Saturday, May 14, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Amalkan Syukur, Taubat, Istikharah dan Musywarah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Imam Al-Ghazali berkata:
"Kata setengah hukama : "Barangsiapa diberi Allah Taala akan dia akan empat perkara nescaya tiada ditegahkan daripada empat perkara:

Pertama : Barangsiapa diberi akan syukur nescaya tiada ditegahkan akan tambahan nikmatnya.

Kedua : Barangsiapa diberi akan taubat nescaya tiada ditegahkan kabulnya.

Ketiga : Barangsiapa diberi akan istikharah nescaya tiada ditegahkan akan kebajikan.

Keempat : Barangsiapa diberi akan musywarah nescaya tiada ditegahkan akan kebenarannya."

Hurainanya :

Pertama : Barangsiapa diberi akan syukur nescaya tiada ditegahkan akan tambahan nikmatnya.

 Sekiranya kita sentiasa bersyukur kepada Allah SWT maka Dia akan memberi tambahan nikmat di jalan yang tidak disangka-sangka.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Kedua : Barangsiapa diberi akan taubat nescaya tiada ditegahkan kabulnya.
Sekiranya seorang mukmin itu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang sebenar-benarnya nescaya doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Allah SWT cukup cinta dan kasih kepada para hamba-hamba-Nya yang bertaubat hingga menitiskan air mata penyesalan.

Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."
Ketiga : Barangsiapa diberi akan istikharah nescaya tiada ditegahkan akan kebajikan.

Sekiranya kita melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk daripada Allah SWT supaya diilhamkan kebaikan dan kebenaran nescaya kita akan mendapat kebajikan di sisi Allah SWT. Pemilihan kita akan bertepatan dengan kehendak Allah SWT bukannya berdasarkan nafsu dan akal fikiran kita semata-mata.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa..."

Dari sebuah hadis yang maksudnya : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada Tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda atau perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” 
(Hadis Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi)
Keempat : Barangsiapa diberi akan musywarah nescaya tiada ditegahkan akan kebenarannya."

Sekiranya kita sentiasa bermusywarah (bermasyuarat) di dalam semua urusan yang penting nescaya Allah SWT akan berikan pertolongan-Nya  dan ditunjuki jalan kebenaran.

Al-Hasan Al-Bashri mengatakan : "Tidaklah sebuah kaum bermusyawarah di antara 
mereka kecuali Allah akan tunjuki mereka kepada yang paling utama dari yang 
mereka ketahui saat itu." (Ibnu Hajar mengatakan: "Diriwayatkan oleh Al-Bukhari 
dalam Al-Adabul Mufrad dan Ibnu Abi Hatim dengan sanad yang kuat." Lihat Fathul 
Bari, 13/340)
  
Allah perintahkan Nabi SAW untuk bermusyawarah dengan sahabat-sahabat baginda 
padahal baginda sudah cukup dengan bimbingan dari Allah. 
Hal ini dalam rangka memberi contoh 
kepada umatnya sehingga mereka mengikuti baginda ketika dilanda suatu masalah, 
dan ketika mereka bersepakat dalam sebuah perkara, maka Allah akan memberikan 
taufiq-Nya kepada mereka kepada yang paling benar. (Tafsir Ath-Thabari, 
4/152-153 dengan diringkas)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama melaksanakan amalan yang disukai oleh Allah SWT dan amalan ini sentiasa dihayati oleh Nabi SAW iaitu bersyukur, bertaubat, beristikharah dan bermasywarah semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi pula adalah ditambah nikmat dan rezeki , dikabulkan doa, sentiasa diberikan kebajikan dan sentiasa memperolehi jalan kebenaran.


Orang Mukmin Sentiasa Mengingati Kematian Kerana Jalan Untuk Membersihkan Hati.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Menjelang kematian setiap anak Adam, dia pasti mengalami apa yang disebut sakratul maut. Di istilahkan sebagai sakrah kerana pada saat itu, empunya diri berada di sempadan antara hidup dan mati. Dia berada dalam keadaan mabuk kepayang. Antara sedar dan tidak. Dia berasa sakit yang amat sangat pada seluruh anggota tubuhnya serta rasa dahaga yang tidak terkira.

Kata alim ulama, mereka yang sedang nazak dan akan mati, pandangan matanya kelam, dan seluruh ingatan serta memorinya akan memutarkan kejadian demi kejadian yang berlangsung sepanjang hayatnya. Ibarat 'DVD' yang sudah melalui proses 'rewind'.

Di saat itu, Malaikat Maut yang biasa kita dengar namanya sebagai Izrail berdiri di hadapan peminjam nyawa yang bakal dipanggil pulang itu. Izrail bersikap bengis dan kasar pada setiap penderhaka atau mereka yang semasa hidupnya tak fikir nak buat amalan baik dan menurut perintah Allah. Izrail akan berlembut dan ramah terhadap mereka yang soleh, dan mereka yang melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.

Tatkala si penderhaka melihat bahawa lembaran hidupnya lebih banyak maksiat dan kejahatan dia pun berteriak-teriak melolong-lolong. Tetapi teriakan dan rintihannya itu tidak dapat didengar oleh orang lain. biarpun ramai sanak saudara dan rakan taulan berada dikelilingnya. Hanya dirinya sahaja yang tahu. Al-Quran ada mengambarkan keadaan ini. Firman Allah SWT maksudnya : "Tidak! Apabila (nyawa)  telah sampai ke kerongkong dan  dikatakan (kepadanya) , 'Siapa yang dapat menyembuhkan?'. Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia), dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan), kepada Tuhanmulah pada waktu itu kamu dihalau." (Surah al-Qiyamah ayat 26-30).

Pada saat itu tidak ada siapa yang dapat menolong samaada ayah, emak, anak, adik beradik, guru, sahabat atau siapa sahaja yang bertaraf makhluk.

Inilah saat yang sangat mengejutkan dan mengerikan ibarat melihat panahan petir sewaktu hari sedang panas terik. Saat itu simati akan teringat terhadap ancaman Allah yang berupa Neraka Jahannam, yang mungkin pernah didengar atau dibaca sebelum saat nazaknya. Firman Allah SWT maksudnya : "Dan pada hari itu, diperlihatkan Neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah kalian akan tetapi tidak berguna lagi mengingati itu baginya. Dan dia berkata , 'Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyeksa seperti seksaan-Nya dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya" (Surah al-Fajr ayat 23-26)

Sahabat yang dimuliakan,
Kematian merupakan saat berakhirnya riwayat kehidupan kalian maknanya terputuslah perhubungan kalian dengan apa sahaja yang nyata di alam ini. Kalian akan tinggalkan keluarga, anak-anak, harta, saham, pangkat, perniagaan dan kemasyhuran (glamor). Maka buku catitan mengenai segala amal perbuatan kalian tertutup sudah, dan menanti masa untuk diperiksa samaada menerima ganjaran atau hukuman. Allah telah merakam dan menghitung semuanya dengan sangat teliti sehingga tidak ada satu perkara pun yang ketinggalan, hatta amal sebesar atom sekalipun.

Bagi orang-orang yang ingkar dengan ajaran Allah, baik mereka yang mengaku Islam atau mereka yang tidak memeluk Islam, kematian menjadi saat yang sangat mengejutkan. Gundah gulana apabila mereka sekali teringat akan mati, seperti orang hilang peduman.Berbeza pula pada diri orang-orang mukmin, dia tidak takut dan kelam kabut dengan kematian. Malah dia menerima kematian itu suatu proses yang tabie (natural) dan mesti dilalui.

Apabila kalian mengisi masa dan waktu dengan iman dan amal soleh dan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dengan penuh ikhlas dan menjauhi maksiat dan permusuhan, hati dan jiwa kalian akan merasa lebih tenang untuk menghadapi saat kematian. Sunnah Nabi SAW  yang paling besar adalah sunnah berdakwah dan mendirikan jamaah atau negara berasaskan syariat agama. Sunnah berdakwa bermakna menjadikan diri mentaati suruhan Allah dan turut mengajak orang lain mentaati Allah.

Sekiranya sepanjang hidup kalian sentiasa bertaubat dan sentiasa berhati-hati menjaga suruhan agama, serta melaksanakan sunnah berdakwah, sebagaimana janji al-Quran (janji Allah) merekalah akan mendapat saat kematian yang baik (husnul khatimah). Saat kematian merupakan panggilan kehormatan bagi orang-orang beriman seumpama ini. Allah SWT menyambutnya dengan berfirman yang bermaksud : "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (Surah al-Fajr ayat 27-30)

Sahabat yang dikasihi,
Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati, lalu dia mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat itu. Jadi apabila tiba masanya dia tidaklah kelam kabut atau menyesal berpanjangan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali."
(Surah al-Anbiyak ayat 35)

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: 'Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa'."

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Tidakkah dia terfikir bagaimana kesudahannya nanti apabila saat dia akan bertemu Allah?.

Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri sendiri dan membuat persiapan di atas kematian yang akan datang bila-bila masa. Dengan kita sentiasa mengingati kematian akan membuatkan hati kita sentiasa bersih daripada mabuk dunia yang sementara ini. Di samping perbanyakkan amal soleh, kita perlu juga persiapkan tiga bekalan yang akan ditinggalkan nanti yang akan memberi saham ketika  di alam barzakh.
Sebagiana Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila mati seorang anak Adam, putuslah amalnya melainkan tiga perkara, iaitu : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anaknya yang soleh yang mendoakan dia." (Hadis Riwayat Musilm)

Wednesday, May 11, 2011

Siapakah Musuh Utama Kalian di Dunia ini ?

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kalian sentiasa dikelilingi musuh-musuh yang tidak kelihatan, mereka tidak pernah leka atau alpa untuk memantau perjalanan hidup kalian.Tunggu apabila sedetik kalian leka atau lupa maka jaruam beracun akan dicucuk dihati kalian, hingga hati kalian menjadi kebas dan keras dan tidak berupaya untuk mengingati Allah, tidak merasai takut akan azab Allah SWT. dan tidak takut untuk membuat maksiat. Hati yang sakit ini akan bertambah sakit dan ditambah dengan kuman-kuman yang datang kemudian yang dibawa oleh musuh-musuh kalian itu.

Ingatlah! Iblis dan syaitanlah musuh kalian  yang utama, bala tenteranya ramai datang silih berganti, mereka ada shif bertukar-tukar staf waktu siang dan malam. Kalaulah ditakdirkan kalian boleh melihat wajah mereka dan boleh hitung bilangan mereka, kalian akan terkejut melihat wajah mereka yang hodoh dan bilangan mereka memenuhi kamar tidur, ada yang tergantung  disiling, dibumbung, ditandas, didapur dan dihalaman rumah.

Sahabat yang dimuliakan,
Jangan kalian bimbangi tipu daya  mereka. Mereka telah mendedahkan pekerjaan jahat mereka kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. Kalian telah kenal rahsia mereka, tektik dan teknik mereka menjalankan perang saraf, godaan dan hasutan ! Dari itu jangan terpedaya dengan pujukan dan tipu helah mereka ini.

Walaupun mereka berpengalaman beribu tahun, memahami saikologi manusia tetapi mereka juga ada kelemahan dan kebodohan. Mereka kalah pada hati-hati yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka akan lemah berhadapan dengan hati yang luhur dan ikhlas pada Allah SWT. Mereka akan kepanasan apabila lidah sentiasa berzikir kepada Allah SWT., sentiasa membaca al-Quran dan sentiasa istighfar kepada Allah SWT.

Ingatlah! Dihati kalian itu ada kamar, akan diisi dengan salah satu daripadanya samaada fujur atau takwa, apabila kamar di hati kalian  itu diisi dengan zikir dan mengingati Allah, ia akan terisi dengan sifat takwa, maka malaikatlah yang akan menetap dikamar itu dan larilah syaitan kerana kepanasan, tetapi bila kalian leka dan tidak berzikir, sentiasa buat dosa, maka akan terbinalah fujur dan syaitan akan meletakkan belalainya. Oleh itu janganlah kalian leka untuk berzikir dan mengingati Allah, kerana hati yang sentiasa mengingati Allah akan membuatkan hati menjadi bersih dan sejahtera, dan segala racun-racun yang dicucuk oleh syaitan itu boleh menjadi penawarnya.

Sahabat!
Sentiasalah untuk memohon ampun kepada Allah SWT, memohon agar Allah membebaskan diri kalian daripada seksaan api neraka, memohon semoga doa dan hajat-hajat kalian diperkenaankan Allah SWT, memohon agar  kalian tetap istiqamah dengan Islam, dengan ibadah, dengan zikirullah, dengan amal soleh, dengan dakwah, dengan jihad dan mohon semoga Allah melindungi kalian daripada dorongan nafsu amarah dan godaan syaitan laknatullah.

Ingat sahabat!
Musuh-musuh kalian tak pernah leka dan alpa dengan perancangan jahat mereka .Mereka akan bermasyuarat dan menyusun perancangan rapi bagaimana hendak memesungkan dan memalingkan hati anak Adam dari mengingati Allah dan dari melaksanakan amal soleh.

Oleh itu ada tujuh cara dan  strategi yang perlu kalian lakukan  untuk tetap kekal menjadi mukmin beriman dan bertakwa . Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut :

1.Betulkan niat: Masuklah kalian dalam Islam keseluruhannya dalam akidah, ibadah dan amal perbuatan. Pastikan buat semua yang wajib dan fardu dan tinggal semua yang haram, syubhah, makruh dan maksiat. Isikan dihati kalian dengan sifat-sifat mahmudah iaitu sifat warak, zuhud, baik sangka, sabar, tawaduk, izzah,tawakkal, lemah lembut, rendah diri dan salim pada masa yang sama buangkan sifat-sifat mazmumah iaitu sifat sombong, bongkak, takbur, ujub, iri hati dan hasad dengki.

2.Pertingkatkan keimanan dan kefahaman Islam: Dengan mengikuti majlis-majlis  ilmu di masjid atau di surau, usrah dan halaqah, kursus motivasi, rehlah dan muqayam. Jadikan media dalam internet yang mengandungi pengajaran dan ilmu Islam sebagai teman setia kalian.

3.Pastikan solah fardu lima waktu: Di laksanakan dimasjid secara berjemaah dan akifkan diri kalian mengikuti program-program yang dianjurkan pihak masjid , NGO Islam, Jemaah Islam  dan badan amal.

4.Pilih sahabat-sahabat yang baik dan soleh : Sahabat yang boleh menasihatkan kalian bila kalian lupa dan tersilap. Nasihat menasihat ini amat berguna untuk kalian terhindar dari melakukan kesalahan dan dosa.

5. Dekatilah alim ulama, ustaz atau ustazah dan guru-guru motivasi : Jadikan mereka sebagai murabbi (pendidik) yang sentiasa menjadi penasihat. Biah yang soleh (suasana yang baik)  ini amat penting untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

6.Teruskan amalan sunat : Kerjakan amalan-amalan sunat umpama solat tahajjud, solat witir, solat duha, bacaan Al-Quran dan zikrullah .

7.Sentiasa menyedari kehadiran Iblis dan syaitan :Iblis dan syaitan yang menggoda dan mendatangkan was-was dalam hati kalian. Apa sahaja rasa hati yang tak baik, tindakan gopoh-gapah dan menangguhkan urusan kebajikan, tidak menyegerakan taubat, solah, sedekah, bayar hutang, bermalas-malas adalah datangnya dari hasutan iblis dan syaitan. Jika sudah mengenali mereka ayuh jangan tunggu-tunggu lagi, terus kalian bekerja dan melaksanakan amal soleh tanpa berlengah-lengah lagi semoga kalian mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT.

Hadis-hadis Tanda Awal Kiamat Untuk Peringatan

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berikut ini dikumpulkan sebahagian daripada hadis-hadis Nabi SAW tanda-tanda awal kiamat serta peristiwa-peristiwa yang  akan berlaku di akhir zaman. Lihatlah betapa semua ramalan oleh Nabi Muhammad SAW  sudah pun berlaku terutamanya ramalan tentang peristiwa akhir zaman dan tanda-tanda kecil kiamat.  Yang ditunggu-tunggu sekarang hanya lah tanda-tanda besar kiamat sahaja.

Sebelum itu sebagai peringatan bersama, jangan jadikan panduan ini untuk melihat keburukan pada orang lain sahaja,  itu adalah berburuk sangka kepada orang. Tetapi jadikan lah panduan ini untuk muhasabah diri, dengan melihat ke dalam diri kita sendiri . Ini kerana biasanya manusia hanya pandai dan nampak kesalahan dan keburukan orang lain, sedangkan keburukan diri sendiri hanya dipandang sebelah mata saja, na’uzubillah.

Adakah kita sudah betul-betul melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan mengelakkan dari apa yang dilarang-Nya?  Dan apakah kita sudah tidak termasuk dalam senarai mereka-mereka yang disebut dalam hadis-hadis  berikut ini? 

Semoga kita menjadi orang yang betul-betul beriman dan sentiasa bertaubat kepadaNya sebelum pintu taubat ditutup. Semoga menjadi pengiktibaran bersama, insya Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah SWT maksudnya : “Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: 'Bilakah terjadinya?” Katakanlah: 'Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba'. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: 'Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'.”  (Surah Al A’raaf  ayat 187)


Tanda-tanda awal kiamat (alamat kecil) :

1. Seorang Ammah Melahirkan Majikannya dan Pengembala Kambing Berlumba-lumba Mendirikan Bangunan Tinggi.

Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata; suatu ketika Rasulullah SAW. nampak di tengah-tengah orang ramai. Lalu baginda didatangi oleh seseorang yang menanyakan kepadanya: “Wahai Rasulullah SAW bilakah terjadinya kiamat?” Nabi SAW menjawab dengan bersabda: “Tidaklah orang yang ditanya mengenai masalah itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Akan tetapi aku akan memberitahukan kepadamu tentang tanda-tandanya. Iaitu, jika seorang ammah (hamba perempuan) melahirkan majikannya, itulah yang termasuk di antara tanda-tandanya. Juga apabila orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian menjadi pemimpin masyarakat, maka itu juga di antara tanda-tandanya. Demikian pula apabila para pengembala kambing (domba) berlumba-lumba meninggikan bangunan, maka itulah salah satu tandanya di antara tanda-tanda yang lima, yang mana tidak mengetahui yang sesungguhnya selain Allah SWT.” Kemudian baginda membacakan ayat berikut ini: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, serta mengetahui apa yang ada di dalam rahim” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

2. Perhiasan Rumah Sama Dengan Perhiasan Pakaian.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hari kiamat tidak akan tiba, sehingga manusia membangun rumah dan melukisnya sebagai lukisan pakaian." (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Kebanggaan Masyarakat Dengan Membina Masjid.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Tidak akan tiba hari kiamat, sehingga manusia bermegah-megah dan berlebih-lebihan dalam urusan masjid". (Hadis Riwayat Abu Dawud)

4. Masjid Menjadi Tempat Urusan Dunia Sahaja.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Akan datang kepada manusia suatu masa, percakapan mereka dalam masjid hanyalah mengenai urusan dunia semata. Allah tidak memerlukan mereka. Dan janganlah kamu duduk bersama mereka (pada waktu dalam masjid."(Hadis Riwayat Hakim).

5. Ahli Ibadah Yang Bodoh Dan Qari (ulama) Yang Fasik.

Daripada Anas r.a. ia berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Kelak, di akhir zaman, akan ada ahli ibadah yang bodoh dan para qari yang fasik"
(Hadis Riwayat Ibnu ‘Adi).

6. Golongan yang menjadikan lidahnya sebagai alat untuk mencari makan.

Daripada Sa’ad bin Abi Waqash r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan terjadi kiamat, sebelum muncul suatu golongan yang mencari makan melalui lidah-lidah mereka, seperti sapi yang makan dengan lidah-lidahnya."
(Hadis Riwayat Ahmad).

7. Melimpahnya Harta Benda Dan Luasnya Perniagaan Serta Banyak Media Massa.

Dari Umar bin Tsa’lab r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya hari kiamat, adalah tersebarnya (melimpahnya) harta benda dan luasnya perniagaan. Dan pena-pena akan bermunculan yang menunjukkan banyaknya bacaan dan tulisan. (Hadis Riwayat An-Nasae’i).

8. Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama.

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : “Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Al-Quran Sebagai Alat Propaganda.

Ali bin Thalib k.wj. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Kelak akan muncul di antara umatku suatu kaum yang membaca al-Quran bukan seperti lazimnya kamu membaca, dan sembahyangmu jauh berbeza dengan cara mereka bersembahyang. Mereka membaca al-Quran dengan mengira bahawa al-Quran itu sebagai alat propaganda mereka, padahal al-Quran itu berisi peringatan yang harus mereka junjung. Bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkongnya (tidak sampai meresap ke dalam hati). Mereka itu sebenarnya keluar dari Islam, bagaikan anak panah yang lepas dari busurnya."(Hadis Riwayat Muslim)

10. Menunjuk-Nunjuk Ketika Berdoa.

Dari Saad r.a. bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Kelak akan terdapat kaum yang berlebih-lebih (menunjuk-nunjuk) dalam berdoa." (Hadis Riwayat Ahmad).

11. Merasa Rendah Dalam Ibadah.

Dari Abu Sa’id Al-Kudri r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Akan muncul di antara kamu suatu kaum, kamu merasa rendah dalam melakukan solat dibanding dengan mereka, amal perbuatanmu jika dibandingkan dengan perbuatan mereka dan puasa-mu jika dibanding dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak sampai melalui tenggoroknya. Mereka sebenarnya keluar dari agama bagaikan anak panah yang terlepas dari busurnya, jika di hujung panah dilihat, tidak ada bekas apa-apanya juga di kayunya tidak ada apa-apanya juga di bulunya tidak terdapat apa-apa, tetapi berlumba-lumba dalam senarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

12. Imam Yang Melambatkan Waktu Solat.

Dari Ibnu Ame r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya nanti selepas peninggalanku akan terjadi; para imam mengakhirkan solat dari waktunya. Oleh kerana itu hendaklah kamu mengerjakan solat tepat pada waktunya. Jika kamu datang bersama mereka untuk mengerjakan solat, maka bersolatlah kamu."
(Hadis Riwayat Thabrani).

13. Al-Quran Hanya Tinggal Tulisannya Sahaja.

Dari Ali k.wj.  bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Hampir datang suatu zaman, di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan dari al-Quran hanya tinggal huruf dan tulisannya sahaja. Masjid-masjid indah dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah yang paling jahat di antaranya yang ada di bawah langit. Dari mereka (ulama) itu akan muncul berbagai-bagai fitnah dan fitnah itu akan kembali ke lingkungan mereka sendiri (umat Islam)" (Hadis Riwayat Baihaqi).

14. Kaum Yang Meminum Ayat-Ayat Al-Quran.

Dari Uqbah bin Amir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Kelak akan muncul suatu kaum dari umatku. Mereka meminum al-Quran seperti meminum susu."
(Hadis Riwayat Thabran.).

15. Ulat-ulat Qurra’.

Dari Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Kelak pada akhir zaman akan ada ulat-ulat qurra’ (ahli baca Al-Quran). Barangsiapa yang berada pada masa itu, hendaklah ia berlindung kepada Allah dari mereka;- (Riwayat Abu Nu’aim).

16. Serbuan Musuh Islam Terhadap Kaum Muslimin.

Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”

Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud )

17. Orang Mukmin Lebih Hina Daripada Haiwan.

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Akan datang atas manusia suatu masa, di mana keadaan orang mukmin pada masa itu lebih hina daripada domba” (Hadis Riwayat Ibnu Asakir).

18. Ulama Yang Merugikan Umat Dan Agama.

Abdullah bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya akan terdapat (akan ada) orang-orang dari umatku yang pandai (amat faham dan ahli) tentang urusan agama dan membaca al-Quran, mereka berkata:“Kami datang kepada para Raja (pemimpin), biar kami memperolehi keduniaan mereka dan kami tidak akan mencampurkan mereka dengan agama kami.” Tidak terjadi hal yang demikian itu, seperti (umpamanya) tidak akan dapat dipungut dari pohon yang berduri melainkan duri. Demikian pula, tidak akan dapat diambil manfaat dari mendekatkan diri kepada mereka itu melainkan beberapa kesalahan belaka. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

19. Menggadaikan Agama Kerana Dunia.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

20. Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang.
 
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Bahawasanya Allah SWT. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim) 
21. Penduduk Mekkah Akan Meninggalkan Kota Mekkah.

Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : ” Kelak penduduk Mekkah akan keluar meninggalkan Mekkah; kemudian yang meninggalkan itu tidak akan kembali lagi kecuali hanya sebahagian kecil sahaja. Kemudian yang sedikit itu menjadikan kota itu penuh bangunan. Kemudian mereka keluar lagi dari kota itu dan tidak kembali selamanya." (Hadis Riwayat Ahmad).

22. Banyak Berbicara Tanpa Berfikir Dahulu.

Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Kelak akan ada orang-orang dari Umatku (Islam) memakan berbagai macam makanan dan memakai berbagai pakaian, banyak berbicara tanpa difikirkan dahulu apa sebetulnya yang dibicarakan itu, maka itulah seburuk-buruk manusia dari sebahagian Umatku (Islam)
(Hadis Riwayat Thabrani dan Abu Nu’aim).


23. Umat Islam Mengikuti Langkah-Langkah Yahudi Dan Nasrani

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”
(Hadis Riwayat Muslim).

24. Terlepasnya Islam Satu Demi Satu

Dari Umamah Al-Bahili dari Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Sungguh akan terlepas pegangan Islam satu demi satu. Setiap terlepas salah satu pegangan, maka orang-orang akan berebutan untuk bergantung kepada yang lain. Adapun yang pertama kali terlepas itu adalah persoalan hukum, sedangkan yang terakhir adalah perkara solat.”(Hadis Riwayat Ahmad).

25. Penyakit Umat-umat Dahulu

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah SAW bersabda maksudnya : “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi”
(Hadis Riwayat Hakim).

26. Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit.

Daripada Huzaifah bin AI-Yaman r.a. katanya, “Rasulullah SAW. pernah memberitahu kami dua 2 buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah SAW. memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, Ialu beliau bersabda maksudnya : "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (menggelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gillingkan dengan kaki mu, kemudian menggelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa”. Ketika Rasulullah SAW. menceritakan hadis ini baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) Ialu menggilingkannya dengan kakinya.”Kemudian berpagi-pagi (jadiIah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” “Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak mempedulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanya lah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanya lah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan / pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

27. Tahun-tahun yang penuh tipu muslihat.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. : Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum.
(Hadis Riwayat Ibn Majah)


28. Dajjal Sang Pendusta

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan terjadi hari kiamat sebelum dimunculkan para dajjal sang pendusta, yang jumlahnya hampir mendekati tiga puluhan, di mana masing-masing mengaku; bahawa dirinya adalah Rasul Allah.”(Hadis Riwayat Muslim).

Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW. bersabda maksudnya  : “Akan keluar dajjal dan khazzab di kalangan umatku. Mereka akan berkata sesuatu yang baru di mana kamu dan bapa-bapa kamu belum pernah mendengarnya. Awasilah mereka dan jagalah diri kamu daripada disesatkan oleh mereka.””(Hadis Riwayat Ahmad, 20/349)

Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, : “Qiamat tidak akan tiba sehingga muncul 30 dajjal, semua mengaku sebagai utusan Allah, harta bertambah, berlaku huru-hara dan al-Harj berleluasa.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah harj?” Baginda bersabda, “ Bunuh-membunuh.””( Hadis Riwayat  Ahmad, 2/457)

28. Golongan Pendusta Di Bidang Hadis.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Kelak akan ada di antara generasi akhir dari umatku orang-orang yang meriwayatkan kepada kamu hadis yang belum pernah – juga bapa-bapa kamu – mendengarnya. Untuk itu, hindarilah mereka.”(Hadis Riwayat Muslim).

29. Orang yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Akan ada di akhir zaman nanti orang-orang yang mengecat rambut mereka dengan warna hitam, seperti tembolok burung merpati, dan mereka tidak akan mencium baunya syurga."
(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati maksud hadis-hadis di atas dan cuba kita lihat dan perhatikan adakah peristiwa-peristiwa yang dinyatakan Nabi SAW telah berlaku dizaman kita sekarang?. Yang pasti sebahagian besarnya sudah berlaku sekarang ini . Oleh itu kita perlu sentiasa persiapkan diri kita dengan amal Islam dan sentiasa mentaati Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Hendaklah kita sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan akhlak yang baik dan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah.

Cinta Allah Kepada Manusia

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (Muhammad), 'Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah Ali-Imran ayat 31)

Segala sesuatu yang nampak di sekeliling kita, di muka bumi dan di seluruh alam semesta adalah bukti kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala. Kebesaran Allah juga nampak dari ciptaanNya yang tak terhitung jumlahnya, bahkan dengan bantuan alat canggih sekalipun. Banyak jenis makhluk di bumi yang sampai saat ini masih belum banyak diketahui oleh para ilmuwan. Maka, sampai hari akhir nanti pun tidak akan ada yang mampu menyamai kekuasaan dan kebesaran Allah Subhana Wata'ala. Kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala boleh kita rasakan juga dari berbagai nikmat yang dapat kita dapatkan. Udara yang kita hirup, umur panjang, kesempatan hidup, dan lebih utama lagi kekuatan Islam dan iman yang tetap tertanam dalam dada, adalah sedikit dari sekian banyak nikmat tersebut.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan." (Surah an-Nahl ayat 53)

Allah Subhanahu Wata'ala senantisa memberikan rezeki-Nya di bumi dengan tiada henti. Dia memberi nikmat kepada siapa saja yang dikehendakiNya, baik kepada orang yang mengabdi kepadaNya maupun yang ingkar dariNya. Segala nikmat itu adalah bentuk cinta, kasih dan sayang Allah kepada manusia. Betapa besarnya bentuk cinta Allah Subhanahu Wata'ala kepada manusia, segala apa yang diciptakanNya di dunia ini semuanya memberikan manfaat tanpa ada yang sia-sia. Kecintaan Allah Subhanahu Wata'ala semuanya demi kepentingan kehidupan, tanpa mengharapkan balasan sedikitpun dari manusia. Begitulah cinta Allah Subhanahu Wata'ala kepada sekelian makhluk kerana meskipun tanpa cinta atau balasan dari manusia, bahkan ibadah manusia, Allah Subhanahu Wata'ala tetap Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Agung, dan Maha Penguasa.

Hal mendasar yang patut kita sedari bahawa apa yang diinginkan Allah Subhanahu Wata'ala untuk manusia jalankan semuanya merupakan hal-hal positif yang memberikan manfaat bagi manusia. Begitupula segala larangan yang Dia perintahkan untuk dijauhi, adalah hal-hal yang mendatangkan keburukan dan ketidakseimbangan.

Salah satu bentuk kecintaan Allah Subhanahu Wata'ala kepada manusia yang amat besar, adalah diutusnya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wassallam sebagai teladan manusia, yang menuntun semua manusia menuju jalan yang lurus. Ia datang dengan membawa cahaya kurang lebih 15 abad yang lalu. Ia diutus untuk menyampaikan risalah suci, mengeluarkan manusia dari lembah kehinaan menuju kemuliaan hidup di dunia dan akhirat melalui ilmu dan akhlak.

Maka semenjak diutus, beliau secara seksama penuh kesabaran yang tiada tara telah menggembleng manusia dengan perbaikan-perbaikan moral. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman:


Firman Allah SWT maksudnya ; "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman." (Surah at-Taubah ayat 128).

Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassallam, Rasul yang telah diutus dari bani Adam kepada segenap bani Adam untuk mengajarkan apa yang sepantasnya dilakukan oleh bani Adam dalam kehidupan. Baginda adalah model dari manusia sempurna. Tidak mengherankan jika Nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi Wassallam dipilih menjadi Rasul dengan tingginya akhlak dan budi baginda. Dalam menjalankan tugasnya sebagai rasul, yang inginkan tiada lain hanyalah keselamatan umat. Baginda senantiasa berdakwah dengan penuh kasih sayang dan kelembutan rasa. Baginda tentu juga tahu bahawa cinta Allah, baik kepada baginda sendiri maupun seluruh umat manusia, telah mengalir dalam darah baginda. Jadi apapun yang baginda lakukan adalah hikmah dan apapun yang baginda ucapkan adalah wahyu. Semua itu adalah untuk kebaikan manusia.

Perlulah kita mencintai Allah SWT tanpa ragu-ragu, dan sentiasa berbaik sangka dengan-Nya . Maka Allah SWT sendiri akan membalas cinta kita kepada-Nya dengan diberinya kita ketenagan dan kenikmatan hidup tidak ada had dan batasnya. Jika kita mencintai Allah, hidup kita tentu akan lebih bahagia. Kita akan selalu dekat dengan Allah. Ketika kita dekat denganNya, hidup kita tentu akan penuh dengan kemudahan, hikmah dan berkah.

Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wassallam bersabda maksudnya : “Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya dihadapanmu. Kenalilah Allah semasa senang, nescaya Dia akan mengenalimu semasa susah. Bila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, dan bila kamu minta tolong,maka minta tolonglah kepada Allah” (Hadis Riwayat Ahmad).

Hal yang paling lezat di dunia ini adalah cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Hal yang paling baik di syurga adalah melihat wajah Allah Subhanahu Wata'ala. Kitab yang paling bermanfaat adalah Kitabullah (al-Quran). Dan sebaik-baik makhluk adalah Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wassallam.

Jelaslah bentuk cinta Allah Subhanahu wata'ala kepada manusia. Siapa saja yang mensucikan jiwanya dengan takwa, membersihkan pemikirannya dengan iman, dan menghias akhlaknya dengan kebaikan, nescaya dia akan mampu mendapat kecintaan Allah Subhana Wata'ala, sekaligus kecintaan manusia. Usaha yang besar harus kita lakukan untuk boleh menumbuhkan rasa cinta kepada Allah Subhahu Wata'ala, melebihi kecintaan kita kepada lainnya. Hindarilah rasa cinta yang berlebihan dan yang diharamkan sebab itu adalah seksaan bagi ruh dan penyakit buat hati. Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan doa, zikir, dan ketaatan kepadaNya, agar Dia memberi kebahagian yang tiada nilainya. Beribadah juga adalah jalan yang indah untuk mendapat reda dan cinta Allah Subhanahu Wata'ala, kerana ibadah akan menjauhkan jiwa dari hal-hal yang dapat melunturkan rasa cinta kita kepada Allah. Sesungguhnya amal yang baik lagi terus berbuah akan memerdekakan jiwa dari fikiran-fikiran buruk dan ide-ide penuh dosa yang datang secara tiba-tiba, serta kecenderungan yang diharamkan.

Bersabar hati atas ujian dan cubaan yang yang Allah berikan, akan membuktikan  kecintaan kita kepadaNya. Sabda Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wassallam:

“Sungguh ajaib urusan seorang mukmin. Sesungguhnya urusannya adalah kebaikan. Dan itu tidak terjadi pada diri seseorang kecuali seorang mukmin. Jika ia ditimpa kesenangan, dia akan bersyukur. Maka syukur itu kebaikan baginya. Dan jika ditimpah musibah, maka dia bersabar, maka bersabar itu kebaikan baginya” (Hadis Riwayat Muslim).

Kecintaan kepada Allah dapat juga kita wujudkan melalui kecintaan kita kepada sesama manusia, jika kita melandasi cinta kita dengan mengharapkan reda Allah. Mendapatkan cinta Allah merupakan tujuan hidup utama yang harus dicapai. Kita layak memilikinya jika kita mempunyai tujuan hidup mencintai dan dekat dengan Allah dan menjalankan Islam secara  menyeluruh. Pada akhirnya, bertawakallah kepada Allah, serahkan semua urusan kepadaNya, redalah dengan ketentuanNya, berlindunglah kepadaNya, bergantunglah kepadaNya dan cintalah kepadaNya selalu, kerana Dia akan memberi kecukupan, dan akan mempermudah dari segala hal di dunia dan kelak di akhirat.

(Di petik daripada tulisan Ryan Hidayatullah Sang Pencari)

Cinta Remaja dan Nafsu

Assalammualaikum kepada sahabat-sahabat yang di rahmati Allah SWT sekalian. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW,kaum keluarga dan para sahabat-sahabat Baginda.

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak muda-mudi zaman sekarang yang asyik khayal terseret dalam pergaulan bebas. ber"couple" seolah menjadi perkara biasa bagi mereka untuk memberi rasa cinta pada kekasih amat mudah. Rasa rindu ingin bertemu selalu menghantui mereka, para remaja yang sedang "mabuk cinta" merasa dunia ini seperti mereka yang punya. Malangnya, ada yang sanggup bercengkerama berdua-duaan berlainan jenis (bukan muhrim). ini lebih digemari mereka daripada  membaca buku-buku motivasi atau melakukan kegiatan positif yang lainnya. Lebih malang lagi, tontonan drama-drama di TV lebih menggalakan keadaan ini.

Tidak dapat dinafikani lagi, di masa sekarang, ada keprihatinan mendalam di balik fenomena itu. Dengan perasaan“mabuk cinta", para remaja itu banyak yang lupa akan batas-batas yang digariskan agama. Melalui perasaan yang disebut "cinta" itu, terjadilah sebuah interaksi intensif dari perasaan saling suka, sering bertemu, dan seterusnya yang berujung pada terjadinya berbagai masalah fisik dalam kesempatan yang sepi berdua. 

Tidak jarang mereka sampai terjerumus ke jurang perzinaan, kerana tak boleh mengendalikan diri. Akhirnya, hubungan yang awalnya istimewa bagi mereka, menjadi penyebab terjadinya dosa besar dan hancurnya masa depan bagi si pelakunya. Sekali lagi, mereka memberi alasan melakukannya dengan “menamakan cinta”.

Begitu naifkah, kata cinta yang harusnya dijaga kesuciannya, menjadi ternoda. Lalu, benarkah itu cinta??? Ataukah hanya nafsu yang menguasai diri??? Jadi, ketika sepasang muda-mudi sedang asyik berduaan, sebenarnya cinta ataukah nafsu mereka yang “berbicara”??? Apakah emosi ataukah akal sihat mereka yang lebih dominan???

Jika ada seorang gadis yang berkata kepada kekasihnya, “Kuserahkan segala milikku untukmu sebagi bukti cintaku padamu…” Dia menganggap itu sebagai sebuah pengorbanan kerana cinta. Tapi begitukah pengorbanan untuk cinta??? Ataukah itu untuk nafsu???

Ada seorang pemuda menanyakan pada kekasihnya, “Bila kau benar cinta padaku, apa buktinya?” Atau dalam maksud lain, “Sebagai bukti cinta, maukah kau kucium, kupeluk… (dan seterusnya).” Atau dalam erti  lain, jika yang minta ini itu adalah si gadis, dan ketika si pemuda menolaknya lantas dibilang pengecut. Apakah harus begitu membuktikan cinta???

Begitu mudahkah menamakan “cinta” untuk suatu perbuatan dosa. Apakah itu benar cinta, atau itukah yang dinamakan nafsu??? , sebagai manusia yang dikurniakan akal budi yang sempurna, kita  pasti tahu perbezaan kedua-duanya, antara nafsu dan cinta. Dan sebagai generasi muda yang terpelajar, sudah semestinya kita tidak mencampuradukkan kedua-dua hal itu untuk menuruti hasrat ( hawa nafsu) kita.

Sekarang adalah era moden yang serba canggih (akhir zaman), bukan era manusia gua ratusan abad yang lalu. Manusia semakin cerdas dan punya peradaban tinggi. Jadi, seharusnya tahu apa itu erti cinta yang sesungguhnya, dan jangan menodai makna cinta dengan menempiaskan hasrat nafsu berahi dengan memberi alasan cinta.

Begitu parahnya pergaulan bebas muda-mudi di zaman ini, yang melakukan  perbuatan maksiat sebagai sebuah kebiasaan yang wajar. Hal itu bukan tanpa bukti. Ada wanita yang mengaku terus dan katanya ingin bertaubat. Ada juga laki-laki yang mengaku dengan perasaan bangga tanpa ada niat memperbaiki diri sedikit pun. Ada juga cerita dari teman yang sering dijadikan curahan teman-temannya. Pendek kata, kita harus mengurut dada mengetahui realiti kelabu ini. Mereka ada di tengah-tengah kita. Inilah yang terjadi di tengah-tengah kita.

Nama cinta bukanlah untuk sesuatu yang nista. Cinta adalah anugerah Yang Kuasa yang harus kita jaga kesuciannya. Jika kita mencintai kekasih kita, maka dengan cinta itulah kita menjaganya, bukan menodainya. Cinta selalunya suci dan mulia bila ia dimiliki oleh seorang “pecinta sejati”. Banyak kisah cinta yang menjadi legenda. Rabiah Al Adawiyah menjadi legenda sufi wanita kerana cintanya pada Sang Pencipta.

Jadi, jangan katakan ‘cinta’ jika kita tidak boleh megerti dengan makna yang sebenarnya. Jangan samakan cinta dengan nafsu hanya kerana kita kurang mengendali diri. Jangan memburukkan makna cinta sebagai sarana tempias nafsu. Dan yang lebih penting lagi, pergaulan bebas tak akan terjadi bila remaja kita boleh memaknai cinta dengan sebenarnya dan memegang teguh ajaran agama dengan istiqomah (konsisten) sampai tiba masanya gerbang pernikahan terbuka.

Pada hakikatnya semua manusia ingin dicintai oleh orang lain. Apalagi dicintai oleh Allah SWT.Kerana cinta Allah SWT begitu tulus dan tiada berbatas. Kadang hanya manusialah yang tak boleh menempatkan cinta Allah sebagai cinta terindah padahal cinta yang sejati hanya milik Allah SWT. Manusia lebih cenderung cinta pada hal yang belum pasti untuk dicintai.

Banyak definisi tentang cinta.antara lain cinta adalah pengorbanan,cinta adalah kesetiaan,cinta adalah kesucian.Definisi cinta banyak ertinya hampir semua penulis, filosof & ulama punya definisi cinta menurut pemikiran mereka.Bahkan seorang Khalil Gibran penyair asal Libanon mengatakan Cinta adalah bunga yang selalu mekar dalam segala musim.Namun ada seorang ulama dan penyair yaitu Imam Ibnu Khoil mengatakan Cinta itu tidak dapat didefinisikan tapi hakikatnya dapat dirasakan.

Akan tetapi kebanyakan cinta lebih cenderung untuk di ungkapkan makna dan ertinya.dalam Islam pun ada cinta,kerana Islam menebar kasih sayang dan kedamaian dalam cinta pada sesama.Hal itu terbukti didalam Al Quran pun juga membicarakan cinta dan cinta pun dapat dirasakan dengan menangkap keindahan cinta dalam Al Quran dan Sunah Rasul. Cinta yang tidak didasari takwa akan tetap di hisab kelak. Kerana cinta tersebut lebih cenderung untuk hal-hal yang menimbulkan maksiat dan syahwat. Syahwat adalah sesuatu yang melanggar dari syariah Islam dan jadikanlah cinta itu sebagai amanah, yang selama cinta diorientasikan untuk ibadah dengan dibingkai taKwa. Maka marilah berlumba-lumba untuk meraih cinta Allah SWT, supaya kita mendapatkan cinta yang mampu membimbing diri untuk lebih dekat kepada-Nya....  
Insya Allah.
 
(Di petik daripada tulisan azita_idris79@yahoo.com
islamyangterindah.blogspot)

Monday, May 9, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Mendidik Anjing Lebih Baik Dari Mendidik Anak

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak terdapat hadis-hadis Nabi SAW menceritakan tanda-tanda awal kiamat.  Hadis yang dinyatakan dibawah adalah tanda-tanda awal kiamat yang jelas telah berlaku di dalam masyarakat kita iaitu"Mendidik anjing lebih baik dari mendidik anak".

Huraiannya :

Mendidik anjing lebih baik dari mendidik anak.

Daripada Abu Dzar r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Apabila zaman (kiamat) semakin hampir, mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anak, tidak ada rasa hormat kepada yang lebih tua, dan tidak ada rasa kasih sayang kepada yang lebih kecil, anak-anak zina semakin ramai, sehingga laki-laki menyantap perempuan di jalanan, mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala.
(Hadis Riwayat Thabrani dan Hakim).

Berdasarkan hadis ini menjelaskan akan sampai satu zaman yang mana mendidik anak-anak menjadi cukup sukar. Walaupun diasuh dan di didik dengan didikan Islam, di ajar membaca al-Quran, diberi pendidikan fardu ain dan diberi kasih sayang tapi jiwa anak-anak sukar untuk menerima dan menghayati iman dan tarbiah Islam seperti mencurahkan air ke daun keladi . Kesukaran ini adalah berpunca daripada terlalu banyak memakan makanan yang haram dan syubahah, terlalu banyak berhibur dan menonton television dengan berbagai program sehinggakan Nur Ilahi dan ilmu Islam sukar diserap masuk ke dalam jiwa-jiwa mereka. Jiwa mereka kotor dengan maksiat hinggakan taufik dan hidayah sukar untuk diterima. Lebih mudah mendidik dan mengajar sesekor anjing untuk dijadikan pengawal rumah, anjing buruan atau mengesan jejak penjenayah.

Adab dan akhlak Islam tidak dapat dihayati oleh anak-anak hinggakan mereka tidak menghormati orang tua termasuk kedua ibu bapa mereka. Maka akan lahirlah ramai anak-anak derhaka dan anak-anak yang suka kepada maksiat dan melakukan dosa.

Di akhir zaman juga melahirkan orang-orang tua yang tidak mengasihi anak-anak kecil .Jiwa mereka telah hilang sifat kasih sayang kepada anak-anak kecil. Maka di dalam masyarakat kita banyak berlaku sumbang mahram iaitu bapa merogol anak, datok merogol cucu dan anak-anak kecil di dera hinggan cedera parah dan ada yang meninggal dunia. Sifat kemanusiaan sebagai orang tua telah hilang yang ada adalah sifat kebinatangan yang hanya mengikut nafsu amarah.

Anak-anak zina semakin ramai, hasil daripada gejala sosial dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa dapat dikawal. Ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berdua-duaan tanpa ada mahram bersama. Anak zina di negara kita telah melebihi 200, 000 orang dan bertambah setiap hari , hinggakan ada sekolah khas untuk para pelajar perempuan yang mengandung anak luar nikah dan  banyak terdapat pusat-pusat pemulihan akhlak.

Nabi SAW menjelaskan juga akan berlaku di akhir zaman nanti bahawa  lelaki menyantap perempuan dijalanan. Maksudnya banyak berlaku kes-kes memperkosa wanita, mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala. Bukan setakat merogol tetapi kaum wanita yang dirogol dibunuh pula dan mayatnya dilemparkan dimerata tempat. Dalam masyarakat kita sekarang ini selain kes rogol kes ragut juga menjadi-jadi hingga mendatangkan kecederaan dan kematian kepada wanita yang diragut.

Sahabat yang dimuliakan,
Kesemua lima ciri-ciri akhir zaman yang dinyatakan di dalam hadis di atas telah pun berlaku di dalam masyarakat kita. Adakah kita hanya membiarkan perkara-perkara tersebut berlaku tanpa kita bertindak untuk mengatasinya?
Sebagai seorang mukmin yang yakin dengan janji Allah SWT setiap kebaikan akan dapat balasan, maka kita perlulah bertindak dan memperbaiki keadaan yang gawat dan sukar ini. Kita perbaiki ahli keluarga kita sendiri, saudara mara , rakan-rakan dan masyarakat kita semuanya. Kerana Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Islam bermula dagang dan akan kembali dagang. Maka berbahagilah sesiapa yang melaksanakannya semasa dagang”
(Hadis riwayat Muslim)
Semoga kita semua menjadi orang mukmin yang hidup akhir zaman yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dan sentiasa dirahmati dan diredai oleh Allah SWT.

Akhlak Yang Baik dan Jiwa Yang Bersih adalah Sifat Orang Mukmin

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari An-Nawwas bin Samaan r.a dari Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya : “Kebaikan adalah akhlak yang baik sedangkan dosa adalah apa yang terlintas di jiwamu tetapi kamu benci atau takut diketahui oleh orang lain”
(Hadits Riwayat Imam Muslim ; hadis no. 2553, Imam Ahmad ; 4/182, At-Turmuzi ; hadis no. 2389, Ad-Darimi ; 2/322, Imam Bukhari dalam kitabnya “Al-Adab Al-Mufrad” ; hal. 295, 302 . Hadis ini ditashhih oleh Ibnu Hibban; Sahih Ibn Hibban, hal. 397.)

Berdasarkan hadis sahih di atas Nabi SAW menjelaskan bahawa segala kebaikan adalah akhlak yang baik begitu juga sesuatu yang berdosa itu adalah sesuatu yang terlintas dijiwa dan di takuti orang lain mengetahuinya.
Ajaran Islam melalui al-Quran dan as-sunnah banyak menjelaskan tentang kedudukan akhlak. Nabi SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak yang baik.

Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud  : "Tidak lah aku (Nabi SAW) diutus melainkan (antaranya) untuk menyempurnakan akhlak yang baik  "
(Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad (2/381), Al-Bukhari dalam Al-Tarikh Al-Kabir (7/188)

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu uswah hasanah (suri tauladan yang baik) bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” 
(Surah Al-Ahzab ayat 21)

Nabi SAW menjanjikan bahwa akhlak yang baik akan menjadi beratnya timbangan amal di akhirat nanti , sabda baginda yang bermaksud : “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya (kelak diakhirat) dari pada akhlak yang mulia.”
Amal ibadah yang terdapat dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah di antaranya yang dimaksudkan untuk menyempurnakan akhlak yang  mulia. 

Solat samaada yang fardu atau sunat adalah bermaksud untuk mentarbiyah dan mendidik manusia agar berhenti dari segala perbuatan keji dan mungkar .
Firman Allah SWT bermaksud : "Sesunggugnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar."(Surah al-‘Ankabut ayat 45).

Ibadah puasa dimaksudkan, di antaranya untuk mencapai tingkatan takwa. Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Di wajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana di wajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." 
(Surah al-Baqarah ayat 183). 

Berkaitan dengan ibadah puasa ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  “Siapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan palsu (bohong), maka tidak ada keperluan bagi Allah SWT terhadap puasa seseorang yang hanya sekadar meninggalkan makan dan minum.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Zakat, di antara rahasianya adalah untuk menyucikan dan membersihkan jiwa dari berbagai sifat buruk dan tercela. Firman Allah SWT maksudnya : "Ambillah zakat dari harta mereka guna membersihkan dan mensucikan mereka." 
(Surah at-Taubah ayat 103).

Sedangkan ibadah haji difardhukan oleh Allah kepada mereka yang mampu dengan banyak maksud dan aturan, contohnya agar orang yang beribadah haji terlatih untuk tidak berkata kotor, tidak berbuat fasik dan tidak banyak berkata-kata sia-sia. Firman Allah SWT maksudnya : "(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang telah dimaklumi : 'Barangsiapa mengerjakan (ibadah) haji dalam (bulan-bulan) itu maka janganlah dia berkata jorok (cabul), berbuat maksiat dan bertengkar dalam (melakukan ibadah) haji. Segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya'. " (Surah al-Baqarah ayat 197).
Segala kebaikan yang kita lakukan dengan bersedekah kepada membantu fakir- miskin , anak yatim, ibu tunggal dan melapangkan kesusahan orang mukmin dari kesusahan dunia , melaksanakan kerja-kerja kebajikan, membersihkan masjid, surau, membuang halangan dijalan raya dan membantu mangsa kemalangan, bencana alam dan musibah adalah merupakan akhlak yang baik.

Manankala dosa pula adalah apa yang terlintas di jiwa kita tetapi kita  benci atau takut diketahui oleh orang lain.

Jiwa manusia adalah bekas (tempat) menerima sesuatu samaada fujur (kejahatan ) atau takwa (kebaikan).
Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal darah. jika segumpal darah tersebut baik maka akan baik pulalah seluruh tubuhnya, adapun jika segumpal darah tersebut rosak maka akan rosak pulalah seluruh tubuhnya, ketahuilah segumpal darah tersebut adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hati (jiwa) adalah konduktor yang menggerakkan tubuh untuk melakukan perbuatan-perbuatannya, jika hati tersebut adalah hati bersih (baik) maka seluruh tubuhnya akan tergerak untuk mengerjakan hal-hal yang baik, adapun jika hatinya adalah kotor (buruk) dan kita benci orang lain tahu apa yang ada pada hati kita itu sebenarnya perkara dosa yang dibenci oleh Allah SWT. Maka tentunya juga akan membawa tubuh melakukan hal-hal yang buruk. Hati adalah perkara utama untuk memperbaiki akhlak manusia. Jika seseorang ingin memperbaiki dirinya maka hendaklah ia memperbaiki dahulu hatinya

Kotoran apalagi najis itu tidak semestinya terdapat pada pakaian dan tubuh badan secara zahir. Terlebih yang utama kita harus menjaga hati agar selalu bersih dari kotoran apalagi najis. Selagi hati masih tercemar dengan sifat-sifat yang keji maka cahaya ilmu yang bermanfaat kepada agama menjadi tidak dapat menerangi hati itu.

Ketika hati bersih maka Nur (cahaya) Illahi akan meneranginya. Oleh kerananya perlu membersihkan dan menjaga hati daripada sifat-sifat yang keji dan tercela dan sebaliknya menghias diri dengan akhlak yang terpuji.

Orang mukmin akan menjaga hatinya supaya jangan terlintas sesuatu yang boleh mendatangkan dosa seperti hasad dengki, iri hati, ujub, sombong dan takbur. Penyakit-penyakit hati yang lain adalah seperti sifat tamak haluba kepada harta dunia, cinta dunia, suka marah dan berprasangka buruk kepada orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal soleh kita dan memperbaiki akhlak yang baik yang akan menghiasi perbuatan dan percakapan kita. Tidak keluar sesuatu daripada mulut kita melainkan yang baik dan bermanfaat untuk orang lain dan tidak ada perbuatan dan amalan kita melainkan amal soleh, amal kebaikan dan amal yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. 

Begitu juga tidak terlintas di dalam hati dan jiwa kita melainkan sesuatu yang baik, ikhlas dan jujur. Segala bentuk prasangka buruk, was-was dan su'u zan akan kita buangkan sejauh-jauhnya dari hati dan jiwa kita. 

Allah SWT berfirman maksudnya: " Sesungguhnya beruntunglah yang mensucikan jiwa itu. Dan merugilah orang yang mengotorinya " (Surah asy Syams ayat 9-10).

Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang beriman dan bertakwa dan mendapat rahmat-Nya di dunia dan akhirat.

Sunday, May 8, 2011

Surah Luqman ( Terjemahannya ayat 1-34)

Bismillahirahmanirrahim
Alif, Laam, Miim. (Luqman 31:1) | 
Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, (Luqman 31:2)

Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik (Luqman 31:3)

Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat. (Luqman 31:4) |  

Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Luqman 31:5) 

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. (Luqman 31:6) 

Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya. (Luqman 31:7) 

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat, (Luqman 31:8 
Kekallah mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah - janji yang tetap benar; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Luqman 31:9) 

Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat. (Luqman 31:10)

Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata. (Luqman 31:11) 

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman 31:12)  

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Luqman 31:13) 

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman 31:14)  

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Luqman 31:15)

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Luqman 31:16)

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.  

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman 31:18) 

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". (Luqman 31:19) 

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. (Luqman 31:20)

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang? (Luqman 31:21)

Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Luqman 31:22)

Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (Luqman 31:23)

Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat. (Luqman 31:24)

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Luqman 31:25)

Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Luqman 31:26)

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Luqman 31:27)

(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Luqman 31:28)  

Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Luqman 31:29)

Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).  

Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur. (Luqman 31:31) |

Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi. (Luqman 31:32)

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. (Luqman 31:33)

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. (Luqman 31:34)

(Di petik daripada wall Al-Biruni Khalid)

Anak Derhaka Tidak Akan Mencium Bau Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari apabila kita membaca akhbar arus perdana kita akan bertemu dengan kisah-kisah anak derhaka kepada kedua ibu bapanya. Sikap biadab dan kurang ajar sianak kepada ibu dan bapanya telah mencapai peringkat yang cukup parah dan dahsyat sekali. Kadangkala kita tidak mampu berfikir bagaimana seorang anak boleh memukul dan mencederakan orang tuanya dan ada yang sanggup mengugut untuk membunuhnya jika tidak diberikan wang ringgit kepadanya.

Berita hari Sabtu (07.05.2011) di Harian Metro : "Anak ugut bunuh ibu guna sms di Bandar Baru Selayang Selangor. Seorang anak berusia 24 tahun meminta sejumlah RM 100,000 kepada ibunya (berusia 55 tahun) jika permintaannya tidak ditunaikan dia akan membunuh ibunya, bapanya dan 3 ahli keluarganya"

Jika kita baca berita tersebut seolah-olah kita tidak percaya peristiwa seperti ini boleh berlaku dinegara kita majoriti penduduknya adalah orang-orang Islam. Yang hairannya orang yang melakukannya adalah orang melayu yang beragama Islam. Di mana letak hormat dan kasih sayang sebagai seorang anak kepada kepada kedua ibu bapanya? Alangkan malangnya nasib ibu bapa yang memiliki anak derhaka seperti ini, kerana sepatutnya ketika usia menjangkau usia emas mendapat pembelaan, bantuan dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Ketika ini adalah masanya anak-anak akan membalas jasa orang tua yang telah banyak berkorban melahirkan, membesarkan dan memberi pelajaran kepada mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :" Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredan), maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”  (Hadis riyawat Bukhari )

Sahabat yang dimuliakan,
Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT.

Nabi SAW memberi wasiat kepada Sayyidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)

Bagaimana di dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya bersyukur kepada-Nya setelah itu bersyukur kepada kedua ibubapanya. Menunjukkan betapa penting seorang anak itu berterima kasih dan menyayangi ibu bapanya yang telah banyak berjasa kepada dirinya.

Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi. Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan muslim. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami."(Hadis riwayat Tabrani).

Hadis itu menjelaskan 'tidak menghormati orang tua' sudah dianggap boleh bukan daripada golongan muslim.

Apa lagi jika tidak menghormati orang tua yang menjadi ibu bapa sendiri. Kini menular gejala anak menganggap satu beban terpaksa menjaga atau melayan kerenah ibu bapa atau salah seorangnya. Tidak kurang juga kes anak menjadikan ibu atau bapa tidak ubah seperti orang gaji. Menyakiti hati ibu bapa satu dosa besar. Apatah lagi dalam kes yang mana anak melakukan perbuatan yang mencederakan fizikal ibu bapa dan mengugut untuk membunuh ke dua ibu bapanya.

Kemelut kehidupan yang dihadapi kebanyakan manusia sekarang berpunca daripada menderhaka kepada ibu bapa. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa."(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Allah bukan saja melarang melakukan perbuatan yang secara nyata menyakiti hati dan fizikal ibu bapa, bahkan menyebut perkataan 'kasar' juga ditegah. Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”  (Hadis riwayat al-Tirmidzi )

Sahabat yang dimuliakan,
Kita perlu mengkaji dimana silapnya anak-anak sekarang ramai yang menjadi anak-anak derhaka.

1. Adakah kerana ibu bapa tidak mendidik anak-anak mereka dengan didikan iman dan Islam?

2. Adakah suasana jahiliah dalam masyarakat kita penuh dengan hiburan dan pergaulan bebas melahirkan generasi yang tidak berakhlak dan melunturkan imannya? atau

3. Adakah  sistem pendidikan di sekolah-sekolah hari ini hanya menekankan aspek kebendaan dan materialisma sahaja daripada menekankan asas-asas iman?

Jawapannya ya, ketiga-tiga faktor tersebuat adalah menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan melahirkan ramai anak-anak derhaka kepada Tuhan dan ibu bapa.

1. Kesilapan pendidikan ibu bapa :

Hidup masa kini yang sentiasa di sebukkan dengan keperluan duniawi menyebabkan kedua-dua ibu bapa bekerja dan mencari harta untuk keluarga. Ibu bapa tidak ada masa diawal usia anak-anak di didik dengan akhlak Islam dan asas akidah yang kuat menyebabkan jiwa anak-anak kosong dan tidak merasa takut kepada Allah SWT dan tidak ada perasaan untuk menghormati dan kasih sayang kepada mereka.

Dari Abu Hurairah r.a diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Setiap anak dilahirkan dalam fitrahnya. Keduanya orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Perintahkan anak-anak kalian untuk menunaikan solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika mereka telah berusia 10 tahun (Hadis Riwayat Abu Dawud)

2. Pengaruh kawan-kawan dan suasana yang tidak baik

Suasana masyarakat hari ini yang menekankan aspek kebendaan, pergaulan bebas lelaki dan wanita, pengaruh television dan media masa yang banyak mendorong generasi muda kepada seks dan hiburan dan mencintai para artis yang tidak berakhlak Islam maka pemikiran anak-anak muda lebih kepada keduniaan dan tidak ramai yang mencintai ilmu, solat berjemaah di masjid dan menjalankan aktiviti positif yang menyuburkan jati diri.

Ini adalah akibat daripada kesilapan pemerintah yang membenarkan dan menggalakkan industri muzik, membiarkan kelab-kelab malam hidup subur macam cendawan, tidak tegas menangani gejala sosial seperti khalwad, zina, minum arak. pergaulan bebas dan menghisab dadah.

Bagaimana pihak penguasa undang-undang boleh melakukan  'double standard' pada satu masa cuba membenteras penyebaran filem lucah tetapi pada masa yang sama membenarkan 'Datuk T dan rakan-rakan ' menayangkan filem lucah?Membuka seluas-luasnya kemasukkan penyanyi-penyanyi daripada luar masuk kenegara ini membuat persembahan dan juga kemasukkan filem-filem barat yang banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak muda mudi. Ini tidak termasuk filem-filem yang boleh ditonton melalui astro, tv 1.2.3.8. dan 9 dan saluran daripada negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand dan juga kemudahan untuk melayari gambar-gambar lucah yang boleh dimuat turunkan melalui telifon bimbit dan internet.

Suasana yang rosak ini melahirkan anak-anak muda yang hilang peduman hidup dan setiap hari hanya memikirkan untuk berhibur dan berusaha untuk mendapatkan wang walaupun terpaksa dengan cara haram atau dengan cara mengugut ibu bapa.

3. Sistem pendidikan di sekolah hanya menekankan aspek kebendaan saja tidak ada menekankan aspek rohani dan keimanan kepada Allah SWT.

Jika dikaji dengan teliti berapa jam matapelajaran agama di ajarkan di sekolah-sekolah samaada sekolah rendah atau menengah? Berapa banyak pula akitviti di luar sekolah yang berunsurkan Islam dan membina jati diri? Adakah para pelajar cukup untuk memahami ilmu fardu ain sebagai bekalan mereka setelah tamat belajar di sekolah nanti?

Mengikut kajian terdapat 80% para pelajar yang tidak solat kerana tidak tahu cara-cara solat yang betul. Jika keadaan ini berterusan ini adalah satu bala yang cukup besar kepada generasi umat Islam akan datang. Tidak hairanlah negara memiliki anak-anak tidak sah taraf berjumlah melebihi 200,000 orang hasil daripada kejahilan dan ketandusan iman remaja dan belia kita.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beristighfar dan menginsafi diri kita kerana membiarkan maksiat, anak-anak derhaka dan gejala sosial bermaharajalela di negara kita kerana kita tidak pernah berdakwah dan menyedarkan masyarakat kepada Islam. Kita juga membiarkan anak-anak kita, para muda-mudi dan jiran-jiran kita untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Kita khuatir jika dibiarkan saja maksiat dan suasana jahiliah mengambil tempat di dalam masyarakt , maka bala Allah SWT akan diturunkan oleh Allah SWT. Oleh itu kita perlu berdakwah dan sampaikanlah kebenaran Islam ini kepada sesiapa saja yang kita jumpa supaya kita dapat memainkan peranan untuk melaksanakan tugas murni ini.

Pemimpin masyarakat, guru-guru, pihak penguasa undang-undang, ibu bapa, jabatan agama Islam, pertubuhan bukan kerajaan, jemaah Islam dan kita semua perlulah bekerjasama untuk melaksanakan amar makruf nahi mugkar dan menghidupkan biah solehah (suasana baik) dalam masyarakat insya Allah masyarakat kita akan lebih harmoni dan menuju keredaan Allah SWT.