Saturday, January 15, 2011

Setiap Muslim Perlu Memahami Maqasid Syariah (Matlamat Syariah) Yang di Turunkan Allah S.W.T.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T. mencipta sesuatu itu ada tujuan dan hikmahnya. Mustahil bagi Allah menjadikan suatu perkara itu tanpa arah tujuan dan matlamatnya.

Penciptaan Allah adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Untuk memahami hakikat ini, Allah S.W.T memerintahkan manusia agar bertadabbur dan bertafakur melihat hikmah di sebalik segala yang diciptakan.

Allah S.W.T mencipta manusia dengan tujuan menjadikan mereka sebagai khalifah di atas muka bumi. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya. (Surah Hud: 61)

Bagi membantu manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah, Allah S.W.T menurunkan syariatnya yang wajib dipatuhi.

Memang diakui di kalangan ulama bahawa terdapat tujuan di sebalik setiap pensyariatan.Dan seperti yang dinyatakan di atas ada yang dapat difahami secara jelas dan ada yang menjadi rahsia Allah. Tujuan atau matlamat ini disebut sebagai maqasid.

Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya.  Sesungguhnya Allah SWT apabila mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan untuk  memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.

Islam adalah mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya  iaitu al- Quran dan al-sunnah. Islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.

Penelitian terhadap sumber-sumber syariat Islam telah mengesahkan bahawa maqasid utama syariat islam ialah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia samada mendatangka manfaat ( maslahah)  tersebut atau menolak keburukan (mudharat) daripada manusia.Oleh itu didapati semua hukum syara' bernaung di bawah konsep jaminan manfaat kepada manusia bukan sahaja di dunia malah menjangkaui alam akhirat.

Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau matlamat yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum.

Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah S.W.T jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka. Firman Allah S.W.T: "Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". (Surah al-Ankabut: 45)

Demikian juga dalam persoalan puasa, Allah S.W.T menjelaskan objektif pensyariatannya kepada umat Nabi Muhammad dan umat nabi-nabi yang terdahulu adalah untuk membentuk jiwa yang bertakwa kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa  sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa)  bertakwa. (Surah al-Baqarah: 183)

Begitu juga dari sudut undang-undang, Islam menjelaskan objektif di sebalik pensyariatan qisas terhadap mereka yang melakukan pembunuhan secara sengaja. Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu.
(Surah al-Baqarah: 179)

Dari sudut ekonomi pula, Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada mereka.

Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk
membina hidup mereka. Bahkan, Allah S.W.T mewajibkan umat Islam yang telah cukup
syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf.

Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah S.W.T maksudnya : "..... Supaya harta itu jangan  beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu."
(Surah al-Hasyr: 7)

Kesimpulannya maqasid syariah ialah "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia".

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam." (Surah al-Anbiya': 107).

Tidak dapat disangkal lagi bahawa perkataan 'rahmat' itu bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.

Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah.

Matlamat  ini yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :

Pertama : Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :

Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia.

Jika tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan di akhirat kelak.

Contohnya, seorang individu perlu mempunyai harta untuk meneruskan kehidupan. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat yang berkaitan dengan persoalan memiliki harta, menggunakan dan membelanjakannya.

Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama, memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.

Contohnya, dalam bab memelihara agama, Allah SWT dan Nabi SAW memerintahkan umat Islam mempelajari Islam dan mengukuhkan akidah dan syariat seperti solat, puasa dan haji.  Kemudian, Allah SWT menurunkan syariat untuk menjaganya seperti suruhan berdakwah dan berjihad.

Kedua : Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :

Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan ataupun tidak sampai ke tahap rosak.

Hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia. Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.

Contohnya, Rasulullah S.A.W melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan burung di udara.

Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada penjual.

Ketiga : Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :

Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.

Tahsiniyat iaitu kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.

Sebagai contoh, seorang individu yang telah mempunyai kereta dibenarkan untuk memiliki sebuah lagi kereta sekiranya mempunyai keperluan dan kemampuan.

Pembahagian ini sengaja dijelaskan dan dipaparkan oleh para ulama untuk membantu umat Islam dalam menentukan  keutamaan dalam melakukan ketaatan dalam hidup mereka.

Sahabat yang dikasihi,
Apabila seseorang individu mencapai tahap mukalaf maka setiap amalan, perlakuan dan aktiviti yang dilakukannya akan terkena kepada salah satu dari lima hukum taklifi.

Mukalaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif syarak (tuntutan dan kewajipan syarak).

Orang yang mukalaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perlakuannya tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama.

Syarat-syarat mukalaf ialah telah sampai umur (yakni baligh), memiliki akal yang waras,sampai dakwah kepadanya, sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.

Setiap perbuatan dan perlakuan mukalaf tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama yang disebut sebagai hukum taklifi seperti berikut:

1. Wajib iaitu tuntutan syarak ke atas setiap mukalaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti (jazam).

Jika tidak dilaksanakan, maka individu tersebut akan berdosa dan sebaliknya. Jika dia melaksanakannya, akan mendapat pahala seperti menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.

2. Haram adalah tuntutan syarak ke atas mukalaf supaya meninggalkan sesuatu perkara dengan tuntutan secara pasti (jazam).

Jika ia dilakukan, maka individu tersebut mendapat dosa, dan sekiranya meninggalkannya akan mendapat pahala seperti meminum arak.

3. Makruh ialah apa-apa yang dituntut untuk meninggalkannya tidak secara ilzam atau sesuatu perkara yang mana lebih afdal (utama) ditinggalkan dari dilakukan.

Pembuatnya tidak berdosa, tetapi hanya dicela. Sesiapa yang meninggalkannya (tidak membuat perkara tersebut) akan mendapat pahala dan pujian daripada Allah SWT.

4. Sunat adalah apa-apa yang dituntut untuk melakukannya iaitu dengan memberikan ganjaran kepada individu yang melakukannya, dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya.

Ia memuji orang yang melakukannya dengan mengurniakan pahala, pada waktu yang sama tidak mencela dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya seperti bersedekah.

5. Harus adalah sesuatu perkara yang diberikan pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Ia tidak akan mendatangkan sebarang pahala atau dosa.

Sahabat,
Sesiapa yang menentang hukum-hakam Allah S.W.T dengan mengatakan hukum-hakam  ini tidak sesuai dengan zaman moden akan merosakkan akidahnya, kerana setiap hukum-hakam dan undang-undang ciptaan Allah S.W.T adalah sesuai sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.

Hukum-hukum syariah ini adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah S.W.T kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan
keberatan atau menambah bebanan ke atas mereka. Kebaikan hukum syariah adalah demi kesempurnaan hidup manusia di dunia dan akhirat.

Friday, January 14, 2011

Sesiapa Yang di Pilih Masuk Syurga adalah Kerana Rahmat Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alangkah bahagianya jika hidup kita di dunia ini sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. kerana mereka yang hidup mendapat rahmat Allah S.W.T cukup berbeza dengan mereka yang hidup mendapat laknat dan kemurkaan Allah S.W.T. 
Ciri-ciri mereka yang mendapat rahmat Allah S.W.T. hidupnya penuh dengan kebahagiaan dan kesyukuraan dengan rezeki yang dikurniakan-Nya, lahirnya kasih sayang dan sentiasa cukup dalam keperluan harian walaupun pendapatannya kecil. Hidup mereka yang tidak mendapat rahmat Allah S.W.T. tidak ada keberkatan akan sentiasa sebuk dengan keseronokkan dunia dan kehidupan berkeluarga pecah belah dan sentiasa bermusuhan kerana rebutkan harta dunia.

Rahmat secara umumnya bermaksud kasih sayang  kasih sayang antara Pencipta yang Maha Agong terhadap hamba-Nya.

Kita masih bernafas dan sihat tubuh badan kerana rahmat Allah. Kita telah diberi-Nya rezeki yang tak putus-putus, masih beriman dan bertakwa dan masih berpeluang menjalani ibadah dan menikmati rezeki daripada Allah S.W.T.  semuanya kerana rahmat Allah S.W.T. Hidup dan mati kita, diterima-Nya amal ibadah dan amal soleh kita dihari akhirat dan dimasukkan kedalam Syurga-Nya seluas langit dan bumi adalah kerana rahmat-Nya.

Sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah S.W.T. menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "
(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )

Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya : "Allah S.W.T. memiliki 100 rahmat. Dari Rahmat-rahmat itu dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin , manusia , haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang ,berlemah lembut , dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah S.W.T.  mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti."
(Hadis Muttafaqun 'alaih , Bukhari dan Muslim )

Allah S.W.T.  yang Maha Pemurah  memberikan rezeki kepada semua makhluknya yang hidup di dunia ini samaada mereka orang beriman atau orang yang tidak beriman dikalangan manusia dan jin . Tetapi Allah S.W.T. memberi dengan penuh kasih sayang dan rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. Sesungguhnya rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api Neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam Syurga Allah S.W.T.  adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun untuk mendapatkan rahmat Allah perlulah ada beberapa syarat yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W.

Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Tidak melakukan syirik kepada AllahS.W.T.

Dosa yang paling besar disisi Allah S.W.T.  adalah syirik kepada-Nya. Syirik terbahagi dua iaitu syirik besar (akbar) dan syirik kecil (tersembunyi). Allah S.W.T. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.
.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)

Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab,"Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar nasihat Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau  menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).

Kedua : Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah S.W.T.

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah Al Insan, Ayat 25- 26)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf,  Ayat 205)

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersabda : Allah S.W.T.  berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."
(Hadis Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ibn Majah)

Ketiga : Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." 
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

Sabda Rasulullah S.S.W.  yang bermaksud :“Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah S.W.T. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)

Keempat : Sentiasa mengikhlaskan beribadah kepada-Nya.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.

Dihari akhirat Allah S.W.T.  tidak akan menerima amalan yan g dilakukan tidak ikhlas iaitu kerana riak dan mencari habuan dunia.Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah namun Islam membuat satu garis panduan unutk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas. Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan apabila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama saja. Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan. Itulah tanda ikhlas. Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tidak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya." 
(Surah Al-Bayyinah ayat 5)

 Al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”

Kelima : Melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.  dan mengerjakan amal soleh.

Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam Syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah An-Nahl ayat 32)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Itulah Syurga yang diwariskan kepadamu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah Al-A’raaf ayat 43)

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Apabila kita telah melaksanakan lima perkara yang tersebut di atas maka barulah kita layak mendapat rahmat Allah S.W.T . Mereka yang hidup di dunia ini bergelumang dengan maksiat, melakukan dosa , melanggar hukum-hukum Allah , bersikap sombong, riak dan takbur tidak mungkin akan mendapat reda , kasih sayang dan rahmat Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.  maksudnya : "Pada hari ketika wajah mereka dibolak-balikkan di dalam Neraka, mereka berkata: 'Sekiranya kami mentaati Allah dan Rasul-Nya'. Dan mereka berkata : 'Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Ya Tuhan kami, timpakan kepada mereka azab dua kali lipat dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar." 
(Surah Al-Ahzab ayat 66-68) 

Firman Allah S.W.T.  maksudnya : "Orang-orang yang merusak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerusakan di muka bumi, orang-orang itulah yang mendapat laknat dan lagi mereka yang memperoleh kediaman yang buruk (Jahannam)." 
(Surah Ar'd ayat 25). 

Oleh itu marilah sama-sama kita mentaati Allah S.W.T. jauhkan daripada syirik, sentiasa berzikir, bertaubat,  membuat amal soleh, amal kebajikan dan beribadah dengan ikhlas semata-mata kerana-Nya.Semoga dengan ketaatan kita mengikut perintah Allah S.W.T. didunia dan meninggalkan larangan-Nya kita akan dikasihi oleh Allah S.W.T. maka dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang-Nya, Dia akan memasuki kita ke dalam Syurga-Nya dengan rahmat-Nya.

Hayatilah Lima Pengajaran Daripada Kisah Nabi Terdahulu.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. ke muka bumi ini adalah untuk mengajak  manusia untuk beriman kepada Allah S.W.T. , patuh kepada syariat yang dibawa dan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Di bawah ini dibawakan satu kisah Nabi yang terdahulu yang diceritakan oleh Nabi S.A.W. sebagai pengajar kepada umatnya.

"Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku  diperintahkan memakan perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar sebuku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintah-Mu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.

Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T.  bahawa tafsirannya adalah seperti berikut :
"Pertama :  Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kedua :  Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (S.A.W.) - yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di akhirat).
(Surah Muhammad ayat 2)

Ketiga : Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".(Surah an-Nisa' ayat 58)

Keempat : Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
 
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Kelima : Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang atau mengumpat). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah S.A.W. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah S.A.W. ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah S.A.W. " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Terdapat sebuah hadis daripada Nabi S.A.W. mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T. : "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Sahabat yang dimuliakan,
Kisah Nabi terdahulu dalam hadis ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah perasaan marah, melaksanakan amal kebajikan dan kebaikan, melaksanakan amanah, membantu mereka yang berhajat kepada pertolongan dan perbuatan suka mengumpat.

Oleh itu renungkanlah kelima-lima perkara tersebut sebagai pengajaran untuk kita hayati di dalam kehidupan kita semata-mata mencari keredaan Allah S.W.T.

Thursday, January 13, 2011

Dirikan Solat Sesungguhnya Solat Dapat Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar

Sahabat yang dirahmati Allah,
Solat fardu lima waktu sehari semalam yang termaktub sebagai rukun Islam kedua adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat bermakna ia menegakkan tiang agama, sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meruntuhkannya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Solat itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya , sesungguhnya ia menegakkan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia telah merobohkan agamanya.”

Mengerjakan solat membabitkan seluruh anggota badan. Mulut menyebut, hati menghayati segala erti setiap bacaan manakala tangan, kaki dan seluruh anggota lain berusaha dan bekerja dengan cara yang teratur dari awal hingga akhir solat didirikan.

Kata Abdullah bin Mas’ud: “Ada sekali aku tanyakan kepada Rasulullah, amalan yang manakah paling disukai oleh Allah. Baginda menjawab : "Mendirikan solat". Kemudian aku bertanya lagi, "yang mana pula selepasnya". Baginda menjawab : "Menghormati ibu bapa". Aku tanya lagi : "Selepas itu apa pula?" Baginda menjawab : "Jihad pada jalan Allah.”

Dalam satu hadis lain, Rasulullah S.A.Wbersabda: “Sesungguhnya perkara yang mula dihisab dari amalan manusia pada hari kiamat nanti ialah solat (fardu yang lima).”

Ramai orang yang mengerjakan solat, tetapi kenapa solat yang mereka kerjakan tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar? Sedangkan di dalam al-Qur'an Allah s.w.t. menjelaskan bahawa solat itu dapat mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu A’syur, di dalam kitab Maqasid al-Syariah, bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya. Dalam persoalan solat, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Ankabut: 45).

Maksudnya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Perkara keji dalam ayat ini apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ini bermakna solat dapat mengubah orang daripada keras hati menjadi lembut hati, daripada bengis menjadi penyayang, daripada malas menjadi rajin, daripada berdusta menjadi jujur dan sebagainya sifat-sifat terpuji yang akan terbentuk dengan solat.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika seseorang itu rajin solat dalam masa yang sama tidak berubah daripada sifat negatif kepada lebih positif, ini bermakna bukan salah solatnya tetapi yang salah ialah yang melakukan solat. Manusia boleh berubah dengan solat jika solat itu benar-benar dihayati dari mula melihat kepada kefarduannya, azan yang menyerunya, wuduk, takbir, segala gerakan dalam solat seperti berdiri, rukuk, sujud serta menghayati bacaan di dalamnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :
“Siapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya’ dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya.“
(Hadis Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)

Solat yang dimaksudkan ialah solat yang tidak betul. Solat yang tidak betul tidak dapat mencegah seseorang dari melakukan perbuatan dosa dan tidak bermaruah.

Jika kita solat dan masih melakukan perkara terkeji, bermakna solat kita masih lagi tidak betul dan tidak sempurna. Maka perbaikilah solat kita melalui pembelajaran secara majlis ilmu dan merujuk orang-orang alim menyempurnaknnya samaada secara hukum fikah iaitu rukun dan syarat sah dan cara-cara untuk mendapatkan khusyuk dalam solat.

Sekiranya rahsia solat ini berjaya disingkap yakinilah insya Allah manusia akan berubah. Punca solat tidak mengubah manusia ialah kegagalan kita memahami hikmah dan falsafah solat itu sendiri. Solat bukan ritual adat malahan kemuncak menjadi seorang hamba yang diwajibkan berdiri menghadap-Nya lima kali sehari dengan sifat rendah diri dan penuh keinsafan.

Anak-anak perlu diajarkan solat ketika berusia tujuh tahun. Jika berumur sepuluh tahun tidak mahu mengerjakan solat maka ibu bapa boleh memukulnya sebagai pengajaran bukannya pukul yang mendatangkan kecederaan. Apabila semasa kecil sudah diajar, diasuh dan beri galakan untuk sentiasa mengerjakan solat maka apabila mereka meningkat remaja amalan fardu solat ini dah tidak perlu disuruh kerana mereka tahu akan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita perbaiki solat kita samaada secara zahir dan batin, mendirikannya dengan sempurna, tidak melambat-lambatkannya, menunaikannya di masjid secara berjemaah dan niat yang ikhlas untuk mencari keredaan Allah S.W.T. maka solat seperti ini akan dapat memiliki kebaikan yang besar iaitu mencegah diri kita daripada perbuatan keji dan mungkar.


Wednesday, January 12, 2011

Sifat Bertimbang Rasa dan Faham Memahami adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat bertimbang rasa dan saling faham memahami memang tidak dinafikan sebagai sifat yang baik, dalam Islam memang dituntut sifat-sifat terpuji ini. Sebagai seorang mukmin, sifat-sifat ini sememangnya dituntut untuk ditunaikan.

Benih rasa simpati atau timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada orang lain.

Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa atau bertolak ansur pada orang lain. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain." (Hadis Riwayat Qudha'i dari Jabir)

Kita perlu bertimbang rasa dengan orang bawahan kita iaitu pekerja atau pembantu rumah, sifat bertimbang rasa ini boleh menjalinkan perhubungan yang baik di antara majikan dengan pekerja.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a: “Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan panggilan yang buruk. Nabi Muhammad S.A.W bersabda kepada ku: “Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan panggilan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa jika kita seorang ketua atau majikan maka sifat timbang rasa dan komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya.

Sikap megah diri akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan.

Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

Sahabat yang dimuliakan,
Bertimbang rasa terhadap ibu bapa, umpamanya jangan meminta sesuatu yang tidak termampu diadakan oleh orang tua kita, sebagai seorang anak perlu menghormati dan menjaga hati mereka supaya tidak terluka disebabkan perbuatan kita kepada mereka.

Sifat bertimbang rasa perlulah menguasai hidup kita dengan sesiapa saja yang kita berurusan, misalnya  jika kita terjumpa warga mas membawa beban berat tolonglah mereka membawanya. Jika kita di dalam bas dan di dapati warga mas berdiri tidak mendapat tempat duduk, kita bolehlah memberinya tempat duduk. Utamakanlah orang yang lebih tua daripada kita jika ia memerlukan . Kerana dengan menghormatinya adalah tanda  adab dan prihatin kita kepada golongan warga mas kerana kita juga akan sampai kepada umur sepertinya.

Isteri  perlulah bertimbang rasa dan memahami akan kemampuan suami, jika suami tidak mampu mengadakan segala kemudahan yang diperlukan, memadailah dengan keperluan asas iaitu pendidikan, makanan, tempat tinggal dan pakaian. Selebihnya berpada-pada dan bersifat qanaah kerana menuntut sesuatu diluar kemampuan adalah suatu yang akan menyempitkan kehidupan.

Suami pula perlu bertimbang rasa kerana keletihan isteri bekerja dan menguruskan rumahtangga, jangan mengharapkan layanan kelas pertama tanpa memberi bantuan untuk melaksanakan secara bersama kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan sebagainya.

Selain itu, bertimbang rasa terhadap hajat sahabat  kepada kita perlu diberi perhatian, bantulah seberapa yang boleh, jika dia berhutang daripada kita dan dia belum mampu untuk membayarnya, maka berilah dia tempoh untuk menjelaskannya.

Ingatlah!  Meringankan beban saudara kita bererti kita juga  meringankan beban untuk diri kita sendiri kerana saudara seagama itu adalah saudara kita  dunia dan juga akhirat.

Oleh itu, janganlah kita bersikap tidak peduli atau bakhil terhadap mereka. Perangai dan sikap ini akan merosakkan hubungan persahabatan kita dengan saudara  seagama. Ingatlah sifat bertimbang rasa itu meringankan beban orang lain adalah sifat yang mulia disisi Allah S.W.T.dengan cara ini Allah SWT akan meringankan  beban kita di dunia dan akhirat.

Selain sifat bertimbang rasa, sifat saling faham memahami juga amat penting dalam persahabatan kerana ia adalah sifat terpuji yang harus ada pada setiap muslim.

Sabda Nabi S.A.W kepada Saydina Ali k.w : "Wahai Ali ! Tanda sahabat sejati itu ada tiga iaitu :
1.Ia lebih memperhatikan hartamu daripada hartanya sendiri.
2.Lebih mementingkan dirimu daripada kepentingan dirinya.
3.Lebih menghormatimu daripada kehormatannya sendiri."

Jika sahabat kita berada dalam kesusahan atau mempunyai masalah, bantulah mereka dengan ikhlas dan berilah mereka keyakinan yang kita  sedia membantunya selagi termampu.

Dengan demikian, lakukan dan amalkanlah adab-adab yang dianjurkan oleh Islam ini dalam persahabatan kita agar setiap persahabatan yang dibina menjadi utuh dan kukuh serta mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membina sifat bertimbang rasa dan faham memahami kepada setiap manusia terutama ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, orang bawahan kita, sahabat -handai dan masyarakat semuanya.

Tetapi apa yang menyedihkan kita, ada segelintir manusia hari ini sudah hilang sifat timbang rasa dan saling faham memahami antara satu sama lain. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Sehingga ada anak yang sanggup menyusahkan ibu bapa mereka dengan meminta sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh ibu bapa untuk mengikuti kehendak mereka.

Perselisihan dalam keluarga di antara suami dan isteri hingga membawa kepada penceraian adalah ditahap yang cukup membimbangkan, ianya berlaku setiap hari. Masing-masing pihak  bertegas dengan pendapat masing-masing hingga ruang perdamaian dan berbaik-baik semula menghadapi jalan buntu, hinggakan hilang perasaan belas kasihan melihat anak-anak terseksa kerana perpisahan ibu bapa mereka.

Justeru itu, kalam ini mengajak kita semua, marilah sama-sama kita membina kasih sayang dan bertimbang rasa dengan berpandukan kepada adab-adab dan akhlak yang telah digariskan dalam ajaran  Islam. Semoga kehidupan kita diredai  dan dirahmati oleh Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.

Monday, January 10, 2011

Sifat Pemaaf adalah Sifat Orang Mukmin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia ada kelemahan dan kekurangan. Manusia sering melakukan kesalahan dan kesilapan samaada dengan sengaja atau tidak sengaja. Jika kesalahan itu dengan Allah S.W.T maka jalan terbaik adalah memohon keampunan dan beristighfar kepada Allah S.W.T. Jika kesalahan itu berlaku kepada sesama manusia jalan terbaik pula adalah meminta maaf di atas salah dan silap. Pihak yang bersalah perlulah meminta maaf dan pihak yang di sakiti atau dizalimi perlulah memberi maaf. Kerana sifat pemaaf adalah sifat yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T.

Salah satu di antara ajaran Islam yang sangat agung adalah ajaran untuk saling memaafkan. Memafkan berarti orang lain yang yang mempunyai kesalahan kemudian kita memberi maaf. Sementara kalau kita yang mempunyai kesalahan maka wajib bagi kita untuk meminta maaf.

Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah S.A.W. bersabda:

Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Memafkan sesaorang yang kita tidak mampu membalasnya adalah baik dan sedikit wajar, kerana kedudukan kita pada saat itu lemah. Sementara memaafkan seseorang yang kita mampu untuk membalasnya adalah lebih baik dan lebih mulia karena pada saat itu kedudukan kita kuat dan boleh melakukan apa saja. Ketika seseorang berusaha untuk menjadi pemaaf berarti ia telah berusaha untuk meniru sifat Allah S.W.T. iaitu Al-‘Afuwwu yang Maha Pemaaf. Sesaorang yang memaafkan orang lain adalah orang yang cuba menghilangkan luka hatinya akibat kesalahan yang di lakukan orang lain terhadapnya.

Sifat pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati. Perasaan insan pemaaf selalunya bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa juga kepahitan terjadi dengan menganggapnya sebagai satu takdir kehidupan. Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah S.A.W.

Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah satu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itu, ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah berkenaan.

Sayidina Abu Bakar juga memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai serta rakan taulan yang terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu. Tindakan Saidina Abu Bakar itu tidak disukai Allah.

Lalu, turunlah wahyu yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi.” (Surah An-Nur, ayat 22)

Demikianlah tegasnya Allah S.W.T. dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya.

Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama. Sebaliknya jika kejahatan itu di balas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terurailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu sifat pemaaf yang perlu ada adalah di dalam keluarga yang dibina. Suami bersedia memaafkan kesalahan isteri begitu juga isteri sanggup memberi kemaafan kepada suami. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Biasalah sudah menjadi asam garam kehidupan dalam keluarga wujud sedikit perselisihan, berlainan pendapat dan  salah faham. Sifat orang mukmin akan mudah memaafkan kesalahan pasangannya dan cuba bertolak ansur dan bertimbang rasa. Buangkan yang keruh ambil yang jernih.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “ Orang yang paling kuat bukanlah orang yang dapat menjatuhkan orang kuat lainnya, tetapi orang kuat kuat yang sejati adalah yang dapat mengendalikan dirinya ketika marah”.

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas akan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah yang menjadi takdir perlu dihadapi dan sekali-kali tidak akan terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan.

Sebagai makhluk yang lemah dan selalu membuat kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekalipun kita berada di pihak yang benar.

Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami  terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya. Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting.

Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekalipun diminta berkali-kali. Sikap negatif begini jika dibiarkan berleluasa dalam keluarga hanya akan membawa kepada pecah-belah dalam keluarga dan anak-anak akan menjadi mangsa penceraian.

Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik kerana sifat mahmudah terserlah pada diri baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati sekalipun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan baginda.

Antara kisah paling masyhur mengenai sifat mulia baginda ialah ketika Nabi Muhammad diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu, namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Sayidatina Aisyah menyatakan: "Rasulullah S.A.W tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri baginda mahupun pembantu baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas menceritakan: “Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah S.A.W dan pada waktu itu baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: 'Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah bersama mentarbiahkan diri dengan menjinakkan lidah untuk mengucap kemaafan sementara tangan menghulurkan salam kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang tinggi.

Yakinlah, jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya." (Hadis riwayat Bukhari).

Walaupun kalimah maaf sukar untuk dilafazkan, tapi berusahalah untuk menjadi pemaaf. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

Balasan Daripada Allah S.W.T. Kepada Mereka Yang Menentang Dan Menghina Rasulullah S.A.W.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perjuangan Rasulullah S.A.W. berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesukaran. Terutama sekali tentangan dari kafir Quraisy Makkah. Lebih mengharukan apabila Rasulullah S.A.W. turut dibenci dan dimusuhi bapa saudaranya sendiri Abu Lahab.

Setelah Rasulullah S.A.W . dilantik oleh Allah S.W.T menjadi Rasul maka baginda teruskan berdakwah mengajak kaum keluarga baginda yang terdekat untuk beriman kepada Allah S.W.T. dan baginda sebagai pesuruh Allah .

Rasulullah S.A.W. keluar menuju suatu lapangan yang luas, lalu badinda mendaki bukit dan berseru: "Ya Shabahah (wahai waktu Subuh)!", maka kemudian berdatanganlah orang-orang Quraisy mengerumininya, baginda  bersabda: "Bagaimana pendapat kamu, jika saya katakan kepadamu bahwa di seberang bukit ini ada musuh sedang mengintai untuk menyerbu di waktu petang, apakah kamu percaya?". 

Mereka menjawab: "Kami percaya!" 

Seterusnya baginda  bersabda: "Sesungguhnya aku ini adalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum menghadapi azab yang sangat dahsyat". 

Abu Lahab berkata: "Hanya untuk ini sajakah engkau mengumpulkan kami" celaka bagimu!". 

Menurut riwayat lain; Abu Lahab terus berdiri, menghempaskan kedua tangannya sambil berkata: "Celaka bagimu sepanjang hari, hanya untuk inikah engkau mengumpulkan kami?". 

Lalu Allah menurunkan: "Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa".
(Hadis Riwayat  Bukhari) 

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa Abu Lahab akan rugi dan binasa dan kata-kata ini sebagai kutukan dari Allah bagi Abu Lahab. Binasa pada kedua belah tangannya kerana tangan adalah alat bekerja dan bertindak. Bila kedua belah tangan seseorang telah binasa berarti ia telah binasa.

Permulaan ayat ini adalah kutukan atas kebinasaan Abu Lahab dan penutupnya adalah sebagai keterangan dari Allah bahwa kutukan tersebut telah terbukti dan Abu Lahab pasti rugi di dunia dan akhirat.

Walhal sebelum itu Abu Lahab tidak pernah memarahi atau membenci Rasulullah S.A.W. Semasa kelahiran baginda Abu Lahab telah mengadakan jamuan besar-besaran dengan menyembelih ratusan ekor unta untuk menyambut dan merai anak saudara kesayangannya. Bahkan hubungan kekeluargaan sangat erat, perkahwinan dua anak lelakinya Utbah dan Utaibah dengan dua orang puteri Rasulullah S.A.W. iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kaltsum.

Abu Lahab juga mertua dari kedua anak baginda. Setelah turun surat Al Lahab, Abu Lahab mengatakan kepada anaknya: Kepalaku dan kepalamu haram hingga kamu menceraikan keduanya lalu iapun menceraikan kedua puteri Nabi S.A.W.

Setelah mereka diceraikan baginda Nabi S.A.W. lalu mengawinkan Ruqayyah kepada Utsman bin Affan keduanya hijarah ke Habsyah dan mempunyai anak yang bernama Abdullah.

Rabi'ah bin "Ubbad berkata : "Saya melihat Nabi Muhammad SAW. pada masa Jahiliah di pekan "Zul Majaz" bersabda: "Ucapkanlah Tiada Tuhan melainkan Allah niscaya kamu akan berbahagia!". Orang-orang berkumpul di sekitar baginda. Di belakang beliau seorang laki-laki, putih warna mukanya, juling matanya, mempunyai dua untaian rambut di kepalanya, berkata: "Dia (Muhammad) beragama sabi' dan pembohong". ia mengikuti Nabi ke mana saja baginda pergi, lalu saya bertanya: "Siapakah orang itu". Mereka menjawab: "Itu adalah bapa saudaranya sendiri Abu Lahab". 
(Hadis Riwayat Ahmad) 

Dengan ini dijelaskan bahwa Abu Lahab selalu menentang kebenaran dan menjauhkan orang mengikuti kebenaran, menyatakan bahwa Nabi Muhammad SAW., pendusta menentang baginda dan merendahkan nilai agama serta petunjuk yang baginda bawa.

Sesungguhnya Abu Lahab akan mengalami kerugian, usahanya tidak akan berhasil dalam menentang agama Allah. Tidak ada gunanya harta, usaha dan daya upaya untuk itu, kerana Allah yang meninggikan darjat Rasul Nya, menyebar-luaskan dakwahnya. Abu Lahab akan diazab pada Hari Kiamat dengan neraka yang menyemburkan bunga apinya dan panasnya sangat hebat, yang disediakan Allah untuk orang-orang yang semacam Abu Lahab dari kalangan orang-orang kafir yang menentang Nabi, selain azab-Nya di dunia dengan kegagalan usahanya. Isterinya sebagai pembantu utama dalam usaha menentang dan menyakiti Rasulullah akan diazab juga bersama-sama. Selain daripada itu isterinya menyebar fitnah di mana-mana, menyebar berita-berita bohong dan menghidupkan api permusuhan.

Abu Lahab merupakan musuh Islam yang keji, ia bersama orang kafir Quraisy selalu menyakiti Nabi S.A.W. bahkan hendak membunuhnya. dia tewas pada hari Jum'at dalam perang Badar, tewas bersama dia Abu Jahal, Syaibah saudara Utbah, Walid bin Utbah dan lain sebagainya.

Isteri Abu Lahab akan diazab sebagaimana suaminya diazab. Isterinya bernama Arwah binti Harb, saudara perempuan Abu Sofyan bin Harb. Dia diazab kerana usahanya menyebarkan fitnah dan memadamkan dakwah Nabi Muhammad SAW. Orang Arab mengatakan bahwa, orang yang berusaha menyebarkan dan merusak hubungan antara manusia adalah seolah-olah ia membawa kayu api antara manusia, seakan-akan dia membakar silaturahim antara mereka. 
Adapula yang menyatakan bahwa isterinya itu menaruh duri, pecahan kaca dan kotoran pada jalan yang biasa dilalui oleh Nabi Muhammad SAW., untuk menyakiti baginda.

Isteri Abu lahab, rendah budinya dan jahat amal perbuatannya. Pada lehernya selalu ada seutas tali yang kuat, digunakannya untuk memikul duri-duri yang akan diletakkannya pada jalan yang dilalui Nabi. Ini adalah penghinaan untuk dia dan untuk suaminya. 

Maksudnya, isteri Abu Lahab begitu hebat usahanya untuk menyalakan permusuhan antara manusia, sehingga Allah mengisahkan dia sebagai seorang perempuan yang membawa kayu bakar yang digantungkan pada lehernya kemana saja ia pergi. Ini adalah seburuk-buruknya perumpamaan bagi seorang perempuan. 

Telah diriwayatkan dari Said bin Musayyab; bahwa Ummu Jamil (panggilan istri Abu lahab) mempunyai sebuah kalung yang sangat mahal, ia berkata,: "Sesungguhnya saya akan mempergunakan harga kalung ini untuk memusuhi Muhammad", lalu Allah menggantikan kalung tersebut dengan kalung dari api neraka.

Tetepi selepas baginda S.A.W. diangkat menjadi Rasul, Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat menentang Rasulullah S.A.W. Dia juga bertindak menyuruh kedua-dua orang anaknya menceraikan isteri masing-masing.

Ternyata Utbah dan Utaibah berpihak kepada ayah mereka. Berani pula Utaibah menunjukkan sikap kurang ajar kepada bekas bapa mertuanya. Dengan angkuh dan sombong dia mengherdik Rasulullah S.A.W. "Wahai Muhammad! Aku ceraikan puterimu dan aku tinggalkan agamamu. Aku tidak akan mengikutmu lagi."

Walaupun terguris hati dengan tindakan biadab itu, Rasulullah S.A.W. menerimanya dengan lapang dada. Semua kehendak Allah. Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Suatu masa , Utaibah mengikut satu kafilah dagang yang hendak pergi berniaga ke negeri Syam. Ditengah perjalanan rombongan itu terserempak dengan seekor harimau yang sangat besar.

Sangat menghairankan kerana harimau itu hanya merenung ke arah Utaibah seorang. Ia seperti tidak menghiraukan peserta kafilah yang lain. Dengan bantuan rakan-rakan Utaibah terselamat daripada di ganggu oleh harimau tersebut.

Tetapi harimau itu tidak lari jauh. Tanpa disedari semua peserta rombongan, rupa-rupanya mereka sedang diekori. Sampai menjelang tengah malam semasa rombongan berhenti rehat, harimau itu masih memerhatikan mangsanya.

Apabial semua peserta rombongan sudah lena dalam keletihan masing-masing, haiwan pemangsa itu pun menyerang Utaibah dan membahamnya, dia tidak sempat hendak menyelamatkan dirinya di tengah-tengah malam yang gelap gelita.

Sahabat yang dimuliakan,
Demikianlah balasan Allah kepada orang yang derhaka. Utaibah bukan sahaja tidak mahu beriman, bahkan dia turut menghina Rasulullah S.A.W. Akhirnya Allah pun membalas kejahatan Utaibah didunia ini lagi sebelum membalasnya di akhirat. Bapanya Abu Lahab mati dalam kehinaan apabila terbunuh di dalam Perang Badar dan ibunya juga mati dalam kehinaan. Ketiga-tiga mereka pasti akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahanam di hari akhirat nanti hinggakan Allah S.W.T menurunkan surah khusus untuk Abu Lahab dan isterinya iaitu surah al-Lahab ayat 1-5.