Saturday, June 4, 2011

Orang Mukmin Akan Menjauhkan Dirinya Daripada Berhati Keras

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya“.

Orang berhati keras, sesungguhnya jauh daripada rahmat Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Sayidina Ali k.wj berkata: “Air mata tidak akan mengering kecuali bagi orang yang  berhati keras dan hati tidak akan menjadi keras kecuali dengan perbuatan dosa yang dilakukan berulang-ulang”.

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:
1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah SWT telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.
(Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah SWT, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah SWT memberikan peringatan, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat


Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah


Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah SWT  diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.
Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya hati manusia ini pelbagai wajah seperti pernah diutarakan oleh ulama-ulama dimana mereka berpendapat hati terbahagi kepada tiga iaitu:

1- Hati yang sihat dan selamat

Iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya mengenai kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.

2- Hati yang keras

Iaitu hati yang tidak menerima dan taat pada kebenaran.

3- Hati yang sakit

Jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati, jika ia mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya menjadi sihat dan selamat.

Daripada ketiga-tiga wajah hati itu, apa yang perlu dimiliki orang Islam ialah sekeping hati sihat dan selamat. Sebagai insan beriman dan cintakan Allah SWT secara benar, maka sedaya upaya harus berusaha mengatasi hati keras dan mengubati hati yang sakit.

Jika dibiarkan, hati akan menghadapi beberapa perkara bahaya yang membinasakan iaitu memandang perkara buruk dan baik adalah sama saja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itu baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah.

Hati diserang penyakit seumpama itu masih boleh dirawat dengan membaca al-Quran, mendalami maknanya dan mengamalkan ajarannya untuk menghidup dan melunakkan hati, selain menambah ilmu pengetahuan serta membentuk akhlak terpuji.

Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah SWT  dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Firman Allah SWT bermaksud : “Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Isra, ayat 82)

Jelas sekali selalu mengingati Allah SWT boleh mengindahkan hati dan menenangkan perasaan. Selain daripada membaca al-Quran, kita juga perlu sentiasa berzikir dan beristighfar untuk membersikan hati daripada karat-karat jahiliah. Berdasar pendapat Ibn Taimiyah, zikir itu penting bagi manusia, umpama betapa perlunya ikan kepada air.

Selanjutnya, perlu ada keinsafan dalam hati bahawa diri hanya sebagai hamba hina di sisi Allah mSWT. Rasa rendah diri, menjadikan ibadat dilakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Rasa rendah diri, menghindarkan daripada sikap sombong dan meyakini bahawa hanya Allah SWT yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi murni, tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah SWT.

Oleh itu marilah sama-sama kita proses hati kita supaya daripada hati yang keras menjadi lembut, sihat dan sejahtera. Bersihkan hati kita daripada penyakit-penyakit hati yang menyebabkan kita jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT.


Friday, June 3, 2011

Orang Mukmin Akan Menjauhkan Diri Daripada Mencaci dan Menghina Sesama Muslim

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Umat Islam dilarang daripada bergaduh, berbalah dan saling kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Sifat suka mengutuk, maki-hamun dan mencerca orang lain bukanlah sifat orang mukmin. Nabi SAW di dalam misi dakwah baginda kepada semua manusia tidak pernah menyampaikan dakwah dengan menggunakan bahasa yang kesat dengan menyerang peribadi dan menghina keturunan dan penyembahan tuhan mereka. Tetapi Nabi SAW akan mengunakan cara yang cukup hikmah, lemah lembut, berbudi bahasa dan penuh kasih sayang.

Walaupun  orang kafir cuba menghina dan mengutuk baginda di atas dakwah yang baginda jalankan, namun baginda tetap bersabar dan mengunakan cara-cara yang lembut dan memberi jawapan yang bernas dengan dalil yang kuat untuk menepis dakwaan dan penghinaan mereka. Biasanya mereka (orang-orang musrik) akan kalah berhujah dengan baginda. Ramai juga dikalangan orang kafir masuk Islam kerana tertarik dengan peribadi baginda yang mulia dan kesopanan yang tinggi.
 
Islam tidak membenarkan umatnya  mengutuk dan mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud yang maksud: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir.”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)


Nabi SAW  bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.” (Hadis Riwayat  Abu Daud)


Nabi SAW  bersabda maksudnya  ” Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)


Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW sentiasa mengajar umatnya supaya menjauhkan diri daripada mencaci-maki sesama muslim, menjauhkan daripada membuka aib seseorang dan mencari-cari kesalahan orang lain.

Sabda Nabi SAW kepada Ali bin Abu Talib k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya:
"Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Dari hadis-hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak  Allah SWT sahaja, dalam menghukum setiap hambanya. Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya Allah SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya.

Oleh kerana itu Rasulullah SAW  melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat nikmat dan kurnia dari Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Hanya di dalam kes seorang muslim yang telah dizalimi , difitnah dan diaibkan dia boleh berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menunjukkan kebenarannya dan mendatangkan musibah kepada orang yang melakukan kezaliman keatas dirinya. Supaya kebenaran itu akan terbukti dan dia berada dipihak yang benar dan dia dapat membersihkan namanya yang telah tercemar kerana berita fitnah tersebut.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi seorang manusia untuk mendoakan keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.

Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata : " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdoa sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."

Firman Allah SWT maksudnya : " Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." ( Surah an-Nisa ayat 148)

Dalil pengharusan. Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa mengikut tafsiran Ibnu Abbas . Adapun hadis Rasulullah SAW adalah hadis berikut:

"Sesungguhnya Nabi SAW  mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran r.a dan sentiasa mendoakan kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdoa : Ya Allah laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama-nama kabilah yang membunuh utusan Nabi SAW kesemua mereka penghafaz al-Quran)."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam banyak peristiwa Nabi SAW tetap memaafkan dan mendoakan kebaikan kepada orang-orang kafir yang mencederakan dan menyakiti hati baginda hanya dalam peristiwa pembunuhan ramai penghafaz al-Quran utusan baginda menyebabkan baginda terlalu sedih dan mendoakan kecelakaan kepada  kaum yang kejam tidak berperikemanusiaan. 

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu sebagai seorang mukmin yang sentiasa menyampaikan dakwah dan kebenaran maka perlulah kita mengambil pendekatan secara hikmah dan berlemah lembut dan sentiasa mendoakan kebaikan kepada  setiap orang yang kita dakwahkan terutama sesama muslim. 

Sekiranya terdapat perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk kita mengaibkan sesama kita dan menghemburkan caci-maki atau kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Untuk orang-orang bukan Islam kita di bolehkan mendoakan kepada mereka supaya diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT dan  supaya mereka beriman kepada-Nya dan masuk agama Islam.

Thursday, June 2, 2011

Ciri-ciri Ulama Pewaris Nabi SAW

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Siapakah yang dkatakan orang alim? Orang alim adalah orang yang berilmu kemudian mengamalkan ilmu yang di milikinya.

Ibnu Juraij rahimahullah menukilkan (pendapat) dari ‘Atha, beliau berkata: “Barangsiapa yang mengenal Allah, maka dia adalah orang alim.” (Jami’ Bayan Ilmu wa Fadhlih, hal. 2/49)

Asy-Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah dalam kitab beliau Kitabul ‘Ilmi mengatakan: “Ulama adalah orang yang ilmunya menyampaikan mereka kepada sifat takut kepada Allah.” (Kitabul ‘Ilmi hal. 147)

Firman Allah SWT maksudnya :  “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama.” (Surah Fathir ayat 28)

Ibnu Abbas berkata : "Sesiapa yang takutkan Allah maka dia adalah orang alim"

Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keajaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertakwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmunya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)

Ibnu Masud berkata : "Ketakutan kepada Allah petanda seorang itu alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah."

Sayyidina Ali  k.wj pernah berkata : "Seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab Allah  SWT  dan tidak membelakangi al-Quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243)

Ibnu Abbas berkata : Ulama ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kata-kata sahabat Nabi SAW, dan para ulama dahulu dan sekarang bahawa  ulama yang sebenarnya adalah seorang alim  yang berilmu dengan ilmu Allah SWT dan melaksanakan ilmu tersebut dan dia menyampaikan pula kepada orang lain.

Secara umumnya perkataan ulama itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.

Ciri-ciri ulama yangt sebenarnya adalah seperti berikut:

1. Ulama dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.

2. Ulama dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.

3. Ulama  adalah orang yang tidak menginginkan kedudukan, dan membenci segala bentuk pujian serta tidak menyombongkan diri atas seorang pun.  Dia yang tidak hasad kepada seorang pun yang berada di atasnya dan tidak menghinakan orang yang ada di bawahnya dan tidak mengharapkan balasan  dalam menyampaikan ilmu Allah.

4. Ulama yang tawaduk  juga  tidak mengaku mempunyai ilmu yang tinggi, tidak berbangga dengan ilmunya atas seorang pun, dan tidak mudah menghukumi orang yang jahil yang melanggar larangan Allah SWT, sebaliknya dengan lemah lembut menasihati mereka dengan cara yang penuh hikmah.

5. Ulama akan mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui" (Hadis dalam Sunan ad-Darimi)

Sayyidina Ali berkata : "Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya."

6. Ulama ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah .

Firman Allah SWT maksudnya : "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata" (Surah al-Jumaah ayat 2)

Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sahih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : 'Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama  sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama  maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama meneruskan menuntut ilmu daripada para ulama yang alim, bertakwa dan warak. Kerana ulama yang memiliki ciri-ciri ulama pewaris nabi adalah ulama yang ikhlas dan ilmu yang di sampaikan akan memiliki  keberkatan. Maksud keberkatan ilmu yang kita perolehi mampu pula kita hayati dalam kehidupan kita. Jauhilah ulama-ulama yang ada kepentingan duniawi yang hanya memberi fatwa dalam perkara-perkara yang tidak menjejaskan jawatannya dan sentiasa mengambil hati pemimpin walaupun bertentangan dengan hukum-hukum Allah SWT. Ulama seperti ini akan menjauhkan diri kita daripada rahmat dan keredaan Allah SWT.

Empat Ciri-ciri Utama Orang Mukmin

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ

ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Ia terus gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT.

Orang mukmin akan menjadikan pakaian hidupnya adalah sifat takwa iaitu satu sifat mulia yang menghayati akhlak Islam dalam kehidupan samaada percakapannya, perbuatannya, rasa hati dan matlamat kehidupannya.

Sayyidina Ali k.wj pernah berkata empat ciri utama orang bertakwa (orang mukmin ) adalah seperti berikut :

Pertama : Sentiasa takut kepada Allah dalam setiap perkara

Kedua : Sentiasa reda dengan pemberian Allah walau pun sedikit

Ketiga : Sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran dan

Keempat : Sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Huraiannya :

Pertama : Sentiasa takut kepada Allah dalam setiap perkara.

Di dalam al-Quran, Allah SWT memaparkan dengan terperinci tentang sifat oarng-orang beriman dengan memiliki akhlak terpuji. Perasaan takut kepada Allah yang menghunjam di dalam kalbu mereka, takut kepada azab neraka yang di sediakan-Nya kepada mereka yang ingkar kepada suruhan-Nya. Orang mukmin sentiasa yakin dan mengharap reda-Nya, kepercayaan dan pergantungan kepada Allah SWT secara mutlak.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang takut melanggar hukum Tuhan-Nya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."
(Surah al-Mulk ayat 12)

Kedua : Sentiasa reda dengan pemberian Allah walau pun sedikit.

Orang mukmin yang bertakwa sentiasa reda dan bersyukur dengan pemberian daripada Allah SWT walaupun sedikit.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7).

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Ketiga : Sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran

Bagi orang-orang yang bertakwa, tidak ada hukum yang lebih baik melainkan yang diturunkan oleh Allah SWT, ini adalah tegasan dari Al-Quran. Tetapi mengapa ramai orang-orang Islam hari ini menolak hukum Allah dari segi praktiknya dan kenapa keadaan ini boleh berlaku?

Keadaan ini boleh berlaku kerana jiwa manusia hari ini ramai yang berpenyakit, jiwa yang berpenyakit ini akan menolak hukum-hukum Allah SWT dan menganggap hukum-hukum Islam tidak lagi sesuai dengan zaman. Mereka menggambil hukum-hukum ciptaan manusia yang lemah dan tindakan ini tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ? (Surah al-Maaidah ayat 50)

Nabi SAW berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang membaca Al-Quran, dan tidak menghalalkan yang halal serta tidak mengharamkan yang haram, maka ia termasuk orang-orang yang membuang kitab Allah (Al-Quran) di belakang punggungnya (meninggalkan Al-Quran)."

Keempat : Sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Orang mukmin akan sentiasa bersedia menyediakan bekalan yang secukupnya ketika hidup di dunia ini. Untuk bahagia di hari akhirat, dia akan melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Samalah seperti jika kalian ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar, maka pokok yang kalian tanam perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik.?

Begitulah orang yang memikirkan kehidupan di akhirat maka dia adalah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebaikan dan kebajikan ketika hidup di dunia.

Orang mukmin akan jadikanlah dunia ini medan untuk beramal. Hidup di dunia adalah sementara saja dan hidup disini hanya sekali sahaja. Ahli hukama ada berkata, " Dunia adalah tempat beramal tiada balasan, dan akhirat adalah tempat balasan tiada amal. Oleh itu beramallah kamu di tempat yang tiada balasan semoga kamu berbahagia di tempat yang tiada amal."

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya yang kemudian ( akhirat) itu lebih baik untukmu daripada yang permulaan (dunia)" (Surah ad-Duha ayat 4).

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya : ” Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan  Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah an-Nahl ayat 97)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita cuba hayati empat ciri-ciri orang bertakwa (orang mukmin) yang akan mendapat kejayaan dan kebahagiaan samaada hidup di dunia maupun di hari akhirat. Berhati-hatilah ketika menghadapi cubaan dan cabaran hidup di dunia ini kerana kealpaan dan kelalaian kita di sini akan menjejaskan masa depan kita untuk mencapai kebahagiaan di sana nanti. Biarlah hidup kita susah sedikit di dunia asalkan kita beroleh kebahagiaan ketika bertemu dengan Tuhan yang Maha Berkuasa di hari pembalasan.

Tuesday, May 31, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Berdoa Supaya Termasuk di Kalangan Orang Berbahagia

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: "Rasulullah SAW telah bersabda, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai) :

'Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu : supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia.

Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka.

Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga '."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dari Anas ra, dari Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak?” Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang itu, malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (Setelah malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)     

Huraiannya :

Berdasarkan hadis di atas Nabi S.A.W menyebut peringkat kejadian janin di dalam perut seseorang ibu yang melalui tiga peringkat. 40 hari pertama berupa setitis air mani. 40 hari kedua menjadi segumpal darah. 40 hari ketiga menjadi seketul daging. Kemudian roh ditiupkan selepas empat bulan. Jika janin gugur selepas empat bulan, ia mestilah dimandikan, di kafankan, disembahyangkan dan dikuburkan di kawasan perkuburan orang islam. Haram dengan sengaja menggugurkan janin.

Malaikat ditugaskan meniup roh kepada janin dan malaikat yang diutuskan oleh Allah SWT akan menulis 4 perkara iaitu  rezekinya, ajalnya,  amalnya samaada mendapat celaka atau bahagia.

Allah sudah tentukan nasib kita sejak dari dalam perut ibu kita lagi. Itu memang betul sabit daripada hadis yang kita bahas ni. Cumanya, para ulama menyatakan bahawa Allah akan beri tanda atau signal supaya manusia yang dalam kecelakaan itu boleh buat perubahan, atau manusia yang dalam kebahagiaan itu boleh berterusan kehidupan yang baiknya itu. Dalam fahaman ahlul sunnah wal jamaah, kita tak boleh bergantung bulat serah kepada takdir. Kita perlu ada usaha dan ikhtiar sebab iradah Allah SWT bergantung kepada ikhtiar manusia. Sebagai contoh; masuknya Abu Jahal ke neraka sebab dia sendiri yang memilih jalan itu. Lalu Allah dengan sifat iradah, meluluskannya. Begitu juga dengan para mujahidin. Mereka pilih mati di jalan Allah.  Maka Allah SWT dengan iradahNya, meluluskannya juga.

Apabila kita hidup sebenarnya kita sedang menjalankan qada Allah yang telah tertulis sejak azali lagi. Ini tidak boleh diubah oleh sesiapa pun, samada akhir kita bahagia (alhamdulillah) atau akhir kita celaka (nauzubillah), sebab semuanya ini Allah telah tentukan. Namun begitu, Allah tidak membiarkan hambaNya begitu saja.

Dia letak panduan untuk hambaNya sendiri pilih samada jalan bahagia atau jalan celaka itu. Dan dengan pilihan itulah, Allah akan menentukan dengan sifat iradah yang ada pada zatNya. Sebab yang kata iradah ini, ianya bergantung kepada ikhtiar manusia itu sendiri. Sebab itu jangan kita hairan dengan wujudnya santau, sihir, ilmu hitam apa semua ni. Memang benda-benda ini semua kita tidak suka dan Allah pun tidak  suka, tapi ianya tetap berlaku. Sebab apa?…Sebab iradah (kelulusan daripada Allah) bergantung kepada ikhtiar manusia.  Jangan jadi macam jabariah yang bergantung bulat-bulat kepada takdir. Pegangan ini ditolak oleh ahlul sunnah wal jamaah.   

Sahabat yang dimuliakan,
Kita wajib percaya dan yakin dengan qadak dan qadar Allah SWT. kerana ianya adalah rukun Iman ke enam yang wajib diyakini tanpa ragu-ragu. Allah SWT memberikan kepada kita akal yang waras (itu sebab orang gila tidak ada kewajipan keatas dirinya) dan Allah SWT mengutus Rasulullah SAW sebagai rasul yang membawa hidayah dan petunjuk untuk manusia dengan dibawa baginda al-Quran dan sunnahnya semoga manusia boleh buat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Manusia sendiri mampu untuk membuat pilihan keatas dirinya jalan mana yang dia hendak ikuti. Jika baik maka baiklah jadinya dan jika buruk maka buruklah jadinya dan akibatnya akan ditanggong  oleh manusia sendiri samaada di dunia dan akhirat.

Islam memberi panduan kepada kita dengan berikhtiar dan berdoa kepada Allah SWT supaya diakhir kehidupan kita mendapat husnul khatimah dan berbahagia di alam barzakh dan di hari akhirat seterusnya dapat memasuki syurga Allah SWT.

Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Loh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak tertolak qadak itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW  bersabda yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi : “Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf : “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira qadak dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar al-Khattab. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.”

Khalifah Umar r.a amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.”

Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?”

Berkata Umar al-Khattab r.a: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qadak dan qadar.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berdoa dan bermohon kepada Allah SWT supaya Dia tetapkan hati kita berada diatas jalan kebenaran dan terus kekal hingga kita bertemu Allah SWT dalam keadaan husnul khatimah dan kekal beriman dan mendapat kebahagiaan di sisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud , : "Al-Mizan itu berada ditangan Allah. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga kehari kiamat. Hati manusia berada diantara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendakiNya akan disesatkanNya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasa’ei, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Disebabkan terlalu mudahnya hati itu berubah, kita digalakkan beramal dengan doa ini dan doa memohon ketetapan hati yang diamalkan oleh Nabi SAW.
"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kita perlu berdoa :"Rabbana atinafiddunya khasanah wafil akhirati khasanah wakinaazabannar”

(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab api Neraka)
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang Mukmin Hatinya Sentiasa Tenang dan Reda Dengan Kententuan Tuhan Kepadanya

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya :  "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd ayat 28)

Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenteram dan tenang dengan mengingati Tuhan?

Ini adalah kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan maka seseorang individu itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Bila ditimpa musibah, katakanlah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan dari Allah SWT yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.

Walaupun kalian telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin, rezeki yang diusahakannya tidak berjaya, maka kalian perlu menerima bahawa segala  ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hati perlu berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiyaa': 35)

Adapun orang yang benar dalam beriman ia akan senantiasa bertakwa kepada Allah dan menghambakan diri kepada-Nya dalam keadaan apapun. Bila ia mendapat kesenangan, kemudahan, dan kekayaan ia bersyukur. Namun jika ditimpa kesulitan, kesusahan, dan kemiskinan ia bersabar.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka hal itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim dari Shuhaib ar-Rumi)

Kalian tidak akan menyalahkan diri sendiri, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpa kalian. Kerana apa? Kerana kalian perlu  sedar sebagai hamba kalian hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah SWT. Maka dengan keyakinan yang sebegini kalian  akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan kalian tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidup.

Kalian perlu yakin, bahawa semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kalian  diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya "kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan."

Allah SWT  berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Tegasnya, ucapan ini mengingatkan  bahawa kalian adalah hamba-Nya. Maka jika kalian sedar akan hakikat itu, layakkah kalian sebagai hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah?

Sebagai hamba Allah SWT kalian wajib berusaha bukanlah alasan untuk menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah ada kebaikan yang tersembunyi.

Tidak semua orang yang berubat akan sembuh dengan ubat yang dimakan dan tidak semua orang yang berusaha akan memperolehi apa yang dihajatkan. Usaha dan berikhtiar adalah ibadah dan kejayaan adalah urusan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .

Jika kalian meletakkan usaha itu pasti berjaya 100% ini bermakna kalian mendahului ketentuan Allah SWT dan menjadikan usaha itu sebagai 'tuhan' yang menentukannya.

Dan hakikat itu pastinya tidak dapat di singkap dengan akal  yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang Maha luas. Lupakah kalian bahawa Allah pernah mengingatkan bahawa ada perkara yang di benci tetapi itu membawa kebaikan untuk kalian dan ada perkara yang kalian sukai tetapi itu tidak baik. Allah lebih mengetahui dan kalian sama sekali tidak mengetahui rahsia dan hikmah sesuatu kejadian ciptaan Tuhan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 216)

Orang yang hatinya mengingati Allah juga akan bersifat syukur apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak, sombong, zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Perlu sedar bahawa kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT  hakikatnya adalah satu amanah daripada-Nya yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya.

Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah seterusnya menggunakan nikmat itu selaras dengan tujuan pengurniaan nikmat tersebut. Jika kalian diberi kekayaan, kalian perlu sedar itu adalah amanah dari Allah untuk membantu hamba Allah yang lain. Maka dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika kalian pandai, perlulah merasai bahawa rasa kepandaian itu datangnya dari Allah SWT lalu digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.

Janganlah menjadi  sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga, sedangkan dia lupa bahawa Nabi Musa a.s. telah mengajarkan ilmu Allah SWT kepadanya untuk menukarkan benda lain menjadi emas tulin. Sebaliknya jadilah peribadi mulia seperti mewarisi sifat Nabi Sulaiman a.s. yang apabila dipuji baginda berkata: “Semua ini adalah pemberian Tuhanku.”

Justeru apabila kalian dikurniakan nikmat, kalian telah  diajar untuk mengucapkan alhamdulillah – ertinya, segala puji bagi Allah. Apa rahsia di sebalik ucapan ini? Ertinya, kalian diminta memuji Allah SWT bukan memuji diri sendiri apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, ucapkanlah ‘segala puji bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan harta kepada kalian dan kepada-Nyalah kalian wajib berterima-kasih. Hati kalian akan puas dengan apa yang diberikan-Nya.

Sebaliknya jika kalian tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kalian akan ditimpa oleh dua kemungkinan – satu rasa sombong diri dengan kelebihan dan kurniaan itu. Atau yang kedua, rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Mencari dan terus mencari, umpama orang yang minum air laut, makin diminum makin haus. Fenomena inilah yang melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’ – rasuah, penyelewengan dan berbagai-bagai skandal kewangan dikalangan orang atasan.

Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya.

Inilah bahana kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup dan puas. Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah mengalami ‘sakit rohani’ . Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia.

Manusia selalunya bersifat keluh-kesah bila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia menderita dalam apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau dalam kelebihan.

Benarlah kata hukama bahawa, “barang siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.”

Sahabat yang dimuliakan,
Harta dan wang ringgit tidak dinafikan perlu untuk kebahagiaan hidup tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah dihuni oleh ramai orang miskin yang kecewa, marah dan hasad terhadap kekayaan orang lain. Dan dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati.

Dunia masakini juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus merasa miskin walaupun ditimbuni oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.

Akibatnya, berlakulah penyelewengan, penipuan dalam perniagaan, merasuah, mengambil riba dan lain-lain jenayah kewangan yang dilakukan oleh orang yang telah kaya.

Dengan adanya dua kelompok manusia ini, dunia menjadi semakin huru-hara. Tidak ada hubungan yang harmoni antara yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki manakala yang kaya pula terus tamak dan sombong.

Carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan harta. Kekayaan hati bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan dan kebahagiaan di sana. Namun ia juga penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.

Percayalah, ketenangan di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat. Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kalian akan dapat menuai hasil yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang di tanam di dunia bantut dan kering layu?

Sebab itu ahli sufi pernah berkata: “Carilah syurga yang disegerakan di dunia (ajjanatul ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri, perbaikilah hati, jiwa dan akhlak kita untuk  menjadi insan kamil, insan yang akan beroleh kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di hari akhirat dan diselamatkan oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka.

Ingatlah nikmatnya syurga dunia adalah  hati sentiasa lapang, tenang, bila kaya hati bersyukur dan bila miskin dan ditimpa musibah hati bersabar. Nikmat syurga akhirat yang paling hebat adalah dapat melihat wajah Allah SWT dan juga dapat menikmati kelazatan hidup tidak dapat dibayangkan dengan akal dan tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga.

Monday, May 30, 2011

Apakah Perbezaan di Antara Al-Quran, Hadis Qudsi dan Hadis Nabawi

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ

ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meneliti perbezaan di antara al-Quran, hadis qudsi dan hadis nabawi untuk lebih memahami terhadap sumber penting di dalam ajaran Islam.

Al-Quran :

Al-Quran adalah kalam Allah SWT atau firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. dengan lafaz dan makna yang membacanya menjadi suatu ibadah.

Maka kata “kalam” yang termaktub dalam ta’rif tersebut merupakan kelompok jenis yang mencakupi seluruh jenis kalam. Ia disebut kalamullah sebab disandarkan kepada Allah yang menunjukkan secara khas sebagai firman-Nya, bukan kalam (kata-kata) manusia, jin dan malaikat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu apabila Kami telah menyempurnkan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.” (Surah Al-Qiyamah ayat 17-18)

Maksudnya : “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.”
(Surah Al-Isra’ ayat 9)

Secara khas, al-Quran menjadi nama bagi sebuah kitab yang diturunkan kepada Muhammad SAW. Maka jadilah ia sebagai sebuah identiti. Dan sebutan al-Quran tidak terhad kepada sebuah kitab dengan seluruh kandungannya, tapi termasuklah juga bahagian daripada ayat-ayatnya. Maka jika kalian mendengar satu ayat al-Quran dibaca misalnya, kalian dibenarkan mengatakan bahawa seseorang itu sedang membaca al-Quran.

Hadis adalah sumber ajaran Islam kedua, setelah al-Quran. Dari segi periwayatannya hadis ada yang disampaikan secara mutawatir dan bukan-mutawatir (masyhur dan ahad).

Namun, kenyataannya hadis yang disampaikan secara bukan-mutawatir (masyhur dan ahad) jumlahnya lebih banyak dari pada hadis yang disampaikan secara mutawatir.

Hadis terbagi dua iaitu hadis qudsi dan hadis nabawi.

Hadis Qudsi

Hadis qudsi adalah hadis yang di sampaikan oleh Rasulullah SAW disandarkan kepada Allah SWT. Maksudnya, Rasulullah SAW meriwayatkannya bahawa itu adalah kalam Allah. Maka, Rasulullah SAW. menjadi perawi kalam Allah ini dengan lafaz dari Rasulullah SAW. sendiri.

Bila seseorang meriwayatkan hadis qudsi, dia meriwayatkannya dari Allah dengan disandarkan kepada Allah dengan mengatakan, “Rasulullah SAW. mengatakan mengenai apa yang diriwayatkannya dari Tuhannya,” atau ia mengatakan, “Rasulullah SAW. mengatakan, ‘Allah SWT telah berfirman atau berfirman Allah SWT’.”

Contoh Pertama :
Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW mengenai apa yang diriwayatkannya dari Tuhannya, “Tangan Allah itu penuh, tidak dikurangi oleh nafkah, baik di waktu malam mahupun siang hari ….” (Hadis Riwayat Bukhari).

Contoh Kedua :
Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW berkata, “Allah Taala berfirman, ‘Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya bila dia menyebut-Ku di dalam dirinya, maka Aku pun menyebutnya di dalam diri-Ku. Dan, bila dia menyebut-Ku di kalangan orang banyak, Aku pun menyebutnya di kalangan orang banyak yang lebih baik dari itu …’.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis Nabawi

Menurut istilah, pengertian hadis ialah apa saja yang disandarkan kepada Nabi SAW baik berupa perkataan, perbuatan, persetujuan, mahupun sifat.

Contoh yang berupa perkataan seperti perkataan Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya sahnya amal itu disertai dengan niat. Dan, setiap orang bergantung pada niatnya ….”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Contoh yang berupa perbuatan ialah seperti ajarannya kepada para sahabat mengenai bagaimana cara mengerjakan solat.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Solatlah seperti kamu melihat aku solat.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Juga, mengenai bagaimana ia melaksanakan ibadah haji, dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  “Ambillah dariku manasik hajimu.” (Hadis Riwayat Muslim).

Adapun yang berupa persetujuan adalah seperti ia menyetujui suatu perkara yang dilakukan salah seorang sahabat, baik perkataan ataupun perbuatan; di hadapannya ataupun tidak, tetapi beritanya sampai kepadanya, seperti makanan biawak yang dihidangkan kepadanya.

Dan, persetujuannya dalam satu riwayat, Rasulullah SAW mengutus orang dalam satu peperangan. Orang itu membaca suatu bacaan dalam solat yang diakhiri dengan qul huwallahu ahad. Setelah pulang, mereka menyampaikan hal itu kepada Rasulullah  SAW  lalu Rasulullah SAW  berkata, “Tanyakan kepadanya mengapa ia berbuat demikian?”

Mereka pun menanyakan, dan orang itu menjawab, “Kalimat itu adalah sifat Allah dan aku senang membacanya.” Maka Rasulullah SAW  menjawab, “Katakan kepadanya bahawa Allah pun menyenangi dia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Yang berupa sifat adalah riwayat seperti bahawa Rasulullah SAW selalu bermuka cerah, berperangai halus dan lembut, tidak keras dan tidak pula kasar, tidak suka berteriak keras, tidak pula berbicara kotor, dan tidak juga suka mencela.

Perbezaan Al-Quran dengan Hadis Qudsi :

Ada beberapa perbezaan antara al-Quran  dengan hadis qudsi, dan yang terpenting adalah sebagai berikut.

1. Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang diwahyukan kepada Rasulullah  SAW dengan lafaz-Nya, dan dengan itu pula orang Arab ditentang, tetapi mereka tidak mampu membuat seperti al-Quran itu, atau sepuluh surah yang serupa itu, bahkan satu surah sekalipun. Tentangan itu tetap berlaku, kerana al-Quran adalah mukjizat yang abadi hingga hari kiamat. Adapun hadis qudsi tidak untuk menentang dan tidak pula untuk mukjizat.

2. Al-Quran hanya dinisbahkan kepada Allah, sehingga dikatakan Allah SWT berfirman. Adapun hadis qudsi, seperti telah dijelaskan di atas, terkadang diriwayatkan dengan disandarkan kepada Allah, sehingga nisbah hadis qudsi itu kepada Allah adalah nisbah dibuatkan. Maka dikatakan, Allah SWT telah berfirman atau Allah SWT berfirman. Dan, terkadang pula diriwayatkan dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW tetapi nisbahnya adalah nisbah kabar, kerana Nabi menyampaikan hadis itu dari Allah. SWT Maka, dikatakan Rasulullah SAW  mengatakan apa yang diriwayatkan dari Tuhannya.

3. Seluruh isi al-Quran dinukil secara mutawatir, sehingga kepastiannya mutlak. Adapun hadis-hadis qudsi kebanyakan adalah khabar ahad, sehingga kepastiannya masih merupakan dugaan. Adakalanya hadis itu sahih, hasan, dan kadang-kadang dhaif.

4. Al-Quran dari Allah, baik lafaz mahupun maknanya. Hadis qudsi maknanya dari Allah dan lafaznya dari Rasulullah SAW.  Hadis qudsi ialah wahyu dalam makna, tetapi bukan dalam lafaz. Oleh sebab itu, menurut sebahagian besar ahli hadis, diperbolehkan meriwayatkan hadis qudsi dengan maknanya saja.

5. Membaca al-Quran merupakan ibadah, kerana itu ia dibaca dalam solat.  Firman Allah SWT maksudnya : “Maka, bacalah apa yang mudah bagimu dalam al-Quran itu.” (Surah al-Muzamil ayat 20).

Nilai ibadah membaca al-Quran juga terdapat dalam hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa membaca satu huruf dari al-Quran, dia akan memperoleh satu kebaikan. Dan, kebaikan itu akan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf. Tetapi alif satu huruf, laam satu huruf, dan miim satu huruf.”
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Mas’ud).

Adapun hadis qudsi tidak disuruh membacanya dalam solat. Allah memberikan pahala membaca hadis qudsi secara umum saja. Maka, membaca hadis qudsi tidak akan memperoleh pahala seperti yang disebutkan dalam hadis mengenai membaca al-Quran bahawa pada setiap huruf mendapatkan sepuluh kebaikan.

Perbezaan antara Hadis Nabawi dan Hadis Qudsi :

Hadis nabawi itu ada dua iaitu tauqifi dan taufiqi.

Pertama Tauqifi :
Yang bersifat tauqifi iaitu yang kandungannya diterima oleh Rasulullah SAW dari wahyu. Lalu, ia menjelaskan kepada manusia dengan kata-katanya sendiri. Bahagian ini meskipun kandungannya dinisbahkan kepada Allah, tetapi dari segi pembicaraan lebih layak dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, sebab kata-kata itu dinisbahkan kepada yang mengatakannya meskipun di dalamnya terdapat makna yang diterima dari pihak lain.

Kedua Taufiqi.
Yang bersifat taufiqi iaitu yang disimpulkan oleh Rasulullah SAW menurut pemahamannya terhadap al-Quran, kerana ia mempunyai tugas menjelaskan al-Quran atau menyimpulkannya dengan pertimbangan dan ijtihad. Bahagian kesimpulan yang bersifat ijitihad ini diperkuat oleh wahyu jika ia benar. Dan, bila terdapat kesalahan di dalamnya, turunlah wahyu yang membetulkannya. Bahagian ini bukanlah kalam Allah secara pasti.

Dari sini, jelaslah bahawa hadis nabawi dengan kedua bahagiannya yang tauqifi atau yang taufiqi dengan ijtihad yang diakui dari wahyu itu bersumber dari wahyu. Inilah makna dari firman Allah tentang Rasul-Nya yang bermaksud : “Dia (Muhammad) tidak berbicara menurut hawa nafsunya. Apa yang diucapkannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diturunkan kepadanya.” (Surah an-Najm ayat  3–4).

Jenis-jenis hadis nabawi secara ringkasnya terbagi 5 jenis iaitu :

1. Hadis Mutawatir

2. Hadis Sahih

3. Hadis Hassan Sahih

4. Hadis Dhaif

5. Hadis Palsu.

1. Hadis Mutawatir :

Hadis Mutawatir ialah nas hadis yang diketahui/diriwayatkan oleh beberapa bilangan orang yang sampai menyampai perkhabaran (Al-Hadis) itu, dan telah pasti dan yakin bahawa mereka yang sampai menyampai tersebut tidak bermuafakat berdusta tentangnya. Ini kerana mustahil terdapat sekumpulan periwayat dengan jumlah yang besar melakukan dusta.

Hadis Mutawatir, iaitu hadis yang memiliki banyak sanad dan mustahil perawinya berdusta atas Nabi Muhammad SAW, sebab hadis itu diriwayatkan oleh banyak orang dan disampaikan kepada banyak orang. Contohnya, "Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka tempatnya dalam neraka. " (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ad Darimi, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmizi,. Abu Ha'nifah, Tabrani, dan Hakim).

Menurut para ulama hadis, hadis tersebut di atas diriwayatkan oleh lebih dari seratus orang sahabat Nabi dengan seratus sanad yang berlainan. Oleh sebab itu jumlah hadis Mutawatir tidak banyak. Keseluruhan daripada ayat-ayat al-Quran adalah mutawatir, manakala terdapat sebahagian hadis sahaja yang mutawatir. Hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat mutawatir dikenali sebagai Hadis Ahad.

Hadis Mutawatir terbagi dua:

1. Mutawatir Lafzi, yakni perkataan Nabi,
2. Mutawatir Amali, yakni perbuatan Nabi.

 2. Hadis Sahih :

Hadis shahih adalah hadis yang sanad-nya bersambung sampai kepada Nabi SAW  seluruh periwayatnya adil dan dhabit, terhindar dari syadz (kejanggalan) dan ‘illat (penyakit). Ini adalah istilah paling tinggi dalam pernyataan kesahihan sesuatu hadis.

3. Hadis Hassan Sahih :

Hadis ini adalah hadis yang dinukilkan oleh orang yang adil yang kurang kuat ingatannya, yang muttasil (yang bersambung-sambung sanadnya) yang musnad jalan datangnya (sampai kepada Nabi SAW) yang tidak cacat dan tiada mempunyai keganjilan.

4. Hadis Dhaif :

Hadis dhaif adalah hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat hadis sahih sebagaimana diterangkan melalui kajian para ulama hadis. Ini menjadikan hadis dhaif adalah hadis yang tidak dapat dipastikan adakah ia benar-benar bersumber daripada Rasulullah SAW. Para ulama hadis menegaskan bahawa hadis dhaif tidak digunakan dalam soal hukum-hakam dan aqidah.

5. Hadis Palsu :

Hadis palsu pula ialah hadis yang sememangnya rekaan dan disalah anggap sebagai hadis daripada Rasulullah SAW.

Hadis qudsi pula adalah  maknanya dari Allah, ia disampaikan kepada Rasulullah SAW melalui salah satu cara penuturan wahyu, sedang lafaznya dari Rasulullah SAW. Inilah pendapat yang kuat. Dinisbahkannya hadis qudsi kepada Allah SWT  adalah nisbah mengenai isinya, bukan nisbah mengenai lafaznya. Sebab, seandainya hadis qudsi itu lafaznya juga dari Allah, tidak ada lagi perbezaan antara hadis qudsi dan al-Quran, dan tentu pula gaya bahasanya menuntut untuk ditentang, serta membacanya pun akan dianggap ibadah.

Sahabat yang dimuliakan,
Semoga dengan penjelaskan di atas secara ringkas jelaslah kepada kita apakah yang perbezaan di antara al-Quran, hadis qudsi dan hadis nabawi . Di harapkan kita sama-sama dapat memahami dan melaksanakan sumber utama rujukan dalam Islam iaitu al-Quran, hadis qudsi dan hadis nabawi dalam kehidupan kita.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)