Saturday, April 10, 2010

Islam Dan Amalan Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,


Syukur kita ke hadrat Allah SWT, segala puji bagi Allah Tuhan Sekelian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat-sahabatnya serta pengikut-pengikutnya sepanjang zaman hingga ke akhir zaman.

Umat Islam dewasa ini ramai telah meninggalkan amalan Islam, ilmu yang dimiliki hanya difikiran sahaja tetapi dari segi praktik kehidupan mengambil cara hidup selain cara hidup Islam.
Sebagaimana yang telah sama-sama kita fahami tentang ilmu-ilmu yang bermanafaat dan seumpamanya.  Marilah kita lihat beberapa kelebihan orang-orang yang berilmu adalah :-
1. Amalnya diterima oleh Allah s.w.t. (Imu adalah imam bagi amal).
2. Menjadi kekasih Allah.
3. Menjadi pewaris nabi-nabi.
4. Menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
5. Menghampiri darjat nabi-nabi kerana nabi-nabi adalah orang-orang yang berilmu.
6. Disihatkan tubuh badan oleh Allah.
7. Dimudahkan rezekinya oleh Allah (mendapat rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka-sangka).
8. Dipanjangkan umur oleh Allah.
9. Mendapat 500 darjat.
10. Diberi izin oleh Allah untuk memberi syafaat pada Hari Qiamat.
Permasalahan umat Islam pada hari ini semakin membimbangkan kita. Ini bagi orang-orang yang mengambil berat tentang perkembangan Islam terutamanya di masa kini. Bagi mereka yang mementingkan diri sendiri mereka tidak ambil peduli apa yang telah berlaku di dalam masyarakat kita.
Kita kena juga bagi peringatan kepada mereka yang sebegini bahawa mereka tidak termasuk ke dalam golongan umat Nabi Muhammad s.a.w., bagi sesiapa yang tidak mengasihi saudara-saudara Islamnya yang lain seperti tidak mengambil tahu tentang mereka, tidak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, dan sebagainya.
 
Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu mengasihi saudara-saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri."

Sahabat yang dimuliakan,
Persoalan yang dapat kita timbulkan ialah mengapa pada hari ini umat Islam memandang mudah tentang Islam dan tidak mahu lagi beramal dengan amalan-amalan Islam?
Pertama, mengapa kita begitu mengambil mudah dengan Islam? Satu sebabnya ialah kita memperolehi Islam dengan cara yang terlalu mudah dan tidak menempuh kesusahan sedikit pun, iaitu hanya melalui keturunan (melalui kedua ibu bapa kita yang Islam). Ibu bapa kita Islam, maka secara automatik kita tergolong sebagai orang Islam sejak kita dilahirkan. Kalau tidak sudah tentu kita juga tidak berpeluang untuk memperolehi nikmat Islam.
 
Kita tidak menempuh kepayahan dan kesusahan sepertimana orang-orang dahulu memperolehi Islam, iaitu melalui peperangan dan pertumpahan darah. Mereka bersusah-payah untuk memperolehi nikmat Islam, jadi mereka menghargai Islam yang diperolehi dengan sebaik-baiknya. Maka jadilah kita sebagai Islam baka (keturunan) semata-mata, tidak tahu tentang Islam.
 
Kita tidak belajar dan mengkaji Islam secara ilmiah dan bersungguh-sungguh. Kita belajar pun secara sambil lewa, sebagai sampingan sahaja menyebabkan kita jahil tentang segala perkara dalam agama kita sendiri.
 
Oleh itu bolehlah kita bahagikan Islam yang di anuti oleh masyarakat kita terbagi kepada tiga bahagian.
 
Pertama Islam Keturunan (mengikut saja Islam itu dari ibu bapa mereka)
Kedua Islam Taklid (mengikut saja ajaran Islam itu tanpa ilmu dan kefahaman)
Ketiga Islam Kefahaman Yang Sebenarnya. (memahami Islam dengan ilmu dan yakin dan mengamalkan ilmu tersebut).
 
Kedua, mengapa kita tidak lagi beramal atau mahu beramal dengan amalan-amalan Islam? Apakah kita dapat menerima secara rasional dan masuk akal bahawa kita orang Islam dan mengaku sebagai orang Islam tetapi tidak mahu mengambil dan mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Islam?
  
Apakah kita layak untuk terus menjadi orang Islam dengan tidak mengamalkan amalan-amalan Islam? Malah mengambil amalan-amalan selain Islam sebagai gantinya? Kita bukan sahaja tidak mahu beramal dengan amalan-amalan Islam, malah mengambil pula amalan-amalan bukan Islam. Kita menganggap bahawa Islam ini tidak sempurna, tidak sesuai untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman hidup.

Seolah-olahnya kita mencabar Allah s.w.t. dan mengatakan ada ajaran yang lebih baik selain daripada ajaran Islam.
  
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan rezekiKu untuk kamu dan Aku redha Islam sebagai agama bagi kamu."
(Surah al-Maidah ayat 3)
 
Tidak ada kekurangan pada Islam, yang kurangnya adalah kita yang serba kekurangan tetapi merasa diri serba lengkap. Agama dipandang tidak ada harga dan nilai dalam kehidupan. Agama hanya dilihat dari satu sudut sahaja iaitu agama adalah untuk beribadat semata-mata tanpa ada kaitannya dengan aktiviti kehidupan di dunia ini.
 
Kalaulah benar kita tidak memerlukan agama dalam kehidupan kita, tidak perlulah Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad saw ke dunia ini. Ini ada kaitannya dengan kesan peninggalan penjajah yang pernah menjajah negara kita suatu ketika dahulu. Kejayaan penjajah yang paling berjaya adalah penjajahan akidah, penjajahan pemikiran, penjajahan sistem pemerintahan dan bukannya penjajahan negara.
 
Negara kita telah merdeka sejak 40 tahun yang lalu, tetapi kita belum lagi berjaya untuk memerdekakan sistem pemerintahan penjajah. Mereka tidak akan meninggalkan negara kita tanpa meninggalkan sesuatu yang mesti diwarisi oleh masyarakat di Malaysia ini, terutamanya orang-orang Islam.
 
Ramai di antara kita yang tidak merasakan agama adalah perlu dalam kehidupan dan ramai yang sudah tidak beramal dengan amalan-amalan Islam. Islam hanya tinggal nama sahaja, tidak lebih dari itu.
 
Mungkin sudah sampai masanya Islam itu akan kembali kepada asalnya. Nabi s.a.w menyatakan bahawa Islam itu pada asalnya adalah dagang, dan ia akan kembali dagang seperti asalnya. Yakni, pada zaman mula-mula Islam dahulu orang pelik tengok orang bersembahyang, mengikut sunnah Nabi s.a.w dan sebagainya. Dan ia akan kembali dagang semula seperti dahulu.
 
Pada hari ini ianya sudah menampakkan kebenarannya. Orang benci dan pelik melihat orang berjubah, memakai serban, memakai tudung labuh dan sebagainya lagi. Yang tak pelik kalau melihat orang tidak menutup aurat, memakai pakaian anjuran bukan Islam.
 
Kalau silap hari bulan, kita pun termasuk sama dengan orang-orang yang benci mengenainya, na'uzubillah. Kalau ada yang beramal dengan Islam pun tidak dengan sepenuhnya. Mana yang kita rasakan sesuai dengan nafsu kita, kita ambil dan mana yang tidak bersesuaian dengan nafsu kita, kita tinggalkan. Seolah-olah Islam ini kita yang punya.
 
Kononnya juga, kita ingin hidup sederhana. Inilah yang salah. Sederhana hingga akhirnya kita akan meninggalkan terus amalan-amalan Islam dan mengambil amalan-amalan lain terutamanya amalan-amalan barat sebagai ikutan. Bila ada orang atau pihak lain yang berusaha untuk menegakkan kebenaran hukum Islam dan beramal dengan amalan-amalan Islam, mereka akan dikatakan sebagai 'pelampau', 'ekstrim', 'keterlaluan' dan pelbagai tuduhan dan tohmahan, label yang sebenarnya datang dari orang-orang Yahudi dan Kristian yang tidak mahu melihat Islam yang sebenar itu muncul kembali bersinar di bumi Allah s.w.t ini. Kalau setakat Islam yang palsu dan secara 'sederhana' tidak menjadi masalah.
 
Sahabat yang dihormati,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Islam bermula dagang dan akan kembali dagang. Maka berbahagilah sesiapa yang melaksanakannya semasa dagang”
(Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu marilah kita sama-sama kembali mengambil Islam sepenuhnya mengikut acuan Islam sebenarnya bukannya mengikut acuan manusia, kerana acuan manusia akan membawa kepada kesesatan dan kehancuran.

Friday, April 9, 2010

Islam Sebagai Agama Yang Sempurna.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkataan Islam mempunyai dua makna.
Pertama, nash (teks) wahyu yang menjelaskan Islam sebagai ad-deen (agama).
Kedua, Islam merujuk pada amal manusia, iaitu keimanan dan ketundukan manusia kepada Allah s.w.t dan kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan makna pertama, Islam yang dibawa Nabi Muhammad lebih luas lagi daripada yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya. Apalagi nabi-nabi sebelumnya diutus hanya untuk kaumnya sendiri. Nabi Muhammad s.a.w. diutus untuk seluruh umat manusia. Oleh karena itu, Islam yang dibawanya lebih luas dan menyeluruh. Tak heran jika Al-Qur’an boleh menjelaskan dan menunjukkan tentang segala sesuatu kepada manusia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab sebagai penjelas segala sesuatu."
(Surah An-Nahl ayat 89)

Dengan kesempurnaan risalah Nabi Muhammad saw., sempurnalah struktur kenabian dan risalah samawiyah (langit). Kita yang hidup setelah Nabi Muhammad s.a.w. diutus, telah diberi petunjuk oleh Allah tentang semua tradisi para nabi dan rasul yang sebelumnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : " Mereka orang-orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka."
(Surah Al-An’am ayat 90).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan kamu diberi petunjuk tentang sunah-sunah orang-orang yang sebelum kamu. "
(Surah An-Nisa ayat 20)

Islam telah lengkap dan sempurna, Allah s.w.t. menyatakan dalam surat Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud : "Pada Hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Aku sempurnakan nikmat-Ku, dan Aku redha Islam sebagai agama bagimu sekalian…."

Rasulullah saw. menjelaskan bahwa risalah yang dibawanya adalah satu kesatuan dengan risalah yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya. “Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku ibarat orang yang membangun sebuah rumah. Ia memperindah dan mempercantik rumah itu, kecuali letak batu bata pada salah satu sisi bangunannya. Kemudian manusia mengelilingi dan mengagumi rumah itu, lalu mengatakan: ‘Alangkah indah jika batu ini dipasang!’ Aku adalah batu bata tersebut dan aku adalah penutup para nabi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Sempurna dan lengkapnya risalah agama Islam apabila Allah s.w.t menjelaskan  pada haji wada’ dengan ayat 3 surat Al-Maidah –yang juga sebagai wahyu terakhir turunnya kepada Nabi s.a.w.mengharuskan seluruh manusia tunduk pada Islam. Semua syariat yang terdahulu dengan sendirinya mansukh (terhapus). Dan, tidak akan ada lagi syariat baru sesudah risalah yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.

Risalah dan kenabian telah ditutup dengan diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : ". ….tetapi ia (Nabi Muhammad) sebagai utusan Alah dan penutup nabi-nabi…"
(Surah Al-Ahzab ayat 40).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : " Katakanlah: 'Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua.” 
(Surah Al-A’raf ayat 158).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan Kami tidak mengutus kamu kecuali untuk seluruh manusia sebagai pemberi kabar gembira dan pemberi peringatan."
(Surah Saba: 28).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan tidaklah Kami mengutusmu, kecuali untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam."
(Surah Al-Anbiya’: 107).

".. Dan barangsiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima (agama itu) daripadanya."
(Ali Imran: 85).

  "..Sesungguhnya agama yang diredhai Allah adalah Islam. "
(Ali Imran: 19).

Maka, siapa saja yang tidak mengikuti ajaran Nabi Muhammad, ia akan celaka dan menjadi orang yang sesat. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Demi Dzat yang diriku dalam genggaman-Nya, tidak seorang pun dari umat ini, baik Yahudi atau Nasrani, mendengar (berita kerasulan)-ku, kemudian ia tidak beriman kepada apa yang aku bawa, kecuali ia sebagai ahli Neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Allah menegaskan dalam Al-Qur’an yang bermaksud : “ Barangsiapa menentang Rasul sesudah nyata petunjuk baginya dan mengikuti bukan jalan orang-orang Mukmin, nescaya Kami angkat dia menjadi pemimpin apa yang dipimpinnya dan Kami masukkan ke dalam Neraka Jahanam. Itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
(Surah An-Nisa ayat 115).

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasu-Nya dan hendak membedakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-Nya, mereka berkata, kami beriman kepada setengah (Rasul) dan kafir kepada yang lain, dan mereka hendak mengambil jalan tengah (nuteral) antara yang demikian itu. Mereka itu ialah orang-orang kafir yang sebenarnya, dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir itu siksaan yang menghinakan"
(Surah An-Nisa ayat 150-151).

Risalah yang diturunkan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. telah banyak dilupakan, diselewengkan, diubah, dan ajarannya yang haq telah dihapuskan. Sehingga, melekatlah kebatilan di kalangan para pemeluknya, baik dalam masalah akidah, ibadah, dan perilakunya. Sementara, Islam adalah agama yang sumber ajarannya dari Al-Qur’an dan Hadis, terpelihara kesahihannya. Sanadnya tersambung kepada Rasulullah saw. Apakah ada pilihan bagi kita yang meghayati ajaran Islam dan taat kepada Allah kepada selain dengan mengikuti risalah yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.? Tentu saja tidak.

Allah berfirman yang bermaksud :  “Hai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul Kami, yang menerangkan (syariat Kami) kepadamu ketika rasul-rasul telah putus supaya kamu tidak berkata, ‘Tidak datang kepada kami pemberi kabar gembira dan tidak pula memberi peringatan.’ Allah MahaTahu atas segala sesuatu.”
(Surah Al-Maidah ayat 19)

Sumber Ajaran Islam :
Isi ajaran Islam yang diserukan Nabi Muhammad dapat diketahui dari Al-Qur’an dan As-Sunnah yang telah diakui kesahihannya oleh para ulama hadis. Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. merupakan hidayah yang sempurna bagi seluruh umat manusia. Allah menurunkan Islam ini secara sempurna dan menyeluruh sehingga tidak ada satu persoalan pun yang bersangkut paut dengan kehidupan manusia yang tidak ada dalam ajaran Islam. Islam mengandungi aspek hukum ; halal, haram, harus, makruh, fardu, wajib, sunat. Termasuk juga  masaalah akidah, ibadah, politik, ekonomi, perang, damai, perundangan, dan semua konsep hidup manusia.

Begitulah yang Allah katakan tentang Al-Qur’an yang bermaksud : "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab sebagai penjelas segala sesuatu." 
(Surah An-Nahl ayat 89)

Kitab dan Sunnah telah menjelaskan semua persoalan yang terkait dengan akidah, ibadah, ekonomi, sosial kemasyarakatan, perang dan damai, perundang-undangan dan kehakiman, ilmu, pendidikan dan kebudayaan, serta hukum dan pemerintahan. Para ahli fiqh membuat klasifikasi ajaran Islam ke dalam persoalan akidah, ibadah, akhlak, muamalah, dan uqubah (pelanggaran dan hukuman).

Yang termasuk dalam urusan akidah adalah masalah hukum dan pemerintahan. Masalah akhlak adalah masalah utama yang perlu diperingkatkan. Sedangkan yang masuk ke dalam urusan ibadah adalah masalah solat, zakat, puasa, haji, dan jihad. Muamalah bersangkut paut urusan perpindahan kewangan, pinjaman dan jual beli. Bab munakahat pula mengandungi soal nikah, kawin,  talak, cerai , amanah dan harta warisan. Sedangkan yang masuk dalam kategori uqubah adalah persoalan qisas, hudud, diyat dan takzir.

Wednesday, April 7, 2010

Ciri-ciri Seorang Muslim, Muttaqin, Fasik dan Musrik.

Sahabt yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita muhasabah diri sendiri sejauh mana kita telah patuh dan tunduk kepada ajaran-ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang Muslim adakah kita telah memenuhi tuntutan sebagai seorang Muslim dalam ertikata sebenarnya? Kita juga perlu memahami ciri-ciri seorang Muttaqin, Fasik dan Musrik, semoga kita terhindar daripada amalan dan perbuatan orang-orang Fasik dan Musrik.

Muslim,
Ertinya tunduk, patuh, serta menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya. Seseorang yang tunduk dan patuh segala perintah dan hukum hakam Allah s.w.t., maka itulah disebut sebagai Muslim.

Ciri-ciri Muslim.(Rukun Islam)
1..Mengucap dua kalimah syahadat.
2..Mendirikan solat.
3..Mengerjakan puasa di bulan Ramadan.
4.Mengeluarkan zakat.
5..Mengerjakan haji ke Baitullah..(jika ada kemampuan)

Cara hidup orang Muslim.
1..Mencintai orang miskin, fakir, anak yatim serta orang lemah.
2.Jangan melihat kemewahan belaka.
3.Mengeratkan hubungan silaturahim. dan ukuwah Islamiyah.
4.Jangan menanyakan dan membuat perkara yang tidak bermanfaat.
5.Menyatakan kebenaran walaupun pahit di dengar.(berdakwah)
6.Tidak takut dicaci maki dan dihina oleh orang yang suka mencela.
7.Mengucapkan kata-kata hauqalah. iaitu ”Tiada daya kekuatan kecuali Allah”

Muttaqin (orang bertakwa).
Ertinya orang yang bertaqwa. Menjauhi larangan Allah dan mematuhi perintah Allah. Dia sentiasa berhati-hati di dalam kehidupan di dunia ini. Dia buat semua yang wajib meninggalkan yang semua yang haram. Dan pada masa yang sama memperbanyakkan yang sunat dan meninggalkan yang syubha dan makruh.

Fasik.
Orang fasik adalah orang Mukmin atau orang Muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain org tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Orang Fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi” (Surah Al Baqarah ayat 27)

“Allah telah berjanji kepada orang yang beriman diantara kamu serta mengerjakan amal soleh, bahawa ia (Allah) akan menjadikan mereka khalifah dimuka bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka menjadi khalifah. Dan Ia menggantikan (keadaan ) mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa (selama) mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik”
(Surah An Nur ayat 55)

“Dan jika Aku (Allah) hendak membinasakan suatu negeri, maka Aku perintahkan kepada orang yang hidup mewah dinegeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan (fasik) dalam negeri itu, maka sepantasnya berlaku terhadap mereka (ketentuan-Ku) kemudian Aku hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya”
(Surah Al Isra' ayat 16)

Balasan orang Fasik
Orang Islam yang berbuat fasik, berbuat kerosakan, kejahatan dan maksiat dimuka bumi ini, maka Allah menyediakan seksa Neraka yang pedih.

Musrik.
Musyrik adalah orang yang mempersekutukan Allah, mengaku akan adanya Tuhan selain Allah atau menyamakan sesuatu dengan Allah. Perbuatan itu disebut Musyrik. Syrik adalah perbuatan dosa yang paling besar, kerana itu kita harus menjauhi perbuatan yang menjerumuskan kepada syrik.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :  “Ingatlah Luqman berkata kepada anaknya, diwaktu ia memberi pelajaran kepadanya:’Hai anakku! Janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar’. “ (Surah Luqman ayat 13)

Dengan demikian orang Musyrik disamping menyembah Allah mengabdikan kepada Allah, juga mengabdikan dirinya kepada yang selain Allah. Sifat orang Musyrik itu ialah mereka yg mempersekutukan Allah baik dalam bentuk i’tikad (kepercayaan), ucapan mahupun dalam bentuk amal perbuatan. Mereka (orang Musyrik) menjadikan mahkluk yang diciptakan Allah ini baik yang berupa benda mahupun manusia sebagai Tuhan dan menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah-ilah yang disembah selain daripada Allah s.w.t. Begitu juga mereka menjadikan Alihah, Andad, Thoghut dan Arbab sebagai tuhan selain Allah.

  1.Alihah ialah suatu kepercayaan terhadap benda dan binatang yang menurut keyakinannya dapat memberikan manfaat serta dapat menolak bahaya. Misalnya kita memakai cincin merah delima, dan kita yakin bahawa dengan memakainya dapat menghindarkan bahaya. Adapun kepercayaan memelihara burung Terkukur dapat memberikan kemajuan dalam bidang perniagaannya. Dan itulah dinamakan Alihah, yakni menyekutukan Allah dengan binatang dan benda (Kepada Makhluk).

2.. Andad, sesuatu perkara yang dicintai dan dihormati melebihi daripada cintanya kepada Allah, sehingga dapat memalingkan seseorang dari melaksanakan ketaatan terhadap Allah dan RasulNya. Misalnya saja seorang yang senang mencintai kepada benda, keluarga, rumah dan sebagainya, dimana cintanya melebihi cintai terhadap Allah dan RasulNya, sehingga mereka melalaikan dalam melaksanakan kewajiban agama, kerana terlalu cintanya terhadap benda tersebut (makhluk tersebut).
 

3.Thoghut ialah orang yang ditakuti dan ditaati seperti takut kepada Allah, bahkan melebihi rasa takut dan taatnya kepada Allah, walaupun keinginan dan perintahnya itu harus berbuat derhaka kepadaNya.
 

4.Arbab, ialah para pemuka agama (para ulama) yang suka memberikan fatwa, nasihat yang menyalahi ketentuan (perintah dan larangan) Allah dan RasulNya, kemudian ditaati oleh para pengikutnya tanpa diteliti dulu seperti mentaati terhadap Allah dan RasulNya. Para pemuka agama itu telah menjadikan dirinya dan dijadikan para pengikutnya Arbab (Tuhan selain Allah).

Bentuk musyrik ini menyesatkan terhadap perilaku manusia. Dan dengan memiliki aqidah seperti itu dapat menghilangkan Keimanan.

Peringkat Syrik
Antara tahap-tahapnya….
1..Menyembah sesuatu selain Allah
Menyembah sesuatu selain Allah adalah termasuk syrik yang paling berat dan tinggi. Mereka ini menyembah benda-benda, patung, batu, kayu, kubur bahkan manusia dan lain-lainnya. Mereka percaya bahawa benda-benda (makhluk) tersebut adalah tuhan-tuhan yang dapat mendatangkan kebaikan dan keburukan. Termasuk dalam tahap syrik seperti ini adalah mengadakan pemujaan seseorang tokoh pepimpin.

2..Mempersekutukan Allah.
Ertinya mempercayai bahawa makhluk selain Allah itu mempunyai sifat-sifat seperti yang ada pada Allah.
Dalam kategori mempersekutukan Allah ini adalah faham Trinti menurut kepercayaan Kristian, begitu faham Trimurti menurut kepercayaan agama Hindu, yang mempercayai bahawa Tuhan itu ada tiga, iaitu Brahman (tuhan menciptakan alam seisinya),Wisnu(Tuhan yang memelihara Alam) dan Syiwa (Tuhan yang menghancurkan alam).

3..Mempertuhankan Manusia.
Mempertuhankan manusia atau menjadikan manusia sebagai tuhannya adalah termasuk syrik atau mempersekutukan Allah. Ia itu apabila seseorang mematuhi, meyakini dan melaksanakan undang-undang dan peraturan yang dibuat oleh ketua mereka (atau pun ketua mereka mengambil peraturan ciptaan manusia) dan mereka mematuhinya ini bermakna mereka telah mengambil manusia menjadi tuhan selain Allah.

Bahaya Syrik
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Maka apakah orang kafir (musyrik) menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil hamba-hamba-Ku menjadi penolong selain Aku? Sesungguhnya Kami telah menyediakan Neraka Jahanam tempat tinggal bagi orang-orang kafir(musyrik)” (Surah Al Kahfi ayat 102)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syrik, dan Dia mengampuni dosa-dosa selain dari syrik itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya” (Surah At Taubah ayat113)

Sabda Rasulullah:
“Sesuatu yang paling aku takutkan menimpa kamu sekalian ialah syrik yang paling kecil. Ketika Nabi s.a.w. di tanya:’Apa syrik kecil itu?’,Nabi s.a.w. bersabda:”Ri’yak”

Tuesday, April 6, 2010

Wasiat Kelima Belas Nabi s.a.w. (Perihal Akhlak Yang Baik)

"Dari Abu Darda r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amal seorang hamba pada hari qiyamat nanti melebihi dari akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang jahat dan kotor perkataannya." 
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)
 
Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda : "Orang-orang Mukmin yang sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Dari Jabir r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Bahawa orang yang aku suka diantara kamu dan paling dekat tempatnya denganku pada hari qiyamat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu. Orang yang paling kubenci di antara kamu dan paling jauh tempatnya denganku pada hari qiyamat nanti adalah orang yang paling banyak cakap di mana tidak teliti dalam bercakap dan mutafaikun" Para sahabat bertanya : "Siapakah mutafaihikun (tinggi diri) itu? Jawab Rasulullah s.a.w. :  "Iaitu orang-orang yang takbur (tinggi diri)."
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)





Sunday, April 4, 2010

Perkahwinan Adalah Amalan Sunnah Nabi s.a.w

Islam menggalakkan perkahwinwn yang sah kerana perkahwinan adalah amalan Sunnah Rasulullah s.a.w. Nabi s.a.w tidak mengaku umatnya apabila ada sesiapa yang tidak mahu berkahwin sedangkan ia mempunyai kemampuan dan perbelanjaan yang mencukupi. Terdapat beberapa sebab kenapa Islam menganjurkan perkahwinan . Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Melengkapi agamanya.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Barang siapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi."
(Hadis Riwayat Thabrani dan Hakim).

2. Menjaga kehormatan diri.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Wahai para pemuda! Barangsiapa di antara kalian berkemampuan untuk nikah, maka nikahlah, karena nikah itu lebih mudah menundukkan pandangan dan lebih menjaga farji (kemaluan). Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia puasa, karena puasa itu dapat menjaga dirinya.
(Hadis Sahih Riwayat. Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasaiy, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi).

3. Senda guraunya suami-istri bukanlah perbuatan sia-sia.
“Segala sesuatu yang di dalamnya tidak mengandungi zikrullah merupakan perbuatan sia-sia, senda gurau, dan permainan, kecuali empat (perkara), yaitu senda gurau suami dengan istrinya, melatih kuda, berlatih memanah, dan mengajarkan renang.” (Buku Adab Az Zifaf Al Albani hal 245; Silsilah Al Ahadits Ash Shahihah no. 309).

 Hidup berkeluarga merupakan ladang meraih pahala…

4. Bersetubuh dengan istri termasuk sedekah.

Pernah ada beberapa sahabat Nabi s.a.w. berkata kepada beginda, “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah banyak mengumpul pahala. Mereka boleh salat sebagaimana kami salat; mereka boleh berpuasa sebagaimana kami berpuasa; bahkan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Beginda bersabda, “Bukankah Allah telah memberikan kepada kalian sesuatu yang boleh kalian sedekahkan? Pada tiap-tiap ucapan tasbih terdapat sedekah; pada tiap-tiap ucapan takbir terdapat sedekah; pada tiap-tiap ucapan tahlil terdapat sedekah; pada tiap-tiap ucapan tahmid terdapat sedekah; memerintahkan perbuatan baik adalah sedekah; mencegah perbuatan mungkar adalah sedekah; dan kalian bersetubuh dengan istri pun sedekah.”

Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apabila salah seorang dari kami melampiaskan syahwatnya akan mendapatkan pahala?” Beginda menjawab, “Bagaimana menurut kalian bila nafsu syahwatnya itu dia salurkan pada tempat yang haram, apakah dia akan mendapatkan dosa dengan sebab perbuatannya itu?” (Mereka menjawab, “Ya, tentu.” Beginda bersabda : “Demikian pula bila dia salurkan syahwatnya itu pada tempat yang halal, dia pun akan mendapatkan pahala.” (Beginda kemudian menyebutkan beberapa hal lagi yang beginda padankan masing-masingnya dengan sebuah sedekah, lalu beliau bersabda, “Semua itu boleh digantikan cukup dengan salat dua raka’at Dhuha.”) (Buku Adab Az Zifaf Al Albani hal 125).

5. Adanya saling nasehat-menasehati.

6. Boleh berdakwah kepada orang yang dicintai

7. Pahala memberi contoh yang baik.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Siapa saja yang pertama memberi contoh perilaku yang baik dalam Islam, maka ia mendapatkan pahala kebaikannya dan mendapatkan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya itu tanpa dikurangi sedikit pun. Dan barang siapa yang pertama memberi contoh perilaku buruk dalam Islam, maka ia mendapatkan dosa kejahatan itu dan mendapatkan dosa orang yang meniru perbuatannya tanpa dikurangi sedikit pun.”
(Hadis Riwayat. Muslim, Buku Riyadush Shalihin Bab Orang yang pertama kali melakukan kebaikan atau kejahatan.)


8. Seorang suami memberikan nafkah, makan, minum, dan pakaian kepada istrinya dan keluarganya akan terhitung sedekah yang paling utama. Dan akan diganti oleh Allah, ini janji Allah.

Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w, bersabda: “Satu dinar yang kamu nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang kamu nafkahkan untuk memerdekakan budak, satu dinar yang kamu berikan kepada orang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu, maka yang paling besar pahalanya yaitu satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.”
(Hadis Riwayat Muslim, Buku Riyadush Shalihin Bab Memberi nafkah terhadap keluarga).

Dari Abu Abdullah (Abu Abdurrahman) Tsauban bin Bujdud., ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dinar yang paling utama adalah dinar yang dinafkahkan seseorang kepada keluarganya, dinar yang dinafkahkan untuk kendaraan di jalan Allah, dan dinar yang dinafkahkan untuk membantu teman seperjuangan di jalan Allah.
(Hadis Riwayat. Muslim, Buku Riyadush Shalihin Bab Memberi nafkah terhadap keluarga).

Seorang suami lebih utama menafkahkan hartanya kepada keluarganya daripada kepada yang lain karena beberapa alasan, diantaranya adalah nafkahnya kepada keluarganya adalah kewajiban dia, dan nafkah itu akan menimbulkan kecintaan kepadanya.

Muawiyah bin Haidah RA., pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, apa hak istri terhadap salah seorang di antara kami?” Beginda menjawab dengan bersabda, “Berilah makan bila kamu makan dan berilah pakaian bila kamu berpakaian. Janganlah kamu merosakkan wajahnya, janganlah kamu memukulnya, dan janganlah kamu memisahkannya kecuali di dalam rumah. Bagaimana kamu akan berbuat begitu terhadapnya, sementara sebagian dari kamu telah bergaul dengan mereka, kecuali kalau hal itu telah dihalalkan terhadap mereka.” (Adab Az Zifaf Syaikh Albani hal 249).

Dari Sa’ad bin Abi Waqqash r.a, dalam hadis yang panjang yang kami tulis pada bab niat, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Sesungguhnya apa saja yang kamu nafkahkan dengan maksud kamu mencari keredhaan Allah, niscaya kamu akan diberi pahala sampai apa saja yang kamu sediakan untuk istrimu.”
(Hadis Riwayat. Bukhari dan Muslim, Buku Riyadush Shalihin Bab Memberi nafkah terhadap keluarga).

Dari Abdullah bin Amr bin ‘Ash ra., ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Seseorang cukup dianggap berdosa apabila ia menyianyiakan orang yang harus diberi belanja
(Hadis Riwayat. Bukhari dan Muslim, Buku Riyadush Shalihin Bab Memberi nafkah terhadap keluarga).

Dan akan diganti oleh Allah, ini janji Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantinya.”
(Surah Saba’ayat 39).


Nabi s.a.w  bersabda yang bermaksud : “Setiap pagi ada dua malaikat yang datang kepada seseorang, yang satu berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang menafkahkan hartanya.” Dan yang lain berdoa: “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang kikir.”
(Hadis Riwayat.Bukhari dan Muslim, Buku Riyadush Shalihin Bab Memberi nafkah terhadap keluarga).

9. Seorang lelaki yang mengawini janda yang mempunyai anak, bererti ikut memelihara anak yatim.

Janji Allah berupa pertolongan-Nya bagi mereka yang ingin berkahwin :

1.Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : " Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah.An-Nur ayat 32)

2. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, yaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang berkahwin karena ingin memelihara kehormatannya.
(Hadis Riwayat. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah)

Lima Maksiat Yang di Segerakan Balasannya.

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara­-perkara itu ialah:

1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.

3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ". 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan :

Hadis di atas rnenerangkan bahawa:

1. Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.

2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.

3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.

4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (sepeti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah swt.

5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada mengenepikan hukum­hukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.