Saturday, January 23, 2010

Mukjizat Nabi s.a.w : Batu Pengisar Tepung Boleh Berkata-kata.

Suatu hari Rasulullah s.a.w datang menziarahi anaknya, Siti Fatimah r.h dan didapati Fatimah sedang  menangis, Rasulullah s.a.w bertanya, "Apakah yang menyebabkan engkau menangis, wahai Fatimah?"

Jawab Fatimah, "Wahai ayahku, saya menangis kerana saya amat letih mengisar tepung dan menjalankan kerja-kerja rumah. Sekiranya dapat, ayahnda tolonglah suruh Ali belikan seorang hamba untuk menolong segala kerja-kerja ini dan ia akan menjadi suatu kurniaan yang besar kepada saya."

Mendengar aduan anaknya itu, Rasulullah s.a.w sedih dan mengalirkan air mata. Baginda pun menghampiri batu pengisar tepung itu bertujuan untuk membantu anaknya dan ia mengambil segenggam gandum dan dimasukkan ke dalam batu pengisar tersebat sambil membaca Bismillah.

Tatkala Rasulullah s.a.w memasukkan tepung, maka batu pengisar itu pun bergerak-gerak dengan sendirinya tanpa payah dipegang dan dikisar oleh tangan yang  mulia itu sambil batu itu mengucapkan tasbih dengan bahasa yang amat indah sekali sehingga selesai mengisar gandum itu. Setelah habis gandum itu dikisar. Rasulullah s.a.w berkata kepada batu itu, "Diamlah wahai batu pengisar."

Ketika itu juga Allah telah mengizinkan alat pengisar itu boleh berkata-kata dengan bahasa yang sangat fasih sekali, iapun berkata : "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, sebagai seorang Rasul dan sebagai seorang yang paling amanah, bahawa aku tidak akan diam selagi engkau tidak memberi jaminan kepada aku bahawa aku akan ditempatkan oleh Allah di dalam Syurga dan dijauhi daripada api Neraka."

Rasulullah s.a.w pun berkata, "Wahai batu, engkau walaupun batu, tetapi engkau takut kepada api Neraka."

Batu pengisar itu berkata lagi : "Wahai Rasulullah s.a.w aku telah mendengar satu ayat daripada al-Qur'an, 'Wahai orang yang beriman, jauhilah diri kamu dan keluarga kamu daripada api Neraka yang bahan pembakarnya daripada manusia dan batu-batu. Di atasnya terdapat Malaikat yang amat garang dan tidak pernah ingkar dengan perintah Allah.'

Dengan sifat belas kasihan Rasulullah s.a.w pun mendo'akan keselamatan untuk batu tersebut. Setelah selesai Nabi s.a.w berdo'a maka Allah mengutuskan Malaikat Jibril kepada baginda.

Kata Malaikat Jibril, " Wahai Muhammad, Tuhan yang baginya segala pujian dan Yang Maha Tinggi telah mengirimkan salam dan penghormatan kepadamu dan ia sekaligus berpesan, berilah khabar gembira kepada batu itu, bahawa Allah telah melepaskan batu itu daripada  api Neraka dan ia diletakkan bersama-sama batu-batu Syurga di dalam Istana (Mahligai) Fatimah di akhirat, dimana ia akan mengeluarkan cahaya yang terang menyinari mahligai itu bagai sinar matahari dunia ini."

Berita itu pun disampaikan kepada batu tersebut dan sambil ia memandang kepada anaknya Fatimah dan berkata, " Sekiranya dikehendaki oleh Allah pengisar ini akan boleh bekerja dengan sendirinya seperti mana yang engkau lihat tadi bagi membantumu, tetapi Allah menghendaki engkau perolehi pahala dan Ia hendak mencatitkan kebajikan dan meninggikan darjatmu di sisi-Nya kerana kerjamu yang sangat berat dan memenatkan itu."

"Wahai Fatimah." sambung Rasulullah s.a.w lagi, "Kelebihan setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak roti (untuk suami dan anak-anaknya) Allah akan bina parit di antara dirinya dengan api Neraka (bagi menghalang bahang api Neraka itu), dan jarak di antara satu parit dengan satu parit sejauh langit dengan bumi."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang berair matanya kerana pedih memotong bawang untuk dimasakkan kepada ahli rumahnya, maka Allah akan mencatitkan pahala sebanyak yang diberikan-Nya kepada orang yang menangis kerana takutkan Allah."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminta benang (menenun kain untuk pakaian keluarganya), Allah akan mencatitkan kebajikan terhadap perbuatan kebajikannya itu sebanyak jumlah benang yang ditenunnya dan Allah menghapuskan pula 100 perbuatan jahat (dosa-dosanya)."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang menenun kain dan dibuatnya pakaian (untuk ahli rumahnya, suami dan anak-anaknya), Allah telah menetapkannya ditempat khas di atas takhta di akhirat." (Dalam satu riwayat lain disebut ganjaran pahalanya sama seperti pahala memberi makan kepada 1000 orang yang sedang lapar dan memberikan pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian).

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang meminyak rambut, menyikat, mencuci pakaian, mencuci dan membersihkan anak-anaknya, maka Allah akan membalas perbuatan kebajikannya itu dengan pahala mengikut jumlah rambut anaknya itu dan menghapuskan pula dosa-dosanya dan menjadikan ia berseri-seri (di akhirat) di mana orang yang melihatnya."
(Hadis Riwayat Abu Hurairah).

Kisah Anak Derhaka Kepada Ibunya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diakhir-akhir ini akhbar arus perdana sering membawa kisah anak derhaka kepada ke dua ibu bapa mereka. Di Perlis seorang anak sanggup meninggalkan seorang bapa yang uzur dan dhaif diperhentian bas dan tidak sanggup hendak menyara kehidupannya lagi. Jabatan Kebajilkan Masyarakat terpaksa mengambilnya dan meletakkan dirumah orang tua.

 Di Serdang, Selangor seorang anak perempuan dan suaminya sanggup menghalau ibu kandungnya sendiri yang berasal dari Kucing Serawak, bahkan beliau tidak mengaku bahawa wanita itu adalah ibunya.


Betapa hancur dan pilunya hati seorang ibu dan mengalir air mata kesedihan, beliau bersusah payah datang  dari Serawak, dengan bekalan wang rm150 semata-mata untuk mencari anaknya yang telah menghilangkan diri selama tiga tahun, apabila telah berjumpa, tiba-tiba beliau dihalau seperti binatang dan tidak mengaku sebagai ibunya, ibu tunggal yang miskin ini terpaksa menumpang tidur dirumah kawasan perumahan berhampiran rumah anaknya kerana tidak mempunyai saudara mara disini. Pihak polis Sri Kembangan dan wartawan Kosmo telah memberi sumbangan untuk membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Serawak. Inilah contoh anak derhaka zaman moden.

Kisah ini hampir-hampir sama dengan kisah lagenda Si Tanggang dan Si Malim Kundang yang mendapat balasan dari Tuhan di dunia lagi kerana derhaka kepada ibu mereka setelah mereka menjadi kaya dan menjadi orang ternama.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :" Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”
(Hadis riyawat Imam Bukhari )

Sahabat yang dimuliakan,

Di sini saya ingin membawa satu kisah benar yang berlaku di Sandakan , Sabah pada 1 September, 1994, untuk menjadi iktibar kepada kita bagaimana balasan Allah s.w.t berlaku di dunia lagi kepada anak derhaka kepada ibunya.

"Hairan saya melihat beberapa orang kampung berkumpul di kedai pada tengah hari itu. 1 September 1994. Serius mereka berbual hingga dahi berkerut-kerut. Lepas seorang bercerita yang lain menggeleng-gelengkan kepala. Pasti ada sesuatu yang ‘besar’ sedang mereka bincangkan, kata saya di dalam hati. Setelah enjin motosikal dimatikan, saya berjalan ke arah mereka.

” Bincang apa tu? Serius aku tengok,” saya menyapa.

” Haaa…Din, kau tak pergi tengok budak perempuan tak boleh keluar dari

kubur emak dia? ” kata Jaimi, kawan saya.

” Budak perempuan? Tak boleh keluar dari kubur? Aku tak faham bah,”

jawab saya. Memang saya tak faham kerana lain benar apa yang mereka katakan itu.

” Macam ni,” kata Jaimi, lalu menyambung, ” di kubur kat kampung Batu 10 tu, ada seorang budak perempuan tolong kebumikan emak dia, tapi lepas itu dia pula yang tak boleh keluar dari kubur tu. Sekarang ni orang tengah nak keluarkan dia… tapi belum boleh lagi “.

” Kenapa jadi macam tu? ” saya bertanya supaya Jaimi bercerita lebih mendalam. Patutlah serius sangat mereka berbual..

Jaimi memulakan ceritanya. Kata beliau, memandangkan semalam adalah hari kelepasan semperna Hari Kebangsaan, budak perempaun berumur belasan tahun itu meminta wang daripada ibunya untuk keluar bersama kawan-kawan ke Bandar Sandakan. Bagaimana pun, ibunya yang sudah berusia dan sakit pula enggan memberikannya wang.

” Bukannya banyak, RM 20 aja mak! ” gadis itu membentak.

” Mana emak ada duit. Mintak dengan bapa kamu,” jawab ibunya perlahan.

Sambil itu dia mengurut kakinya yang sengal. Sudah bertahun-tahun dia mengidap darah tinggi,lemah jantung dan kencing manis.

” Maaak… kawan-kawan semuanya keluar. Saya pun nak jalan jugak,” kata gadis itu.

” Yalah, mak tau… tapi mak tak ada duit,” balas ibunya.

” RM 20 aja! ” si gadis berkata.

” Tak ada,” jawab ibunya.

” Emak memang kedekut! ” si gadis mula mengeluarkan kata-kata keras.

” Bukan macam tu ta…” belum pun habis ibunya menerangkan, gadis tersebut menyanggah, katanya,

” Ahhh…sudahlah emak! Saya tak mau dengar! “

” Kalau emak ada du… ” ibunya menyambung , tapi belum pun habis kata-katanya, si gadis memintas lagi, katanya ;

” kalau abang, boleh, tapi kalau saya minta duit, mesti tak ada! “

Serentak dengan itu, gadis tersebut menyepak ibunya dan menolaknya ke pintu. Si ibu jatuh ke lantai.

” Saida.. Sai.. dddaaa..” katanya perlahan sambil mengurut dada.

Wajahnya berkerut menahan sakit.

Gadis tersebut tidak menghiraukan ibunya yang terkulai di lantai. Dia masuk ke bilik dan berkurung tanda protes. Di dalam bilik, dibalingnya bantal dan selimut ke dinding. Dan sementara di luar, suasana sunyi sepi.

Hampir sejam kemudian, barulah gadis tersebut keluar. Alangkah terkejutnya dia kerana ibunya tidak bergerak lagi. Bila dipegang ke pergelangan tangan di bawah leher, tidak ada lagi nadi berdenyut. Si gadis panik. Dia meraung dan menangis memanggil ibunya,tapi tidak

bersahut. Meraung si gadis melihat mayat ibunya itu. Melalui jiran-jiran, kematian wanita itu diberitahu kepada bapa gadis yang bekerja di luar.

Jaimi menyambung ceritanya; ” Mak cik tu dibawa ke kubur pukul 12.30 pm tadi.
Pada mulanya tak ada apa-apa yang pelik, tapi bila mayatnya nak dimasukkan ke dalam kubur, ia jadi berat sampai dekat 10 orang pun tak terdaya nak masukkannya ke dalam kubur. Suaminya sendiri pun tak dapat bantu.”

” Tapi bila budak perempuan tu tolong, mayat ibunya serta-merta jadi ringan. Dia seorang pun boleh angkat dan letak mayat ibunya di tepi kubur.”

Kemudian gadis berkenaan masuk ke dalam kubur untuk menyambut jenazah ibunya. Sekali lagi beramai-ramai penduduk kampung mengangkat mayat tersebut dan menyerahkannya kepada gadis berkenaan. Tanpa bersusah payah, gadis itu memasukkan mayat ibunya ke dalam lahad. Namun apabila dia hendak memanjat keluar dari kubur tersebut, tiba-tiba kakinya tidak boleh diangkat. Ia seperti dipaku ke tanah. Si gadis mula cemas.

” Kenapa ni ayah? ” kata si gadis. Wajahnya serta-merta pucat lesi.

” Apa pasal,” Si ayah bertanya.

” Kaki Saida ni.. tak boleh angkat! ” balas si gadis yang kian cemas.

Orang ramai yang berada di sekeliling kubur mula riuh. Seorang demi seorang menjenguk untuk melihat apa yang sedang berlaku.” Ayah, tarik tangan saya ni. Kaki saya terlekat……. tak boleh nak naik,”

Gadis tersebut menghulurkan tangan ke arah bapanya. Si bapa menarik tangan anaknya itu, tetapi gagal. Kaki gadis tersebut melekat kuat ke tanah. Beberapa orang lagi dipanggil untuk menariknya keluar, juga tidak berhasil.

" Ayah…kenapa ni??!! Tolonglah Saida, ayah..” si gadis menangis memandang ayah dan adik-beradiknya yang bertinggung di pinggir kubur.

Semakin ramai orang berpusu ke pinggir kubur. Mereka cubamenariknya beramai-ramai namun sudah ketentuan Allah, kaki si gadis tetap terpasak di tanah. Tangisannya bertambah kuat.

” Tolong saya ayah, tolong saya…….kenapa jadi macam ni ayah? ” kata si gadis sambil meratap.

” Itulah, kamu yang buat emak sampai dia meninggal. Sekarang, ayah pun tak tau nak buat macam mana,” jawab si ayah selepas gagal mengeluarkan anaknya itu.
Dia menarik lagi tangan gadis yang berada di dalam kubur tapi tidak berganjak walau seinci pun. Kakinya tetap terpahat ke tanah.

” Emak…ampunkan Saida emak, ampunkan Saida…” gadis itu menangis. Sambil itu dipeluk dan dicium jenazah kiblat. Air matanya sudah tidak boleh diempang lagi.

” Maafkan Saida emak, maafkan , Saida bersalah, Saida menyesal… Saida menyesal…… Ampunkan Saida emak,” dia menangis lagi sambil memeluk jenazah ibunya yang telah kaku.
Kemudian gadis itu menghulurkan lagi tangannya supaya boleh di tarik keluar. Beramai-ramai orang cubamengeluarkannya namun kecewa. Apabila terlalu lama mencuba tetapi gagal, imam membuat keputusan bahawa kubur tersebut perlu dikambus.

” Kita kambus sedikit saja, sampai mayat ibunya tak dapat dilihat lagi.

Kita tak boleh biarkan mayatnya macam tu aja… kalau hujan macam mana?“ kata imam kepada bapa gadis berkenaan.

” Habis anak saya ?” tanya si bapa.

” Kita akan terus cuba tarik dia keluar. Kita buat dua-dua sekali, mayat isteri awak disempurnakan, anak awak kita selamatkan,” balas imam.

Lelaki berkenaan bersetuju. Lalu seperti yang diputuskan,upacara pengebumian terpaksa diteruskan sehingga selesai, termasuk talkinnya. Bagaimana pun kubur dikambus separas lutut gadis saja, cukup untuk menimbus keseluruhan jenazah ibunya. Yang menyedihkan, ketika itu si gadis masih di dalam kubur. Bila talkin dibaca, dia menangis dan meraung kesedihan. Sambil itu dia meminta ampun kepada ibunya dengan linangan air mata. Selesai upacara itu, orang ramai berusaha lagi menariknya keluar. Tapi tidak berhasil.

” Bila dah lama sangat, aku balik kejap untuk makan. Dah lapar sangat. Lepas itulah aku singgah ke kedai ni. Lepas ni aku nak ke kubur lagi. Nak tengok apa yang terjadi,” kata Jaimi.

” Aku pun nak pergilah,” kata saya. Lalu kami semua menunggang motosikal masing-masing menuju ke kubur.

Kami lihat orang ramai sudah berpusu-pusu di sana . Beberapa buah kereta polis juga kelihatan di situ. Saya terus berjalan pantas menuju kubur yang dimaksudkan dan berusaha menyusup ke celah-celah orang ramai yang sedang bersesak-sesak.

Setelah penat berusaha, akhirnya saya berjaya sampai kebarisan paling hadapan. Malangnya saya tidak dapat melihat gadis tersebut kerana di depan kami telah dibuat kepungan tali. Kubur itu pula beberapa puluh meter daripada kami dan terlindung oleh kubur serta pokok-pokok rimbun. Didalam kepungan itu, anggota-anggota polis berkawal dengan senjata masing-masing.

Nasib saya memang baik hari itu. Dua tiga orang daripada polis berkenaan adalah kenalan saya.

” Pssstt…Raie. …Raie..Psstt, ” saya memanggil, Raie yang perasan saya memanggilnya mengangkat tangan.

” Boleh aku tengok budak tu? ” saya bertanya sebaik saja diadatang kearah saya.

” Mana boleh. Keluarga dia aja yang boleh,” jawabnya perlahan-lahan seperti berbisik. Sambil itu dia menjeling ke kiri dan kanan, khuatir ada orang yang tahu.

” Sekejap aja. Bolehlah…” saya memujuk…..

Alhamdulillah, setelah puas dipujuk dia mengalah. Tanpa berlengah, saya menyusup perlahan-lahan dan berjalan beriringan dengan Raie, seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan. Namun demikian dada saya berdebar kencang. Pertama, risau & takut dihalau keluar. Kedua, tidak sabar hendak melihat apa yang sedang berlaku kepada gadis berkenaan.

Selepas meredah kubur-kubur yang bertebaran, akhirnya saya sampai ke pusara yang dimaksudkan. Di pinggir kubur itu berdiri dua tiga orang polis memerhatikan kedatangan saya.

Raie mendekati mereka dan berbisik-bisik. Mungkin dia merayu supaya saya tidak dihalau. Alhamdulillah, saya lihat seorang polis yang berpangkat mengangguk-angguk. Raie terus memanggil saya lalu memuncungkan bibirnya ke arah sebuah kubur.

Bila dijenguk kedalam, dada saya serta-merta terasa sebak. Saya lihat gadis berkenaan sedang duduk di atas tanah kubur sambil menangis teresak-esak. Sebentar kemudian dia memegang tanah berhampiran lahad dan merintih;

“Emak… ampunkanlah Saida, Saida sedar, saida derhaka pada emak, Saida menyesal,Saida menyesal……”

Selepas mengesat air jernih yang terus berjejeran daripada mata yang bengkak, gadis tersebut menangis lagi memohon keampunan daripada arwah
ibunya. ” Emak…lepaskanlah kaki saya ni. Ampunkan saya, lepaskan saya,”

Ditarik-tariknya kaki yang melekat di tanah namun tidak berhasil juga.

Saya lihat bapa dan adik-beradiknya menangis, di pinggir kubur. Nyata mereka sendiri tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat untuk menyelamatkan gadis berkenaan.

” Sudahlah tu Saida…makanlah sikit nak ,” rayu bapanya sambil menghulurkan sepinggan nasi juga segelas air. Si gadis tersebut langsung tidak mengendahkan. Malah memandang ke atas pun tidak. Dia sebaliknya terus meratap meminta ampun daripada arwah ibunya.
Hampir menitis air mata saya melihat Saida. Tidak saya sangka, cerita datuk dan nenek tentang anak derhaka kini berlaku di depan mata. Begitu besar kekuasaan Allah. Memang betullah kata para alim ulama, dosa menderhakai ibu bapa akan di balas ‘tunai’.
Malangnya saya tidak dapat lama di sana . 10 – 15 minit saja. Raie memberitahu, pegawainya mahu saya berbuat demikian. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya meninggalkan kubur tersebut. Sambil berjalan kedengaran lagi Saida menangis dan meratap ” Ampunkan saya emak, ampunkan saya, Ya Allah, lepaskanlah kakiku ini, aku bertaubat, aku insaf…”

Lantas saya menoleh buat kali terakhir. Saya lihat bapa Saida dan adik beradiknya sedang menarik tangan gadis itu untuk dibawa keluar, tapi seperti tadi, tidak berhasil. Saya lihat seorang polis mengesatkan air matanya.

Semakin lama semakin ramai orang berhimpun mengelilingi perkuburan itu. Beberapa kereta polis datang dan anggotanya berkawal di dalam kepungan lengkap dengan senjata masing-masing. Wartawan dan jurugambar berkerumun datang untuk membuat liputan tetapi tidak dibenarkan. Mereka merayu bermacam-macam cara, namun demi kebaikan keluarga gadis, permintaan itu terpaksa ditolak.

Matahari kian terbenam, akhirnya tenggelam dan malam merangkak tiba. Saida masih begitu. Kaki terlekat di dalam kubur ibunya sementara dia tidak henti-henti meratap meminta keampunan. Saya pulang ke rumah dan malam itu tidak dapat melelapkan mata. Suara tangisannya terngiang-ngiang di telinga saya. Saya diberitahu, sejak siang, tidak ada secebis makanan mahupun minuman masuk ke tekaknya. Seleranya sudah mati. Bapa dan adik beradiknya masih tetap di sisi kubur membaca al-Quran, Yassin dan berdoa. Namun telah disebutkan Allah, menderhaka terhadap ibu bapa adalah dosa yang sangat besar. Saida tetap tidak dapat dikeluarkan.

Embun mula menitis. Saida kesejukan pula. Dengan selimut yang diberi oleh bapanya dia berkelubung. Namun dia tidak dapat tidur. Saida menangis dan merayu kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Begitulah yang berlaku keesokannya. Orang ramai pula tidak susut mengerumuni perkuburan itu. Walaupun tidak dapat melihat gadis berkenaan tapi mereka puas jika dapat bersesak-sesak dan mendengar orang-orang bercerita.

Setelah empat atau lima hari terperangkap, akhirnya Saida meninggal dunia. Mungkin kerana terlalu lemah dan tidak tahan di bakar kepanasan matahari pada waktu siang dan kesejukan di malam hari. Mungkin juga kerana tidak makan dan minum. Atau mungkin juga kerana terlalu sedih sangat dengan apa yang dilakukannya.

Allah Maha Agung…sebaik Saida menghembuskan nafas terakhir, barulah tubuhnya dapat di keluarkan. Mayat gadis itu kemudian disempurnakan seperti mayat-mayat lain. Kuburnya kini di penuhi lalang. Di bawah redup daun kelapa yang melambai-lambai, tiada siapa tahu di situ bersemadi seorang gadis yang derhaka.

(Dipetik dari Lepakk Group : Kisah anak derhaka kepada ibunya)

Thursday, January 21, 2010

Syurga Wanita di Mana?

Sohibah yang dimuliakan,
Rumah adalah pusat kegiatan para wanita. Rumah adalah Syurga dan medan jihad serta gelanggang bagi kaum wanita menumpukan masa bagi menyelesaikan tugas dan tanggungjawab mereka yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul.

Berbeza dengan kaum lelaki, gelanggang perjuangan mereka adalah diluar . Segala pahala mereka ada diluar rumah. Tetapi sebaliknya bagi kaum wanita mereka dengan mudah sahaja memperolehi pahala di dalam rumah dan di sekitar perkarangan rumah mereka sendiri.

Apabila seorang wanita telah berkahwin, ia tidak diwajibkan untuk bekerja dan menyara keluarga kerana tugas untuk memberi nafkah adalah tugas dan tanggungjawab suami, tetapi sekiranya ia redha untuk membantu suami dalam perbelanjaan keluarga tidaklah dilarang. Tetapi perlu diingatkan bahawa tugas asasi wanita adalah mentaati suami dan mendidik anak-anak tugas ini adalah tugas yang lebih utama daripada tugas yang lain.

Berdasarkan hadis dari Nabi s.a.w menyatakan bahawa keutamaan dan pahala kepada wanita yang bersembahyang di dalam bilik dan di dalam rumah melebihi daripada Masjid Nabawi. Sepertimana kita ketahui bahawa  sembahyang di Masjid Nabawi pahalanya amat besar sehingga tidak terkira jumlahnya daripada bersembahyang di masjid-masjid lain di dunia ini.

Selain daripada itu banyak lagi keterangan tentang kelebihan dan gandaan pahala terhadap kaum wanita yang melakukan tugas mereka yang tugas itu berkait rapat dengan tugas sebagai isteri dan ibu.

Sohibah yang dihormati,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Mana-mana wanita yang melayani suaminya, meminyak rambut suaminya, menyikat janggutnya, mengunting misainya, mengerat kukunya, maka ia di akhirat ia diberi minum oleh Allah daripada air Syurga dan ia diringankan siksaan ketika sakaratulmaut (dekat hendak mati), di dalam kubur ia perolehi taman-taman seperti taman Syurga dan namanya tercatit sebagai orang yang lepas daripada siksaan Neraka dan selamat melintasi Titian Sirat tanpa menempuh kesusahan."

Saydatina Aisyah berkata, jika para wanita tahu akan betapa besarnya pahala memenuhi (melayan) hak suami, nescaya mereka sanggup mencuci debu-debu ditapak kaki suami mereka dengan muka mereka sendiri.

Tersebut di dalam kitab 'Uqud Al-Lujain' melarang wanita yang hendak ikut sama mengiringi mayat kerana hendakkan pahala, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Baiklah kamu tidak ziarah dan iringi mayat kerana ia tidak ada apa-apa pahala, lebih baik kamu tinggal di rumah dan berkhidmat kepada suami kamu, nescaya kamu akan perolehi pahala sama dengan pahala ibadah-ibadah orang lelaki."

Sohibah,
Seorang ibu yang tahu akan kelebihan ganjaran pahala mengandung, melahirkan anak serta menyusu dan mengurus anak yang akan dibalasi oleh Allah di akhirat kelak nescaya ia tidak mahu menumpukan kepada kerja lain, kecuali kepada perkara-perkara yang boleh menguntungkannya di akhirat.

Dalam sebuah hadis dari Nabi s.a.w yang bermaksud ; "Seorang wanita yang redha mengandung bayi hasil perhubungan dengan suaminya yang sah dan suaminya redha pula kepadanya, maka Allah akan memberi ganjaran pahala sebagaimana pahala puasa fi sabilillah. Bila ia merasa sakit ketika akan melahirkan anak, maka Allah tambah lagi pahala yang tidak terkira oleh manusia oleh kerana terlalu banyaknya. Bila telah melahirkan anak dan ia menyusu dengan susunya sendiri, maka setiap seteguk (satu sedutan) Allah berikan satu kebajikan. Bila ia semalaman tidak tidur kerana mengawas (menjaga) anaknya (yang sekejap-sekejap menangis, sakit atau sebagainya), maka Allah beri lagi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dalam fi sabilillah dengan ikhlas."
(Hadis Riwayat al-Hassan bin Sofwan, at- TabraniIbnu Asakir dan Salama yang menyusu Sayyidina Ibrahim anak Rasulullah s.a.w).

Sohibah yang dikasihi Allah,
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Wanita yang tinggal di rumah bersama-sama (mendidik dan mengurus) anaknya, ia di akhirat akan tinggal bersama-sama dengan aku (Rasulullah s.a.w.) di dalam Syurga."

Sabdanya lagi yang bermaksud : "Sukakah aku beritahu siapakah dan bagaimana sifat isterimu yang bakal di tempatkan di Syurga?. Jawab para sahabat ,'Bahkan kami suka.' Sabda Nabi s.a.w , 'Iaitu tiap-tiap isteri yang bersifat kasih sayang dan melahirkan banyak anak. Dan apabila ia dimarahi oleh suaminya, ia menyerah diri untuk di hukum sehingga suaminya redha (memaafkan kesalahannya)..."

Didalam sebuah kitab bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud : "Apabila seorang wanita mengandung (janin) di dalam rahim, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah pun mencatit baginya 1000 kebajikan dan menghapuskan 1000 dosa. Apabila ia sakit hendak bersalin Allah mencatit lagi pahala kepadanya seimbang dengan pahala orang (lelaki) yang berjihad fi sabilillah. Apabila ia telah melahirkan anak, maka gugur segala dosanya dan jadilah ia bersih tanpa dosa sepertimana waktu ia mula-mula dilahirkan oleh ibunya dahulu (semasa ia masih bayi)."

Terdapat di dalam kitab 'Uqud Al-Lujan' bahawa Nabi s.a.w bersabda maksudnya : Empat wanita yang menjadi penghuni Syurga :

Pertama : Wanita yang menjaga dirinya daripada perkara yang haram dan ia tetap berbakti kepada Allah (mematuhi hukum Allah).

Kedua : Wanita yang banyak keturunan (melahirkan banyak anak ) lagi penyabar serta ia menerima sahaja pemberian Allah itu dan ia sabar dengan kehidupan yang serba kurang (qana'ah) dan apa sahaja yang diberikan suaminya.

Ketiga : Wanita yang bersifat pemalu. Apabila suaminya pergi (keluar menjalankan tugas) ia menjaga dirinya dan tetap beramanah dengan harta suaminya. Jika suaminya pulang ia menjaga mulutnya daripada berkata yang boleh menguriskan hati suaminya.

Keempat : Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak, dan ia tetap menjaga diri dan terus menerus menjaga dan mendidik anaknya (yang yatim) dan ia tidak bersedia untuk berkahwin kerana takut anak-anaknya terbiar."

Demikianlah gambaran daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang kelebihan darjat kaum wanita dan betapa mudahnya mereka mendapat darjat yang tinggi itu di sisi Allah serta betapa mudahnya jalan yang dibuka oleh Allah untuk memasuki Syurga.

Wednesday, January 20, 2010

Islam Di Serang Di Segenap Segi

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang bukan sekadar bersifat amalan ritual, tetapi Islam adalah ad-Deen atau cara hidup yang menolak sistem-sistem hidup yang batil, Islam sering mengundang rasa jelek dan kebencian di kalangan banyak pihak yang berfikiran korup.

Kalian kena berpegang teguh dengan Islam, walaupun di tempat mana kalian berada samaada sebagai pelajar, pekerja, pegawai, ahli perniagaan, pemimpin politik maupun sebagai rakyat biasa. Kalian akan di pertanggung jawabkan di hadapan Allah s.w.t. untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan. Kalian perlu bersatu padu, membina jalinan ukuwah Islamiyah dan silaturahim dan bergerak di dalam jamaah yg kuat dan tersusun rapi.

Islam telah dihina dan diperbodohkan oleh musuh-musuh Islam disegenap sudut. Negara umat Islam telah dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dan mereka menjalankan agenda dan perancangan mereka untuk memecakbelahkan kesatuan umat Islam dengan menguasai ekonomi dan kepimpinan negara. Negara kuasa besar Amerika Syarikat telah memainkan peranan di Iraq, Afghinastan dan Pakistan kononnya untuk memerangi keganasan, hakikat sebenarnya dialah yang menjadi pengganas dengan menyerang dan membunuh umat Islam  yang tidak berdosa. Amerika juga memainkan peranan yang licik dengan mempengaruhi negara-negara umat Islam yang kaya dengan hasil minyak dan bersempadan dengan Israel untuk menyekat bantuan kemanusian kepada umat Islam di Palestin.

Dimana letaknya maruah umat Islam, hingga pemimpin-pemimpinnya sanggup menjadi agen pemusnah kepada saudara seagama dengan menafikan hak mereka untuk mendapat bantuan kemanusiaan dan hak-hak beragama dan menikmati kehidupan yang aman dan harmoni.

Menurut data yang dikeluarkan oleh  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2000 jumlah umat Islam mencecah kepada 1.902 billion. Daripada jumlah yang ramai ini musuh-musuh Islam tidak akan berdiam diri terutama puak Kristian danYahudi yang tidak akan senang dengan umat Islam selagimana umat Islam tidak mengikut agama mereka. Perancangan mereka berjalan setiap masa untuk melemahkan umat Islam. Memang kita berbangga dengan bilangan umat yang ramai, tetapi teringat juga kata-kata Rasulullah bahawa umat Islam di akhir zaman ibarat buih-buih dilaut, nampak ramai tetapi lemah dan terapung-apung dihanyut ombak. Tiada kekuatan dan mudah dipermainkan. Sebabnya, mereka cintakan dunia dan takut kepada kematian.

Akhir-akhir ini kita digemparkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ telah dibenarkan dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya pada 31 hbb. Disember, 2009. Apakah motif mereka cuba mengguanakan nama 'Allah' sedangkan nama yang mulia ini tidak pernah tercatit di dalam kitab Bible mereka. Tujuannya adalah jelas untuk mencabar dan merosakkan pegangan aqidah umat Islam dengan mendatangkan kekeliruan, sedangkan mereka tahu Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mewartakan kaliah Allah hanya khusus untuk umat Islam di Malaysia dan tidak boleh di gunakan oleh agama lain.

Permusuhan dan kedengkian dihati mereka memang sentiasa membara, pernah seorang orientalis bernama Snouck Hourgrounje pernah berkata bahawa, "Untuk menghancurkan umat Islam, tidaklah perlu memerangi orang-orang Islam atau menindas mereka dengan mengerahkan kekuatan senjata. Semua ini boleh dicapai dengan mengadu domba antara kelompok mereka dengan kelompok yang lain daripada dalam masyarakat mereka sendiri. Kita tanamkan perbezaan pendapat dan tekankan pada perbezaan mazhab serta tanamkan rasa ragu-ragu dan ketidakpercayaan kepada pemimpin dan ulama-ulama mereka. Manakala anak-anak mereka kita salurkan dengan ideologi-ideologi seperti Marxisme."

Itulah sebahagian usaha Kristian dan Yahudi, yang bekerja siang dan malam dengan penuh sistematik untuk meruntuhkan aqidah Islam dengan cara mempengaruhi dan merusakkan pembinaan keluarga Muslim.

Usaha mereka berjaya. Memang ramai di kalangan orang Islam hari ini lalai dan memandang sepi pada agama. Mereka terdidik dalam satu skima pendidikan yang gagal membesarkan Allah dan gagal membina masyarakat Islam sebenar.

Kejayaan musuh-musuh Islam dalam misi mereka ketara apabila mengeksploitasi wanita-wanita Islam dalam berbagai-bagai kemudahan atau sarana hiburan dan industri melayan nafsu. Waniat-wanita Islam hari ini cenderung mengabaikan tugas mengurus rumah tangganya atau mendidik anak-anaknya supaya menjadi generasi yang kental dan pejuang kebenaran serta keadilan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah Tahrim ayat 6)

Sahabat yang dimuliakan,
Rumah-rumah umat Islam hari ini sarat dengan peralatan hiburan, seperti televisyen, radio, karoake, vedio dan cakera padat dan di dalam komputer dan telefon mudah alih pun di isi dengan lagu-lagu yang melekakan dan alat-alat berkenaan digunakan bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah atau menambah kekuatan Islam, tetapi untuk tujuan berleka-leka dan hiburan semasa. Daripada bapa sampai ke anak-anak sanggup menghabiskan masa berhibur berjam-jam di hadapan televisyen dan vedeo atau karoake.

Masaalah umat Islam tidak lagi menjadi keprihatian, masaalah generasi yang semakin rosak dengan pelbagai gejala sosial dan maksiat bukan menjadi agenda yang harus sama-sama di atasi, tetapi dianggap tugas orang lain.

Melihat keadaan ini, usaha memberi kefahaman Islam tulen dan usaha-usaha dakwah perlu digiatkan oleh setiap orang Islam yang merasakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk membina dan memperkuat agama mereka. Mereka tidak mahu Islam mereka sekadar pada borang atau mykad sahaja. Orang yang tidak mahu dianggap dayus apabila berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti.

Akhir kata orang Mukmin yang hidup mulia di dunia dan akhirat adalah adalah mereka yang terus berjuang menghidupkan agama dan menyelamatkan umat, dan bukan sekadar hidup mengisi perut dan nafsu, kemudian diserang sakit, lalu mengakhiri hidup ini dengan tidak pernah memikul beban dakwah. Maka kembalilah dia menemui Tuhan dengan seribu penyesalan dan kegagalan.

Monday, January 18, 2010

Keadaan Manusia Semasa Akhir Zaman

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala buas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.
Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu. Akan tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya.
Anak kecil mereka jahil, pemuda mereka licik. Sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang yang mungkar. Mereka itu sentiasa membangga diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan.
Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat, 
dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh. 
Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasiq menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah, sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”

(Hadith Riwayat Thabrani- Kitab Al-Mu’jam Al-Kabir)