Saturday, August 1, 2009

Pemimpin Rumahtangga Bahagia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan yang bahagia dan aman damai adalah cita-cita dan idaman setiap pasangan. Untuk mencapai kebahagiaan, setiap pasangan perlulah mengikut jalan-jalan yang telah pun ditunjukkan oleh Allah dan Rasul.

Sekiranya masing-masing dapat menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah itu adalah baik dan sempurna, mereka akan berjaya di dalam melayari bahtera perkahwinan.

Namun, di antara tanggungjawab itu, ada yang berat dan ada yang ringan. Cuma pasangan yang terdidik dengan ajaran Islam akan mudah melaksanakan tanggungjawab yang berat ini.

Di antara tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya ialah :

Pertama : Menjadi pemimpin kepada keluarganya.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pimpinannya. Seorang Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas keluarganya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua : Mengajar ilmu yang wajib (fardu ain).

Ibnu Abbas berkata : "Berilah pengertian agama kepada mereka (isteri dan anak-anak) dan pelajaran akhlak yang bagus kepada mereka."

Yang dikatakan ilmu fardu ain adalah :
1. Ilmu Tauhud ; MengEsakan Allah SWT., yang dengannya dapat diketahui Zat dan Sifat-sifat-Nya.

2. Ilmu Feqah ; Mengetahui cara-cara beribadah, halal dan haram, bersuci dan sebagainya.

3. Ilmu Tasauf ; Mengenal hal ehwal hati, sifat-sifat mazmumah dan mahmudah, dan sebagainya.

Sekiranya suami tidak mampu mengajar ilmu fardu ain, hendaklah dia menyuruh isterinya belajar daripada guru.

Ketiga : Menyediakan makan minum, tempat tinggal dan pakaian dari sumber yang halal.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Kewajipan seorang suami ialah menyediakan makanan, pakaian, tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkannya dan tidak meninggalkannya kecuali pada tempat tidur (waktu isteri menderhaka)."

Kata ulama' : "Sekali suami membeli pakaian yang dapat mengembirakan isterinya dari sumber yang halal, Allah memberi ganjaran pahala kepadanya tujuh puluh tahun."

Keempat : Memberi nafkah zahir dan batin.

Nafkah zahir dan batin yang perlu di berikan kepada isteri adalah mengikut kadar keperluan masing-masing dengan secukupnya. Sekiranya nafkah ini mencukupi dan sempurna, kedua-dua pasangan akan merasa tenang dan nikmat rumahtangga.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
"Sesungguhnya apabila seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya, baginya dicatat pahala (kerana persetubuhan itu) seperti pahala anak lelaki yang mati syahid dalam medan peperangan menegakkan agama Allah."

Kelima : Memberi nasihat dan teguran .

Sekiranya isteri dan anak-anak melakukan maksiat dan kesalahan, maka ia mestilah memberi nasihat yang baik dengan hikmah dan lemah lembut.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan mereka sekelian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat dari kamu."
(Surah an-Nisa' ayat 20)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Pergaulilah mereka dengan cara yang baik."
(Surah an-Nisa' ayat 183)

Sahabat yang dikasihi,
Tugas dan tanggungjawab yang besar ini mestilah dilaksanakan dengan hati yang sabar dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT., sentiasalah berdoa setiap lepas solat, memohon semoga Allah SWT. memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat dan menyelamatkan diri kita, isteri dan anak-anak dari seksa api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu.

Mari Fikir Sejenak...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Apabila kita berfikir tentang hidup,
sebenarnya kita berfikir tentang kematian.

Apabila kita fikir tentang kematian,
sebenarnya kita berfikir tentang alam barzakh,
tentang alam akhirat.

Apabila kita berfikir tentang kesudahan hidup,
jawapannya hanyalah dua, samaada ke Syurga atau ke Neraka.

Sahabat yang dimuliakan,

Berhati-hatilah, bahawasanya jiwa yang tidak pernah gundah
bagaimana kesudahannya diakhir kalam (maut),
adalah jiwa yang sudah dihinggapi penyakit takabur,
yang merasai ia sudah banyak melakukan kebaikan.

Sedangkan pada hakikatnya, adakah ia mengetahui apakah
segala amalannya diterima oleh Allah s.w.t.?

Justeru itu berkatalah Abu Darda r.a. :
"Sesiapa yang tidak pernah berfikir bagaimana akhir hayatnya,
samaada ia mati kufur atau beriman, ia akan mati kufur."
Nauzubillah.

Sahabatku,

Persoalan hidup sahabat, sahabatlah yang perlu menentukannya.
Saamada kalian hendak ke syurga atau ke neraka.
Jangan biarkan orang lain yang menentukannya.
Jika ada manusia yang membantu kalian, maka bersyukurlah.

Tetapi... jika tiada orang yang membantu,
kalian mesti bangkit, mencari jalan untuk keselamatan diri.
Jangan hidup seperti pokok dedalu, yang tidak mempunyai
tapak sendiri untuk hidup, atau seperti pohon yang selalu perlu di sirami.

Jadilah seperti sang burung yang terbang mencari rezekinya sendiri,
kerana hidup mengharapkan orang lain,
adalah kehidupan mereka yang tiada pendirian!

Sahabat,

Hidupkanlah hati sentiasa dengan Allah SWT.,
bersihkanlah hati dengan zikrullah,
muraqabah setiap saat, setiap minit, setiap jam...

Perhatikan ke mana tertumpunya hati,
samaada kepada dunia atau kepada Allah?
Hidupkanlah setiap degupan jantung
dengan bersungguh-sungguh, dengan kalimah Allah.
Banyakkan memohon keampunan di atas kelalaian kita.

Jadikanlah diri kalian sebagaimana manusia yang sentiasa
memakmurkan hati dengan zikrullah, dan
memakmurkan dunia dengan buah fikiran dan
tindakkan dan menggunakan segala potensi yang ada.

Sentiasalah kalian berfikiran besar
dan berkeyakinan pada diri sendiri.
Moga-moga kalian adalah benteng-benteng
yang akan mempertahankan Agama Allah ,
dari kejahatan musuh-musuh-Nya, Insya Allah.

Friday, July 31, 2009

Doa Tujuh Golongan Yang Mustajab di Sisi Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT.yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah al-Baqarah ayat 186)

Rasulullah SAW  menyifatkan doa sebagai senjata orang mukmin dan menjadi tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Diantara berbagai macam doa yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah, ada doa yang dikabulkan dan ada pula doa yang tidak dikabulkan oleh Allah SWT. Oleh itu, seseorang hamba yang berdoa harus memahami keutamaan dan adab-adab ketika berdoa.

Diantara doa-doa yang dikabulkan ialah sebagaimana yang digambarkan beberapa hadis dibawah ini :

1.Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

2.Bahawasanya Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya."
(Hadis Riwayat Turmudzi)

3.Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

4.Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari keempat-empat hadis diatas tadi dapat disimpulkan, bahawa diantara doa-doa yang langsung diterima Allah SWT. adalah seperti berikut :

1.Doa orang tua kepada anaknya.

2.Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.

3.Doa orang yang dianiaya.

4.Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.

5.Doa seorang pemimpin yang adil.

6.Doa seorang sahabat kepada saudaranya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap reda Allah SWT. semata.

7.Doa anak soleh terhadap orang tuanya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berdoa dan meminta apa sahaja hajat kepada Allah SWT di dunia ini. Jika kalian termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang dinyatakan di atas, maka janganlah lepaskan peluang terus bermunajat kerana kalian termasuk dikalangan mereka yang mustajab doanya.


Thursday, July 30, 2009

Keadaan Roh di Saat Kematian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut sampai ke perut dan dari perut sampai ke dada dan kemudian mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasulullah SAW. lagi :

"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril a.s. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibril a.s."

"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibril a.s. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."

Dari sebuah hadis yang lain bahawa Allah SWT  menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata :

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah SWT.."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah SWT. berfirman yang bermaksud : "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah SWT. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu.Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata : "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang -alik mengerjakankan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata : "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan al-Quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut nyawa orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata : "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT. berfirman yang bermaksud : "Wahai malaikat-Ku, tulis Asma-Ku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah SWT. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah s.w.t.. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah SWT. maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. "

Saidina Abu Bakar r.a. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar r.a. :
"Roh itu menuju ketujuh tempat :
1.Roh para Nabi dan Rasul menuju ke Syurga Adnin.
2.Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3.Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga 'Illiyyin.
4.Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6.Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka di seksa berserta jasadnya sehingga sampai hari kiamat."

Telah bersabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kubur :
1.Orang yang mati syahid
2.Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadan.
3.Orang berpuasa di hari Arafah."

Kisah orang beriman, Bidadari menantinya...
Berkata Sunaid bin Daud, telah berbicara kepadaku anak saudaraku, Juwairiyah bin Asmaa', katanya : "Kami pernah berada di Abbadan, maka telah datang menemui kami seorang pemuda dari Kufah. Pemuda itu adalah seorang yang kuat beribadah. Kemudian pemuda itu meninggal dunia pada hari yang sangat panas. Maka aku berkata : "Biarlah kita tunggu waktu teduh sedikit, barulah kita pergi menanamnya."

Aku tertidur, maka aku lihat seolah-olah aku sedang berada di sebuah tanah perkuburan. Di sana terlihat sebuah kubah yang berkilau-kilau cahayanya, sangat indah sekali. Sedang aku melihat kepadanya , tiba-tiba ia terbelah dua dan keluarlah daripadanya seorang jariah (bidadari), yang belum pernah kulihat jariah secantiknya sebelum ini.

Jariah itu datang kepadaku, seraya berkata : "Atas nama Allah, kuharap janganlah engkau tahan pemuda itu sehingga waktu petang!" Maka ketika itu aku sedar dari tidurku dalam keadaan terperanjat lalu aku segerakan menguruskan jenazahnya. Aku menanamnya di tempat aku bermimpi melihat kubah yang indah itu."

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia akan menemui kematian dan saatnya akan tiba bila-bila masa tanpa kita ketahui waktunya. Oleh itu pertingkatkanlah amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan semoga amalan kita ini dapat menjadi bekalan dan teman ketika kita bertemu dengan Allah SWT nanti di alam barzakh dan hari akhirat.

Wanita Solehah : Hak Yang Perlu di Rebut

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud :"Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah kedudukan wanita, tidak kira samaada ia sebagai anak gadis, sebagai isteri atau sebagai ibu. Apabila ia seorang yang solehah, maka mereka merupakan sebaik-baik kedudukan di antara seisi dunia. Tetapi jika sebaliknya, mereka merupakan suatu fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mereka tidak berniat untuk membuat fitnah, tetapi wanita itu sendiri dengan kehadirannya boleh membawa fitnah jika tidak dipandu dan dikawal oleh syariat.

Masakan tidak, memandangnya saja boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutup aurat. Melangkah saja ia boleh mendatangkan fitnah jika ia melangkah tanpa mengikut peraturan syariat.

Allah SWT. tidak mengenakan sedemikian kawalan yang ketat keatas mereka jika mereka tidak sedemikian bahaya.Bukankah Rasulullah SAW. telah mengingatkan tentang wanita dalam sabdanya yang bermaksud : "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaitan." (Hadis Riwayat Asy-Shihaab)

Maka amatlah wajar bagi wanita memahami kedudukan mereka, supaya mereka boleh berusaha mendapatkan kedudukan mereka sebagai perhiasan dunia yang terbaik, yang solehah, yang dapat memberi ketenteraman kepada gelora yang melanda masyarakat manusia.

Maka amatlah wajar juga wanita ini berusaha memadamkan segala fitnah yang mungkin timbul, yang mengiringi mereka ke mana saja mereka pergi.

Untuk menjadi wanita solehah yang berperanan sebagai isteri, ibu dan mujahidah serta terhindar daripada segala fitnah yang timbul, ia mestilah mencontohi keperibadiaan wanita-wanita Islam terdahulu, yang telah terbukti kesolehahan dan sumbangan besar mereka kepada pejuangan Islam.Kenang-kenangkan kemuliaan peribadi, pengorbanan dan perjuangan Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah Az-Zahra dan tokoh-tokoh wanita silam. Sesungguhnya mereka telah meninggalkan teladan dan mutiara yang tak ternilai buat kita.

Wanta solehah juga tidak seharusnya tertipu dengan rentak tari musuh-musuh Islam di dalam apa yang dinamakan "memperjuangkan hak wanita', sehingga mengenapikan peraturan-peraturan yang telah Allah aturkan untuk kita.

Di barat, kaum wanita mereka menuntut hak yang mereka namakan "Women's Liberation", tetapi wanita Islam sudah lama disuruh mencapai tahap wanita solehah.Itulah hak mereka yang Rasulullah s.a.w. sifatkan sebagai "sebaik-baik perhiasan di dunia". Adalah amat malang jika wanita Islam terikut-ikut dengan "Women's Liberation" tetapi gagal menilai ketinggian dan kemuliaan "wanita solehah".

Wanita sayugianya menyedari bahawa tugas, tanggungjawab dan peranan mereka adalah berat, sukar untuk dilaksanakan dan sulit untuk di selesaikan tanpa panduan dan pemahaman yang benar-benar ikhlas dan mendalam. Sedarlah, bahawa jalannya sukar untuk menjadi suatu perhiasan yang terbaik atau untuk memiliki pangkat solehah itu, tapi usaha ke arah itu adalah wajib dibuat.

Juga sedarlah, bahawa diri wanita itu adalah senjata syaitan yang paling ampuh untuk melahirkan kerosakan kepada lelaki khasnya dan masyarakat amnya, dan senjata ini telah terbukti berkesan jika diikuti rentetan sejarah kehidupan manusia sejak penciptaan Nabi Adam a.s. Dari itu, berwaspadalah dan teruskan usaha mengejar anugerah syurga yang dijanjikan Allah kepada wanita-wanita yang solehah.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu setiap wanita solehah perlulah bermuhasabh diri sendiri dan didiklah diri kalian untuk menjadi solehah iaitu dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, semoga kalian memperolehi hajat dan cita-cita yang kalian harapkan.

Kisah-kisah Ulama Silam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Terdapat tiga kisah-kisah ulama silam yang boleh kita jadikan sebagai pengajaran .
Pertama :Kisah bagaimana syaitan menipu Sheikh Abd Qadir al-Jalani.

Pada satu ketika, saya ternampak suatu cahaya terang benderang yang memenuhi seluruh langit. Kemudian suatu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan ia berkata :
"Wahai Abd Qadir, akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang haram bagimu."

Saya menjawab, "Berambuslah wahai syaitan."
Sebaik saja saya mengucapkan kata-kata tersebut, cahaya di langit tadi bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap.

Kemudian saya terdengar seorang berkata :
"Wahai Abd Qadir, aku telah menyesatkan tujuh puluh ahli Sufi dengan cara ini, tetapi Allah telah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan takwamu."

Mendengar kata-kata itu, saya pun membalas, "Tidak. Itu cuma rahmat Allah Ta'ala."

Sesudah Syeikh Abd Qadir menceritakankan peristiwa tersebut, salah seorang pendengar bertanya, "Bagaimana kamu tahu itu adalah syaitan?"

"Ketika dia berkata dia telah menghalalkan bagi saya perkara yang haram." jawab Syeikh Abd Qadir.

Beliau selalu memberitahu muridnya bahawa apa-apa amalan yang bercanggah dengan suruhan Allah, maka sudah tentu itu adalah amalan syaitan. Dalam hal yang demikian, hendaklah seseorang kembali kepada ajaran syariat, mengukuhkan iman dan melawan kecenderungan nafsu dengan bersungguh-sungguh. Apa jua yang tidak dibenarkan oleh syariat sudah tentu menyesatkan.

Kisah Kedua :Ketakwaan Ibrahim Adham.

Ibrahim Adham mengambil upah menjaga dusun delima. Tetapi dia tidak pernah memakan walau sebiji pun buah delima di dusun itu.

Apabila ditanya tuan punya dusun itu, dia berkata :
"Tuan mengupah saya untuk menjaga dusun ini supaya subur dan berbuah banyak. Tetapi tuan tidak pernah menyatakan keizinan supaya saya merasai buahnya."

Kisah Ketiga : Keperibadian Sayyidina Ali Zainal Abidin r.a.

Sayyidina Ali Zainal Abidin bin Sayyidina Hussein bin Sayyidina Ali r.a. digelar sebagai As-Sajjad (orang yang kuat mendirikan solat). Beliau adalah seorang ahli ibadah yang taat kepada Allah dan Rasulnya. Dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 H.

Beliau solat sunat seribu rekaat sehari semalam dan tidak pernah meninggalkan qiamullail. Ali Zainal Abidin adalah seorang yang khusyuk dalam solat. Dia sangat takut kepada Allah. Ketika beliau berwuduk wajahnya menjadi pucat dan gementar seluruh tubuh badannya.

Apabila di tanya, "Kenapa wajah tuan menjadi pucat dan seluruh anggota badan tuan mengeletar?"

Beliau menjawab, "Tahukah kamu saya akan berdiri di hadapan siapa?"

Pernah pada suatu ketika, beliau baru melangkah keluar dari masjid, seorang lelaki menemuinya dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik padanya. Namun beliau tidak membalas dengan kata-kata yang serupa. Tetapi dia bertanya : "Apa lagi yang tuan tidak ketahui mengenai diri saya. Adakah tuan memerlukan sesuatu sehingga saya dapat membantu tuan?"

Lelaki tersebut merasa malu. Malah beliau memberinya seribu dirham kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebut bertambah malu lalu berkata : "Saya bersaksi bahawa tuan adalah cucu Rasulullah," Demikian tinggi akhlak Sayyidina Ali Zainal Abidin r.a yang membalas tuba dengan susu.

Setiap malam beliau memikul sendiri guni berisi makanan untuk disedekahkan kepada fakir miskin di kota Madinah. Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, cicit Nabi yang mulia ini hanya berkata : "Memberi sedekah secara sembunyi-sembunyi dapat memadamkan murka Allah."

Beliau juga tidak pernah menagih hutang, sangat menyayangi binatang. Malah beliau tidak pernah memukul kudanya ketika menungganginya sama ada dalam perang atau ketika mengerjakan haji.

Beliau meninggal dunia di kota Madinah pada 94 Hijrah dan di semayamkan di perkuburan Baqi', dekat makam Sayyidina Hasan. Tiada warisan yang paling mulia selain ilmu yang di tinggalkannya kepada kita.

Wednesday, July 29, 2009

Kisah Hasan al-Basri : Jangan Berburuk Sangka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik 'Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!'

Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan. Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."

Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."

Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi dari bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya dari tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."

Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."
Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih dari orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam mengajar kita supaya tidak berburuk sangka kepada saudara seagama. Jika datang satu berita mengenai keburukan saudara kita, maka perlulah kita selidik dahulu berita tersebut supaya kita tidak menzalimi saudara kita dengan prasangka yang buruk.

Terdapat beberapa pengajaran yang boleh kita dapati daripada kisah di atas :

Pertama : Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah jangan menghinanya atau redha dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya. Mungkin orang itu jahil tentang perbuatannya.Untuk diri kita pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah ilmu ini masih juga melakukan perbuatan yang dilarang.

Kedua : Perkara yang patut kita ingat tentang diri kita ialah perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan ialah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"
(Surah as-Sajadah ayat 15-16)

Nasihat Menasihati Satu Tuntutan Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nasihat- menasihati membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya dari kerugian. Ianya untuk semua golongan manusia. Maka nasihat membawa maksud untuk membaiki keadaan yang rosak atau untuk meningkatkan mutunya dan inginkan kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Deen itu ialah nasihat. Mereka (sahabat-sahabat r.hum) bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab, untuk Allah, dan kitab-Nya, dan Rasul-Nya, dan imam-imam muslimin, dan seluruh muslimin." (Hadis Riwayat Muslim)

Ternyata perlaksanaan Islam sangat dipengaruhi oleh kemahuan memberi dan menerima nasihat. Para ulama' merumuskan bahawa peredaran Islam berpaksi pada hadis tersebut di atas. Islam berkembang dan membangun apabila nasihat-menasihati tersebar luas.Dan sebaliknya apabila umat Islam meninggalkan nasihat-menasihati maka akan berlakulah kelemahan dan menuju kehancuran. Berdasarkan hadis tersebut huraiannya adalah seperti berikut :

Nasihat Untuk Allah :
Maksudnya ialah kita beriman kepada Allah sepenuhnya tidak ragui-ragu, matlamat hidup semata-mata mencari keredhan-Nya, marah dan benci kerana-Nya, iltizam dan terikat dengan syariat-Nya.

Nasihat Untuk Kitab :
Maksudnya ialah mengimani kitab suci al-Qur'an dan sumber-sumber senawi-Nya. Membaca,memahami dan melaksanakan tuntutan yang terkandung dalam kitab Allah ini.

Nasihat Untuk Rasulullah SAW :
Maksudnya ialah meyakini dan akur kepada risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. untuk menyelamatkan umat manusia. Melaksanakan sunnah dan ajaran yang dibawa baginda meliputi semua urusan duniawi dan ukrawi. Kita juga perlu mengimani bahawa jalan hidup yang berjaya ialah jalan hidup berdakwah kepada kebaikan Islam.

Nasihat Untuk Imam-imam Muslimin :
Maksudnya ialah seqah (yakin) dan taat kepada pemimpin-pemimpin Islam (yang melaksanakan al-Quran dan As-Sunnah) dan menegur mereka bila mereka menyeleweng.Imam dan ulama pewaris Nabi ini bersedia menerima teguran dari umat Islam.

Nasihat Untuk Seluruh Muslimin :
Sesama muslimin juga diberi tauliah saling nasihat- menasihati agar kesejahteraan Islam terpelihara. Hal ini dituntut sehingga menjadi satu daripada hak sesama muslim, iaitu memberi nasihat apabila dipinta.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat, maka nasihatlah ia."
(Hadis)

Telah menjadi satu penghayatan di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. apabila mereka bertemu mereka bertanya khabar untuk mengetahui iman masing-masing.
"Apa khabar iman kamu?" dan apabila berpisah mereka membaca Surah al-'Ashr yang mengandungi nasihat padat supaya tidak sia-siakan umur malah terus beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran dan saling berpesan supaya istiqamah dan berterusan dengan Islam.

Terdapat dua jalan untuk melaksanakan nasihat-manasihati :
1.Melalui Jalan Mengajar (ta'alim).

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Sebaik-baik kamu ialah yang membaca al-Quran dan mengajarkan kepada manusia".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Ilmu yang asas adalah ilmu Fardu Ain merangkumi ilmu tentang aqidah Islam, feqah dan tasauf. Termasuk juga ilmu hadis dan tafsir al-Quran. Orang-orang yang tinggi kedudukannya disisi Allah adalah orang yang berilmu. Pastilah akan lahir mesyarakat yang baik sekiranya ahli masyarakat hampir dengan Allah SWT.

2.Lisan yang Sejahtera :

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
"Percakapan anak Adam merugikannya kecuali (yang berunsur) amar makruf nahi mungkar dan mengingati Allah."
(Hadis)

Imam al-Ghazali berpendapat orang yang berilmu serta arif dalam percakapan lebih diutamakan bergaul dengan orang ramai daripada beribadah sunat demi membimbing mereka ke jalan kebenaran.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita nasihat menasihat kepada kebenaran dan nasihat menasihati untuk sentiasa bersabar.

Fudhail bin 'Iyad berkata, "Orang yang paling berjaya disisi kami ialah bukan mereka yang banyak solat dan puasa tetapi diukur dengan jiwa yang pemurah, berlapang dada dan melaksanakan nasihat terhadap umat. Dakwah juga adalah dalam rangka memenuhi tuntutan nasihat-menasihati agar orang yang didakwahkan menghindarkan keburukan yang dilakukan sebelumnya serta membaiki dan membina dirinya menjadi Muslim Mukmin yang sebenar."

Kita perlu membina persekitara yang baik (biah solehah) supaya proses nasihat-menasihati dapat berfungsi dengan baik dan memberi kesan dalam hati manusia. Oleh itu proses tarbiyyah perlu berjalan dalam suasana yang harmoni dan berterusan.Apabila tugas dakwah, tarbiyyah dan nasihat-menasihati berjalan kita akan berjaya menjadi khalifah Allah dimuka bumi ini dan insya Allah akan dapat ganjaran yang besar disisi Allah s.w.t. diakhirat nanti.

Tuesday, July 28, 2009

Adab Duduk dalam Majlis Ilmu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Waqid al-Laitsi r.a berkata, "Rasulullah SAW  sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang tiga orang lelaki. Dua daripada mereka mendatangi Nabi SAW., sedang yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang.

Setelah Rasulullah SAW. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda yang bermaksud, 'Perhatikanlah, kuberitahukan kepada anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang kedua malu-malu maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling , maka Allah berpaling pula daripadanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran yang boleh di ambil :
1.Seorang alim yang menyampaikan kuliahnya hendaklah duduk di tengah-tengah murid-muridnya di tempat yang boleh di lihat dengan jelas oleh semua orang.

 2.Disunatkan duduk dalam masjid untuk muzakarah yang membincangkan tentang ilmu.

 3.Disunatkan membentuk halakah dalam majlis ilmu dan zikir.

 4.Makruh keluar dari dalam masjid ketika sedang berlangsungnya ceramah tanpa alasan yang munasabah.

 5.Disunatkan mendekati orang yang berilmu dalam halakah agar dapat mendengar penerangannya dengan jelas.

 6.Seorang yang ingin bergabung dalam halakah jika melihat ada tempat yang renggang hendaklah ia duduk di tempat tersebut, bukan di belakang para jemaah.

 7.Harus memberi pujian kepada sesaorang yang membuat kebaikan.

 8.Harus menceritakan tentang keburukan yang di lakukan oleh sesaorang secara terang-terangan.

 9.Orang yang terlebih dahulu menduduki suatu tempat dalam majlis ilmu maka jika ia kembali ia lebih berhak untuk duduk di tempat tersebut.

 10.Kita hendaklah mengisi kawasan yang renggang dengan penuh adab tanpa menganggu para hadirin yang sedia ada.

 11.Hendaklah duduk tetap di suatu tempat sehingga selesai pengajian atau ceramah melainkan jika ada keuzuran.

Monday, July 27, 2009

Kisah Nabi Uzair Bangun Dari Tidur yang Panjang

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setelah seratus tahun tahun berlalu, Allah SWT mengutuskan malaikat untuk membangunkan Nabi Uzair a.s. Dalam keadaan terpinga-pinga Nabi Uzair pun bangun. Alangkah terkejutnya Nabi Uzair a.s.  apabila melihat keadaan di situ sudah banyak berubah. Di mana keldai yang selalu menjadi tunggangannya? Sedangkan sebelum tidor, keldainya itu telah ditambat pada sebatang pokok yang menjadi tempatnya berteduh.

Malaikat bertanya : "Berapa lamakah kamu tertidur wahai Uzair?"

"Saya rasa saya telah tertidur selama sehari atau setengah hari," jawab Nabi Uzair.

"Sesungguhnya kamu telah tertidur selama seratus tahun. Lihatlah makanan dan minuman kamu, semuanya tidak berubah seperti asalnya. Tetapi lihatlah keldaimu. Ia telah terbaring mati selama seratus tahun, kini bangkainya telah berubah menjadi selonggok debu tanah.

Nabi Uzair melihat kearah makanannya semuanya masih segar dan sedia dimakan. Tetapi keldainya sudah pun menjadi selonggok debu tanah. Nabi Uzair pelik dengan keadaan ini. Benarkah dia telah tertidur selama seratus tahun? Dengan kuasa Allah SWT., tiba-tiba longgokan tanah itu bergerak dan berubah menjadi tulang-tulang yang tersusun rapi. Kemudian, tumbuh daging membentuk tubuh keldai. Akhirnya, keldai Nabi Uzair bangkit semula daripada kematiannya setelah seratus tahun dengan cara yang menakjubkan.

Nabi Uzair a.s. sedar bahawa Allah SWT sedang memberi peringatan kepadanya kerana persoalan yang bermain di fikirannya tentang kuasa Allah SWT dalam menghidupkan orang-orang yang telah mati.

"Astaghfirullah, kini aku benar-banar yakin bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu." ucap Nabi Uzair."

Nabi Uzair kembali ke kampungnya yang kini telah berubah menjadi bandar besar. Tidak ada seorang pun penduduk di situ yang mengenali Nabi Uzair. Begitu juga Nabi Uzair yang tidak pernah melihat mereka semua sebelum ini. Sehinggalah apabila Nabi Uzair bertemu dengan perempuan tua yang buta dan pernah bekerja sebagai pembantu di rumahnya dahulu. 

Apabila Nabi Uzair memperkenalkan dirinya, perempuan tua itu menangis lalu berkata : "Uzair adalah Nabi Allah yang mulia. Teladan dan ajarannya kekal diamalkan oleh Bani Israil sehingga sekarang. Salah satu keistimewaan Uzair ialah ucapannya sentiasa didengar dan dikabulkan Allah SWT. Kalau benar engkau adalah Uzair, maka buktikanlah."

Nabi Uzair mengangkat tangan dan berdoa agar Allah mengembalikan pengelihatan perempuan tua itu. Ketika itu juga pengelihatan perempuan itu pulih seperti sedia kala. Dia amat terkejut apabila mendapati tuannya hilang seratus tahun kini sedang berdiri di hadapannya. Kedatangan Nabi Uzair dengan cerita tidurnya selama seratus tahun telah mengemparkan seluruh masyarakat Bani Israil. Mereka gembira kerana Allah SWT telah mengembalikan Nabi Uzair kepada mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Kisah Nabi Uzair a.s. terdapat dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 259 yang bermaksud : "Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun , kemudian menghidupkannya kembali..."
Pengajaran yang boleh diperolehi daripada kisah ini adalah bagaimana Allah SWT Maha Berkuasa Menghidupkan dan Mematikan manusia yang dikehendaki-Nya sebagai iktibar bahawa amat mudah bagi Allah SWT menghidupkan manusia. Semua kekuasaan dan kehebatan adalah milik Allah SWT, manusia wajib meyakini dan reda di atas qadak dan qadar Allah SWT.

Sunday, July 26, 2009

Pahala dan Keutamaan Sedekah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sedekah memiliki keutamaan dan pahala yang besar di dunia dan akhirat. Hanya orang yang diinginkan Allah dan diberi-Nya taufiklah yang akan mendapatkan itu semua. Terdapat sembilan kebaikan sedekah. Oleh itu setiap mukmin mestilah merebut peluang yang besar ini untuk kebaikan di dunia dan akhirat. 

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Sedekah Sebagai Pembersih dan Pensuci Diri.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah ayat 103)

 Oleh itu sedekah merupakan pembersih dan pensuci sekali gus sebagai penghapus dosa dan kesalahan. Bahkan sedekah juga akan mengangkat darjat orang yang menunaikannya.

 2. Sedekah Memenuhi Perintah Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku!Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.”
(Surah al-Munafiqqun ayat 10)

3. Orang Mukmin Mendapat Perlindungan Arasy Dengan Bersedekah Pada Hari Kiamat.

Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapatkan perlindungan Allah pada hari di mana tiada perlingungan sama sekali selain perlindungan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“…..Seorang lelaki yang bersedekah secara diam-diam sehinggalah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.”
(Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)

 4. Sedekah Melindungi Dari Bahaya dan Musibah, Serta Menolak Su’ul Khatimah (Kematian yang Buruk).

Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

 Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Al-Mubarakafuri menceritakan bahawa Imam al-Iraqi pernah berkata : “Jika difahami secara zahir apa yang dimaksudkan dengan kematian yang buruk adalah seperti meninggal dalam runtuhan , jatuh di tempat tinggi, mati lemas, mati terbakar, diganggu syaitan ketika sakratul maut dan mati ketika sedang melarikan diri dari medan perang dimana keadaan-keadaan seperti ini yang Nabi SAW. memohon kepada Allah untuk dijauhkan daripadanya.”

Oleh itu, maka sedarilah betapa besarnya keutamaan dan manfaat sedekah dalam membuat seseorang mati dalam keadaan husnul al-khatimah (kematian yang baik). Begitu pula manfaatnya dalam menjaga seseorang dari segala bentuk bahaya dan musibah.

5. Sedekah Merupakan Bukti di atas Kebenaran Iman.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
“Kebersihan adalah sebahagian daripada Iman, alhamdulillah memenuhi timbangan dan subhanaullah walhamdulillah mengisi apa-apa yang ada di antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti ( di atas kebenaran keimanan), sabar adalah penerang dan al-Qur’an adalah dalil bagi kamu. Setiap manusia di pagi harinya akan menjual dirinya. Dialah yang memutuskan keadaan dirinya, samaada melakukan perbuatan yang menyelamatkan dirinya atau membinasakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan penggal hadis ‘sedekah adalah bukti’ bahawa sedekah adalah dalil atau bukti di atas kebenaran iman orang yang menunaikannya kerana orang munafik tidak akan mahu mengeluarkan sedekah, kerana tidak meyakini keutamaan sedekah.

6.Sedekah Menyelamatkan Seorang Muslim dari Belenggu Hati.

Belenggu hati bagi seorang muslim adalah berasal dari dosa dan maksiat yang dia lakukan. Kebanyakan kita tidak sedar dengan adanya belengu ini. Oleh kerana, seorang muslim sangatlah berhajat kepada sesuatu yang mampu melepaskan belenggu itu.

 Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu dilehernya. Lalu yang lain datang untuk memukul lehernya. Maka berkatalah (sedekah): ‘Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Di dalam hadis ini Nabi SAW. mengumpamakan orang yang bersedekah sebagai orang tawanan. Kemudian datanglah sedekah untuk membebaskannya dari ikatan belenggu. Dengan sebab sedekah, Allah SWT. akan menghindarkan bermacam-macam bala dan musibah berasal dari orang yang membuat maksiat, orang zalim atau orang kafir.

7. Allah Akan Mnggantikan Harta Orang yang Bersedekah.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
8. Pahala Sedekah Sentiasa Mengalir Kepada Orang yang Bersedekah, Walaupun Selepas Dia Meninggal Dunia.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Apabila anak Adam (manusia) telah meninggal dunia, maka putuslah segala amalnya, kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
9. Sedekah Menghapuskan Kesalahan (dosa).
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh kerana manfaat yang cukup besar maka janganlah kita abaikan sedekah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Latihlah diri kita untuk bersedekah, jangan tangguh-tangguh, mulakanlah dengan sedikit setakat kemampuan kita. Jangan fikir kita akan rugi sebab rezeki yang datang daripada Allah SWT. kita tidak tahu dari mana puncanya. Allah SWT akan beri rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka apabila kita sahut seruan Allah SWT untuk sedekah dan infaq di jalan-Nya.