Saturday, September 19, 2009

Ramadan Tetamuku!

Ramadan!
Malam ini kau telah pergi meninggalkanku, dengan kesepian, kesedihan kerana sepanjang menjadi tetamuku jasamu cukup besar! 

Kau ajarkanku erti kehidupan, erti perhambaan kepada Yang Maha Pencipta, kau didik hatiku yang keras menjadi lembut, kau ajarku untuk menatap dan membaca al-Quran kerana sebelum ini aku alpa untuk menatap lambaran yang suci ini. 

Kau ajarku untuk berpuasa, berlapar dan dahaga dan menjaga segala pancaindera dari maksiat untuk menyahut panggilan suci memenuhi tuntutan Rukun Islam.

Kegigihanmu melatihku untuk memiliki sifat mahmudah iaitu sifat sabar, baik sangka, takwa, tawakkal, lemah lembut, rendah diri, bersyukur dan sopan santun dan juga kau minta dijauhi segala sifat-sifat mazmumah iaitu sifat marah, suka mengumpat, sombong, bongkak, takbur, iri hati, ujub ,batu api dan hasad dengki. telah benar-benar mendidik hatiku.

Alangkah indahnya kau gerakkanku untuk bangun malam bersama-samamu bertahajud dan berqiyamulail sepanjang kehadiranmu 29 hari di sisiku, mengadap wajah kehadrat Rabbul Jalil, di rumah Allah, hingga ku rasakan rumah Allah telah menjadi rumah ke duaku, hatiku bertambah bersih, jiwaku bertambah murni dan perasaanku bertambah cinta pada Yang Maha Berkuasa.

Inilah kali pertamaku rasakan kehadiranmu tahun ini, mendorongku untuk iftar secara berjemaah penuh dan tidak pernah meninggalkan solah berjemaah. Dan merasa cukup seronok dan terisi jiwa ini dengan tazkirah Ramadan sebelum iftar.

Ramadhan!

Kedatanganmu membawa seribu rahmat, seribu pengampunan dan seribu pembebasan dari seksaan api neraka. 

Semua makluk yang ada dibumi dan para malaikat menanti-nanti kedatanganmu, mereka mendokan kepada sesiapa sahaja diantara anak Adam yang melayanmu sebagai tetamu ,mereka akan mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat, dan terampunlah segala dosa-dosa mereka. Aku bersyukur kerana kau menjadi tetamuku yang cukup akrab dan aku tidak mensia-siakan kehadiranmu.

Ramadan!

Bersama-sama kehadiranmu, kau ada membawa satu hadiah yang cukup istimewa, iatu lebih baik beribadah seribu bulan iaitu 'malam lailatul qadar'. 

Aku menanti-nanti akan hadiahmu itu, kau rahsiakannya atas perintah Tuanmu, tidak mengapa aku tidak berkecil hati, walaupun aku tidak nampak secara zahir hadiahmu itu, tetapiku rasakan hadiah istimewamu ini ,roh dan gelumbang kebaikannya telah terpancar pada hati, jiwa dan kehidupanku , ku harapkan doa-doaku diterima oleh Allah Azzawajalla.

Aku tetap bersyukur dengan jasa baikmu itu hadir ketika aku keseorangan dan perlukan bimbingan. Ku harapkan Allah SWT  menizinkan kau menjadi tetamuku lagi pada tahun hadapan, insya Allah.

Fadhilat dan Kebaikan Solat Sunat Eidul Fitri


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"... Kemudian datang malam Eidul Fitri yang dikenali sebagai Lailatul Jaaizah (malam pengurniaan hadiah). Di waktu pagi Eidul Fitri Allah menurunkan malaikat-malaikat-Nya kesemua tempat-tempat dibumi dimana mereka mencari tempat masing-masing menyeru dengan suara yang didengari oleh semua makhluk melainkan manusia dan jin : ' Wahai umat Muhammad, keluarlah dari rumah-rumah kamu ke arah Tuhan yang Mulia dan Agong, yang mengurniakan sebanyak-banyaknya dan mengampunkan dosa-dosa besar.'

Bila mereka menuju ketempat sembahyang raya, Allah berkata kepada malaikat, 'Apakah upah sebenarnya bagi seorang pekerja yang telah memberikan khidmatnya?'

Malaikat-malaikat pun menjawab : 'Wahai Tuhan dan Penguasa kami, adalah berhak baginya bahawa dia mendapat ganjarannya dengan sepenuhnya diatas tugasnya itu.'

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud : 'Daku menjadikan kamu sebagai penyaksi, wahai malaikat-malaikat-Ku, kerana mereka telah menyempurnakan puasa mereka terhadap-Ku pada bulan Ramadan, dan kerana terpaksa berdiri dihadapan-Ku bersembahyang diwaktu malam.

Daku telah menganugerahkan mereka dengan ganjaran keredaan-Ku dan telah menganugerahkan mereka dengan keampunan. Wahai hamba-hamba-Ku, bermohonlah sekarang kepada-Ku, kerana Daku telah bersumpah demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku pada hari ini di dalam perjumpaan kamu ini bagi keperluan-keperluan akhiratmu, Daku akan memberikan kepadamu, dan apa sahaja yang kamu minta untuk keperluan duniawimu.

Daku akan melihat keatasmu dengan sewajarnya. Demi kemuliaan-Ku. Daku bersumpah, selagi kamu mematuhi perintah-perintah-Ku. Daku akan menutup kesalahanmu.Demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku. Daku bersumpah, bahawa Daku tidak akan menghinamu di antara orang-orang yang melakukan maksiat dan kafir-kafir. Bersurailah sekarang daripada sini, kamu diampunkan. Sesungguhnya kamu telah reda kepada-Ku dan Daku juga reda keatasmu.'

Para malaikat apabila melihat ganjaran yang besar ini yang dikurniakan ke atas umat Muhammad SAW. menjadi begitu sukacita dan gembiranya."

Friday, September 18, 2009

Eidul Fitri Yang Berkat di Sambut Tanpa Maksiat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Ramadan sudah sampai penghujungnya, bulan yang penuh keberkatan ini akan pergi meninggalkan kita. Bagi hati mukmin, perginya Ramadan membuat hati merasa sayu dan sedih, kerana kehadiran Ramadan membawa seribu kebaikan dan kegembiraan iaitu mendapat rahmat Allah, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari seksaan api neraka. Kelebihannya tidak ada pada bulan-bulan yang lain

Sebulan kita menahan lapar. Ringan badan beribadah. Berlapar menutup pintu hasutan syaitan. Muslimin mengikis penyakit-penyakit hati seperti hasad, ego, ‘ujub, sum’ah, bakhil, buruk makan, cinta dunia dan panjang angan-angan. Membuang sifat malas dan berpoya, berpecah dan berseteru.

Madrasah Ramadan merupakan proses tarbiah dan tazkiyah pada hati, jiwa dan roh kepada pembersihan sebenar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT Natijah dari segala proses di madrasah ini melahirkan hati yang bertakwa kepada Allah s.w.t. Takwa inilah merupakan pakaian orang mukmin, pakaian inilah yang dipakainya untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang.

Sahabat yang dimuliakan,
Adakah Ramadan kali ini, merupakan Ramadan yang terbaik pernah sahabat rasai? Adakah segala amal ibadah, puasa, doa, munajat, tafakur, sedekah, bacaan al-Quran yang sahabat laksanakan memberi kesan yang mendalam pada hati , jiwa dan perasaan dan benar-benar dapat merasai kemanisannya? Meningkat atau tidak meningkatnya tarbiah rohiyah ini, berkesan atau tidak berkesannya proses tamrin ini bergantung pada peribadi masing-masing sejauhmana ia hayati Ramadan.

Berbahagialah sesiapa yang diubah perangainya oleh Ramadan. Ia terlepas dari celaan seperti sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud; “Terjauhlah (dari rahmat) sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadan (tetapi tidak memperdulikannya) maka Allah tidak mengampunkannya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dari Kaab bin ‘Ujrah)

Sahabat boleh muhasabah diri sendiri, kesan yang paling nyata adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan semasa Ramadan akan dapat kita teruskan dan istiqamah pada bulan-bulan berikutnya , malah mungkin lebih baik lagi. Jika ini berlaku , ini bermakna ciri-ciri takwa itu dapat kita perolehi. Takwa itu ia tidak tersimpan didalam hati sahaja tetapi ia akan dilahirkan dalam berfikir, dalam tindakkan dan membuat keputusan, nampak jelas dalam peribadi, akhlak, tutur kata, pergaulan dan amalan hariannya.

Apakah kamu bertemu malam Lailatul Qadar? Yang pasti kamu telah bertemu Lailatu Qadar hanya kamu tidak mengetahui malam Ramadan ke berapa dan bila saatnya berlaku! Maksud hadis Nabi SAW. menyatakan bahawa sesiapa yang solat isyak dan subuh berjemaah disepanjang Ramadan dia sebenarnya telah mendapat malam Lailatul Qadar. Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa fadilat solat isyak berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat separuh malam dan fadilat solat subuh berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat sepanjang malam. Kita mohon kehadrat Allah SWT semoga keberkatan malam Lailatu Qadar tahun ini dapat memberi kesan pada hati, jiwa dan kehidupan kita yang lebih baik dan mendapat keredhan Allah SWT.

Sahabat yang dihormati,
Dengan kedatangan Eidul Fitri ini bermakna hari kemenangan umat Islam, perlu disambut dengan rasa gembira dan bersyukur diatas kemenangan iman menakluki nafsu dalam bulan Ramadhan. Eid bermakna hari kejayaan dan Fitri bermakna fitrah iaitu nurani yang bersih.

Kejayaan disambut pada Eidul Fitri. Berkumandang takbir, tahmid dan tasbih. Hati mukmin semakin akrab dan kasih terhadap Allah, pancaran nur ibadah Ramadan. Zakat fitrah dkeluarkan, tanda syukur menghabiskan Ramadhan dengan penuh adab. Berlapar sebulan menginsafkan ia tentang penderitaan orang miskin dan pelarian perang yang tertindas. Ia menunaikan solat sunat Eidul Fitri menyembah Zat Yang Agung, Allah s.w.t. Hari lebaran membuka ruang untuk bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan, kasih sayang dan berlemah lembut sesama mukmin. Ia berkata didalam takbir, ‘Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Esa, yang benar pada janji-Nya, yang membantu hamba-Nya, yang memenangkan pejuang (agama-Nya) dan mengalahkan pakatan musuh-Nya, semua dengan sendiri-Nya.’

Sahabat yang dikasihi,
Eidul Fitri disambut dengan sederhana. Sederhana dalam makanan dan perhiasan. Yang meriah ialah hati kerana iman yang diperolehi. Apa yang indah ialah kata-kata dan akhlak mulia yang dibina dalam Ramadan, ucapan yang dianjurkan ialah :
1.‘Taqabbalallahu minkum ‘ bererti semoga Allah menerima amal kamu.
2.’Kullu ‘ammun wa antum bikhir’ bererti sepanjang tahun kamu dalam kebaikan.
3.’Minal ‘Aidin wal faizin. Bererti kamu tergolong di kalangan yang mulia dan berjaya.

Tidak perlu bermuzik atau menonton filem yang menggiurkan syahwat.
Sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud ; “ Perlakuan dosa pada hari Eid umpama membuat dosa pada Hari Mahsyar.”
Ingatlah Eidul Fitri ialah satu ibadah bukan adat.

Wednesday, September 16, 2009

Siapakah Musuh Utamamu?

Sahabat yang dikasihi Allah,
Kamu sentiasa dikelilingi musuh-musuhmu, mereka tidak pernah leka atau alpa untuk memantau perjalanan hidupmu.Tunggu apabila sedetik kau leka atau lupa maka jaruam beracun akan dicucuk dihatimu, hingga hatimu menjadi kebas dan keras dan tidak berupaya untuk mengingati Allah, tidak merasai takut akan azab Allah s.w.t. dan tidak takut untuk membuat maksiat. Hati yang sakit ini akan bertambah sakit dan ditambah dengan kuman-kuman yang datang kemudian yang dibawa oleh musuh-musuhmu itu.

Ingatlah sahabat! Iblis dan syaitanlah musuhmu yang utama, bala tenteranya ramai datang silih berganti, mereka ada shif bertukar-tukar staf waktu siang dan malam. Kalaulah ditakdirkan kau boleh melihat wajah mereka dan boleh hitung bilangan mereka, kamu akan terkejut melihatkan wajah mereka yang hodoh dan bilangan mereka memenuhi kamarmu, ada yang disiling, dibumbung, ditandas, didapur dan dihalaman rumah.

Sahabat! Jangan kau bimbangi tipu helah mereka. Mereka telah mendedahkan pekerjaan jahat mereka kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. Kau telah kenal rahsia mereka, tektik dan teknik mereka menjalankan perang saraf, godaan dan hasutan mereka! Dari itu jangan terpedaya dengan pujukan dan tipu helah mereka ini.

Walaupun mereka berpengalaman beribu tahun, memahami saikologi manusia tetapi mereka juga ada kelemahan dan kebodohan. Mereka kalah pada hati-hati yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Mereka akan lemah berhadapan dengan hati yang luhur dan ikhlas pada Allah s.w.t. Mereka akan kepanasan apabila lidah sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t., sentiasa membaca Al-Qur'an dan sentiasa istighfar kepada Allah s.w.t.

Ingatlah! Dihati kamu itu ada kamar, akan diisi dengan salah satu daripadanya samaada fujur atau takwa, apabila kamarmu itu diisi dengan zikir dan mengingati Allah, ia akan menjadi takwa, maka malaikatlah yang akan menetap dikamar itu dan larilah syaitan kerana kepanasan, tetapi bila kamu leka dan tidak berzikir, maka akan terbinalah fujur dan syaitan akan meletakkan belalainya. Oleh itu janganlah kamu leka untuk berzikir dan mengingati Allah, kerana hati yang sentiasa mengingati Allah akan membuatkan hati menjadi bersih dan sejahtera, dan segala racun-racun yang dicucuk oleh syaitan itu boleh menjadi penawarnya.

Sahabatku,
Ramadhan hanya tinggal beberapa hari lagi akan meninggalkan kita. Bulan yang penuh keberkatan, pergunakanlah baki masa yang ada ini untuk memohon ampun kepada Allah s.w.t., memohon agar Allah membebaskan diri kita daripada siksaan api Neraka, memohon semoga do'a dan hajat-hajat kita diperkenaankan Allah s.w.t., memohon agar dibulan-bulan yang akan datang kita tetap istiqamah dengan Islam, dengan ibadah, dengan zikirullah, dengan amal soleh, denga dakwah, dengan jihad dan mohon semoga Allah melindungi kita daripada dorongan nafsu amarah dan godaan syaitan laknatullah.

Ingat sahabat!
Musuh-musuhmu itu akan bebas dari ikatan belengu yang merantai mereka, musuh-musuhmu akan bertambah garang dan ganas kerana mereka tidak dapat mengoda manusia yang beriman ketika bulan Ramadhan. Mereka akan bermasyuarat dan menyusun perancangan rapi bagaimana hendak memesungkan dan memalingkan hati anak Adam dari mengingati Allah dan dari melaksanakan amal soleh.

Oleh itu saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat semua agar kita susun strategi yang kemas dan rapi bagaimana untuk tetap kekal menjadi Mukmin beriman dan bertakwa setelah berlalunya Ramadhan nanti. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut :

1.Betulkan niat: Kita iaitu masuk dalam Islam keseluruhannya dalam aqidah, ibadah dan amal perbuatan. Pastikan buat semua yang wajib dan fardu dan tinggal semua yang haram, subha, makruh dan maksiat.Isikan dihati kita dengan sifat-sifat mahmudah iaitu sifat warak, zuhud, baik sangka, sabar, tawaduk, izzah,tawakkal, lemah lembut, rendah diri dan salim pada masa yang sama buangkan sifat-sifat mazmumah iaitu sifat sombong, bongkak, takbur, ujub, iri hati dan hasad dengki.

2.Pertingkatkan imanan dan kefahaman Islam: Dengan mengikuti majlis ilmu, usrah dan halaqah, kursus motivasi, rehlah dan muqayam. Jadikan media dalam internet yang mengandungi pengajaran dan ilmu Islam sebagai teman setia kamu.

3.Pastikan solah fardu lima waktu: Di laksanakan dimasjid secara berjemaah dan akifkan diri mengikuti program-program yang dianjurkan pihak masjid.

4.Pilih sahabat-sahabat yang baik dan soleh : Sahabat yang boleh menasihatkan kita bila kita lupa dan tersilap. Nasihat menasihat ini amat berguna untuk kita terhindar dari melakukan kesalahan dan dosa.

5. Dekatilah alim ulama, ustaz atau ustazah dan guru-guru motivasi : Mereka kita jadikan sebagai murabbi (pendidik) yang sentiasa menjadi penasihat. Biah yang soleh ini amat penting untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah.

6.Teruskan amalan sunat : Kerjakan semasa Ramadhan umpama solat tahajjud, solat witir, solat duha, bacaan Al-Qur'an, zikrullah dan jangan tinggal puasa sunat 6 hari dalam bulan Shawal.

7.Sentiasa menyedari kehadiran Iblis dan syaitan :Iblis dan syaitan yang menggoda dan mendatangkan was-was dalam hati kita. Apa sahaja rasa hati yang tak baik, tindakan gopoh dan menangguhkan urusan kebajikan, tidak menyegerakan taubat, solah, sedekah, bayar hutang, bermalas-malas adalah datangnya dari hasutan Iblis dan syaitan. Jika sudah mengenali mereka ayuh jangan tunggu-tunggu lagi, terus kita bekerja dan melaksanakan amal soleh tanpa berlengah-lengah lagi semoga kita mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah s.w.t.

Keadaan Iblis Ketika Umat Islam Membaca Al-Quran, Mengerjakan Haji Dan Puasa


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Iblis laknatullah akan merasa kecewa apabila umat Islam membaca al-Quran, mengerjakan fardu haji di Baitullah dan berpuasa dibulan Ramadan semata-mata kerana Allah SWT.


Pertama : Membaca al-Quran.

 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; "Wahai Iblis, bagaimana keadaan kamu apabila umatku membaca Al-Quran?"

Berkata Iblis ; "Wahai Nabi Allah, apabila umatmu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah SWT. (iaitu ikhlas) maka akan hanguslah seluruh tubuhku dan aku merasa bagai putus segala urat sarafku dan bersegera aku lari dengan kuat menghindarkan diri darinya."

Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi 'Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum', sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi". (Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur (hanya untuk tidur sahaja). Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya." (Hadis riwayat Imam Muslim).


Kedua : Mengerjakan fardu haji di Baitullah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud ; "Wahai Iblis, bagaimana keadaanmu apabila umatku mengerjakan rukun haji dengan ikhlas kerana Allah SWT.?"

Berkata Iblis ; "Ya Nabi Allah, binasalah daku dan akan gugurlah dagingku yang ada ditubuhku, disebabkan umatmu telah mencukupkan rukun didalam agamanya".

Ketiga : Mengerjakan puasa di bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud ; "Wahai Iblis, bagaimana pula keadaanmu apabila umatku mengerjakan puasa dalam bulan Ramadan kerana Allah SWT.?"

Berkata Iblis ; "Ya Nabi Allah, inilah satu bencana dan kesedihan yang teramat sangat kepadaku dan terhadap seluruh bala tenteraku atas sebab berikut :

1. Apabila masuk sahaja awal bulan Ramadan maka akan memancarlah cahaya Arsy Rahman dan Kursyi, dan semua Malaikat menyambut kedatangan bulan Ramadan itu dengan penuh kegembiraan yang amat sangat.

2. Bagi orang Islam yang berpuasa pula mereka mendapat satu kurnia yang sangat besar dari Allah SWT. dan dosanya diampunkan, dan begitu juga dengan dosa-dosa yang telah lalu digantikan dengan anugerah pahala dari Allah berganda-ganda, segala kesalahan yang dilakukan tidak akan dicatit selama dia berpuasa. Ini semua menyebabkan aku berasa dukacita yang amat sangat.

Yang paling menyakitkan hati ku ialah semua isi langit dan bumi, bulan, bintang, malaikat , segala kehidupan didarat dan dilaut hatta burung yang terbang diudara dan semua yang bernyawa akan mendo'akan siang dan malam memohon keampunan dari Tuhan mereka kepada orang-orang yang melakukan ibadah puasa. Satu lagi yang paling menyedihkan akan daku ialah, setinggi-tinggi yang didapati orang yang berpuasa Ramadan ialah 1000 kemerdekaan dari azab neraka, demikian juga di tutup pintu neraka dan di bukakan pula semua pintu syurga dengan selebar-lebarnya dan akan bertiuplah angin yang terdapat dibawah Arsy yang sepoi-sepoi itu melalui syurga.

"Ketahuilah dihari umat Islam berpuasa Ramadan, maka akan turunlah para malaikat dengan perintah Tuhan untuk menangkap kami dari bangsa iblis dan juga syaitan, lalu dibelengu dan dirantainya kami semua dengan rantai besi yang sangat panas, lalu dimasukkan kami semua kebawah bumi yang paling bawah sekali dan di azab dengan seksa azab yang amat sangat, seksaan ini akan berterusan sehingga semua umat Islam selesai berpuasa barulah kami semua dibebaskan kembali."

"Semua ini dilakukan oleh Allah SWT supaya kami tidak mengacau dan menganggu umatmu yang mana mereka sedang mengerjakan puasa. Mereka akan berasa lega dan gembira melakukan ibadah puasa tanpa gangguan dari kami, demikian juga dikala bangun untuk makan sahur diwaktu tengah malam, mereka akan berasa senang dan ringan dari perasaan malas dan takut seperti diwaktu bulan lain".

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW. yang menceritakan tentang keistimewaan bulan Ramadan:

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud ; " Barangsiapa berpuasa Ramadan dengan reda (ikhlas) dan menjaga batas-batasnya (sah dan batalnya) dan larangan, serta memelihara dirinya dari kesalahan, nescaya puasanya itu akan menghapuskan semua dosa-dosanya yang telah lalu".

Sabda baginda lagi yang bermaksud ; "Telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat. Allah SWT. telah memfardukan atas kamu berpuasa padanya. Dibukakan di dalamnya semua pintu syurga, dan dikuncikan di dalamnya semua pintu neraka dan dibelenggu di dalamnya segala Iblis dan syaitan". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan An Nasaai serta Al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Sunday, September 13, 2009

Ketenangan Hati Ada Pada Orang Beriman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Banyak orang diberikan Allah kepintaran, kemasyhuran, kesihatan yang baik dan harta yang banyak, namun hatinya dilamun resah dan hidupnya dirasakan hambar. Mahligai yang besar dirasakan umpama sangkar atau penjara. Makanan yan sedap dirasakan tawar dan tidak menyelerakan. Anak pinak dan sahabat handai yang ramai dirasakan membosankan. Hidup seperti tiada erti dan hanya bertujuan menghabiskan saki baki umur sementara menunggu hari kematian.

Banyak pula orang hidupnya kelihatan susah, tiada kemasyhuran, rumah kecil dan makanannya sederhana, namun pada hakikatnya dia sangat bahagia dan gembira. Dia menikmati hidup riang kerana hatinya tenang, walaupun berdepan dengan kemelut hidup yang mencabar.

Tiada ketenangan hati jika tiada iman. Tiada diragu lagi bahawa ketenangan hati adalah sebab utama untuk hidup bahagia.Tetapi ketenangan hati tidak dapat dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran, dan kekuatan fizikal. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu iman kepada Allah dan hari akhirat.

Ketenangan hati adalah nikmat Allah SWT yang dianugerahkan kepada hamba-hamba pilihan-Nya sahaja, supaya mereka berhati teguh dikala orang lain goyah, yakin dikala orang lain ragu, sabar ketika orang lain keluh-kesah dan berlapang dada semasa orang penik.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dan keimanan mereka yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi. Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” (Surah Al-Fath ayat 4)

Firman Allah lagi yang bermaksud : “Dan siapa yang hendak dibiarkan sesat oleh Allah, dijadikan Allah dadanya sesak dan sempit, seperti orang yang naik ke tempat yang tinggi.”
(Surah Al- An’am ayat 125)

Sahabat yang dihormati,
Orang beriman memperolehi ketenangan hati kerana orang beriman menyahut panggilan fitrah, mereka menempuh hidup yang sesuai dengan fitrahnya. Fitrah manusia tidak boleh dipenuhi dengan ilmu, peradaban dan falsafah tetapi ia hanya dapat dipenuhi dengan keimanan kepada Allah.Fitrah manusia yang sentiasa lapar dan dahaga hanya akan dapat dipuaskan dengan mengenali Allah dan menghadapkan hidup kepada-Nya. Apabila fitrah telah dipenuhi dengan keimanan dan rasa puas maka manusia akan hidup gembira riang dan aman daripada ketakutan. Orang yang tidak mahu belajar mengenali Allah dan lupa diri sendiri maka Allah akan membiarkan hidup menderita.

Sahabat yang dikasihi,
Orang beriman mengetahui rahsia penciptaan alam dan dirinya sendiri. Orang beriman hatinya tenang dan puas kerana persoalan ini dijawab oleh Allah SAW. Hatinya yakin dan tidak ragu-ragu.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi.Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
(Surah Ath-Thalaq ayat 12)

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah pada-Ku.” (Surah Az-Zariyaat ayat 56)

Dunia ini adalah kerajaan Allah. Manusia adalah khalifah Allah, diciptakan untuk memuja dan mentaati-Nya. Orang beriman memahami semua ini lalu melaksanakannya. Orang beriman jelas matlamat hidup yang hendak ditujunya, sedangkan orang yang tidak beriman tidak tahu ke mana kesudahannya, hidup meraba-raba dalam kegelapan dan berjalan tanpa haluan.

Orang beriman bebas dari semua kebimbangan kerana hidupnya terus ditujukan kepada matlamat mencapai keredaan Allah. Dia tidak peduli samaada orang lain suka atau tidak terhadap dirinya, asalkan dia mendapat keredaan Allah.

Orang beriman merasakan perjalanan mencapai matlamat hidupnya tidak ada yang sukar. Segala yang pahit menjadi manis, segenap pengorbanan dirasakan ringan, bahkan dihadapinya dengan tenang dan gembira. Tidak berasa takut dan cemas, tidak gentar dan ngeri terhadap sesuatu demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Fath ayat 4)

Sahabat,
Orang-orang yang beriman berasa dirinya dekat dengan Allah, dia merasakan hidupnya tidak bersendirian atau kesepian. Dia merasakan sangat dekat dan erat dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah.” (Surah Al-Baqarah ayat 115)

Firman Allah lagi yang bermaksud : “Dia (Allah) ada bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hadid ayat 4)

Orang beriman tidak akan merasa hidup terpencil, walaupun dia bersendirian semasa dia bekerja atau berada dirumahnya. Allah sentiasa menyertainya. Bahkan orang yang beriman merasakan hidup bersahabat dengan Nabi-nabi dan orang-orang soleh dari segenap umat dan zaman seperti firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu adalah bersama orang-orang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, orang-orang yang benar, orang-orang yang syahid dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”

Orang beriman juga selalu berbisik dan berdoa kepada Allah dalam solat dan ibadahnya. Oleh itu dia berasa tenang dan gembira kerana tidak keseorangan.

Allah SWT. panggil dengan pangilan yang lembut pada orang-orang yang beriman yang bermaksud : “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Masuklah kedalam jemaah-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”
(Surah Al-Fajr ayat 27-30)