Saturday, December 12, 2009

Jagalah Hak-hak Allah

Ibnu Abbas berkata, " Pada suatu hari aku berada di belakang Nabi s.a.w. Baginda bersabda kepadaku :
 'Wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengajarmu beberapa kata ini sebagai nasihat buatmu :
Jagalah hak-hak Allah, nescaya Allah pasti akan menjagamu. Jagalah dirimu dari berbuat dosa terhadap Allah, nescaya Allah akan selalu berada di hadapanmu. Apabila engkau menginginkan sesuatu, mintalah pada Allah. Dan apabila engkau menginginkan pertolongan, mintalah pertolongan pada Allah. Ketahuilah, bahawa apabila seluruh umat manusia berkumpul untuk memberi manfaat padamu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali apa yang dituliskan oleh Allah di dalam takdirmu itu. Juga sebaliknya, apabila mereka berkumpul untuk memudharatkanmu, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan dirimu sedikitpun kecuali atas kehendak Allah. Pena telah diangkat dan lembaran takdir telah kering (telah digariskan ketentuan Allah)."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain disebutkan :
"Jagalah Hak Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapan kamu. Ingatlah Allah ketika engkau senang nescaya Dia akan mengingatimu ketika kamu susah. Ketahuilah bahawa segala sesuatu yang salah dalam dirimu tidak semestinya engkau langsung mendapat hukuman-Nya. Dan juga apa-apa yang menimpa dirimu dalam bentuk musibah atau hukuman tidak bererti disebabkan kesalahanmu. Ketahuilah bahawa pertolongan itu akan datang ketika engkau berada dalam kesabaran, dan bersama kesempitan akan ada kelapangan. Juga bersama kesulitan akan ada kemudahan."
(Hadis Sahih diriwayatkan Ahmad, Hakim, Thabarani, Ibnu Sinni, Al-Ajiri dan Adh-Dhiya')

Friday, December 11, 2009

Silaturahim Dapat Memanjangkan Usia Seseorang

Ketahuilah saudaraku.
SILATURAHIM ini dapat memanjangkan usia seseorang.
Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

(Di petik dari sentuhanbayu-zieida92.biogspot.com)



Pengajarannya :
Berdasarkah kisah di atas dan bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w. menyatakan bahawa salah satu kebaikan dan hikmah menjalinkan ikatan silaturahim yang telah terputus adalah dipanjangkan usia oleh Allah s.w.t. Oleh itu kita hendaklah membaiki semula ikatan persaudaraan yang terputus samaada sesama keluarga, sahabat handai atau jiran tetangga. Lupakanlah perselisihan yang lama dan binalah ukuwah Islamiyah dan hidupkan semula ikatan silaturahim.

Seorang Mukmin adalah Khalifah Allah di Muka Bumi

Dari Abu Sa'id Al-Khudry r.a dari Rasulullah s.a.w. bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia ini adalah manis lagi hijau dipandang. Dan sesungguhnya Allah menjadikan kalian sebagai khalifah di dalamnya, maka Allah akan melihat bagaimana yang kalian perbuat. Kerananya, berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hati kepada wanita, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel itu adalah fitnah wanita."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam hadis di atas Allah s.w.t. telah melantik manusia menjadi khalifah Allah di muka bumi. Apakah ciri-ciri seorang khalifah, yang mampu mentadbir muka bumi ini? Seorang Mukmin adalah orang yang layak menjadi khalifah. Seorang Mukmin yang kuat akan sentiasa memelihara apa yang bermanfaat baginya di sisi Allah. Ia betul-betul menjaga solat, zakat, puasa dan haji.

Menjaga apa yang bermanfaat bagi dirinya, seperti jujur, sedekah, amanah, amal ma'ruf nahi anil mungkar dan sentiasa mencari yang halal. Sentiasa mendidik isteri dan anak-anaknya dengan Deen dan aqidah Islam dan bersikap adil pada semua orang. Menjaga peribadinya dari mengumpat, menjadi batu api,hasad dengki, iri hati, sombong dan tidak merendahkan orang lain. Sentiasa menjaga pandangannya tidak memandang yang diharamkan, sentiasa menutup aurat dan sesuatu yang lahir dari lidahnya tidak menyakiti orang lain dan tidak mendatangkan dosa.

Orang Mukmin juga tidak merasa lemah dan sentiasa merasa mampu dan keyakinan diri yang kuat untuk melaksanakan amanah yang dipikulkan ke atas  dirinya. Ia juga sentiasa berhati-hati di dunia ini, dalam hatinya tidak masuk kecintaan pada dunia tetapi mengunakan sepenuhnya kenikmatan dunia untuk mencapai kebahgiaan di hari akhirat.Ia juga sentiasa berwas pada pada wanita supaya tidak timbul fitnah, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel adalah fitnah wanita.

Thursday, December 10, 2009

Tunaikan Tugas Dakwah ini!

Sahabatku yang dirahmati Allah,
Keyakinanmu pada Islam,  menuntut supaya kau laksanakan Islam ini dalam kehidupanmu dan sampaikan pada orang lain walaupun masyarakat menolaknya.
Jadikanlah dirimu sebagai batu-bata yang kuat dan mantap menuju binaan umat ini.
Teruskan dakwah ini tanpa rasa letih dan jemu, sesungguhnya nur kemenangan akan menerangi alam maya ini, bila kau gigih mengalas tugas yang besar ini dengan menunjukkan contoh yang baik.

Sahabatku yang dikasihi Allah,
Bercakap benarlah dan jangan sekali-kali kau berdusta,
walaupun ada telinga yang terasa perit mendengarnya.
Tepatilah janjimu, janganlah kau mungkiri,
 kerana sesungguhnya menyalahi janji adalah sebahagian sifat nifak.
Luruskan lidahmu kerana lidah yang benar akan menyelamatkan dirimu dari balasan yang menyakitkan di alam Akhirat yang kekal abadi.

Keberanian dan kesungguhanmu laksanakan amanah ini,
 menaikkan 'maqammu' di sisi yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
 Sesungguhnya menyatakan kebenaran ditengah-tengah kerosakkan umat, tanpa takut dan gentar adalah jihad yang benar.
Kemuliaan inilah yang diperoleh oleh para ambia, auliya, sidiqin, syuhada dan solihin.

Sahabat yang dihormati,
Kalian hendaklah bersikap serius dan bersungguh-sungguh,tetapi sikap serius itu tidaklah menghalang kalian dari bergurau dengan perkataan yang benar dan ketawa dengan sedikit senyum.

Hiasilah diri kalian dengan bersifat pemalu, berperasaan halus dan sensitif dengan kebaikan dan kejahatan.
Bersifatlah dengan merendahkan diri dan janganlah menyombongkan diri.

Jadilah pendamai dikala ulama sedang berbalah dalam suatu isu dan mempertahankan pendapat masing-masing.Janganlah memihak pada sesiapa kerana mereka ada hujah masing-masing.

Dewasa ini umat Islam disogokkan dengan berbagai fitnah memfitnah, tuduh menuduh, dan cela mencela diantara satu dengan yang lain. Hanya dengan isu kecil menjadi besar, hingga menjatuhkan martabat seorang Muslim.

Media arus perdana mengaut keuntungan dengan bahan-bahan sensasi yang belum pasti sahihnya!
Media alternatif juga kadangkala tersasar dan berlebihan dalam lapurannya sehinggakan kredibilitinya dan kebenarannya dipersoalkan.

Para pemimpin umat dan para pendakwah dilekakan dengan isu-isu semasa yang tidak berfaedah hinggakan tugas utama terpaksa ditangguhkan sehingga masaalah sebenar terabai!

Sahabatku!
Marilah tumpukan dan fokus pada tugas kita sebenar di dunia ini, iaitu sebagai khalifah Allah s.w.t.di muka bumi,  mengajak kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran.

Gejala sosial makin sehari makin parah, keruntuhan akhlak para remaja amat membimbangkan, kadar jenayah setiap hari makin bertambah dan kemurtadan juga berlaku tanpa kita sedari.

Pertingakatkanlah apa saja program yang membawa kesedaran Islam dan ajaklah mereka kejalan yang haq dan bimbinglah meraka dengan cara hikmah dan bijaksana. Kesemua tugas ini akan di persoalkan nanti dihadapan Allah s.w.t.

Jauhkanlah diri kita dari perkara-perkara yang boleh memecah belahkan umat, elakkan dari memutuskan silaturahim kerana sesungguhnya orang yang memutuskan silaturahim tidak akan memasuki Syurga. Tanpa disedari, dikhuatiri suasana semasa membawa kita kepada suka mengumpat dan mempercayai fitnah dan ingatlah amat besar dosa orang yang  mengumpat dan bersekongkol dengan kaki fitnah!

Mereka-mereka yang sedang mengejar pangkat dan pengaruh dalam masyarakat, sebenarnya berpegang pada prinsip 'matlamat membersihkan jalan' mereka akan gunakan berbagai cara yang bersih atau kotor asalkan matlamat mereka berjaya. Isu jatuh menjatuhkan adalah perkara biasa, mereka sanggup membuka rahsia seseorang dan menjatuhkan maruhnya tanpa rasa bersalah dihadapan Allah s.w.t. Sedangkan Allah s.w.t.telah menutup rahsia tersebut dan ianya amat dimurkai -Nya.

Dari itu jauhkanlah diri kalian dan peganglah pada prinsip Islam dan janganlah melakukan sesuatu yang boleh menghapuskan amal soleh dan amal kebaikan yang telah kita lakukan. Berdasarkan dari hadis Nabi s.a.w. orang-orang muflis di hari Akhirat nanti adalah mereka-mereka yang membawa banyak amal soleh dan amal kebaikan tetapi pada masa yang sama membawa juga amal-amal keburukan dan kejahatan (mengumpat, memfitnah, memukul orang, mengambil hak orang lain dan menghianati amanah). Semua amal soleh dan kebaikannya habis kerana membayar kepada mereka-mereka yang dianiaya dan difitnah, oleh kerana sudah habis pahalanya maka di terpaksa menerima pula dosa mereka-mereka yang teraniaya dan jadilah mereka hina kerana menjadi muflis, lalu dihumbankan ke dalam api Neraka.nauzubillah!

Sahabatku,
Ingatlah bahawa di dunia ini adalah tempat persinggahan yang sementara, dan di akhiratlah tempat yang kekal abadi, jadikanlah segala kerja-kerja kita di dunia sebagai wasilah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Berhati-hatilah membaca berita-berita yang mengemparkan samaada dari media arus perdana ataupun media alternatif, kerana belum pasti berita itu benar dan dikhuatiri kita mendapat saham dosa dan menghapuskan pahala yang kita miliki, yang tidak sepatutnya berlaku ke atas diri kita.

Bersihkanlah hati kalian daripada hasad dengki, iri hati, riak, sombong dan syak wasangka sesama Muslim. Tidak rugi kita bersangka baik kepada sesama Muslim walaupun orang lain membencinya. Hati yang bersih dan salim inilah hati yang paling layak mendapat Syurga Allah s.w.t di hari Akhirat nanti.


Wednesday, December 9, 2009

Orang Terkuat dan Tersabar

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kegelapan & Pelitanya dan Ubat Penyakit Hati.

Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata :
 "Kegelapan itu ada lima dan pelita dalam kegelapan juga ada lima iaitu :
1. Cinta dunia itu kegelapan, pelitanya adalah takwa.
2. Dosa itu kegelapan, pelitanya adalah taubat.
3. Kubur itu kegelapan, pelitanya adalah 'Laa ilaaha Illallah Muhammadurasulullah'.
4. Akhirat itu kegelapan pelitanya adalah amal soleh, dan
5. Shirat itu adalah kegelapan sedang pelitanya adalah keyakinan".

Abdullah bin al-Anthoki berkata :
"Ada lima ubat bagi penyakit hati iaitu :
1. Duduk bersama orang soleh.
2. Membaca al-Qur'an.
3. Perut yang kosong.
4. Qiamullail. dan
5. Memohon kepada Allah dengan penuh rendah diri di waktu pagi hari."

Tuesday, December 8, 2009

Perkukuhkanlah Hubungan Silaturahim


Sahabat yang dimuliakan,
Dalam satu perbincangan dengan para sahabat, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalinkan hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah s.w.t. memasukkan ke dalam Syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)

Hadis di atas secara jelas menyatakan betapa tingginya nilai silaturahim. Bahkan Rasulullah s.a.w. memberi jaminan bagi para pelaksana silaturahim, hanya dengan satu amalan, ini ia memperolehi empat jaminan sekaligus; dicintai keluarga, diluaskan rezeki, dipanjangkan usia dan yang paling penting menjadi penghuni Syurga Allah s.w.t.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mengapa nilai silaturahim ini begitu tinggi? Ini disebabkan Islam adalah agama kasih sayang risalahnya ditujukan sebagai rahmat semesta alam. Islam bukan sekadar membimbing manusia untuk memiliki hubungan yang baik dengan Tuhannya, tetapi Islam adalah ajaran yang mengajak manusia supaya menjaga hubungan baik sesama manusia, malah ini merupakan sasaran dalam Deen al-Islam.

Iman seorang Mukmin dan Mukminah tergambar di dalam hubungan sosialnya di tengah keluarga dan masyarakat. Ibadah yang dilakukan seseorang, tidak akan membawa apa-apa erti apabila tidak membuahkan hubungan baik sesama manusia. Silaturahim merupakan kunci hubungan sesama manusia yang diajarkan oleh Islam. Bahkan barangsiapa yang melaksanakan silaturahim ia digolongkan sebagai orang yang berakal dan mengenal kebenaran.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dan Rabb-Mu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran, (iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah s.w.t. dan tidak merosakkan perjanjian. Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah s.w.t. perintahkan supaya dihubungkan dan mereka takut kepada Rabbnya dan takut kepada hisab yang buruk."
(Surah Ar-Ra'du ayat 19-21)

Di dalam ayat di atas dapat diambil pengajaran bahawa terdapat tiga ciri orang yang berakal :
1. Memenuhi janji Allah s.w.t. dan tidak merosakkan perjanjian. Sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Perjanjian dengan Allah s.w.t. adalah ikatan aqidah yang melahirkan ketaatan kepada syariat dan terpancar dalam akhlak Islam.

2.Menghubungkan tali silaturahim. Memperkukuhkan tali persaudaraan dengan keluarga atau dengan sesama Muslim. Hubungan ini amat bermanfaat bagi memperkukuhkan asas sosial orang-orang yang beriman.

3.Takut kepada Allah s.w.t. dan hari perhitungan di akhirat nanti. Ini bererti melaksanakan dua perkara di atas dengan kawalan dan pengawasan Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata.

Silaturahim membawa makna hubungan kasih sayang. Rahmat (kasih sayanag) merupakan anugerah Allah s.w.t. kepada mereka yang benar-benar beriman dengan keimanan yang sahih. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Orang yang memutuskan silaturahim tidak akan masuk Syurga."
(Riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang dihormati,
Menjalin hubungan silaturahim bukan sekadar bertandang ke rumah jiran tetangga, sanak saudara atau keluarga, tetapi kita wajib memerhatikan keperluan mereka. Ajaran Islam membimbing umatnya agar memiliki kepekaan untuk memberi bantuan keluarga serta masyarakat dan persekitarannya yang memerlukan bantuan dan sumbangan. Perhatian  terhadap nasib sesama insan yang memerlukan pertolongan merupakan ciri khas sifat Islam.

Terdapat tiga kunci silaturahim yang wajib di laksanakan dalam kehidupan seoarang Muslim :
Pertama, berbakti kepada ke dua ibu bapa :
Ini adalah hubungan kewajipan yang bersifat mutlak. Ayah dan ibu adalah orang yang paling berjasa pada anaknya.

Setiap anak sudah selayaknya menyayangi kedua ibu bapanya. Derhaka kepada ibu bapa tergolong di dalam dosa besar yang sangat dibenci oleh Allah s.w.t. Islam mengajar agar setiap Muslim merendahkan hati dan hormat kepada ibu bapa.

Kedua, berbuat baik kepada sanak saudara, kaum kerabat dan sesama manusia :
Keluarga dan sanak saudara merupakan benteng pemeliharaan hubungan kasih sayang yang luas. Islam mengatur agar hubungan yang mesra sesama manusia menjadi terarah dan seimbang. Maka keutamaan silaturahim terhadap keluarga juga di akui, selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip iman dan amal soleh.

Jagalah hubungan sesama keluarga, sesama adik beradik jangan sampai wujud perselisihan dalam perkara-perkara kecil, hingga membawa kepada permusuhan dan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari (kerana amat besar dosa yang mereka tanggung dan rahmat Allah tidak akan sampai kerana permusuhan tersebut).

Perselisihan disebabkan tidak puas hati dalam pembahagiaan harta pusaka juga akan membawa bencana yang lebih besar kerana terputusnya tali silaturahim. Nilai harta tidak ada nilai disisi Allah sedangkan nilai hubungan silaturahim amat dipandang oleh Allah s.w.t. kerana orang yang memutuskan tali silaturahim tidak akan masuk Syurga. Tanda kasih sayang kepada keluarga adalah kita sampaikan dakwah Islam kepada mereka.

Ketiga, bertetangga secara Islam :
Hubungan bertetangga merupakan kunci untuk melahirkan hubungan silaturahim di tengah-tengah masyarakat. Apabiala setiap Muslim dan Muslimah dapat menunjukkan keperibadian Islam di kawasan tempat tinggalnya, maka secara automatik ia akan memiliki daya tarikan dakwah. Oleh itu Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita tentang hak-hak terhadap jiran tetangga.

Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud, "Malaikat Jibril a.s. selalu berpesan kepadaku tentang tetangga sehingga aku mengira dia akan menetapkan hak waris bagi tetangga."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Akhirkata tiga kunci utama dalam menjalin silaturahim ini apabila dilaksanakan pasti seruan dan dakwah Islam semakin tersebar luas. Apabila Islam dipersembahkan dengan penuh kasih sayang pasti ramai manusia yang tertarik dengannya. Sama-samalah kita perbaiki hubungan silaturahim dengan ahli keluarga dan sesama Muslim.

Monday, December 7, 2009

Bersedekahlah Walaupun Hanya Separuh Kurma.

Dari Ady bin Hatim r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Tidak seorang pun di antara kamu sekelian, kecuali Tuhannya akan berbicara kepadanya besok di hari Qiyamat. Antara ia dan Tuhannya tidak ada penterjemah. Ia memandang suatu kebaikan, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dipersembahkannya, dan ia memandang sesuatu yang buruk darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dilakukannya serta memandang apa yang ada di depannya, maka ia tidak melihat kecuali Neraka yang persis ada di depan wajahnya. Maka takutlah kalian kepada Neraka meski dengan hanya (bersedekah) separuh kurma, dan kalimat yang baik."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Ini sebuah ungkapan lain dari Rasulullah s.a.w yang menjelaskan, bahawa tidak ada satu pun dari umatnya kecuali akan diajak berbicara oleh Allah s.w.t., Tuhan semesta alam tanpa tirai. Diajak berbicara secara langsung oleh Zat Yang Maha Luhur hikmah-Nya serta Maha Agung pujian-Nya di hari Akhirat nanti.

Orang-orang yang beriman akan melihat segala kebaikan yang telah dilaksanakan semasa di dunia dahulu. Maka ia tidak melihat kecuali apa yang ia telah persembahkan dari amal soleh dan kebajikan. Ia melihat solatnya sebagai amal soleh, melihat zakatnya termasuk dalam amal kebajikan, melihat puasa, haji ada di hadapannya, melihat amal ma'aruf nahi anil mungkar, berbakti kepada ibu bapa, menjalinkan silaturahim, berbuat baik kepada tetangga dan menghormati tetamu, semuanya akan berada di hadapannya. Semua amal soleh dan amal kebaikan yang dilaksanakan dengan ikhlas akan di nilai dan di balasi oleh Allah s.w.t. dengan Syurga-Nya.

Untuk orang-orang yang derhaka dan membuat dosa, mereka akan melihat segala dosa dan kemungkaran yang telah mereka lakukan. Mereka adalah terdiri daripada penzina, pencuri, pembunuh, penderhaka kepada ibu bapa, orang yang menyakiti hati jirannya, pemakan harta anak yatim, tidak pernah bersyukur kepada Allah, mereka yang meninggalkan solat, puasa dan tidak mahu membayar zakat dan meminum arak. Dahulunya di dunia di gunakan lidahnya untuk mengumpat, memfitnah, mengadu domba, sumpah palsu dan menentang hukum Allah. Kakinya dahulu di gunakan untuk menuju ke tempat maksiat, tangannya dahulu di gunakan untuk mencuri dan mengambil rasuah.

Inilah keadaan orang-orang yang berdosa akan melihat Neraka yang menyala-nyala dihadapan mereka.Ketika ini segala penyesalan tidak berguna lagi. Seluruh anggotanya kecuali mulutnya, akan menceritakan satu persatu segalan amalan dan perbuatan dosa tuannya tanpa beselindung-selindung lagi. Setelah perhitungan dan timbangan amal di jalankan maka mereka akan di masukkan ke dalam Neraka sebagai balasan di atas kejahatan dan kemungkaran yang di laksanakan ketika di dunia.


Nabi s.a.w. menyatakan bahawa takutlah kepada Neraka itu walaupun hanya bersedekah dengan separuh kurma dan kata-kata yang baik. Maksudnya di sini kita digalakkan untuk banyak bersedekah dan membuat amal kebaikan sebanyak mungkin, semoga dengan sedekah ini dan kebaikan yang dilaksanakan akan dapat membantu kita ketika berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari Qiyamat nanti.

Sunday, December 6, 2009

Tiga Jenis Sedekah dengan Hati, Lisan dan Perbuatan

Sahabat yang dimuliakan,
Sedekah adalah satu amalan soleh yang sangat dituntut oleh Islam. Sesiapa yang banyak bersedekah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Sehinggakan Nabi s.a.w. ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah kerana Allah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya. Didalam riwayat yang yang lain Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa seorang dermawan yang ikhlas kerana Allah akan dimasukkan ke dalam Syurga lebih awal daripada ulama dan orang yang mati syahid.


Kita digalakkan memberi sedekah dengan harta atau wang ringgit untuk membantu fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal yang dhaif, golongan oku, pembinaan masjid atau surau, bantuan pelajaran untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, pembinaan sekolah-sekolah agama, tahfiz dan madrasah dan untuk pembiayaan majlis-majlis ilmu dan pengajian al-Qur'an.

Walau bagaimana pun bagi golongan yang tidak berkemampuan dan tidak berharta, mereka masih boleh bersedekah melalui niat, lisan dan perbuatan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w. ada menyatakan dalam hadis-hadisnya bahawa sedekah itu boleh di bahagikan kepada tiga jenis iaitu sedekah dengan hati, lisan dan perbuatan.

Pertama sedekah dengan hati :
Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Kedua sedekah dengan lisan :
Berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah..."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud, "Perkataan yang baik adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Antara ucapan yang baik yang dianggap sebagai sedekah adalah memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak menguris hati orang lain.

Ketiga sedekah dengan perbuatan :
1. Senyuman, sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah."

2. Solat : Solat adalah sedekah untuk diri sendiri. Berjalan ke masjid juga merupakan sedekah.

3. Puasa sunat : Puasa sunat adalah sedekah untuk diri sendiri.

4. Tidak mampu menunaikan haji dan umrah. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Duha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."
(Hadis Riwayat Abu Daud).

5. Manusia mempunyai sebanyak 360 sendi dan sedekahnya ialah solat Duha dua rekaat setiap hari.

6. Membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalangi jalan.

7. Membersihkan masjid dan menjaga kebersihannya.

8. Menolong insan yang memerlukan dan mendamaikan antara dua orang.

9. Memberi tumpang seseorang atau barang-barang dengan kenderaan.

10. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat serta membantu orang buta.

11. Memberi minum kepada sesama makhluk tidak kira samaada manusia atau binatang.

12. Memberi pinjaman wang atau menangguhkan bayaran balik pinjaman sekiranya orang yang meminjam tidak mampu  membayar dalam tempoh yang sepatutnya dilangsaikan hutang tersebut.

13. Mengajarkan ilmu.

14. Menanam apa jua pokok atau tanaman, kemudian dimakan oleh makhluk Allah..

Oleh itu janganlah bertangguh-tangguh untuk bersedekah, walau pun dengan sumbangan seringgit atau dengan senyuman, kerana sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam dari melaksanakan amalan sedekah ini.