Saturday, August 21, 2010

Tujuh Kalimat Yang Mulia di Sisi Allah

Sahabat yang dikasihi Allah,
Kehidupan seorang Mukmin sentiasa dihiasi dengan akhlak Islam, lidahnya sentiasa basah berzikir dan memuji kebesaran Allah s.w.t. Hati dan jiwanya sentiasa redha dengan takdir Allah s.w.t dan bersangka baik dengan-Nya. Dalam keadaan apa sekali pun seorang Mukmin perlu berdo'a dan lidahnya menyebut dan memuji-muji Allah s.w.t tanda bersyukur dan cinta kepada-Nya. Terdapat tujuh kalimat mulia disisi Allah dan Malaikat, bila diucapkan maka Allah s.w.t akan mengampunkan segala dosa-dosanya.

Sabda Rasulullah s.w.t yang maksudnya : " Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampun dosa-dosanya walau sebanyak buih laut :

1. Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2. Mengucap 'Alhamdulillah' pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
3. Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok.
4. Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
5. Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
6. Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah.
7. Mengucap 'La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah' sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya "

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan dan faham fadilat dan hikmah yang terdapat di dalam kalimah-kalimah yang mulia ini sehingga Allah s.w.t akan mengampunkan dosa-dosa kita walaupun sebanyak buih-buih dilaut.
Kalimah-kalimah tersebut adalah seperti berukut :

Pertama :Mengucap 'Bismillah' pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

Sebelum hendak memulakan sesuatu pekerjaan membacalah Bismallah. Bismallah adalah sebutan atau nama singkat dari lafaz "Bismillahir rohmanirrohim" yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :
1. "Tiada daripada seorang hamba yang membaca "Bismillahir rohmanirrohim" melainkan hancurnya syaitan seperti hancurnya timah diatas api".

2. " Barangsiapa yang membaca "Bismillahir rohmanir rohim" nescaya Allah akan ampunkan dosanya yang terdahulu".

3. "Barangsiapa membaca "Bismillahir rohmanir rohim" ditulis namanya daripada kalangan orang-orang yang benar pada taatnya dan dilepaskan daripada sifat kufur dan nifaq (kafir dan munafiq)".

4. "Sesungguhnya syaitan menganggap halal makanan yang tidak disebutkan nama Allah padanya."
(Hadis Riwayat Muslim)

5. " Barangsiapa ingin diselamatkan Allah dari malaikat Zabaniahyang berjumlah sembilan belas, hendaklah ia membaca"Bismillahirrohmanir rohim" Allah akan jadikan setiap hurufnya perisai untuk setiap malaikat Zabaniah."

6."Barangsiapa yang membaca "Bismillahir rohmanir rohim" sebanyak 21kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan,kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala."

Kedua : Mengucap 'Alhamdulillah' (segala pujian bagi Allah) pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

Tanda kita bersyukur kepada segala nikmat yang telah Allah kurniakan hendaklah sentiasa memuji Allah s.w.t dengan mengucapkan "Alhamdulillah"

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)"
(Surah Al-Baqarah: Ayat 152)

Ingatlah! Semua yang Allah berikan pada kita atas dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Allah boleh tarik semuanya dalam sekelip mata, jika kita tidak pandai nak bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita selama kita hidup di dunia, lagi pun kehidupan di dunia ini juga adalah sementara. Kehidupan yang kekal adalah di hari akhirat.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Pertahankanlah dirimu dengan keempat-empat kalimah ini (subhanallah,walhamdulillah, walailahaillallah, wallahuakbar : Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, dan tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar), semoga kamu dilindungi daripada Jahannam.Kerana kalimah-kalimah ini akan melindungi pembacanya daripada kanan, kiri, belakang dan bahagian hadapan. Dan kalimah-kalimah ini adalah kebajikan-kebajikan yang kekal selama-lamanya."

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : " Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah dan setiap tahlil ialah sedekah dan setiap lafaz takbir adalah merupakan sedekah. "

Ketiga : Mengucap 'Astaghfirullah' jika lidah tersilap perkataan yang tidak elok.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

"Setiap orang Mukmin tetap akan mendatangi dosa dari masa ke semasa."

Rasulullah s.a.w sendiri beristighfar tidak kurang daripada 70 hingga 100 kali sehari semalam seperti tercatat dalam hadis sahih.

Diriwayatkan oleh Al-Sayyid Al-Radhi r.a dalam Nahj Al-Balaghah bahwa seseorang berkata "Astagfirullah" (Aku memohan Ampun kepada Allah) didepan Sayyidina Ali k.w. Beliau berkata kepadanya, "Sesungguhnya istighfar adalah darjat 'Illiyyin, dan merupakan sebuah kata yang mencakup enam perkara :

1.  adalah menyesali masa lalu.

2.  bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

3. mengembalikan pada makhluk hak-haknya (yang pernah dirampas pada masa lalu) sehingga engkau bertemu Allah s.w.t. dalam keadaan bersih sedemikian sehingga tak ada yang dapat menuntutmu.

4. memenuhi (melaksanakan) setiap kewajipan yang pernah engkau lalaikan.

5. membereskan daging tubuhmu yang ditumbuhkan oleh sesuatu yang haram.Engkau melelehkannya dengan kesedihan (tangis dan penyesalan) sehingga yang kau biarkan hanya kulit yang melekat di tulang, dan setelah itu tumbuhlah daging baru di antara kulit dan tulang itu.

6.  buatlah tubuhmu merasakan kepedihan dalam melakukan ketaatan sebagaimana telah engkau rasakan manisnya kemaksiatan. Setelah melakukan keenam hal ini, barulah katakan 'Astaghfirullah.'''

Keempat : Mengucap 'Insya Allah' jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari beberapa orang penduduk Mekah datang berjumpa dengan Nabi s.a.w. untuk bertanyakan mengenai hal roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Dzulkharnain. Nabi s.a.w. lalu menjawab, "Datanglah pada esok pagi agar aku dapat menjawabnya, " .

Keesokan harinya wahyu tidak turun kepada Nabi s.a.w. hatta baginda gagal menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan itu. Dan tentu sahaja kegagalan ini menjadi bahan cemuhan orang-orang kafir.

Ketika itu turunlah ayat 23 dan 24 dari Surah Al-Kahfi yang menegur perbuatan baginda itu.

Firman Allah s.w.t maksudnya : " Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' Insya Allah ' . Dan ingatlah kepadaTuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini '. "
(Surah Al-Kahfi ayat 23-24)

Perkataan 'InsyaAllah ' membawa erti jika Allah mengkehendaki. Ini menunjukkan bahawa kita sebagai manusia terbatas daripada mengetahui apa yang bakal  berlaku pada masa ke depan. Jika kita sebagai makhluk punya rencana atau perancangan, Allah pula sebagai Khalik punya segala kuasa. Dengan demikian ucapan ' Insya Allah ' menunjukkan kepada kerendahan hati kita sebagai seorang hamba dan sedar dengan segala kekuasaan Allah terhadap makhlukNya. Atas dasar itulah Nabi s.a.w. sendiri pun ditegur oleh Allah s.w.t. bila alpa daripada mengucapkan yang demikian.

Kelima : Mengucap 'La hawla wala quwwata illa billah' jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

Lahawla wala quwwata illa billah merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah Syurga, ia merupakan penyembuh untuk 99 jenis penyakit, sekurang-kurangnya penyakit dukacita, kesedihan dan kerisauan.

Berkata Abdullah bin Masud r.a, pernah seketika beliau bersama Rasulullah s.a.w. dan dia mengucapkan 'La hawla wala quwwata illabillah'."Baginda s.a.w. bertanya:"Apakah kamu mengetahui maksudnya?","Aku menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui"

Baginda s.a.w. menerangkan maksudnya :"Ia bermakna tidak ada sesiapa yang mempunyai daya keupayaan untuk memelihara dirinya daripada menderhakai Allah melainkan dengan pertolongan dan perlindungan dari Allah, dan tidak ada sesiapa pun mempunyai daya keupayaan untuk mentaati dan beribadat kepada Allah tanpa bantuan dan petunjuk daripada Allah.

Tidak ada daya keupayaan untuk mengelak daripada menderhakai Allah melainkan dengan perlindungan dan pertolongan Allah dan tidak ada daya keupayaan untuk mentaati dan menyembah Allah melainkan dengan pertolongan dan petunjuk daipada-Nya, dan tidak ada tempat perteduhan yang selamat daripada kemurkaan Allah melainkan Allah"

Dalam riwayat yang lain, "Kami bersama Nabi s.a.w. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka baginda mengatakan: 'Wahai manusia kasihilah diri kalian, kerana kalian tidaklah menyeru Dzat yang tuli atau jauh, akan tetapi Ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. 'Lalu baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: 'La hawla wala quwwata illa billah.'Lalu baginda mengatakan: 'Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkan La hawlawala quwwata illa billah. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaanyang tersimpan di Syurga.' Atau beliau mengatakan:'Tidakkah kamu mau aku tunjuki salah satu harta kekayaan di Syurga? Lahawla wala quwwatailla billah'."
(Hadis Riwayat. Al-Bukhari )

Keenam : Mengucap 'Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun' jika menghadapi dan menerima musibah.

Allah s.w.t. juga berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Mengucap 'La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah' sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya "

"Dari Ubadah bin ash Shaamiti Rasulullah pernah bersabda yangbermaksud.."Barangsiapa bersaksi mengatakan LailahaillahMuhammadarrasulullah (Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah) maka Allah akan mengharamkan Neraka baginya.."

Rasulullah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang berkata kalimah LAILAHAILLAH MUHAMMADARRASULULLAH  sebanyak 100 kali maka tatkala ia datang di hari kiamat dengan wajahnya seperti bulan purnama."

"Rasulullah pernah bersabda maksudnya : "Pernah pada suatu hari, sedang Nabi duduk dalam keadaan susah, maka datang Jibrail kepadanya lalu berkata. 'Wahai Muhammad, apa erti kesusahan, sedangkan Allah s,w,t telah memberikan kepada umatmu lima perkara dan ia belum pernah memberikan kepada seorang sebelum engkau iaitu :

1. Allah berfirman yang bermaksud " Aku disisi hambaKu ialah Aku mengikut sangkaannya terhadapKu dan Allah tidak menyalahi sangkaan hamba terhadap-Nya."

2. "Barangsiapa yang menutup keaiban orang lain di dunia. Maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

3. "Tidak ditutup pintu taubat ke atas umat engkau, selagi mana nyawanya belum sampai ke kerongkong"

4. "Barangsiapa datang kepada Allah dengan membawa dosa sepenuh bumi maka jika ia menyebut LAILAHAILLAH MUHAMMADARASULULLAH , maka nescaya Allah akan mengampuninya."

5. "Allah s.w.t menghapuskan dosa-dosa mereka yang sudah mati dengan sebab do'a orang-orang yang masih hidup."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah amalkan tujuh kalimat yang menghandungi fadilat dan hikmah yang sungguh besar dan bermanfaat untuk kita di dunia dan akhirat. Setiap kali kita menyebutnya yakinilah kita akan mendapat rahmat dan keampunan dan ada ganjaran yang besar di sediakan oleh Allah s.w.t tanda kita bersyukur dan bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Friday, August 20, 2010

Sembilan Perkara Pesanan Allah Kepada Nabi s.a.w.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;


"Allah berpesan kepada sembilan perkara dan aku pesankan kepadamu"

1-Allah berpesan kepada aku supaya mempunyai keikhlasan batin dan zahir.


2-Adil saat redha dan marah.


3-Berjimat cermat dalam kekayaan dan kemiskinan.


4-memberi maaf kepada orang yang menzalimiku.


5-Memberi sesuatu kepada orang yang tidak memberikanya kepadaku.


6-Menyambungkan hubungan dengan orang yang memutuskan hubunganya dengan aku.


7-Berdiam diri dalam berfikir.


8-Ucapanku berbentuk zikir.


9-Penglihatanku adalah pelajaran bagiku."

(Di petik dari Tautan Kasih Nur Husrah)

Thursday, August 19, 2010

Ikhlaskan Hatimu Kepada Allah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Allah tidak memandang bentuk tubuhmu dan tidak pula kedudukkan mahupun harta kekayaanmu tetapi Allah memandang pada hatimu. Sesiapa memilikki hati yang soleh maka Allah menyukainya., insan yang paling dicintai Allah ialah yang paling takwa dan  ikhlas kepada-Nya.

Ikhlas bermaksud melakukan amal ibadat sama ada secara khusus atau umum semata-mata memburu keredaa Allah SWT. Bagi orang yang hatinya berpaut dengan rasa keikhlasan tidak akan melakukan sesuatu mengharapkan pembalasan. Pepatah ada mengatakan, "Ada ubi ada batas aku beri jangan lupa di balas". Seseorang yang ikhlas juga tidak mengharapkan pujian dan sanjungan daripada manusia, jauh sekali menunjuk-nunjuk atau riak.

Ikhlas selalunya lahir dari hati yang luhur dan mengharapkan reda Allah SWT  semata-mata. Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amal. Allah SWT  akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan dengan ikhlas.

Firman Allah SWT  maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

Sahabat yang di muliakan,
Sifat ikhlas adalah sifat mahmudah (sifat terpuji) ia adalah satu kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Untuk memiliki sifat ikhlas seseorang perlulah memahami kepada tiga perkara :
1. Memiliki ilmu : Dengan ilmu seseorang akan tahu peraka-perkara yang disuruh dan dilarang oleh Allah SWT. Dapat memahami apakah jenis dan kraiteria sifat terpuji yang disukai Allah SWT dan sifat tercelah yang dibenci oleh-Nya. Mempelajari ilmu bab hati dan tasauf memfokuskan ciri-ciri amalan yang ikhlas kepada AllahSWT.

2. Membaca dan mengambil iktibar daripada seerah Nabi SAW , sahabat-sahabat baginda, tabien, tabi-tabien, wali-wali Allah, ahli sufi, alim ulama dan para syuhada mengenai amalan-amalan mereka yang ikhlas.

3. Memahami cara-cara iblis mengoda dan menguasai hawa nafsu manusia supaya dapat terhindar daripada perasaan ujub, riak dan takbur. Sifat-sifat ini akan menghapuskan amalan kita kepada Allah s.w.t.

Terdapat lima tanda-tanda amalan seseorang itu ikhlas kepada AllahSWT :

1. Takut mendapat kemasyuran dan pujian daripada masyarakat terhadap amalan-amalannya.

2. Merasai tidak cukup puas menunaikan hak-hak Allah SWT yang diamanahkan kepadanya.

3. Tidak menceritakan pada orang lain amalan-amalan soleh yang dia kerjakan, kerana amalan-amalan itu adalah rahsia dia dengan Allah SWT.

4. Dia tidak perlukan pujian dan tidak mengharapkan pujian orang lain dia merasakan pujian itu lebih baik  diberikan kepada orang lain yang berhak mendapatkannya.

5. Keadaannya sama saja samaada dia menjadi ketua atau orang bawahan. Tidak ada perasaan bermegah-megah dengan jawatan yang dimilikinya. Apa yang dilakukan semata-mata mencari reda Allah.
Contoh : Sayyidina Khalid al-Walid r.a. dipecat dari jawatan panglima perang dan menjadi tentera biasa. Bila dia ditanya apa perasaannya, dia berkata, "Aku berperang kerana Allah bukan kerana Umar"

Sahabat yang dikasihi,
Sifat ikhlas kepada Allah natijahnya akan menjadikan hati kita tenang, tenteram dan bahagia. Mutu kerja yang dilaksanakan berkualiti dan sempurna.Kerja yang dilaksanakan bukan kerana manusia atau kepentingan peribadi tetapi semata-mata kerana Allah. Seorang yang ikhlas akan meniatkan perkara harus seperti tidur, makan, minum, membeli rumah, kenderaan, pakaian dan lain-lain semata-mata  kerana Allah maka dengan niatnya itu akan menjadi ibadah dan dia akan mendapat pahala di sisi Allah.

Ikhlas itu merupakan satu rahsia dari rahsia-rahsia Allah SWT yang mana para malaikat pun tidak dapat mengesannya. Malaikat akan mencatat apa yang nampak zahir sahaja segala perbuatan dan amalan manusia.

Amalan yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. bukan kerana ada sebab-sebab yang lain atau ada dorongan-dorongan yang lain. Semua amalan kebaikan manusia akan tertolak di akhirat nanti apabila ada amalan atau pekejaan yang dibuat kerana sesuatu sebab iaitu untuk mendapat nama, pujian, penghargaan, pangkat dan kedudukan.

Seorang yang mati syahid akan ditolak amalannya kerana dia berjuang dan berjihad fisabilillah supaya dia terkenal sebagai seorang pahlawan terbilang. Seorang alim ulama yang tinggi ilmu pengetahuannya yang ramai anak muridnya dan dipandang mulia oleh orang ramai tertolak amalannya kerana dalam hatinya inginkan pujian dan disanjung supaya digelar  sebagai seorang alim ulama yang terkenal. Seorang dermawan juga di tolak sedekah dan zakatnya kerana dia inginkan pujian daripada manusia supaya manusia gelar dia seorang dermawan yang baik hati.

Dari Zaid bin Arqam r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengucapkan ‘Lailahaillallah’ dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” Lalu ditanya kepada baginda SAW.  “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?” Rasulullah SAW. bersabda, “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.”
(Hadis Riwayat at-Tabarani)

Usahakanlah menanam sifat ikhlas dalam matlamat hidup ialah dengan merenung 'hidup sesudah mati.' kerana ianya boleh menghidupkan hati kita dan tamakkan reda Allah. Apabila hati kita sentiasa mengingati hari akhirat perasaan tamakkan dunia akan hilang dan terhakislah sifat-sifat mazmumah seperti penyakit batin termasuk hasad dengki sesama mukmin kerana berebut pengaruh, meninggalkan perjuangan, merasa jemu dalam berjuang dan fitnah memfitnah.

Oleh itu marilah sama-sama kita perbetulkan niat-niat dihati kita supaya ianya benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.Keikhlasan inilah yang akan membawa nilai kepada setiap amalan kita. Biar pun sedikit amalan tersebut apabila ianya ikhlas dan tidak ada kepentingan duniawi maka ianya akan  menjadi besar disisi Allah SWT.

Wednesday, August 18, 2010

Nasihat Nabi s.a.w. Kepada Abu Zar r.a.

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Aku menasihatkanmu;

* Kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana Ianya sumber segala amalan.

* Utamakanlah bacaan al-Qur'an dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut dilangit dan sebabkan nur dipermukaan bumi.

* Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu.

* Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan lenyap.

* Utamakan jihad kerana itulah kebanggaan umatku.

* Hendaklah mengasihi orang-orang miskin dan mengauli mereka.

* Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.

* Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang Ia kurniakan kepada kamu.

* Hendaklah mengukuhkan silaturahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.

* Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.

* Jangan sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.

* Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebuhkan keaiban orang lain.

* Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.

Wahai Abu Zar,

* Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya,

* Sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan

* Tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Pengajarannya :
Berdasarkah hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a, Nabi s.a.w telah menjelaskan beberapa perkara mengenai ciri-ciri akhlak Islam dan amal soleh yang perlu ada pada diri seorang Mukmin. Walaupun nasihat ini ditujukan kepada sahabat baginda (Abu Zar) tetapi sebenarnya ia adalah ditujukan untuk semua umat Islam untuk mencapai tahap akhlak Islam dan amal soleh yang sempurna. Sekiranya kita fahami dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w, insya Allah kita akan menjadi Mukmin yang sempurna dan memiliki peribadi yang mulia.    


Muhasabah di Fasa Pertama 'Permulaannya Rahmat'

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa berjalan begitu cepat sekali, sekarang ini kita telah berada pada hari ke lapan puasa Ramadhan. Kita masih di fasa pertama iaitu 'permulaannya rahmat'. Marilah kita bermuhasabah dan menilai ibadah puasa yang dilaksanakan dan adakah segala pengisian Ramadhan kali ini dapat kita penuhkan dengan aktiviti ibadah atau masa berlalu begitu saja tanpa kita pergunakannya sebaik mungkin?
Amalan seorang Mukmin adalah hari ini lebih baik dari semalam dan amalan hari esok lebih baik dari hari ini. Setiap hari amalannya meningkat dan lebih berkualiti.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."

Sahabat yang dimuliakan,
Pergunakanlah masa yang Allah berikan pada kita dengan sebaik mungkin. Jika kita terlepas Ramadhan kali ini, tidak ada peningkatan dan perubahan dari Ramadhan sebelumnya maka kita akan mendapat kerugian. Kita belum pasti samaada Ramadhan tahun hadapan kita akan bertemu lagi kerana kematian seorang anak Adam itu akan datang bila-bila masa. Ada dikalangan sahabat-sahabat kita telah kembali menemui Allah s.w.t belum sempat menikmati kehadiran Ramadhan tahun ini.

Permulaan fasa pertama ini adalah Allah s.w.t memberi rahmat-Nya  kepadahamba-hamba-Nya yang berpuasa. Rahmat bermaksud kasih sayang Allah. Apabila Allah s.w.t kasih pada seseorang hamba itu Dia akan memberikan :

1. Kerseonokkan dalam mengerjakan ibadah dan memperbanyakkannya.
2. Meningkat iman dan taqwanya kepada Allah s.w.t.
3. Bertambah ilmunya , cinta untuk menuntut ilmu dan diberi kemampuan untuk melaksanakan ilmu tersebut.
4. Bertambah cinta dan kasihnya pada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
5. Bertambah kasihnya kepada alim ulama' yang memberikannya ilmu.
6. Diberi oleh Allah kefahaman tentang agama.
7. Memiliki kekuatan untuk beristiqamah di jalan Allah s.w.t.
8.Merasa gelisah apabila hari berjalan tanpa memberi sedekah, tidak membaca al-Qur'an, meninggalkan qiyamulail dan solat terawih.

Adakah kalian telah memiliki ciri-ciri rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t?

Jika ada alhamdulillah, jika belum ada maka kalian kena muhasabah balik dimana kelemahan dan kekurangan diri kalian hinggakan rahmat Allah s.w.t belum kalian miliki sedangkan lapan hari puasa telah berlalu.

Sahabat yang dihormati,
Betapa rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa, dijauhkan oleh Allah s.w.t dari siksaan api Neraka.

Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran puasa pula akan diberikan sendiri oleh Allah s.w.t dan malaikat pencatat amal tidak tahu berapa banyak ganjaran yang hendak diberikan kepada manusia.

Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : "Semua amal anak Adam a.s. dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekelian"
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta (bohong semasa berpuasa) maka Allah s.w.t.tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan minumnya."
(Riwayat Bukhari)

Allah s.w.t Maha Pemurah dan Maha Penyayang menjanjikan dua kegembiraan untuk orang yang berpuasa iaitu satu di dunia dan satu lagi dihari akhirat :
Nabi s.a.w pernah bersabda: "Bagi orang yang melaksanakan ibadah puasa, baginya ada dua saat kegembiraan.Pertama pada waktu berbuka dan kedua ketika menghadap Ilahi"

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita buat senaraikan beberapa amalan-amalan yang perlu kita laksanakan dibulan Ramadhan ini untuk mendapat taqwa dan redha Allah :

1. Membaca al-Qur'an dan melihat terjemahannya.
2. Solat fardu berjemaah dimasjid atau surau.
3. Solat terawih dan witir berjemaah di masjid atau disurau
4. Qiyamulali (solat tahajjud, hajat, taubat, istiqarah)
5. Membanyakkan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu dan solat dhuha.
6. Bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim , sekolah agama dan masjid.
7. Sentiasa berwudhuk
8.Menjamu orang berpuasa .
9. Berzikir kalimah tayyibah (zikir tahlil)
10. Membaca zikir al-Mathurat lepas subuh dan lepas asar (himpunan zikir-zikir Nabi s.a.w).
11. Menghadirkan diri di majlis ilmu dan tazkirah.
12. Berselawat kepada Nabi s.a.w.
13. Banyakkan berdo'a.
14. Segerakan berbuka dan mulakan dengan buah tamar dan
15. Melewatkan makan sahur.

Marilah sama-sama kita perelokkan ibadah puasa kita dengan memperbanyakkan amal ibadah, amal soleh dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Jika kita sentiasa istiqamah dengan perkara-perkara yang meningkatkan iman dan hubungan hati kita dengan Allah, maka ibadah puasa kita akan menjadikan kita Mukmin yang bertaqwa. Kita akan rugi jika di dalam fasa pertama ini kita tidak memperolehi rahmat daripada Allah s.w.t.

Hiasilah Diri Kalian Dengan Sifat Sabar

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabar,adalah kalimat yang mudah diucapkan. Namun berapa ramai antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar itu ada batasnya?, Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai sebahagian dari iman? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang sabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah s.w.t.?

Sifat sabar adalah salah satu sifat mahmudah, seorang Mukmin akan menghiasi akhlaknya dengan sifat sabar dan sentiasa tenang menghadapi dugaan dan musibah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah ayat 153)

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
(Surah az-Zumar, ayat10).

Seterusnya Allah s.w.t. juga berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya."
(Hadis Riwayatkan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjadikan diri kita memiliki sifat sabar sebenarnya mestilah merangkumi empat perkara iaitu :

Pertama : Sabar, tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah s.w.t.

Ketaatan boleh kita lihat dalam mendidik jiwa untuk rajin dan tabah mengerjakan amal ibadat. Solat yang fardhu dan sunnah, sedekah yang fardhu dan sunnah, begitu juga puasa, haji, wirid harian, dan lain-lain amalan ketaatan kepada Allah baik yang khas mahupun yang am, memerlukan kesabaran dalam diri untuk melakukannya. Sabar untuk mentaati kedua ibu-bapa, berbuat baik dengan jiran tetanga, menghormati tetamu dan sabar ketika mendidik isteri dan anak-anak dengan didikan Islam.

Termasuk dalam ketaatan kepada Allah adalah sabar ketika mengerjakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah untuk mengajak masyarakat kepada akhlak Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Namun begitu, bagi mereka yang telah sampai ke maqam Al-'Arif,segala ibadat tidak dirasakan melainkan perasaan yang lazat dan ketenangan. Al-Imam Al-Haddad ada menyebut: Sesiapa yang melazimi sifat sabar, akan sampai ke maqam Al-Qurb (hampir dgn Allah), dan disana dia akan mendapati pada amal ibadatnya, kemanisan, kelazatan dan ketenangan yang tidak tergambar.

Kedua : Sabar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran.

Kesabaran diperingkat ini perlu kepada iman dan kekuatan dalaman. Seseorang yang mampu menahan dirinya daripada melakukan maksiat, kemungkaran dan dosa adalah ciri-ciri orang beriman. Iman itu bukan angan-angan tetapi iman itu apa yang tertanam dihati dan dapat dizahirkan dengan perbuatan dan amalan.

Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudrir.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu ) adalah sedaif-daif iman."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat orang yang sabar apabila dia melihat sesuatu kemungkaran dia akan cegah dengan tangan (kuasa) dan jika tak mampu dicegah dengan lidah (nasihat) dan jika tidak mampu dia akan cegah dengan hatinya (benci dalam hati )ini adalah selemah-lemah iman dan tidak ada iman lagi selepas ini.

Ketiga : Sabar untuk memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan.

Hawa nafsu mendorong manusia larut dalam kemewahan, terpedaya dalam kerehatan dan hiburan, mengejar kuasa, pengaruh dan kedudukan, wanita dan kecantikan, emas perhiasan dan pelbagai kilauan dunia yang sementara.

Kehidupan di dunia ini penuh tarikan dan menyeronokkan. Dari dorongan nafsu dan hasutan syaitan manusia boleh leka dan hanyut dibawa arus maksiat dan kemungkaran.Tetapi bagi jiwa orang Mukmin yang telah menjalani proses tarbiyah imaniah, da nmenganggap dunia ini adalah persingahan sementara dan akhirat adalah tempat yang kekal abadi maka dengan kesabaran yang tinggi segala tarikan dunia, godaan hawa nafsu dan hasutan syaitan dapat diatasi dengan mudah. Sebaliknya jika manusia menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan syaitan sebagai teman setia maka manusia akan menjadi tamak dan kemaruk dengan harta dunia. Di dunia dia sesat dan menyesatkan orang lain.

Keempat : Sabar dan sentiasa bertenang dan teguh hati ketika menghadapi cubaan atau musibah.

Agaknya yang paling sukar ialah sabar dalam menerima sesuatu yang mendukacitakan, baik ia merupakan kematian orang yang disayangi, penyakit, kehilangan harta benda atau kesukaran dalam kehidupan.Kesabaran amat penting agar sifat tabah, mencari penyelesaian dan menenangkan diri dapat dilakukan tanpa keluhan, rungutan, teriakan dan apa-apa lain yang sinonim dengan akhlak yang buruk.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman yang maksudnya :
"Tidak ada balasan kecuali Syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "
(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Rasulullahs.a.w.bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum,maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah."
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: "Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya."

Kitab Risalatul Mu'awanah oleh Al-Imam Abdullah Al-Haddad telah menerangkan bahawa sesungguhnya mereka yang menerima ujian pada zaman ini terbahagi kepada tiga golongan :
1) Golongan yang redha dan bertenang menghadapi ujian. Ganjaran untuk mereka adalah diangkat darjat mereka.
2) Golongan yang gelisah menghadapi ujian tetapi tidak membantahnya. Ganjaran untuk mereka pula adalah dihapuskan dosa.
3) Golongan yang gelisah dan membantah pula ujian yang dihadapi. Mereka akan mendapat kemurkaan dan balasan yang buruk.
Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita menghiasi akhlak kita dengan sifat sabar dan memenuhi keempat-empat ciri seperti yang dinyatakan di atas. Tidak ada balasan yang setimpal untuk mereka yang bersabar melainkan Syurga Allah s.w.t. Oleh kerana Allah s.w.t. bersifat sabar kepada makhluk-Nya maka sifat yang mulia ini amat disukai oleh Allah s.w.t jika dimiliki dan diamalkan oleh para hamba-Nya ketika hidup di dunia ini.

Hayatilah Do'a Duduk Antara Dua Sujud

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari kita mengerjakan solat. Samaada solat fardu atau solat sunat.Solat adalah ibadah khusus yang yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk kita melaksanakannya tanda perhambaan diri kita kepada Allahs.w.t. Semakin banyak kita mendirikan solat maka semakin hampir diri kita kepada Allah s.w.t. Didalam solat mengandungi bacaan al-Qur'an,do'a, zikir, memuji kebesaran Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w.

Salah satu tempat kita berdo'a adalah ketika duduk antara dua sujud. Terdapat tujuh permintaan (berdo'a) kepada Allah s.w.t . dan kita minta berulang-ulang. Sekiranya kita mengerjakan solat fardu lima waktu maka terdapat 17 kali kita berulang-ulang berdo'a dan meminta kepada Allahs.w.t. Jika ditambah dengan solat-solat sunat yang lain maka akan bertambah lagi do'a dan permintaan kita kepada Allah s.w.t.

Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma'ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang Mukmin itu sentiasa berdisiplin,tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya.

Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa:
Maksudnya:"YaTuhan! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku,angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan."

Sahabat yang dimuliakan,
Adakah kita faham dan hayati do'a dan permohonan yang kita ucapkan dan kita meyakini bahawa Allah s.w.t akan menunaikan do'a dan permintaan kita?

Marilah sama-sama kita hayati tujuh do'a kita kepada Allah s.w.t.

Ya Tuhan! Kita bermunajat dan menyeru kepada Allah s.w.t.

Pertama : Ampunkanlah aku.
Kita memohon agar Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa kita yang banyak dilakukan samaada sengaja atau tak sengaja.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Firman Allah s.w.t. maksudnya : " Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah .Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada Tuhanmu, dan patuhlah kamu kepada-Nya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan"
(Surah Az-Zumar ayat 53-54).

Kedua : Rahmatilah aku.
Rahmat Allah (kasih sayang-Nya) adalah meliputi langit dan bumi. Kita memohon semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi rahmat dan kasih sayang-Nya samaada ketika di dunia dan akhirat kepada kita sebagai hamba yang dhaif dan memerlukan pertolongan -Nya. Jika kita terlepas mendapat bencana di dunia, terlepas dari siksa kubur , mendapat perlindungan Arasy di Padang Mahsyar, mengambil buku catatan ditangan kanan, meniti sirat seperti kilat dan memasuki Syurga Allah adalah dengan rahmat Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah s.w.t menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya diatas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'."
(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )

Ketiga : Tutuplah keaibanku.
Kita mohonlah perlindungan Allah dari terdedahnya keaiban kita ketika didunia ini dan keaiban kita ketika di hari akhirat. Islam melarang kita membuka keaiban kita sendiri setelah Allah tutup keaiban itu. Maksudnya kita jangan ceritakan dosa-dosa dan kemungkaran yang telah kita buat kepada orang lain. Biarkan ianya menjadi rahsia kita dengan Allah.

Kita juga dilarang membuka keaiban orang lain,salah satu jalan keaiban kita ditutup oleh Allah dihari akhirat adalah dengan kita menutup keaiban orang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "...dan sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya..."
(Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah."
(Muttafaqun 'alaih Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keempat : Angkatlah kedudukanku.
Kita memohon Allah s.w.t mengangkatkan kedudukan dan darjat kita disisi Allah s.w.t. Darjat di dunia kita mohon menjadi orang bertakwa dan muhsinin dan darjat di akhirat dapat memasuki Syurga Firdaus (Syurga tertinggi). Syurga sendiri memiliki beberapa tingkat bergantung kepada amalan seseorang di dunia ini untuk di masukinya.

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang akan memasuki Syurga-Nya kelak adalah dalam keadaan berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan orang yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke Syurga berombongan, apabila mereka sampai ke Syurga itu, pintunya terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu, berbahagialah kamu, masukilah Syurga ini, sedang kamu kekal didalamnya."
(Surah az-Zumar, ayat 73).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Barang sesiapa yang berinfak dengan emas dan perak daripada hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari mana-mana pintu Syurga. Syurga itu ada beberapa pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat.Sesiapa yang rajin bersedekah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan."

Kelima : Kurniakanlah kepadaku rezeki.
Kita memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan rezeki yang halal dan rezeki yang bermanfaat. Untuk mendapatkan rezeki yang berkat daripada Allah perlulah bertawakkal, bersyukur dan sentiasa berwudh'

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh."
(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Firman Allahs.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah(rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
(Surah Ibrahim ayat 7).

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu"

Keenam : Berilah aku petunjuk.
Petunjuk (hidayah) adalah hak Allah s.w.t diberi kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki. Dimaksudkan mendapat petunjuk (hidayah) adalah kita sentiasa kekal dalam iman dan Islam dan sentiasa didorong untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Minta dilindungi Allah dari terpengaruh dengan jalan yang boleh pesongkan aqidah kita dan menjerumuskan diri kejalan maksiat.

Nabi s.a.w mengajar kita untuk berdo'a semoga sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidaya Allah s.w.t."WahaiTuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya."
(Surah Ali-Imran ayat 8).

"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu."(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Ketujuh : Berilah kepadaku kesihatan.
Mohon kepada Allah agar kita sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat, dijauhi dari penyakit fizikal dan penyakit hati. Sihat dan penyakit adalah hak Allah, Dia boleh memberikannya atau boleh menjauhkan darinya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Maksud dalam hadis tersebut,yakinlah bahawa setiap penyakit yang diturunkan ada penawarnya. Dari itu janganlah kita berputus asa dari berikhtiar mengubati dan mengatasi masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, sebarang ketentuan adalah hak Allah. Kita perlu terus berharap kepadaNya setiap satu adalah dalam rencananya.

Berdo'a dan terus bertawakkal kepadaNya semoga kita dijauhi daripada penyakit dan menjadi hamba Allah yang sihat zahir dan batin .

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita fahami maksud yang terkandung didalam do'a diantara dua sujud yang sentiasa kita lakukan. Apabila kita dapat memahaminya dengan jelas maka diharapkan solat kita bertambah khusuk dan dimakbulkan do'a-do'a yang kita ucapkan. Yakinilah Allah s.w.t Maha Mendengar dan Mengetahui hajat dan permintaan yang kita sembahkan kepada-Nya dengan hati yang ikhlas.

Sunday, August 15, 2010

Jadilah Seorang Mukmin yang Hebat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling unik, paling hebat dan paling gagah. Sebagai Khalifah Allah di muka bumi, mereka telah dibekalkan dengan potensi-potensi diri yang hebat untuk mencapai kecemerlangan di dalam hidup. Dengan potensi fizikal, akal, emosi dan roh, seseorang itu boleh melangkaui segala kejayaan yang dicapai orang lain. Manusia benar-benar dicipta untuk berjaya.

Tidak kira siapa kita, baik sebagai anak, ibu-bapa, usahawan, pelajar, guru, pendakwah, pemimpin masyarakat dan sebagainya, kita semua mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan cemerlang. Bukankah kelahiran kita kedunia ini hasil kejayaan 'perjuangan' kita di alam rahim dahulu? Sebenarnya, detik awal kehidupan kita sudah pun dimulai dengan kejayaan! Dari berjuta-juta seperma kita telah berjaya dalam saingan untuk menuju kejayaan!

Kerana itu, mengapa harus kita hilang peduman, lemah semangat, putus asa dan berserah pada takdir semata? Kegagalan bukan untuk ditangisi, tetapi suatu momentum untuk kita bangkit kembali. Bukankah dunia ini tempat ujian? Maka gunakanlah seluruh potensi diri untuk menghadapinya.

Orang Mukmin adalah mereka yang memiliki sifat taqwa dan yang paling layak dan paling berpotensi untuk berjaya, kerana mereka memiliki iman. Iman mendorong mereka kepada kejayaan, sumber motivasi ketika menghadapi kegagalan dan ukuran sebenar sesuatu kejayaan itu.

As Syahid Syed Qutb rahimahullah telah bermadah :

Manusia tanpa iman ialah manusia yang kerdil dan kecil
Manusia tanpa iman ialah manusia yang rendah dan dangkal cita-citanya
Manusia tanpa iman ialah manusia yang sempit dan perit kehidupannya
Manusia tanpa iman ialah manusia yang pendek dan singkat matlamatnya
Manusia dengan iman ialah manusia yang hebat dan gagah
Manusia dengan iman ialah manusia yang tinggi dan jauh cita-citanya
Manusia dengan iman ialah manusia yang luas dan aman kehidupannya
Manusia dengan iman ialah manusia yang panjang dan jauh matlamatnya

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu.."
(Surah al-Hujurat ayat 15)

Sahabat yang dimuliakan,
Hati orang-orang yang beriman tidak pernah ragu-ragu kepada Allah dan Rasul-Nya, yakin pada rukun-rukun iman yang lain, dengan keyakinan inilah lahir ubudiyah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. dan melahirkan amal-amal soleh.

Orang Mukmin cukup berhati-hati dalam menjalani kehidupan ini. Sentiasa menjaga akhlak dan keperibadiannya dalam pergaulan, menjaga lidah, mata, telinga, tangan, kaki dan pancaindera yang lain supaya sentiasa mematuhi akhlak Islam dan menghayati sifat mahmudah dan menjauhi dirinya dari sifat hasad dengki, iri hati, sombong, bongkak, takbur, mengumpat, mencela dan segala sifat mazmumah yang lain.

Hati orang Mukmin merasakan Allah sentiasa mengawasi kehidupannya, rasa takut untuk melakukan maksiat dan dosa dan rasa cinta untuk membuat kebaikan dan amal soleh di dunia ini. Ia merasakan bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi, dari perasaan inilah melahirkan jiwa hamba yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. 

Jiwa yang menganggap betapa kecilnya segala masaalah hidup di dunia ini kerana dan menganggap betapa besar dan hebatnya hidup di hari akhirat. Dari sini ia mengisi semua aktiviti hidupnya untuk membawa kebaikan kepada manusia, berdakwah dan mengajak masyarakat kepada amal maaruf nahi mungkar, membantu fakir miskin, mengasihi anak-anak yatim, beramal soleh , amal jariah, memberi ilmu yang bermanfaat dan membentuk anak-anaknya untuk menjadi soleh dan solehah.

Firman Allah s.w.t yang maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya,kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah.Mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)"
(Surah Al-Hujrat ayat 15)

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, rasailah kehebatan diri sebagai orang-orang yang beriman dan bertaqwa sebagai orang Mukmin dan mulakanlah langkah untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.