Thursday, September 9, 2010

Ramadhan Akan Pergi...

Ramadhan!
Malam ini kau akan pergi...
Pergi untuk selama sebelas bulan
Aku tidak pasti samaada kita akan bertemu lagi,
Hanya harapan dan do'a ku pada Allah
Agar ku dapat bertemu denganmu lagi tahun hadapan.
Ramadhan!
Kedatanganmu membawa 1000 rahmat, 1000 pengampunan dan pembebasan daripada api Neraka.

Kaulah bulan kesabaran, bulan tarbiyah, bulan tazkiah, bulan rahmat, bulan pengampunan, bulan mujahadah  bulan muraqabah, bulan ibadah, bulan sedekah dan bulan pembebasan api Neraka.

Beruntunglah sesiapa yang menghayatimu dengan beramal ibadah, beramal soleh, qiyamulail ,bersedekah. dan mendapat pengampunan Allah.

Ramadhan!
Bila kau pergi maka di buka semula pintu-pintu Neraka dan ditutup semua pntu-pintu Syurga

Ahli-ahli kubur menjalani hukuman semula setelah direhatkan kerana menghormatimu

Iblis dan syaitan telah dilerai semula segala ikatan yang membelenggu mereka dari siksaan Allah.
Ketika inilah syaitan dan bala tenteranya akan mengoda dan menghasut anak Adam setelah kau tiada.

Ramadhan!
Kedatanganmu disambut dengan gembira  oleh golongan muttaqin dan mereka menangisi kerana pemergianmu.Di tangisi kerana seistimewaanmu tak serupa dengan kebaikan sebelas bulan yang lain.

Nabi s.a.w berabda bahawa celakalah sesiapa yang namanya masih ada tercatat dipintu Neraka sedangkan kehadiranmu tak membawa kebaikan kepadanya.

Berbahagialah sesiapa yang namanya dicatat dipintu Syurga kerana mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t. setelah kau pergi meninggalkannya.

Ramadhan!
Kau datang membawa ibadah puasa yang penuh dengan keistimewaannya :
* Pintu Syurga Rayyan khusus untuk orang berpuasa.
* Menjadi benteng daripada api Neraka,
* Menjadi tirai penghadang daripada hawa nafsu.
* Bau mulut orang berpuasa lebih wangi daripada kasturi disisi Allah
* Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan menyambut hari raya dan ketika bertemu dengan Allah di hari akhirat.
* Keseluruhan aktiviti  orang berpuasa dikira sebagai ibadah, samaada tidurnya , diamnya dan bangunnya mendapat ganjaran disisi Allah.
* Do'a orang-orang berpuasa sangat mustajab disisi Allah
* Semua amalan wajib dan sunat pahalanya akan digandakan Allah berlipat  kali ganda.
* Malaikat akan mendo'akan dan memohon keampunan disisi Allah sesiapa yang menjamu orang berpuasa dan berbuka bersama jemaah

Ramadhan!
Madrasah tarbiyah yang kau miliki bisa membawa kepada taqwa kepada Allah Taqwa adalah pakaian orang-orang Mukmin dan sesiapa yang paling tinggi taqwnya  dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah.

Kehadiranmu benar-benar telah mendidik hati dan jiwaku. Keberkatanmu melatihku untuk memiliki sifat mahmudah iaitu sifat sabar, baik sangka, takwa, tawakkal, lemah lembut, rendah diri, bersyukur dan sopan santun dan juga aku mampu menjauhi daripada segala sifat-sifat mazmumah iaitu sifat marah, suka mengumpat, sombong, bongkak, takbur, iri hati, ujub ,batu api dan hasad dengki. telah benar-benar mendidik hatiku. Melatih diriku bersedekah setiap hari ditabung-tabung masjid.

Alangkah indahnya kesan dari kemuliaanmu memberi kekuatan untuk ku bertahajjud, berikhtikaf dan berqiyamulail sepanjang kehadiranmu , mengadap wajah kehadrat Rabbul Jalil, di rumah Allah, terutama di sepuluh malam terakhir.

Ramadhan!
Segala natijah rohiyah dan jasmaniah yang kau tinggalkan akan ku pergunakan untuk menghadapi cabaran hidup  di sebelas  bulan yang akan datang.

Terima kasih Ramadhan.!

Rinduku sentiasa mengingringi pemergiaanmu dengan penuh harapan agar kau dapat ku temui lagi ditahun hadapan dengan keazaman untuk meningkatkan amalku kepada Allah Azzawajalla.

Wednesday, September 8, 2010

Pengertian dan Keutamaan Syawal

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila tiba sahaja 1 Syawal maka umat Islam meraikan salah satu hari kebesaran umat Islam. Salam Eidul Fitri untuk sahabat-sahabat semua, 'Taqabbalallahu min na wa minkum' (semoga Allah terima amal kami dan amal kamu) Selamat Hari Raya Eidul Fitri Maaf Zahir dan Batin.

Dibulan ini umat Islam menyambut Hari Raya Eidul Fitri, dengan susana kegembiraan bertemu kaum keluarga, sanak saudara, teman dan taulan, bermaaf-maafan dan saling ziarah menziarahi. Juadah enak berbagai bentuk dan rasa disajikan, kueh mueh dan hidangan istimewa menanti para tetamu yang datang berziarah menandakan ikatan silaturahim bertambah erat diantara sesamu muslimin.

Sahabat yang dimuliakan,
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan itu adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal, di antaranya:

Pertama :Bulan Syawal adalah bulan keampunan.

Sabda Rasulullah s.a.w dan Ibnu Mas'ud r.a. yang maksudnya:"Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidil Fitri, Allah Taala berfirman:
 "Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadhan lalu menunaikan solat Hari Raya juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka."

Lalu ada seruan: "Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.”

Maka Allah Taala berfirman: "Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni."(Zubdatul Wa'izhiina)

Syaitan dan nafsu sentiasa berusaha untuk melalaikan manusia supaya terpesong dan jauh dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Dari Wahab bin Munabbih, bahawa dia berkata: Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :"Sesungguhnya Iblis yang dilaknat Allah itu berteriak pada setiap hari Raya, maka para bala tenteranya berkumpul di sekitarnya sambil berkata: "Wahai sri baginda kami, siapakah yang menjadikan baginda murka, maka sesungguhnya dia akan kami hancurkan."

Iblis berkata: "Tidak ada sesuatu pun. Akan tetapi Allah Taala pada hari ini telah mengampuni umat ini. Maka kamu semua harus membuat mereka sibuk dengan segala macam yang lazat-lazat, dengan syahwat dan dengan minum khamar, sehingga Allah murka kepadanya."

Orang-orang yang berakal hendaknya dapat menahan dirinya pada hari Raya, dari segala macam nafsu syahwat serta dari segala yang dilarang, bahkan hendaknya selalu taat untuk-Nya.

Kedua : Bulan yang dikabulkan do'a dan Allah s.w.t melihat dengan rahmat kasih sayangNya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Hari Raya Fitri dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua do'amu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang."(Durratul Wa'izhiina)

Awal pagi Syawal kita disunatkan sembahyang hari raya dan Allah s.w.t menjanjikan keredaan dan kempunan-Nya. Bersabda Nabi s.a.w maksudnya :"Apabila Hari Raya Fitri, maka Allah mengirim para Malaikat. Maka para Malaikat sama-sama turun ke bumi di setiap daerah, lalu mereka berkata: "Hai umat Muhammad, keluarlah kamu semua kepada Tuhan Yang Maha Mulial" Maka ketika mereka telah tampak keluar ke tempat solat mereka,

Allah berfirman: "Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku."

Ketiga : Bulan yang merupakan peringatan kepada hari akhirat.

"Sesungguhnya hikmah Hari Raya di dunia ini merupakan peringatan terhadap Hari Raya di akhirat. Apabila engkau melihat orang-orang, sebahagian dari mereka ada yang pergi dengan berjalan, sebahagian lagi ada yang berkenderaan, sebahagian dari mereka ada yang berpakaian dan ada juga yang tidak berpakaian, sebahagian mereka ada yang memakai pakaian yang indah dan sebahagian yang lain ada berpakaian biasa dan sebahagian ada yang tertawa riang dan sebahagian lain nya ada yang menangis, maka ingatlah perjalanan di hari kiamat, sesungguhnya hai itu pun demikian pula."

Sahabat yang dikasihi,
Disaat inilah akan teruji madrasah Ramadhan yang telah berlalu selama sebulan. Adakah segala amal ibadah dan amal soleh yang telah dilaksanakan dapat direalisasikan di dalam bulan Syawal ini?. Ketaqwaan merupakan natijah Ramadhan .adakah ketaqwaan akan menghiasi hidupmu dan menjadi pakaian yang sentiasa nampak zahir di dalam amalan kehidupan harian? Ingatlah! Taqwa adalah pakaian orang-orang Mukmin, yang sentiasa menghiasi peribadi dan akhlak mereka. Amalan terbaik di bulan ini adalah puasa sunat enam hari mengiringi puasa Ramadhan. Nabi s.a.w berwasiat pada Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud :

"Wahai Ali! Barangsiapa yang mengikut sertakan puasa Ramadhan dengan enam hari di bulan Syawal, Allah menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh."

Sahabat yang dihormati,
Teruskanlah amalan-amalanmu yang telah dilakukan pada bulan Ramdhan, untuk dilaksanakan pada bulan Syawal ini dan bulan-bulan yang akan datang. Bangunlah untuk berqiyamulail dan bertahajjud, berwitir dan membaca al-Qur'an. Pastikan solat fardu di masjid, menghadiri majlis ilmu, sentiasa berwuduk dan tidak meninggalkan solat dhuha. Ringan-ringankan tangan bersedekah pada fakir miskin, anak-anak yatim dan untuk amal jariah. Kurangkan makan dan minum kerana makan yang berlebihan boleh mendatangkan mudarat dan menambahkan penyakit dan boleh mengelapkan hati.

Akhirkata ingatlah bahawa belengu yang merantai Iblis dan syaitan telah terlerai. Mereka memulakan tugas baru setelah diikat dan disiksa oleh Allah s.w.t. Mereka ingin membalas dendam kerana dosa orang-orang beriman yang berpuasa telah diampunkan oleh Allah s.w.t. Mereka akan bekerja siang malam untuk mengoda dan menghasut anak Adam untuk melakukan maksiat dan dosa dan melupakan untuk mengingati Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bertanya kepada Iblis  bermaksud :"Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?"

Berkata Iblis, "Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat dan banyak membaca al-Qur'an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku".

Kisah Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita."Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.

(Di petik daripada tulisan Kurosaki Herumi)

Tuesday, September 7, 2010

Syawal - Segalanya Mungkin...

Ramadhan  akan menghilang kembali - antara esok atau lusa. Dan bulan Syawal akan menjelma - menceriakan kita. Ini lah tandanya kita umat Rasullullah saw dan hamba Allah sekali lagi akan menamatkan tugasan ibadah yang mencabar dan penuh kenangan pahit manis di tahun ini. Bermakna, sekali lagi kita telah melaksanakan  amanah yang sering di himpit oleh tuntutan hawa nafsu agar  berhenti  berpuasa dan membazirkan wang untuk berbelanja.  Malah kita sendiri dapat menilai apakah sempurna ibadah puasa kita atau apakah KPI keimanan kita di bulan .  Walau apapun,  mudah-mudahan kita semua umat Rasullulah saw di panjatkan ketakwaan sepanjang masa setelah kita melaksanakan sebulan lamanya tugasan ibadah dan amanah dengan penuh keinsafan.

Jika usia kita di panjangkan illahi, kita umat Islam akan menempuhi bulan Syawal sekali lagi.
Apakah kita telah bersedia dengan kedatangan Syawal?
Atau kita akan terleka dengan keceriaan Hari Raya mengikut pandangan dunia?

Syawal dari sudut bahasa bermaksud “meningkat”. Apakah prestasi istiqamah kita di bulan Syawal akan meningkat?  Di bulan Syawal, umat Islam yang mendapat keberkatan Allah di bulan Ramadhan akan berusaha mempertahankan prestasi istiqamah mereka. Mereka  akan memelihara hubungannya dengan saudara mara atau sesama manusia semata-mata kerana Allah. Tiada rasa benci, dendam atau marah dengan perilaku manusia yang menyakitkan hati di bulan Ramadhan atau bulan sebelumnya. Hati umat Islam yang beriman akan menjadi putih -sebersih kain putih dalam memberi kemaafan kepada manusia lain. Semua kesilapan  dimaafi dengan penuh rasa rendah diri dalam mengharapkan keredhaan Allah. Itulah yang selalunya dilakukan oleh umat  Islam yang beriman apabila Syawal menjelma lagi

Namun dugaan Syawal sebenarnya lebih kuat dari Ramadhan. Di bulan inilah kita akan melihat mendadaknya penurunan KPI atau penurunan kualiti ibadah umat Islam.  Yang paling ketara ialah sebaik sahaja selesai Sembahyang Hari Raya di pagi Syawal – masjid, madrasah dan surau akan kembali lengang dan kosong. Akan kita lihat di bulan ini dan di saat ini bermulanya Al-Quran di letak di dalam almari. Di ganti dengan  majallah fesyen, artis dan pelbagai lagi majalah  kegemaran hati melekat mula melekat di jari pemuda dan pemudi. Yang mual menjinakkan diri dengan masjid melalui sembahyang Tarawikh mula menjauhi diri - melipat sejadah dan meletakkanya di tepi. Tugasan dunia di junjung sekali lagi.

Di bulan Syawal terdapat manusi yang mula lupa diri. Keampunan yang dipohon dan pahala yang diraih dengan susah payah selama sebulan di bulan Ramadhan tidak membaw erti. Kesabaran mula pudar. Pergaduhan dan perselisihan antara manusia angkara berlainan pendapat dan ideologi terjalin kembali. Apakah caci maki yang muncul dari mulut mereka yang rendah ahlak dan moralnya akan tersiar di FB ini lagi?

Memahami akan kelemahan umat Islam yang  mudah tunduk dengan tuntutan hawa bafsu setelah berakhirnya Ramadhan, Rasullulah saw telah menyeru kita, agar tekun dan terus melaksanakan amalan sunat  walau  berakhirnya Ramadhan. Ianya bertujuan akan kita senantiasa mengingati tujuan apakah Allah menghidupkan dan memanjangkan usia kita di muka bumi ini. Kasih sayang beliau terhadap kita dan ingin melihat hidup dan diri kita, mrmbawa beliau menyeru umat Islam agar:
  • Mengerjakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal.
  • Bersolat berjemaah setiap hari (QS. At-Taubah: 18).
  • Meneruskan  ibadah qiyamullail dan iktikaf.
  • Lidah dibasahi dengan dibasahi dengan zikir, terutama bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
  • Tidak meninggalkan shalat Dhuha.
  • Menyemai berinfak, bersedekah, berwaqaf dan berzakat  sepanjang masa.
  • Memelihara silaturrahmi atau  menjaga tali silaturahim dengan saudar yang mahram dan saudara bukan mahram serta dengan semua hamba Allah di muka bumi ini.

Begitu juga jangan kita lupakan amalan wajib dan sunat pada 1 Syawal:

a) Membayar zakat fitrah sebelum menunaikan Solat Aidil Fitri

b)Menghias diri dan tempat tinggal supaya kelihatan bersih dan cantik

c)Mandi Sunat Aidilfitri pada pagi harinya

d)Menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju masjid untuk bersembahyang di pagi raya.

e)Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid

g)Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 1 Syawal hinggalah terbenam matahari pada hari raya tersebut.

Syawal sebagai bulan peningkatan prestasi ibadah perlu di isi dengan mencari keredhaan Illahi. Jangan terleka dengan gamitan hawa nafsu dunia  - jika menyesal sudah tiada gunanya - nasi menjadi bubur.

Ingatlah, jangan menunggu datangnya Ranadhan sekali lagi baharu kita berusaha untuk meningkatkan prestasi ibadah kita. Kerana kita tidak tahu saat bila nafas kita akan terhenti. Mungkin di Ramadhan kita tidak dapat berfacebook seperti ini. Lupakan yang lalu dan mulakan kebersihan hati di pagi Syawal yang mulia ini.

Beringat lah kerana ….. SEGALANYA MUNGKIN TERJADI  dan .. Kerana nyawa kita dalam genggaman Illahi.

(Di petik daripada tulisan Che Azie S Naro)

Perkara-perkara Luar Biasa Yang di Miliki Manusia

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua kejadian yang berlaku di muka bumi ini semuanya adalah diatas kehendak-Nya. Takdir-Nya menguasai semua kejadiaan yang berlaku samaada dilangit, dibumi dan di atas diri manusia sendiri. Begitu juga segala kelebihan luar biasa yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada manusia pilihan-Nya adalah di atas kehendak-Nya juga.Begitu juga kelebihan luar biasa yang dipelajari oleh manusia berbentuk sihir adalah dengan izin-Nya jua. Tidak berlaku sesuatu kejadian dimuka bumi melainkan mengikut kudrat dan iradat-Nya.

Dalam Islam kejadian luarbiasa ini boleh dibahagikan kepada 6 perkara.:
1. Mukjizat
2. Irhas.
3. Karamah
4. Ma'unah
5. Sihir.
6. Istidraj.

Pertama : Mukjizat .
Mukjizat adalah suatu kejadian luar biasa yang kadangkala menyalahi aturan dunia fizikal dan sukar dihuraikan dengan logik akal dan biasanya dikatakan sebagai campur tangan Allah. Mukjizat hanya dimiliki oleh Rasul dan Nabi yang diberikan Allah s.w.t kepada utusanNya.

Mukjizat ialah perkara yang nampak yang bertentangan dengan kebiasaan (yaitu hal yang luar biasa yang terhadi melalui) tangan Nabi atau Rasul setelah diutusnya (yang dilakukan) pada saat berdakwah (menyebarkan) misi kenabian dan kerasulan, seperti menghidupkan orang mati, menghilangkan gunung dan memancarkan air dari sela-sela jari jemari,laut terbelah dua, tongkat menjadi ular dan sebagainya.

Contoh mukjizat yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w adalah bulan terbelah dua, dhab (biawak padang pasir) boleh berkata-kata, awan sentiasa memayungi Nabi bila berjalan, batu pengisar tepung boleh berkata-kata dan sebaginya.

Mukjizat biasanya cabaran terhadap apa yang sedang menjadi ikutan pada zaman atau saat diturunkannya mukjizat tersebut. Mukjizat terbagi atas dua,iaitu:
1. Mukjizat kauniyah:Tongkat nabi Musa a.s yang dilempar dan menjelma menjadi seekor ular besar adalah salah satu contoh dari mu’jizat kauniyah, laut terbelah dua bila tongkat dipukulkan ke laut
 2.Mukjizat aqliyah.Sedangkan sesuatu yang memerlukan akal sehat untuk mencernanya misalnya kitab-kitab suci itu dinamakan mukjizat aqliyah. Mukjizat al-Qur'an adalah contoh mukjizat aqaliah.

Kedua : Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul semasa mereka masih kecil,  sebagai persediaan sebelum dilantik menjadi Rasul.

Contoh :
1. Nabi Isa a.s boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian.
2. Ketika nabi Yusuf a.s. dibuang kesumur oleh saudara-saudara nya dengan harapan agar meninggal dan lenyap,malah oleh Allah diangkat derajatnya hingga menjadi penguasa negeri Mesir.
3. Nabi s.a.w. dibedah di dadanya semasa kecil oleh malaikat Jibril.

Ketiga : Karamah
Karamah ertinya, kemuliaan. Kekuataan spritual yang diberikan kepada para wali Allah. Karamah menunjukkan sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan. Kurniaan yang paling besar ialah berkaitan pengetahuan mengenai Allah s.w.t..

Keadaan luar biasa atau keajaiban adalah takdir Ilahi. Ia bersumber daripada penetapan Ilahiyang selaras dengan sunttullah kerana ia adalah manifestasi kudrat Ilahi. Karamah tidak termasuk mimpi, ilham, kasyaf dan khayalan.

Seperti keistimewaan yang terjadi pada Siti Maryam. Beliau berada di dalam pemeliharaan Nabi Zakariya as., dan tidak seorang pun selain Nabi Zakaria dapat masuk ke tempat Siti Maryam berada. Nabi Zakaria, jika keluar dari sisi Siti Maryam beliau pasti menutup/mengunci tujuh pintu untuk menjaganya. Ketika Nabi Zakaria masuk ke mihrob Siti Maryam berada, beliau mendapati buah-buah musim dingin pada saat musim panas, dan mendapati buah-buahan musim panas pada saat musim dingin, maka beliau terkagum-kagum. Karena itu, lalu beliau bertanya kepada Siti Maryam mengenai jalan/cara sampainya  rezeki tersebut kepadanya, bukan pada musimnya, padahal pintu-pintu tersebut terkunci dan penjaga selalu berkeliling di seputar kamar (ruangan beribadah) nya.Siti Maryam menjawab pertanyaan Nabi Zakaria, bahwasanya rezeki tersebut dari Allah dan sesungguhnya Allah akan memberikan rezeki kepada orang yang dihendakiNya, dengan tanpa perhitungan, sebagai bentuk pemberian Fadhol (kemurahan), dengan tanpa mengurang-ngurangi (Surah Ali-Imran ayat 37)

Dan seperti keistimewaan yang terjadi pada Fatimah Az-Zahra, ketika suatu ketika beliau menghadiahkan kepada ayahhandanya Nabi s.a.w dua potong roti dan sepotong daging yang diletakkan di dalam piring/mangkok yang ditutup. Lalu Nabi s.a.w  mengirimkan kembali pembawa piring mangkok itu dan sesuatu yang bersamanya yaitu piring dan mangkok tersebut ke rumah Fatimah. Ketika Nabi s.a.w duduk dan berdiam diri pada tempat duduknya, di rumah Fatimah, maka baginda bersabda: Bawalah kemari piring tersebut wahai putriku.” Lalu Fatimah membuka piring tersebut tiba-tiba saja piring tersebut dipenuhi roti dan daging. Kemudian Nabi s.a.w. bertanya kepada Fatimah, “bagaimana kamu mendapatkan semua ini?”Siti Fatimah menjawab:” Semua ini berasal dari Allah. Sungguh Allah akan memberi rezeki kepada orang yang dikehendakiNya dengan tanpa perhitungan.”Kemudian Nabi s.a.w bersabda, “Segala puji bagi Allah s.w.t, yang telah menjadikanmu seeorang perempuan yang menyerupai pemimpin kaum perempuan Bani Israil”

Sayyidina Umar dapat melihat tenteranya di medan perang di Nahwad serta boleh berbicara dengan panglimanya dan tenteranya juga dapat mendengar ucapan Umar, sedangkan jarak antara mereka sangat jauh. Waktu itu Umar berada atas mimbar dalam masjid di Madinah. Beliau menulis surat kepada sungai Nil supaya banjir dan dengan izin Allah ianya banjir seperti biasa.

Demikian juga Khalid Al-Walid meminum racun setelah dicabar oleh musuhnya tanpa memberi apa-apa mudarat. Selain daripada itu insan lain yang mendapat kurniaan karamah termasuklah  Syeikh Abdul-Kadir al-Jailani, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham , Tok Kenali, Habib Noh dan lain-lain lagi.

Keempat : Ma'unah
Ma'unah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang Mukmin yang awam dan soleh, yang apabila ditimpa sesuatu musibah atau suatu perkara ke atas dirinya mereka terus melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkannya melalaui pelbagai wirid, solat sunat, puasa serta amalan sunat yang lain.

Ma'unah merupakan suatu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri dari segi zahir dan batin para hambanya yang soleh. Mereka tidak merasa sedih atau kecewa sekirannya permintaan mereka tidak ditunaikan oleh Allah.Perlindungan yang diberikan oleh Allah karena disitu ada hambanya yang soleh dan dikasihi

Kelima Sihir.
Kejadian luar biasa yang diberikan atau dilakukan atas pertolongan jin dan syaitan.

Sihir adalah kesepakatan antara tukang sihir dan syaitan dengan ketentuan bahwa tukang sihir akan melakukan berbagai keharaman atau kesyirikan dengan imbalan pemberian pertolongan syaitan kepadanya dan ketaatan untuk melakukan apa saja yang dimintanya.

Ilmu sihir boleh dipelajari melalui tukang sihir atau bomoh-bomoh. Mempelajari sihir boleh menjadikan seseorang syirik kepada Allah s.w.t. Sihir biasanya digunakan untuk mendatangkan mudharat kepada seseorang dengan bantuan jin dan syaitan tetapi kesemuanya adalah dengan izin Allah.

Ibnu Qudamah Al-Maqdisi mengatakan," Sihir adalah ikatan-ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan maupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya. Sihir ini mempunyai hakikat, diantaranya ada yang bisa mematikan, membuat sakit, membuat seorang suami tidak dapat mencampuri istrinya atau memisahkan pasangan suami istri, atau membuat salah satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua belah pihak saling mencintainya"

Keenam : Istidraj .
Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah kepada seseorang tetapi dengan tujuan Allah s.w.t ingin membinasakannya.

Keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang mendapat keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah binasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.Bukan sahaja mereka lupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.Itulah keburukan istidraj.istidraj.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.
(Surah Al-A'raaf  ayat 182)

Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya.Sekumpulan manusia tidak pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejelikan yang bertimpa-timpa. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa… namun semakin buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu.Namun bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat dari kedunguan sokongan yang dinikmatinya itu, segala ‘kemanisan’ itu mungkin sekadar ISTIDRAJ dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman mereka.Agar bila sampai masa Allah menghukum dan mengazab mereka… tiada manusia yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.

Daripada Nabi sallaLlahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah ISTIDRAJ”. Lalu Rasulullah sallaLlahu ‘alayhi wa sallam membaca (surah al-An’aam ayat 44):Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
(Hadith riwayat Ahmad)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita kembali kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Kita berharap segala rezeki dan pemberian Allah s.w.t kepada kita adalah tanda Dia kasih dan cinta kepada kita bukannya tanda Dia murka kerana sesungguhnya istidraj adalah pemberian Allah s.w.t kepada hamba-Nya tanda Dia murka. Semoga hidup kita sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan dan pengampunan daripada Allah s.w.t.

Eidul Fitri Yang Berkat di Sambut Tanpa Maksiat

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Ramadhan sudah sampai penghujungnya, bulan yang penuh keberkatan ini akan pergi meninggalkan kita. Bagi hati Mukmin, perginya Ramadhan membuat hati merasa sayu dan sedih, kerana kehadiran Ramadhan membawa seribu kebaikan dan kegembiraan iaitu mendapat rahmat Allah, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari siksaan api Neraka. Kelebihannya tidak ada pada bulan-bulan yang lain

Sebulan kita menahan lapar. Ringan badan beribadah. Berlapar menutup pintu hasutan syaitan. Muslimin mengikis penyakit-penyakit hati seperti hasad, ego, ‘ujub, sum’ah, bakhil, buruk makan, cinta dunia dan panjang angan-angan. Membuang sifat malas dan berpoya, berpecah dan berseteru.

Madrasah Ramadhan merupakan proses tarbiyyah dan tazkiyah pada hati, jiwa dan ruh kepada pembersihan sebenar yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Natijah dari segala proses di madrasah ini melahirkan hati yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Taqwa inilah merupakan pakaian orang Mukmin, pakaian inilah yang dipakainya untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang.

Sahabat yang dimuliakan,
Adakah Ramadhan kali ini, merupakan Ramadhan yang terbaik pernah sahabat rasai? Adakah segala amal ibadah, puasa, do’a, munajat, tafakur, sedekah, bacaan al-Qur’an yang sahabat laksanakan memberi kesan yang mendalam pada hati , jiwa dan perasaan dan benar-benar dapat merasai kemanisannya? Meningkat atau tidak meningkatnya tarbiyyah ruhiyah ini, berkesan atau tidak berkesannya proses tamrin ini bergantung pada peribadi masing-masing sejauhmana ia hayati Ramadhan.

Berbahagialah sesiapa yang diubah perangainya oleh Ramadhan. Ia terlepas dari celaan seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “Terjauhlah (dari rahmat) sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadhan (tetapi tidak memperdulikannya) maka Allah tidak mengampunkannya.”(Hadis Riwayat al-Hakim dari Kaab bin ‘Ujrah)

Sahabat boleh muhasabah diri sendiri, kesan yang paling nyata adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan semasa Ramadhan akan dapat kita teruskan dan istiqamah pada bulan-bulan berikutnya , malah mungkin lebih baik lagi. Jika ini berlaku , ini bermakna ciri-ciri taqwa itu dapat kita perolehi. Taqwa itu ia tidak tersimpan didalam hati sahaja tetapi ia akan dilahirkan dalam berfikir, dalam tindakkan dan membuat keputusan, nampak jelas dalam peribadi, akhlak, tutur kata, pergaulan dan amalan hariannya.

Apakah kalian bertemu malam Lailatul Qadr? Yang pasti kalian telah bertemu Lailatu Qadr hanya kalian tidak mengetahui malam Ramadhan ke berapa dan bila saatnya berlaku! Maksud hadis Nabi s.a.w. menyatakan bahawa sesiapa yang solat isyak dan subuh berjemaah disepanjang Ramadhan dia sebenarnya telah mendapat malam Lailatul Qadr. Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa fadilat solat isyak berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat separuh malam dan fadilat solat subuh berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat sepanjang malam. Kita mohon kehadrat Allah s.w.t semoga keberkatan malam Lailatu Qadr tahun ini dapat memberi kesan pada hati, jiwa dan kehidupan kita yang lebih baik dan mendapat keredhan Allah s.w.t.

Sahabat,
Dengan kedatangan Eidul Fitri ini bermakna hari kemenangan umat Islam, perlu disambut dengan rasa gembira dan bersyukur diatas kemenangan iman menakluki nafsu dalam bulan Ramadhan. Eid bermakna hari kejayaan dan Fitri bermakna fitrah iaitu nurani yang bersih.

Kejayaan disambut pada Eidul Fitri, berkumandang takbir, tahmid dan tasbih. Hati Mukmin semakin akrab dan kasih terhadap Allah, pancaran nur ibadah Ramadhan. Zakat fitrah dkeluarkan, tanda syukur menghabiskan Ramadhan dengan penuh adab. Berlapar sebulan menginsafkan ia tentang penderitaan orang miskin dan pelarian perang yang tertindas. Ia menunaikan solat sunat Eidul Fitri menyembah Zat Yang Agung, Allah s.w.t. Hari lebaran membuka ruang untuk bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan, kasih sayang dan berlemah lembut sesama Mukmin. Ia berkata didalam takbir, ‘Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Esa, yang benar pada janji-Nya, yang membantu hamba-Nya, yang memenangkan pejuang (agama-Nya) dan mengalahkan pakatan musuh-Nya, semua dengan sendiri-Nya.’

Sahabat yang dihormati,
Eidul Fitri disambut dengan sederhana. Sederhana dalam makanan dan perhiasan. Yang meriah ialah hati kerana iman yang diperolehi. Apa yang indah ialah kata-kata dan akhlak mulia yang dibina dalam Ramadhan, ucapan yang dianjurkan ialah :
1.‘Taqabbalallahu minkum ‘ bererti semoga Allah menerima amal kamu.
2.’Kullu ‘ammun wa antum bikhir’ bererti sepanjang tahun kamu dalam kebaikan.
3.’Minal ‘Aidin wal faizin. Bererti kamu tergolong di kalangan yang mulia dan berjaya.

Tidak perlu bermuzik atau menonton filem yang menggiurkan syahwat.Sebuah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud ; “ Perlakuan dosa pada hari Eid umpama membuat dosa pada Hari Mahsyar.”Ingatlah Eidul Fitri ialah satu ibadah bukan adat."

Kesempatan ini saya memohon ampun dan maaf kepada semua sahabat-sahabat di atas salah dan silap dan diatas terkasar bahasa yang menyenggung perasaan sahabat semua. "Semoga Allah terima amal kami dan amal kamu."
Wassalam

Panduan Menyambut Hari Raya Aidilfitri Cara Sunnah

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.
Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.
Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa).
Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
1.   Bertakbir
2.   Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri 
3.   Meneruskan qiamullail 
4.   Mandi pada pagi hari raya 
 5.   Makan sebelum solat Aidilfitri. 
6.   Memakai pakaian yang indah  
7.   Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
 8.   Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. 
9.   Tempat perlaksanaan solat hari raya  
10. Mengerjakan Solat Aidilfitri 
11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
 12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal 

1. Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h: “Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32. Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

3. Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

4. Mandi pada pagi hari raya
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i,

5. Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h: “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953. Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

6. Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327. Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah: “Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327. Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w: “Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036. Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya. 
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487. Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

8. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. 
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: “Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

9. Tempat perlaksanaan solat hari raya
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata: “Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata: “Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

10. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989. Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata: “Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956. Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata: “Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290. Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164. Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP
Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.
Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari
MAAF ZAHIR BATIN DARI ZAINUDIN, ZIZI, NADIAH, NADZIRAH

 (Di ambil dari nota Zainudin Harun)

Monday, September 6, 2010

Munajat Kepada Allah di Akhir Ramadhan

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Marilah sama-sama kita hayati do'a dan munajat kepada Allah di akhir Ramadhan ini. Untuk saya dan semua sahabat-sahahabat di blog. Do'a dan munajat ini adalah untuk kita semua. Semoga persahabatan yang terjalin di antara kita sentiasa diredhai Allah s.w.t. walaupun pertemuan, perjumpaan dan perkenalan kita di alam maya tetapi amat bernilai disisi Allah s.w.t

"Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah kami lakukan secara sengaja atau tidak secara sengaja. Yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui. Kami adalah hamba-hamba-Mu yang lemah dan dhaif yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa melangar peraturan dan suruhan -Mu, yang selalu leka dan lalai untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap-Mu. Jika kami bersalah ampunkanlah kami , maafkanlah kami sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf.

Ya Allah, dibulan Ramadhan yang penuh berkat ini rahmat dan pengampunan-Mu amat luas sekali kepada hamba-hamab-Mu yang berpuasa. Ya Allah terimalah ibadah puasa kami. Berikanlah kami rahmat-Mu, pengampunan-Mu dan bebaskanlah kami daripada siksaan api Neraka.

Ya Allah pilihlah kami semua untuk memasuki Syurga-Mu melalui pintu Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa.Pintu Ar-Rayyan hanya Kau peruntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. Sesungguhnya bila Kau telah pilih kami memasuki Syurga sebenarnya kami telah berjaya. Tunaikan hajat dan permohonan kami ini ya Allah.

Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan kami tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia dan berjaya di hari akhirat, maka tetaplah kami di dalam keadaan itu. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan kami di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan-Mu.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau berilah sihat sejahtera kepada kami , jauhkan kami daripada mala petaka bencana dan penyakit. Jauhkan kami daripada siksa kubur, siksa Neraka, fitnah hidup ada mati, pilihlah kami dapat menyebut kalimah syahadah di akhir hayat kami dan mendapat husnul khatimah, jadikanlah lubang-lubang kubur kami adalah daripada taman-taman Syurga.

Ya Allah, Kau redhailah segala ilmu yang bermanfaat yang kami perolehi disini, Kau berilah Taufik dan Hidayah-Mu, Kau berilah kepada kami kefahaman yang mendalam tentang Islam, Kau berikanlah kekuatan pada kami untuk mengamalkannya dan kemampuan pula untuk menyampaikannya pada orang lain.

Ya Allah Kau jadikanlah kami sahabat-sahabat yang mulia di dunia walaupun kami bertemu di alam maya dan jadikanlah kami sahabat-sahabat di hari akhirat, kami mohon ketika itu kami semua dapat berteduh dibawah naungan-Mu. Ketika itu tidak ada naungan yang lain melainkan naungan daripada-Mu.

Ya Allah, Kau satukanlah hati-hati kami dengan ikatan persaudaraan Islam, Kau pertemukanlah kami di dunia dan pertemukanlah kami di hari akhirat bersama hamba-hamba-Mu yang Kau redhai.

Jadikanlah hati –hati kami bertemu dan berpisah semata-mata untuk mencari keredhaan-Mu. Jadikanlah kami batu-bata untuk membina bangunan Islam, pilihlah kami untuk menjadi para dai’e-Mu untuk melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar.

Ya Allah bersihkan aqidah kami daripada syirik kepada-Mu, sucikan hati-hati kami daripada sifat hasad dengki, riak, sombong, bongkak, takbur, iri hati dan sifat-sifat keji yang Kau benci , dan tanamkan di dalam hati-hati kami sifat iman, taqwa, sabar, syukur, lemah lembut dan jadikan hati-hati kami memiliki sifat mahmudah.

Ya Allah, hati kami merasa pilu dan sedih kerana Ramadhan yang penuh keberkataan akan meninggalkan kami. Sedangkan kami belum puas menikmati ganjaran besar yang Kau sediakan. Kami masih kurang membaca al-Qur'an, kurang bersedekah, kurang qiyamulail, kurang berzikir dan kurang berdo'a kehadrat-Mu. Ya Allah kami mengharapkan di akhir Ramadhan ini terimalah ibadah puasa kami, berilah pengampunan terhadap semua dosa-dosa kami samaada yang kecil atau yang besar. Bebaskanlah kami daripada siksaan api Neraka.

Ya Allah berikanlah kekuatan kami menghadapi cabaran dan dugaan untuk sebelas bulan yang akan datang.Kurniakan kami nilai taqwa dan jadikanlah taqwa itu pakaian kami dan sebagai benting untuk kami hadapi dugaan dan cabaran dalam hidup. Ya Allah berilah kekuatan kami untuk menundukkan nafsu kami supaya ianya tunduk dibawah telunjuk iman dan lindunglah kami dari godaan dan hasutan syaitan yang menyesatkan.

Ya Allah izinkanlah kami bertemu Ramadhan yang akan datang dan jadikanlah hati-hati kami sentiasa mengingati-Mu  samaada ketika kami berseorangan atau dengan orang lain. Jadikan kami sentiasa berbaik sangka dengan Qadha' dan Qadar-Mu dan sentiasa redha dengan takdir yang telah Kau tetapkan.

Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada siksaan api Neraka."

Konsep Qadha' dan Qadar Dalam Kehidupan Seorang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Percaya dan beriman kepada Qadha' dan Qadar adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya.

Qadha' dan Qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Qadha' dan Qadar terbahagi kepada dua iaitu Mubram dan Muallaq.

Pertama : Qadha' Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak,  manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti.  Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qadha' dan Qadar.

Kedua : Qadha' Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qadha' itu melainkan oleh do'a dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Do'a itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdo'a perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat do'a itu padahal Qadha' (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qadha' juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdo'a. Maka do'a menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi s.a.w  walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan do'a-do'a ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qadha' Muallaq boleh berubah-rubah samaada dipanjangkan atau dipendikkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim.

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Sahabat yang dimuliakan,
Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira Qadha' dan Qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar al-Khattab. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Umar r.a amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Umar al-Khattab r.a: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qadha' dan Qadar.

Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, Khalifah Umar al-Khattab r.a enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah r.a bertanya kepada Umar r.a: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Umar r.a menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.”(Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Allah berfirman maksudnya : “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.”(Surah Qaaf ayat 29)

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaun itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki Neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal solih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam Syurga.

Berhubung dengan ini Allah berfirman maksudnya : “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39)

Dalam bab mencari jodoh, Nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah untuk mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah tentangnya dengan solat istikharah. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

Sahabat,
Terdapat satu kisah . Nabi Musa a.s. pernah bertanyakan Allah bagaimana Allah s.w.t menetapkan suatu takdir kepada mausia di dunia ini. Lalu Allah memerintahkan Nabi Musa a.s. pergi disatu sungai dan terdapat sebuat batu yang besar dan beliau hendaklah melihat saja dicelah-celah batu tersebut peristiwa yang akan berlaku dan biarkan peristiwa itu berjalan jangan diganggu.

Apabila Nabi Musa a.s melihat di celah-celah batu besar tersebut tiba-tiba datang seorang pemuda berkuda dan beliau berhenti ditebing sungai tersebut dan membasuh muka, pemuda tersebut telah meletakkan sebuah uncang berisi emas ditebing sungai tersebut lalu beredar dari situ. Selepas itu datang seorang budak lelaki pergi ketempat tersebut dan terjumpa uncang emas tersebut lantas beliau mengambil uncang tersebut dan beredar dari situ. Selepas itu datang pula seorang lelaki tua yang buta dan sampai ditempat yang sama membasuh mukanya, lalu pemuda yang berkuda tadi datang semula ketempat tersebut dan meminta uncangnya daripada orang buta tersebut . Lelaki buta itu mengatakan beliau buta dan mengaku tak mengambil barang tersebut. Pemuda itu tak puas hati maka berlakulah pergaduhan tersebut sehinggakan beliau mengeluarkan pisau dan membunuh lelaki buta tadi.

Setelah berlaku peristiwa terebut Allah s.w.t menceritakan kepada Nabi Musa a.s. bahawa pemuda tersebut baru saja merompak dirumah budak lelaki tadi . Dan bila terjumpa uncang tersebut budak lelaki itu mengambilnya kerana merasakan barang ini adalah hak milik keluarganya. Orang tua yang buta itu,  20 tahun dahulu adalah orang jahat yang lalu telah merompak keluarga pemuda tersebut dan membunuh kedua  ibu-bapanya ini adalah pembalasan terhadap kezaliman yang beliau lakukan dahulu.

Daripada peristiwa tersebut insaflah Nabi Musa a.s. bahawa balasan Allah pasti berlaku kepada sesiapa yang melakukan kezaliman kepada orang lain dan ianya berlaku di dunia lagi sebelum tiba siksaan  di hari akhirat.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Akhirkata marilah kita redha dan berbaik sangka dengan Allah s.w.t. dan percaya terhadap Qadha' dan Qadar tanpa ragu-ragu. Sentiasalah berdo'a kepada Allah s.w.t semoga Allah s.w.t pilih kita menjadi hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.