Saturday, January 16, 2010

Kejadian Manusia Dalam Kandungan Ibunya.

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. 
Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli Syurga, sehingga jarak antaranya dan Syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli Neraka lalu dia memasuki Neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli Neraka, sehingga jarak antaranya dengan Neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli Syurga lalu dia memasuki Syurga."
(Hadis Riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim)

Kefahaman Hadis :

1) Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim :
Ayat-ayat yang berkaitan dengannya (Al-Haj : 5) (Al- Mu’minun :12-14)
Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat : Sebagai pengajaran kepada manusia … untuk mencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara ((tadarruj)) beransur-ansur tidak gopoh atau gelojoh.

2) Ditiup Ruh :
Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan. Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari … bagi menjamin kesucian rahimnya(tak mengandung).

3) Menggugurkan Janin :
Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu. Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapi pendapat yang dhaif.

4) Keluasan Ilmu Allah
Maha mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya.
Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).

Pengajaran hadis:

Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah SWT mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.

Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah SWT yang mencipta makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.
Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak dia belum lahir ke bumi -rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang.

Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Boleh jadi dia sangat baik si sepanjang hayat - tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli Neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan Neraka. Begitulah sebaliknya.

Walaubagaimana pun manusia hendaklah sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t. siang dan malam, terutama selepas solat fardu dan solat sunat semoga diakhir hayatnya kematiannya mendapat saat kematian yang baik (husnul khatimah) sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan sis-siskan permohonan do'a daripada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

(Dipetik dari Hadis 40 Imam Nawawi)

Friday, January 15, 2010

Melupai Mati Jadikan Hidup Berpura-pura.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Menjelang kematian setiap anak Adam, dia pasti mengalami apa yang disebut sakratul maut. Di istilahkan sebagai sakrah kerana pada saat itu, empunya diri berada di sempadan antara hidup dan mati. Dia berada dalam keadaan mabuk kepayang. Antara sedar dan tidak. Dia berasa sakit yang amat sangat pada seluruh anggota tubuhnya serta rasa dahaga yang tidak terkira.

Kata alim ulama, mereka yang sedang nazak dan akan mati, pandangan matanya kelam, dan seluruh ingatan serta memorinya akan memutarkan kejadian demi kejadian yang berlangsung sepanjang hayatnya. Ibarat 'DVD' yang sudah melalui proses 'rewind'.

Di saat itu, Malaikat Maut yang biasa kita dengar namanya sebagai Izrail berdiri di hadapan peminjam nyawa yang bakal dipanggil pulang itu. Izrail bersikap bengis dan kasar pada setiap pendurhaka atau mereka yang semasa hidupnya tak fikir nak buat amalan baik dan menurut perintah Allah. Izrail akan berlembut dan ramah terhadap mereka yang soleh, dan mereka yang melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w.

Tatkala si pendurhaka melihat bahawa lembaran hidupnya lebih banyak maksiat dan kejahatan dia pun berteriak-teriak melolong-lolong. Tetapi teriakan dan rintihannya itu tidak dapat didengar oleh orang lain. biarpun ramai sanak saudara dan rakan taulan berada dikelilingnya. Hanya dirinya sahaja yang tahu. Al-Qur'an ada mengambarkan keadaan ini. Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah sampai ke kerongkong, dan dikatakan kepadanya, "' Siapakah yang dapat menyembuhkan'. Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dan bertaut betis kiri dan betis kanan, kepada Rabbmulah pada hari itu kamu dikembalikan." (Surah al-Qiyamah ayat 26-30).

Pada saat itu tidak ada siapa yang dapat menolong samaada ayah, emak, anak, adik beradik, guru, sahabat atau siapa sahaja yang bertaraf makhluk.

Inilah saat yang sangat mengejutkan dan mengerikan ibarat melihat panahan petir sewaktu hari sedang panas terik. Saat itu simati akan teringat terhadap ancaman Allah yang berupa Neraka Jahannam, yang mungkin pernah didengar atau dibaca sebelum saat nazaknya. Dan pada hari itu, diperlihatkan Neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah kalian akan tetapi tidak berguna lagi mengingati itu baginya. Dan dia berkata , "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyiksa seperti siksaan-Nya dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya" (Surah al-Fajr ayat 23-26)

Sahabat yang dihormati,
Kematian merupakan saat berakhirnya riwayat kehidupan kalian Maknanya terputuslah perhubungan kalian dengan apa sahaja yang nyata di alam ini. Kalian akan tinggalkan keluarga, anak-anak, harta, saham, pangkat, perniagaan dan kemasyhuran (glamor). Maka buku catitan mengenai segala amal perbuatan kalian tertutup sudah, dan menanti masa untuk diperiksa samaada menerima ganjaran atau hukuman. Allah telah merakam dan menghitung semuanya dengan sangat teliti sehingga tidak ada satu perkara pun yang ketinggalan, hatta amal sebesar atom sekalipun.

Bagi orang-orang yang ingkar dengan ajaran Allah, baik mereka yang mengaku Islam atau mereka yang tidak memeluk Islam, kematian menjadi saat yang sangat mengejutkan. Gundah gulana apabila mereka sekali teringat akan mati, seperti orang hilang peduman.Berbeza pula pada diri orang-orang Mukmin, dia tidak takut dan kelam kabut dengan kematian. Malah dia menerima kematian itu suatu proses yang tabie (natural) dan mesti dilalui.

Apabila kalian mengisi masa dan waktu dengan iman dan amal soleh dan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w dengan penuh ikhlas dan menjauhi maksiat dan permusuhan, hati dan jiwa kalian akan merasa lebih tenang untuk menghadapi saat kematian. Sunnah Nabi s.a.w yang paling besar adalah sunnah berdakwah dan mendirikan jamaah atau negara berasaskan syariat agama. Sunnah berdakwa bermakna menjadikan diri mentaati suruhan Allah dan turut mengajak orang lain mentaati Allah.

Sekiranya sepanjang hidup kalian sentiasa bertaubat dan sentiasa berhati-hati menjaga suruhan agama, serta melaksanakan sunnah berdakwah, sebagaimana janji al-Qur'an (janji Allah) merekalah akan mendapat saat kematian yang baik (husnul khatimah). Saat kematian merupakan panggilan kehormatan bagi orang-orang beriman seumpama ini. Allah s.w.t menyambutnya dengan berfirman yang bermaksud : "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (Surah al-Fajr ayat 27-30)

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w. pernah berpesan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati, lalu dia mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat itu. Jadi apabila tiba masanya dia tidaklah kelam kabut atau menyesal berpanjangan.

Thursday, January 14, 2010

Sifat Api Neraka dan Ahlinya

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanatnya dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Api Neraka telah dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun hingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga hitam gelap, bagaikan malam gelap kelam."

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : " Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli Neraka iaitu seorang yang bersandal (selipar) dari api Neraka, dan dapat mendidihkan otaknya, seolah-olah di telinganya ada api, dan giginya berapi dan di bibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat siksanya dari semua ahli Neraka, padahal ia sangat ringan siksanya dari semua ahli Neraka."

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik r.a. berkata : "Jibril datang kepada Nabi s.a.w. pada saat yang tiada biasa datang dalam keadaan yang berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi s.a.w. : 'Mengapa aku melihat kau berubah muka?'

Jawabnya : 'Ya Muhammad aku datang kepadamu pada sa'at di mana Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api Neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa Neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya.'

Lalu Nabi s.a.w. bersabda : 'Ya Jibril jelaskan kepadaku sifat Jahannam!'

Jawabnya, 'Ya ketika Allah menjadikan Jahannam maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun hingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli Neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut Allah dalam al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ketujuh.'

'Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang-orang yang dihujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasan besi, dan minumannya air panas  campur nanah, dan pakaiannya potong-potongan api. Api Neraka itu ada mempunyai TUJUH pintu, tiap-tiap pintu ada bahagian yang tertentu dari orang lelaki dan perempuan.'

Nabi s.a.w. bertanya : 'Apakah pintu-pintu bagaikan pintu-pintu rumah-rumah kami?'

Jawabnya : " Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya dari bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan tujuh puluh ribu tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain tujuh puluh kali lipat ganda, maka digiring ke sana musuh-musuh Allah sehingga bila telah sampai ke pintunya disambut oleh Malaikat-malaikat Zabaniyah dengan rantai dan belenggu, maka rantai itu di masukkan ke dalam mulut mereka hingga tembus ke dubur, dan diikat tangan kirinya ke lehernya, sedang tangan kanannya dimasukkan dalam dada dan tembus ke bahunya, dan tiap manusia diganding dengan syaitannya lalu diseret tersungkur mukanya sampai dipukul oleh para Malaikat dengan pukul besi, tiap mereka ingin keluar kerana sangat risau maka ditanam ke dalamnya, kemudian Nabi s.a.w bertanya : 'Siapakah penduduk masing-masing pintu?'

Jawabnya :
'Pintu yang terbawah (pertama) untuk orang-orang Munafik, dan orang-orang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Alhawiyah.

Pintu kedua, tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim. 

Pintu ketiga, tempat orang-orang Shobi'in bernama Saqar.

Pintu keempat, tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladha.

Pintu kelima, orang Yahudi bernama Huthomah.

Pintu keenam, tempat orang Kristian (Nashara) bernama Sa'ier.

Kemudian Jibril diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga Nabi s.a.w. tanya : "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ketujuh?'

Jawabnya : 'Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari umatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat'. Maka Nabi s.a.w jatuh pingsan ketiaka mendengar keterangan itu, sehingga Jibril meletakkan kepala Nabi s.a.w di pangkuan Jibril sehingga sedar kembali, dan ketika sudah sadar Nabi s.a.w bersabda ; "Ya Jibril sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari umatku yang akan masuk ke dalam Neraka?

Jawabnya ; 'Ya , iaitu orang yang berdosa besar dari umatmu.'

(Di petik dari Kitab Tanbihul Ghafilin Jelid 1&2 )

Wednesday, January 13, 2010

Sifat Orang Mukmin Berkata Baik, Memuliakan Jiran dan Tetamu

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
(Hadis Riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkah hadis diatas setiap orang Mukmin dikehendaki menjalinkan hubungan yang baik, sentiasa menyebarkan kasih sayang sesama manusia dan merapatkan lagi hubungan ukuwah Islamiyah sesama umat Islam. Seorang Mukmin yang baik adalah sentiasa menjaga lidahnya daripada mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan mengatakan sesuatu yang menyakiti hati orang lain. Ia perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu perkataan. Sebaik-baiknya berdiam diri sekiranya berkata-kata itu boleh mendatangkan dosa atau fitnah.

Menjaga hak jiran dan memuliakannya adalah salah satu tuntutan Islam. Hubungan baik dengan jiran adalah perhubungan yang ada kaitan dengan keimanan kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. ada menyatakan tidak sempurna iman seseorang itu apabila dia kenyang sedangkan jirannya kelaparan. Menyakiti hati jiran boleh membawa seseorang mendapat kemurkaan Allah s.w.t. Untuk memelihara hubungan baik dengan jiran hendaklah kalian sentiasa memberi senyum bila berjumpa, menziarahi mereka bila sakit, kematian atau ketika menyambut hari raya, memberi hadiah, memenuhi undangan bila diundang dalam sesuatu majlis dan membantu-membantu apabila ia memerlukan bantuan.

Merai dan memuliakan tetamu adalah satu tuntutan Islam. Apabila tetamu datang ke rumah  wajib kalian merai dan melayan tetamu selama tiga hari. Selepas daripada tiga hari telah hilang kewajipannya, tetapi sekiranya kalian bersedia untuk berkhidmat, meraikan dan memuliakannya ianya adalah digalakan dan dikira sebagai sedekah.

Nabi s.a.w. pernah berpesan pada Sayyidina Ali k.w yang bermaksud, : "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

Pengajaran hadis:
Hadis ini menerangkan beberapa tuntutan iman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.

Seorang yang benar-benar beriman akan menjaga lidahnya daripada berbicara perkara haram kerana dia akan dipersoalkan di hari qiamat nanti. Dia lebih senang diam daripada berkata buruk seperti mengumpat, mengeji, mencaci, memaki hamun dan mencarut.

Seorang yang benar-benar beriman akan menghormati jiran tetangga dan tetamunya, menyempurnakan hak mereka dan tidak menyakiti mereka. Jiran tetangga adalah suatu golongan yang mendapat perhatian besar dalam lslam. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup berjiran yang muafakat adalah asas keamanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat