW :  "Seorang wanita di dunia yang telah menikah dua suami, tiga atau empat dan ia meninggal, kemudian ia masuk syurga dan mereka pun masuk syurga. Wanita itu tinggal dengan siapakah diantara mereka?"

Maka, Nabi SAW  menjawab maksudnya : "Hai Umi Salama, ia dipersilakan untuk memilih, kemudian ia memilih di antara mereka yang paling mulia akhlaknya. Lalu ia berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya suamiku ini adalah yang paling mulia akhlaknya ketika saya bersamanya di dunia. Maka, nikahkan aku bersamanya,"

Hai Umi Salamah, akhlak yang mulia akan membawa kebaikan kehidupan dunia dan akhirat."

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat 10 ciri-ciri pilihan wanita solehah untuk  memilih lelaki yang bakal menjadi teman hidupnya :

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.

3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.

5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.

6. Selalu memperbanyakan amalan sunat.

7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.

8. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.

9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.

10. Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.

Huraiannya :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sifat yang paling penting untuk menjadi seorang lelaki yang soleh dan bertakwa adalah mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisaa ayat 69)

2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.

Hal ini kerana Islam mengajar yang ilmu itu tidak dapat berdiri dengan sendiri. Tertegaknya ilmu sehingga ia membawa kebaikan ialah dengan adanya sokongan iman. Dan kerana dua benda inilah, Allah mengangkat darjat seseorang. Sesungguhnya ilmu tanpa iman adalah sia-sia dan tiada gunanya di sisi Allah S.W.T

Firman Allah SWT maksudnya : "Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: 'Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar".(Surah al-Qasas ayat 80)

Firman Allah SWT dalam surah Al-Fathir, ayat 28 yang bermaksud : " Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ahli-ahli ilmu (ulama) "

Diriwayatkan oleh AtTabrani daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesorang yg berilmu adalah lebih sukar bagi syaitan menipunya berbanding seribu orang abid (ahli ibadah)"

3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Seorang mukmin yang beristiqamah dengan Islam akan sentiasa memikul tugas amar makruf dan nahi mungkar .

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Kewajipan  melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud: "Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah sesuatu kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap muslim harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat. Pertama, ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan hati. Berdasarkan hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar makruf dan nahi mungkar kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan baik, manakala nahi mungkar ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.

4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Salah satu sifat orang mukmin adalah sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT di muka bumi dan sentiasa berjihad di jalan-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, yang telah percaya dengan Allah dan rasul-rasul dan yang tidak ada pada mereka itu keadaan ragu dan mereka berjuang dengan menggunakan harta-harta dan diri mereka di jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar.”
(Surah al-Hujurat ayat 15)

5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.

Sifat orang mukmin sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak diketahui atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
 (Surah Al-Baqarah ayat 222)

6. Selalu dan memperbanyakan amalan-amalan sunat.

Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”

Solat sunat yang dilakukan dengan baik akan dapat menampung kekurangan didalam solat fardu.Begitu juga puasa sunat dapat menampung puasa wajib, sedekah dapat menampung kekurangan zakat dan juga haji dan umrah sunat dapat menampung ibdah haji yang wajib.
Amalan-amalan sunat yang lain seperti berzikir, berselawat dan membaca al-Quran akan dapat mendekatkan hati dan jiwa kepada Allah SWT.

7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."
(Surah Al-Furqaan, ayat 63).

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah SWT menghimpunkan makhluk-Nya di hari kiamat, penyeru pada hari itu menyeru: "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: "Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat." Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu?" Mereka menjawab: "Apabila kami di zalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal".

8. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.

Orang mukmin akan memahami Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna dan seterusnya mengamalkan nya di dalam kehidupan sebagai individu muslim-mukmin, dalam keluarganya dan seterusnya masyarakat.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya :“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari reda Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.”  (Surah an-Nisa ayat 114)

Allah SWT menjelaskan ayat di atas bahawa semua hal di atas  bagi sesiapa pun yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang kebaikan dan menolak keburukan. Juga Allah SWT janjikan bagi mukmin yang mengharap pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala yang besar. Termasuk dari pahala yang besar itu adalah  hilangnya kerisauan, kesusahan, kekeruhan hati, dan seterusnya.

9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.

Sifat mahmudah adalah sifat berlapang dada , penyantun dan pemaaf.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:"Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya aku mempunyai kerabat. Aku jalin tali silaturrahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskan aku. Aku berbuat baik kepada mereka, tapi mereka berbuat buruk kepadaku. Aku bersikap santun terhadap mereka, tetapi mereka menganiayaku. Maka Rasulullah SAW bersabda: 'Jika engkau adalah sebagaimana yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau memberi makan mereka dan Allah SWT akan selalu memberikan pembelaanNYA kepada engkau atas mereka, selama mana engkau berada dalam keadaan demikian." (Hadis Riwayat Muslim: 2558: Al-Birru wa As-silah)

Berlapang dada adalah sifat yang sangat penting  dalam kehidupan para sahabat r.a sekaligus merupakan sifat mulia yang yang mengangkat darjat mereka.

10. Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.

Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantara mu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".

Sahabat yang dikasihi,
Sekiranya kalian mempunyai 10 ciri-ciri mulia dan cemerlang yang dinyatakan di atas maka kalian adalah calun lelaki yang paling layak dan menjadi idaman wanita solehah. Kalian bukan saja akan menjadi suami dan bapa yang soleh tetapi kalian juga adalah mukmin muttaqin yang akan menjadi hamba-Nya yang di kasihi di dunia ini dan akan mendapat ganjaran yang besar di hari akhirat nanti. Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha meningkatkan iman dan takwa kita dan berjihad dijalan-Nya dengan hati yang penuh ikhlas semata-mata mencari keredaan-Nya.

Friday, May 20, 2011

Suami Yang Bertanggungjawab Akan Memahami Hubungan Dengan Isterinya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang bertanggungjawab akan cuba memahami sikap dan tabiat isterinya dan akan cuba menasihati dan membaiki segala kekurangan yang dimiliki oleh isterinya. Isteri yang baik pula akan menggunakan segala potensi yang dia miliki iaitu sifat lemah lembut dan penyayang akan dicurahkan kepada suaminya semoga terbina rumah tangga bahagia.

Terdapat 10 nasihat yang baik untuk suami supaya dapat dilaksanakan kepada isterinya.

1. Bersikap Tegas dan Lemah-lembut Terhadap Isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi,memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalunya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Memberi Pujian Terhadap Isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Hadiah merupakan pelembut bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Rasulullah SAW menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang.ุง

Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."

3. Menentukan Batas Tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengan engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengan sampai pun satu suapan yg engkau berikan ke mulut istrimu.”(Hadis Riwayat Muslim)

4. Menghindari Kritikan Terhadap Isteri

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada  isteri.

Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya

Firman Allah dalam surah An-Nisa‘ ayat 19 maksudnya : “Dan bergaullah  kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik.  Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.

5. Memperhatikan Sesuatu Yang Romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita, hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

Dari Umarah, ia berkata: Saya bertanya kepada Aisyah r.a : "Bagaimana keadaan Rasulullah SAW bila berduaan dengan isteri-isterinya? "Jawabnya: "Baginda adalah seorang lelaki seperti lelaki-lelaki lainnya, tetapi bezanya baginda seorang lelaki yang paling terhormat, paling lemah lembut, serta senang tertawa dan tersenyum." (Hadis Riwayat Khara’iti dan Ibnu ’Asakir)

Aisyah berkata : “Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub” (Hadis Riwayat Muslim : 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah. (Hadis Riwayat  Muslim : 498).

Demikianlah romantiknya Rasulullah SAW bersama isteri baginda.

6. Memahami Isteri Yang Ingin Selalu Di Samping Suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)… (Surah al-Baqarah ayat 228)

Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku."

Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantara mu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Oleh itu suami isteri perlulah saling kasih mengasihi dan suami perlulah memahami segala keperluan isterinya.

7. Menjaga Perasaan Aman Dalam Kehidupan Isteri

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."(Surah al-Nisaa' ayat 34)

8. Memahami Gelora Jiwa Isteri

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya,maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai orang yang dapat membimbing hidupnya.

Di bawah ini dibawakan kisah seorang sahabat Nabi SAW yang ingin mengadu kepada Khalifah Umur disebabkan perangai buruk isterinya kepada dirinya :

Khalifah Umar : "Apa hajatmu datang ke mari?"

Jawab lelaki itu : "Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin."

Tanya Khalifah Umar : "Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"

Jawab lelaki itu lagi : "Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya , wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya ."

Berkata Khalifah Umar :

"Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku padahal semua itu tidak wajib ke atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga sahaja."

Kata orang itu pula : "Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba  wahai Amirul Mukminin!"

Maka berkata lagi Amirul Mukminin :

" Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu."

9. Membina Kerjasama Yang Baik

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".

10. Memenuhi Keperluan Peribadi

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat."
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini adalah berbentuk umum sesiapa saja yang melapangkan kesusahan seorang muslim maka Allah SWT akan melapangkan dia daripada kesusahan di hari akhirat nanti termasuk juga apabila seorang suami memenuhi keperluan isterinya atau menunaikan hajatnya  maka ianya termasuk juga apa yang dimaksudkan oleh hadis di atas..

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita perbaiki hubungan mesra dan kasih sayang di anara kita  sebagai suami dan isteri. Suami yang bertanggungjawab akan memahami dan menjaga hubungan yang baik dengan isterinya, begitu juga isteri yang solehah akan sentiasa taat kepada suami , menjaga kehormatan diri dan sentiasa meneruskan tarbiah mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Kebahagiaan hidup di dunia dengan iman dan Islam akan berterusan nanti di hari akhirat iaitu dapat memasuki syurga yang penuh keindahan dan kenikmatan.

Thursday, May 19, 2011

Enam Rahsia Allah SWT Kepada Hamba-hamba-Nya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya . Nikmat dan rahmat Allah SWT yang telah dikurniakan-Nya ketika di dunia ini terlalu banyak hingga manusia tidak akan mampu membalasnya. Nikmat yang paling besar Allah SWT kurniakan kepada kita adalah nikmat iman dan Islam. Dengan nikmat ini kita menjadi mulia di dunia ini dan menjadi umat terbaik dan di hari akhirat nanti kita akan mendapat balasan dan nikmat syurga yang tiada tolok bandingnya.

Terdapat enam rahsia Allah SWT tidak diberitahu-Nya kepada manusia semata-mata sebagai ujian untuk manusia meneruskan amal-amal soleh yang berterusan tanpa rasa ragu-ragu, kecewa dan bangga diri.

Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata :

Pertama : Allah menyembunyikan keredaan dalam ketaatan.

Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan  kepadaNya supaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud: “Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.

Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apalagi hendak di harapkan. Mereka sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka. Sebaliknya mereka sangat ingin Allah menerima baik amalan-amalan mereka serta meredaai mereka. Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka.

Rasulullah SAW kerana menganjurkan sifat ikhlas telah bersabda yang bermaksud:“Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat kepada kamu”

Seseorang yang mencari keredaan Allah, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada-Nya. Ketika orang lain bertindak jahat pada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Sebab itu kejahatan orang diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.

Kedua : Allah menyembunyikan kemurkaan diatas kemaksiatan kita.

Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia, sedangkan sebenarnya Allah murka kepada kita.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga"
(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Ketiga : Allah menyembunyikan kedatangan  malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. yang maksudnya :" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "   

Maksudnya adalah kita menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi SAW maksudnya :" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan  maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Oleh itu Allah menghendaki  hambaNya melakukan ketaatan dan beribadah sepanjang bulan Ramadan (utamakan 10 malam terakhir) dan sepanjang hayatnya.

Keempat : Allah menyembunyikan wali-wali Allah  atau hambaNya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut.

Dari Abu Hurirah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Allah Ta’ala berfirman, barang siapa memusuhi wali-Ku maka aku izinkan untuk diperangi. Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amal ibadah yang lebih aku cintai dari pada perkara yang Aku wajibkan. Hamba-Ku akan senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, Akulah kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku akan Aku berikan, jika dia meminta perlindungan pada-Ku, akan Aku lindungi.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Istilah wali menurut Ahlusunnah wal Jamaah adalah setiap mukmin yang bertakwa dan bukan Nabi. Inilah definisi Wali menurut Ahlusunnah wal Jamaah iaitu bahwa Wali adalah setiap orang yang memiliki keimanan dan ketakwaan.

Kerana derajat keimanan dan ketakwaan bertingkat-tingkat, maka derajat kewalian iaitu kecintaan dan pertolongan Allah pada hamba-Nya-juga bertingkat-tingkat. Yang dimaksud dengan wali adalah orang yang senantiasa menyempurnakan keimanan dan ketakwaan sesuai dengan kemampuannya serta sebagian besar keadaannya berada dalam keimanan dan ketakwaan. Hal ini berdasarkan firman Allah SAW maksudnya : “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.”
(Surah Yunus ayat 62-63)

Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.

Kelima : Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah SAW  juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan. Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik).

Rasulullah SAW. pernah berpesan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati, lalu dia mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat itu. Jadi apabila tiba masanya dia tidaklah kelam kabut atau menyesal berpanjangan.

Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambaNya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah  banduan yang berada dibilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.

Keenam : Allah menyembunyi solat kita yang terbaik disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.

Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi SAW. bersabda : Allah SWT. berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Aku hanya menerima solat dari orang yang merendahkan diri kerana keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan Syurga".
(Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Sebelum Allah SWT  menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti.maka Allah SWT. akan terima solat itu di dunia ini lagi.Jika Allah SWT menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah SWT nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat lima faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah SWT :

1. Merendakkan diri kerana keagungan Allah SWT.

2. . Tidak bersikap sombong kepada makhluk Allah SWT.

3.. Tidak berterusan melakukan maksiat. Jika melakukan sesuatu maksiat segera beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

4. Menghabiskan masanya untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

5. Mengasihi orang-orang miskin, orang musafir ( ibnussabil) dan wanita janda dan orang yang ditimpa musibah (sentiasa memberikan bantuan kepada mereka).

Begitulah beberapa ciri-ciri solat kita diterima oleh Allah SWT, jika Dia menzahirkan solat yang terbaik kita lakukan berkemunginan kita rasa bangga diri dan menceritakan kepada orang lain. Itulah hikmah Allah SWT merahsiakan solat terbaik kita yang dilakukan disisi-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang kita kerjakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jadikanlah enam rahsia Allah SWT yang disembunyikan-Nya kepada kita semata-mata supaya kita teruskan beribadah dengan ikhlas tanpa mengharapkan pujian daripada manusia tetapi mengharapkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Mujahadah Jalan Membentuk Peribadi Bertakwa

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Islam  telah  menunjukkan kepada kita  beberapa  jalan  yang boleh  menyampaikan  kita kepada takwa dan  salah  satu  diantara jalan-jalan tersebut ialah  dengan kita bermujahadah.  Berhubung dengan mujahadah  ini Ustaz Said Hawwa menjelaskan,

" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan  petunjuk  daripada Allah SWT ".

Oleh  itu  mujahadah ialah jalan untuk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT  agar petunjuk  itu  masuk  ke dalam hati  kita.  Jadi  maknanya  untuk mendapat  dan  memperoleh petunjuk daripada Allah SWT  maka  perlu kepada  mujahadah.  Mujahadah  juga merupakan  jalan  untuk  kita menambahkan petunjuk. Setelah kita mendapat petunjuk   kita hendak tingkatkan dan  tambah lagi petunjuk daripada Allah SWT iaitu dengan cara kita  mempertingkat mujahadah.

Untuk melaksanakan mujahadah ini kita perlu mengikuti  jalan yang  betul.  Sebab banyak orang yang berusaha  dan  bermujahadah tetapi  tidak mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah  SWT. Banyak kegiatan-kegiatan  yang  dilakukan dan bermati-matian bermujahadah tetapi tidak mendapat petunjuk daripada Allah  SWT.   Kerana  apa?    kerana jalannya  tidak   betul yakni tidak  mengikut jalan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hidayah (petunjuk) Allah SWT merupakan mukaddimah kepada takwa. Apabila seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah SWT hasil  daripada bermujahadah maka hidayah ataupun petunjuk yang diperolehinya itu adalah  merupakan  mukaddimah kepada takwa, mukaddimah  untuk  dia menjadi  seorang yang muttaqin  yakni yang bertakwa kepada  Allah SWT.  Ini  bermakna  takwa itu  diperolehi  hasil  dari  anugerah hidayah  yang  diberikan oleh Allah SWT kepada  orang-orang  yang bermujahadah.

Takwa  bukan  boleh kita buat-buat dalam jiwa kita tetapi dia mestilah dengan hidayah  daripada Allah  SWT. Ini bererti seseorang itu tidak boleh  menjadi  orang yang  bertakwa dengan akal fikirannya sendiri , dia  nak  berubah menjadi  orang  yang  baik dengan menggunakan  akal  fikiran  dia sendiri, tidak boleh, sebaliknya dia mestilah mendapat  hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT dengan  jalan  bermujahadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diajarkan oleh  Islam kepada kita melalui Rasulullah SAW.

Firman Allah  SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan kami,benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik ". ( Surah al Ankabut : 69 )

Ini    merupakan   janji-janji   Allah SWT  kepada    mereka    yang bermujahadah,  Allah SWT akan   berikan   kepada   mereka    hidayah.   Sesungguhnya   Allah SWT   tidak  pernah  memungkiri   janjinya.   Sesungguhnya  Allah benar-benar akan berserta dengan  orang-orang yang berbuat baik.

Setelah  mendapat hidayah daripada Allah SWT  maka bermulalah  kita menjadi seorang yang bertakwa kepada Allah  SWT. Barulah  kita menuju ke arah kehidupan orang-orang  yang  disebut sebagai  Al-Muttaqin yakni yang bertakwa kepada Allah  SWT.

Jika sekiranya kita tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT maka  ke arah menjadi orang-orang yang bertakwa ini tidak akan wujud. Jadi kalau  kita  berusaha kuat mana sekalipun  kalau  tidak  mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah SWT maka tidak akan ada mukaddimah, tidak akan ada  permulaan  ataupun titik tolak untuk  kita  menjadi  seorang manusia yang bertakwa kepada Allah SWT.

Oleh itu apabila kita bermujahadah ia akan menyampaikan kita  kepada  memperolehi hidayah daripada  Allah  SWT  sementara hidayah yang kita perolehi itu pula akan menyampaikan kita kepada takwa.  Jadi itu hubungan di antara ketiga-tiga perkara,  hubungan di antara  mujahadah,  hidayah, dan  takwa. 

Jadi  mujahadah  akan membawa  kita kepada hidayah sementara hidayah pula akan  membawa kita kepada takwa. Jadi kalau kita tidak ikut jalan yang  pertama ini  yakni  tidak bermujahadah maka tidak akan  ada  hidayah  dan tidak ada takwa dalam jiwa kita.

Satu perkara penting di dalam proses untuk kita bermujahadah dan  mendapatkan hidayah daripada Allah SWT ialah  uslub  ataupun jalan-jalan  yang  kita  lalui untuk  bermujahadah  itu  mestilah mendapat  taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT.  Maknanya di  sini,  tidak  semestinya orang  yang  bermujahadah  itu  akan mendapat  hidayah  daripada  Allah  SWT  kerana  ada  orang  yang bermujahadah tetapi dia tidak mendapat hidayah. Ini adalah kerana hikmah dan kebijaksanaan Allah SWT. 

Jadi kemungkinan ada  berlaku kesilapan di dalam  mujahadah  seseorang  itu   ataupun   dia bermujahadah  tidak  mengikut cara Rasulullah  SAW  bermujahadah, bagaimana   Rasulullah  SAW  menunjukkan  cara   memperoses   dan mengislah(memperbaiki)  diri. Jadi dia bermujahdah  tidak  dengan taufik  Allah  SWT,  tidak  dengan  persetujuan  Allah  SWT.  Dia bermujahadah  tanpa  pertolongan dan hidayah daripada  Allah  SWT maka sebab itulah tidak melahirkan natijah yang sebenarnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Justeru  itu di dalam langkah-langkah kita  bermujahadah  ke arah untuk mendapat hidayah dan takwa daripada Allah SWT ini maka kita hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa jalan-jalan yang kita  lalui  di dalam bermujahadah ini mestilah  terlebih  dahulu mendapat  taufik dan persetujuan daripada Allah SWT. Tidak  boleh kita  mereka-reka  cara  bermujahadah  ini  dengan  akal  fikiran ataupun dengan cara kita sendiri.


Titik-tolak  yang betul untuk kita mendekatkan  diri  kepada Allah SWT ialah dengan bermujahadah. Kita berjihad dan  berusaha. Sebab  itulah  ulama'-ulama' yang  muktabar  menggariskan  bahawa jihad  itu perlulah dijadikan sebagai matlamat hidup kita.  Dalam hal matlamat hidup ini sekiranya kita baca  Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya  mereka semua beribadah(mengabdikan diri) kepadaKu". (Surah az Dzariyat ayat 56)


Walaupun  istilah dia berbeza, matlamat  kita  ialah  untuk beribadah  kepada  Allah, matlamat kita ialah  untuk  mengabdikan diri  kepada  Allah,  matlamat kita  ialah  jihad  untuk  mencari keredaan Allah tetapi disegi konsep atau tasawwur ataupun  perincian nya,  dia akan menjurus kepada hakikat yang sama. 

Matlamat hidup  kita sebagaimana yang telah digaris dan diperincikan  oleh ulama-ulama yang muktabar ialah kita perlu menjadikan jihad  itu sebagai  tujuan  kita diwujudkan. Kita  diwujudkan  adalah  untuk berjihad  menegakkan kalimah syahadah, menegakkan deen Allah  SWT di atas muka bumi ini. Untuk itu sebelum kita berjihad  hendaklah kita  fahami  jihad  ini  dengan  betul  kerana  jihad  ini   ada bermacam-macam  jenis  dan ada tertibnya, yang  mana  perlu  kita utamakan  terlebih dahulu dan yang mana selepas itu.  Jadi  jihad ini  ada  jihad melawan hawa nafsu,  melawan  orang-orang  kafir, melawan orang-orang munafik, orang-orang zalim dan sebagainya.


Jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad yang berterusan  dan perlu   diutamakan  kerana  hal  ini  telahpun  dinyatakan   oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Seutama-utama jihad ialah orang yang berjihad terhadap  hawanafsunya dalam mentaati Allah azzawajalla ".

Jihad melawan hawanafsu ini pula terbahagi kepada 4 bahagian:-

1.  Berjihad  untuk mendapat  hidayah(petunjuk)  daripada  Allah SWT.- kita berusaha, berikhtiar untuk mendapat petunjuk  daripada Allah SWT.(petunjuk Allah ialah Islam itu sendiri).


2. Melaksanakan Islam, petunjuk Allah SWT itu di dalam kehidupan kita setiap hari dalam pelbagai aspek kehidupan kita.


3. Menyampaikan  Islam yang telah kita  laksanakan  itu  kepada orang lain.

4. Bersabar di dalam menyampaikan Islam kepada orang lain.

Jadi  ada 4 peringkat jihad didalam melawan hawa  nafsu  ini yang  mana apabila kita memperlengkapkan keempat-empat  peringkat jihad  ini  maka  barulah  sempurna  proses  jihad  kita  melawan hawanafsu ini.

Ini bermakna di dalam hidup kita ini setiap   masa berkehendakkan kepada jihad dan lebih-lebih lagilah apabila kita hendak melahirkan  dan  melaksanakan  Islam.  Jadi  di  mana   kita memperkatakan  Islam  maka  di situlah kena ada jihad tidak kiralah samaada  diperingkat  individu  ataupun   diperingkat jamaah.  Kita   seorang-seorang   memerlukan  jihad   apabila   hendak melaksanakan  Islam dan kita bersama-sama dengan  sahabat-sahabat ataupun jamaah juga memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam.

Mujahadah  itu sebenarnya mempunyai makna yang  cukup  luas.  Kita  datang  ke  sini  merupakan  satu  bentuk  mujahadah,  kita mendekatkan diri kita kepada suasana yang soleh, mendekatkan diri kepada  sumber-sumber  tarbiah yang betul seperti  al-Quran al-Karim  dan  Sunnah Rasulullah SAW serta buku-buku  yang  dikarang oleh  ulama-ulama  yang  muktabar  semua  itu  termasuk   dalam mujahadah. 

Kita hadir dalam halaqat, dalam tamrin  dan  program-program yang kita rancang, itu juga dikira mujahadah. Kita  pergi menziarahi  sahabat-sahabat  kita, kita pergi  menziarahi  sanak-saudara  kita  dalam  rangka hendak  menyebarkan  kefahaman   Islam misalnya  pun  dikira  sebagai  mujahadah. Mujahadah  untuk   kita mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT.


Kita  mendampingi  orang-orang  yang  tertentu  yang   boleh membawa  kita  ke  jalan yang haq maka itu  juga  dikira  sebagai mujahadah. Kita mengelakkan diri kita daripada  gangguan-gangguan maksiat, menjauhkan diri kita, anak-isteri, keluarga dan sahabat-sahabat  kita  daripada  suasana-suasana  yang  tidak  Islam  dan dorongan-dorongan  hawanafsu  yang  menyesatkan  semua  itu  juga termasuk  dalam usaha  kita bermujahadah.

Jadi  alangkah  luasnya kerja-kerja mujahadah yang perlu kita lakukan dalam rangka  untuk kita  mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi semua  usaha  dan kerja-kerja  yang  kita  lakukan sekiranya  dibuat  dengan  penuh keikhlasan  kerana  Allah SWT maka itulah  yang  merupakan  titik tolak  yang  betul ke arah untuk kita mendapat  hidayah  daripada Allah  SWT. Jadi sekiranya apa yang kita buat, niat kita  lillahi taala  maka  itulah  jalan yang  akan  menyampaikan  kita  kepada hidayah Allah dan seterusnya membawa kita kepada makam(kedudukan) al-muttaqin ataupun orang-orang yang bertakwa.

Untuk menuju ke arah muttaqin, untuk sampai kepada kedudukan orang-orang  yang  bertakwa  ini,   kita  dapati  banyak  berlaku kesalahan-kesalahan.  Kita dapati di sana orang-orang yang  salah didalam memahami konsep mujahadah ini, mereka melakukan mujahadah dengan  konsep mereka yang tersendiri. Maka dengan  sebab  itulah kita dapati ramai yang bermujahadah tetapi tidak sampai kepada  natijah  yang betul yakni tidak mendapat hidayah  daripada  Allah SWT dan tidak dapat menjadi orang-orang yang benar-benar bertakwa kepada  Allah  SWT. 

Mereka bermujahadah  tetapi  tidak  mendapat hidayah  dan  takwa. Jadi inilah yang betul-betul kita  hendak  jaga supaya  jalan  yang kita lalui itu  betul-betul  mendapat  taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Dalam hendak memastikan kita bermujahadah ini dengan taufik/jalan yang dipersetujui oleh Allah SWT  ini  maka sebab itulah kita tidak memilih  jalan  yang  lain melainkan  jalan  ataupun  uslub  yang  telah  ditunjukkan   oleh Rasulullah SAW dalam rangka kita bermujahadah ini dan juga  dalam rangka  kita nak kembali mengambil Islam. Jadi kita  bermujahadah ikut uslub Rasulullah SAW dan kita mengambil Islam ini juga  ikut uslub  ataupun  jalan  sebagaimana yang  telah  ditunjukkan  oleh Rasulullah SAW.

Sahabat yang dikasihi,
Justeru itu tidaklah boleh kita membuat kesimpulan  manakala kita  hendak  bermujahadah kita buat menurut  cara  kita  sendiri ataupun tektik tersendiri tanpa melihat dan mengikuti uslub  yang sebenarnya  yakni uslub Rasulullah SAW. Kita tidak boleh  buat ataupun fikir dengan cara kita sendiri di dalam  bermujahadah ini. Dalam  hal mengikuti jalan yang betul untuk bermujahadah ini  telah berlaku kekeliruan di dalam kefahaman dan  jalan-jalan yang  hendak  diambil  akibat daripada  kejahilan  seseorang  itu tentang   konsep  mujahadah  yang  sebenarnya.   Kejahilan seseorang  itu terhadap jalan mujahadah yang telah  dilalui  oleh baginda   Rasulullah  SAW  itulah  yang  menyebabkan   berlakunya kesalahan-kesalahan,  ketidak-fahaman dan kekeliruan-keliruan  di dalam melaksanakan mujahadah ini.


Di  sini perlulah  memahami  betul-betul  'qadiah' ataupun  permasalahan  mujahadah ini dan jalan-jalan  yang  perlu kita  ikuti  di  dalam  rangka  untuk  kita  mendapatkan  hidayah daripada Allah SWT dan menjadi manusia yang benar-benar  bertakwa kepada  Allah  SWT. 

Jadi sebagaimana  yang  kita  jelaskan  tadi sekirannya  jalan  yang kita ikuti dalam bermujahadah  ini  tidak betul, walaupun kita bersungguh-sungguh melakukan mujahadah  ini, kita mencurahkan masa dan tenaga  , wang ringgit dan harta  benda yang  banyak  tetapi kejalan yang tidak betul maka  semuanya  itu akan  menjadi sia-sia sahaja dan tidak akan mendapat  taufik  dan hidayah  daripada  Allah  SWT.  Kita  tidak  akan  sampai  kepada petunjuk dan takwa yang sebenarnya.

(Di petik dari silibus tarbiah KTD)

Wednesday, May 18, 2011

Penghulu Istighfar

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Istighfar sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah SWT. atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah SWT.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah SWT. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan segala noda dan dosa yang telah dilakukan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).


Dan bacaan istigfar yang paling sempurna adalah sebagaimana yang terdapat dalam sahih
al- Bukhari dari Syaddad bin Aus r.a, dari Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya : “Penghulu istigfar adalah apabila engkau mengucapkan : 



"Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hambaMu dan aku di dalam genggamanMu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan Taat ) kepadaMu sekuat mampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau." (Hadis Riwayat Bukhari )
 


Faedah dari bacaan ini adalah sebagaimana yang Nabi SAW  sabdakan dari lanjutan hadis di atas, “Barangsiapa mengucapkannya pada siang hari dan meyakininya, lalu dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa mengucapkannya pada malam hari dalam keadaan meyakininya, lalu dia mati sebelum waktu pagi, maka dia termasuk penghuni syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)


Alangkah ruginya kita, jka amalan yang amat mudah tapi dijanjikan dengan syurga pun masih kita tidak amalkan. Semoga Allah memberi kekuatan agar kita mampu mengamalkannya.


Bacaan sayyidul istigfar (penghulu istighfar)  ini meliputi makna taubat dan terdapat pula hak-hak keimanan. Di dalam bacaan ini juga terkandung kemurnian ibadah dan  kesempurnaan ketundukan serta perasaan sangat megharapkan kepada Allah SWT. Sehingga bacaan zikir ini melebihi bacaan istigfar lainnya kerana keutamaan yang dimilikinya.

Keputusan Seorang Hakim Berada Di antara Dua Tempat Samaada Menuju Syurga Atau Neraka.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan dipersoalkan di hari akhirat nanti adakah semasa hidup di dunia ini dia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT. Jika seorang manusia telah melakukan kezaliman dan tidak adil dalam memutuskan sesuatu perkara kepada  manusia yang lain maka dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Manusia jangan berbangga dengan kezaliman yang dia lakukan kerana setiap kezaliman akan ada azab yang akan menantinya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maaidah ayat 8)

Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk selalu menegakkan kebenaran dan berlaku adil.

Menjadi seorang hakim wajib berlaku adil dan tdak boleh langsung berat sebelah atau bias untuk memutuskan seseorang bersalah atau tidak. Kerana semua bukti-bukti perlu di ambil kira samaada daripada pihak pendakwa atau pembela , kerana kegagalan seorang hakim berlaku adil sebenarnya dia menyedikan tempat duduknya di dalam neraka Jahanam.

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Hakim terdiri dari tiga golongan. Dua golongan hakim masuk neraka dan segolongan hakim lagi masuk syurga. Yang masuk syurga ialah yang mengetahui kebenaran hukum dan mengadili dengan hukum tersebut. Bila seorang hakim mengetahui yang hak tapi tidak mengadili dengan hukum tersebut, bahkan bertindak zalim dalam memutuskan perkara, maka dia masuk neraka. Yang segolongan lagi hakim yang bodoh, yang tidak mengetahui yang hak dan memutuskan perkara berdasarkan kebodohannya, maka dia juga masuk neraka. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ath-Thahawi)

Sabda Nabi SAW maksudnya : " Lidah seorang hakim berada di antara dua bara api sehingga dia menuju syurga atau neraka. (Hadis Riwayat  Abu Na’im dan Ad-Dailami)

Seorang hakim tidak boleh membiarkan perasaan atau emosinya mempengaruhi keputusannya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Janganlah hendaknya seorang hakim mengadili antara dua orang dalam keadaan marah." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang hakim tidak akan berlaku adil jika dia condong untuk menjaga kepentingan suatu pihak terutama yang mempunyai pengaruh dan kedudukan di dalam masyarakat. Golongan pemimpin, hartawan dan bangsawan biasanya akan menggunakan pengaruh mereka samaada wang atau 'contact' untuk mendapat sokongan dan bantuan para hakim untuk memberi kemenangan bagi pihak mereka walaupun mereka berada dipihak yang bersalah.

Nabi SAW sungguh murka apabila ada sahabat yang cuba menggunakan pengaruh peribadinya yang baik dengan Rasulullah SAW untuk menyelamatkan seseorang wanita bangsawan yang telah sabit kesalahan mencuri.

Seorang wanita di zaman Rasulullah SAW sesudah pembukaan kota Mekah telah mencuri. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar tangan wanita itu dipotong. Usamah bin Zaid menemui Rasulullah SAW untuk meminta keringanan hukuman bagi wanita tersebut. Mendengar permintaan Usamah, wajah Rasulullah SAW  langsung berubah. Baginda lalu bersabda maksudnya : “Apakah kamu akan minta pertolongan untuk melanggar hukum-hukum Allah Azza Wajalla?”

Usamah lalu menjawab, “Mohonkan ampunan Allah untukku, ya Rasulullah.”

Pada petang harinya Nabi SAW berkutbah setelah terlebih dulu memuji dan bersyukur kepada Allah. Inilah sabdanya yang bermaksud : “Amma ba’du. Orang-orang sebelum kamu telah binasa disebabkan bila seorang bangsawan mencuri dibiarkan (tidak dihukum), tetapi jika yang mencuri seorang yang miskin maka dia ditindak dengan hukuman. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya. Apabila Fatimah anak Muhammad mencuri maka aku pun akan memotong tangannya.” Setelah bersabda begitu baginda pun kembali menyuruh memotong tangan wanita yang mencuri itu."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Begitulah sabda Nabi Muhammad. Hukum harus ditegakkan tidak kira orang itu kaya atau miskin. Hukum harus dijalankan tidak kira dia orang asing atau anak kita sendiri.

Tidak boleh wang atau 'contact' menyebabkan seseorang terlepas  dari hukuman ataupun orang yang tidak bersalah cepat-cepat diputuskan bersalah walaupun bukti-bukti masih sama-samar. Hakim mesti menununjukkan kewibawaan dan bertindak secara profesional  dan resional, jika tidak keharmonian masyarakat akan hancur dengan keputusan yang tidak adil.

Para hakim kena ingat malaikat pencatat amal manusia ada dikiri dan kanan, CCTV Allah SWT sentiasa merakamkan keputusan mereka dengan semua makhluk Allah akan menjadi saksi, termasuk hari, masa, dan anggota para hakim sendiri.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW  membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:"

Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"

Para sahabat menjawab:" Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda SAW. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya."

Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."

(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Rasuah adalah satu penyakit yang besar yang merosakkan keadilan di dalam masyarakat. Rasuah bukan setakat dijanjikan wang ringgit tetapi rasuah juga boleh diterima dengan janji-janji mendapat kenaikan pangkat dengan melakukan ketidak adilan demi kemaslahatan pihak atasan. Sehinggakan Allah SWT melarangnya di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT.  dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Orang-orang fasik akan menggunakan berbagai cara untuk mengaibkan seseorang dan menimbulkan berbagi fitnah demi untuk menjatuhkan seseorang yang dibenci samaada menggunakan cara-cara bid'ah yang tidak ada dalam ajaran Islam. Orang fasik juga akan menggunakan semua cara samaada pengaruh, kedudukan dan kuasa untuk bertindak melakukan kezaliman kepada musuhnya atau sesiapa saja yang dia benci dengan berlindung di balik undang-undang.

Seorang hakim harus mendengarkan seluruh keterangan dari semua pihak yang bersengketa. Tidak boleh berat sebelah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bila dua orang yang bersengketa menghadap kamu, janganlah kamu berbicara sampai kamu mendengarkan seluruh keterangan dari orang kedua sebagaimana kamu mendengarkan keterangan dari orang pertama. (Hadis Riwayat Ahmad)

Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Allah beserta seorang hakim selama dia tidak menzalimi. Bila dia berbuat zalim maka Allah akan menjauhinya dan syaitanlah yg selalu mendampinginya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Saksi Palsu atau berbohong adalah dosa besar. Bahkan Nabi SAW sampai menyamakannya dengan dosa syirik. Oleh itu hakim perlu meneliti semua persaksian jika ada keraguan persaksian tersebut daripada mana-mana pihak perlulah ditolak tidaklah dengan  mudah menerimanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Salah satu dosa paling besar ialah kesaksian palsu. (Hadis Riwayat Bukhari)

Baginda bersabda maksudnya : : “Disejajarkan kesaksian palsu dengan bersyirik kepada Allah.” Baginda mengulang-ulang sabdanya itu sampai tiga kali. (Hadis Riwayat Mashabih Assunnah)

Perlulah diingat doa orang yang dizalimi adalah makbul di sisi Allah SWT. Jika seseorang teranyanya dengan keputusan hakim yang tidak adil. Sekiranya orang yang teranyanya berdoa kepada Allah SWT maka hakim dan orang yang membuat tuduhan palsu atau orang yang melaksanakan konsperasi jahat menzaliminya akan mendapat kesan daripada doa tersebut di dunia ini lagi.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Berdoalah kepada Allah SWT semoga Allah SWT tidak menimpakan bala kepada kita semua disebabkan kezaliman seorang Islam kepada saudara seagama. Walaupun hanya satu kejahatan manusia (melakukan kezaliman)  apabila ianya menyebabkan Allah SWT murka maka diturunkannya bala dan musibah. Berlaku adillah kepada siapa saja yang kita berurusan samaada terhadap anak, isteri, jiran tetangga, sahabat-sahabat dan terhadap diri kita sendiri. Kerana sifat adil adalah paling hampir dengan sifat takwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah) tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam (negeri) itu maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu). (Surah al-Isra' ayat 16)

Tuesday, May 17, 2011

Aku Wanita Solehah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Aku seorang perempuan. Perempuan yang hidup dalam arus dunia moden. Penuh tipu daya andai tersilap langkah. Merana. Aku perempuan yang benci akan penyakit cintakan dunia. Aku perempuan yang mahu cinta Allah meresapi seluruh jiwa! Tenggelam dalam cinta-Nya. Sungguh mengasyikkan.

Aku seorang wanita yang mahu tetap teguh pendirian. Halangilah jalanku ke arah reda-Nya, pasti akan kutempuh. Aku perempuan yang bukan begitu mudah untuk patah semangat. Heh. Aku perempuan yang tak takut dengan helah palsu kerana aku punya Dia! Kebenaran pasti tertegak!

Hasbee Rabbee. Maa fee qalbee ghairullah.
Cukuplah Allah bagiku. Tiada dalam hatiku selain Allah.

Tatkala perempuan lain megah memaparkan gambar di Facebook. Aku mengatakan. Itu bukan aku.

Kerana aku perempuan yang punya maruah. Allah menganugerahkan kecantikan dan kelebihan tersendiri pada tiap-tiap insan bernama wanita. Oh, bukan untuk dijadikan bahan jajaan mata lelaki bernafsu. Tapi, khazanah yang perlu disimpan hingga waktunya tiba. Hanya buat suamiku. Aku tidak akan sesekali menghampakan dia.

Aku bangga memperjuangkan pakaian sunnah. Aku bangga mengenakan busana yang menepati kehendak Allah. Aku bangga menutup keseluruhan auratku daripada menjadi panahan mata lelaki. Biar mereka memandang serong. Tak pernah tergugat usahaku dalam mendamba reda-Nya. Sedikitpun aku tidak peduli pandangan manusia. Ya, mengapa harus peduli sedangkan Dia adalah Pencipta?

Aku langsung tidak ingin kelihatan cantik di mata ribuan lelaki. Aku langsung tidak ingin menjadi rebutan jejaka kacak atas mata yang hanya memandang kecantikan. Aku langsung tidak ingin sang pria menaruh hati dan harapan kepadaku kerana rupa. Aku tidak mahu menjadi fitnah bagi mereka. Aku tidak mahu mereka sibuk memikirkan aku melebihi Al-Khaliq Sang Pencipta. Kerana aku tidak tahu alasan apa yang harus kuutarakan saat Dia bertanya kelak.

Malah apabila aku menjadi punca dua jejaka bermasam muka dan bergaduh, aku terasa seolah begitu hina! Seolah aku barang yang bisa dibeli begitu sahaja. Aku punya maruah. Aku bukan barang jajaan yang mudah dilihat, disentuh, diusik, direbut sesuka hati! Kerana aku hanya khusus buat dia. Kerana aku sentiasa merasakan dia ada di sisi walaupun pada mata kasarnya dia tiada menemani. Hanya keyakinan aku sandarkan pada-Nya dalam sebuah penantian. Itu sahaja sudah cukup. Cukup buat aku bahagia dengan dia, takdirku kelak.

Malah aku malu membiarkan seorang lelaki ajnabi berjalan di belakangku lantaran fitnah yang mungkin timbul. Mengingatkanku kepada apa yang dikatakan oleh Saidina Umar radhiallahu ‘anhu, “"Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."

Aku mahu menjadi perempuan yang sukar. Sukar didekati. Sukar dipermainkan hatinya. Sukar tunduk kepada kehendak nafsu. Sukar mengatakan ya kepada pergaulan yang tiada batasan syarak. Sukar untuk merasa tenang apabila melihat anak bangsa semakin rosak. Sukar membuang perasaan malu terhadap ajnabi. Aku mahu jadi perempuan yang sukar itu. Aku mahu menjadi sebaik-baik wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang. Seperti pesanan Saidatina Aisyah radhiallahu ‘anha. Ini baru aku.

Tatkala perempuan lain sibuk memikirkan cinta manusia. Aku mengatakan. Itu bukan aku.

Kerana aku perempuan yang punya matlamat. Aku punya agama yang mesti aku perjuangkan. Lihat! Cubalah lihat di luar sana! Sedih! Aku sayangkan wanita di luar sana! Anak-anak remaja perempuan yang berpakaian mendedahkan aurat. Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang asyik memikirkan kapan bila mahu bertemu pacarnya. Sedih! Aku sayang mereka! Perempuan yang membonceng motosikal lelaki dan dijadikan hadiah pertaruhan luimba haram. Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang telah dinodai kehormatannya dengan rela!

Sememangnya aku perempuan, aku juga punya rasa. Menyayangi dan disayangi. Heh. Namun aku tidak akan begitu mudah tertipu. Kerana aku tidak begitu bodoh untuk menghabiskan masa dengan memikirkan perkara yang tidak pasti. Hanya angan-angan sementara. Aku bukan perempuan yang menghabiskan masanya sering memikirkan masalah sendiri dan tidak memikirkan nanah yang semakin bernanah pada umat! Aku tidak mahu menjadi perempuan yang mementingkan diri sendiri.

Tatkala perempuan lain sibuk menunggu dan membalas SMS cinta. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.

Kerana aku perempuan yang punya hala tuju. Aku tidak akan membazirkan masa mudaku untuk perkara yang langsung tidak bermanfaat untuk akhirat! Hanya keseronokan sementara. Hanya mengenyangkan nafsu. Oh, aku bukan begitu. Kerana aku mahu sibuk menelaah ilmu. Menggali ilmu fardu ain dan juga yang berkaitan dengan hukum syarak. Menjadi seorang wanita yang beramal dengan ilmunya. Mencontohi Saidatina Aisyah yang cukup cerdas dan cerdik dalam mengeluarkan fatwa. Sehingga menjadi antara rujukan dalam urusan berkaitan hal ehwal masyarakat dan hukum hakam. Itu semua berdasarkan ilmunya.

Sehingga membawa aku untuk berfikir sejenak. Alangkah bodohnya diri andai melayan cinta palsu yang berlandaskan nafsu sedangkan terlalu banyak ilmu yang belum aku teroka. Aku tidak suka melayan perasaan yang sia-sia sedangkan ‘dia’ telah ditakdirkan buatku.Aku mahu menjadi perempuan yang matang dengan ilmunya. Yang dengan ilmunya makin terasa manis akan ibadat. Makin terasa semakin dekat dan erat dalam dakapan kasih Allah. Dengan ilmu yang mewujudkan perasaan khauf, takutkan Allah.

Tatkala perempuan lain ada yang materialistik terhadap wang. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.

Kerana aku perempuan yang materialistik terhadap pahala. Mahu akaun akhirat kaya dengan amal soleh.Setiap detik bagiku amat berharga untuk aku lakukan sesuatu yang dipandang oleh-Nya. Kerana aku mahu menjadi wanita syurga! Itu bukan sekadar madah penyedap kata. Bukan sekadar omong kosong. Ini cita-cita tertinggi aku.

Kerana aku perempuan yang berfikiran jauh. Berpandangan jauh ke hadapan. Aku benar mahu cinta-Nya. Terkadang aku terfikir. Andai aku di tempat Masyitah yang dipaksa terjun ke dalam minyak panas semata-mata untuk mempertahankan keimanan, apakah aku kuat sepertinya? Atau mungkin aku akan lari atau mungkin aku akan… entah. Aku menangis.

Aku mahu seperti Rabi’ah Al-Adawiyah. Cintanya terhadap Kekasih Agung begitu mengagumkan. Sehingga dengan ujian dia merasa gembira. Benar reda dan tidak merungut walaupun ditimpa musibah. Diculik dan menjadi hamba kepada raja yang zalim. Apakah aku mampu seperti sufi wanita ini. Yang memperkenalkan apa itu falsafah Cinta Ilahi sehingga tiada cinta manusia di hatinya kerana cintanya yang terlalu mendalam terhadap Yang Satu. Tetapi aku…Aku menangis lagi.

Aku menangis. Menangis. Menangis. Namun, tangisan ini membuatkan aku kembali kuat. Menyedarkan aku daripada lamunan. Kerana aku bukan perempuan yang mudah menyerah kalah! Allahuakbar! Aku tak kenal erti jatuh yang tidak bangun. Heh. Aku bukan perempuan yang begitu. Lembik!

Aku bukan perempuan lembik yang lemah. Mengada-ngada. Tidak mampu untuk hidup berdikari dan yang hanya bergantung kepada orang lain. Aku bukan perempuan yang penakut dan pengecut! Aku bukan perempuan yang mudah kalah terhadap cabaran!

Aku mahu menjadi perempuan yang lembut. Yang mempunyai hati yang kuat. Yang tidak lari daripada cabaran dunia tetapi menghadapinya dengan berani. Dengan bersandarkan keyakinan Dia sentiasa di sisi, aku tidak akan takut menegakkan kebenaran. Mempunyai hati yang bisa dilentur namun tak mudah untuk dipatahkan. Aku perempuan yang mampu berpijak atas kaki sendiri.

Akan kukesat air mata ini dengan semangat baru. Semangat yang lahir dari kekuatan yang dihembus-Nya. Aku tidak akan begitu mudah menurut kata nafsu. Aku perempuan yang ditarbiyah. Mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan duniawi. Aku ada Dia. Cukup.

Aku tidak mahu neraka. Aku mengatakan. Itu bukan aku. Kerana aku perempuan yang mahukan syurga.

"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung."
(An-Nisa', 4 : 13)

p/s: perempuan di atas umum, tidak merujuk kepada sesiapa. Hanya untuk renungan. Sekadar menyelami rasa.

Ihsan : http://syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/2011/05/aku-perempuan.html?spref=fb 

(Di petik daripada tulisan Nurliyana Nasuha)

Periksalah Cinta Kita Pada Zat Yang Maha Agung.!

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama periksa cinta kita kepada Zat yang Maha Agung.

Di dalam kesibukan kita, kita seringkali lupa sesuatu iaitu memeriksa cinta pada Allah SWT. Kita yakin bahawa kita sudah dan sedang mencintai Allah, namun kita jarang memeriksa benarkah kita memiliki rasa cinta itu?

Kekadang kita terlalu ghairah melakukan sesuatu yang lain sehingga terlupa bahawa cinta kita pada Allah SWT belum sekukuh mana. Ia sekadar di fikiran kita bahawa kita ini cukup ibadah, cukup terima kasih, cukup ingat, cukup khusyuk, cukup cinta pada Allah SWT namun kita tidak cuba periksa rasa cinta itu.

Di manakah tahap rasa cinta kita pada Allah SWT?

Sejauh mana kita mampu berserah menerima segala kehendak Allah SWT untuk apa jua keadaan dan perkara samada kecil atau besar.

Marilah kita periksa cinta kita.

Marilah….

Periksa jiwa:

1. Diam dan tenang.
2. Sedar ke Allah SWT
3. Rasakan adakah rasa cinta kita pada Allah?
4. Ada?….jika ada banyak mana?

Rasakan sayang pada pasangan dan anak-anak (atau ibu bapa, kawan-kawan, harta benda).

Mana lebih terasa rasa sayang itu?

Rasakan terus sayang kita pada Allah….rasakan…Jika tiada, mohonlah dengan bersungguh “Ya Allah, ajari aku untuk mencintaiMu ya Allah agar aku dapat rasakan cintaMu ya Allah. Terima kasih Allah, terima kasih”.

Inya Allah, pengalaman saya melakukannya setiap hari terutama selepas solat membuatkan saya berasa diri ini terlalu jauh dengan Allah SWT pada mulanya ketika suatu masa dulu….sedangkan Allah SWT sangat dekat.

Alhamdulillah, rasa itu kini semakin hari semakin kuat dan benar-benar merasakan Allah SWT sangat dekat dan sentiasa menjaga diri ini.

Semoga dengan adanya cinta kita pada Allah akan menambahkan keyakinan kita pada Allah SWT dan ia terus meningkat dari wajibul yakin –ainul yakin –haqqul yakin yang mana ketika ini kita sentiasa tenang mempertahankan iman kita walaupun diletakkan pisau di leher kita.

Terima kasih ya Allah, terima kasih.........:)

(Di petik daripada tulisan Kasih Mia Sarah)