Saturday, November 21, 2009

Sedekah Untuk Orang Yang Tidak Berharta

Diriwayatkan dari Rasulullah bahawa baginda ditanya Abu Dzar, "Bagaimana saya bersedekah sementara saya tidak berharta?" .

Maka baginda menjawab, "Salah satu pintu sedekah adalah mengucapkan takbir (Allah Akbar), tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), tahlil (Laailaha illah Allah), memohon ampun kepada Allah, memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran, menyingkirkan duri dari jalan, menunjuki orang yang buta, tuli dan bisu hingga ia mengerti, membantu orang yang memerlukan bantuan dengan susah payah, menapaki jalan yang terjal untuk menolong orang-orang yang lemah, mengangkat beban yang berat untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Ini adalah pintu-pintu sedekahmu yang kamu amalkan. Bahkan kamu berhubungan badan (menjima') dengan isteri juga terdapat pahala."

Abu Dzar bertanya, "Bagaimana saya mendapatkan pahala dalam melepaskan syahwat?"

Baginda menjawab, "Bagaimana menurutmu jika kamu mempunyai seorang anak dan sangat berharap balasannya tetapi ia meninggal, apakah kamu menyesal?"

Maka ia menjawab, "Ya"

Maka baginda berkata, "Apakah kamu yang menciptakan?"

Ia menjawab, "Allah yang menciptakan."

Baginda bertanya, "Apakah kamu yang memberinya petunjuk?"

Ia menjawab, "Allah yang memberinya petunjuk."

Baginda bertanya, "Apakah kamu yang memberinya rezeki?"

Ia menjawab, "Allah yang memberinya rezeki."

Baginda bersabda, "Maka dari itu, letakkan di tempat yang halal dan hindari yang haram. Jika Allah menghendaki, nescaya akan menghidupkannya; dan jika menghendaki, nescaya akan mematikannya, dan kamu tetap mendapat pahala."

(Hadis Riwayat Ahmad)

Hari Raya Aidil Adha di Sambut Dengan Penuh Kesyukuran.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita akan sambut kedatangan hari kebesaran umat Islam pada 10 Zulhijjah  iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji. Dalam setahun terdapat hanya dua hari raya sahaja yang di syariatkan dalam Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha dan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut pada 1 Syawal.

Hari Raya Aidil Adha (ŰčÙŠŰŻ Ű§Ù„ŰŁŰ¶Ű­Ù‰) atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban, merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam. Hari Raya Aidil Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s.dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam a.s.dan isterinya Hawa dikeluarkan dari Syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Makkah.

Sahabat yang dimuliakan,
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri. Di pagi hari sebelum berangkat ke masjid untuk Hari Raya Aidil Fitri di sunatkan menjamah sedikit makanan tetapi sebaliknya di pagi Hari Raya Aidil Adha tidak disunatkan menjamah makanan.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. lembu, kambing, dan biri-biri atau unta yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Ka'abah dan melakukan korban sembelihan. Al-Qur'an tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim a.s untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Sahabat,
Umat Islam di negara kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan penuh meriah dan nampak kemeriaannya dengan pakaian baru, juadah dan kuih muih yang bermacam-macam jenis dan langsir dan perabut rumah serba baru. Ziarah menziarahi di antara satu sama lain dan bermaaf-maafan. Tetapi kenapa keadaan seperti ini tidak berlaku semasa menyambut kehadiraan Aidil Adha? Sedangkan Aidil Adha adalah hari kebesaran yang mempunyai sejarah yang besar untuk umat Islam iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. keatas anaknya Nabi Isamil a.s atas perintah Allah s.w.t. Pada Aidil Adha ini juga berlaku perlaksanaan Ibadah Haji di Makkah al-Mukaramah ianya merupakan perlaksanaan Rukun Islam yang ke lima.

Oleh itu marilah sama-sama kita sambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini dengan penuh kesyukuran kepada Allah s.w.t., setelah mengerjakan solat sunat Aidil Adha kita teruskan ziarah menziarahi sesama saudara Muslim dan bermaaf-maafan sesama kita. Dan terus bertakbir memuji Allah s.w.t. setiap masa pada hari Tasyrik iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sekiranya mempunyai peruntukan wang yang lebih janganlah lupa untuk berkorban kerana sesungguhnya tidak ada amalan yang lebih baik pada Hari Tasyrik melainkan melaksanakan penyembelihan binatang ternak sebagai ibadah korban.

Friday, November 20, 2009

Bilakah Do'a Akan di Makbul?

Berdo'a adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan do'a kehadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Sebagai seorang Mukmin yang yakin di atas Qada' dan Qadar Allah s.w.t. kalian kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah s.w.t.adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui di atas kehidupanmu pada masa sekarang dan masa akan datang. Terdapat tiga keadaan do'a kalian di sisi Allah s.w.t. iaitu seperti berikut :


Pertama : Apabila Allah cepat makbulkan do'amu, maka Dia menyayangimu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdo'a kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."


Kedua : Apabila Dia lambat makbulkan do’amu, Dia ingin mengujimu.
Menurut al-Khatabi : "Jika Allah tidak menjawab do’a seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan pahala."


Menurut hukama : "Manusia menyangka do’a mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Qiyamat.”


Ketiga : Apabila Dia tidak makbulkan do’amu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah ayat 216).


Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini."
(Hadis Qudsi)

Perbaikilah Amalan Zahir dan Batin Kamu

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah umpama persinggahan di R & R iaitu tempat rawat dan rehat. Perhentian sementara untuk membersihkan diri, tidur seketika, solat, qada' hajat, makan, minum, isi minyak kenderaan dan memeriksa kenderaan. Distinasi sebenar masih jauh lagi, masih memerlukan komitman untuk meneruskan perjalanan supaya tidak tergendala di pertengahan jalan. Sekiranya di R & R kita leka dan tidak menggunakan masa yang ada untuk mengemaskan diri dan kenderaan, di khuatiri diperjalanan yang jauh berlaku kemalangan disebabakan mengantuk atau kerosakan dan kehabisan minyak kenderaan.

Oleh itu kalian perlulah sedar bahawa di dunia yang sementara ini, Allah s.w.t. telah memberi masa yang cukup untuk kita persiapkan diri dengan amalan-amalan soleh, amal ibadah, jihad dan pengorbanan, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan  mengutamakan amalan-amalan kerohanian yang tinggi.

Untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah yang di redhai-Nya maka amalan zahir dan batin perlu berjalan serentak tidak boleh di pisahkan, umpama isi dengan kuku, malam dengan siang dan juga seperti wanita dengan lelaki. Diantara satu dengan lain saling lengkap melengkapi.Sekiranya salah satu daripadanya cacat atau tidak berfungsi maka akan berlakulah ketempangan dan tidak berlaku keseimbangan.

Sahabat yang dimuliakan,
Amalan zahir yang utama terletak pada Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah Syahadah (Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya), solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengerjakan fardu haji ke Baitullah (jika ada kemampuan). Amalan zahir yang lain yang dituntut untuk di laksanakan umpama solat sunat, puasa sunat, sedekah, membaca al-Qur'an, membantu orang Islam lain dari kesusahan dan lain-lain lagi.

Amalan batin yang dituntut adalah khusyuk dalam solat, ikhlas, bertakwa, bertawakkal, tawaduk, rasa takut (khauf), rasa mengharap (roja'), baik sangka, syukur, sabar dan membuangkan segala sifat mazmumah yang terdapat dalam hati.

Berhati-hatilah kalian di dalam melaksanakan syariat lahir dan batin, janganlah dicampur adukkan di antara kebaikan dan kemungkaran. Satu masa melakukan ketaatan dan pada masa yang lain melakukan kemungkaran, dosa dan maksiat kepada Allah s.w.t. Umpamanya melakukan perintah fardu di samping amalan sunat, adakalanya pemurah dan lemah lembut, tetapi dalam masa yang sama kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba', dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Imam al-Ghazali ada berkata : "Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk solat Tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti kepada Allah di malam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari."

Sahabat ada menceritakan pada Nabi s.a.w. peribadi seorang wanita, iaitu pada siang harinya ia berpuasa sunat dan pada malam harinya ia solat tahajud, tetapi ia suka menyakiti hati jirannya, maka Nabi s.a.w. menyatakan bahawa tidak ada kebaikan yang dibuat oleh wanita ini dan tempatnya adalah di Neraka! nauzubillah.

Sahabat yang dihormati,
Janganlah kalian menjadi seperti seorang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin. Pada zahirnya nampak sempurna, baik, warak tetapi hatinya penuh hasat dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain lagi. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di hari akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga.

Hakikat sebenarnya orang seperti ini di anggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya dan ia sebenarnya jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.

Sahabatku,
Oleh itu dalam menilai amalan, biarlah amalan kalian sedikit walaupun sekadar buat yang fardu sahaja, tetapi di hati tersemat rasa takut pada Allah. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak ada nilai.

Begitu juga apabila amalan seseorang ia telah melakukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama di dalam hatinya ada sifat ria', ujub, bangga diri, belum tentu Allah terima amalannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih."
(Surah Al-Nisa' ayat 173).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil." Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?" Baginda s.a.w. menjawab : "Ialah ria' (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan." Kemudian baginda s.a.w. menyambung : "Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud : "Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu  boleh perolehi balasan dari mereka itu."
(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan : "Allah s.w.t. tidak menerima sesuatu amal yang di dalamnya terselit perasaan ria' walaupun sebesar zarrah (atom)."

Akhirkata, pertingkatkanlah amalan kalian samaada yang zahir dan batin. Laksanakanlah dengan hati yang ikhlas dan tawaduk, nescaya hidup kalian akan diredhai oleh Allah s.w.t di dunia dan di akhirat.

Thursday, November 19, 2009

Kelebihan Bumi Makkah

1. Bumi yang paling dicintai Allah dan Rasul-Nya :
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika baginda berdiri di atas al-Hazwarah (sebuah bukit kecil) "Demi Allah sesungguhnya engkau ini (Makkah) adalah sebaik-baik tempat di bumi Allah dan tempat yang paling dicintai oleh Allah. Sekiranya aku tidak disuruh untuk keluar (hijrah) darinya nescaya aku tidak akan keluar."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya engkaulah (Makkah) tempat terbaik dan paling aku cintai. Jika tidak kerana kaumku menghalauku keluar nescaya tidak akan kuhuni tempat lain selain di sisimu."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

2.Tanah Haram dipelihara kehormatannya :
Sabda Rasulullah s.a.w. sewaktu hari pembukaan kota Makkah : "Sesungguhnya kota ini (Makkah) telah dijadikan tanah haram oleh Allah pada hari dijadikan langit dan bumi. Maka ia menjadi tanah haram dengan ketetapan Allah sehingga Hari Qiyamat. Tidaklah boleh dipatahkan duri pepohonnya maupun dihalau binatang buruannya. Tidak pula boleh diambil barang yang hilang di dalamnya maupun dibuang pucuk-pucuk pada tumbuhan meliar."
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dalam satu riwayat Imam Muslim lain disebutkan bahawa Al-Abbas menambah  pengecualian tumbuhan yang dinamakan al-Izkhir (tumbuhan wangi yang digunakan di kuburan dan mewangikan rumah) maka Nabi s.a.w. bersetuju dengan sabdanya : "Ya kecuali al-Izkhir".
(Hadis Riwayat Muttafaq 'Alaih ).

3. Tidak dimasuki Dajjal dan dikawal oleh para malaikat :
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tidak ada suatu tempat di dalam dunia ini tidak akan dimasuki oleh Dajjal kecuali bumi Makkah al-Mukarramah. Tidak ada sesuatu sempadan yang terbiar melainkan semuanya ada malaikat yang berbaris menjaganya."
(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

4. Kelebihan beribadah di Makkah :
Dari Jabir r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda : "Pahala solat di masjidku (Masjid Nabawi) adalah digandakan seribu kali solat di lain-lain masjid kecuali Masjidil Haram (Makkah). Solat di Masjidil Haram adalah lebih afdhal dari seratus ribu kali solat."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Sekiranya kita ingin hitung berapa besarnya pahala satu solat di Masjidil Haram ini adalah sama seperti kita solat selama 55 tahun 6 bulan dan 20 hari. Pahala solat lima waktu pula sekiranya dikerjakan di Masjidil Haram adalah seperti solat selama 277 tahun 9 bulan dan 10 hari. Subhanallah. Begitu besar ganjaran yang diberikan oleh Allah s.w.t. di bumi  Makkah al-Mukarramah ini.

Berkata Imam al-Muhibb al-Tabariyy dalam analogi yang dilakukannya bahawasanya hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai pahala ibadah solat di Masjidil Haram adalah juga dalil kepada gandaan ganjaran pahala melakukan sebarang bentuk kebajikan di Tanah Haram.

Imam Hasan al-Basri pula menambah bahawasanya puasa sehari di Makkah adalah seumpama berpuasa selama seratus ribu hari dan bersedekah dengan hanya 1 dirham bersamaan pahala bersedekah 100,000 dirham dan setiap kebajikan digandakan seratus ribu pahala.

Wednesday, November 18, 2009

Amalan di Bulan Zulhijjah

Hafsah r.a. menceritakan; “Empat amalan yang tidak ditinggalkan Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘asyr, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai)


Menurut ulamak hadis; maksud puasa al-‘asyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Zulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan berpuasa pada hari-hari tersebut terutamanya pada hari ke sembilan iaitu hari ‘Arafah.


Selain berpuasa, kita juga digalakkan beramal dengan amalan-amalan kebaikan pada hari-hari tersebut kerana Nabi s.a..w bersabda dalam hadis yang lain; “Tidak ada hari yang paling disukai Allah untuk melakukan amal soleh melebihi hari-hari tersebut (yakni hari-hari awal Zulhijjah tersebut)” (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Tiga Perkara Mendapat Kelazatan iman.

Dari Anas bin Malik r.a dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda, "Tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada pada dirinya, ia akan dapat kemanisan iman : Menjadikan Allah dan Rasul-Nya yang paling ia cintai daripada yang lainnya, mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah, dan membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana ia membenci untuk dilemparkan ke Neraka."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang di rahmati Allah,
Berdasarkan hadis di atas tiga hal yang mencerminkan wilayah keimanan. Jika seorang Mukmin memilikinya ia akan menikmati rasa dan manisnya iman.

Pertama : "Menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain."
Sesungguhnya manusia apabila telah mengucapkan syahadatain dengan ucapan yang murni dan jujur, ucapan yang sejalan antara lisan dan hati di dalam berikrar, "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya." nescaya ia telah menjadi orang yang beriman dan melaksanakan sepenuhnya ajaran Islam dalam kehidupannya. Dilaksanakan semua amanah dan aktiviti ibadat yang sesuai apa yang diredhai Allah. Ketika mampu melaksanakan semua tanggungjawab tadi maka akan melahirkan pula satu darjat yang tinggi iaitu cinta kerana Allah dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

Jika seseorang memahami makna Laa ilaaha illallaah, percaya bahawa Yang memberi manfaat adalah Allah, Yang memberi bahaya adalah Dia, Yang Maha Tahu Dia, Yang Maha Kuasa Dia, Yang Maha Berbuat sesuatu, tiada sekutu bagi-Nya, tidak beristeri dan tidak pula berputra, jika itu yang diyakini, nescaya ia akan sampai pada darjat cinta kerana Allah.

Juga jika seseorang memahami bahawa "Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya," dalam ertikata bahawa Rasulullah s.a.w telah menerima segala ajaran, perintah dan larangan dari Tuhannya, serta melaksanakan pula segala ajaran tersebut dalam kehidupan nescaya orang itu akan sampai pada darjat mencintai Rasulullah s.a.w.

Jika syahadatain ini telah menguasai perasaan, jiwa dan apa sahaja yang tertanam dalam hati manusia dengan penguasaan yang sempurna dan kukuh, nescaya hasilnya adalah akan dapat dilihat dalam keseluruhan kehidupannya.

Kedua : "Mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah."
Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa hubungan yang kuat dan abadi adalah hubungan cinta dan kasih kepada Allah dan mencari redha-Nya. Apabila cinta seseorang kerana sebab-sebab duniawi bukan kerana Allah, seperti kerana harta, pangkat, keturunan, kecantikan dan sebab-sebab yang lain maka cinta tersebut adalah cinta yang sangat rapuh dan Allah s.w.t. sangat murka dan ianya akan mendapat kehinaan dari Allah s.w.t. di akhirat nanti.

Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud, " Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka berjumpa atas kehendak-Nya dan berpisah juga atas kehendak-Nya." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih).

Dalam riwayat yang lain dari Anas bin Malik r.a, bahawasanya ada seorang yang saat itu berada di samping Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba ada orang yang lalu. Orang yang ada di samping Rasulullah tadi berkata, "Wahai Rasulullah, aku mencintai orang tadi." Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Apakah engkau telah memberitahukan kepadanya?" Ia menjawab, "Belum." Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Beritahukan hal itu kepadanya!." Ketika berjumpa orang tadi, ia berkata, "Aku mencintaimu kerana Allah." Orang tadi menjawab, "Semoga Allah mencintai anda yang telah mencintaiku kerana ingin meraih redha-Nya." (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Ketiga : "Membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah, sebagaimana ia benci untuk dilemparkan ke Neraka."

Sesungguhnya nikmat Islam adalah nikmat termulia. Mereka yang memeluk Islam dan mempunyai aqidah yang murni kerana Allah, maka Allah s.w.t. telah memileh mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia. Umat yang menjadi pilihan Allah s.w.t. adalah umat yang di selamatkan-Nya daripada syirik dan menuju sebuah hakikat bahawa 'Tidak ada tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah.'

Jika seseorang benci kembali kepada jahiliah sebagaimana bencinya jika ia dilemparkan ke dalam Neraka Jahannam, saat itu ia akan merasakan lazat dan manisnya iman. Kerana ia faham bahawa kehidupan, keamanan dan keselamatan itu ada pada iman. Apabila hubungan hatinya sentiasa terpaut dengan Allah, tunduk dan patuh kepada-Nya, hidup bersama cahaya Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya, ia pasti menolak untuk melakukan maksiat dan melakukan kederhakaan kepada Allah s.w.t. Ketiak inilah ia merasakan kelazatan dan manisnya iman dalam perasaan, nurani dan di dalam benaknya.

Sahabat yang dimuliakan,
Akhirkata, berpegang teguhlah kepada tiga perkara seperti hadis di atas dan jangan ragu-ragu. Dan berdo'alah kepada Allah s.w.t. semoga Allah s.w.t. akan tetapkan hati kita untuk istiqamah di atas perkara tersebut dan merasai sebenar-benar kemanisan iman dan keseronokan hidup di dunia ini dan akan terus merasai nikmat sebenar di Syurga Allah di hari akhirat nanti.

Belajar Tawakal Daripada Semut

Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).

Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?

Pengajaran yang boleh di perolehi :
1. Semut lebih yakin kepada jaminan Allah (bertawakal kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.

2. Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah s.w.t.? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah s.w.t. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.

Kisah Biawak (Dhab) Yang Beriman

Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan-Nihayah bahawa dalam sebuah kisah yang disampaikan oleh Sayyidina Umar al-Khattab r.a. :

Rasulullah s.a.w. sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari Bani Sulaim ke hadapan Rasulullah s.a.w. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan itu, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi, maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata, “Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat mengembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!”

Sayyidina Umar al-Khattab menjadi marah, lalu bangkit dan berkata,”Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”

Nabi s.a.w. tenang menjawab permintaan Umar r.a., “Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi?”

Nabi kemudian berkata kepada Arab Badwi itu,”Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”

Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata, “Demi tuhan Latta dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu,” katanya sambil mengeluarkannya ke hadapan Nabi s.a.w.

Nabi s.a.w. memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, “Ya wahai Nabi s.a.w.!”

Nabi bertanya,”Kepada siapakah engkau beriman?”

Jawab biawak itu,”Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu ‘Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, di Syurga itu rahmat-Nya, dan di Neraka itu azab-Nya!”

Tanya Nabi lagi,”Aku ini siapa wahai biawak?”

Jawab si biawak, “Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”

Mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata, “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku.”

Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir :
“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi adalah pesuruh-Nya.”

Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan ia tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Qur’an.”

Jawabnya, “Kalau begitu ajarlah saya al-Qur’an itu, wahai Nabi.” Nabi pun mengajarkannya membaca surah al-Ikhlas.

Beliau berkata, “ Saya tak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!”

Nabi menambah, “Ini adalah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga dari al-Qur’an. Jika engkau membaca dua kali seumpama dua pertiga dari al-Qur’an dan jika engkau membaca tiga kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Qur’an."

Jawab Arab itu, “Tuhan itu adalah Tuhan kami, Dia menerima dari kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak!”

Nabi bertanya kepadanya,”Adakah kamu memiliki harta?” Jawab beliau, “Tiada seorang pun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin dari saya.”

Nabi bersabda kepada para sahabat, “Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada!”

Para sahabat memberikannya bantuan hinggakan dia mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin Auf r.a berkata kepada Nabi, “Wahai Rasulullah!Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya perolehi dalam Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah. Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baru kita ini!”

Nabi s.a.w bersabda, “Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di akhirat. Allah s.w.t. akan menganugerahimu di akhirat unta yang diperbuat dari permata hijau, tengkuknya dari permata kuning memiliki pelana yang hebat dan ia akan melintasi titian sirat dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada Hari Qiyamat."

Kata Abdul Rahman, “ Saya redha dengannya wahai Nabi.”

Arab itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya dari Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu unta dan membawa bersama mereka seribu pedang dan lembing.

Dia bertanya, “Ke manakah haluan kamu? " Mereka menjawab, “Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita! Kata Arab Badwi itu kepada kaumnya, “Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!” Lalu semua kaumnya beriman pada Rasulullah.

Mencari Syurga Dalam Senang?

Diceritakan pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senang di tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas.

"Siapa di atas tu?" bentak Ibrahim Adham.
"Saya, pengembala kambing," sahut satu suara dari atas menjawab dengan jelas.
"Apa yang kau buat di atas atap istanaku?" tanya raja lagi.
"Aku mencari kambingku yang hilang, "jawab suara itu.
"Cis, pelek sungguh! Masuk akalkah bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?

Dengan tegas suara itu menjawab, "Begitulah wahai Ibrahim.... Adalah pelik kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu? Itu sama sahaja dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!"

Selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat.

Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan tahta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda berjuang mendidik diri, darjat ketakwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda sebagai seorang waliullah yang tersohor.

Bersyukur Kepada Allah

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."

(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Monday, November 16, 2009

Haji Menghubung Agama Ibrahim dan Syariat Muhammad s.a.w.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah Haji adalah merupakan Rukun Islam kelima. Difardukan oleh Allah s.w.t. kepada setiap Muslim yang berkemampuan dan telah cukup syarat-syaratnya. Kewajipan mengerjakan haji hanya sekali sahaja seumur hidup, dan lebih daripada itu dikira sunat sahaja.

Musim haji telah hampir tiba lagi. Talbiah akan terus bergema setiap kali umat Islam dari seluruh dunia mengunjung Makkah. Kota ini adalah pusat umat Islam sedunia kerana di sana berdiri kiblat umat Islam, iaitu Ka'abah. Lebih 3 juta Muslimin dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia berkumpul di sana.

Ini adalah perhimpunan seaqidah sepanjang zaman, dari zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga Qiyamat. Tidak ada halangan bangsa, keturunan dan pangkat untuk menerima Islam sebagai penyatu manusia. Makkah dan Ka'abah adalah lambang kesatuan aqidah untuk seluruh bumi kerana Ka'abah adalah rumah ibadat pertama di bumi.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan Kami telah perintahkan Ibrahim dan Ismail, 'bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang ruku' dan sujud'."
(Surah al-Baqarah ayat 125)

Sahabat yang dimuliakan,
Talbiah yang diucapkan menusuk kalbu bagi yang memahami mesejnya dan diucapkan berulang-ulang tanda memuji kebesaran Ilahi, "Hambamu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerentahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."

Haji adalah latihan 'pergi menuju kematian'. Dengan pakaian ihram putih umpama kain kafan, berkumpul di Arafah sebagai Mahsyar. Haji adalah 'pergi menuju Allah' - menuju kebersihan diri, dengan ikrar akan terus memusuhi syaitan yang direjam di Jamrah Ula, Jamrah Wustta dan Jamrah 'Aqabah. Haji melatih kesediaan berkorban meninggalkan tanah air, keluarga kerana agama Allah.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Bagi kamu sebaik-baik jihad ialah Haji Mabrur."
(Hadis Riwayat Bukhari).

Haji adalah latihan keupayaan dan survival kerana agama Allah. Ia adalah ziarah bukit-bukit sejarah agama Tauhid, agama Ibrahim a.s.

Sahabat yang berbahagia,
Makkah yang nama asalnya Bakkah pada zaman Nabi Ibrahim a.s. adalah kota perintis agama Tauhid. Di sini bermula dakwah Nabi Ibrahim a.s. Nabi Muhammad s.a.w. menyambung dakwah Nabi Ibrahim a.s. itu. Demikianlah seluruh bangsa datang menyaksikan bukti bahawa agama langit hanya satu iaitu agama Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'kub dan anak cucunya hinggalah Isa dan Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Apakah kalian mengatakan bahawa Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'kub dan anak cucunya adalah penganut agama Yahudi dan Nasrani? Katakanlah, 'Apakah kalian lebih mengetahui ataukah Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang menyembunyikan bukti (kebenaran) Allah yang ada padanya. Dan Allah tidak lalai daripada apa yang kalian buat'." (Surah al-Baqarah ayat 140)

Baitullah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. serta Nabi Ismail a.s. itu juga disyariatkan menjadi rumah ibadat malah Kiblat umat Islam hari ini. Jelas terbukti bahawa agama Ibrahim bukan Yahudi atau Nasrani seperti yang mereka dakwakan.

Ketika Sae'i teringat kita tentang pengorbanan seorang wanita-Hajar.Pengorbanan seorang wanita bersama anak demi akur dengan tugas dakwah suaminya yang diperentah oleh Allah s.w.t. Nabi Ibrahim a.s. diperintah oleh Allah supaya membawa isteri dan anaknya Ismail dari Palestin ke padang pasir tandus itu dan ditinggalkan tanpa menoleh ke belakang. Hajar bertanya, "Adakah ini perintah dari Tuhanmu?". Jawab Ibrahim, "Ya"baginda terus meninggalkan mereka seraya menyerahkannya kepada Allah. Apabila kehabisan makanan berlari-larilah Hajar antara Saffa dan Marwa untuk mencari air. Ketika keletihan ia munajat ke Rabbnya memohon pertolongan. Akhirnya keluarlah air dari lopak tendangan kaki Ismail yang masih bayi. Lalu teriak Hajar, 'Zam! Zam! yang bererti keluar lagi! Berkat zam-zam Ismail dibesarkan. Telaga ini menarik perhatian rombongan dagang lalu menyinggah dan berkampung hingga dipanggil Bakkah.

Selang beberapa ketika Nabi Ismail a.s. telah menjadi remaja, keluarga itu diuji lagi, kali ini antara Nabi Ibrahim a.s. dengan Nabi Ismail a.s. Ujian yang lebih getir, mendapat perintah dari Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s., yang berakhir dengan mukjizat diganti oleh Allah dengan binatang kibas.

Sahabat,
Sesungguhnya Islam adalah agama yang penuh pengorbanan. Tidak boleh hanya berangan-angan, dan menganggap bahawa boleh menghayati iman dan Islam tanpa pengorbanan. Islam bukan agama simbol-simbol, dan bukan agama tunjuk-tunjuk. Ia bukan agama retorik (cakap indah tanpa bukti), tetapi ia adalaha agama perbuatan, penuh pengorbanan dan keikhlasan. Sesiapa yang lebih korban dan ikhlasnya maka lebihlah imannya.

Oleh itu setiap Muslim Mukmin hendaklah mengambil contoh pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh keluarga Nabi Ibrahim dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t. Tidak kurang hebat juga pengorbanan yang di tunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.dan ahli keluarga baginda dalam usaha untuk menegakkan syariat Allah s.w.t. dimuka bumi ini dan dibantu oleh sahabat-sahabatnya.

Amalan yang paling afdal ketika menyambut Eidul Adha adalah mengorbankan binatang ternak umpama lembu, kambing atau unta untuk diagihkan dagingnya kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukannya. Di syariatkan oleh Allah s.w.t. korban binatang ternak pada 10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijah adalah mengambil sempena pengorbanan yang agong Nabi Ibrahim a.s. ke atas anaknya Nabi Ismail a.s.

Sunday, November 15, 2009

Mengasah Sikap Wara'

Sahabat yang di kasihi Allah,
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Berdasarkah hadis di atas adalah merupakan ungkapan dan gambaran sikap wara'. Sikap wara' adalah sikap berhati-hati dalam menghindari larangan Allah s.w.t. Sikap ini amat jelas terdapat pada diri Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat baginda. Sikap wara' pada masa itu telah menjadi suatu amalan yang di hayati oleh generasi awal. Sehingga kurun tersebut dianggap sebagai kurun terbaik dalam sejarah umat Islam. Apakah tips atau panduan yang mereka guna dan amalkan sehingga mereka hidup subur dengan sikap tersebut?

Sahabat yang dimuliakan,
Tedapat sembilan perkara yang perlu dimiliki oleh seseorang untuk memiliki sikap wara' :
1. Menghormati hak Allah s.w.t. : Mengharamkan dan menghalalkan sesuatu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak boleh seseorang pun campur tangan dalam urusan-Nya. Sesungguhnya hanya hukum halal dan haram yang datang dari Al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w sahaja kita terima, dan menolak segala bentuk hukum yang datang dari ciptaan manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Ingat, setiap raja mempunyai kawasan larangan. Ingat, larangan Allah ialah apa sahaja yang diharamkan-Nya."

2. Menghormati hak manusia : Islam datang untuk mengangkat kembali darjat manusia ketempat yang sewajarnya. Islam menjamin hak-hak manusia seperti hartanya, kehormatannya dan darahnya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Siapa yang mengambil hak orang lain walau sejengkal tanah, akan dikalungkan hingga tujuh petala bumi. Barangsiapa yang mengambil hak seorang Muslim dengan sumpah palsunya, maka Allah telah mewajibkan baginya Neraka dan mengharamkan baginya Syurga." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Menegakkan keadilan kepada diri sendiri dan orang lain : Allah s.w.t. memerentahkan manusia untuk berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri. Berlaku adil pada diri sendiri menyebabkan seseorang akan berlaku adil pada orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil kelak di sisi Allah di tempatkan di atas mimbar dan cahaya. Mereka itu ialah orang yang adil dalam menghukum terhadap keluarga dan apa sahaja yang diserahkan (diberi kuasa) kepada mereka."

4. Melangkah dengan ilmu pengetahuan : Seorang Muslim mesti mengetahui dan memahami tentang ketentuan dan larangan Allah s.w.t. terhadap mereka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Janganlah kamu mengikuti suatu hal yang kamu tiada memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati kamu semuanya akan di minta pertanggungjawabkannya." (Surah al-Isra' ayat 36)

5. Mengasah kepekaan hati : Kepekaan hati untuk mengenal perkara yang hak dan batil di sebut sebagai 'furqan' (pembeza). Jiwa yang memiliki 'furqan' akan segera mengesan dan membezakan antara yang hak dan yang batil. Seseorang yang hatinya terasah dengan baik akan mempunyai perasaan yang kuat. Hatinya akan menjadi sensitif terhadap kebatilan dan amat peka dengan kebenaran. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Al-Birr (kebaikan) itu adalah akhlak yang baik manakala dosa itu segala sesuatu yang terasa tidak tenang dalan hati serta dikhuatiri diketahui oleh orang lain." (Hadis Riwayat Muslim).

6. Muhasabah setiap saat : Manusia memiliki sifat khilaf, lupa dan lalai. Sering mereka melakukan kesalahan dan kesilapan terhadap diri sendiri dan orang lain tanpa mereka sedari. Melalui kebiasaan menghitung dan menghisap diri sendiri (muhasabah) mereka akan segera menyedari kesilapan dan kekhilafan. Malah segera memperbaikinya serta tidak mengulanginya lagi.

7. Mempertimbangkan nasihat orang lain : Seseorang yang wara' akan sentiasa berterima kasih atas nasihat orang lain. Walaupun nasihat itu datangnya dan teguran itu datangnya dari pihak lawan. Nasihat ini adalah bahan dan 'ramuan' penting untuk kita muhasabah diri yang disediakan oleh suasan sekeliling. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Agama itu nasihat." Tanpa nasihat, Islam tidak akan tertegak sebagai ajaran dalam sebuah masyarakat Islam yang mementingkan iman dan akhlak Islam.

8. Memperhitungkan risiko diri dan keturunan : Seorang yang wara' akan sentiasa takut terhadap akibat yang akan di tanggung hasi dari perbuatan dosanya. Samaada menimpa dirinya atau keturunannya. Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah s.a.w. pernah mengambarkan bahawa seseorang yang tidak akan diterima do'a-do'anya kerana apa yang dipakai dan dimakannya berasal dari barang-barang yang haram.

9. Khuatir akan azab Allah di Hari Akhirat : Seseorang yang wara' pasti merasa cemas apabila diingatkan tentang risiko yang akan ditanggungnya di akhirat. Ia cenderung merasa berat dalam memikul kewajipan dan tugas di dunia kerana khuatir tidak melaksanakannya dengan baik.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang kami serahkan tugas amal, lalu menyembunyikan sekecil jarum atau lebih maka ia berupa ghulul (penghianatan) yang akan dipikul pada hari Qiyamat." mendengar kata-kata ini, tiba-tiba berdiri seorang Ansar yang berkulit hitam, lalu berkata : "Wahai Rasulullah, terimalah kembali tugas yang tuan serahkan kepadaku itu." "Mengapa?" tanya Rasulullah s.a.w. "Kerana aku mendengar tuan berkata bagini dan begini, 'Dan kini aku berkata, 'Siapa yang kami serahkan tugas amal harus menyerahkan semuanya, sedikit atau banyak. Maka apa yang diberikan kepadanya boleh diambil dan yang tidak hendaklah ditinggalkan."

Sahabatku,
Akhirkata kata perlulah diperhatikan beberapa ciri-ciri di atas yang boleh mendidik kita untuk mengasah sikap wara'. Sikap wara' sebenarnya boleh menghampirkan diri kita dengan Allah s.w.t. dan melengkapkan kita dengan akhlak Islam dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.