Friday, June 26, 2015

Hadis sohih kelebihan Selawat ke atas nabi Muhammad SAW:

Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda : “Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .” [ Sila rujuk HR Abu Daud, Riyadus Solihin, 1398, Sahih menurut Imam Nawawi ]

Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [Sila rujuk HR Abu Daud dan Ahmad,Riyadus Solihin -1398,Sahih menurut Imam Nawawi ]

Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [Sila rujuk Sahih Muslim-0408]

Hadith Sahih. Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah SAW. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [Sila rujuk HR An-Nasaie-1271 ]

Hadith Sahih. Abdullah ibnu Masud r.a. berkata, Rasulullah SAW. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan Gharib. Riyadus Salihin -1395 ]

Hadith Sahih. Hussain bin Ali memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya mereka berdua) bahawa Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda :”apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami(para sahabat) menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah (selawat Allah dan salam ke atasnya) meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tiada ia berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!”

[Sila rujuk HR At-Tirmizi,Misykat Al-Masbih-3/299,no : 311.Riyadus Salihin -1440. Imam At-Tirmizi berkata hadith ini adalah sahih. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]

Hadith Hasan. Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya) berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”

[Sila rujuk kitab Al-Mu’jam Al-Ausat oleh Imam Ath-Thabrani. Hadith Hasan]

Hadith Sahih. Abu Hurairah (semoga Allah meredhainya) berkata,Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda : “Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka.melainkan mereka pasti akan ditimpai padah(penyesalan). Maka jika Allah kehendaki ,Dia akan seksa mereka ; dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-3440 ]

Di dalam satu riwayat yang lain ,hadith ini di akhiri dengan: “……..mereka akan ditimpa penyesalan di hari Kiamat; sekali pun mereka dapat memasuki syurga bagi pahala amalan-amalan lain yang mereka kerjakan.” [Sila rujuk Musnad Imam Ahmad. Disemak semula sebagai Sahih oleh Imam Al-Hakim, Adz-Dzahabi dan Al-Haitami]

Tuesday, June 23, 2015

Wadah Baru Malaysia Menggantikan PAS

Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka daripada kepimpinan tertinggi PAS menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Jun, 2015.  

Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka daripada kepimpinan tertinggi PAS menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Jun, 2015. 
Pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini menyifatkan kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi "rahmat yang terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Setiausaha jawatankuasa bertindak kumpulan 18 (G18) yang tewas itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.

"Sejak sekian lama kita bergaduh dalam PAS dengan pendekatan dan pandangan yang berbeza berhubung beberapa perkara, sekarang kita bebas untuk membentuk wadah baharu lebih inklusif untuk semua rakyat negara ini," katanya kepada The Malaysian Insider.


G18 mengadakan pertemuan pertama di Muar, Johor pada 16 Jun lalu dan membentuk jawatankuasa bertindak di kalangan mereka.

Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan jawatannya dipilih sebagai pengerusi kumpulan ini sementara bekas Naib Presiden Salahudin Ayub dilantik menjadi timbalan manakala bekas Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausahanya.

Semua ahli G18 yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan bertindak ini.
Dzulkefly berkata badan ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil di negara ini terutama badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membentuk satu wadah baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih progresif berbanding parti lama mereka.

"Kami yakin wadah ini akan lebih diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa ini," katanya yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan PAS itu.

Selain bersatu dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.

Dzulkefly bagaimanapun berkata, beliau dan pimpinan G18 akan mengambil pendekatan tidak akan berkonfrontasi atau menjadikan parti lama mereka iaitu PAS sebagai musuh.

"Kita akan melihat masa depan dan cuba melupakan perbezaan pendapat kita dalam PAS. Kita akan membawa gagasan masa depan dan lupakan masalah lama kita," katanya.
Dzulkefly berkata, sepanjang Ramadan ini kumpulan berkenaan akan mengadakan mesyuarat bersama pertubuhan Islam dan bukan Islam serta pemimpin masyarkat di seluruh negara bagi menjelaskan peranan pergerakan itu.  

Pengumuman lanjut, katanya hanya akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri dan selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi serta pertubuhan yang berkaitan.

Menurut laporan, kumpulan itu juga merancang untuk menganjurkan pameran bergerak di seluruh negara dan akan menyokong kempen “Harapan Baru” atau “The New Hope and Dream” selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. – 22 Jun, 2015.