Saturday, October 31, 2009

Tanggungjawab Suami Yang Soleh

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Pembentukan rumahtangga yang didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan menjamin lahirnya kasih sayang, keharmonian dan iklim pendidikan yang sihat di dalam pelbagai aspek. Inilah suasana yang subur untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak ke arah pertumbuhan yang sihat dari segi roh, akal dan jasmani. Di samping anak-anak, dengan wujudnya suasana seperti ini, ibu bapa di dalam rumahtangga itu juga akan terselamat dari dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak baik. Justeru itu, ajaran Islam akan dapat dilaksanakan atau disempurnakan. Benar sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agama (deen)nya, maka beliau hendaklah bertakwa kepada Allah pada sebahagian yang lain yang masih tinggal."

Dari rumahtangga yang bahagia inilah akan melahirkan Baitul Muslim iaitu rumahtangga Islam. Al-Imam Hasan Al-Banna ada berkata, "Tegakkanlah negara Islam dalam diri kamu sebelum menegakkan negara Islam dalam masyarakat kamu."

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab suami yang soleh, yang perlu di laksanakan untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.
2. Mempergauli isteri dengan baik dan halus.
3. Memberi makan dan pakaian yang secukupnya.
4. Tidak memperolok-olok atau merendahkan isterinya.
5. Mengarahkan atau mengingatkan isterinya dengan nada yang lembut.
6. Bersabar di atas tingkahlaku isteri yang tidak menyenangkan.
7. Mengajar isteri akan agama (deen) dan hukum-hukumnya (fekah).
8. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.
9. Menahan pandangan.
10. Memelihara kemaluannya.
11. Tidak kedekut atau terlalu bermewah-mewah dalam memberi nafkah makan minum, pakai, tempat tinggal serta perabut untuk anak dan isteri.
12. Kasih sayang, mesra serta sentiasa mengambil berat tentang mereka.
13. Tidak terburu-buru dalam menerima fitnah (pengaduan) serta bertindak segera tanpa usul selidik dahulu.
14. Tidak gemar memandang perempuan-perempuan yang lain.
15. Tidak minum arak, berjudi, merokok dan tidak suka buang masa dengan kerja sia-sia.
16. Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.
17. Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.
18. Cemburu dalam hal-hal yang mendatangkan maksiat terhadap dirinya, anak dan isterinya.

Oleh itu setiap lelaki yang beriman perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu Islam, akhlak yang mulia dan hati yang bersih dan hidup, supaya setiap tanggungjawab di atas dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna.

Ubati Dosa di Kebun Iman

Pada suatu ketika Sayyidina Ali r.a. sedang berjalan-jalan di sebatang jalan kota Basrah. Tiba-tiba beliau ternampak sekumpulan besar manusia. Mereka berebut-rebut untuk kehadapan dan saling menolak. Orang-orang yang berada di belakang pula memanjangkan leher dan mengangkat tumit mereka agar dapat melihat ke tengah-tengah himpunan manusia itu.

Sayyidina Ali r.a. ingin mengetahui apa gerangan yang sedang menarik perhatian orang ramai itu. Maka beliau pun pergi lebih dekat. Ternyata orang ramai berasak-asak itu sedang mengerumuni seorang pemuda yang tampan wajahnya, segak badannya serta kelihatan berwibawa. Pemuda itu berpakaian serba putih dan duduk diatas sebuah kerusi. Pemuda itu pandai mengesan setiap penyakit yang sedang dihadapi oleh tubuh seseorang dan menentukan setiap jenis ubatnya.

Tidak seorang pun yang menghadapi masaalah kesihatan yang ada disitu, melainkan diberitahu penyakit dan ubatnya. Memang benar, semua yang mengikuti arahannya sembuh serta merta. Setelah mendapat giliran, Sayyidina Ali r.a. terus maju kehadapan dan bertanyakan tentang perihal penyakit. Maka terjadilah perbualan antara doktor muda itu dengan Sayyidina Ali r.a.

"Assalamualaikum , wahai tuan doktor," kata Ali r.a memberi salam.
"Waa'laikumussalam" jawab doktor muda itu.
"Adakah tuan doktor boleh menunjukkan ubat penyakit dosa?"
Orang ramai tidak mampu mencari ubat penyakit yang satu ini. Kata Ali r.a pemuda itu tidak menjawab, tapi hanya menundukkan kepalanya hingga rebah kebumi.
"Bagaimana tuan doktor, boleh menunjukkan ubat penyakit dosa?" tanya Ali r.a.
Dia tidak menjawab juga maka Ali r.a pun mengulangi pertanyaannya buat kali ke tiga dan doktor mengangkat kepalanya. Maka bertanyalah Ali r.a., "Wahai tuan doktor, adakah tuan mengetahui ubat untuk penyakit dosa? Semoga Allah memberkati tuan doktor."
"Ya tahu, " jawab doktor itu. "Sila tuan terangkan kepada saya." pinta Ali r.a.

Doktor muda itu menerangkan bahawa untuk mengubati dosa seseorang hendaklah tinggal dikebun IMAN. Kemudian ambillah akar-akar NIAT dan BIJIRAN PENYESALAN di dalam kebun itu. Ambillah pula daun-daun MEMPERBAIKI DIRI dan AZAM, taburlah biji WARAK, buah FIQAH, dahan-dahan YAKIN, saripati IKHLAS dan kulitnya IJTIHAD. Ambil pula akar-akar TAWAKKAL, sempurnakan dengan IKTIBAR, minumannya air TAUBAT dan ubat TAWADUK. Ubat-ubat itu hendaklah diambil oleh hati yang HADIR, WASPADA dan FAHAM. Peganglah TAUFIK, kemudian ditempatkan di bekas TAHKIK dan hendaklah di basuh dengan AIR MATA. Lepas itu letakkan di dalam periuk HARAPAN, kemudian nyalakan api RINDU dibawahnya sehingga timbullah buih-buih HIKMAT yang banyak. Setelah masak, tuangkan ia ke dalam dulang REDHA dan kipaslah dengan ISTIGHFAR.

Dengan demikian, engkau akan mendapatkan minuman yang sangat jernih, asli dan sedap. Akhirnya, minumlah air itu di tempat yang sunyi yang tak seorang pun melihatnya melainkan Allah Ta'ala. Dengan cara itu, seseorang boleh mengubat dosanya sehingga sembuh dan habis terkikis.

Lepas memberikan keterangan yang panjang yang berupa respi untuk ubat dosa, pemuda itu bermadah memperingatkan orang yang hadir akan bahayanya dosa dan hendaklah bertakwa kepada Allah s.w.t. Kemudian dia berteriak satu kali dengan teriakan yang kuat sehingga rebah ke bumi dan meninggal ketika itu juga.

"Sesungguhnya engkau ini memang seorang doktor dunia dan doktor akhirat, " kata Sayyidina Ali r.a. Kemudian beliau memerintahkan kaum Muslimin agar segera menguruskan jenazah pemuda warak itu.

Ringkasan : Untuk mengubati penyakit dosa.
1.Niat ikhlas semata-mata kerana Allah.
2.Menyesal terhadap dosa-dosa yang telah lalu.
3.Berazam tidak mengilangi dosa-dosa yang lalu.
4.Bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri supaya dapat melahirkan sifat mahmudah iaitu warak, yakin, ikhlas, bertawakkal, bertaubat dan tawaduk.
5.Sentiasa bersihkan hati hingga hati hadir (berhubung dengan Allah), waspada (dalam amalan harian) dan faham (tanggungjawab kepada Allah)
6.Meletakkan harapan dengan rasa rindu untuk bertemu Allah di hari akhirat dalam keadaan redha meredhai.
7.Di malam hari ketika bersunyi-sunyian berdo'a, bermunajat, beristighfar dan bertaubat kepada Allah dengan linangan air mata penyesalan di atas dosa-dosa yang telah dilakukan dengan harapan Allah s.w.t. menerima taubat hamba-Nya yang banyak dosa dan kesalahan.

Friday, October 30, 2009

Mukmin Yang Kuat Lebih Baik Daripada Mukmin Yang Lemah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bahawa sesungguhnya seorang mukmin itu mempunyai sifat-sifat yang akan mempersiapkan dirinya menjadi hamba yang mulia, berani mengatakan dan menegakkan kebenaran walaupun pahit ditelan. Jadikanlah diri kalian seorang Mukmin yang kuat, kerana sesungguhnya seorang mukmin yang kuat seperti ini lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada seorang mukmin yang lemah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam segala sesuatu itu baik adanya. Jagalah apa yang bermanfaat bagimu, mintalah tolong kepada Allah dan jangan merasa tidak mampu." (Hadis Riwayat Muslim)

Mukmin yang kuat adalah mukmin yang lebih cintanya dan taqarrubnya kepada Allah SWT. , Rasul-Nya dan pada pemahaman Kitab-Nya. Kerana ia kuat dalam memahami dan meneliti, kuat dalam berfikir dan menganalisa kebenaran dan kebatilan.

Mukmin yang kuat disini bukan bermakna kuat fizikal semata-mata tetapi kuat yang dimaksudkan adalah kuat darisegi kerohanian, jiwa dan daya pemikiran. Ia mampu untuk melihat sesuatu perkara yang bermanfaat dan berbahaya. Contohnya apabila ia lihat temannya dalam keadaan lemah, ia berusaha untuk memperkuatkannya dan mengatasi kelemahannya. Apabila ia lihat umatnya dalam keadaan kritikal berpenyakit ia akan mencari ubatnya.

Sahabat yang dihormati,
Apabila kalian ingin menjadi mukmin yang kuat kalian perlu melihat kitab Allah itu dengan kekuatan analisa, pemahaman, pemikiran dan makrifat untuk mengetahui maksud yang dibaca. Kalian perlu menguasai jiwa, perasaan, nurani dan hati. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam bergulat, akan tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika sedang marah."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Kalian perlu setiap hari mempersiapkan diri kalian dengan kekuatan iman dan hidupkan hati dengan zikrullah, memahami masaalah umat Islam dan berusaha untuk mengatasinya. Membaiki peribadi dan akhlak Islam, memperkukuhkan kekuatan akidah dan mempertingkatkan hubungan hati dengan Allah SWT.

Seorang mukmin yang lemah dia tetap mukmin dan mempunyai ciri-ciri kebaikan, hanya peribadinya tidaklah sama dengan sifat-sifat seorang mukmin yang kuat. Oleh itu bantulah saudaramu yang memerlukan bantuan, kerana Allah SWT. akan melapangkan rezekimu dan memberi ganjaran yang besar di hari akhirat.

Sahabat yang dikasihi,
Seorang mukmin adalah orang yang sama sekali tidak pernah merasa bahawa dirinya tidak mampu. Dibuangkan jauh-jauh segala kelemahan dirinya dengan sebuah keyakinan, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa telah membangkitkan dalam dirinya kebaikan, kemampuan dan kekuatan. Yakin dengan janji-janji Allah dan terus berjihad, berjuang dan berkorban apa sahaja demi mencari keredaan Allah SWT Yang penting laksanakan dahulu tugas dan tanggungjawab dan segala masaalah serahkan kepada Allah SWT, insya Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Thursday, October 29, 2009

Siapakah Ikhwan Rasulullah SAW?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada suatu hari, berlaku perbualan di antara Nabi SAW. dengan Saidina Abu Bakar Siddiq serta para sahabat lain. “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan ikhwanku (saudara-saudaraku),” berkata Nabi SAW. “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar. “Bukan,” jawab Nabi SAW. “Kamu adalah sahabat-sahabatku”.

Para sahabat menjadi keliru dan hairan siapakah yang dimaksudkan dengan ikhwan yang Nabi SAW rindukan itu. Setahu mereka yang paling rapat dengan Nabi SAW  ialah para sahabat sendiri. 

Melihatkan Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain kebingungan, Nabi SAW segera menjelaskan; “Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua mereka”. Para sahabat masih belum berpuas hati dan bertanya, 

“Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan( saudara) engkau?”. “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku!” sekali lagi Nabi SAW menjelaskan.

“Wahai Abu Bakar, tidakkah engkau juga merindui ikhwanku itu, kerana mereka juga mencintai engkau lantaran engkau adalah sahabatku?” 

Persoalan ikhwan menjadi teka-teki kepada para sahabat. Kemudian Nabi SAW memberitahu bahawa mereka ialah umat Nabi SAW sesudah wafatnya baginda. Walaupun mereka tidak berjumpa dengan baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka membaca al-Quran dan al-Hadis serta mencintai Nabi-Nya sebagai Rasulullah SAW yang penghabisan. Mereka juga mencintai sahabat-sahabat Nabi SAW yang berjuang menegakkan Islam”.

Alhamdulillah yang dimaksudkan oleh Nabi sebagai ikhwan itu ialah umat terkemudian termasuk diri kita. Jika kita mengikut ajaran Nabi SAW serta mencintai baginda, Nabi SAW. amat menyanjungi serta merindui kita kerana menurut baginda meskipun kita tidak berpeluang berjumpa dengannya, namun kita tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Golongan ikhwan ini pernah Nabi SAW katakan sebagai makhluk yang paling ajaib imannya kerana beriman tanpa bertemu dengan Nabi SAW sendiri. “Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah 7 kali ganda orang-orang yang beriman dengan aku, meskipun tidak pernah berjumpa dengan aku!” jelas Nabi SAW lagi. Semoga kita termasuk dalam golongan umat yang diberi gelaran sebagai ‘ikhwan’ – umat yang dirindui Nabi SAW.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas golongan syiah pasti bukannya Ikhwan Nabi SAW kerana salah satu ciri ikhwan Nabi SAW adalah mereka mencintai Nabi SAW dan mencintai sahabat-sahabat Rasulullah SAW termasuk Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan sahabat-sahabat yang lain.

Golongan syiah sering mengecam dan menghina sahabat-sahabat Rasulullah SAW, mereka hanya mengutamakan Saidina Ali k.w dan menyerang peribadi sahabat-sahabat yang lain yang mulia, mereka meletakkan para imam mereka lebih tinggi darjatnya daripada sahabat-sahabat Nabi SAW dan sama taraf seperti Nabi iaitu sifat maksum. Inilah jenis taksub yang melampaui batas dan terkutuk dan berlindung sifat takiyahnya iaitu memusuhi umat Islam dikalangan Ahli sunah waljamaah.

Rebutlah peluang untuk masuk menjadi kelompok yang Rasulullah SAW. maksudkan sebagai saudara-saudaraku (fiqah an-Najiyah) iaitu kelompok yang selamat diantara 73 kelompok akhir zaman. Mereka adalah orang-orang yang berpegang teguh dengan pegangan  sunah Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Mereka memelihara amanah yang diberikan agar tetap asli, murni dan seimbang. Mereka menjauhi orang yang fanatik dan jahil. Rasulullah SAW memandang mereka sebagai 'ikhwan Rasulullah' yang dilahirkan pada akhir zaman. Rasulullah SAW selalu merindui mereka sebelum diciptakan dan ingin sekali melihat wajah mereka sebelum dilahirkan.

Rasulullah melihat mereka sebagai orang-orang yang menghidupkan sunnahnya dan memperbaiki kerosakan dalam nilai kehidupan sebenar. Mereka juga merupakan kelompok yang berpegang tegih kepada kebenaran serta memperolehi hidayah ke jalan lurus.

Sahabat yang dikasihi,
Kita bukanlah sahabat Nabi SAW yang menyaksikan secara langsung betapa mulianya akhlak junjungan kita itu; kita juga bukan malaikat yang tidak memiliki hawa nafsu; kita juga bukan waliyullah yang telah merasakan manisnya kasih sayang Allah. Kita adalah manusia biasa yang penuh dengan kelemahan.

Dalam kelemahan itulah kita masih beriman kepada Allah SWT. Dalam ketidak hebatan kita itulah kita selalu berusaha mendekati Allah SWT dan mengamalkan sunah Nabi SAW.. Di tengah kesibukan dan beban ekonomi yang semakin meningkat, kita tetap keluarkan zakat dan sedekah. Tak sedikitpun kita akan gadaikan iman kita.

Di tengah dunia yang semakin mencabar, kita masih sempatkan untuk solat. Di tengah godaan duniawi yang luar biasa, kita tahan nafsu kita supaya tidak terjerumus kelembah maksiat. Di tengah kumpulan manusia yang selalu dalam kesibukan ini, kita masih boleh mensyukuri sejumput nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW menghibur kita, "Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku," Nabi ucapkan kalimat ini satu kali.

"Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku." Nabi SAW ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali.

Wallahu’alam.






Kembalikanlah Kegemilangan Islam


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah bersama-sama mengembalikan kegemilangan Islam!
Sentiasalah kalian memohon kepada Allah SWT agar kalian berada dibawah sinaran hidayah-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Dialah Pentadbir setiap urusan langit dan bumi dan Pemelihara Arasy yang mulia. Yakinilah akan curahan rahmat-Nya, agar Dia sentiasa memperbaiki keadaan kalian. Usah sekali-kali menyekutukan Dia dengan sesuatu apapun.

Kalianlah generasi harapan umat ini untuk mengembalikan balik cahaya Islam yang kian hari kian pudar! Generasi yang sanggup mengalas tanggungjawab dan akan membawa manusia sejagat kembali menyusuri jalan kebenaran. Kekuatan iman dan takwa yang tinggi serta keikhlasan tulin akan memampukan kalian memberi pemahaman nilai Islam secara tepat, lengkap lagi bersih daripada sebarang pengaruh nafsu.

 Kalian juga mampu menghindarkan manusia daripada mencampur-adukkan akhlak mulia dengan hal-hal tidak bermoral. Daripada pimpinan tangan kalian diharapkan berhasil menjalin hubungan mesra antara ilmu dan keyakinan. Dari situ, kehidupan insan akan kembali bersinar seindah zaman keemasan Islam.

Sahabat yang dimuliakan,
Ingatlah peranan kalian untuk memperlihatkan kepada insan lain, bahawa seluruh kehidupan ini mestilah bermatlamatkan keredaan Allah SWT. Dengan asas ini, kehidupan insan akan terhindar daripada sikap ego dan jahil terhadap hak serta kehormatan setiap individu. Kalian bertanggungjawab mengembalikan keluhuran ikatan kekeluargaan.

Anjurkanlah kesepakatan serta saling bantu-membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Jauhilah perlakuan tidak adil walaupun terhadap musuh. Begitu juga terhadap golongan lemah, berilah pertolongan tanpa di minta.

Hiasilah budi pekerti kalian dengan akhlak Islam seperti yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW. Sinarilah kalbu kalian dengan ketakwaan. Mantapkanlah akal kalian dengan ikhlas dan istiqamah. Pastikan jiwa sentiasa menyedari hak Rabb, hak Islam dan tanggungjawab dunia tanpa melupakan persiapan untuk akhirat.

Sahabat ayng dikasihi,
Harapan yang besar ini hanya mampu dicapai dengan memohon kekuatan serta belas kasihan-Nya. Sentiasalah memohon hidayah semoga diberikan-Nya 'Siratul mustaqim' yakni jalan lurus yang pernah diberikan Allah SWT kepada orang-orang terdahulu daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan solehin. Bermohonlah juga agar dijauhkan dari jalan orang-orang yang sesat dan yang dibenci-Nya.

Tepatilah ciri-ciri orang bertakwa atau muttaqin dalam setiap tindakan. Orang muttaqin adalah orang yang mempunyai rasa takut dan malu kepada Allah SWT. dalam keadaan sembunyi atau terang-terangan. Bahkan mereka lebih takut kepada Allah SWT tatkala dalam keadaan sembunyi. Malu terhadap Allah SWT mengatasi malu kepada manusia. Dalam keadaan tidak di ketahui oleh sesiapa pun, mereka malu untuk berbuat maksiat.

Jika mereka berbuat kesilapan kerana lupa atau jahil, jiwa mereka menjadi gelisah mendesak fizikal bangun memohon keampunan. Keadaan ini diterangkan oleh Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 29 yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membezakan antara yang haq dan batil) dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."

Kalian perlu sentiasa jujur dalam perkataan serta ikhlas beramal. Ketika hendak tidur, tetap lah kalian berzikir kepada Allah SWT dengan mengharapkan nilai tidur itu beroleh keredaan Allah SWT. Setelah bangun tidur teruskan berzikir kepada Allah SWT supaya bangun itu diselimuti rahmat dan pertolongan Allah SWT. Dari itu kalian akan terhindar daripada perangkap kemaksiatan atau bergaul dengan orang yang senang berbuat maksiat.

Takwa itu mesti disuburkan dengan istiqamah supaya kalian bukan sahaja beroleh keredaan Allah SWT di dunia, malahan cemerlang di hari akhirat. Firman Allah SWT. di dalam surah al-Fushilat ayat 30 yang bermaksud, " Sesungguhnya orang yang mengatakan, Tuhan kamu ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah (meneguhkan pendirian), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) : ' Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu'."

Sahabat yang dihormati,
Sesungguhnya, telah banyak akhlak mulia dan keluhuran hati yang hilang daripada masyarakat hari ini akibat kejahilan sendiri. Oleh itu tugas kalian adalah mengembalikan kemuliaan perilaku insan. Ketahuilah bahawa perjalanan hidup Rasulullah SAW. dan para sahabat banyak dihabiskan dalam usaha mengubah keburukan kepada kebaikan. Mereka menghadapi segala cabaran dengan ketenangan jiwa dan menghadapi rintangan serta gangguan dengan pemberian maaf dan doa : "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku ini, sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.

Akhirkata, bulatkan tekat kalian untuk menyahut seruan harapan besar ini dengan doa :
"Ya Allah! Anugerahkanlah rezeki kepada kami dengan takwa disisi-Mu, yang dapat memperbaiki amal dan akhlak kami. Kami juga memohon rasa takut kepada murka-Mu, mengharap keredaan-Mu dan selalu bergantung kepada limpah rahmat-Mu. Anugerahkanlah kami rezeki takwa dalam keadaan sembunyi sebelum terang-terangan, takwa batin sebelum takwa zahir. Dan jadikanlah kami takut terhadap kemurkaan-Mu seolah-olah kami melihat-Mu. Janganlah Engkau hinakan kami dengan bermaksiat kepada-Mu. Jangan jadikan dunia ini sebesar keinginan kami dengan membelakangkan usaha-usaha menimba ilmu kebenaran. Jadikan kami sentiasa cenderung melaksanakan kebaikan serta membawa kebaikan kepada seluruh insan. Kabulkan wahai zat yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang."

Tuesday, October 27, 2009

Peribadi Wanita Islam Sejati.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Lihatlah ke hadapan, tanggungjawab besar menantimu, sebagai pembimbing generasi untuk mewarisi risalah suci. Di kananmu terbentang berbagai bentuk kekayaan yang dihajati setiap diri. Di kiri terkumpul segala bentuk perhiasan dunia yang sangat disenangi hati. 

Oleh itu yang mana satu mesti menjadi pilihanmu? Untuk mendapat reda Ilahi wanita solehah pasti memilih yang dihadapan, mengalas tanggungjawab dengan sabar dan yakin akan janji-janji Allah SWT berbanding mendapat habuan yang di kanan atau di kiri!

Wanita solehah yang sedar terhadap petunjuk agama serta mendalam imannya memiliki keyakinan bahawa Allah SWT  telah menetapkan matlamat hidup berdasarkan firman-Nya dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : "Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku."

Tumpuan menyembah dan beribadah hanya ditujukan kepada Allah yang Maha Pencipta dan Maha Pengatur alam. Dengan kata lain, seluruh penyembahan yang sebenar hanya layak ditujukan kepada Allah SWT.

Dengan dasar ini juga Rabiah al-Adawiyah membina kehidupannya seperti yang ditegaskan dalam pendirian seutuh madahnya :
"Kekasihku tiada yang menandingi-Nya. Tidak ada ruang kosong dihatiku selain untuk-Nya, sekalipun Kekasihku tidak dapat ku pandang dengan mata, namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku. Dialah yang kusanjung dan kupuja sekalipun orang lain ada di sampingku. Jiwa dan hatiku hanya ku persembahkan untuk-Nya."

Rabiah al-Adawiyah dengan sikap tegas sentiasa mengatakan bahawa hidupnya telah dipersembahkan kepada Allah SWT. sahaja. Jiwanya kuat terdorong untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT semata-mata atas rasa kerinduan bertemu Allah SWT. Begitulah sepatutnya pendirian wanita solehah yang sedar dimana keredaan Allah SWT mengatasi segala keinginan dan mentaati segala perintah Allah SWT mendahului segala matlamat. Mematuhi hukum syarak menguasai jalan kehidupan. Wanita solehah sentiasa berbangga dengan keperibadian Islam seperti yang telah terbukti dalam sejarah awal kegemilangan Islam. Disana terpapar peribadi muslimah yang mesti dicontohi.

Sohibah yang dimuliakan,
Lihatlah contoh syahidah muslimah yang pertama bernama Sumayah iaitu ibu kepada Amar bin Yasir. Sumayah bersama anak dan suaminya diheret ke tengah padang pasir yang gersang. Ketika sinar matahari sangat terik dan debu-debu sahara berterbangan, mereka dipakaikan baju besi yang tebal. Ditaburkan pasir yang panas dan ditindih dengan batu lagi pejal.

Gambarkan betapa peritnya penyiksaan pada zaman itu! Sehingga anaknya Amar bin Yasir melafaskan pengakuan palsu bertujuan melepaskan diri. Namun Sumayah dan suaminya Yasir terus berpegang dengan kesabaran. Mereka berdua tetap teguh dengan pendirian untuk menegakkan kalimah 'Laailahaillallah Muhamadur Rasulullah'. Lantas dengan kejam Abu Jahal menikamnya dengan tombak yang akhirnya mengangkat roh Sumayah menjadi wanita Islam pertama mendapat syahid. Dan suaminya pun mengikut jejak langkahnya mendapat syahid apabila tidak mampu lagi menahah kesakitan yang amat sangat ditimpakan keatas dirinya.

Selepas Sumayah, ramai lagi wanita Islam contoh yang sanggup menerima berbagai bentuk penyiksaan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.. Penyiksaan dan penindasan tidak melemahkan mereka. Malah mereka semakin sabar, reda dan menyerahkan diri kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kebangaan wanita Islam yang sedar terhadap keunggulan peribadi mukminah yang memiliki kekuatan dan kegigihan berhadapan dengan berbagai ancaman telah memberi ketahanan kepada mereka pada setiap zaman. Juga menyelamatkan mereka daripada terjatuh dalam lumpur kekafiran dan melindungi daripada penyelewengan ke dalam gelumbang kebatilan.

Apabila wujud nyalaan bara iman, wanita solehah sepanjang zaman tetap berpegang teguh pada akidahnya apabila ada pihak luar cuba mencabar dan menguggatnya. Begitulah seperti yang dapat kita lihat keteguhan iman Asiyah isteri Firaun. Meskipun Asiyah dihamparkan dengan berbagai kemewahan dan keindahan perhiasan dunia, namun hatinya tidak dapat diubah untuk mempertuhankan Firaun. Apabila ia tetap berpegang teguh pada akidah Islam dan menafikan ketuhanan Firaun maka Firaun mengancam untuk meragut nyawanya. Ia tetap teguh dengan penyembahan kepada Allah yang Maha Esa.

Asiyah telah diseksa oleh suaminya Firaun dengan azab yang pedih, namun ia memandang ringan dan sentiasa teguh kesetiaan kepada yang Maha Pencipta. Asiyah sentiasa berdoa untuk menyuburkan pengharapannya kepada yang Maha Pengasih dan Penyayang hingga akhirnya ia mati syahid dibunuh Firaun. Dalam Al-Quran Allah SWT. merakamkan doa Asiyah dalam surah al-Tahrim ayat 11 yang bermaksud : "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkan daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim"

Sahabat yang dikasihi,
Apabila piala hatimu telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah swt, barulah mudah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama dilakukan oleh wanita Islam yang sedar ialah membantu agama Allah SWT supaya syariat Islam mewarnai seluruh hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga akan digembeling untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.

Oleh itu berhati-hatilah didalam menjalani kehidupan ini, sentiasa berwaspada dan menjaga akhlak dan peribadimu. Jangan kecundang dengan tipu daya dunia dan terpengaruh dengan pujuk rayu anak Adam. Sekiranya kamu kekal dengan status wanita solehah insya Allah pasti kamu akan mendapat kebahagiaan di dunia dan mendapat kemuliaan di hari akhirat.

Monday, October 26, 2009

Laksanakanlah Amal Makruf dan Mencegah Kemungkaran


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Yazid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a yang berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : 'Seseorang didatangkan pada hari kiamat, lalu dilempar ke neraka. Maka keluarlah isi perutnya. Dengan isi perut yang keluar itu ia berputar-putar seperti himar yang mengitari porosnya. Para penghuni neraka berkumpul di dekatnya, seraya mengatakan, 'Wahai si Fulan! Apa yang terjadi padamu? Bukankah (dulu) kamu memerentah kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar?' Ia menjawab, 'Ya, memang dulu aku memerintahkannya kepada yang makruf , namun aku tidak melaksanakannya dan mencegah dari yang mungkar, namun aku melanggarnya'."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa para pendakwah yang menjalankan tugas-tugas dakwah iaitu mengajak manusia kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran tetapi pada masa yang sama ia tidak melaksanakannya sendiri amal makruf tersebut dalam kehidupannya dan tidak meninggalkan kemungkaran, maka balasan yang dahsyat akan di terimanya di hari kiamat nanti iaitu ia akan dimasukkan ke dalam neraka. Istiah melayu mengatakan 'cakap tak serupa bikin'

Oleh itu wahai sahabatku! Baca dan kembalilah kepada Al-Quran dan Sunah Nabi-Nya. Laksanakan semua hukum muamalat dalam kehidupan yang bersumberkan pada ajaran-ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Ingatkanlah setiap orang yang menyalahi syariat dan berhukum kepada selain Allah SWT.

Berjihadlah melawan orang-orang yang memerangi Al-Quran dan As-Sunah, dengan jihad yang besar hingga berhasil mengubah bentuk kemungkaran ini, kerana mereka telah keluar dari syariat Allah. Jika tidak mempunyai senjata, berjihadlah dengan lisan kalian. Sebarkan dan dakwahkanlah dan jelaskanlah kebenaran. Jika tidak mampu, ingkarilah dengan hati! Dan tidak ada sedikit pun iman jika tidak ada kebencian dengan hati kerana ini adalah selemah-lemah iman.

Sahabat yang dimuliakan,
Barangsiapa berjihad melawan mereka dengan lisannya, ia adalah mukmin. Barangsiapa berjihad dengan tangannya ia adalah mukmin dan barangsiapa berjihad dengan hatinya, ia adalah Mukmin. Dan Maha Besar Allah ketika berfirman dalam surahAl-Baqarah ayat 44 yang bermaksud : "Apakah kalian memerintahkan manusia kepada kebaikan, sementara kalian melupakan diri kalian sendiri, padahal kalian membaca kitab? Apakah kalian tidak berfikir?"

Oleh itu marilah kita sama-sama menjalankan tugas dan amanah iaitu belajar dan memahami ilmu-ilmu fardu ain dan mempraktikkannya dan bekerja dengan ikhlas amal makruf dan nahi mungkar. Tugas-tugas yang mulia ini adalah tugas para aulia dan ambia dan perlu diteruskan sehingga tertegaknya Daulah Islamiyyah.

Sunday, October 25, 2009

Benci dan Sayang Kerana Allah dan Rasul

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika terdapat dalam hatimu suatu perasaan benci atau sayang kepada seseorang, maka telitilah perbuatanmu itu berdasarkan Al-Quran dan hadis. Jika benci kamu itu sesuai denagn Al-Quran dan hadis, maka bergembiralah kamu., kerana kamu bertindak sesuai dengan Allah dan Rasul-Nya. Tetapi jika benci kamu tidak sesuai dengan Al-Quran dan hadis, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu telah mengikuti hawa nafsu kamu. 

Jika kamu membenci orang itu kerana kamu terpengaruh oleh hawa nafsu kamu, maka bererti kamu tidak adil dan kamu menentang Allah SWT dan Rasul-Nya. Oleh kerana itu kembalilah kamu kepada Allah SWT, bertaubatlah kerana kebencian kamu itu dan bermohonlah kepada-Nya supaya kamu mengasihi orang itu dan orang-orang lain, yang terdiri atas orang-orang yang beriman, wali-wali-Nya, orang-orang pilihan-Nya dan orang-orang soleh dari hamba-hamba-Nya serta hendaklah kamu yakini bahawa Allah SWT akan mengasihimu apabila kamu kasih dan sayang kepada mereka semata-mata kerana Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Bersikaplah kamu terhadap seseorang, seperti kamu bersikap terhadap orang yang kamu kasihi. Pendik kata, hendaklah kamu meneliti perbuatan orang itu berdasarkan Al-Quran dan hadis. Sekiranya Al-Quran dan hadis membenarkan dan menyukai perbuatan orang itu, maka kamupun harus membenarkan dan menyukai perbuatan orang itu. Tetapi, jika keduanya membencimu, maka kamupun hendaklah membencinya sesuai dengan Al-Quran dan hadis. 

Sesuaikanlah perasaan dan perbuatanmu dengan Al-Quran dan hadis. Jika kamu mengasihi seseorang sedangkan Al-Quran dan hadis membencinya, maka janganlah kamu mengasihinya, supaya kamu tidak menuruti hawa nafsumu, sebagaimana firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan." (Surah Shaad ayat 26)

Sahabat yang dikasihi,
Dalam jiwa manusia secara fitrahnya suka dikasihi dan mengasihi. Kasih yang paling utama, tanda orang beriman adalah kasih kita kepada Allah SWT dan Rasululullah SAW  mengatasi kasih kita pada yang lain. Kita kasih pada yang lain seperti ibu-bapa, adik-beradik, kaum keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan, guru-guru, suami, isteri, anak-anak dan orang-orang beriman adalah semata-mata kerana Allah. Kayu pengukur kita adalah Al-Quran dan hadis. Begitu juga apabila kita berhajat untuk mencari calun isteri atau suami kriteria yang perlu digunakan adalah Al-Quran dan hadis jangan lari dari kedua-dua sumber tersebut insya Allah kita akan selamat dan berbahagia di dunia dan di akhirat.

Umat Menjadi Hebat Apabila Masjid Berfungsi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masjid ialah jantung umat Islam. Ia bukan sahaja menyediakan tempat kepada umat untuk solat malah ia mengerakkan umat untuk cergas dan melakukan semua perubahan hari demi hari. Sesiapa sahaja di kalangan orang Islam secara ikhlas datang ke masjid akan menjadi tetamu Allah. Ia akan mendapat kedamaian hati daripada keberkatan masjid. Jika ia duduk dalam masjid membaca Al-Quran, berzikir, mengikuti majlis ilmu dan menunaikan solat sunat maka tingkah laku dan sikapnya akan terpimpin. Perhubungan hati dan jiwanya dengan Allah SWT. semakin hampir dan akan memperolehi ketenangan dalam jiwanya.

Menurut satu hadis dari Nabi SAW. bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT. di hari kiamat nanti adalah insan yang hati dan jiwanya terpaut dengan masjid.

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan dan meninggikan darjat?" Mereka menjawab, " Ya, wahai Rasulullah!" Baginda bersabda, " Menyempurnakan wuduk di saat-saat sulit, banyaknya langkah ke masjid dan menunggu solat (berikutnya) setelah (melakukan solat). Maka itu merupakan pengikat.. itu merupakan pengikat." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam masjid juga ia berpeluang berkomunikasi dan bergaul mesra dengan ulama selepas majlis ilmu dan ia akan menjadi proaktif. Jika ia berpegang kepada pengajaran yang di ajar di dalam masjid ahli keluarganya juga akan terselamat dari kesesatan aqidah dan kesesatan cara hidup asing. Dari iktikaf hingga ke majlis ilmu dan khutbah, umat Islam sentiasa digerakkan supaya aktif membaiki iman, akhlak, jatidiri dan gaya hidup. Masjid menyiar dan melaungkan keagungan Allah SWT dan Deen Islam. Selagi Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW terpelihara, selagi itu pengajaran-pengajaran di dalam masjid akan berjaya mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan memimpin ke jalan kebenaran.

Masjid ialah pusat pendidikan dan latihan praktikal bagi umat sejak dari peringkat kanak-kanak mumayyiz. Kesan pada hati dan ingatan mereka terpahat hingga hari tua. Mereka akan ke masjid jika berlaku kegelinciran dalam hidup. Sebagaimana Ramadhan bulan rehat dan bulan pembersihan untuk hati yang ternoda pada sepanjang tahun maka begitu juga masjid sebagai tempat mengimbau kesalahan dan keterlanjuran sepanjang hari. Kunjungan lima kali sehari ke masjid diibaratkan sebagai mandi lima kali sehari di dalam sungai yang jernih dan tenang. Oleh itu untuk memulihkan penyakit sosial dalam masyarakat wajib bermula dari masjid.

Sahabat yang dihormati,
Betapa ramai bukan Islam mendapat kesedaran awal ketika berkunjung ke masjid atau mendengar laungan azan yang penuh makna. Melihat kepada tatacara solat berjemaah dilakukan dengan saf yang lurus dan bergerak mematuhi seorang imam. Seorang yang bijak boleh memahami bahawa Islam menyuruh umatnya berdisplin dan mentaati pemimpin yang bertakwa.

Betapa seorang yang bernajis atau berhadas besar dilarang memasuki masjid menunjukkan ia adalah tempat yang suci. Oleh yang demikian, masjid hendaklah dijadikan zon bebas dari sebarang pengaruh kecuali Al-Quran dan Sunah. Ia dibina dan ditadbir oleh orang bertakwa dan orang yang takut hanya kepada Allah SWT. Sehubungan itu, setiap kebenaran yang sepatutnya umat dapat daripada masjid tidak akan disorokkan. Firman Allah SWT. dalan surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mengerjakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain dari Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan mendapat petunjuk."

Sahabat yang dikasihi,
Masjid hendaklah diberikan peranan asalnya sebagai pusat pendidikan, komunikasi dan penyebaran Islam. Sebab itulah Rasulullah SAW membina masjid sejurus sampai di Madinah dalam hijrah yang agong. Daripada masjid itulah terbentuknya tamadun pertama yang adil dan tepat dalam sejarah manusia hingga tempiasnya kita rasa pada hari ini. Oleh itu, untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan umat Islam hendaklah kembali kepada formula Rasulullah SAW membina umat, antaranya yang utama ialah peranan masjid yang berkesan dalam masyarakat.