Friday, February 26, 2010

Memperingati Hari Kelahiran Nabi s.a.w. Membawa Cinta dan Kasih Kepada baginda.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji dan puja kita rafaakkan kepada Allah s.w.t. yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar tercinta Nabi Muhammad  s.a.w. penutup sekalian para Nabi dan Rasul, penunjuk jalan al-haq dan daie sepanjang jalan.

Setiap 12Rabiul Awal kita menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah  s.a.w. Keputeraan Rasulullah dan pengutusan baginda kepada kita merupakan satu nikmat kubra buat umat sejagat. Ini kerana kelahiran baginda memberikan petanda risalah dan penyelamat umat dari dibelenggu arus jahiliyah dan kekufuran.

Kedatangan dan pengutusan baginda membawa agama Islam ini merupakan satu nikmat agung kepada umat Islam. Ini kerana dengan agama Islam mereka terselamat daripada menjalani kehidupan dalam alam kekufuran dan kejahilan, seperti menyembah berhala, roh nenek moyang dan sebagainya. Islam menyelamatkan kita dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diterima akal yang sejahtera itu. Alangkah beruntungnya kita dengan nikmat Islam ini, sehinggakan jika tiada nikmat di atas dunia ini selain Islam, maka yang demikian itu pun sudah mencukupi melayakkan umat Islam berada di atas memimpin bangsa-bangsa lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran Nabi s.a.w., namun harus kita bertanya kepada benak fikiran kita sejauh mana kita telah mencontohi dan mengimplimentasi pusaka peninggalan baginda s.a.w.di dalam kehidupan kita. Saban tahun juga bermakna Rasulullah s.a.w. semakin jauh dari kita., namun spirit dan ruh perjuangan baginda tetap membara dalam sanubari kita.

Marilah kita menggali semula mutiara keindahan hidup baginda s.a.w. Mari kita susuri dan teladani qudwah dakwah dan perjuangan baginda bagi kita memacu semula gerakan pencerahan dan pembangunan semula satu nahdah (peradaban). Biarpun jasad baginda jauh beribu-ribu batu, namun jiwa,perjuangan baginda tetap mekar dan dekat di hati kita.

Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.

Marilah sama-sama kita kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa aqidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya. 

Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.Teruskanlah dan amalkanlah sunnah Nabi s.a.w. dalam kehidupan kita, tanda kita cinta dan kasih kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. Tujuh amalan sunnah Nabi s.a.w. yang tidak pernah baginda tinggalkan iaitu solat malam, solat berjemaah, membaca al-Qur'an, solat duha, beristighfar, berwudhu' dan bersedekah.

Sahabat yang dihormati,
Akhir sekali renungilah perumpamaan berikut, yang diberikan oleh Allah s.a.w. kepada generasi para sahabat, menggambarkan kedudukan yang mereka capai pada masa itu di hadapan kaum-kaum yang bukan Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar.” 
(Surah al-Fath: 29)

Thursday, February 25, 2010

Petua Bersihkan Hati


Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati.oleh Pakar Motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.:

1) Dirikan solat dan banyakkan berdo’a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih”

2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah.Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3) Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4) Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi.Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” sebanyak 3X.

5) Berma’af-ma’afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan kesalahan yang dilakukan.

6) Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakanlah “Aku sebenarnya……(perkara yang elok-elok belaka)

7) Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya -CUBALAH!!)

8 ) Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9) Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa)

10) Kekalkan wuduk.

11) Bersedekah.

12) Belanja orang makan.

13) Jaga makanan – jangan makan makanan yang subhat

14) Berkawan dengan ulama.

15) Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).

16) Pesan pada orang, jadi baik.

17) Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dsb),jangan dengar orang mengumpat.”

Monday, February 22, 2010

Kedudukan Takwa Dalam Pengurusan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah dia takwa? Menurut tafsir Ibn Kathir mencatatkan bahawa menurut Ibn 'Abbas r.a. orang yang bertakwa itu ialah, " Orang Mukmin yang berhati-hati daripada syirik, menjauhi syirik dan melakukan taat."

Al-Imam Hassan al-Basri pula berkata : "Takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah, dan menunaikan apa-apa yang diwajibkan oleh Allah s.w.t.."

Takwa kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan. Athiyah al-Sa'di menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Seorang hamba tidak dapat mencapai darjat takwa (muttaqin) sehingga meninggalkan apa yang tidak berdosa semata-mata kerana khuatir terjerumus ke dalam dosa."

Takwa dibayangkan sebagai kewaspadaan seperti dalam jawapan Ubai bin Ka'b apabila ditanya tentang takwa oleh Umar al-Khattab, "Apakah anda tidak pernah berjalan di tempat penuh duri? tanya Ubai.
"Saya sangat waspada dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri itu." terang Umar. Ubai berkata, "Itulah contoh takwa."

Sahabat yang dihormati,
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Seorang hamba Allah itu tidak mencapai tahap orang bertakwa sehingga ia meninggalkan sesuatu yang diharuskan untuk menjaga diri dari sesuatu yang diharamkan. Pada tahap ini, seorang itu tidak sahaja meninggalkan dosa besar tetapi juga dosa-dosa kecil sekalipun. Termasuk takwa pada tahap ini ialah takrif yang mengatakan bahawa takwa itu ialah Allah tidak melihat kamu berada di tempat larangan-Nya dan tidak kehilangan kamu di tempat suruhan-Nya."
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi).

Al-Qur'an mengarahkan orang-orang beriman supaya bertakwa kepada Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam."
(Surah Ali-Imran ayat 102).

Allah s.w.t. mengarahkan hamba-Nya supaya beriman dan bertakwa kepada-Nya dan meletakkan ukuran takwa sebagai satu-satunya ukuran kemuliaan insan. Allah mendorong hamba-Nya supaya menghiasi hidup dengan hiasan takwa dan membina peribadi takwa, lantaran itulah sebaik-baiknya jalan.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat lima sifat-sifat orang bertakwa :

1.Beriman kepada Allah, kepada Rasulullah s.a.w, kepada al-Qur'an dan kepada hari akhirat.
2.Melaksanakan ibadah khusus dengan sempurna seperti solat, puasa dan haji.
3.Membelanjakan harta ke jalan yang diredhai oleh Allah. Mengeluarkan zakatnya, memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan.
4.Golongan muttaqin menghiasi diri dengan akhlak yan mulia, melaksanakan amanah, menepati janji, sabar dalam kesempitan dan penderitaan, adil, pemaaf dan sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah.
5.Memelihara hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia dan alam seluruhnya.

Al-Qur'an menyatakan bahawa sifat takwa yang ada pada seorang boleh menenangkan perasaannya daripada takut, menjauhkan daripada dukacita di hari qiyamat serta mendapat pertolongan atau taufiq Allah di dalam kehidupan di dunia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Untuk orang-orang bertakwa (kepada Allah) pada sisi Tuhan mereka ada Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniakan) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."
(Surah Ali-Imran ayat 15)

Sahabat,
Apabila sifat takwa telah menjiwai kehidupan seorang insan maka segala pekerjaan, pengurusan dan amalan aktiviti harian kehidupannya akan menjadi sempurna dan teratur. Ia akan membangunkan masyarakat dalam setiap peringkat, pada diri, keluarga, organisasi dan negara. Kesemua urusan dakwah, tarbiyah dan jihad akan dapat dijalankan meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan pentadbiran akan dilaksanakan dengan amanah dan jujur.

Akhirkata marilah sama-sama kita tingkatkan takwa kita kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya nilai takwa akan dapat meningkatkan darjat kemuliaan kita di sisi Allah s.w.t. dan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.