Saturday, August 1, 2009

Pemimpin Rumahtangga Bahagia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan yang bahagia dan aman damai adalah cita-cita dan idaman setiap pasangan. Untuk mencapai kebahagiaan, setiap pasangan perlulah mengikut jalan-jalan yang telah pun ditunjukkan oleh Allah dan Rasul.

Sekiranya masing-masing dapat menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah itu adalah baik dan sempurna, mereka akan berjaya di dalam melayari bahtera perkahwinan.

Namun, di antara tanggungjawab itu, ada yang berat dan ada yang ringan. Cuma pasangan yang terdidik dengan ajaran Islam akan mudah melaksanakan tanggungjawab yang berat ini.

Di antara tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya ialah :

Pertama : Menjadi pemimpin kepada keluarganya.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pimpinannya. Seorang Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas keluarganya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua : Mengajar ilmu yang wajib (fardu ain).

Ibnu Abbas berkata : "Berilah pengertian agama kepada mereka (isteri dan anak-anak) dan pelajaran akhlak yang bagus kepada mereka."

Yang dikatakan ilmu fardu ain adalah :
1. Ilmu Tauhud ; MengEsakan Allah SWT., yang dengannya dapat diketahui Zat dan Sifat-sifat-Nya.

2. Ilmu Feqah ; Mengetahui cara-cara beribadah, halal dan haram, bersuci dan sebagainya.

3. Ilmu Tasauf ; Mengenal hal ehwal hati, sifat-sifat mazmumah dan mahmudah, dan sebagainya.

Sekiranya suami tidak mampu mengajar ilmu fardu ain, hendaklah dia menyuruh isterinya belajar daripada guru.

Ketiga : Menyediakan makan minum, tempat tinggal dan pakaian dari sumber yang halal.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Kewajipan seorang suami ialah menyediakan makanan, pakaian, tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkannya dan tidak meninggalkannya kecuali pada tempat tidur (waktu isteri menderhaka)."

Kata ulama' : "Sekali suami membeli pakaian yang dapat mengembirakan isterinya dari sumber yang halal, Allah memberi ganjaran pahala kepadanya tujuh puluh tahun."

Keempat : Memberi nafkah zahir dan batin.

Nafkah zahir dan batin yang perlu di berikan kepada isteri adalah mengikut kadar keperluan masing-masing dengan secukupnya. Sekiranya nafkah ini mencukupi dan sempurna, kedua-dua pasangan akan merasa tenang dan nikmat rumahtangga.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
"Sesungguhnya apabila seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya, baginya dicatat pahala (kerana persetubuhan itu) seperti pahala anak lelaki yang mati syahid dalam medan peperangan menegakkan agama Allah."

Kelima : Memberi nasihat dan teguran .

Sekiranya isteri dan anak-anak melakukan maksiat dan kesalahan, maka ia mestilah memberi nasihat yang baik dengan hikmah dan lemah lembut.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan mereka sekelian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat dari kamu."
(Surah an-Nisa' ayat 20)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Pergaulilah mereka dengan cara yang baik."
(Surah an-Nisa' ayat 183)

Sahabat yang dikasihi,
Tugas dan tanggungjawab yang besar ini mestilah dilaksanakan dengan hati yang sabar dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT., sentiasalah berdoa setiap lepas solat, memohon semoga Allah SWT. memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat dan menyelamatkan diri kita, isteri dan anak-anak dari seksa api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu.

1 comment:

fiza said...

Lelaki yg baik untuk wanita yg baik dan sebaliknya...semoga aku tergolong dlm wanita yg baik...Amin:)