Saturday, June 20, 2009

Muraqabah Terhadap Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjadi mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Muraqabah terhadap Allah SWT adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah SWT mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT  nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah SWT.Ingatlah ketika di sini nanti lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!
Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak itu dia beriman.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis diatas ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT  melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT  yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). 

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT  seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah SWT mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah. Nabi SAW  di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para daie untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Saidina Umar al- Khattab r.a. berkata "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat" Setiap mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah SWT  yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18). 

Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah SWT  adalah terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mematuhi tanpa soal Kitab Allah SWT  dan sunnah NabiNya.

Nabi SAW  bersabda maksudnya "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT" 
(Hadis riwayat Tirmizi)

Imam Mubarakfuri berkata "Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya ketaatan kepada Allah SWT dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta ampun kepada Allah SWT  bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah SWT mengampunkan doas-dosanya"

Sahabat yang dikasihi,
Jauhkan diri kalian daripada panjang angan-angan atau berangan-angan kerana sifat ini  adalah satu sifat peribadi yang tidak di sukai oleh Nabi SAW, mereka-mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.

Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga syurga Allah S.W.T, untuk memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah, muraqabah dan muhasabah.Di dalam syurga yang penuh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang salim, hati yang bersih, hati yang ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW  mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT maksudnya " Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketakwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak di kabulkan"
(Hadis Riwayat Muslim)

Friday, June 19, 2009

Hadis Kesempurnaan Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid r.a telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah SAW  yang mana dia telah menyatakan tujuannya : "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku didunia dan akhirat. 

Maka baginda SAW  telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa yang engkau kehendaki."

Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI ORANG ALIM"

Baginda SAW  menjawab : "TAKUTLAH KEPADA ALLAH MAKA ENGKAU AKAN MENJADI ORANG YANG ALIM"

Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI ORANG PALING KAYA"

Baginda SAW  menjawab : "JADILAH ORANG YANG YAKIN PADA DIRI MAKA ENGKAU AKAN JADI ORANG PALING KAYA"

Dia berkata : "AKU MAHU JADI ORANG PALING ADIL"

Baginda SAW  menjawab : "KASIHANILAH MANUSIA YANG LAIN SEBAGAIMANA ENGKAU KASIH PADA DIRI SENDIRI MAKA JADILAH ENGKAU SEADIL-ADIL MANUSIA"

Dia berkata :"AKU MAHU MENJADI ORANG YANG PALING BAIK"

Baginda SAW  menjawab : "JADILAH ORANG YANG BERGUNA KEPADA MASYARAKAT MAKA ENGKAU AKAN JADI SEBAIK-BAIK MANUSIA"

Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI ORANG YANG ISTIMEWA DI SISI ALLAH"

Baginda SAW  menjawab : "BANYAKKAN ZIKRULLAH NESCAYA ENGKAU AKAN JADI ORANG ISTIMEWA DI SISI ALLAH"

Dia berkata : "AKU MAHA DI SEMPURNAKAN IMANKU"

Baginda SAW  menjawab : "PERELOKKAN AKHLAKMU NESCAYA IMANMU AKAN SEMPURNA"

Dia berkata : "AKU MAHU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG YANG MUHSININ (BAIK)"

Baginda menjawab : "BERIBADAHLAH KEPADA ALLAH SEOLAH-OLAH ENGKAU MELIHATNYA DAN JIKA ENGKAU TIDAK MERASA BEGITU SEKURANGNYA ENGKAU YAKIN DIA TETAP MELIHAT ENGKAU MAKA DENGAN CARA INI ENGKAU AKAN TERMASUK GOLONGAN MUHSININ"

Dia berkata : "AKU MAHU TERMASUK DALAM GOLONGAN MEREKA YANG TAAT" 

Baginda SAW  menjawab : "TUNAIKAN SEGALA KEWAJIPAN YANG DI FARDUKAN MAKA ENGKAU AKAN TERMASUK DALAM GOLONGAN MEREKA YANG TAAT"

Dia berkata : "AKU MAHU BERJUMPA ALLAH DALAM KEADAAN BERSIH DARIPADA DOSA"

Baginda berkata : "BERSIHKAN DIRIMU DARIPADA NAJIS DOSA NESCAYA ENGKAU AKAN MENEMUI ALLAH DALAM KEADAAN SUCI DARI DOSA"

Dia berkata : "AKU MAHU DI HIMPUN PADA HARI QIAMAT DI BAWAH CAHAYA"

Baginda SAW  menjawab : "JANGAN MENZALIMI SESAORANG MAKA ENGKAU AKAN DI HITUNG PADA HARI QIAMAT DI BAWAH CAHAYA"

Dia berkata : "AKU MAHU DI KASIHI OLEH ALLAH PADA HARI KIAMAT"

Baginda menjawap : "KASIHILAH DIRIMU DAN KASIHILAH ORANG LAIN NESCAYA ALLAH AKAN MENGASIHANIMU PADA HARI QIYAMAT"

Dia berkata : "AKU MAHU DI HAPUSKAN SEGALA DOSAKU"

Baginda menjawap : "BANYAKKAN BERISTIGHFAR NESCAYA AKAN DI HAPUSKAN (KURANGKAN) SEGALA DOSAMU"

Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI SEMULIA-MULIA MANUSIA"

Baginda menjawap : "JANGAN MENGESYAKI SESUATU PERKARA PADA ORANG LAIN NESCAYA ENGKAU AKAN JADI SEMULIA-MULIA MANUSIA"

" Dia berkata : "AKU MAHU MENJADI SEGAGAH-GAGAH MANUSIA"

Baginda s.a.w menjawab : "SENTIASA MENYERAH DIRI (TAWAKKAL) KEPADA ALLAH NESCAYA ENGKAU AKAN JADI SEGAGAH-GAGAH MANUSIA"

Dia berkata : "AKU MAHU DI MURAHKAN REZEKI OLEH ALLAH"

Baginda SAW  menjawab : "SENTIASA BERADA DALAM KEADAAN BERSIH (DARI HADAS) NESCAYA ALLAH AKAN MEMURAHKAN REZEKI KEPADAMU"

Dia berkata : "AKU MAHU TERMASUK DALAM GOLONGAN MEREKA YANG DI KASIHI ALLAH DAN RASULNYA"

Baginda SAW  menjawab : "CINTAILAH SEGALA APA YANG DISUKAI OLEH ALLAH DAN RASULNYA MAKA ENGKAU TERMASUK DALAM GOLONGAN YANG DI CINTAI OLEH MEREKA"

Dia berkata :"AKU MAHU DI SELAMATKAN DARI KEMURKAAN ALLAH PADA HARI KIAMAT"

Baginda SAW  menjawab :"JANGAN MARAH KEPADA ORANG LAIN NESCAYA ENGKAU AKAN TERSELAMAT DARIPADA KEMURKAAN ALLAH DAN RASULNYA"

Dia berkata : "AKU MAHU DI TERIMA SEGALA PERMOHONANKU"

Baginda SAW  menjawab :"JAUHILAH MAKANAN HARAM NESCAYA SEGALA PERMOHONANMU AKAN DI TERIMANYA"

Dia berkata :"AKU MAHU AGAR ALLAH MENUTUPKAN SEGALA KEAIBANKU PADA HARI KIAMAT"

Baginda SAW  menjawab : "TUTUPLAH KEBURUKAN ORANG LAIN NESCAYA ALLAH AKAN MENUTUP KEAIBANMU PADA HARI KIAMAT"

Dia berkata : "SIAPA YANG TERSELAMAT DARIPADA DOSA?"

Baginda s.a.w menjawab : "ORANG YANG SENTIASA MENGALIR AIR PENYESALAN, MEREKA YANG TUNDUK PADA KEHENDAKNYA (ALLAH) DAN MEREKA YANG DI TIMPA KESAKITAN"

Dia berkata : "APAKAH SEBESAR-BESAR KEBAIKAN DI SISI ALLAH?"

Baginda SAW  menjawab : "ELOK BUDI PEKERTI, RENDAH DIRI DAN SABAR DENGAN UJIAN (BALA)

Dia berkata : "APAKAH SEBESAR-BESAR KEJAHATAN DI SISI ALLAH?"

Baginda menjawab : "BURUK AKHLAK DAN SEDIKIT KETAATAN"

Dia berkata : "APAKAH YANG MEREDAKAN KEMURKAAN ALLAH DI DUNIA DAN AKHIRAT?"

Baginda menjawab : "SEDEKAH DALAM KEADAAN SEMBUNYI (TIDAK DI KETAHUI) DAN MENGHUBUNGKAN KASIH SAYANG"

Dia berkata : "APAKAH YANG AKAN MEMADAMKAN API NERAKA PADA HARI KIAMAT?"

Baginda menjawab : "SABAR DI DUNIA DENGAN BALA DAN MUSIBAH"

Telah berkata Imam Mustaghfirin : "Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat hadis ini"

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Nabi SAW menerangkan kesempurnaan Islam dan sifat-sifat mahmudah yang perlu dihayati dalam kehidupan setiap hari. Jika kita amalkan hadis di atas dengan ikhlas maka ianya akan membawa kebaikan samaada dalam kehidupan di dunia maupun kehidupan di hari akhirat.


Orang Mukmin Akan Menghiasi Akhalaknya Dengan Sifat Malu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."(Hadis riwayat Bukhari)

Abu Masud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu." 
(Hadis riwayat Bukhari)

Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.

Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan

Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu." (Hadis riwayat  Ibnu Majah)

Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya : "Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri."
(Hadis riwayat Abu Dawud)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a:” Suatu ketika Rasulullah SAW terserempak dengan seorang Ansar (lelaki) yang sedang menegur saudara lelakinya kerana ia sangat pemalu. Ketika itu juga Rasulullah SAW bersabda maksudnya :” Biarlah dia kerana malu adalah sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari sudut syarak malu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif bukan malu tersipu-sipu yang tidak kena pada tempatnya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri ini adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah peribadi. Tetapi al-haya’ (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadian lantaran kuatnya iman dalam menolak segala sesuatu yang negatif. 

Maka sifat malu itu sendiri adalah sebahagian daripada iman dan terpuji. Sifat malu menjadikan seseorang jauh daripada perbuatan hina dan maksiat sebaliknya meletakkan dirinya dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif. Dia akan berkata bahawa: “ Sesungguhnya aku adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan aku lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”. Dengan perkataan lain seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya.

Sahabat yang dihormati,
Sesungguhnya apa yang di namakan malu dengan Allah SWT adalah orang yang sudah boleh menjaga kepalanya dari maksiat dan apa yang ada di kepalanya, dan menjaga perutnya jangan sampai masuk barang yang haram, dan menjaga kemaluannya jangan sampai berzina, dan menjaga tangan dan kakinya dari perbuatan maksiat, dan ingat dengan mati, dan ingat bahawa dirinya akan rosak. Dan barangsiapa yang menghendaki kebahagiaan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia dan memilih kebahagiaan akhirat daripada dunia, barangsiapa yang sudah dapat mengerjakan semua yang telah tersebut di atas barulah orang tersebut di namakan orang yang malu kepada Allah, orang yang malu kepada Allah adalah orang yang malu bila melakukan maksiat sehingga tidak jadi mengerjakan maksiat dan itulah yang di namakan malu yang sesungguhnya.

Seseorang yang mempunyai budi pekerti yang baik adalah mereka yang rasa malu bila mengerjakan maksiat. Sentiasa berbuat baik, benar perkataannya, tidak berkata dengan perkataan yang keji (lucah), sedikit bicaranya kecuali ada menfaatnya, banyak amal soleh, sedikit kesalahannya, tidak berlebih-lebihan dalam semua perkara, suka menyambung persaudaraan, bersopan santun, banyak bersabar, sentiasa bersyukur kepada Allah, kasih sayang terhadap orang lain, menjaga diri dari yang tercela, tidak mudah marah, tidak mengadu domba (menghasut) orang lain, tidak mengumpat, tidak dengki dan iri hati, tidak bakhil, kalau dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan membenci sesuatu juga kerana Allah dan kalau dia marah juga marah kerana Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Ramai wanita Islam hari ini mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu. Menampakkan perhiasan diri tanpa ada perasaan malu kepada Allah SWT. Bersolek berlebih-lebihan, berwangi-wangian, pakaian yang menjolok mata hingga menampakkan bentuk tubuh badannya dan seksi, kadangkala merobah bentuk asal wajahnya dengan di lakukan pembedahan plastik, menggunakan botox dan lain-lain, semua ini tidak menampakkan ciri-ciri wanita solehah.

Di sudut yang lain pula, kita lihat gejala sosial telah melanda dengan hebatnya para remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan dan berpasang-pasangan tanpa segan dan malu memenuhi taman-taman bunga, pusat membelli belah, tepi-tepi pantai dan pusat-pusat hiburan. 

Dalam keadaan seperti ini siapakah yang perlu di salahkan? Sebagai jawapannya kita tidak boleh menuding jari bahawa kesalahan itu di letakkan hanya kepada kedua ibu bapa sedangkan pihak lain tidak dipersalahkan. Untuk menyelesaikannya perlulah dikaji apakah punca dan sebab musabab kenapa masaalah ini boleh berlaku.

Sahabat yang dikasihi,
Untuk mengubati penyakit-penyakit ini setiap daripada kita iaitu sebagai ibu bapa, guru-guru, alim ulama, para pendakwah, pertubuhan dan persatuan Islam, jemaah Islam dan Jabatan Agama Islam perlulah berperanan dan bersatu tenaga untuk merawat dan jalankan proses pemulihannya. Kita tidak boleh menggunakan cara dan kaedah lain, melainkan kembali kepada kaedah rawatan yang di jalankan oleh Rasulullah SAW  iaitu membaiki akidah dan keimanan manusia terlebih dahulu sebelum membaiki kelemahan-kelemahan yang lain.

Apabila proses tarbiah dan dakwah berjalan dan berfungsi sepenuhnya di dalam masyarakat, akan lahirlah individu-individu mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan perasaan malu kepada Allah SWT berfungsi dalam kehidupan kita.

Diari Kehidupan Wanita Solehah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Wanita Solehah ibarat sekuntum bunga yang harum yang telah di jaga dan di pelihara dengan baik. Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wanita Solehah adalah mereka yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Wanita Solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT, bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif terhadap poligami dan bersedia berkongsi kasih sayang jika di takdirkan berlaku di dalam rumah tangga.Menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

Wanita Solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  “….Seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melewati (melintasi) di hadapan orang ramai dalam sesuatu majlis (yang ada lelaki dan bukan muhram dengannya), maka wanita itu dikira sama (dosanya) dengan zina” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tarmizi)

Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah SWT tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi ……” (Hadis Riwayat Abu Daud, Nasaie,Ibnu Majah dan Baihaqi)


Wanita Solehah mestilah melengkapkan diri dengan ilmu akademik, sain dan teknoloji, kedoktoran, kejururawatan dan pendidikan.Ilmu-ilmu ini amat penting untuk pembangunan masyarakat Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah.Kedoktoran dan kejururawatan amat di perlukan untuk merawat pesakit-pesakit terutama wanita Islam.

Bidang pendidikan pula amat di perlukan untuk mendidik generasi baru umat Islam kearah melahirkan satu generasi seperti generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Wanita Solehah bersedia menjadi ibu mithali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan aqidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah soleha di dalam rumah hingga menjadi "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiah.

Wanita Solehah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu solehah tetapi dia juga menjadi murabbi dan da'ie. Sentiasa sebuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah untuk mengajak para wanita lain agar mereka bersama-sama menjadi wanita-wanita yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Asas Penting Tauhid adalah Beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita mengaku beriman kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain, kita tidak boleh terlepas dari tanggong jawab untuk melaksanakan tugas-tugas dakwah. Mereka yang melaksanakan tugas ini kedudukannya amat mulia di sisi Allah SWT. Tugas ini adalah tugas setiap para rasul yang di utus Allah SWT di nukabumi, mereka menyeru manusia supaya kembali kepada Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Apabila dua asas tauhid ini terbentuk dalam hati manusia akan lahirlah ubudiyah dan perhambaan sepenuhnya kepada Allah Azzawajalla, dan tertolaklah ilah-ilah yana lain.

Allah SWT menjadikan Islam sebagai addeen, satu cara hidup yang sempurna untuk manusia, hidup didunia hanya sementara umpama musafir disatu perjalanan yang jauh. Disinilah manusia diuji adakah hidup ini hanya untuk berseronok-seronok saja atau hanya untuk makan minum saja?

Tidak... hidup manusia lebih dari itu, manusia yang beriman adalah khalifah Allah dimukabumi, tugas dan tanggong jawab mereka adalah mengajak manusia kembali kepada fitrah yang asal iaitu beriman kepada Allah SWT.

Ingatlah bahawa betapa besarnya pahala yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang dapat mengislamkan orang yang bukan Islam. Pahalanya begitu besar disisi Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Dari Abu Ma`bad, dari Ibn Abbas r.a. katanya: Rasulullah SAW. bersabda kepada Muaz Bin Jabal ketika baginda SAW. mengutusnya ke negeri Yaman: "Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum (ahli kitab), kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah mereka supaya mereka meyakini: 'Bahwa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah...".

Menurut satu riwayat yang lain, (baginda SAW. bersabda): "...Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah dakwah supaya mereka mengakui keEsaan Allah Ta'ala. "

Dan pada satu riwayat yang lain pula, (baginda SAW. bersabda): "...Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadaNya ialah (tunjang atau asas) ibadah kepada Allah.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas Ibnu Abbas r.a. menceritakan kepada kita bahwa Nabi SAW. telah meninggalkan pesan kepada seorang sahabatnya yang bernama Muaz bin Jabal r.a., ketika baginda hendak mengutuskannya pergi ke negara Yaman untuk berdakwah. ( Muaz bin Jabal r.a. pula adalah salah seorang sahabat Nabi SAW. dari kalangan Ansar, berbangsa Yaman). untuk mengajak kaumnya (ahli kitab) dan menyeru mereka supaya mereka meyakini bahwa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah...". Samaada mereka terima atau tidak itu terserah kepada Allah SWT kerana sesungguhnya taufik dan hidayah adalah urusan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri sejauhmana kita benar-benar beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan rukun iman yang lain. Sejauhmana kita mentaati  semua perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan laranganNya.