Saturday, October 23, 2010

Silaturahim (Menyambung hubungan kekeluargaan)

 Hadis-hadis Nabi s.a.w mengenai silaturahim.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra. dia berkata:
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk sehingga setelah selesai menciptakan mereka, bangkitlah rahim (hubungan kekeluargaan) berkata: Ini adalah tempat bagi orang berlindung (kepada-Mu) dengan tidak memutuskan tali silaturahmi.

Allah menjawab: "Ya. Apakah kamu senang kalau Aku menyambung orang yang menyambungmu, dan memutuskan orang yang memutuskanmu?"

Ia berkata: "Tentu saja". 

Allah berfirman: "Itulah milikmu".

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah ayat berikut ini kalau kalian mau: "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinganya dan dibutakan matanya. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci. "
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Aisyah r.a., ia berkata:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.:
Dari Nabi saw. bahwa beliau bersabda: "Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata:
Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi)."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Jauhilah Perbuatan Menghasut (Mengadu domba) Untuk Mengelakkan Kemurkaan Allah

Sahabat yang di rahmati ,
Salah satu amalan yang dibenci oleh Allah s.w.t adalah sikap suka menghasut (mengadu domba), memecah-belahkan ukuwah Islamiyah dan silaturahim.

Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w. maksudnya : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas bahwa ia berkata, Nabi melewati dua buah kubur. Baginda bersabda maksudnya : "Kedua penghuninya sedang disiksa bukan karena dosa besar. Yang satu karena ia suka mengadu domba, dan yang lainnya kerana tidak mau membersihkan air seni sehabis buang air kecil."

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa penghasut (mengadu domba) dan sikap suka memecah-belahkan persaudaraan Islam dan ukuwah Islamiyah dan memutuskan silaturahim adalah perbuatan tercela dan akan mendapat azab Allah s.w.t di alam kubur dan di hari akhirat nanti.

Jika dikaji mereka yang suka menjadi penghasut (mengadu domba) dan memecah-belahkan persaudaraan Islam adalah kerana disebabkan tiga faktor.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Perasan iri hati dan hasat dengki melihat kejayaan dan kebahagiaan orang .

Orang yang iri hati tidak boleh menikmati kehidupan yang normal kerana hatinya tidak pernah boleh tenang sebelum melihat orang lain mengalami kesulitan. Dia melakukan berbagai hal untuk memuaskan rasa iri hatinya. Bila ia gagal, ia akan jatuh kepada kecewa. Sayyidina Ali k.w. berkata, “Tidak ada orang zalim yang menzalimi orang lain sambil sekaligus menzalimi dirinya sendiri, selain orang yang dengki.” Selain menyakiti orang lain, orang yang dengki juga akan menyakiti dirinya sendiri.
Perasaan ini lahir kerana hati yang tidak bersyukur di atas nikmat dan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan keatas dirinya.

Allah berfirman bermaksud: “ Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat Ku. ”
(Surah al-Baqarah, ayat 152)

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim, ayat 7).
Kedua : Sentiasa mengikut hawa nafsu dan mendengar bisikan syaitan. Nafsu manusia suka kepada jalan kejahatan dan tidak suka kepada kebaikan. Suka menjatuhkan orang lain dan benci kepada keharmonian hidup sesama saudara Muslim.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan (mengikut hawa nafsu) dan jalan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."
(Surah As-Syams ayat 7-10)
 
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka Syurgalah tempat kediamannya."
(Surah An-Nazi'at ayat 40-41)

Ketiga : Hati dan jiwa penghasut dan suka memutuskan silaturahim adalah berpenyakit.

Orang yang mengidap penyakit hati tidak akan boleh mencintai orang lain dengan benar. Dia tidak mampu mencintai keluarganya dengan ikhlas. Orang seperti itu agak sukar untuk mencintai Nabi s.a.w.  apalagi mencintai Allah s.w.t.. Kerana ia tidak boleh mencintai dengan tulus, dia juga tidak akan mendapat kecintaan yang tulus dari orang lain. Sekiranya ada yang mencintainya dengan tulus, ia akan curiga akan kecintaan itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Mereka yang suka kepada perbuatan menghasut (mengadu domba), memfitnah dan memecah-belahkan persaudaraan Islam adalah mereka yang akan mendapat kutukan Allah s.w.t di dunia ini. Di hari akhirat Allah s.w.t akan menyediakan azab yang pedih.

Terdapat 6 jenis golongan yang termasuk dikalangan penghasut dan memutuskan silatuirahim :

1. Ibu bapa yang mencampuri urusan perkahwinan anak-anaknya. Ibu bapa yang membenci menatu dan menyuruh anaknya memutuskan ikatan perkahwinan (bercerai). Sanggup menghasut dan memfitnah menantunya . Jika menantunya melakukan sesuatu perkara yang tidak syarak sepatutnya sebagai orang tua memberi nasihat dahulu sekiranya perkara tersebut tidak berhasil barulah jalan terakhir mengusulkan perceraian. Setengah kes orang tua yang fasik ini sanggup mengunakan khidmat bomoh untuk mengenakan sihir keatas menantunya. Golongan  ini adalah melakukan d dosa besar dan akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

2. Rakan sepejabat yang menghasut pegawai atasan untuk memfitnah dan menimbulkan kebencian supaya rakannya tidak mendapat kenaikan pangkat atau gaji. Golongan ini sentiasa memiliki perasaan hasad dengki ini  tidak merasai takut dengan azab Allah.

3. Dalam hidup berpoligami sering kita dengan isteri pertama membenci isteri kedua dan membuka rahsia suaminya dan membuat tuduhan kepada madunya dengan harapan untuk mendapat simpati daripada orang lain. Golongan ini jika tidak bertaubat dan  menempah dirinya dengan azab Allah s.w.t kerana ramai wanita memasuki Neraka adalah kerana menyakiti hati suami dan suka mengadu domba.

4. Pemimpin politik sering menyerang peribadi pemimpin lain (berbeza fahaman politik) dan menghasut rakyat supaya membenci musuh politiknya dengan tujuan untuk mendapat pengaruh dan sokongan murahan. Jika yang diceritakan itu tidak benar maka ianya menjadi fitnah dan akan berlakulah pergeseran dan pergaduhan sesama Muslim. Golongan ini di hari akhirat nanti amat mudah menjadi muflis kerana dosa 'kering'  yang dilakukan di dunia.

5. Permusuhan dan pulau memulau sesama jiran tetangga atau sekampung kerana berbeza pendapat.Perbezaan ini perlu di atasi supaya dapat mengwujudkan ikatan persaudaraan Islam . Kerana semua orang Muslim adalah bersaudara. Golongan ini jika dibiarkan akan menjadi barah kepada penyatuan umat Islam dan akan mengakibatkan Islam akan hilang kekuatannya.

6. Perselisihan sesama adik- beradik kerana pembahagiaan harta pusaka peninggalan orang tua. Tidak mahu bertolak ansur hingga mengakibatkan terputus dan terungkai ikatan silaturahim dan kasih sayang di antara ahli keluarga.  Golongan ke 6 ini amat sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan bahawa tidak akan masuk Syurga sesiapa yang memutuskan ikatan silaturahim.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga akhlak dan peribadi kita untuk sentiasa menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Sifat suka penghasut, memecah belahkan perpaduan umat Islam, mengumpat, memfitnah dan memutuskan silaturahim adalah sifat-sifat mazmumah. Sifat ini  amat dibenci oleh Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w sendiri memberi amaran keras kepada sesiapa yang hidupnya menyusahkan orang lain dan menimbulkan perpecahan sesama Muslim. Tidak ada tempat yang layak untuk mereka ini melainkan azab Neraka Jahanam.

Khutbah Rasulullah s.a.w. tentang Dajjal


Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu." di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.

Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: "Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya." Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu."

Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."


Wallahu A'lam.

Friday, October 22, 2010

Sempurnakan Amal Kita Dengan Enam Perkara.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sikap orang Mukmin sentiasa memperbaiki amalannya setiap hari. Jika ada perkara-perkara yang mencacatkan amalannya dia akan tinggalkan perkara tersebut, begitu juga jika ia dapati ada perkara-perkara yang membantu menyempurnakan amal solehnya kearah yang lebih baik dan sempurna maka ia akan lakukan.

Terdapat enam perkara yang boleh menyempurnakan amal soleh seseorang iaitu :

1. Senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan takut pada ancaman-Nya.

2. Berbaik sangka terhadap sesama Muslim.

3. Sibuk dengan aib sendiri.

4. Menutup aib saudaranya .

5. Menganggap amalnya terlalu sedikit.

6. Berteman dengan orang- orang soleh.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai muhasabah diri sendiri untuk membaiki amal-amal soleh kita maka enam perkara yang dinyatakan di atas perlulah dilaksanakan dengan segera semoga usaha-usaha kita mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan takut pada ancaman-Nya.

Mukmin yang muttaqin adalah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t samaada melalui ibadah khusus maupun melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman kehidupan harian. Amalan yang boleh menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. adalah seperti berikut :

1. Solat wajib tepat waktu, selalu berdo'a , bermunajat dan berzikir kepada Allah.

Dengan solat, berdo’a dan berzikir kepada Allah s.w.t. insya Allah hati menjadi tenang, damai dan makin dekat dengan-Nya.

2. Solat tahajud.

 Pada malam hari, diri ini tidak lagi disibukkan dengan urusan pekerjaan ataupun urusan-urusan duniawi lainnya sehingga dapat lebih khusyuk saat menghadapkan diri kepada Allah s.w.t.

3. Mengingat kematian yang datang bila-bila masa.

Kematian sebenarnya sangat dekat, lebih dekat dari urat leher kita. Dan ia datang  secepat kilat menjemput kita bila saatnya tiba. Dengan mengingati kematian dan  siksaan di alam barzakh akan membawa hati merasai pergantungan kepada-Nya setiap masa.

4. Membayangkan kedahsyatan siksa Neraka.

Azab Allah sangat pedih bagi yang tidak menjauhi larangan-Nya dan tidak mengikuti perintah-Nya.

5. Membayangkan kenikmatan Syurga-Nya

Kesenangan duniawi hanya bersifat sementara, sangat singkat dibanding dengan kenikmatan di akhirat yang tidak dibatasi waktu.

6. Membaca Al Qur’an dan memahami maknanya (erti dari setiap ayat yang dibaca)

Insya Allah dengan membaca Al Qur’an dan maknanya, akan menjadikan kita makin dekat dengan-Nya.

7. Menambah pengetahuan keislaman dengan berbagai cara, antara lain dengan : membaca buku, membaca di internet (tentang pengetahuan Islam, artikel Islam dsb), melihat video Islami yang dapat meningkatkan keimanan kita.

8. Merasakan kebesaran Allah s.w.t. atas semua ciptaan-Nya seperti alam semesta dan kejadian yang berlaku dimuka bumi seperti peredaran malam dan siang dan kesempurnaan ciptaan Allah s.w.t.

Kedua : Berbaik sangka terhadap sesama Muslim.

Sifat yang akan memperkokoh dan memantapkan persaudaraan harus di hidupkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merusak ukhuwah harus dihilangkan semoga hubungan ukhuwah Islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh karena itu, apabila kita mendapatkan maklumat negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang Muslim, maka kita harus melakukan menyiasat terlebih dahulu sebelum mempercayai apalagi memberi respon  secara negatif.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.(Surah Al-Hujurat ayat 6)

Ketiga : Sibuk dengan aib sendiri.

Kita perlulah sentiasa muhasabah diri sendiri. Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan diri kita. Oleh itu setiap hari kita perlu berusaha membuang segala sifat mazmumah yang masih ada dalam hati kita . Satu keaiban yang kita buangkan dalam diri kita lebih baik daripada kita tingkatkan satu amal kebaikan pada masa yang sama keaiban itu masih kekal dalam diri

Imam Hasan Al Bashri dalam kalamnya (ucapannya) menyebutkan bahwa, “Engkau tidak akan memperoleh hakikat iman selama engkau mencela seseorang dengan sebuah aib yang ada pada dirimu sendiri. Perbaikilah aibmu, baru kemudian engkau perbaiki orang lain.Setiap kau perbaiki satu aibmu, maka akan tampak aib lain yang harus kau perbaiki. Akhirnya kau sibuk memperbaiki dirimu sendiri. Dan sesungguhnya, hamba yang paling dicintai Allah adalah dia yang sibuk memperbaiki dirinya sendiri.”

Keempat : Menutup aib saudaranya .  Firman Allah s.w.t maksudnya :” Wahai orang-orang yang beriman jauhilah, kebanyakan dari sangkaan sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip dan mencari-mencari kesalahan dan keaiban org lain ” ( Surah Al-Hujurat ayat 12)

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. Bahwa Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka kerana buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.(Hadis  Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Kelima : Menganggap amalnya terlalu sedikit.

Sifat orang Mukmin adalah ia menganggap amalnya terlalu sedikit sedangkan dosa-dosanya kepada Allah s.w.t terlalu banyak. Amal yang sedikit ini pula belum pasti diterima oleh Allah s.w.t. Dari itu ia merasakan terlalu banyak lagi amal soleh dan amal ibadah yang perlu dilaksanakan dan sentiasa tidak puas-puas melakukan amal ibadah kepada Allah s.w.t.

Keenam : Berteman dengan orang- orang soleh.

Rasulullah saw bersabda maksudnya :  “Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk adalah ibarat penjual minyak wangi dan peniup tungku. Penjual minyak wangi boleh memberimu tanpa kita harus membeli, atau (paling tidak) engkau akan mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan peniup tungku boleh membakar pakaianmu atau engkau akan mencium bau busuk darinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam menjelaskan hadis ini Imam An-Nawawi berkata, “Hadis ini berbicara tentang keutamaan bergaul dengan orang-orang yang soleh, pelaku kebaikan, akhlak mulia, wara’, berilmu, dan mempunyai  sopan santun. Sebaliknya, hadis ini melarang kita bergaul dengan pelaku kejahatan, pembuat bid‘ah, suka mengumpat, berbuat dosa, dan sikap tidak terpuji lainnya.”

Sayyidina Ali bin Abi Thalib k.w  berkata, “Hati-hatilah kalian dalam memilih teman, sesungguhnya teman adalah bekal di dunia dan akhirat.”

Sahabat yang dikasih,
Dikira sebesar-besar kebaikan disisi Allah s.w.t apabila kamu memperelokkan budi pekerti, merendahkan diri dan sabar diatas bala dan musibah dan ujian-ujian daripada Allah keatas kamu.Janganlah kamu menjadi orang yang buruk akhlaknya dan sedikit ketaatannya terhadap perintah-perintah Allah s.w.t kerana mereka-mereka ini akan mendapat kutukan daripada Allah s.w.t.

Berusahlah untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. dengan amal soleh, amal ibadah, memperbaiki kelemahan diri dan sentiasa memberi nasihat yang berguna kepada saudara-saudara Muslim kita yang lain supaya mereka sentiasa mentaati Allah s.w.t.



Thursday, October 21, 2010

Jauhilah 20 Dosa-dosa Besar Untuk Mendapat Keredhaan Allah.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita lihat keadaan umat Islam hari ini kita merasakan amat sedih dan dukacita kerana perbuatan maksiat yang membawa kepada dosa berlaku merata tempat . Umat Islam sudah berani melakukan dosa-dosa besar  secara terang-terangan, mereka tidak takut lagi kemurkaan Allah s.w.t

Kemungkinan bala bencana yang berlaku ketika ini ada kaitannya dengan kerosakkan yang di lakukan oleh tangan-tangan manusia , seperti penyakit HIV, selsema babi, selsema burung, demam denggi berdarah, jerebu, cuaca panas , kemarau , ribut taufan dan lain-lain lagi.

Setiap hari kita baca berita di dada akhbar arus perdana menceritakan kisah-kisah gejala sosial dan jenayah yang di lakukan oleh umat Islam. Kes rogol , sumbang mahram , pembunuhan kejam, ragut ,penderaan fizikal , jenayah along , menjual dan menghisap dadah , rompakan , penculikan, membuang bayi hasil perzinan , pelacuran , perdagangan manusia dan lain-lain lagi. Ini tidak termasuk lagi kes-kes seperti rasuah , penyalagunaan kuasa , khalwat , bersekedudukan , sumpah palsu , minum arak , main judi , fitnah- menfitnah dan perzinaan.

Faktor penting yang menyebabkan kesemua keadaan ini berlaku kerana umat Islam telah meninggalkan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Mereka terlupa bahawa kehidupan mereka di dunia ini hanya lah persingahan sementara untuk menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Mereka telah dikuasai oleh runtunan hawa nafsu amarah dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Alangkan ruginya jika semasa hidup di dunia yang sementara ini diisi dengan dosa-dosa besar yang membawa kemurkaan Allah s.w.t. Jika ditakdirkan seseorang pelaku dosa besar ini mati sebelum bertaubat maka amat malang sekali perjalanan hidupnya selepas kematian kerana akan mengalami kesengsaraan yang  berpanjangan di alam barzakh, Padang Mahsyar, timbangan amal. dan siratul mustaqim akhir sekali dihumbankan ke dalamn Neraka Jahannam, nauzubillahiminzalik.

Di senaraikan 20 dosa-dosa besar yang wajib dijauhi supaya kita mendapat keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Dosa-dosa besar tersebut adalah seperti berikut :

1. Syirik (Menyekutukan Allah s.w.t.)

Syirik adalah dosa besar yang paling utama sekali. Seseorang yang syrik kepada Allah s.w.t tidak akan diampunkan dosanya di hari akhirat nanti.

Tentang hal ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya :"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki- Nya".(Surah An Nisaa ayat 48).

Dan Allah s.w.t berfirman maksudnya :"Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Syurga".(Surah Al Maaidah ayat 72)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”(Hadis riwayat Anas bin Malik)

2. Berputus asa dari mendapatkan rahmat Allah s.w.t.

Seseorang yang putus asa dan kecewa adalah manusia yang tidak redha dengan qadha' dan qadar Allah s.w.t. Orang Mukmin menganggap segala bala dan musibah adalah ujian daripada Allah s.w.t.

Tentang hal ini Allah s.w.t.berfirman maksudnya :"Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".(Surah Yuusuf: 87).

3. Merasa aman dari ancaman Allah s.w.t.

Jiwa yang tidak rasa takut dan gementar dengan Neraka dan azab Allah s.w.t di hari akhirat nanti adalah jiwa yang sombong dan takbur. Dia akan menyesal dan mendapat kerugian nanti kerana di dunia meremehkan ancaman Allah s.w.t.

Tentang hal ini Allah s.w.t.berfirman maksudnya :”Tiadalah yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi."(Surah Al A'raaf ayat 99)

4. Berbuat durhaka kepada kedua orang tua.

 Anak yang derhaka kepada ibu bapanya tidak akan mendapat redha Allah  s.w.t.kerana keredhaan-Nya adalah bergantung kepada redha kedua ibu bapa. Balasan yang akan diterima di dunia lagi sebelum mendapat azab yang pedih di hari akhirat nanti.

Firman Allah s.a.w. bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.(Surah al-Israk, ayat 23).

Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Tidak masuk Syurga orang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang gemar minum minuman keras” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Sabda Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali k.w : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

5. Membunuh manusia tanpa hak.

Dosa membunuh manusia lain tanpa hak adalah dosa yang sangat besar, kedudukannya adalah selepas syirik kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang membunuh searang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisaa’ ayat 93)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membunuh dengan senghaja itu akan dikenakan empat macam hukuman: (i) Berkekalan di dalam neraka Jahannam. (ii) Kemurkaan Allah. (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya (iv) Azab yang sangat pedih dan keras yang akan disediakan oleh Allah baginya di akhirat.

Di antara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mengancam tentang dosa dan hukum ke atas pembunuh ialah:Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :  “Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dosa-dosa besar) “, jawab Baginda: “Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata : Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku. Maka Allah berkata kepada sipembunuh : Celakalah engkau, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

6. Menuduh wanita baik-baik berbuat zina.

Tentang hal ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya :"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lengah lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar".(Surah An Nuur ayat 23)

7. Memakan riba'.

Tentang hal ini Allah s.w.t  berfirman maksudnya :"Orang-orang yang makan (mengambil) riba' tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila".
(Surah Al Baqarah ayat 275)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”

8.Lari dari medan pertempuran.

Maksudnya, saat kaum Muslimin diserang oleh musuh mereka, dan kaum Muslimin maju mempertahankan diri dari serangan musuh itu, kemudian ada seseorang individu Muslim yang melarikan diri dari pertempuran itu.

 Allah s.w.t berfirman maksudnya :"Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk (muslihat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah Neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya".
(Surah Al Anfaal ayat 16)

9. Memakan harta anak yatim.

Tentang hal ini Allah s.w.t berfirman maksudnya :"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (Neraka)".
(Surah An Nisaa ayat 10)

10. Berbuat zina.

Dalam satu riwayat Nabi s.a.w ada menceritakan kisah seorang abid di zaman Bani Israel yang beribadah selama 60 tahun di dunia sebelum dia meninggal dunia dia telah melakukan zina dan tidak sempat bertaubat. Apabila ditimbang di akhirat dosa zina dengan ibadahnya selama 60 tahun  maka dosa zina lebih berat daripada pahala beribadah selama 60 tahun.

Tentang hal ini Allah s.w.t  berfirman maksudnya :"Barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu".
(Surah Al Furqaan ayat 68-69)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam Neraka.”
(Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)

11. Sumpah palsu.

Jika seseorang bersumpah untuk melakukan sesuatu perbuatan, namun ternyata ia tidak melakukan perbuatan itu. atau ia bersumpah tidak akan melakukan sesuatu perbuatan, namun nyatanya ia kemudian melakukan perbuatan itu. Tentang hal ini Allah s.w.t berfirman maksudnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih".
(Surah Ali Imraan ayat 77 )

Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda maksudnya : "Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besardosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdikkedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu."

 12. Meminum arak (minuman keras).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 219)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Empat ( macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke Syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba’ , menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.”
(Hadis riwayat Al-Hakim)

13. Berjudi.

Judi adalah antara amalan termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Tegahan berjudi kerana perbuatan itu mendatangkan banyak keburukan bukan saja kepada orang yang suka berjudi, juga mereka yang rapat dengannya.

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 219)

14. Menilik nasib / mempercayai bomoh.( menggunakan perantaraan jin dan syaitan mengaku boleh mengetahui perkara ghaib)

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”
(Surah al-Maidah, ayat 90)

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barang siapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”
(Hadis Riwayat Muslim).

15.  Meninggalkan solat.

Tentang hal ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya :"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (Neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat".
(Surah Al Muddats-tsir ayat  42-43 )

Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud :“ Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”

16. Melanggar perjanjian dan memutuskan tali silaturahmi.

Tali silaturahmi adalah salah satu ikatan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.untuk disambung.

Allah s.w.t  berfirman maksudnya :"(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi".(Surah Al Baqarah ayat 27 )

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Orang yang memutuskan silaturahim tidak akan masuk Syurga."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

17. Melakukan liwath (homoseksual).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“ Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka) , bukan kepada wanita, maka kamu ini adalah kaum yang melampau batas.”
(Surah Al- A’raaf ayat 81)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Barangsiapa mengerjakan akan perkerjaan kaum Luth (liwaath / homoseksual) maka hendaklah di bunuh yang memperbuat dan yang di perbuat.”

18. Tidak menuanikan zakat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“ Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karuniaNya , menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan di kalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allahlah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Imran ayat 180)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Barangsiapa mempunyai emas atau perak senisab, sedang tidak di keluarkan zakatnya, kelak di hari kemudian ia akan di kejar-kejar oleh ular yang besar dan sangat berbisa dari neraka yang mengigit tangannya sehingga terpotong, kemudian tangannya kembali sebagai sediakala, di gigit lagi ular itu, demikianlah setiap masa, sehingga akhirnya orang yang bakhil itu akan di seret ke neraka Jahannam”

19. Mengurangkan sukatan timbangan.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Tepatkanlah ukuran dan janganlah kalian termasuk golongan orang yang merugi.
(Surah Asy Syu’araa ayat 181).

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang bathil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berjalan atas dasar suka sama suka diantara kamu”
(Surah An-Nisaa ayat 29)

20. Membunuh diri sendiri dengan sengaja.

Dari Abu Huhairah r.a. Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Thabit bin Dhohak r.a. sabda Nabi s.a.w. maksudnya :  “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jabir bin Samurah r.a. bahwa seorang laki-laki telah membunuh dirinya sendiri dengan tombak maka Nabi s.a.w. tidak menyembayangkan (jenazahnya)”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Setiap dosa-dosa yang kita lakukan sebenarnya ianya akan memberi kesan kepada hati  kita. Hati akan berpenyakit dan dipenuhi oleh selaput hitam yang menutup pintu-pintu hidayah dan kebenaran. Untuk menghilangkan selaput hitam tersebut perlu kepada bertaubat dan beristighfar kepada Allah s.w.t dan sentiasa mengingati mati dan banyak membaca al-Qur'an.

Firman Allah s.w.t maksudnya: “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga).”
(Surah An-Nisa’ ayat 31)

Oleh itu jauhilah semua dosa-dosa kecil atau besar dalam hidup kita dan sentiasa menghidupkan hati kita dengan iman dan taqwa dan sentiasa muraqabah  dengan Allah s.w.t.

Semoga kita  semua diampunkan oleh Allah s.w.t  terhadap  dosa-dosa kita yang telah lalu dan akan datang dan mendapat rahmat dan redha Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Wednesday, October 20, 2010

Padang Mahsyar : Manusia Gelisah Menunggu Hisab Penentu.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Semua bagian tubuh manusia akan hancur kecuali satu tulang, iaitu ujung ekornya (ajab al-dzanb). Dari tulang inilah dibangunkan kembali penciptaannya pada hari kiamat.”
( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah. Dalam riwayat Abu Ya’la dan Al-Hakim dari Abu Said Al-Khudri, para sahabat lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah rupa ujung ekor itu?” Baginda menjawab, “Seperti biji sawi (habbat khardal).” Maknanya tulang itu sangat kecil sehingga hampir tak terlihat oleh mata biasa.

Beberapa hadis menjelaskan bahawa proses pengembalian makhluk dimulai dengan hujan yang sangat lebat menyirami bumi selama beberapa hari. Air itu menumbuhkan tulang bakal makhluk yang terpendam di bawah tanah ini tumbuh dan berkembang. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Mereka kemudian tumbuh bagaikan sayuran di musim hujan.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Apabila hari kebangkitan yang ditentukan telah tiba, Israfil meniup sangkakalanya (sur) yang mengembalikan setiap roh ke jasad. Manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain mulai tersedar dari tidur yang panjang. Mereka berkata, “Duhai celakalah kami. Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami?”
(Surah Yasin ayat 52).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Semua manusia akan dibangkitkan dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan belum dikhitankan sebagaimana keadaan mereka ketika pertama kali diciptakan.” Rasulullah lalu membaca: Sebagaimana kami menciptakan (manusia) pertama kali, maka kami akan mengembalikannya. Itu merupakan janji yang akan kami laksanakan.”
(Surah  Al-Anbiya ayat 104).

Padang Mahsyar :

Tidak lama kemudian, semua makhluk bergerak dalam rombongan besar yang terdiri dari jutaan manusia menuju ke satu arah. “Hati manusia pada waktu itu sangat takut, pandangannya tertunduk.”
 (Surah Al-Nazi’at ayat  8-9).

Sebahagian mereka berjalan dengan kakinya, sebahagian yang lain merangkak dengan tangannya, bahkan ada juga yang berjalan “dengan wajahnya”. Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Bagaimana seorang kafir berjalan dengan wajahnya?” Baginda menjawab, “Bukankah (Allah) yang membuatnya dapat berjalan dengan kaki, maka Dia juga mampu membuatnya berjalan dengan wajah?”
(Hadis Riwayat Muslim).

Mereka kemudian berkumpul di Mahsyar; sebuah padang luas yang tanahnya putih bak pasir di pinggir pantai, datar tanpa bukit dan lubang. Tak ada bangunan ataupun bendera yang menunjukkan pemilikan. Al-Ghazali berkata, “Janganlah engkau mengira bahawa tanah itu seperti tanah di dunia ini. Tidak ada kesamaan antara keduanya melainkan namanya sahaja.”

Ibn Mas’ud berkata, “Tanah pada hari itu semuanya (dipenuhi) api, dan Syurga di seberangnya telah terlihat bersama para bidadari dan cawan-cawan minumannya.”
(Hadis Riwayatkan Imam Waki’ dalam kitab “Al-Zuhd”.)

Keringat (Peluh) :

Bayangkan jutaan manusia sejak zaman Nabi Adam hingga generasi terakhir berkumpul dan bersesak-sesakan. Di bawah sinar matahari yang sangat panas, tanah yang membara, ditambah lagi suasana hati yang dipenuhi ketakutan, pada saat itu tubuh manusia basah dengan keringat. Dalam hadis Muslim dari Al-Miqdad bin Al-Aswad, Nabi s.a.w. bersabda, “Pada hari kiamat matahari didekatkan kepada manusia sejarak satu mil. Maka semua manusia tenggelam di dalam keringatnya sesuai dengan amal perbuatannya (di dunia). Sebahagian mereka tenggelam hingga ke mata kaki, sebahagian yang lain hingga ke pinggangnya dan sebahagian yang lain hingga ke mulutnya.”

Imam Ibn Abi Jamrah dalam Syarh Sahih Al-Bukhari berkata, “Manusia yang paling terseksa dengan keringatnya ini adalah orang-orang kafir, kemudian (Muslim) pelaku dosa-dosa besar, dan seterusnya.”

Imam Al-Ghazali berkata dalam Ihyak Ulumiddin , “Ketahuilah setiap titis keringat yang tidak pernah dikeluarkan dalam bekerja di jalan Allah, dalam haji, jihad, puasa, tahajjud, membantu Muslim atau beramar makruf nahi munkar, maka keringat itu akan dikeluarkan oleh rasa malu dan takut pada hari kiamat nanti.”

Balasan Amal sebelum Hisab :

Singkat kata, setiap orang pada hari kebangkitan ini merasa sangat terseksa jauh sebelum mereka dihisab. Setiap orang merasakan sangat haus, lapar, penat, takut, sedih, bimbang stres dan berbagai kesusahan zahir dan batin serta lain-lain yang belum dapat kita bayangkan pada saat ini. Mereka terus dalam keadaan itu bertahun-tahun lamanya hingga Allah berkenan memulakan proses hisab dan penghitungan amal. Al-Ghazali berkata, “Fikirkanlah suasana panjang dan beratnya penungguan hari itu agar dengan itu terasa ringan bagimu dalam bersabar meninggalkan maksiat sepanjang hidupmu yang singkat ini.”

Pada hari itu, sekecil apa pun amal kebaikan yang pernah dilakukan seseorang di dunia sangat berharga untuk melepaskan sebahagian dari seksaan yang dideritanya ini. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Barang siapa yang melepaskan seorang Mukmin dari kesusahan, maka Allah akan melepaskan darinya satu daripada kesusahan yang terdapat pada hari kiamat.”
(Hadis Riwayat  Muslim dari Abu Hurairah).

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Barang siapa yang menginginkan agar Allah menyelamatkannya daripada kesusahan (yang dialami) pada hari kiamat, maka bantulah orang yang dalam kesusahan, atau kurangilah kesusahannya.”
(Hadis Riwayat Muslim).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Seseorang akan berteduh di bawah naungan sedekahnya hingga waktu pengadilan (hisab) tiba.”
(Hadis Riwayatkan Ahmad di “Musnad”-nya.)

Al-Hafiz Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, “Semua manusia dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, sangat lapar, sangat haus dan sangat penat. Barang siapa yang pernah memberikan pakaian kerana Allah, maka Allah akan memberinya pakaian. Barang siapa yang pernah memberi makan kerana Allah, maka Allah akan memberinya makanan. Barang siapa yang pernah memberi minum kerana Allah, maka Allah akan memberinya minuman. Dan barang siapa yang pernah memaafkan karena Allah, maka Allah akan memaafkannya.”

Ulama tabiin kenamaan di kota Mekah, Sufyan bin ‘Uyainah, berkata, “Tidak ada nikmat yang Allah berikan kepada hamba-Nya melebihi kebesaran kalimat tauhid: La ilaha illallah. Sebab kalimat ini di akhirat ibarat air sejuk di dunia.” Diceritakan oleh Imam Al-Hafiz Jamaluddin Al-Mizzi dalam Tahdzib Al-Kamal fi Asma Al-Rijal.

Di bawah Naungan Allah :

Sementara itu, apabila kebanyakan manusia dalam kesusahan, terdapat orang-orang tertentu yang seolah-olah tidak mengalami sebarang seksaan apa pun. Mereka adalah orang-orang yang di dunia telah mengalami kesusahan sekejap demi menjaga agama dan prinsipnya, ketika kebanyakan manusia pada saat itu menikmati keseronokan hawa nafsunya.

Rasulullah s.a.w. bercerita tentang mereka, “Tujuh golongan yang berada di bawah naungan Allah ketika tidak ada naungan selain naungan-Nya; pemimpin yang adil, pemuda yang tubuhnya sentiasa menyembah Allah, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid jika ia keluar hingga kembali semula, dua orang yang saling mencintai kerana Allah; mereka berjumpa dan berpisah kerana-Nya, seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan sendirian hingga meneteskan air mata, seorang laki-laki yang dirayu oleh wanita cantik dan terhormat namun menolaknya dengan berkata: aku takut kepada Allah, dan seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan tangan kanannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menceritakan kebahagiaan luar biasa untuk orang-orang yang memiliki salah satu, apalagi lebih, dari tujuh sifat ini. Iaitu adil, menjaga kebersihan diri sejak muda, sangat mencintai masjid, cinta kerana Allah, mengingat Allah dalam keadaan sendirian, menjaga diri daripada zina, dan bersedekah tanpa mengharap sembarang pujian ataupun balasan.

Imam ahli hadis terbesar di Andalusia Al-Hafiz Ibn Abdil Bar dalam dua kitabnya Al-Tamhid dan Al-Istizkar mentakwil kalimat “naungan Allah” yang disebutkan dalam hadis ini dengan “rahmat Allah.” Sebab mustahil Allah s.w.t. memiliki bayangan hingga manusia dapat berteduh di bawahnya.

Ahli hadis yang dikenal dengan gelaran Hafiz Al-Maghrib ini selanjutnya berkata, “Barang siapa yang berada di bawah naungan Allah, maka ia selamat dari kengerian hari kebangkitan dan segala sesuatu yang tengah menimpa manusia lain pada saat itu seperti rasa khuatir, stres dan (seksaan) keringat.”

Wasilah: Syafaat Terbesar

Setelah sekian lama berdiri di padang Mahsyar yang penuh derita itu, semua manusia sudah tidak mampu lagi menunggu. Mereka segera mendatangi nabi-nabi kekasih Allah agar mereka diperkenankan permintaan bagi Allah memulai hisab. Namun semua nabi-nabi, mulai dari Nabi Adam hingga Nabi Isa as, tidak ada yang berani mengabulkan permintaan itu. Mereka semua terlalu sibuk memikirkan kesalahan yang pernah mereka lakukan sehingga malu untuk meminta kepada Allah pada hari yang sangat menakutkan itu.

Para Nabi dan Rasul kemudian mengarahkan semua manusia supaya menemui kekasih Allah, pemilik wasilah dan syafaat terbesar, baginda Muhammad s.a.w. Semua manusia kemudian melaksanakan anjuran tersebut. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa baginda segera berjalan ke arah Arasy lalu bersujud dan memuji Allah s.w.t. dengan puja-pujian yang belum pernah baginda ucapkan sebelumnya. Allah s.w.t. lalu berfirman, “Wahai Muhammad, angkat kepalamu. Mintalah, Aku akan mengabulkan.” Rasulullah s.a.w. segera meminta untuk dimulai hisab.

Allah segera menurunkan perintahnya kepada semua malaikat, maka hisab yang sangat menentukan itu segera dimulakan.

Ulasan Kembara Muslim.
"Ya Allah, aku menangis mengenangkan nasibku di hari akhirat...Selamatkan aku dan shbt2 serta ahli keluarga drpd fitnah ketika itu... namun ya Allah.. aku seringkali tewas dalam godaan nafsu dan syaitan yg sentiasa mengekoriku setiap jhari.."

Dipetik dan disesuaikan dari Majalah Solusi, tulisan al-Ustaz al-Muhaddis al-Syikh Umar M. Nor, imam eksekutif masjid al-Syafaah, Singapura.

(Diambil daripada tulisan Kembara Muslim)

Amalkan Tujuh Perkara Yang di Harapkan Oleh Malaikat Jibril

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w memberi wasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya  : "Wahai Ali ! Malaikat Jibril selalu mengharapkan tujuh hal dari keturunan anak Adam iaitu :

1.Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah)

2.Berkumpul bersama para ulama'

3.Menjenguk orang sakit.

4.Menghantar jenazah ketempat perkuburan

5.Memberi minum orang yang kehausan

6.Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih

7.Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim"

Rasulullah s.a.w cukup bimbang kepada umatnya yang suka menunda-nunda atau melingah-lengahkan amal-amal soleh kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok. Ingatlah! Masa berjalan terus, ia tidak menunggu sesiapa, dunia sentiasa berubah dan fitnah-fitnah yang dibawa oleh syaitan dan Iblis dan didurong oleh hawa nafsu itu akan muncul terus dan mengoda manusia.

Bayangkan bagaimana keadaan ini boleh berlaku iaitu seseorang paginya beriman dan petangnya kafir dan ada pula yang petangnya beriman dan paginya kafir. Kalau tidak diambil perhatian serius apa akan terjadi sekiranya ketika ia menjadi kafir waktu petang atau pagi tiba-tiba ajalnya datang mengejut? Jadilah ia seorang yang mati dalam kekufuran kepada Allah s.w.t. nauzubillahiminzalik.

Berdasarkan wasiat Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali k.w , malaikat Jibril mengharapkan tujuh perkara dapat di amalkan oleh anak Adam supaya menjadi hamba Allah yang  melaksanakan amal soleh ketika di dunia ini.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah).

Solat lima waktu berjemaah adalah sunat yang amat dituntut kerana ganjaran pahala yang akan diberikan oleh Allah s.w.t adalah 27 kali lebih baik daripada solat bersendirian dan setiap langkah yang dilakukan menuju kemasjid akan mendapatkan satu pahala disisi Allah s.w.t. dan mendapat pahala seperti mengerjakan haji.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu dhuha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Kalau seorang tidak pergi ke masjid meskipun dia telah dengar azan (dia lebih suka solat di rumah) tanpa sesuatu 'uzur syar'i yang kuat maka solatnya tidak diterima." Apabila para sahabat bertanya apakah 'uzur syar'i yang kuat itu, maka baginda menjawab, "Ketakutan atau sakit."

Kedua : Berkumpul bersama para ulama'.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Apabila seorang Mukmin yang lebih dari empat puluh hari tidak berkumpul duduk dengan ulama' maka hatinya menjadi keras dan berani mengerjakan dosa-dosa besar. Kerana sesungguhnya ilmu itu penghidup hati"

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh (ulama') dan orang yang jelek adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
 (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ketiga : Menjenguk orang sakit.

Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan ianya adalah termasuk hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain.

Diriwayatkan Imam Ahmad: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di Syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di Syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api Neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di Syurga."

Keempat : Menghantar jenazah ketempat perkuburan.

Penghantaran jenazah ke kubur adalah hak Muslim kepada Muslim yang lain.Mengiringi jenazah ke kubur adalah mengandungi banyak hikmahnya kerana dengan pengkebumian ini akan mengingatkan kita kepada kematian. Setiap yang hidup pasti akan mati hanya masanya sahaja akan ditentukan oleh Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Barangsiapa yang mengikuti penyempurnaan jenazah hingga solat jenazah maka dia akan memperolihi ganjaran satu qirath, dan barangsiapa yang mengikutinya hingga dikebumikan maka dia akan memperolihi ganjaran dua qirath. Mengikuti jenazah adalah hak Allah, hak jenazah dan hak kaum kerabatnya yang masih hidup."

“Suatu ketika kami semua berada di Baqi’ Al-Gharqad untuk menghantar jenazah seseorang. Pada saat itu Nabi s.a.w mendatangi tempat kami, lalu baginda duduk dan kami semua pun duduk mengelilinginya dan bersama baginda ada sebatang tongkat.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Kelima : Memberi minum orang yang kehausan.

Memberi bantuan air minuman kepada mereka yang memerlukan adalah amalan sedekah yang amat dituntut. Dalam realiti kita sekarang ini memberi bantuan air minuman kepada mangsa kebuluran, bencana alam, banjir, gempa bumi,  mangsa peperangan adalah satu usaha yang amat mulia disisi Allah s.w.t. Ketika ini air amat diperlukan untuk minum, memberrsihkan diri dan keperluan lain.

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang menginginkan agar Allah menyelamatkannya daripada kesusahan (yang dialami) pada hari kiamat, maka bantulah orang yang dalam kesusahan, atau kurangilah kesusahannya.”
(Riwayat Muslim).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, “Seseorang akan berteduh di bawah naungan sedekahnya hingga waktu pengadilan (hisab) tiba.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Al-Hafiz Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, “Semua manusia dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, sangat lapar, sangat haus dan sangat penat. Barang siapa yang pernah memberikan pakaian kerana Allah, maka Allah akan memberinya pakaian. Barang siapa yang pernah memberi makan kerana Allah, maka Allah akan memberinya makanan. Barang siapa yang pernah memberi minum kerana Allah, maka Allah akan memberinya minuman. Dan barang siapa yang pernah memaafkan karena Allah, maka Allah akan memaafkannya.”

Keenam : Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih.

Mendamaikan dua orang Muslim yang berselisih faham adalah satu amalan yang mulia dan dituntut oleh Islam. Hinggakan berbohong untuk mendamaikan persengkitaan adalah diharuskan dan tidak termasuk di dalam hukum berdosa.

Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Ummu Kalsum ra:
Ù„ÙŠŰł Ű§Ù„ÙƒŰ°Ű§Űš Ű§Ù„Ű°ÙŠ ÙŠŰ”Ù„Ű­ ŰšÙŠÙ† Ű§Ù„Ù†Ű§Űł فينمي ŰźÙŠŰ±Ű§ ŰŁÙˆ يقول ŰźÙŠŰ±Ű§
“Bukanlah orang yang berbohong itu yang mendamaikan diantara manusia yang menyebabkan berkembangya kebaikan atau berkata perkara yang baik.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ummu Kalsum r.a juga meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w maksudnya :
“ Aku tidak pernah mendengar Rasulullah saw membenarkan manusia untuk berbohong melainkan dalam 3 perkara 1. Peperangan 2. Mendamaikan manusia 3. Cerita lelaki kepada isterinya dan sebaliknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan jika ada dua golongan dari orang-orang  mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah 49 ayat 9)

Hadis riwayat Anas bin Malik ra.: "Bahwa Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang muslim mendiamkan (tidak menyapa) saudaranya lebih dari tiga hari"

Ketujuh : Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim.

Rasulullah s.a.w. juga sering memperingatkan kita dalam beberapa hadisnya supaya kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran dan sentiasa berbakti serta memuliakan mereka. Hubungan akrab di antara jiran sesama jiran sangat diutamakan di dalam ajaran Islam. Antara pesanan Nabi s.a.w. maksudnya :
“ Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahawa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk diwarisi (mendapatkan harta pusaka).”

Jangan menyakiti jiran kerana perbuatan itu menjejaskan keimanan kita.Sehubungan dengan itu Rasulullah s.a.w.  bersabda maksudnya : “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah s.a.w. menjawab : Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “ Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dekat atau jauh kedudukan rumah jiran di antara satu sama lain adalah berdasarkan jarak tempat tinggal, hubungan kekeluargaan dan perbezaan anutan di antara yang Islam dan bukan Islam.

Kedudukan jiran terdekat yang diistilahkan sebagai jiran ialah dalam lingkungan penempatan 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kita, sama ada dari arah kiri, kanan, hadapan dan belakang atau atas dan bawah. Di mana ianya terdapat tiga kategori jiran yang dikelasifikasikan oleh Islam seperti berikut.

Pertama, Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu hak sebagai ahli keluarga, hak sesama Islam dan hak sebagai jiran.

Kedua, Jiran Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak sesama Islam .

Ketiga . Jiran Bukan Islam, mempunyai satu hak sahaja iaitu hak jiran.

( Oleh itu sebagai orang Islam yang mukmin kita hendaklah menjaga hak atau tanggungjawab tersebut kepada mereka yang berhak menerimanya, mengabaikan hak dan tanggungjawab ini dengan sengaja bermakna kita menempah kemurkaan Allah. Demikianlah universial dan murninya ajaran Islam yang mencakup seluruh kehidupan manusia dan sekalian makhluk ciptaan Allah ).

Menghormati dan membantu anak yatim adalah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, Maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Baqarah ayat 220)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (Surah al-Israk ayat 34)

Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim.

Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud : "Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam Syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu. (Hadis Riwayat Muslim ).

Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam Syurga.

Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita amalkan tujuh perkara seperti di sarankan oleh malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w. untuk diamalkan dalam kehidupan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Apabila malaikat JIbril sendiri yang mengalakkan ini bermakna perkara tersebut adalah satu tuntutan yang besar dan ianya di kehendaki oleh Allah s.w.t. Semoga kita termasuk dikalangan hamba-hamba Allah yang diredhai-Nya dan mendapat rahmat-Nya

Lima Wasiat Dari Allah s.w.t Kepada Rasulullah s.a.w

Dari Nabi s.a.w. "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah s.w.t. telah memberikan lima wasiat, antaranya :
  • Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
  • Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
  • Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
  • Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.
  • Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. 
Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

  • Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
  • Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya. 
  • Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
  • Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
  • Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
  • Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
  • Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."
(Dipetik daripada tulisan Kurosaki Herumi)

Tuesday, October 19, 2010

Doa Membuka Pintu Hati Untuk Menerima Al-Quran dan Ilmu Yang Haq

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kenapa kita merasai sukar untuk menghafal ayat-ayat Allah? Kenapa mukjizat al-Quran tidak menyerap masuk kedalam hati kita? Kenapa arahan al-Quran tidak mampu kita hayati di dalam kehidupan kita?

Kenapa kita sukar untuk memahami Islam,walaupun setiap hari kita membaca bahan-bahan mengenai Islam?

Kenapa kita sukar untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan kita,walaupun kita mengetahui setiap arahan Allah dan Rasul-Nya wajib kita patuhi?

Tepuk dada tanya iman kita...adakah kerana banyak kotoran yang melekat dihati kita hinggakan nur hidayah dan nur rahmat tidak mudah menyerap masuk di hati kita.?

Untuk menjawab persoalan ini marilah kita hayati doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. kepada Sayyidina Ali k.w.

Abdullah bin Abbas r.a. berkata, "Saya pergi ke majlis Nabi SAW dan disana Sayyidina Ali k.w telah datang dan berkata, "Wahai Rasulullah, saya mengorbankan ayah dan ibu saya untuk tuan, ayat-ayat al-Quran tidak melekat pada hati saya. Apa-apa saja yang saya hafal tidak kekal dalam ingatan."

Nabi SAW bersabda maksudnya , "Hendakkah saya memberitahu kamu satu cara yang akan memberi manfaat kepada kamu dan kepada sesiapa yang akan kamu  sampaikan tentang hal ini serta apa-apa sahaja yang kamu pelajari akan terpelihara dalam ingatanmu?"

Diatas permintaan Ali k.w  Nabi SAW memberitahu, "Apabila tiba malam jumaat, sekiranya kamu mampu, bangunlah pada satu pertiga bahagian akhir malam. Masa itu masa yang paling baik kerana masa itu adalah masa para malaikat turun ke bumi dan masa yang khusus untuk penerimaan doa. Untuk menunggu masa tersebutlah Nabi Ya'akub a.s. berkata kepada anak-anaknya yang bermaksud, " Tidak lama lagi aku akan memohon keampunan untuk kamu daripada Tuhanku." (yakni  malam jumaat).

Setelah kita selesai solat tahajjud 4 rekaat , memuji Allah SWT, beristighfar, berselawat dan mohon keampunan untuk kaum Muslimin dan Muslimat baik yang masih hidup atau telah meninggal dunia maka teruskan membaca doa ini :

"Ya Allah, rahmatilah daku sehingga daku dapat meninggalkan segala maksiat selama Engkau menghidupkan daku. Rahmatilah daku supaya daku tidak menanggung apa-apa beban yang tidak memberi manfaat kepadaku. Kurniakanlah kepada daku pandangan yang baik terhadap amalan yang membawa daku kepada keredhaan-Mu.

Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki kehebatan dan kemuliaan serta kehormatan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh sesiapapun. Wahai Allah, wahai yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau menetapkan hatiku untuk menghafal kitab-Mu sebagaimana Engkau telah mengajarku. Dan kurniakanlah (taufik) supaya daku dapat membaca al-Quran dengan cara yang menyebabkan Engkau redha terhadapku. 

Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang memiliki kehebatan, kemuliaan dan kehormatan yang tidak dapat di capai (oleh sesiapapun), wahai Allah dan wahai Tuhan yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau mencahayakan penglihatanku dengan nur kitab-Mu dan Engkau mengerakkan lidahku untuk menyebut al-Quran dan Engkau menghilangkan kesempitan hatiku dengan keberkesanan al-Quran dan Engkau lapangkan dadaku dengan keberkatan al-Quran.

Dan Engkau membasuh badanku dengan al-Quran (dari kekotoran dosa) kerana sesungguhnya tiada pembantu bagiku keatas perkara yang haq (benar) kecuali Engkau dan tidak ada yang mengurniakan perkara haq itu (kepadaku) kecuali Engkau. Dan tiada daya (untuk melakukan sebarang kebaikan) dan tiada upaya (untuk menjauhi sebarang kejahatan) kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung."

Selanjutnya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Wahai Ali, lakukanlah amalan ini sama ada 3 kali Jumaat, 5 kali Jumaat atau 7 kali Jumaat. Insya Allah doa kamu pasti akan dikabulkan. Demi Zat yang mengutuskan daku dengan kebenaran, doa ini tidak akan ditolak daripada mana-mana Mukmin."

Abdullah bin Abbas r.a. berkata, " Setelah berlalu 5 atau 7 minggu maka Sayyidina Ali k.w. telah datang ke majlis Nabi SAW. dan berkata, "Wahai Rasulullah, dahulu saya membaca lebih kurang 4 ayat, itu pun saya tidak dapat mengingat sedangkan sekarang saya membaca 40 ayat dan ayat-ayat itu dapat saya ingati sehingga seolah-olah al-Quran terbuka dihadapan saya. Sekarang, setelah saya mendengar hadis, apabila saya ingin menyampaikan hadis itu kepada orang lain, satu huruf pun saya tidak tertinggal."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan doa ini semoga terbuka pintu hati kita untuk menerima ayat-ayat al-Quran dan  ilmu yang haq dan benar dan mampu pula kita amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua dan diiringi pula dengan rahmat dan keberkatan.

Muraqabah Terhadap Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjadi Mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Muraqabah terhadap Allah s.w.t adalah sifat jiwa seorang Mukmin.

Ketika malaikat Jibril a.s. pada suatu kesempatan mengunjungi baginda Rasulullah s.a.w. , baginda menanyakan hal mengenai Islam, Iman dan Ihsan .Muraqabah adalah suatu jalan yang sangat berkaitan dengan Ihsan—ketika kita beribadah kepada Allah , seakan-akan kita melihat Dia. Walaupun kita tidak mampu melihat Dia; Dia pasti melihat kita. Ini adalah bentuk tarbiyah untuk menjadi Ihsan.

Seorang Mukmin yang bermuraqabah terhadap Allah akan sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah s.w.t mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain. Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah s.w.t nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah s.w.t.

Ingatlah ketika di sana nanti lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki , bumi yang dipijak, hari dan masa yang bejalan serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' atau cctv Allah s.w.t. yang merakamkan 24 jam tidak berhenti-henti semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:" Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"
Para sahabat menjawab:" Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."
Baginda s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya." Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,
Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah s.w.t.

Nabi s.a.w pernah berpesan yang bermaksud : "Seorang Mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam Mukmin."  Maknanya , ketika dalam hati sesaorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah s.w.t. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah s.w.t melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang Mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiyyah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :  "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9).

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah s.w.t seperti firmanNya yang bermaksud :  "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah s.w.t mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah.Nabi s.a.w di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah a.w.t. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para da'i untuk merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah.

Sayyidina Umar al- Khattab r.a berkata, "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat"

Setiap Mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :  "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).

Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah s.w.t adalah terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mematuhi tanpa soal Kitab Allah s.w.t dan sunnah NabiNya.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya :  "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t" (Hadis Riwayat Imam at- Turmudzi)

Imam Mubarakfuri berkata :  "Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya ketaatan kepada Allah s.w.t dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta ampun kepada Allah s.w.t bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah s.w.t mengampunkan doas-dosanya"

Panjang angan-angan atau berangan-angan adalah satu sifat peribadi yang tidak di sukai oleh Nabi s.a.w, mereka-mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga SYURGA ALLAH S.W.T, untuk memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah,muraqabah dan muhasabah.Di dalam Syurga yang penoh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang salim, hati yang bersih, hati yang ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada amalan dan perbuatan yang mendatangkan murka Allah s.w.t dan  kita berusaha untuk beramal ibadah, amal soleh dan sentiasa memperbaruhi iman kita dan sentiasa bermuraqabah terhadp Allah s.w.t. Ingtlah! Sifat Allah s.w.t. Maha Melihat dan Maha Mendengar dan Dia sentiasa melihat dan memerhatikan diri kita dari tutur kata, perbuatan hinggakan niat-niat dihati yang tersembunyi semuanya dapat dilihat dan di dengar oleh Allah s.w.t.

Adakah kita tidak takut dan malu kepada Allah s.w.t sedangkan terlalu banyak nikmat dan rezeki yang telah Allah s.w.t kurnikan kepada kita? Adakah kita masih tidak mahu menjadi hamba-Nya yang bersyukur?

Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t maksudnya :  " Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketaqwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan do'a yang tidak di kabulkan"
(Hadis Riwayat Muslim)


Monday, October 18, 2010

Nabi Sulaiman Dengan Kubah Ajaib

Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.

Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai- ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam kedalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.

Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangant cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk kedalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.

Dengan kuasa yang diberikah oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajah kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada disitu. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa kehairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.

Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela diatas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela diatas khidmat yang diberkan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.

Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Alllah. Pada sutau hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut . Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkah Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajah kepada Allah sehingga hari ini.

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tepapi ia mula memasukkinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada didalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiada muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ketempat asalnya.

Setelah kubah tersebut diletakkan ketempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa siksanya orang yang menderhakan kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ketempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

(Dipetik daripada tulisan Kurosaki Herumi)