Saturday, March 10, 2012

Anak Derhaka Membuang Ibunya di Bajet Hotel.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam Harian Metro, Jumaat, 9 Mac 2012 , Berita hadapan : Tinggal ibu lumpuh di hotel. Tangisan kerana anak . Seorang ibu berasal daripada Pengerang, Johor, Faridah Maulud 66 tahun ditinggalkan oleh anaknya dihotel bajet Kuala Lumpur.

Ibu itu ditemui oleh seorang kakitangan hotel semasa memeriksa bilik yang disewa anaknya yang berusia 27 tahun. Dia ditemui dalam keadaan tertiarap selama 4 hari yang lalu.
Faridah Maulud, kini dijaga oleh kakitangan hotel yang membantunya membersihkan diri dan menukarkan lampin pakai buangnya. Dia bersungguh-sungguh ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan pihak hotel yang banyak membentunya.
 

Ibu di tinggal di hotel bajet
Namun sayang seribu kali sayang, ada seorang insan yang sanggup menjadi anak derhaka kerana menginggalkan ibunya yang dalam keadaan lumpuh di sebuah hotel bajet berseorangan. Inilah tanda-tanda akhir zaman ramai anak-anak derhaka dilahirkan oleh sistem pendidikan yang hanya mengutamakan bidang akademik sedangkan mata pelajaran agama dijadikan pilihan bukan keutamaan. Tidak wujud pendidikan yang bersepadu diantara iman, akhlak, ilmu dan amalan.

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah sedihnya hati seorang ibu, membesarkan anaknya diberikan susunya dengan penuh kasih sayang dimanja dan dibelai semasa kecil, jika sakit seorang ibu sanggup berjaga malam dan sanggup berkorban apa saja asalkan anaknya sihat dan membesar menjadi insan berguna, beriman dan bertakwa. Seorang ibu bersusah payah menghantar anaknya kesekolah, menyiapkan baju, buku, wang saku, bekalan semata-mata ingin melihat anaknya berjaya dalam pelajaran. Ibu tidak mengharapkan kemewahan dan tidak suka menyusahkan anaknya, harapan seorang ibu disaat dia tua dan sakit dan tidak berdaya menguruskan diri sendiri, saat inilah harapannya agar anaknya dapat membantunya kerana keuzuran ini sehinggalah dia kembali menemui Allah SWT. 

Tetapi... harapan ini hanya tinggal harapan, kasih sayang yang diharapkan tidak kunjung tiba, si anak yang diharapkan telah membuangnya tanpa belas kasihan, ditinggalkan keseorangan dalam keadaan lumpuh tidak bermaya, kelaparan dan tidak berupaya membesihkan diri sendiri.

Wahai anak derhaka!! Inikah balasan yang kau berikan kepada ibumu?? Di manakah sifat perikemanusiaan dan timbang rasa?? Di manakah iman kamu?? Inikah cara kau melayan ibumu??Kenapakah hati kamu seperti hati syiatan yang tidak ada belas kasihan?? Sanggup melihat ibumu mati kelaparan dan terbiar tanpa diuruskan?? Apakah kamu rasa kamu akan selamat dan melepaskan amanah ini kepada orang lain?? Ingat wahai anak derhaka, kamu tidak akan cium bau syurga, tanpa reda ibumu , Allah SWT tidak akan reda padamu. Di dunia ini pasti kamu akan mendapat bala dan musibah, hidupmu akan sengsara , jiwamu tidak akan tenteram, rezekimu akan sempit dan kau pasti akan dihina dan hidup terseksa kerana kau menzalimi ibumu sendiri.

Alaqamah seorang sahabat Nabi SAW  yang beriman dan bertakwa, bukan seorang yang derhaka kepada ibunya, tidak ada niat langsung untuk menyakiti hati ibunya, tetapi tanpa disedarinya hati ibunya terguris kerana dia mengutamakan isterinya daripada ibunya, disaat kematiannya semasa nazak hampir-hampir tidak mampu mengucap kalimah Lailahaillallah jika ibunya tidak memaafkannya. Tetapi akhirnya dia mampu mengucap kalimah
Lailahaillallah, setelah ibunya memaafkan kesalahannya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :" Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredan), maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”  (Hadis riyawat Bukhari )

Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT.

Nabi SAW memberi wasiat kepada Saidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Supaya peristiwa pahit yang menimpa masyarakat kita tidak berulang menimpa diri kita sendiri. Ajarlah anak-anak dengan akhlak Islam dan adab sopan, dan menghormati orang tua terutama ibu bapa.

Kita pula perlulah menjadi anak-anak yang soleh dan solehah untuk kedua ibu bapa kita sendiri, jika mereka sudah meninggal dunia banyakkanlah berdoa dan bersedekah untuk mereka di alam barzakh, jika ibu bapa kita masih hidup dekati dan sayangi mereka, ambillah tanggungjawab untuk membela mereka disaat mereka tua dan tidak mampu mengurus diri sendiri, jika kita lakukan kebaikan untuk ibu bapa kita maka balasannya nanti anak-anak kita akan lakukan perkara yang sama keatas diri kita insya Allah.

Thursday, March 8, 2012

Tiga Amalan Yang Boleh Bersama Para Siddiqiin di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, Berkata Ibnu Abbas ra. bahwasanya Nabi SAW. bersabda: “Allah telah berfirman: Bismillaahir-Rahmaanir-Rahiim. Sesungguhnya barangsiapa yang berserah diri kepada qadak-Ku, reda dengan hukum-Ku dan bersabar atas bala-Ku, nescaya akan Aku bangkitkan di hari kiamat bersama para siddiqiin.” (Hadis Riwayat Dailami)


Berdasarkan hadis qudsi di atas jelaslah kepada kita bahawa sesiapa dikalangan orang mukmin yang memiliki tiga ciri sifat yang mulia maka dia akan mendapat kedudukan mulia di sisi Allah SWT iaitu akan bersama para siddiqin (orang yang benar) dihari akhirat nanti.


Tiga sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

1. Berserah diri kepada qadak Allah SWT.

2. Reda terhadap hukum-hukum Allah SWT.

3. Bersabar di atas bala yang di berikan oleh Allah SWT.


Huraiannya :


1. Berserah diri kepada qadak Allah SWT.


Sebagai seorang mukmin kita wajib beriman kepada qadak dan qadar kerana beriman kepada qadak dan qadar adalah termasuk di dalam rukun iman. Yakinlah bahawa sesuatu yang ditetapkan oleh Allah SWT di dalam qadak-Nya adalah sesuatu yang terbaik dan mengandungi hikmahnya yang tidak mampu difikirkan oleh manusia. 


Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SAW  berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)  

Apabila kita bersangka baik dengan Allah SWT maka insya Allah kita akan memperolehi apa yang kita sangkakan.

2. Reda terhadap hukum Allah SWT.


Sesiapa yang reda dengan hukum Allah SWT dan melaksanakan hukum tersebut di dalam kehidupan maka dia akan mendapat rahmat dan kasih sayang-Nya.


Reda menerima hukum-hukum Allah SWT adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah SWT  kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. 


Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT  dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya. 


Firman Allah SWT. yang bermaksud : ” Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh – sungguh “. ( Surah An-Nisaa’ ayat 65 ) 



3. Bersabar di atas bala yang di berikan oleh Allah SWT.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiyaa' ayat 35)


Adapun orang yang benar dalam beriman ia akan senantiasa bertakwa kepada Allah dan menghambakan diri kepada-Nya dalam keadaan apapun. Bila ia mendapat kesenangan, kemudahan, dan kekayaan ia bersyukur. Namun jika ditimpa bala, kesulitan, kesusahan, dan kemiskinan ia bersabar.


Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sungguh seluruh urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak dimiliki oleh seorangpun kecuali seorang mukmin. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka hal itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah ia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim dari Shuhaib ar-Rumi)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati tiga perkara di atas tanda kita beriman dan bertakwa kepada Allah SWT iaitu berserah diri terhadap qadak Allah SWT, reda terhadap hukum-hukum Allah SWT dan sentiasa bersabar di atas bala dan ujian daripada-Nya. Jika kita patuh dan hayati tiga perkara di atas kita akan dimasukkan kedalam golongan para siddiqiin di hari akhirat nanti.

Wednesday, March 7, 2012

Tujuh Peringkat Nafsu Manusia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Semua manusia memiliki nafsu. Nafsu adalah anugrah Allah SWT kepada manusia. Ada nafsu yang mendorong kepada kebaikan dan ada juga nafsu yang mendorongan manusia kepada kejahatan. 


Terdapat tujuh peringkat nafsu yang dimiliki oleh manusia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, "Saya anak jantan." Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan din sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Ada kalanya buat jahat sehingga dikenakan hukuman dalam penjara. Janji tidak buat lagi tapi buat juga. Rasa sedih lagi dan buat jahat bukan kerana seronok tapi lemah melawan nafsu. Walaupun sudah niat tidak mahu buat lagi dan sudah serik, namun terbuat juga lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.

3. Nafsu Mulhamah
Erti pada lafaz ialah nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan (border).

Kalau tidak ada ribut atau ujian, jika mati insyaAllah selamat. Sebab sudah di atas border tapi belum sampai ke seberang. Namun masih dalam bahaya kerana apabila datang ribut, dia mungkin berbalik semula. Atau bila ujian datang, walaupun tidak jatuh tetapi sudah mula goyang. Orang di atas border ini tidak dikatakan tenang, masih dalam keadaan bahaya. Baru diberi ilham. Bila sudah sampai ke seberang barulah, masuk kawasan selamat dan barulah dikatakan tenang.

4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya. Orang ini sudah menjadi wali kecil, sudah naik di atas border orang soleh. Nafsu peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat, tidak tergugat lagi.

Maka Tuhan mengalu-alukan ketibaannya, dengan firman-Nya yang bermaksud : "Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Surah Al Fajr ayat  27-30)

Dari ayat ini, seolah-olah Tuhan tidak sabar hendak menyambut tetamu-Nya: "Mari-mari, cepat-cepat Aku tidak sabar, Aku hendak jumpa engkau ini."

Kemudian, dalam ayat tadi, Tuhan berfirman:
Maksudnya: "Kembalilah dalam keadaan redha kepada Aku, dan Aku redha dengan engkau." (Al Fajr: 28)

Tuhan mengalu-alukan dan kalau mati pada waktu itu, dia selamat. Oleh kerana dia sudah selamat, sebab itulah Tuhan menyeru. Manakala bagi orang yang nafsunya belum selamat, dia akan mati dalam keadaan jikalau Tuhan hendak azab pun boleh, hendak diampunkan pun boleh.

Semuanya atas sebab keadilan Tuhan. Kalau kita hendak mengharapkan kekuatan diri sendiri, bimbang tidak selamat. Sebab itu kita mesti mencari kekuatan lain. Di antaranya perbanyakkan selawat, berbuat baik, bertawasul dengan guru-guru dan lain-lain, mudah-mudahan itu menyelamatkan. Allah berfirman:
Maksudnya: "Bergaullah dengan hamba-hamba-Ku (iaitu para rasul, para nabi dan wali-wali), dan masuklah ke Syurga. Ku." (Al Fajr: 29-30)
Ertinya, cari-carilah sebab untuk mendapatkan rahmat dan Allah SWT. Bila mencapai peringkat nafsu mutmainnah, baru¬lah selamat. Nafsu-nafsu di bawah daripada peringkat itu tidak selamat.

5. Nafsu Radhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia me redhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di maqam ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi. Nafsunya sudah jadi malaikat.

6. Nafsu Mardhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: "Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."
Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.

7. Nafsu Kamilah
Nafsu peringkat ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah darjat atau peningkatan kepada nafsu mutmainnah tadi. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke macam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita tingkatkan nafsu kita daripada Ammarah atau Lawwamah kepada nafsu Mutmainnah dan seterusnya kepada nafsu Radhiah dan Mardhiah. Beruntunglah sesiapa yang dipilih oleh Allah SWT untuk dimasukkan kedalam hamba-hamba-Nya yang dirahmati dan diredai-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Balad ayat 27-30)

Tiga Kebaikan Manusia Hati dilimpahi Keamanan, Sihat Tubuh Badan dan Mencukupi Makanan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang memulakan hidupnya pada waktu pagi dengan hatinya dilimpahi keamanan, sihat pada tubuh badannya dan mendapat cukup makanan pada hari itu, maka dia seolah-olah memiliki dunia keseluruhannya."
(Hadis Riwayat Tirmizi . no. 2346).

Hadis tersebut menjelaskan tiga asas untuk kesenangan hidup, iaitu aman daripada ketakutan, sihat tubuh badan dan tidak menanggung kelaparan. Tujuan yang terdapat pada hadis tersebut mendorong sasaran supaya menerima hidayat Ilahi kerana di dalamnya akan dijumpai ketiga-tiganya.
Namun, makanan dan kesihatan saling berhubung. Setiap orang memerlukan makanan, apalagi ketika kesihatannya terganggu. Maka, orang sakit lebih memerlukan makanan. Antara arahan Nabi SAW ketika melawat orang sakit ialah memberikannya makanan yang disukainya.

Dalam hadis yang lain menceritakan maksudnya: "Nabi SAW melawat seseorang, lalu bertanya: Apa yang awak ingin makan? Jawabnya: Saya inginkan roti gandwn. Dalam satu riwayat, jawapannya: Saya inginkan ka'k (iaitu sejenis roti yang bulat atau panjang yang diperbuat daripada tepung gandum dengan campuran susu dan gula atau lain-lainnya). 

Nabi SAW lalu meminta bahawa sesiapa yang mempunyai roti gandum diharap dapat dihantarkan kepada saudaranya yang sakit. Dalam riwayat yang lain menjelaskan bahawa Nabi SAW masuk melawat orang sakit lalu bertanya: Adakah awak inginkan sesuatu? Adakah awak inginkan ka'k? Orang itu menjawab: Ya. Lalu sahabat-sahabat mencari untuknya (Hadis Riwayat Ibnu Majah,  no. 1439 dan 1440).

Hadis di atas menjelaskan bahawa tubuh badan memerlukan makanan untuk kestabilannya, terutamanya ketika ia sakit kerana keperluan ketika itu lebih terdesak untuk memulihkan kesihatan. Dengan itu, apa-apa makanan yang diperlukan ketika itu hendaklah diadakan. Keadaan tersebut mendorong sasaran menerima dan menyakini Islam, kerana menguntungkan pesakit untuk memulihkan kesihatannya dan menguntungkan pelawat dengan pahala yang dijanjikan, di samping dapat membina hubungan baik di antara mereka.

Dosa Mengumpat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". 
 
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Saidina Ali bin Abi Thalib ra berkata, "Lidah itu laksana seekor binatang buas, bila dilepaskan pasti membunuh".

Lidah itu adalah lebih tajam dari mata pedang,sebab boleh melukai yang tersembunyi.

Mengumpat itu memang lezat rasanya ketika didunia, tapi dapat menghantarkan pelakunya ke neraka di akhirat kelak, itu kalau betul terbukti melakukan kesalahan kalau tidak berarti anda memfitnahnya yang lebih besar dosanya dari pada pembunuhan jadi pikir-pikirkanlah sebelum bertindak.

Dari Abu Hurairah radhiallohu ‘anhu berkata, Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda
maksudnya : "Jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, tidak layak untuk saling menzalimi, berbohong kepadanya dan acuh kepadanya.Takwa itu ada disini (baginda sambil menunjuk dadanya 3 kali). Cukuplah seseorang dikatakan jahat jika ia menghina saudaranya sesama muslim. Haram bagi seorang muslim dari muslim yang lainnya, darahnya, hartanya, dan harga dirinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu jauhilah perbuatan mengumpat kerana dosa mengumpat hanya boleh dihapuskan apabila orang yang menerima umpatan memaafkannya, jika tidak mendapat kemaafan maka tuntutannya akan dilakukan semasa berada di hari akhirat nanti.


Cara-cara Berdoa Kepada Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Terdapat beberapa cara-cara berdoa yang berkesan ketika berdoa kepada Allah SWT. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar .

Firman Allah SWT maksudnya : “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Tidak bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. 

Firman Allah maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya yang bermaksud : “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. 

Sabda Nabi s.a.w maksudnya :  “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. 

Sabda Nabi s.a.w :" Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah . Ditanya baginda : "Apa itu tergopoh-gapah ? " Sabda baginda : "Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa "
(Hadis Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Hadis Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. 

Sabda Nabi s.a.w maksudnya :“Doa itu adalah ibadah” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah SAWT maksudnya : “Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf ayat 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. 

Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

Waktu larangan solat

Daripada Uqbah bin Amir r.a dia beliau berkata :’” Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga naik,ketika betul-betul tengah hari ( matahari naik tegak atas kepala ) dan ketika matahari condong ( hampir terbenam ) sehingga benar-benar terbenam.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi dan Abu Daud )

Huraiannya :

Pertama : Ketika tepat matahari terbit sehingga naik.

Solat-solat sunat dilarang ketika matahari terbit. Sebahagian ulama  mengecualikan Solat Subuh dan Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit , maka dia boleh meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh meneruskan solatnya sehingga selesai. 

Perkara tersebut merujuk kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ” Siapa yang mendapat satu rakaat dari salah satu solat, maka dia telah mendapat solat tersebut.”

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebutkan maksudnya:
” Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari, maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari, maka sempurnalah solatnya.”

Maksud perkataan sujud dalam hadis tersebut adalah rakaat.

2. Ketika istiwa’ iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit. 

Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah di atas. Namun demikian sebahagian ulama mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika solat di Masjidil Haram,Mekah. Ulama juga membenarkan untuk menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam waktu tersebut pada hari Jumaat.

Demikian juga pendapat Imam Abu Yusof . Dalilnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a berkata:  "Rasulullah SAW membenci solat pada tengah hari selain hari Jumaat dan bersabda: 'Sesungguhnya api neraka Jahanam menyala kecuali pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Abu Daud ).

Adapun dalil yang mengecualikan solat yang dilakukan di Masjidil Haram di Kota Mekah adalah riwayat daripada Jubair bin Muth’im bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: ” Wahai Bani Abdi Manaf  janganlah kamu semua menghalang seseorang yang akan tawaf di rumah ini ( Masjidil Haram ) dan jangan pula menghalang orang yang hendak solat pada waktu bila pun di malam atau siang hari. ” ( Hadis Riwayat Ashabus Sunan dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmizi )

3. Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga benar-benar terbenam .

Untuk Solat Asar yang telah mendapat satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil hadis-hadis di atas dibenarkan. Wallahua’lam..

Godaan Syaitan Ketika Solat

Sahabat Rasulullah SAW iaitu ‘Utsman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu,“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah dan rancu”. Rasulullah SAW menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Akupun melakukan hal itu dan Allah SWT. menghilangkan gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim)

Huraiannya :

Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah SAW atau mandi seperti baginda tetapi hati masih ragu-ragu dan merasai masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya.

 Ibnul Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka tersiksa dan tidak nyaman"

Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini.  Sedang Nabi SAW memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka”(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu marilah sama-sama kita jauhi diri kita daripada perasaan was-was yang di bisikkan oleh syaitan. Sentiasalah mengingati Allah SWT dan sering membaca doa perlindung daripada gangguan syaitan, sesungguhnya syaitan itu lemah dan tidak berupaya menganggu kita jika hati dan jiwa kita benar-benar yakin kepada Allah SWT.

Berlapang Dada Ketika Menjual, Membeli dan Menuntut Hutang


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT  akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

Huraiannya :

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidaka ada unsur-unsur memipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

Kebaikan Solat Tahajud

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Solat Tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai salatullail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya.Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti berikut :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isyak sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga/empat jam sahaja.

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. 

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan solat tahajud tanda kita bersyukur di atas nikmat Allah SWT yang banyak telah kita kecapi. Solat tahajud sebenarnya dapat menjalin hubungan kasih kita kepada Allah SWT kerana di waktu dua pertiga malam waktu yang suci untuk bermunajat dan bertaubat kepada Allah SWT.

Sunah Memotong Kuku Hari Jumaat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuklah anggota badanya. Kuku yang dipotong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda hormat kerana ia adalah anggota manusia.

Daripada Abu Hurairah maksudnya “Nabi SAW memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk solat” (Hadis Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani).

Sementara itu, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

Mulakan kerat kuku tu mulai dengan Bismillah dan selawat Nabi dan potong mula jari telunjuk sebelah kanan sampai habis tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan akhir  sekali ibu jari tangan kanan.

Kalau kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah sunnah yang paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya.

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku kaki atau tangan. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan kekotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan akan dan boleh menghalang air ketika bersuci. Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang segala kekotoran atau najis akan terlekat padanya dan nescaya ia menjejaskan kesihatan.

Menurut Imam Syafie dan ulamaknya, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang bersaf, kemudian mengerjakan solat sunat, dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata apa-apa hinga selesai solat, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya” (Hadis Riwayat Ahmad).

Aqiqah Sunat Muakad Untuk di Laksanakan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah SWT. sebagaimana penjelasan Rasulullah SAW. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Hukum Aqiqah

Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Tirmizi). 

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah SAW  menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)."
(Hadis riwayat al-Hakim)

Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.

Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja.

Syarat Sah Aqiqah

Syarat sah aqiqah ialah:

Berniat aqiqah ketika menyembelih. Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta. Memenuhi syarat-syarat sembelihan. Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh.

Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:

Umur Biri-biri/ 1 tahun atau lebih 
Kambing 2 tahun atau lebih 
Lembu/kerbau 2 tahun atau lebih 
Unta 5 tahun atau lebih
 
Sunat-sunat Aqiqah ialah: 

1. Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran .

2. Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi) .

3. Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan 

4. Memberi nama yang baik kepada bayi 

5. Berdoa ketika hendak menyembelih 

6. Daging dimasak manis. Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak. 

7. Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri

Sahabat ayng dimuliakan,
Terdapat beberapa hikmah aqiqah :

1. Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah SWT. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak dan 

2. Menggalakkan amalan sedekah. 

3. Melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka 

4. Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah. 

5. Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat. 

6. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri. 

7. Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik membiasakan berkorban bagi orang tua .

Semoga kita dapat melaksanakan aqiqah untuk melaksanakan sunah Rasulallah SAW terhadap anak-anak kita yang baru dilahirkan.

Sentiasa Berdoa Kepada Allah SWT Dalam Semua Keadaan.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan”. (Riwayat Tirmizi)

Huraiannya :

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56: Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang. Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Syarat -syarat Hadis Sahih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hadith sahih ialah hadith yang mempunyai sanad yang bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhabit (tepat dalam meriwayatkan hadith sama ada melalui kekuatan ingatan atau ketepatan catatannya), dan terselamat daripada syaz dan kecacatan.

Syarat hadith sahih

a. Sanadnya bersambung dari awal sehingga akhir, dan wujudnya ikatan ilmu iaitu adanya pertemuan di antara al Lāhiq dengan al Sābiq dan tidak wujud penghalang di antara keduanya daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat.

b. Perawinya bersifat adil iaitu orang yang dapat menguasai dirinya untuk membiasakan diri dengan taqwa dan menjauhi perkara-perkara fasiq dan bidaah. Dia menepati ciri – ciri berikut
- Muslim.
- Baligh.
- Berakal.
- Tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil.
- Menjaga maruah seperti tidak bergaul dengan orang-orang yang rendah maruahnya, tidak keterlaluan dalam bergurau senda dan tidak membuang air kecil di tepi jalan.

c. Perawinya bersifat dhabit iaitu orang yang tepat hafazannya, selamat dari kesalahan atau ragu-ragu dan berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya apabila diminta pada bila – bila masa. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhābit Sodri dan Dhābit.

Dhābit Sodri – Perawi yang menghafaz apa yang didengarnya dan mampu untuk memberitahu apa yang didengar dan dihafalnya sebagaimana dia mendengarnya pada bila-bila masa.

Dhābit Kitabi – Perawi yang benar-benar menjaga catatannya daripada hilang, dicuri, diubah atau diseleweng bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.

d. Terselamat daripada syaz iaitu tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah atau lebih ramai, dan tidak dikumpulkan.

e. Terselamat daripada kecacatan iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung dalam sanadnya seorang yang fasiq.

1. Hadith Sahih Li Zaatihi:

Perkataan Sahih adalah lawan kpd perkataan sakit.

Dari sudut istilah:

Iaitu Hadis yg bersambung sanadnya melalui pembawakan org yg kuat hafalan dan adil serta meriwayatkan drpd org yg kuat hafalan dan adil sehinggalah ke akhirnya tanpa terdapat syuzuz iaitu keganjilan dan tanpa ada illat iaitu kecacatan.

2. Sahih Li Ghairihi atau dinamakan juga Hasan Li Zaatihi

apabila ianya diriwayatkan melalui satu atau beberapa cara yg lain maka ianya dibantu oleh suatu kekuatan pada dua bentuk:

Pertama: Riwayatnya adalah melalui perawi-perawi yg masyhur dgn kebenaran dan penjagaan rahsia sekalipun berkurangan kekuatan hafalan mereka ataupun tidak mencapai taraf ahli Hafaz yg mahir dari kalangan perawi-perawi Hadis Sahih.

Kedua: Riwayatnya adalah melalui cara yg lain di mana dgn cara ini diperolehi satu kekuatan yg dapat menggantikan apa yg hilang pada kesempurnaan kekuatan hafalan dan dapat menaikkan taraf dari taraf Hasan kpd taraf Sahih, cuma ianya bukan Li Zaatihi, bahkan ianya dianggap Li Ghairihi.
 
Hadith Sahih:

Hukumnya:

1- Hadis tersebut adalah sahih dan wajib membuat hukum dengannya apabila terdapat di dlm kedua-dua kitab sahih Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat yg dipilih oleh Ibnu Solah serta menetapkan kesahihannya.

2- Wajib beramal dgn setiap Hadis sekalipun tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat Ibnu Hajar di dlm huraian kitab An-Nakhbah.

3- Hendaklah diterima kesahihannya sekalipun tiada yg beramal dengannya, sebagaimana pendapat Al-Qasimi di dlm kitab kaedah-kaedah meriwayatkan Hadis, iaitu Qawaid At-Tahdis.

4- Tidak terhalang utk beramal selepas menerima Hadis yg sahih jika diketahui tidak terdapat hukum yg membatalkan atau tiada perselisihan jumhur ulama atau tiada pertembungan, bahkan hendaklah beramal dengannya sehinggalah terdapat suatu ayat Al-Qur'an Atau Hadis yg melarang, maka hendaklah diperhatikan padanya terlebih dahulu.

5- Tidak akan mencacatkan kesahihan sesebuah Hadis walaupun hanya terdapat seorang sahaja dari kalangan sahabat yg meriwayatkannya. Ini adalah diambil drpd kata-kata Ibnu Al-Qayyim di dlm kitab (Ighathah Al-Lahfan).

6- Tidak semua Hadis yg sahih diceritakan kpd org awam. Dalilnya ialah: Hadis yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim drpd Muaz dan antaranya (Tidak ada seseorang yg mengucapkan kalimah syahadah bahawa tiada tuhan yg layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah akan memasuki neraka kerana Allah mengharamkan Neraka kepadanya). Sehubungan dgn itu Muaz berkata: Wahai Rasulullah! Apakah aku boleh menyampaikannya kpd org ramai agar mereka dapat bergembira? Rasulullah s.a.w bersabda: (Kalau begitu mereka akan hanya berserah tanpa berusaha). Tetapi Muaz menyampaikannya juga selepas kewafatan baginda.

Kedudukan Hadis Sahih mengikut karangan yg masyhur iaitu tujuh kedudukan:

1- Hadis yg telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhan iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim (Muttafaqun 'alaihi).

2- Hadis yg hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

3- Hadis yg hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.

4- Hadis yg menepati syarat Imam Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka berdua tidak meriwayatkan di dlm Sahih masing-masing. Imam Nawawi berkata: (Pendapat mereka bermaksud: Untuk memastikan Hadis Sahih kita mestilah berpandukan kpd syarat imam Bukhari dan Muslim secara mengenal pasti bahawa perawi-perawi Hadis tersebut terdapat di dlm kedua-dua kitab mereka (kitab sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim) kerana mereka berdua tidak meletakkan syarat di dlm kitab masing-masing begitu juga di dalam kitab-kitab yg lain).

5- Hadis yg menepati syarat Imam Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.

6- Hadis yg menepati syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.

7- Hadis yg dianggap sahih oleh ulama-ulama selain drpd keduanya tetapi tidak menepati syarat salah seorang drpd mereka.
    
      

Tuesday, March 6, 2012

Hanya Amalan Ikhlas Akan di Terima Oleh Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat ikhlas adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi mukmin yang bertakwa. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan setiap mukmin diterima Allah atau sebaliknya.

Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan mukmin di dunia dan di akhirat.

Jika ditinjau rangkaian ayat suci al-Quran, kita dapati betapa ciri keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi mukmin yang bertakwa.

Di antaranya, firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya."
(Surah al-Zumar, ayat 2).

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari mukmin melalui sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan nas ini, dapat disimpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah.

Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman seorang mukmin kepada Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri pun kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sesungguhnya, sifat ikhlas amat penting disemai dan dibaja dalam hati setiap seorang mukmin dalam semua lapangan hidup agar dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah yang bertakwa.

Perlu disedari sifat ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan haji, malah niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat diberi ganjaran pahala.

Sebaliknya, niat tidak baik seperti riak atau ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai sesuatu amalan walaupun ia adalah amalan ibadat dan akan menukarkannya menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksaan pedih di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Rasulullah memberi peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perkara boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah SWT seperti sifat riak, ujub dan sombong.

Pernah suatu ketika Rasulullah menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.

Sabda Baginda yang bermaksud: "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa memusuhi wali Allah, nescaya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir di situ, mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang menyuluh mereka keluar dari tempat gelap gelita." (Hadis riwayat Hakim).

Demikian gambaran indah diterangkan Rasulullah SAW terhadap hamba-Nya yang mengikhlaskan diri kepada Allah.

Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Itulah impian mereka dalam setiap detik kehidupan mereka yang sarat dengan pengabdian penuh tulus semata-mata kerana Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)."(Surah al-An'am, ayat 162 hingga 163).

Dari satu segi, gambaran orang tidak ikhlas dalam amalan mereka dan mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang beriman.

Ini kerana Rasulullah SAW sebagai rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang tidak ikhlas.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa-apa dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi).

Di samping itu, Islam adalah agama amat unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan muslim dianggap sebagai ibadat.

Oleh itu, setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah.

Hal ini ditegaskan sendiri Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala hinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau."
(Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda maksudnya: "Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah, ada padanya pahala sedekah." (Hadis riwayat Ahmad).

Sahabat yang dikasihi,
Selagimana kalian menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh keikhlasan tulus, maka selama itulah segala tingkah laku dan diam kalian, tidur dan jaga kalian akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah SWT.

Jika begini kedudukan seorang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah, maka kalian sebagai umat Islam sewajarnya menghiaskan diri dengan sifat mulia dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Dengan penjanaan sifat ikhlas ini barulah hati bersih dan suci dari sebarang kekotoran serta penyakit yang boleh menghancurkan ummah.

Harta dan kemewahan dunia tidak bererti, sebaliknya harta paling bernilai adalah hati yang ikhlas.

Ia bertepatan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." (Hadis riwayat Muslim).

Allah tidak memandang kepada paras rupa, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan tidak ada beza seseorang di sisi Allah kecuali iman dan takwanya.

Monday, March 5, 2012

Akhlak Mukimin Tidak Memandang Kecil Perkara Kebajikan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Bertakwalah kepada Allah dan jangan sedikit pun memandang kecil kepada kerja kebajikan walaupun sekadar mencurahkan air dari timba ke dalam bekas orang yang meminta air dan menemui saudara dengan muka yang riang. Jauhilah melabuh-labuhkan pakaian kerana melabuhkan pakaian itu dari sifat takbur, satu sifat yang tidak disukai Allah. Andainya ada orang yang memaki dan mencaci dengan sifat yang tidak ada pada kita,maka janganlah mencacinya dengan sifat yang ada padanya, biarlah ia yang menanggung padah dan kita mendapat pahalanya dan janganlah memaki seorang yang lain. (Hadis Riwayat At Tayalisi dari Jabir bin Sulaiman)

Huraiannya :

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa orang yang bertakwa dan orang mukmin tidak akan memandang kecil perkara-perkara kebaikan dan kebajikan walaupun mudah kerana ia sentiasa mengintai untuk melakukan kebajikan.Bandingan yang dibuat adalah seperti menuangkan air dalam timba orang lain atau memandang orang lain dengan senyuman juga menjadi amal kebajikan. Tidak berpakaian yang melambangkan rasa takabbur. Mestilah bersikap berlapang dada dan bersabar atas maki hamun dan cercaan serta umpatan orang lain .

Sunday, March 4, 2012

Bertaubat Kepada Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Said al- Khudri r.a. Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :
“Bahawa pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh manusia sehingga mencapai 99 orang. Pada suatu hari, dia ingin bertaubat lalu mencari-cari orang yang berilmu di negeri itu yang dapat memberikan bimbingan. Dia telah di bawa kepada seorang pendita, lantas dia menceritakan kejahatannya membunuh 99 orang dan dia bertanya, “Adakah taubatku masih di terima?”

Kemudian pendita itu mengatakan, “Tidak, taubatmu tidak akan di terima.”

Lantas orang itu membunuh sang pendita tadi. Maka genaplah menjadi 100 orang yang telah di bunuhnya. Dia pun terus mencari-cari lagi orang paling alim yang lain di negeri itu untuk meminta nasihat. Maka dia pun di bawa kepada seseorang yang paling alim (ahli ilmu).

Dia menceritakan bahawa ia telah membunuh 100 orang, maka apakah masih di terima taubatnya?

Orang alim itu menjawab, “Ya, masih boleh. Siapakah yang berhak menghalang seseorang untuk bertaubat? Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah itu menyembah Allah SWT. Sembahlah Allah SWT. bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke kampung halamanmu kerana perkampunganmu daerah hitam (banyak melakukan maksiat).”

Maka orang itu pergilah ke tempat tersebut. Apabila sampai di tengah perjalanan , dia pun meninggal dunia. Kemudian malaikat rahmat dan malaikat azab bertengkar merebut orang itu.

Malaikat rahmat membela, “Dia pergi ke sana kerana benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah SWT.”

Sedang malaikat azab berhujah dengan katanya, “ Sesungguhnya dia belum pernah berbuat kebajikan walaupan sedikit.”

Lantas seorang malaikat yang lain di utuskan Allah dan kedua-dua malaikat itu bersepakat menjadikannya sebagai hakim. Malaikat yang menjadi hakim itu berkata, “Ukurlah jarak kedua-dua daerah itu, nasibnya akan di tentukan berdasarkan yang lebih hampir. “

Apabila di ukur, mereka mendapati daerah yang ingin di tuju itulah yang lebih hampir. Dengan demikian, dia di terima oleh malaikat rahmat.”

(Hadis Riwayat al- Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia ada melakukan kesalahan dan dosa. Sebaik-baik mereka yang bersalah adalah minta ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW  sendiri bersifat maksum dan telah di ampunkan dosa baginda yang dahulu dan akan datang oleh Allah SWT tetap beristigfar 100 kali sehari. Sepatutnya kita lebih dari itu kerana betapa banyaknya dosa dan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan terhadapNya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

Basahkanlah lidah kita dengan menyebut nama Allah dan beristigfarlah setiap masa dan ketika dan meminta ampun di atas dosa-dosa kita yang lalu. Apabila hati ini hidup dengan zikir akan terbinalah jambatan hati dan perhubungan dengan Allah Azzawajalla.

Pengajaran-pengajaran yang boleh di ambil :

1. Seseorang yang sedang menghadapi masaalah hendaklah berdamping dengan seorang ulama atau ustaz agar dapat menyelesaikan masaalahnya.

2. Orang berilmu (alim) lebih utama daripada ahli ibadah (abid) kerana orang yang berilmu memutuskan sesuatu masaalah berdasarkan hukum dan nas yang terdapat di dalam al- Quran dan Sunnah bukan berdasarkan pemikiran semata-mata.

3. Orang yang ingin bertaubat dengan Taubat Nasuha hendaklah berusaha mengubah cara hidupnya dengan menjauhkan diri daripada perkara yang merangsangnya melakukan perbuatan dosa dan tidak mengulangi lagi dosa-dosa lama yang di buat.

4. Islam menganjurkan agar kita mencari tempat tinggal dalam kawasan yang aman dan kondusif dalam rangka mewujudkan semangat tolong menolong dalam melakukan kebaikan.

5. Jangan sewenang-wenangnya memberikan keputusan dalam perkara yang tidak pasti.

6. Allah mengampuni hambaNya sesuai dengan niat dan azamnya sekali pun ia belum mampu melaksanakan perbuatan yang di niatkan.

7.Kadangkala malaikat tidak mengetahui perbuatan setiap hamba Allah sebagaimana di sebutkan dalam hadis di atas. Jika mereka mengetahui segala perkara, sudah tentu tidak akan berlaku perbezaan pendapat mereka. Keputusan muktamad di serahkan kepada Allah s.w.t.