Showing posts with label Mukzijat Nabi. Show all posts
Showing posts with label Mukzijat Nabi. Show all posts

Saturday, January 23, 2010

Mukjizat Nabi s.a.w : Batu Pengisar Tepung Boleh Berkata-kata.

Suatu hari Rasulullah s.a.w datang menziarahi anaknya, Siti Fatimah r.h dan didapati Fatimah sedang  menangis, Rasulullah s.a.w bertanya, "Apakah yang menyebabkan engkau menangis, wahai Fatimah?"

Jawab Fatimah, "Wahai ayahku, saya menangis kerana saya amat letih mengisar tepung dan menjalankan kerja-kerja rumah. Sekiranya dapat, ayahnda tolonglah suruh Ali belikan seorang hamba untuk menolong segala kerja-kerja ini dan ia akan menjadi suatu kurniaan yang besar kepada saya."

Mendengar aduan anaknya itu, Rasulullah s.a.w sedih dan mengalirkan air mata. Baginda pun menghampiri batu pengisar tepung itu bertujuan untuk membantu anaknya dan ia mengambil segenggam gandum dan dimasukkan ke dalam batu pengisar tersebat sambil membaca Bismillah.

Tatkala Rasulullah s.a.w memasukkan tepung, maka batu pengisar itu pun bergerak-gerak dengan sendirinya tanpa payah dipegang dan dikisar oleh tangan yang  mulia itu sambil batu itu mengucapkan tasbih dengan bahasa yang amat indah sekali sehingga selesai mengisar gandum itu. Setelah habis gandum itu dikisar. Rasulullah s.a.w berkata kepada batu itu, "Diamlah wahai batu pengisar."

Ketika itu juga Allah telah mengizinkan alat pengisar itu boleh berkata-kata dengan bahasa yang sangat fasih sekali, iapun berkata : "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, sebagai seorang Rasul dan sebagai seorang yang paling amanah, bahawa aku tidak akan diam selagi engkau tidak memberi jaminan kepada aku bahawa aku akan ditempatkan oleh Allah di dalam Syurga dan dijauhi daripada api Neraka."

Rasulullah s.a.w pun berkata, "Wahai batu, engkau walaupun batu, tetapi engkau takut kepada api Neraka."

Batu pengisar itu berkata lagi : "Wahai Rasulullah s.a.w aku telah mendengar satu ayat daripada al-Qur'an, 'Wahai orang yang beriman, jauhilah diri kamu dan keluarga kamu daripada api Neraka yang bahan pembakarnya daripada manusia dan batu-batu. Di atasnya terdapat Malaikat yang amat garang dan tidak pernah ingkar dengan perintah Allah.'

Dengan sifat belas kasihan Rasulullah s.a.w pun mendo'akan keselamatan untuk batu tersebut. Setelah selesai Nabi s.a.w berdo'a maka Allah mengutuskan Malaikat Jibril kepada baginda.

Kata Malaikat Jibril, " Wahai Muhammad, Tuhan yang baginya segala pujian dan Yang Maha Tinggi telah mengirimkan salam dan penghormatan kepadamu dan ia sekaligus berpesan, berilah khabar gembira kepada batu itu, bahawa Allah telah melepaskan batu itu daripada  api Neraka dan ia diletakkan bersama-sama batu-batu Syurga di dalam Istana (Mahligai) Fatimah di akhirat, dimana ia akan mengeluarkan cahaya yang terang menyinari mahligai itu bagai sinar matahari dunia ini."

Berita itu pun disampaikan kepada batu tersebut dan sambil ia memandang kepada anaknya Fatimah dan berkata, " Sekiranya dikehendaki oleh Allah pengisar ini akan boleh bekerja dengan sendirinya seperti mana yang engkau lihat tadi bagi membantumu, tetapi Allah menghendaki engkau perolehi pahala dan Ia hendak mencatitkan kebajikan dan meninggikan darjatmu di sisi-Nya kerana kerjamu yang sangat berat dan memenatkan itu."

"Wahai Fatimah." sambung Rasulullah s.a.w lagi, "Kelebihan setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak roti (untuk suami dan anak-anaknya) Allah akan bina parit di antara dirinya dengan api Neraka (bagi menghalang bahang api Neraka itu), dan jarak di antara satu parit dengan satu parit sejauh langit dengan bumi."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang berair matanya kerana pedih memotong bawang untuk dimasakkan kepada ahli rumahnya, maka Allah akan mencatitkan pahala sebanyak yang diberikan-Nya kepada orang yang menangis kerana takutkan Allah."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminta benang (menenun kain untuk pakaian keluarganya), Allah akan mencatitkan kebajikan terhadap perbuatan kebajikannya itu sebanyak jumlah benang yang ditenunnya dan Allah menghapuskan pula 100 perbuatan jahat (dosa-dosanya)."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang menenun kain dan dibuatnya pakaian (untuk ahli rumahnya, suami dan anak-anaknya), Allah telah menetapkannya ditempat khas di atas takhta di akhirat." (Dalam satu riwayat lain disebut ganjaran pahalanya sama seperti pahala memberi makan kepada 1000 orang yang sedang lapar dan memberikan pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian).

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminyak rambut, menyikat, mencuci pakaian, mencuci dan membersihkan anak-anaknya, maka Allah akan membalas perbuatan kebajikannya itu dengan pahala mengikut jumlah rambut anaknya itu dan menghapuskan pula dosa-dosanya dan menjadikan ia berseri-seri (di akhirat) di mana orang yang melihatnya."
(Hadis Riwayat Abu Hurairah).

Friday, December 4, 2009

Mukjizat Nabi s.a.w. : Pokok Dari Rekahan Batu.


Bersama beberapa orang kawannya, Abu Jahal pergi ke rumah Abu Talib untuk bertemu Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hendak menduga Nabi dengan membuat tipu muslihat terhadap baginda. Pada perkiraan mereka, pasti Nabi tidak akan mampu melaksanakan permintaan mereka.

"Wahai Abu Talib, kalau benarlah anak saudaramu ini seorang pesuruh Allah, suruhlah dia tunjukkan kepada kami tanda-tanda kerasulannya." cabar Abu Jahal sebaik saja Abu Talib muncul bersama-sama Nabi s.a.w. di hadapan pintu.

Abu Talib berpaling ke arah Nabi seraya berkata, "Wahai anak saudaraku, engkau sendiri telah mendengar apa yang diberitahu oleh Abu Jahal. Apa pendapatmu tentang permintaannya itu?".

"Apakah mereka mahu beriman jika aku boleh membuktikannya?" tanya Nabi pula. Arah pertanyaan kepada Abu Talib tetapi sebenarnya ditujukan kepada Abu Jahal dan rakan-rakannya.

"Sekarang, apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh mereka?" tanya Nabi lagi.

Abu Jahal pun segera membelingas, seperti mencari-cari sesuatu di sekitar rumah itu. Ternampak seketul batu yang besar di tepi rumah. Pantas dia berseru, " Muhammad! Jika engkau benar-benar Pesuruh Allah, cubalah keluarkan sebatang pokok bercabang dua dari batu itu. Satu cabangnya condonng ke barat dan satu cabang lagi condong ke timur."

Nabi Muhammad s.a.w tenang sahaja mendengar permintaan Abu Jahal. Nabi beredar ke suatu sudut rumah dan berdo'a kepada Allah. Baginda meminta pertolongan Allah agar Allah menunaikan permintaan Abu Jahal itu. Tidak lama kemudian, dengan kehendak Allah s.w.t. batu besar yang keras itu tiba-tiba merekah, lalu mengeluarkan sepohon pokok. Pokok itu bercabang dua, sepertimana yang diminta boleh Abu Jahal. Satu dahan bergerak ke timur dan satu lagi condong ke barat.

"Alangkah hebatnya apa yang telah engkau datangkan, wahai Muhammad," ucap seorang di kalangan kawan-kawan Abu Jahal dengan nada menyindir.

Tidak puas hati dengan apa yang mereka saksikan, mereka menyuruh Nabi menjadikan pokok itu mengecil dan masuk semula ke dalam batu. Dengan kehendak dan kuasa Allah, pokok itu pun mengecil dan masuk semula ke dalam batu. Terpegun Abu Jahal dan kawan-kawannya menyaksikan kejadian yang amat luar biasa itu.

"Alangkah hebatnya permainanmu, wahai Muhammad, " kata Abu Jahal dengan sombong sebelum berlalu dari situ. Diekori rakan-rakannya yang lain. Tidak ada seorang pun yang mahu tunduk dan mengaku beriman kepada Allah dan Rasul.

Pengajarannya :
1. Sifat sombong, bongkak dan ego yang ada pada jiwa manusia akan menutup pintu kebenaran walaupun ianya wujud di hadapan mata. Contoh yang jelas berlaku pada diri Abu Jahal dan kawan-kawannya yang menolak kebenaran walaupun telah melihat mukzijat Nabi s.a.w.

2. Manusai telah di ilhamkan oleh Allah s.w.t. kedalam jiwanya jalan ketakwaan dan jalan kefasikan. Manusai boleh memilih salah satu jalan tersebut. Sekirannya ia memilih jalan takwa maka akan terbentang luas  rahmat dan jalan kebenaran. Tetapi sekiranya manusia memilih jalan kefasikan maka pintu rahmat dari Allah s.w.t. akan tertutup dan ia akan menjadi sesat. Oleh kerana pilihan ini telah dibuat oleh manusia sendiri ketika di dunia ia tidak boleh menyalahkan Allah s.w.t. apabila ia dihumbankan kedalam api Neraka di hari Akhirat nanti.

(Kisah ini di petik dari tulisan Zuraimi Ismail dari Galeri Ilmu Sdn Bhd)