Saturday, May 7, 2011

Siapakah Imam Mahdi?

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Para ulama membahagikan tanda-tanda akhir zaman kepada dua iaitu pertama tanda-tanda kecil dan kedua tanda-tanda besar . Tanda-tanda kecil jumlahnya sangat banyak dan datang terlebih dahulu., sedangkan tanda-tanda besar datang kemudian jumlahnya ada sepuluh.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)

Allah SWT masih sayang kepada umat manusia, sehingga Allah SWT datangkan tanda-tanda kecil dalam jumlah banyak sebelum datangnya tanda-tanda besar. Dengan demikian manusia diberi kesempatan cukup lama untuk merenung dan bertaubat sebelum tanda-tanda besar datang menjelma.

Banyak pendapat mengatakan bahawa keadaan dunia kebelakangan ini berada di ambang datangnya tanda-tanda besar kiamat. Kerana di masa kita hidup dewasa ini sudah sedemikian banyak tanda-tanda kecil yang telah muncul. Hampir keseluruhan tanda-tanda kecil kiamat yang disebutkan oleh Nabi SAW sudah muncul semua di zaman kita. Maka kedatangan tanda-tanda besar tersebut hanya menunggu waktu sahaja.

Tanda besar pertama yang bakal datang ialah keluarnya Dajjal. Namun sebagian ulama berpendapat bahawa sebelum munculnya Dajjal harus datang terlebih dahulu Tanda Penghubung antara tanda-tanda kecil kiamat dengan tanda-tanda besarnya. Tanda penghubung dimaksud ialah diutusnya Imam Mahdi ke muka bumi.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW mengisyaratkan bahwa Imam Mahdi pasti datang di akhir zaman. Ia akan memimpin umat Islam keluar dari kegelapan kezaliman dan kerosakan menuju cahaya keadilan dan kejujuran yang menerangi dunia seluruhnya. Ia akan menghantarkan kita meninggalkan corak pemerentahan diktator yang memaksa rakyat patuh kepadanya dan mengabaikan kehendak Allah dan Rasul-Nya . Proses tertegaknya sistem khalifah Islam dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup baru saja bermula dengan tumbangnya beberapa pemerentahan diktator di timur tengah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Andaikan dunia tinggal sehari sungguh Allah akan panjangkan hari tersebut sehingga diutus padanya seorang lelaki dari ahli baitku namanya serupa namaku dan nama ayahnya serupa nama ayahku. Ia akan penuhi bumi dengan kejujuran dan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penganiayaan.” (Hadis Riwayat  Abu Dawud 9435)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sungguh, bumi ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan kesemena-menaan (sewenang-wenangnya). Dan apabila kezaliman serta kesemena-menaan itu telah penuh, maka Allah SWT. akan mengutus seorang laki-laki yang berasal dari umatku, namanya seperti namaku, dan nama bapaknya seperti nama bapaku (Muhammad bin Abdullah). Maka ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kemakmuran, sebagaimana ia (bumi) telah dipenuhi sebelum itu oleh kezaliman dan kesemena-menaan. Di waktu itu langit tidak akan menahan setitis pun dari titisan airnya, dan bumi pun tidak akan menahan sedikit pun dari tanaman-tanamannya. Maka ia akan hidup bersama kamu selama 7 tahun, atau 8 tahun, atau 9 tahun.” (Hadis Riwayat Thabrani)

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam ajaran Islam, Imam Mahdi ialah seorang mukmin berusia muda yang akan dipilih oleh Allah S.W.T. untuk menghancurkan semua kezaliman dan menegakkan keadilan di muka bumi sebelum datangnya hari kiamat.

Hal ini diterangkan sangat jelas dalam sebuah hadis nabi yang di riwayatkan oleh Thabrani di atas.

Hadis lain yang menerangkan tentang kedatangan Imam Mahdi telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : “Pada akhir zaman akan muncul seorang khalifah yang berasal dari umatku, yang akan melimpahkan harta kekayaan selimpah-limpahnya. Dan ia sama sekali tidak akan menghitung-hitungnya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)  

Imam Mahdi sebenarnya adalah sebuah "nama gelaran" sebagaimana halnya dengan gelar khalifah, amirul mukminin dan sebagainya. Imam Mahdi dapat diertikan secara bebas bermakna "Pemimpin yang telah diberi petunjuk" Dalam bahasa Arab kata Imam adalah pemimpin, dan perkataan Mahdi bererti  "orang yang mendapat petunjuk"

Nama Imam Mahdi sebenarnya seperti yang disebutkan dalam hadis di atas, ia bernama Muhammad (seperti nama Nabi Muhammad S.A.W, nama bapanya pun sama seperti nama bapa Rasulullah SAW  iaitu Abdullah). Nama Imam Mahdi sama dengan nama Rasulullah S.A.W. iaitu Muhammad bin Abdullah.

Tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang mengetahui tentang Imam Mahdi dan ciri-cirinya, kecuali Rasulullah SAW. kerana baginda dibimbing oleh wahyu. Oleh sebab itu bagi kita sebaik-baiknya tempat untuk merujuk tentang perkara ini adalah apa yang baginda  katakan dalam hadis-hadisnya.

Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : “Al-Mahdi (Imam Mahdi) berasal dari umatku, berkening lebar, berhidung panjang dan mancung. Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kemakmuran, sebagaimana ia (bumi ini) sebelum itu dipenuhi oleh kezaliman dan kesemena-menaan (sewenang-wenangnya)  dan ia (umur kekhalifahan) berumur tujuh tahun.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim)

Jika diteliti secara tersirat pada maksud Imam Mahdi itu sendiri, ia tersimpan seribu satu rahsia yang disembunyikan oleh Allah dan Rasul-Nya kerana seperti mana kitab al-Quran yang tersimpan seribu satu macam rahsia dan ilmu. Maka, begitu juga pada Imam Mahdi sendiri. Ini adalah kerana Allah hendak memelihara agama-Nya dan hamba-Nya yang taat.

Kemunculan Imam Mahdi bukan kerana kemahuan Imam Mahdi itu sendiri melainkan kerana takdir Allah yang pasti berlaku. Bahkan Imam Mahdi sendiri tidak menyedari bahawa dirinya adalah Imam Mahdi melainkan setelah Allah SWT. mengislahkannya dalam suatu malam, seperti yang dikatakan dalam sebuah hadis berikut :

Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Al-Mahdi berasal dari umatku, yang akan diislahkan oleh Allah dalam satu malam." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Imam Mahdi akan berperanan sebagai panglima perang umat Islam di akhir zaman. Beliau akan mengajak ummat Islam untuk memerangi para Mulkan Jabriyyan (Para Penguasa Diktator) yang telah lama memerentah di berbagai negeri-negeri di dunia menjalankan kekuasaan dengan ideologi penghambaan manusia kepada sesama manusia. Bila Allah mengizinkan Imam Mahdi untuk menang dalam berbagai perang yang dipimpinnya, maka pada akhirnya ia akan memimpin dengan kepemimpinan berasaskan akidah Tauhid, iaitu penghambaan manusia kepada Allah semata-mata. Banyak peperangan akan dipimpin oleh Imam Mahdi dan Allah SWT akan senantiasa menjanjikan kemenangan baginya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kalian perangi jazirah Arab dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian Persia (Iran), dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian kalian perangi Rum, dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian kalian perangi Dajjal, dan Allah beri kalian kemenangan.” (Hadis Riwayat Muslim 5161)

Kemunculan Imam Mahdi akan di dahului oleh beberapa tanda-tanda sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis berikut :

Aisyah Ummul Mukminin r.ha.  telah berkata, "Pada suatu hari tubuh Rasulullah SAW. bergetar dalam tidurnya. Lalu kami bertanya, 'Mengapa engkau melakukan sesuatu yang belum pernah engkau lakukan wahai Rasulullah?'

Rasulullah SAW. menjawab, 'Akan terjadi suatu keanehan, iaitu bahawa sekelompok orang dari umatku akan berangkat menuju Baitullah (Kaabah) untuk memburu seorang laki-laki Quraisy yang pergi mengungsi ke Kaabah. Sehingga apabila orang-orang tersebut telah sampai ke padang pasir, maka mereka ditelan bumi.'

Kemudian kami bertanya, 'Bukankah di jalan padang pasir itu terdapat bermacam-macam orang?'

Baginda SAW menjawab, 'Benar, di antara mereka yang ditelan bumi tersebut ada yang sengaja pergi untuk berperang, dan ada pula yang dipaksa untuk berperang, serta ada pula orang yang sedang berada dalam suatu perjalanan, akan tetapi mereka binasa dalam satu waktu dan tempat yang sama. Sedangkan mereka berasal dari arah (niat) yang berbeda-beda. Kemudian Allah SWT. akan membangkitkan mereka pada hari berbangkit, menurut niat mereka masing-masing'." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak akan muncul seorang pemimpin (yang dikatakan Imam Mahdi) dikalangan umat Nabi Muhammad di akhir zaman sebelum kebanyakan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya bersatu di bawah satu kitab(al-Quran) memenuhi bumi ini dengan kebaikan dan mereka juga mengajak dan memimpin manusia yang hendak beriman mengikut mereka melaksanakan semua perintah di dalam al-Quran.

Mereka, tidak berbuat sesuatu kerana manusia atau kerana kepentingan diri sendiri. Ini kerana mereka telah melihat banyak sekali kerosakan yang berlaku atas muka bumi hasil dari tangan-tangan manusia sendiri. Terlalu banyak pecah belah yang berlaku di kalangan manusia seperti mana yang tertulis di dalam surah ar-Ruum ayat 32 yang bermaksud : "iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka."

Sebagaimana yang berlaku di dalam setiap negara yang ada di muka bumi ini. Selain umat Islam berjaya dipecahbelahkan menjadi berbangsa-bangsa (wujud negara-negara yang berbeza) mereka juga berjaya dipecahbelahkan dengan wujudnya berbeza-beza kepimpinan di dalam sesebuah negara (wujud parti-parti politik). Dengan adanya keadaan begini semakin sukar umat Islam untuk bersatu kerana perbezaan kepentingan di dalam kelompok masing-masing.

Telah bersabda Rasulullah SAW : "Seorang laki-laki akan datang ke Baitullah (Kaabah), maka diutuslah suatu utusan (oleh penguasa) untuk mengejarnya. Dan ketika mereka telah sampai di suatu gurun pasir, maka mereka terbenam ditelan bumi." (Hadis Riwayat Muslim)

Golongan pemimpin yang mendapat petunjuk dari Allah (Imam Mahdi) sedang berusaha menyatukan kembali perpecahan ini. Akan tetapi mereka juga tidak lari dari mendapat ujian dalam menyatukan semua manusia untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.

Umat Islam akhir zaman ini amat jauh dari memahami intisari kitab suci al-Quran. Kebanyakan mereka hanya menggunakan al-Quran sekadar untuk dibaca sahaja dan tidak kurang yang menggunakan sebagai azimat. Sedang fungsi sebenar kitab suci al-Quran itu tidak dilaksanakan sebenar-benarnya.

Telah bersabda Rasullah SAW :  "Sungguh, Baitullah ini akan diserang oleh suatu pasukan, sehingga apabila pasukan tersebut telah sampai pada sebuah padang pasir, maka bagian tengah pasukan itu ditelan bumi. Maka berteriaklah pasukan bagian depan kepada pasukan bagian belakang, dimana kemudian semua mereka ditenggelamkan bumi dan tidak ada yang tersisa, kecuali seseorang yang selamat, yang akan mengabarkan tentang kejadian yang menimpa mereka." (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Nasai, dan Ibnu Majah)

Telah bersabda Rasulullah SAW :  "Akan dibaiat seorang laki-laki antara maqam Ibrahim dengan sudut Kaabah." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Akan terjadi perselisihan setelah wafatnya seorang pemimpin, maka keluarlah seorang lelaki dari penduduk Madinah mencari perlindungan ke Mekkah, lalu datanglah kepada lelaki ini beberapa orang dari penduduk Mekkah, lalu mereka membaiat Imam Mahdi secara paksa, maka ia dibaiat di antara Rukun dengan Maqam Ibrahim (di depan Kaabah). Kemudian diutuslah sepasukan manusia dari penduduk Syam, maka mereka dibenamkan di sebuah daerah bernama Al-Baida yang berada di antara Mekkah dan Madinah.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud 3737)

Difahami bahawa perlantikan Imam Mahdi (Khalifah terakhir umat Islam) akan berlaku dihadapan Baitullah. Ini kerana hadis di atas jelas menerangkan peristiwa yang akan berlaku.

Telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Suatu pasukan dari umatku akan datang dari arah negeri Syam ke Baitullah (Kaabah) untuk mengejar seorang laki-laki yang akan dijaga Allah dari mereka." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang disebutkan di atas Imam Mahdi akan memimpin selama 7 atau 8 atau 9 tahun. Semasa kepemimpinannya Imam Mahdi akan membawa kaum muslimin untuk memerangi kezaliman, hingga satu demi satu kezaliman akan tumbang takluk dibawah kekuasaanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketika kalian melihatnya (kehadiran Imam Mahdi), maka berbaiat-lah dengannya walaupun harus merangkak-rangkak di atas salju kerana sesungguhnya dia adalah Khalifatullah Al-Mahdi.” (Hadis Riwayat Abu Dawud 4074)

Kemenangan demi kemenangan yang diraih Imam Mahdi dan pasukannya akan membuat murka raja kezaliman (Dajal) sehingga membuat Dajal keluar dari persembunyiannya dan berusaha membunuh Imam Mahdi serta pengikutnya. Dengan kemunculan Dajal menandakan telah wujud salah satu tanda akhir kiamat.

Kekuasaan dan kehebatan Dajal bukanlah lawan tanding Imam Mahdi oleh kerana itu sesuai dengan takdir Allah SWT, maka Allah SWT  akan menurunkan Nabi Isa dari langit yang bertugas membunuh Dajal.

Imam Mahdi dan Nabi Isa akan bersama-sama memerangi Dajal dan pengikutnya, hingga Dajal mati ditombak oleh Nabi Isa di pintu Lod dalam kompleks al-Aqsa.

Sahabat yang di kasihi,
Kalian semua perlu berhati-hati ada dikalangan umat Islam yang membuat dakwaan berbagai-bagai macam pandangan yang mengelirukan tentang kemunculan Imam Mahdi yang tidak diasaskan daripada hadis yang sahih. Setakat dakwaan melalui mimpi-mimpi tidak boleh diterima. Golongan syiah juga mendawa bahawa Imam Mahdi akan muncul dikalangan mereka.

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa kemunculan Imam Mahdi akan berlaku di akhir zaman. Bila masa dan waktu kemunculannya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Perkara penting yang perlu kita lakukan adalah sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW dan sentiasa istiqamah dengan ajaran Islam. Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah SWT yang sentiasa dirahmati-Nya di dunia dan akhirat.

Orang Mukmin Sentiasa Bersyukurlah Di Atas Segala Nikmat Allah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada-Nya. Allah SWT akan membalasnya dengan Dia mengingati dan melimpahkan nikmat yang banyak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152).

Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman. Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yang dimilikinya.

Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya.

Allah SWT berjanji menambah nikmatnya kepada sesiapa yang sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yang bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat nanti.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sembahyang yang sepanjangnya baginda menangis sehingga bercucuran air mata. Hal itu berlaku apabila baginda menerima wahyu yang menjelaskan mengenai kejadian alam ini yang dibentang luas untuk kemudahan dan kenikmatan hidup manusia.

Melihat keadaan Rasulullah SAW menangis itu, Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang menyebabkan tuan menangis? Padahal Allah telah mengampunkan apa-apa yang terdahulu daripada dosa tuan dan juga yang terkemudian.”
Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapakah aku tidak berbuat demikian, sedangkan Allah telah menurunkan (ayat) kepadaku.”

Ayat yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ialah ayat 164, surah al-Baqarah bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia.”

Bahawasanya Nabi SAW merasakan betapa besarnya anugerah Allah kepada seluruh makhluk di muka bumi ini. Orang beriman melihat seluruh kejadian alam dari kaca mata keimanan dan ketakwaan, yang diiringi dengan rasa kesyukuran, keinsafan dan keteguhan iman.

Sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan kepada kita dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya, antaranya nikmat umur, nikmat rezeki, nikmat kesihatan, nikmat keamanan, nikmat pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, berkata-kata dan sebagainya.

Sememangnya kita tidak akan mampu untuk menghitung segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini menunjukkan betapa kerdilnya kita di sisi-Nya, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An Nahl ayat 18, yang bermaksud : "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Amat Mengasihi".

Kadangkala apabila kita berada didalam kesusahan, perlu kepada pertolongan ada sahabat yang mulia hatinya dihantar oleh Allah SWT untuk membantu dan memberi pertolongan, hinggakan masalah tersebut dapat di atasi. Ini sebeanrnya adalah nikmat dan rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Dari itu bersyukurlah kerana Allah SWT telah pertemukan dengan sahabat-sahabat yang baik dunia dan akhirat.

Terdapat enam cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah SWT iaitu :

Pertama : Sentiasa membaca doa atau memuji Allah SWT dalam setiap perbuatan dan tindakan, seperti apabila hendak tidur dan bangun dari tidur, sebelum dan selepas makan, menaiki kenderaan dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal-Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku, serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Baqarah ayat 186)

Kedua : Disunatkan melakukan sujud syukur apabila mendapat kejayaan, kemenangan dan seumpamanya.

Doa sujud syukur : "Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha suci Allah sebaik-baik Pencipta."

Ketiga : Melakukan segala perintah-Nya dengan ikhlas dan menjauhi segala larangan-Nya dengan sabar.

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka."(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Keempat : Memanfatkan pemberian Allah SWT dengan cara yang betul seperti menggunakan lidah untuk berzikir kepada Allah SWT dan menggunakan nikmat mata untuk membaca al-Quran dan sebagainya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf,  Ayat 205)

Kelima : Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sentiasa bersedekah dan menginfakkan harta dijalan Allah SWT.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu dilehernya. Lalu yang lain datang untuk memukul lehernya. Maka berkatalah (sedekah): ‘Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.”
(Hadis Riwayat al-Turmudzi).

Keenam : Sentiasa memohon kepada Allah SWT agar menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, sebagaimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW maksudnya : "Ya Allah! Bantulah kami supaya dapat selalu menyebut-Mu (berzikir mengingati-Mu), bersyukur dan beribadat yang sebaik-baiknya kepada-Mu".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita sentiasa menanamkan dalam jiwa dan sanubari sifat tawaduk dan rendah diri dan sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Perlulah kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT  agar menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan mendapat keredaan-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam Surah An Nahl ayat 78 yang bermaksud :"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur".

Friday, May 6, 2011

Kisah Nabi Yunus a.s.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam al-Quran terdapat kisah Nabi Yunus a.s. yang boleh dijadikan pengajaran kepada para pendakwah bahawa tugas menyeru manusia kepada akidah tauhid dan kebenaran  Islam perlu kepada kesabaran , istiqamah dan ketenangan. Seorang pendakwah dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan dakwah sedangkan hasilnya adalah urusan Allah SWT.

Nama sebenar Nabi Yunus a.s adalah Yunus bin Mata atau Dzun Nun. Baginda adalah seorang Nabi yang mulia yang diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya. Baginda menasihati mereka dan membimbing mereka ke jalan kebenaran dan kebaikan; baginda mengingatkan mereka akan kedahsyatan hari kiamat dan menakut-nakuti mereka dengan neraka dan menjanjikan mereka dengan syurga; baginda memerintahkan mereka dengan kebaikan dan mengajak mereka hanya menyembah kepada Allah SWT.
Nabi Yunus a.s. senantiasa menasihati kaumnya namun tidak ada seorang pun yang beriman di antara mereka. Datanglah suatu hari kepada Nabi Yunus di mana baginda merasakan keputusannya dari kaumnya. Hatinya dipenuhi dengan perasaan marah kepada kaumnya kerana mereka tidak beriman. Kemudian baginda  keluar dalam keadaan marah dan menetapkan untuk meninggalkan mereka. Allah SWT menceritakan hal itu dalam firman-Nya :


“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘ Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim." (Surah al-Anbiya’ ayat 87)
Tidak ada seorang pun yang mengetahui  perasaan dalam diri Nabi Yunus a.s. selain Allah SWT. Nabi Yunus a.s. cukup marah kepada kaumnya kerana keengganan mereka untuk beriman kepada Allah SWT. Dalam keadaan demikian, baginda meninggalkan kaumnya.

Baginda pergi ke tepi laut dan menaiki kapal yang dapat memindahkannya ke tempat yang lain. Allah SWT belum mengeluarkan keputusan-Nya untuk menyuruh baginda meninggalkan kaumnya .Nabi Yunus a.s.  mengira bahawa Allah SWT tidak mungkin menurunkan hukuman kepadanya kerana dia meninggalkan kaumnya itu. Saat itu Nabi Yunus a.s. seakan-akan lupa bahwa seorang nabi diperintah hanya untuk berdakwah di jalan Allah SWT. taufik dan hidayah itu adalah hak Allah SWT untuk diberikan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jadi, tugasnya hanya berdakwah di jalan Allah SWT dan menyerahkan sepenuhnya masalah berjaya atau tidak kepada Allah SWT semata-mata.

Diringkaskan cerita setelah undian dibuat sebanyak tiga kali Nabi Yunus a.s. termasuk penumpang kapal yang akan di campakkan kelaut disebabkan untuk mengurangkan beban kapal ketika laut bergeloran untuk mengelakkan kapal karam.

Nabi Yunus a.s. sangat terkejut ketika mendapati dirinya dalam perut ikan. Ikan itu membawanya ke dasar lautan dan lautan membawanya ke kegelapan malam.

Tiga kegelapan yang di alami oleh Nabi Yunus a.s. iaitu:
1. kegelapan di dalam perut ikan, 2. kegelapan di dasar lautan, dan 3. kegelapan malam.

Nabi Yunus a.s. merasakan bahawa dirinya telah mati. Baginda mencoba menggerakan panca inderanya dan anggota tubuhnya masih bergerak. Kalau begitu, baginda masih hidup. Baginda terpenjara dalam tiga kegelapan.

Nabi Yunus a.s.  mulai menangis dan bertasbih kepada Allah SWT. Baginda mulai melakukan perjalanan menuju Allah saat baginda terpenjara di dalam tiga kegelapan. Hatinya mulai bergerak untuk bertasbih kepada Allah, dan lisannya pun mulai mengikutinya. Baginda mengatakan: "Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin"
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim.)

Ketika terpenjara di perut ikan, baginda tetap bertasbih kepada Allah SWT. Ikan itu sendiri   berenang cukup jauh. Kemudian ikan itu tertidur di dasar lautan. Sementara itu, Nabi Yunus a.s masih bertasbih kepada Allah SWT. Baginda tidak henti-hentinya bertasbih dan menangis. Baginda tidak makan, tidak minum, dan tidak bergerak. Baginda berpuasa dan berbuka dengan tasbih. 

Ikan-ikan yang lain dan tumbuh-tumbuhan dan semua makhluk yang hidup di dasar lautan mendengar tasbih Nabi Yunus. Tasbih itu berasal dari perut ikan paus ini. Kemudian semua makhluk-makhluk itu berkumpul di sekitar ikan paus itu dan mereka pun ikut bertasbih kepada Allah SWT. Setiap dari mereka bertasbih dengan caranya dan bahasanya sendiri.
Ikan paus yang memakan Nabi Yunus itu terbangun dan mendengar suara-suara tasbih begitu riuh dan gemuruh. Ia menyaksikan di dasar lautan terjadi suatu perayaan besar yang dihadiri oleh ikan-ikan dan hewan-hewan lainya, bahkan batu-batuan dan pasir semuanya bertasbih kepada Allah SWT dan ia pun tidak ketinggalan ikut serta bersama mereka bertasbih kepada Allah SWT. Dan ia mulai menyadari bahawa ia sedang menelan seorang Nabi.


Allah SWT melihat ketulusan taubat Nabi Yunus a.s. Allah SWT mendengar tasbihnya di dalam perut ikan. Kemudian Allah SWT menurunkan perintah kepada ikan itu agar mengeluarkan Yunus a.s. ke permukaan laut dan membuangnya di suatu pulau yang ditentukan oleh Allah SWT.

Ikan itu pun mentaati perintah Ilahi. Tubuh Nabi Yunus a.s. merasakan kepanasan di perut ikan. Baginda sedang  sakit tenat, lalu matahari bersinar dan menyentuh badannya yang kepanasan itu. Kemudian Allah SWT menumbuhkan pohon Yaqthin (jenis labu), iaitu pohon yang daun-daunnya lebar yang dapat melindungi dari sinar matahari. Dan Allah SWT menyembuhkannya dan mengampuninya. Allah SWT memberitahunya bahawa kalau bukan kerana tasbih yang diucapkannya nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan sampai hari kiamat.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan, kemudian ia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit. Dan kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu. Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerena itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (Surah as-Saffat ayat 139-148)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘ Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim. Maka Kami kabulkan (doanya) dan Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman." (Surah al-Anbiya’ ayat 87-88)

Sahabat yang dimuliakan,
Kita sekarang ingin membahas masalah yang menurut ulama disebut sebagai dosa Nabi Yunus. Apakah Nabi Yunus melakukan suatu dosa dalam pengertian yang hakiki, dan apakah para nabi memang berdosa? Jawabannya adalah: Para nabi adalah orang-orang yang maksum tetapi kemaksuman ini tidak bererti bahawa mereka tidak melakukan sesuatu yang menurut Allah SWT itu adalah satu kelemahan yang perlu hukuman sebagai pengajaran bukan kerana Allah SWT murka.


Nabi Yunus adalah seorang Nabi yang diutus oleh Allah SWT kepada mereka. Seharusnya ia menyampaikan dakwah di jalan Allah SWT dan ia tidak peduli dengan hasil dakwahnya. Tugas baginda hanya sekadar menyampaikan agama. Keluarnya baginda dari kampung halaman kaumnya dalam keadaan mereka kufur adalah dilarang melainkan mendapat wahyu daripada Allah SWT seperti Nabi Luth a.s. di arahkan keluar daripada kampung halamannya kerana Allah SWT ingin membinasakannya.

Allah SWT memberikan suatu pelajaran kepada Yunus dalam hal dakwah di jalan-Nya. Allah SWT mengutusnya hanya untuk berdakwah. Inilah batasan dakwahnya dan baginda tidak perlu bimbang jika mereka tidak beriman dan tidak patut marah kepada mereka kerana petunjuk dan hidayah adalah hak mutlak Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan mengapa tidak ada penduduk suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai waktu yang tertentu.”
(Surah  Yunus ayat 98)
 
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yunus a.s. ini bahawa setiap orang mukmin yang menjadi pendakwah perlulah bekerja menyampaikan mesej Islam kepada manusia dengan cara yang hikmah. Jika mereka tidak mahu mengikutnya kita jangan marah kepada mereka kerana terima atau tidak mereka kepada Islam itu adalah urusan mereka dengan Allah SWT. Tugas kita hanya menyampaikan saja. Taufik dan hidayah itu adalah hak mutlak Allah SWT, dan Dia akan memberikan kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki. Kita boleh berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT membuka pintu hati-hati mereka untuk beriman kepada-Nya.
Fadhilat doa/tasbih Nabi Yunus a.s.  semasa terperangkap di dalam perut Ikan Nun.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“Barangsiapa mempunyai apa-apa hajat, hendaklah ia berwuduk, kemudian sujud kepada Allah, sambil membaca tasbih Nabi Yunus sebanyak 40 kali dengan cara jari telunjuknya menghadap ke arah kiblat ketika ia sujud. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian akan diperkenankan doa dan permintaannya.”

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sesungguhnya aku ketahui satu kalimah yang apabila dibaca oleh mereka-mereka yang ditimpa bala atau kesusahan, Allah akan lepaskan si pembacanya dari kesusahan. Kalimah tersebut ialah tasbih saudaraku Nabi Yunus a.s. “La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin.”



Thursday, May 5, 2011

Empat Golongan Masuk Syurga Tanpa Hisab

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu `Abbas radhiaAllahu`anhuma, Nabi SAW ada menyebut bahawa baginda SAW diberitahu ada 70,000 orang di kalangan ummatnya yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan tidak diseksa terlebih dahulu.

Siapakah mereka yang beruntung yang termasuk di dalam 70,000 orang itu?  Mereka ialah:

1. Orang-orang yang tidak menjampi,
2. Orang-orang yang tidak pernah minta dijampi,
3. Orang-orang yang tidak meramal,
4. Orang-orang yang hanya bertawakkal kepada Allah `Azza wa Jalla.

Hadisnya seperti berikut:

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma berkata, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya :  ”Telah diperlihatkan kepadaku ummat-ummat terdahulu, maka saya melihat ada seorang nabi yang disertai dengan rombongan kecil, ada seorang nabi yang disertai dengan satu dua orang sahaja, bahkan ada seorang nabi yang tidak mempunyai pengikut seorang pun.  Kemudian terlihat olehku satu rombongan besar yang kusangka mereka adalah ummatku, namun dikatakan kepadaku:  ”Ini adalah Musa dan kaumnya, tetapi lihatlah ke ufuk sana.”

Kemudian kulihat ke ufuk itu dan tiba-tiba kulihat rombongan yang besar, lantas dikatakan kepadaku:  ”Lihatlah ke ufuk yang lain”; di sana kulihat satu rombongan besar kemudian dikatakan kepadaku:  ”Ini adalah ummatmu dan di dalamnya ada tujuh puluh ribu orang yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan tanpa diseksa lebih dahulu.”  Baginda lalu bangkit dan masuk ke dalam rumah.

Maka orang-orang ramai membicarakan masalah orang-orang yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan diseksa lebih dahulu.  Salah seorang dari mereka berkata:  ”Barangkali mereka adalah sahabat-sahabat Rasulullah SAW.”

Ada pula yang berkata:  ”Barangkali mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam keadaan Islam kemudian mereka tidak mempersekutukan Allah.”

Dan mereka memperkirakan yang macam-macam.  Kemudian Rasulullah SAW keluar dan bersabda kepada mereka:  ”Apa yang sedang kalian bicarakan?”

Kemudian mereka menceritakannya kepada Rasulullah SAW.  Maka baginda SAW bersabda:  ”Mereka itu adalah orang-orang yang tidak menjampi, mereka yang tidak pernah minta dijampi, mereka yang tidak meramal dan hanya kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal.”

Kemudian `Ukkasyah ibn Mihshan berkata berkata:  ”Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar saya termasuk golongan mereka.”
Baginda SAW menjawab:  ”Kamu termasuk golongan mereka.”

Lantas berdirilah orang lain seraya berkata:  ”Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar saya termasuk golongan mereka.”

Baginda SAW  menjawab:  ”Kamu telah didahului oleh `Ukkasyah.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Peristiwa hari hisab dan seksa neraka tersangat dahsyat.  Betapa beruntungnya orang-orang yang bilangannya 70,000 orang ini yang mendapat keistimewaan ini, iaitu bebas dari dihisab dan tidak diseksa terlebih dahulu.  Mereka terus masuk ke syurga dan menikmati keseronokan di sana, subhanallah.

Mudah-mudahan kita tergolong di dalam kumpulan ini.  Untuk itu:

1. Jauhilah dari terlibat dengan jampi-menjampi.
2. Jauhilah dari meminta orang lain menjampi kita.
3. Jauhilah dari terlibat dan percaya kepada sebarang perbuatan yang dikategorikan sebagai meramal seperti meramal nasib, meramal jodoh dan lain-lain lagi walaupun dengan tujuan main-main atau seronok-seronok.
4. Jadilah hamba ALLAH yang sentiasa bertawakkal kepada ALLAH `Azza wa Jalla.  Iaitu menyerahkan semua urusan kepada ALLAH selepas meletakkan perancangan dan usaha yang sungguh-sungguh.

WAllahu Ta`ala A`lam.

SUMBER:  http://muzir.wordpress.com/2011/04/12/4-golongan-yang-tidak-dihisab-dan-diseksa/ 

Gambar hiasan sahaja..
(Di petik daripada tulisan Ramli bin Joned)

Berdoa Kepada Allah SWT Semasa di Timpa Musibah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW mengajarkan kepada kita supaya berdoa semasa ditimpa musibah semoga Allah SWT menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Baginda pernah mengajarkan doa kepada Ummu Salamah r.ha semasa beliau kematian suaminya (Abu Salamah).

Daripada Ummu Salamah r.ha. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :
“Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: 'Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya' nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya."

Ummu Salamah berkata lagi :
“Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah SAW."

Sifat orang mukmin tidak akan berputus asa walau bagaimana susah sekalipun musibah yang datang kepadanya, dia tetap reda dan berserah diri kepada Allah SWT. Oleh itu  amalkanlah doa ini tanda hati kita sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.

Manusia Sanggup Membunuh Kerana Gagal Dalam Bercinta

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia yang hidup bertuhankan hawa nafsu dan menerima hasutan syaitan sanggup melakukan dosa besar iaitu membunuh jiwa yang tidak berdosa. Sedangkan Allah SWT melarang keras sesiapa saja yang cuba menamatkan riwayat hidup seseorang dengan melakukan pembunuhan. 

Kita digemparkan dengan berita pembunuhan kejam oleh seorang lelaki ke atas bekas kekasihnya. Berita arus perdana KOSMO bertarikh pada 04.05.2011 "Gadis tolak cinta lelaki dibunuh, graduan UKM di tikam diperut, dada dan tangan oleh tukang masak berusia 50 an"

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisaa’ ayat 93)

Kenapakah manusia sanggup membunuh hanya kerana gagal dalam bercinta? Sedangkan nyawa manusia sangat berharga dan ancaman Allah SWT kepada pembunuh bahawa dia akan kekal di dalam Neraka Jahanam.

Jika seseorang itu beriman kepada Allah SWT , dia akan sentiasa bertenang , tidak kecewa dan putus asa dan menganggap cinta Allah SWT lebih berharga daripada cinta seorang wanita maka kejadian terkutuk dan dilaknat Allah SWT iaitu pembunuhan sesama manusia tidak akan berlaku. Apakah kita sanggup merana di dunia dan hari akhirat semata-mata mengikut nafsu amarah dan cinta membuta tuli tanpa berfikiran waras? Seksaan di dunia akan dihukum bunuh jika sabit kesalahan dan hukuman diakhirat lebih berat lagi iaitu kekal di dalam Neraka Jahanam.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata : Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku. Maka Allah berkata kepada sipembunuh : Celakalah engkau, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

Sahabat yang dimuliakan,
Syaitan sangat gembira apabila dapat menjadikan seseorang anak Adam itu marah, lalu dengan perasaan marah itu dia sanggup melakukan pembunuhan. Dengan jenayah bunuh seseorang anak Adam itu akan mendapat laknat Allah dan akan bersama-sama dengannya di neraka.

Dari Abu Musa, dia berkata,"Jika iblis menyebarkan para perajuritnya ke bumi, maka dia berkata, 'Siapa boleh menyesatkan orang muslim, maka di kepalanya akan disematkan mahkota'."

Diantara perajuritnya itu ada yang melaporkan hasil usahanya, " Aku boleh menganggu Fulan sehingga dia menceraikan isterinya."

Dijawab,"Tapi dia boleh bernikah lagi."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia derhaka."

Dijawab, "Tapi dia boleh berbuat kebajikan lagi."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia berzina."

Dijawab, "Bagus."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia minum arak."

Dijawab,"Bagus."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia membunuh."

Dijawab,"Bagus. Bagus."

Ibnu Mu'aqqal berkata,"Aku pernah mendengar Wahb bin Munabbih berkata,'Seorang rahib bertanya kepada syaitan yang muncul dihadapannya, 'Sifat anak keturunan Adam yang paling mudah membantumu.'

Iblis menjawab,"Marah. Sebab jika seorang marah, maka kami boleh membolak balikkan sebagaimana anak kecil yang membolak balikkan bola."

Oleh itukawallah perasaan marah jika perasaan itu datang kepada kalian kerana seorang yang marah akan hilang pertimbangan akal yang waras dan sanggup melakukan apa saja perbuatan yang haram dan berdosa besar.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Sesiapa yang membunuh sesama manusia dosanya seolah-olah dia membunuh seluruh manusia.
Firman Allah: “Barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana sebab-sebab yang mewajibkan hukum qisas, atau bukan kerana kerusuhan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara keselamatan nyawa seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara keselamatan nyawa manusia semuanya.” (Surah al- Ma'idah ayat 32)

Oleh itu marilah kita jauhi segala perbuatan, amalan dan percakapan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT . Ingatlah bahawa hidup di dunia ini adalah tempat sementara waktu janganlah mengadaikan masa depan kita di hari akhirat dengan bertindak melampaui batas yang di benarkan oleh Allah SWT.  Jika ada dikalangan kita kekasihnya atau buah hatinya sudah beralih angin kepada orang lain, biarkanlah jangan menaruh dendam kepadanya, kerana pepatah ada mengatakan, "bunga tak sekuntum dan kumbang tidak sesekor" dan "patah tumbuh hilang berganti", mungkin ada hikmahnya . Yakinlah dengan qadak dan qadar daripada Allah SWT, berkemungkinan Dia ingin bertemukan kita dengan orang lain yang lebih baik dan solehah.

Wednesday, May 4, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Zaman di Mana Orang Tidak Pedulikan Dari Mana Mendapat Harta.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram." (Hadis Riwayat Nasak)

Di zaman sekarang ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisma, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin kekayaan, mereka tidak memperdulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi kehendak nafsu atau pun untuk melayan kehendak isteri atau anak-anak mereka, supaya dapat hidup dengan kemewahan dan keseronokkan.

Apabila diteliti jenis-jenis pekerjaan dan sumbar pendapatan yang haram yang mana ramai umat Islam terlibat daripada sumber-sumber seperti berikut :

Pertama : Arak
Kedua : Riba
Ketiga : Rasuah
Keempat : Mengadai maruah

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Arak

Bekerja dan berusaha mencari sumber kehidupan mesti dilakukan dalam kerangka yang dibenarkan agama. Walaupun Islam mewajibkan umatnya bekerja dengan gigih dan berdedikasi, pencarian sumber kehidupan tersebut seharusnya selari dengan aturan yang dibenarkan agama saja. Ini termasuk aspek melibatkan minuman memabukkan seperti arak.

Sebenarnya Islam bukan saja mengharamkan umatnya minum arak, tetapi juga segala perkara yang berhubungkait dengan penghasilan dan pemprosesan arak. Mungkin sesetengah kita beranggapan mereka hanya bekerja, tetapi tidak terlibat dengan meminumnya. Ini salah dan amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam hal ini, ada baiknya kita lihat apa yang pernah disampaikan Ibnu Mas’ud yang katanya: “Telah dilaknat dalam (urusan) khamar (arak)  itu, iaitu  orang yang memerah, yang diminta diperahkan, yang meminumnya, yang memberi minuman, orang yang bertugas menghantar, yang membekal, yang menjual, yang membeli dan juga yang menyimpannya.”

Dalam zaman sekarang ini termasuk juga orang yang mengiklankan arak dan orang yang terlibat membeli saham syarikat arak.

Ini kategori manusia yang dikira terlibat secara langsung dengan arak. Jadi, bekerja di premis pemprosesan arak termasuk dalam  jenis manusia yang akan mendapat laknat Allah sebagaimana digariskan Ibnu Mas’ud tadi. Walauapapun tarikan berupa kebendaan dan upah lumayan, sebagai umat Islam kita ditegah sama sekali terlibat dalam industri pengeluaran arak. Ini kerana segala hasil pendapatannya juga akan termasuk dalam kategori sumber yang haram. Sanggupkah kita makan dan memberi makan anak isteri dengan hasil sumber yang haram?
 
Amat malang seandainya ada di kalangan umat Islam masih setia dan sayang dengan pekerjaan di indusrti haram seperti kilang memproses arak atau di premis penjualan arak samaada dipasaraya atau pasar mini milik orang bukan Islam, termasuk juga bekerja disyarikat penerbangan yang ada menyediakan arak kerana senario sebegini sangat mengaibkan maruah agama.

Kejernihan hati banyak tergantung kepada kesucian rezeki. Jika makanan dan minuman yang mengalir dalam tubuh diperolehi dari sumber yang baik, maka bahan tersebut akan menyumbang keperibadian mulia dalam diri seseorang. Sebaliknya jika darah yang mengalir dalam tubuh diperolehi dari sumber rezeki yang haram, maka segala tingkah laku, budi pekerti dan akhlak seseorang akan dicorak oleh jenis makanan haram tersebut.

Mencari rezeki yang halal untuk menyara kehidupan merupakan perintah Allah kepada hambaNya yang cintakan kebenaran. Sedangkan punca pencarian untuk meneruskan kehidupan terdiri dari berbagai cabang dan arah. Dari sekian banyak sumber usaha tersebut, perniagaan merupakan  sembilan persepuluh (90%) dari sekalian punca rezeki yang terdapat di dunia ini. Sesungguhnya perniagaan yang jujur dan ikhlas akan menghasilkan rezeki yang berkat.

Kedua : Riba

Islam melarang umatnya bekerja di syarikat atau perbankan yang menggunakan sistem riba  dalam urusniaganya. Syarikat yang terlibat adalah seperti di bank-bank konvensional, syarikat insuran nyawa, syarikat kewangan berlesen, kedai pajak gadai cara konvensional dan menjadi pengutip wang untuk syariakt pinjaman tanpa lesen (along) dan sebagainya.

Dari Jabir r.a, ia berkata : Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi riba, penulis, dan kedua orang yang menjadi saksi atasnya. ia berkata : “mereka itu sama (saja)”
(Hadis Riwayat Muslim : 3/219).
Begitu hebat sekali sistem riba menguasai pasaran di dalam masyarakat kita, ramai umat Islam bekerja di syarikat yang mengamalkan sistem riba sedangkan jelas Allah S.W.T mengharamkan sistem riba dan terdapat di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 278-279.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

Walaupun sudah ada altenatif menggunakan sistem muamalah secara Islam (melalui Bank Islam, Takaful dan sebagainya) tetapi umat Islam masih suka dan seronok bekerja disyarikat-syarikat tersebut, yang mana telah jelas bahawa sumber rezeki yang diperolehi adalah haram di sisi Islam.

Ketiga : Rasuah

Islam memberi amaran keras kepada manusia supaya tidak terbabit dengan perbuatan rasuah. Islam mengharamkan mengaut harta orang lain secara rasuah sedangkan menyedari perbuatan itu berdosa.

Ketika mengulas perkara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan."
(Hadis riwayat Ahmad)

Islam mengharamkan rasuah kerana menjadi penyebab kezaliman berlaku dalam masyarakat, orang yang tidak bersalah boleh dihukum bersalah, menghapuskan peluang mereka yang sepatutnya layak dan penyebaran harta di kalangan pihak tertentu saja. Selain itu, kita bimbang gaya hidup rasuah akan mempengaruhi tabiat integriti keturunan akan datang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka."
(Hadis riwayat Baihaqi dan Tirmizi)

Berdasarkan hadis itu jelas ada kaitan kuat bahawa keturunan dan anak pinak yang bersumber daripada darah daging haram akan kemungkinan besar terpengaruh dengan gaya hidup menjerumuskan ke dalam api neraka. Jauhilah perbuatan mengambil rasuah kerana telah jelas disisi Islam bahawa harta tersebut adalah daripada sumber yang haram dan tidak seharusnya dibawa balik untuk di beri makan kepada anak dan isteri.

Keempat : Mengadai maruah.

Dasar Islam dalam pekerjaan adalah jelas. Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mengumpul kekayaan. Oleh itu Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha supaya mereka menjadi umat terbaik dan contoh kepada pihak lain.

Salah satu pekerjaan yang diharamkan adalah bekerja ditempat-tempat yang boleh mengadaikan maruah diri sebagai seorang muslim.

Pekerjaan tersebuat adalah seperti berikut :
1. Pelacur
2. Teman sosial (di kelab-kelab malam)
3. Penari, penyayi dan pemaian alat musik dikelab-kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan)
4. Bonser (pengawal keselamatan untuk tempat-tempat maksiat)
5. Tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki)
6. Menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai
7. Mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konsperasi untuk mengaibkan seseorang muslim dengan memasang cctv , membuat vedio atau mengambil gambar dan sebagainya.

Semua pekerjaan tersebut di atas atau apa sahaja pekerjaan yang boleh mengadai maruah seorang muslim adalah haram di sisi Islam dan wajib ditinggalkan kerana ianya boleh mendapat laknat Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama tingkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT. Tinggalkanlah semua pekerjaan atau sumber rezeki yang haram dan syubahat kerana hasil daripada pekerjaan yang haram tidak boleh digunakan untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga, sedekah dan ibadah yang dikerjakan dengan menggunakan sumber yang haram tidak akan diterima di akhirat nanti amalan yang baik itu akan menjadi debu-debu yang berterbangan dan akan dilemparkan balik ke muka orang tersebut dan dia akan dihumbankan ke dalam api neraka, nauzubillahiminzalik.

Rezeki yang halal akan membawa keberkatan dan rahmat Allah SWT. Sedekah dan zakat yang ikhlas dan diperolehi daripada sumber yang halal akan dilipat gandakan oleh Allah SWT di hari akhirat nanti  sehingga 700 kali ganda.

Tuesday, May 3, 2011

Amal Soleh Boleh di Gandakan Sehingga 700 Kali Ganda

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup manusia di dunia ini perlulah kepada amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan, kerana kesemua amalan ini akan di beri ganjaran pahala oleh Allah SWT. Banyak sedikitnya pahala yang akan diterima oleh manusia adalah bergantung sejauhmana keikhlasannya  melakukan sesuatu amalan semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Dengan sifat Pemurah dan Penyayang Allah SWT sesuatu amalan itu boleh digandakan sehingga 700 kali ganda.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261 :

 
Al-Baqarah: 261



Maksudnya : “Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya.
(Surah al-Baqarah ayat 261)
Membelanjakan harta ke jalan Allah disimpulkan sebagai sebarang perbelanjaan yang disumbangkan mengikut jalan yang disuruh oleh Allah SWT samada memberi bantuan kepada orang-orang yang memerlukan, beri nafkah kepada anak dan isteri, menunaikan haji, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Ini semua mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga mencapai 700 kali ganda.

Daripada ayat ini juga, dijelaskan bahawa amal soleh yang dilakukan manusia beriman akan dilipatgandakan pahalanya sebagaimana Allah SWT menggandakan bijian yang kita tanam di permukaan bumi yang subur tanahnya. Jika tanah itu tak subur, benih itu akan mati atau hasilnya tidak seperti yang diharapkan, begitulah juga dengan amal soleh kita.

Tanah itu diibaratkan seperti keimanan dan kepercayaan kepada Islam. Semakin kuat imannya, semakin banyak ganjaran amal kebajikan yang diperoleh sama seperti semakin subur tanah, semakin elok keluarnya hasil tumbuh-tumbuhan yang ditanam atas tanah itu.
Hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a menyatakan bahawa seorang lelaki telah bersedekah seekor unta yang diheret dengan tali pada jalan Allah lalu Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud; “Akan datang kepadamu di hari akhirat seorang yang dengannya tujuh ratus ekor unta yang siap diikat dengan tali.” (Allah SWT telah menggandakan sedekahnya itu sebanyak 700 kali ganda)

Firman Allah SWT :




Maksudnya : “Dan Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat pun, hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) . Dan igtlah Allah sentisa melihata akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah ayat 265)

Orang-orang yang disebutkan dalam ayat ini adalah orang yang membenarkan bahawa Allah SWT akan memberi pahala dan balasan kepada mereka, mereka beriman teguh dengan janji-janji Allah.

Dalam ayat ini disebutkan 'hujan lebat'. Ini kerana selalunya hujan lebat akan membawa bersamanya musibah..kebun di tanah yang tinggi akan selamat, tidak ditenggelami air. Tanahnya pula pula tidak dihanyutkan air. Air hujan yang turun bukan memudaratkan, malah lebih menyuburkan lagi tanah serta tanamannya. Bukan setakat hujan lebat, hujan yang renyai-renyai sahaja sudah cukup untuk memberi manfaat kepada kebun di tanah yang tinggi.

Begitulah bandingan orang yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah untuk mencari keredaanNya, dalam keadaan yang macam mana sekalipun, Allah tetap akan memberi ganjaran dan berkat kepadanya.


Sahabat yang dimuliakan,
Takwa daripada setiap mukmin, menyebabkan Allah SWT menerima segala kebajikan dan amalan baik yang diperbuat, bukan dinilai pada jumlah yang didermakan. Tetapi tidak dinafikan banyak menderma lebih banyak pahala yang akan didapati insyaallah.

Seorang yang menderma beribu-ribu ringgit tanpa rasa ikhlas malah untuk menunjuk-nunjuk tidak mendapat apa-apa ganjaran berbanding seorang miskin yang menderma hanya beberapa ringgit yang dia ada.

Namun, ini tidak wajar untuk jadikan hujah bagi menahan diri kita daripada mengeluarkan perbelanjaan yang besar ke jalan yang diredai Allah SWT. Ikhlas itu perlu dididik dan ditanam ke dalam diri, bukannya untuk kita membuat keputusan menghadkan sumbangan tersebut. Jika amalan yang dilakukan disertai  dengan ikhlas akan membuahkan lebih banyak ganjaran 700 biji benih seperti yang disebutkan pada surah al-Baqarah ayat 261 di atas.
Berkata Ibnu Abi Hatim, Sayyidina Umar r.a bertemu dengan Rasulullah SAW  dan menyerahkan separuh daripada hartanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya; “Adakah kamu tidak meninggalkan sedikitpun harta kepada kaum keluargamu, wahai Umar?”

Jawab Umar; ” Saya tinggalkan untuk mereka sebahagian (separuh) daripada harta saya.”

Datang pula Sayyidina Abu Bakar r.a menyerahkan semua hartanya kepada Rasullullah SAW.

Rasulullah bertanya soalan yang sama pada Syyidina Abu Bakar r.a lalu dijawabnya; “Yang tinggal hanya janji Allah dan Rasul-Nya.”

Firman Allah SWT :


 

Maksudnya : Syaitan menjanjikan kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu kepada kejahatan, Allah menjanjikan kamu dengan keampunan serta kelebihan daripada-Nya dan Allah itu Maha Luas Kurniaa-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 268)
Syaitan memang sentiasa memainkan peranannya dengan membisikkan kefakiran dan kemiskinan ke dalam hati manusia supaya kita merasa bakhil dengan harta benda kerana takutkan papa. Dan hanya hati yang lemah sahaja akan kalah dengan bisikan syaitan tersebut.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a; “Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikan kepada anak Adam (melalui hati) dan sebagimana malaikat juga ada bisikannya yang baik dalam hati anak Adam. Adapun bisikan syaitan itu adalah memjanjikan dengan kejahatan dan supaya membohongi perkara yang sebenarnya dan menjanjikan perkara yang jahat…”

Firman Allah SWT :


Maksudnya : “Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik dimana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa  yang kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah” (Surah al-Baqarah ayat 272)
Menurut Atho’ Al-Kharasan, pahala membelanjakan harta kerana mencari keredaan Allah SWT tetap diperolehi walaupun harta tersebut digunakan oleh orang lain untuk melakukan kejahatan atau kemungkaran dan janganlah berdukacita dengan sebab itu.
Dalam suatu hadis yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda bermaksud; “Ada seorang lelaki di zaman dahulu telah berkata,”Malam ini aku akan memberi sedekah” lalu dia keluar dengan membawa sedekahnya dan dia memberi sedekahnya kepada seseorang, tiba-tiba sedekahnya diletakkan di tangan pelacur maka apabila dia berpagi-pagian orang ramai bercakap bahawa dia telah memberi sedekah kepada pelacur.
Dia menangisi nasibnya yang telah memberi sedekah kepada pelacur, lalu dia berazam untuk keluar memberi sedekah lagi pada malam ini. Malangnya sedekahnya diletakkan di tangan orang kaya. Ia berulang buat ketiga kalinya apabila sedekahnya diletakkan ke tangan pencuri pula. Dia sangat berdukacita dengan nasib yang menimpanya.
Tetapi kemudiannya Allah mendatangkan ilham-Nya dengan menyatakan bahawa sedekahnya telah diterima oleh Allah SWT. “Adapun perempuan pelacur itu mudah-mudahan dengan berkat sedekah yang kamu berikan itu akan berhenti daripada melacurkan dirinya, dan mudah mudahan orang kaya akan insaf dengan sedekahmu itu lalu membelanjakan harta bendanya, Dan pencuri itu mudah mudahan akan membersihkan dirinya daripada sifat mencuri.”
Maksudnya, hadis ini menerangkan kepada kita bahawa kita tidak perlu berasa dukacita sekiranya sedekah kita disalah gunakan oleh penerima sedekah kerana Allah memberi pahala atas amalan sedekah kita itu. Dan kesalahan penerima sedekah itu adalah urusannya dengan Allah SWT. Maka kita tidaklah perlu risau tentang ke manakah sumbangan kita dibelanjakan oleh orang yang menerima sumbangan.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita teruskan memberi sedekah dan infak harta benda kita di jalan Allah SWT. Sebenarnya harta yang diinfakkan dijalan Allah SWT dan dibelanjakan mengikut kehendak syarak adalah harta kita yang sebenar . Harta ini akan menjadi pahala yang akan membantu kita ketika berada di hari akhirat, sedangkan harta yang ada di dalam simpanan kita belum tentu lagi menjadi hak miliki kita kerana apabila kita meninggal dunia semuanya akan di tinggalkan dan akan menjadi hak milik orang lain.

Rahsia Iblis Laknatullah Alaih.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang sahabat Nabi SAW bernama Anas b. Malik r.a. telah meriwayatkan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah SWT. tentang banyak perkara:

1. Iblis bertanya kepada Allah SWT : " Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepadaMu.Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku." Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai iblis! tempat kediamanmu ialah bilik air (tandas). "

2. Iblis berkata : "Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak adam itu tempat mereka berkumpul (masjid,surau) , dimanakah tempat bagiku berkumpul?." Firman Allah s.w.t yg bermaksud: "Wahai iblis! tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tampat-tempat hiburan ( pusat membeli belah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya."

3. Iblis berkata lagi :"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?" Firman Allah SWT yang bermaksud:" Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah syair (sajak/lagu-lagu/ puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan).

4. Iblis berkata :"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?". Firman Allah SWT yang bermaksud: " cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta ( bohong atau yang berkaitan dengannya)"

5. Iblis bertanya lagi : "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?". Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Wahai iblis, azan untuk mu ialah seruling."

6. Tanya iblis lagi :"Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?". Firman Allah SWT yang bermaksud:" Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya."

7. Kata iblis :"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al Quran) kepada anak Adam. Apakah tulisan bagiku? ." Firman Allah SWT yang bermaksud:"Wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahilalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)

8. Kata iblis :"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikankepada anak Adam itu perangkap-perangkap . Apakah perangkap bagiku?." Allah SWT berfirman yang bermaksud :"Wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita. "

9. Kata iblis :"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan namaMu), apakah makanan untukku?."Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

(Di petik daripada tulisan Ramli Joned)

ÙˆŰ§Ù„Ù„Ù‡ ۧŰčلم

Umat Islam Perlu Bersatu Untuk Mendapat Rahmat dan Kasih-sayang Allah SWT

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Permusuhan dan dendam kesumat di antara Yahudi dan Nasrani terhadap umat Islam sudah termaktub di dalam al-Quran, seperti firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, 'Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).' Dan jika engkau mengikuti keingunan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu perlindungan dari Allah." (Suran al-Baqarah ayat 120)

Asbabun Nuzul ayat 120 surah al-Baqarah.
Ibnu Abbas r.a. menjelaskan, bahawa kaum Yahudi Madinah dan Nasrani Najran mengharapkan agar Rasulullah SAW solat menghadap ke kiblat mereka . Terwujudnya harapan ini semakin kecil saat Allah mengubah kiblat kaum muslimin ke arah Kaabah. Akhirnya mereka putus asa untuk membuat Rasul memeluk agama mereka. Maka itu turunlah ayat ini (Hadis Riwayat Tsa'lab lihat Ibnu Katsir)

 Apabila umat Islam berpecah belah dan bermusuhan sesama sendiri maka orang-orang kafir (Yahudi dan Nasrani) yang berdendam dengan umat Islam akan mengambil kesempatan dengan menguasai negara-negara umat Islam seperti di Iraq dan Afghinastan. Mereka berusaha pula untuk menguasai Libya dan Pakistan.

Umat Islam yang mengasihi saudaranya yang lain tidak akan dapat menerima tentera bersekutu mengebom dan membunuh umat Islam di Libya yang tidak berdosa. Walaupun kita tidak bersetuju dengan kezaliman pemimpin Libya membunuh rakyatnya sendiri pada masa yang sama kita juga tidak bersetuju orang asing mencampuri urusan negara Islam yang lain. Matlamat dan cita-cita mereka adalah untuk menguasai Libya sama seperti Iraq dan Afginistan yang telah mereka kuasai. Mereka sebenarnya bertujuan untuk menguasai telaga minyak dan menjamin kekuatan Zionis laknatullah tidak tergugat setelah kejatuhan boneka mereka di Masir dan Tunisia.

Umat Islam adalah saudara satu sama lain karena ikatan akidah, syari’ah, dan akhlak yang sama, yakni akidah yang sama akan melahirkan ukhuwah Islamiyah. Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat petunjuk."
(Surah al-Hujurat ayat 10).
 
Persaudaraan yang terjalin sesama muslim akan melahirkan sayang-menyayangi satu sama lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Sesama orang mukmin itu bagaikan satu bangunan yang saling meguatkan" (Hadis Riwayat Bukhari).

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak beriman seorang di antaramu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih-mengasihinya, sayang-menyayanginya, dan santun-menyantuninya, bagaikan satu tubuh yang jika satu anggotanya menderita sakit maka menderita pula keseluruhan tubuh..." (Hadis Riwayat Muslim).

"Orang Muslim ialah yang menyelamatkan kaum muslim dari (kejahatan) lisannya dan tangannya. Dan muhajir itu ialah siapa yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah" (Hadis Riwayat Muslim).

“Ada lima kewajiban seorang muslim terhadap muslim lainnya: menjawab salam, memenuhi undangan, mengantarkan jenazah, mengunjungi ketika sakit, bertasymit ketika bersih membaca hamdalah” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah).

Contoh ideal pelaksanaan kasih-sayang sesama muslim adalah ketika kaum Anshar di Madinah menolong dan menyayangi kaum Muhajirin Makkah. Mereka memperlihatkan idealisme sebuah ukhuwah Islamiyah. Betapa kesatuan akidah Islam menjalinkan kesatuan hati dan jiwa umat, melahirkan ikatan persaudaraan yang erat dan mesra.

Persaudaran yang terjalin oleh rasa kasih-sayang yang lahir semata-mata kerana Allah telah mendapat pengikhtirafan Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud : "Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hasyr ayat 9)

Sahabat yang dimuliakan,
Terhadap orang kafir yang tidak memerangi umat Islam atau hidup berdampingan secara damai, umat Islam dilarang menyakiti atau menzalimi mereka. Itulah sebabnya, dalam Islam ada istilah toleransi. Umat Islam diharuskan menghormati keyakinan mereka dan tidak boleh memaksa mereka untuk masuk Islam.

 Firman Allah SWT maksudnya : "Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat." (Surah al-Baqarah ayat 256)

Islam menjamin kebebasan beragama dan mereka dibenarkan dan bebas menganut agama mereka masing-masing. Firman Allah SWT maksudnya : “Katakanlah: Hai orang-orag kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak akan pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku” (Surah al-Kafirun ayat 1-6).

 Umat Islam perlulah kembali kepada al-Quran dan as-sunnah kerana hanya dengan ini sajalah mereka akan terselamat daripada perpecahan dan persengkitaan. Apabial umat Islam mengambil jalan-jalan lain, peraturan lain dan cara hidup yang lain maka umat Islam akan menyempang jauh daripada rahmat Allah SWT.

Jika umat Islam hannya suka fitnah memfitnah, mengaibkan saudaranya yang lain, mengadu domba, mengumpat dan menyebukkan diri dengan vedio lucah dan  perkara negatif maka umat Islam akan mendapat kehinaan dan agama lain akan memendang rendah dengan kesucian  Islam dan akan menjauhkan mereka dengan kebenaran yang terdapat dalam Islam. 

Ingatlah jika  seseorang yang membuka satu jalan kemungkaran dan orang lain mengikutnya maka dosa orang yang mengikutnya hingga kehari kiamat akan ditanggung oleh orang yang membuka jalan maksiat tersebut. Jika vedio lucah yang dirakamkan oleh seseorang dan gambar tersebut terus menerus ditonton oleh manusia seluruh dunia dan berjalan hingga masa yang panjang maka orang yang membuat vedoa tersebut termasuk 'rakan-rakannya' akan mendapat dosa besar yang berterusan.nauzubillahiminzalik!

Persatuan merupakan unsur paling mendasar untuk merealisasikan cita-cita sebuah umat atau bangsa. Oleh sebab itu, salah satu janji Allah SWT dengan para Rasul-Nya adalah menciptakan persatuan di tengah masyarakat. Kitab suci al-Quran sangat menekankan pentingnya masalah persatuan dan menawarkan berbagai cara untuk mewujudkan dan memelihara persatuan umat. Al-Quran menarik perhatian manusia pada sisi persamaan dan menyeru mereka untuk bersatu dalam persamaan tersebut. 

Ayat-ayat suci al-Quran mengingatkan bahwa seluruh manusia diciptakan dari tanah dan dari ayah-ibu yang sama. Kemuliaan insani juga milik seluruh manusia, sementara warna kulit, suku dan keistimewaan-keistimewaan lain tidak punya peran dalam kemuliaan manusia.

Kitab suci al-Quran dalam ayatnya yang lugas tentang persatuan, mengajak seluruh umat Islam untuk berpegang pada tali Allah SWT dan menjauhi perpecahan. Dalam surat Ali Imran ayat 103, Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara." 

Menurut para ahli tafsir, manifestasi tali Allah yang paling utama adalah al-Quran itu sendiri, sebagaimana dalam sebuah hadis Nabi SAW yang menyebut al-Quran sebagai tali Allah yang memanjang dari langit ke bumi. Selain itu, kitab langit ini juga meminta umat Islam untuk kembali kepada Allah SWT dalam setiap perselisihan dan pertentangan.

Al-Quran menilai perpecahan bersumber dari sifat sombong dan hasad dengki antara sesama muslim. Kitab suci ini juga mengingatkan bahawa orang-orang terdahulu gagal mencapai tujuan-tujuan luhur kerana memiliki sifat-sifat tersebut. Kitab pedoman umat Islam ini menilai persatuan hati di antara umat manusia sebagai sebuah nikmat Allah SWT. Melalui karunia ini, Dia membimbing manusia kepada kehidupan bahagia. 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersatu hati dan membina ikatan ukhwah Islamiah dan silaturahim. Perpecahan akan membawa kita kepada kemurkaan Allah SWT. Segala rahmat, keberkatan dan kasih sayang Allah hanya diberikan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersatu hati dan membina ikatan kasih sayang kerana Allah SWT.  Imam Hasan al-Banna berkata : "Tidak ada iman tanpa ukhwah dan tak ada ukhwah tanpa iman."
Nabi SAW bersabda maksudnya :"Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)


Jika Anda Berdukacita dan Berkeluh-kesah, Berzikirlah...

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hafiz ibnu Qaiyim r.a. adalah seorang ulama hadis yang termashur, di dalam risalah Al-Wabil beliau menggariskan beberapa kelebihan berzikir antaranya:

* Zikir menjauhkan syaitan dan melemahkan kekuatannya

* Zikir menyebabkan Allah redha

* Zikir menjauhkan dukacita daripada hati manusia

* Zikir menggembirakan hati

* Zikir menguatkan badan dan menyeronokan sanubari

* Zikir memurahkan rezeki

* Zikir adalah sinaran hati dan muka

* Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar

* Zikir melahirkan cinta sejati kepada Allah kerana cinta itulah roh islam, jiwa agama, dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Zikrullah itu merupakan pintu cinta Ilahi.

* Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat ihsan. Dengan adanya martabat ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah ia melihatNya

* Zikir membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah menjadi pelindung dan pembantu baginya.

* Zikir adalah membawa seseorang kepada Takarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah dan semakin bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya ia bertambah jauh dari Allah.

* Zikir adalah membuka pintu makrifat Allah

* Zikir melahirkan keagungan dan kehebatan Allah dan semangat merapatkan diri kepada Allah.

* Zikir adalah menyebabkan Allah ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran (surah Al Baqarah 152) "Fazkuruunii azkurkum" ertinya; "kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepada mu".

(Di petik daripada tulisan Ramli Joned)

Monday, May 2, 2011

Pilihlah Pemimpin Yang Beramanah , Adil dan Berakhlak Mulia

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Penyebaran sesuatu berita tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran perkara tersebut adalah satu fenomena yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Akan tetapi, ianya bukan suatu perkara baru. Semasa zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, fenomena ini biasanya dimonopoli oleh kumpulan munafiqin di Madinah pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul.

Sekiranya membaca keseluruhan tafsir surah al-Taubah, kita akan dapati gambaran yang jelas kerja-kerja kumpulan munafiqin dalam merosakkan imej RasulullahSAW  dengan menyebarkan berita fitnah dan yang belum disahkan kebenarannya.

Zaman sekarang, penyebaran maklumat seupama ini berlaku pantas dengan berkembangnya pelbagai kemudahan ICT seperti  internet seperti web-site, web-blog dan Facebook serta laman interaksi sosial yang lain.

Zaman dahulu, penyebaran itu berlaku secara lisan. Proses sebegini biasanya lambat, akan tetapi dipercepatkan dengan hawa nafsu manusia yang suka melapor dan mendengar berita sensasi, apatah lagi yang membabitkan aib orang lain.

Ada sesetengah manusia suka menyebarkan berita dengan segera kerana sengaja ingin memburukkan imej orang lain. Lantas, terjebaklah mereka dengan pelbagai jenis dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba , memutuskan silaturahim dan seumpamanya. Tidak kurang juga, untuk menambahkan lagi rencah dan perisa, maka ditokok tambah berita yang sedia ada, lalu berlakulah pembohongan dan kepalsuan.

Sahabat yang dimuliakan,
Di zaman Nabi SAW dan zaman para sahabat apabila berhadapan dengan perkara yang mungkar, pemimpin umat Islam ketika itu amat tegas membendung berita fitnah dan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan kepada sesiapa saja yang cuba menyebarkan berita yang belum lagi disahkan kesahihannya. Jika mereka membawa berita atau tuduhan tanpa saksi yang adil maka mereka akan mendapat hukumannya.

Para pemimpin umat Islam dewasa ini tidak merasa sensitif dan sanggup membiarkan berita fitnah dan perkara mengaibkan bermaharajalela dan membuka ruang seluas-luasnya kepada perpecahan, perbalahan dan persengkitaan umat Islam berterusan dan berpanjangan.

Sepatutnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin umat Islam bukan hanya menjaga kepentingan ekonomi dan pembangunan negara tetapi perlu juga menjaga semua keperluan rakyat termasuk yang melibatkan moral dan maruah diri. Pemimpin perlu berlaku adil dan tidak harus membela pembuat fitnah dan memberi 'kredit' kepada mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Pada suatu masa ketika Nabi SAW. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah SAW., “Bilakah akan terjadi hari kiamat?”. Maka Nabi SAW. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Baginda (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya”. Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan baginda tidak mendengar pertanyaan itu”. Sehingga apabila Nabi SAW. selesai dari percakapannya baginda bersabda, “Di mana orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi ?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya! Saya hai Rasulullah”. Maka Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat”. Arab Badwi ini bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu”? Nabi SAW. menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari kiamat”.
 (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas umat Islam perlulah berhati-hati ketika berpeluang memilih pemimpin. Janganlah mensia-siakan amanah yang Allah SWT berikan kepada kita dengan kita memilih pemimpin yang tidak berilmu dan tidak memahami hukum agama. Apabila orang jahil berkuasa dan mentadbirkan kehidupan rakyat maka akan banyak berlaku kerosakkan dan ketidak adilan. Perkara makruf dianggap mungkar dan perkara mungkar dipandang makruf . Orang yang dizalimi, difitnah dan di aibkan tidak akan mendapat pembelaan dan orang yang menzalim akan dilindungi dan disanjungi.

Rakyat yang miskin dan tertindas akan berterusan ditindas sebaliknya para saudagar yang kaya raya dan kaum kerabat mendapat tempat yang mulia disisinya.

Sahabat yang dikasihi,
Setiap keputusan, pemilihan, dan kepercayaan yang kalian berikan kepada sesiapa saja untuk membela umat Islam dan rakyat jelata adalah tanggungjawab kalian kepada Allah SWT. Kalian akan ditanya dihari akhirat siapakan orang yang kalian berikan amanah dan adakah mereka laksanakan amar makruf nahi mungkar dan berlaku adil kepada rakyat seluruhnya dangan keadilan yang sebenarnya. Perhatikanlah firman Allah SWT kepada orang-orang zalim dan orang-orang mukmin.

Firman Allah SWT surah an-Nahl ayat 28-32, maksudnya :

28: (Iaitu) orang yang dimatikan oleh malaikat dalam keadaan mereka menzalimi diri sendiri, lalu mereka tunduk menyerah (sambil berkata): "Kami tidak melakukan sebarang kejahatan.” (Malaikat menjawab): "Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui) akan apa yang kamu telah kerjakan.”
 
29: "Oleh itu, masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam, kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong takbur.” 

30: Dan ditanyakan kepada orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Rab (Tuhan) kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Bagi orang yang berbuat kebaikan di dunia ini, balasannya adalah kebaikan (pula). Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik lagi; dan amatlah nikmat negeri itu bagi orang yang bertakwa.
 
31: (Untuk mereka) syurga-syurga ‘Adn, yang mereka akan memasukinya, mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka memperolehi di dalamnya (syurga itu) apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah membalas orang yang bertakwa. 

32: (Iaitu) orang yang dimatikan oleh malaikat dalam keadaan baik, sambil mereka (malaikat itu) berkata: "Salam (sejahteralah) atas kamu, masuklah ke dalam syurga kerana apa yang telah kamu kerjakan,"

Oleh itu marilah kita menjadi orang-orang yang bertakwa dan sentiasa berhati-hati dalam kehidupan ini supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang zalim dan menganiaya diri sendiri.

2