Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sedekah memiliki keutamaan dan pahala yang besar di dunia dan akhirat. Hanya orang yang diinginkan Allah dan diberi-Nya taufiklah yang akan mendapatkan itu semua. Terdapat sembilan kebaikan sedekah. Oleh itu setiap mukmin mestilah merebut peluang yang besar ini untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Sedekah Sebagai Pembersih dan Pensuci Diri.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah ayat 103)
Oleh itu sedekah merupakan pembersih dan pensuci sekali gus sebagai penghapus dosa dan kesalahan. Bahkan sedekah juga akan mengangkat darjat orang yang menunaikannya.
2. Sedekah Memenuhi Perintah Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku!Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.”
(Surah al-Munafiqqun ayat 10)
3. Orang Mukmin Mendapat Perlindungan Arasy Dengan Bersedekah Pada Hari Kiamat.
Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapatkan perlindungan Allah pada hari di mana tiada perlingungan sama sekali selain perlindungan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“…..Seorang lelaki yang bersedekah secara diam-diam sehinggalah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.”
(Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)
4. Sedekah Melindungi Dari Bahaya dan Musibah, Serta Menolak Su’ul Khatimah (Kematian yang Buruk).
Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)
Al-Mubarakafuri menceritakan bahawa Imam al-Iraqi pernah berkata : “Jika difahami secara zahir apa yang dimaksudkan dengan kematian yang buruk adalah seperti meninggal dalam runtuhan , jatuh di tempat tinggi, mati lemas, mati terbakar, diganggu syaitan ketika sakratul maut dan mati ketika sedang melarikan diri dari medan perang dimana keadaan-keadaan seperti ini yang Nabi SAW. memohon kepada Allah untuk dijauhkan daripadanya.”
Oleh itu, maka sedarilah betapa besarnya keutamaan dan manfaat sedekah dalam membuat seseorang mati dalam keadaan husnul al-khatimah (kematian yang baik). Begitu pula manfaatnya dalam menjaga seseorang dari segala bentuk bahaya dan musibah.
5. Sedekah Merupakan Bukti di atas Kebenaran Iman.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
“Kebersihan adalah sebahagian daripada Iman, alhamdulillah memenuhi timbangan dan subhanaullah walhamdulillah mengisi apa-apa yang ada di antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti ( di atas kebenaran keimanan), sabar adalah penerang dan al-Qur’an adalah dalil bagi kamu. Setiap manusia di pagi harinya akan menjual dirinya. Dialah yang memutuskan keadaan dirinya, samaada melakukan perbuatan yang menyelamatkan dirinya atau membinasakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menjelaskan penggal hadis ‘sedekah adalah bukti’ bahawa sedekah adalah dalil atau bukti di atas kebenaran iman orang yang menunaikannya kerana orang munafik tidak akan mahu mengeluarkan sedekah, kerana tidak meyakini keutamaan sedekah.
6.Sedekah Menyelamatkan Seorang Muslim dari Belenggu Hati.
Belenggu hati bagi seorang muslim adalah berasal dari dosa dan maksiat yang dia lakukan. Kebanyakan kita tidak sedar dengan adanya belengu ini. Oleh kerana, seorang muslim sangatlah berhajat kepada sesuatu yang mampu melepaskan belenggu itu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu dilehernya. Lalu yang lain datang untuk memukul lehernya. Maka berkatalah (sedekah): ‘Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi).
Di dalam hadis ini Nabi SAW. mengumpamakan orang yang bersedekah sebagai orang tawanan. Kemudian datanglah sedekah untuk membebaskannya dari ikatan belenggu. Dengan sebab sedekah, Allah SWT. akan menghindarkan bermacam-macam bala dan musibah berasal dari orang yang membuat maksiat, orang zalim atau orang kafir.
7. Allah Akan Mnggantikan Harta Orang yang Bersedekah.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
8. Pahala Sedekah Sentiasa Mengalir Kepada Orang yang Bersedekah, Walaupun Selepas Dia Meninggal Dunia.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Apabila anak Adam (manusia) telah meninggal dunia, maka putuslah segala amalnya, kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
9. Sedekah Menghapuskan Kesalahan (dosa).
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Sahabat yang dikasihi,
Sahabat yang dikasihi,
Oleh kerana manfaat yang cukup besar maka janganlah kita abaikan sedekah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Latihlah diri kita untuk bersedekah, jangan tangguh-tangguh, mulakanlah dengan sedikit setakat kemampuan kita. Jangan fikir kita akan rugi sebab rezeki yang datang daripada Allah SWT. kita tidak tahu dari mana puncanya. Allah SWT akan beri rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka apabila kita sahut seruan Allah SWT untuk sedekah dan infaq di jalan-Nya.
1 comment:
Atikelnya bagus.
Post a Comment