Saturday, April 3, 2010

Empat Puluh Nasihat Sayyidina Ali k.w.

Nasihat-nasihat tersebut adalah seperti berikut :

1. Pendapat seorang tua adalah lebiih baik daripada tenaga seorang muda.
2. Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran.
3. Kebesaran seseorang itu bergantung dengan qalbunya yang mana adalah hanya sekeping daging.
4. Mereka yang bersifat pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.
5. Jagailah ibubapamu, nescaya anak anakmu akan menjagai kamu.
6. Bakhil terhadap apa yang ditangan adalah tidak mempunyai kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
7. Kekayaan seorang bakhil akan turun kepada ahli warisnya atau ke angin. Tidak ada yang lebih terpencil daripada seseorang bakhil.
8. Seorang arif adalah lebih baik daripada arif. Seorang jahat adalah lebih baik dari kejahatan.
9. Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan harus dijagai, sedangkan ilmu menjaga kamu.
10. Jagalah harta bendamu dengan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahanmu dengan mendirikan solat.
11. Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam.
12. Mengajar adalah belajar.
13. Berkhairatlah mengikut kemampuanmu dan janganlah menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan.
14. Insan terbahagi kepada tiga :
pertama : mereka yang mengenal Allah s.w.t.
kedua : mereka yang mencari kebenaran dan
ketiga : mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran.
Golongan terakhir inilah yang paling rendah dan tidak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta seperti kambing.
15. Insan tidak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawadhu’ dan lemah.
16. Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu terhadap Allah s.w.t.
17. Mereka yang mencari kesilapan dirinya sendiri adalah selamat daripada mencari kesilapan orang lain.
18. Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang ia lakukan untuk memperbaiki dirinya.
19. Manusia sebenarnya sedang tidur tetapi akan bangun apabila ia mati.
20. Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan akan Al Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak akan berubah walaupun terbuka rahsia rahsia kebenaran itu.
21. Allah s.w.t merahmati mereka yang kenal akan dirinya dan tidak melampaui batasnya.
22. Sifat seseorang itu tersembunyi disebalik lidahnya.
23. Seseorang yang membantu adalah sayapnya seseorang yang meminta.
24. Insan tidur diatas kematian anaknya tetapi tidak tidur diatas kehilangan hartanya.
25. Barangsiapa yang mencari apa yang tidak mengenainya nescaya hilang apa yang mengenainya.
26. Mereka yang mendengar orang yang mengumpat terdiri daripada golongan mereka yang mengumpat.
27. Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran.
28. Seorang yang hamba kepada syahwatnya adalah seorang yang lebih hina daripada seorang hamba kepada hamba.
29. Orang yang dengki, marah kepada orang yang tidak berdosa.
30. Putus harapan adalah satu kebebasan, mengharap (kepada manusia) adalah suatu kehambaan.
31. Sangkaan seorang yang berakal adalah suatu ramalan.
32. Seorang akan mendapat teladan diatas apa yang ia lihat.
33. Taat kepada perempuan (selain ibu) adalah kejahilan yang paling besar.
34. Kejahatan itu mengumpulkan kecelakaan yang memalukan.
35. Jika berharta, berniagalah dengan Allah s.w.t dengan bersedekah.
36. Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihatlah apa yang dikatakannya.
37. Tidak ada percintaan dengan sifat yang berpura pura.
38. Tidak ada pakaian yang lebih indah daripada keselamatan.
39. Kebiasaan lisan adalah apa yang telah dibiasakannya.
40. Jika kamu telah menguasai musuhmu, maafkanlah mereka, kerapa perbuatan itu adalah
syukur kepada kejayaan yang telah kamu perolehi.
 
(Dipetik dari kitab Nahjul Balagh oleh Sayyidina Ali k.w. dan kitab Al Bayan Wattabyeen oleh Al Imam Abu Othman Amru Ibn Bahr Al Jaahidh r.a.)

Friday, April 2, 2010

Wasiat Kedua belas Nabi s.a.w. (Perihal Rukun Islam)

Dari Muadz bin Jabal r.a. beliau berkata : Saya bersama Rasulullah dalam satu perjalanan. Suatu hari saya sangat dekat dengan beginda semasa kami berjalan dan aku berkata : "Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada saya tentang suatu amal yang dapat memasukkan saya ke dalam Syurga dan dapat menjauhkan saya daripada api Neraka."

 Rasulullah s.a.w. bersabda : 'Engkau telah menanyakan perkara besar di mana perkara itu akan menjadi mudah bagi orang yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sembahlah Allah dan janganlah engkau menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, puasa dalam bulan Ramadhan dan haji ke Baitullah.'

Kemudian baginda bersabda lagi : 'Sukakah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? .

Saya menjawab ; 'Suka wahai Rasulullah' .

Baginda pun bersabda ; 'Puasa itu perisai, sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sepertimana air dapat memadamkan api. Begitu pula halnya dengan solatnya seseorang. Begitu pula halnya dengan solatnya seseorang di tengah malam.

Dan baginda bacakan firman Allah s.w.t. :
'Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdo'a kepada Tuhan-Nya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Sesungguhnya tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.'
(Surah As-Sajdah ayat 16-17)

Kemudian baginda bersabda : 'Sukakah engkau aku khabarkan tentang pokok, tiang dan puncak daripada semua perkara?'

Saya berkata : 'Suka wahai Rasulullah.'

Baginda bersabda : 'Pokok sesuatu perkara itu Islam, tiangnya adalah solat manakala puncaknya adalah jihad'.

Baginda bersabda lagi : 'Sukakah engkau aku khabarkan cara mengendalikan semua itu?'

Saya menjawab : 'Suka wahai Rasulullah'.

Baginda bersabda : 'Cukuplah engkau menjaga ini sambil memberi isyarat kepada lidahnya'.

Saya bertanya : 'Apakah kita akan ditanya setiap apa yang kita ucapkan?'

Baginda menjawab : 'Celakalah. Tiada tersungkur wajah-wajah manusia ke dalam Neraka melainkan kerana kurang menjaga perkataan-Nya (lidahnya)."

(Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah. At-Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)

Thursday, April 1, 2010

Wasiat Keempat Belas Nabi s.a.w. (Menjaga Solat)

Dar Abdullah bin Umar r.a. beliau berkata bahawa suatu hari Nabi s.a.w. menerangkan perihal solat, sabdanya yang bermaksud : "Sesiapa yang menjaga solat, maka dia akan mendapatkan cahaya, tanda bukti dan kemuliaan pada hari qiyamat nanti. Sesiapa yang tidak menjaga solat, dia tidak akan memperoleh cahaya, tanda bukti dan kemuliaan di mana pada hari qiyamat dia akan di kumpulkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman, dan Ubai bin Khalaf."
(Hadis Riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

Dari Anas r.a. beliau berkata : "Solat telah diwajibkan kepada Nabi s.a.w. pada malam baginda diisrakkan sebanyak lima puluh kali, kemudian dikurangkan sehingga menjadi lima kali (waktu), kemudian terdengar panggilan (seruan) : 'Hai Muhammad! Bahawa tidak mungkin dapat dirubah perkataan daripada-Ku itu. Dan dengan solat fardu lima waktu ini emgkau mendapat pahala lima puluh'."
(Hadis Riwayat Imam hadis yang lima, kecuali Abu Daud)

Dari Abu Qatadah r.a beliau berkata Nabi s.a.w. bersabda : "Allah s.w.t berfirman : 'Aku telah mewajibkan solat lima waktu atas umat engkau (Muhammad) dan Aku telah berjanji pada diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat lima waktu tersebut tepat pada waktunya. Aku akan memasukkannya ke dalam Syurga. Sesiapa yang tidak menjaga soalt, tidak ada ikatan perjanjian apapun antara Aku dengannya'."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda : "Apabila kamu perhatikan bahawa seandainya ada sungai di pintu masuk salah seorang di antara kamu kemudian setiap hari dia mandi lima kali. Masih adakah kotoran tertinggal padanya?" Para sahabat menjawab : "Tidak tertinggal kotoran sedikit pun." Rasulullah s.a.w bersabda : "Itulah contoh solat lima waktu di mana dengannya Allah hapuskan kesalahan-kesalahan."
(Hadis Riwayat Imam Hadis kecuali Abu Daud.)

Dari Amr bin Sa'id beliau berkata : Saya bersama Othman r.a. di mana semasa akan bersuci beliau (Othman) berkata : "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : 'Tidaklah di katakan seorang Mulim melainkan tatkala datang waktu solat fardu segera dia menyempurnakan wudhu', khusyuk dan rukuknya, maka akan terhapus dosa-dosa setahun penuh sebelumnya kecuali dosa besar'."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Othman bin Affan r.a. beliau berkata : Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa solat Isyak dengan berjemaah seakan-akan dia melaksanakan solat setengah malam. Sesiapa melaksanakan solat subuh berjemaah maka seakan-akan dia melaksanakan solat satu malam penuh."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Musa r.a. beliau berkata Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesiapa solat bardain (subuh dan asar) maka dia akan masuk Syurga."
(Hadia Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Wednesday, March 31, 2010

Wasiat Ketiga belas Nabi s.a.w. (Berbakti Kepada Ibu Bapa)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w dan bertanya : "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya pergauli dengan baik? Baginda menjawab : "Ibumu" Lelaki itu bertanya lagi ; " Kemudian siapa?" Nabi menjawab : " Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi : " Kemudian siapa?". Nabi menjawab : " Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi ; " Kemudian siapa?" Nabi menjawab : " Bapamu."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain, dari Abu Hurairah, beliau berkata bahawa seorang lelaki bertanya ; "Wahai Rasulullah. siapakah orang yang paling berhak aku pergauli dengan baik?" Nabi menjawab : "Ibumu, lalu ibumu, lalu ibumu kemudian bapamu kemudian yang lebih dekat dan seterusnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata. Nabi s.a.w bersabda : "Hinalah seseorang, hinalah seseorang, hinalah seseorang iaitu orang yang mendapatkan kedua-dua orang tuanya atau salah seorang di antara keduanya telah tua namun pemeliharaannya ke atas mereka tidak menyebabkan dia masuk Syurga."
(Hadis Riwayat Muslim).

Tuesday, March 30, 2010

Bagaimana Mendapat Ketenangan Jiwa.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit yang menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang. Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima.

Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai masaalah menyebabkan seseorang mendapat stress, risau, bimbang, gangguan emosi dan kemurungan. Kehidupan yang mencabar, keperluan dan tuntutan kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang tinggi kesemuanya menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan memberikan tekanan jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat dikawal dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat. Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal terhadap kanak-kanak dan pembantu rumah, hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan. Itulah sunatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan mampu menghalanginya.

Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu agar jiwa menjadi tenang. Tak ada istilah stress bagi seorang Mukmin. Persoalannya Islam telah memberikan penyelesaian untuk menghadapi tekanan hidup. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

1. Membaca dan mendengarkan kitab suci al-Qur'an :

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.

Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah. 

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah. 

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya al-Qur'an dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.

2. Menyayangi orang miskin :

Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis dijelaskan bahwa para Malaikat selalu mendoakan orang-orang dermawan:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :“Setiap pagi hari dua Malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan do'a: ' Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang bersedekah. Dan Malaikat yang kedua pun berdo'a :' Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kedekut itu kebinasaan."

Dari hadis tersebut dapat disimpulkan bahwa orang yang dermawan itu memperoleh dua balasan. Pertama, ia mendapatkan ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan dari Allah s.w.t.

3. Melihat orang yang di bawah, jangan lihat orang di atas :

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah s.w.t, meskipun nampak sedikit. Rasa syukur itu akan muncul bila kita senantiasa melihat orang-orang yang  lebih rendah taraf kehidupannya dari kita, baik dalam segi harta kekayaan,  tahap kesihatan, rupa paras, pekerjaan dan pendidikannya. Betapa ramai di dunia ini orang yang kurang bernasib baik. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.

4. Menjaga perhubungan silaturahim :

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup tak mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam hadis Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silaturahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat.

5. Banyak mengucapkan kalimah "la hawla wa la quwwata illa billah."

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dalam semua keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Perhubungan yang  kuat dengan Allah s.w.t. akan membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah diganggu gugat oleh sesiapa pun, apabila hati sentiasa mengingati Allah maka syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita. 

6. Mengatakan kebenaran walaupun ianya pahit didengar :

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangan. Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan terbina apabila kita tidak melanggar nilai-nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang-orang kerap berbuat maksiat, kehidupannya dipengaruhi kegelisahan.

7. Sentiasa berlapang dada terhadap kecaman orang lain asalkan yang kita lakukan benar-benar kerana Allah :

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerena selalu mengambil perhatian kecaman orang lain terhadap dirinya.  Sedangkan seseorang akan memiliki pendirian yang kuat jika berpegang kepada prinsip-prinsip yang datang dari Allah s.w.t. iaitu Islam sebagai cara hidup. Sekiranya kita ikuti apa yang berlaku di dunia sekarang ini, ianya akan menganggu ketenagan jiwa kita. 

8. Tidak meminta-minta kepada orang lain :

"Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah" adalah hadis Rasulullah s.a.w  yang memotivasi setiap mukmin untuk hidup berdikari. Tidak bergantung dan meminta-minta kepacla orang lain, kerana jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah. Hal ini tentu membuat jiwanya tidak tenang.

9. Menjauhkan diri dari berhutang :

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w dengan tegas mengatakan yang bermaksud : “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasakan keamanan!”
(Para sahabat) bertanya:" Bagaimana boleh terjadi seperti itu!"
 Sabdanya :" Kerana hutang.”

Begitulah kenyataanya. Orang yang berhutang akan senantiasa bimbang dan risau, kerena ia akan didatangi oleh orang yang memberi hutang kepadanya. Inilah salah satu faktor yang membuat banyak orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah s.a.w juga mengatakan dalam hadisnya yang bermaksud : “Hendaklah kamu jauhi hutang, kerena hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari."

10. Selalu berfikiran positif :

Mengapa seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuat muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang mengembirakan. Ucapan yang mengembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat. Bukankah di balik kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh jadi pelajaran? Dan bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?

(Sumber dipetik dari tulisan Djasti Tanius)


Monday, March 29, 2010

Kelebihan Basmallah

Mukjizat di sebalik BASMALLAH :

BASMALLAH adalah sebutan atau nama singkat dari lafaz "BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM" yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

KELEBIHAN-KELEBIHAN BASMALLAH

1.Yang pertama ditulis qalam adalah BASMALLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BASMALLAH pada awalnya kerana BASMALLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Malaikat Jibrail a.s.

2.Firman Allah s.w.t dalam Hadis Qudsi yang bermaksud : "BASMALLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BASMALLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BASMALLAH diturunkan kepada Adam."

3.Tatkala BASMALLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4.Demi Allah dan keagungan-Nya, tidaklah BASMALLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BASMALLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

5.Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BASMALLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6.Jumlah huruf dalam BASMALLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga Neraka ada 19 (QS.AL http://qs.al/ Muddatsir:30) .Ibnu Mas'ud berkata: "Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 Malaikat Neraka maka bacalah BASMALLAH 19 kali setiap hari."

7.Tiap huruf BASMALLAH ada junnah (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, "Siapa yang membaca BASMALLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. "

8.Barangsiapa yang memuliakan tulisan BASMALLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di Syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9.Barangsiapa yang membaca BASMALLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10.Barangsiapa yang membaca BASMALLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.


11.Barangsiapa yang membaca BASMALLAH sebanyak 50 kali dihadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Sabda Rasulluah s.a.w. yang bermaksud : "Siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang yang mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walaupun sudah tiada...."

(Sumber dari website : Braderhud)

Sunday, March 28, 2010

Wasiat Kesebelas Nabi s.a.w. (Keutamaan Bertaubat Kepada Allah)

Dari Al-Aghari bin Yasar Al-Muzany r.a. beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampun kepada-Nya kerana aku bertaubat tidak kurang dari seratus kali dalam sehari."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata : Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :" Demi Allah, saya minta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya tidak kurang dari tujuh puluh kali sehari."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dari Abi Hamzah, Anas bin Malik Al-Anshari, pelayan Rasulullah, beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Allah lebih suka terhadap taubat hamba-Nya melebihi sukanya salah seorang di antara kamu yang kehilangan unta kemudian terjumpa di masa dia berada di tengah hutan belentara."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim, hadis itu berbunyi :
"Allah lebih senang menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi dari kesukaan orang yang berkenderaan di hutan di mana kenderaannya hilang padahal kenderaan itu pernah membawa bekal makanan dan minuman sehingga dia putus harapan untuk mendapatkannya kembali lalu duduk di bawah pokok dengan kecewa dan putus asa. Tiba-tiba ketika dia bangun dari tidurnya kenderaannya telah balik semula dihadapannya lengkap dengan perbekalannya. Maka segeralah dia memegang kendalinya sambil berkata : Ya Allah, Engkau Hambaku dan aku Rabb-Mu." Terlajak lidahnya kerana sangat gembira."

Dari Abi Musa, Abdullah Ibni Qais Al Asy'ari r.a berkata : Nabi s.a.w bersabda : "Bahawa Allah membentangkan pengampunan-Nya di waktu malam , supaya bertaubat orang yang berdosa di waktu siang. Dia membentangkan pengampunan-Nya di waktu siang supaya bertaubat orang yang berdosa di waktu malam sehingga matahari terbit dari sebelah barat."
(Hadis Riwayat Muslim)