Saturday, December 25, 2010

Salam Dari Kubur

Bismillahirrahmanirrahim…Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang.

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…  

Renungan bersama untuk kita semua


Wahai manusia,

Aku rumah terpencil,

Senangkan aku dengan membaca AL-QURAN..

Aku rumah yang GELAP,

Terangi aku dengan SOLAT MALAM..

Aku rumah BERDEBU,

Alaskan aku dengan AMAL SOLEH..

Aku sarang ULAR BERBISA,

Tangislah dengan ZIKRULLAH dan AIR MATA..

Aku tempat pertanyaan MUNKAR dan NAKIR,

Banyakkanlah olehmu SYAHADAH..

Salam dariku,

KUBURmu..


Wallahu a'lamu bi al-shawab......

(Di petik daripada tulisan Mohamad Zuhairi Abd Hadi) 

Wajah-wajah Manusia di Mahsyar.

Bismillahirrahmanirrahim…Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang.

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…  

Renungan bersama untuk kita semua

SELEPAS manusia dibangkitkan dari kubur masing-masing, mereka akan menuju ke Padang Mahsyar.




Al-Quran menjelaskan bahawa keadaan mereka ketika itu berbeza-beza. Ada yang berjalan kaki, berkenderaan dan ada juga berjalan menggunakan muka. Nikmat dan seksaan yang dihadapi adalah mengikut amal perbuatan ketika hidup di dunia.

Di Padang Mahsyar, tidak ada perlindungan yang diperoleh manusia kecuali perlindungan daripada Allah. 

Ketika itu, matahari terlalu hampir dengan kepala. Tidak hairanlah, banyak riwayat yang menceritakan keadaan ini. Ada manusia yang berpeluh kerana panasnya cahaya matahari. 

Ketika sedang menunggu saat pengadilan (Mizan), wajah golongan tidak beriman agak cemas, bermuka muram dan hitam.

Ini adalah antara beberapa peristiwa yang berlaku di akhirat kelak seperti mana yang banyak dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. 

Justeru, tidak siapa pun yang dapat melepaskan diri. Setiap orang tetap diadili dan segala-galanya bergantung kepada ketaatan dan kepatuhan kepada Allah ketika di dunia.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan daripada setiap umat segolongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, iaitu mereka dibahagi-bahagi (dalam kelompok-kelompok).” – (Surah an-Naml, ayat 83).

Abdul Wahhab as-Sya’rani dalam kitab Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi (ringkasan peringatan al-Qurtubi) menceritakan, pada suatu hari, Mu’adz Jabal bertanya kepada Rasulullah mengenai maksud firman Allah dalam surah An-Naba’ ayat 18, bermaksud: “Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok.”

Mendengar saja soalan itu lalu Baginda menangis dengan bercucuran air mata sambil bersabda: “Wahai Mu’adz, sesungguhnya engkau bertanyakan sesuatu perkara yang amat besar! Ada 10 macam umatku nanti yang akan dihalau ke Padang Mahsyar. Mereka itu semuanya sudah Allah tukarkan, tidak seperti mereka hidup di dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan sempit dan kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, pada hal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah sudah datang kepadamu ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamupun dilupakan”. – (Surah Taha, ayat 124 hingga 126).

Golongan itu adalah seperti berikut:

* Ditukar rupa menjadi wajah kera. Mereka itu adalah manusia yang suka mengumpat.

* Ditukar rupa menjadi wajah khinzir. Mereka adalah kalangan mereka yang suka memakan harta anak-anak yatim.

* Dihalau dalam keadaan terbalik, kakinya di atas dan kepala di bawah. Mereka itu adalah manusia yang suka memakan riba.

* Dihalau dalam keadaan buta dan dituntun (diiring). Mereka adalah daripada kalangan manusia yang curang dalam menerapkan hukum.

* Ditukar menjadi bisu dan tuli serta tidak berakal. Mereka itu adalah kalangan yang bangga dengan amalannya sendiri.

* Dihalau dalam keadaan mengunyah lidah sendiri, sedangkan lidah itu terjulur hingga ke paras dada dan mulutnya pula keluar nanah menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang mana ucapannya berlainan dengan perbuatannya.

* Ada manusia yang dihalau dalam keadaan terpotong kedua kaki dan tangan. Mereka itu terdiri daripada yang suka mengganggu jiran tetangga.

* Diiring ke Mahsyar dalam keadaan tersalib di pokok kurma neraka. Mereka itu adalah kalangan mereka yang suka berusaha mengajak orang ramai supaya membela pemerintah tidak jujur kepemimpinannya.

* Dikumpulkan dalam keadaan menggunakan pakaian yang panas. Mereka adalah manusia takbur, sombong dan bongkak.

Justeru, walaupun ketika berada di dunia dalam keadaan normal, namun golongan ini tetap ditukar Allah lantaran dosa yang dilakukan ketika di dunia.



Wallahu a'lamu bi al-shawab......

(Di petik daripada tulisan Mohamad Zuhairi Abd Hadi)

Friday, December 24, 2010

Siapakah Sahabat -sahabat Nabi S.A.W. yang diJamin Masuk Syurga.?

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang muslim dan orang beriman adalah bercita-cita untuk memasuki syurga Allah S.W.T., kerana kejayaan sebenar di dalam kehidupan di hari akhirat adalah  dapat memasuki syurga yang disediakan oleh Allah S.W.T seluas langit dan bumi. Allah S.W.T di dalam al-Quran telah menceritakan dengan jelas ciri-ciri ahli syurga dan sifat-sifat mereka. Dihuraikan lagi oleh Nabi S.A.W. dengan lebih jelas lagi melalui  hadis-hadis baginda S.A.W.

Terdapat satu hadis daripada Nabi S.A.W. menceritakan 10 orang sahabat-sahabat baginda yang dijamin untuk memasuki syurga. Sebagai pengajaran dan ikhtibar kita perlu mengambil contoh peribadi-peribadi mulia sahabat-sahabat baginda ini untuk melayakkan diri kita memasuku syurga Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 100.




Berikut ini adalah 10 orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang dijamin masuk syurga.

1. Abu Bakar Siddiq r.a.
Beliau adalah khalifah pertama sesudah wafatnya Rasulullah S.A.W. Selain itu Abu Bakar juga merupakan laki-laki pertama yang masuk Islam, pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga didalam Quran (Surah At-Taubah ayat ke-40) sebagaimana berikut yang bermaksud : “Jikalau tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seseorang dari dua orang (Rasulullah dan Abu Bakar) ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya:”Janganlah berduka cita, sesungguhya Allah bersama kita”.

Beliau dikenal sebagai sahabat pertama yang masuk Islam. Beliau  selalu membenarkan apa-apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. sebab itu beliau  digelar As Shiddiq, iaitu yang membenarkan. Gelaran ini diberikan padanya saat Rasul S.A.W selesai menyelesaikan Isra dan Mi’raj pada 27 Rajab.

Di saat orang-orang Quraish mentertawakan peristiwa itu, Abu Bakar tetap memenarkannya. Lebih dari itu, beliau berkata, “Andai ada yang lebih dari itu dan disampaikan oleh Rasul S.A.W, saya akan tetap membenarkannya,” kata beliau dengan tegas.

Dalam kehidupan seharian beliau dikenal sebagai orang yang paling rendah hati (tawaduk). Saat Rasul S.A.W meminta para sahabat menyumbangkan hartanya untuk kepentingan dakwah Islam, Abu Bakar memberikan seluruh hartanya. Dan ketika Rasul S.A.W bertanya apa yang ditinggalkannya untuk isteri dan anaknya, Abu Bakar menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasul-Nya yang menjadi penjaga diriku dan keluargaku.” Rasul pun memuji sikap tersebut.

Abu Bakar pun sering dipilih oleh Rasul S.A.W. untuk menggantikan baginda, termasuk menjadi imam solat kerana baginda   sakit. Bahkan, ketika Rasul S.A.W.  wafat para sahabat bersepakat untuk memilih Abu Bakar sebagai penggantinya.

Abu Bakar Siddiq r.a. meninggal dalam umur 63 tahun, dari beliau diriwayatkan 142 hadis.

2. Umar Bin Khatab r.a.
Beliau adalah khalifah ke-dua sesudah Abu Bakar, dan termasuk salah seorang yang sangat dikasihi oleh Nabi Muhammad S.A.W.  semasa hidupnya. Sebelum memeluk Islam, Beliau merupakan musuh yang paling ditakuti oleh kaum muslimin. Namun semenjak ia bersyahadat dihadapan Rasul (tahun keenam sesudah Muhammad diangkat sebagai Nabi Allah), ia menjadi salah satu benteng Islam yang mampu menyurutkan perlawanan kaum Quraish terhadap diri Nabi dan para sahabat. 

Sebelum masuk Islam dia dikenal sebagai lawan tanpa tanding. Musuh-musuhnya sering kali takut apabila  mengetahui yang akan dihadapi adalah Umar bin Khattab.

Semasa umat Islam masih sedikit nabi pernah berdoa agar Islam dikuatkan oleh salah satu dari dua Umar, iaitu Umar bin Abdul Muthalib (Abu Jahal) atau Umar bin Khattab. Ternyata Allah memberikan Umar bin Khattab sebagi karunia untuk umat Islam.

Beliau juga dikenal sebagai panglima perang kaum muslimin. Beliau sangat berani dan tegas. Bahkan, semasa dakwah Islam dilakukan secara sembunyi-sembunyi, beliau mencadangkan agar dakwah Islam disampaikan secara terbuka.
 
Di zaman kekhalifaannya, Islam berkembang seluas-luasnya dari timur hingga ke barat, kerajaan Persia dan Romawi Timur dapat ditaklukkannya dalam waktu hanya satu tahun. Beliau meninggal dalam umur 64 tahun kerana dibunuh, dikuburkan berdekatan dengan Abu Bakar dan Rasulullah dibekas rumah Aisyah yang sekarang terletak didalam masjid Nabawi di Madinah.

3. Usman Bin Affan r.a. 
Usman mendapatkan julukan Dzunnurayni (dua cahaya) kerana menikahi dua puteri nabi. Mereka adalah Ruqayyah dan Ummu Kultsum. Ia juga dikenal sebagai pakar ekonomi muslim pertama kerana perhatiannya yang besar terhadap masalah umat.

Saat kaum muslimin mengalami kesukaran untuk memperoleh air, setiba di Madinah Usman membeli telaga air milik seorang yahudi bernama Raumah seharga 20 ribu dirham. Selain itu, ia pun menjadi orang yang membeli tanah untuk perluasan masjid Nabawi. Hal ini menyebabkan umat Islam semakin ramai dan mudah untuk beribadah di masjid.

Khalifah ketiga setelah wafatnya Umar, pada pemerintahannyalah seluruh tulisan-tulisan wahyu yang pernah dicatat oleh sahabat semasa Rasul hidup dikumpulkan, kemudian disusun menurut susunan yang telah ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W.  sehingga menjadi sebuah kitab (suci) sebagaimana yang kita dapati sekarang. Beliau meninggal dalam umur 82 tahun (ada yang meriwayatkan 88 tahun)  kerana di bunuh dan dikuburkan di Baqi’.

4. Ali Bin Abi Thalib r.a.
Merupakan khalifah keempat, beliau terkenal dengan siasat perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Selain Umar bin Khatab, Ali bin Abi Thalib juga terkenal keberaniannya didalam peperangan. 

Beliau adalah genarasi muda pertama yang masuk Islam. Beliau dipilih oleh para sahabat  sebagai khalifah keempat menggantikan Usman bin Affan. Beliau dikenal pula sebagai pemuda berani, cerdik dan cergas. Beliau telah dipilih oleh Nabi S.A.W. untuk mengantikan baginda ditempat tidur baginda semasa baginda melaksanakan hijrah ke Madinah.

Ali bin Abu Talib adalah sepupu Nabi Muhammad S.A.W sekaligus menantunya. Beliau berkahwin dengan puteri Nabi S.A.W, Fatimah az Zahra. Dari perkahwinan mereka lahirlah cucu nabi, iaitu Hasan r.a. dan Husain r.a., kerana  kecerdasannya, Ali dipanggil sebagai  Bab Al ‘Ilm atau pintu ilmu.

Beliau sudah mengikuti Rasulullah S.A.W. sejak kecil dan hidup bersama baginda sampai Rasul diangkat menjadi Nabi hingga wafatnya. Ali Bin Abi Thalib meninggal dalam umur 64 tahun kerana dibunuh dan dikuburkan di Kufah, Irak sekarang.

5. Thalhah Bin Ubaidillah r.a.
Masuk Islam dengan perantaraan Abu Bakar Siddiq r.a, selalu aktif disetiap peperangan selain Perang Badar. Didalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Rasulullah S.A.W.  sehingga terhindar dari mata pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau. 

Beliau merupakan sahabat nabi yang berasal dari suku Quraisy. Nama lengkapnya adalah Thalhah bin Abdullah bin Usman bin Kaab bin Said.

Thalhah termasuk orang yang bijak, ulama Islam dari kaum Quraisy, dan termasuk delapan orang yang pertama masuk Islam.

Bersama Rasul beliau ikut di Perang Uhud, Perang Hunain, dan Perang Tabuk. Ia adalah perisai Rasulullah s.a.w.  Semasa berkecamuknya Perang Uhud, tentera Islam kocar-kacir. Ini terjadinya kerana  tidak patuh arahan Nabi S.A.W. untuk menjaga pertahanan di atas bukit. Akibatnya, kemenangan yang sudah di perolehi tetapi oleh kerana godaan dengan harta rampasan perang pertahanan menjadi longgar dan mudah dipecah belahkan oleh pihak musuh. Kesempatan itulah yang dimanfaatkan kafir Quraisy untuk menyerang umat Islam dari atas bukit yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid.

Dalam suasana genting ini Thalhah berusaha melindungi Rasulullah S.A.W dari senjata orang kafir hingga tangannya luka-luka. Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Thalhah dan Zubair, keduanya adalah tetanggaku di syurga.” (Hadis Riwayat Tirmidzi) 

“Siapa yang ingin melihat seorang syahid berjalan di muka bumi hendaklah ia melihat Thalhah bin Ubaidillah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
 
Thalhah bin Ubaidillah r.a. gugur dalam Perang Jamal dimasa pemerintahan Ali Bin Abi Thalib dalam usia 64 tahun, dan dimakamkan di Basrah.

6. Zubair Bin Awaam r.a.
Zubair bin Awwam adalah seorang pengawal Rasulullah S.A.W dan dikenal sebagai pahlawan yang gagah berani di medan perang. Beliau termasuk golongan yang pertama masuk Islam dan salah seorang dari enam sahabat nabi yang ditunjuk Umar untuk memilih penggantinya.

Ayahnya adalah Awwam bin Khuwailid yang kalah dalam perang Fijar. Sedangkan ibunya Shafiyah binti Abdul Muthalib bin Hisyam bin abdi Manaf, adalah ibu saudara Nabi S.A.W.

Isterinya, Asma binti Abu Bakar, adalah adik beradik dengan  isteri Nabi S.A.W, Aisyah binti Abu Bakar.

“Maka demi Tuhanmu mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan. Kemudian, mereka tidak merasa berkeberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah An-Nisa' [4] ayat 65) Beberapa ahli tafsir menyatakan bahwa ayat tersebut diturunkan berkenaan dengan sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Zubair bin Awwam.

Memeluk Islam juga melalui  Abu Bakar Siddiq r.a, ikut berhijrah sebanyak dua kali ke Habasyah dan mengikuti semua peperangan. Beliau pun gugur dalam perang Jamal dan dikuburkan di Basrah pada umur 64 tahun.

7. Sa’ad bin Abi Waqqas r.a.
Mengikuti Islam sejak umur 17 tahun dan mengikuti seluruh peperangan, pernah ditawan musuh lalu ditebus oleh Rasulullah S.A.W. dengan ke-dua  ibu bapaknya sendiri sewaktu perang Uhud.

Menurut beberapa ahli tafsir, Allah menurunkan al-Quran surat Luqman ayat 14 – 15 berkaitan dengan Sa’ad bin Abi Waqqash. Ayat ini memerintahkan umat manusia untuk berbuat baik kepada orang tua meskipun mereka tidak mahu menerima Islam.

Ayahnya adalah Malik bin Ahib dari bani Abdi Manaf. Ibunya adalah Himnah binti Sufyan bin Umayyah. Setelah ayahnya meninggal dunia, ibunya yang bersusah payah memberi nafkah dan mendidiknya bersama dengan saudaranya hingga datangnya Islam. Kemudian, mereka memilih jalan masing-masing. Sa’ad masuk Islam dan ibunya tetap menyembah berhala.

Ibunya berkata : “Ya Sa’ad, aku mendengar kau telah meninggalkan agama nenek moyangmu. Aku bersumpah tidak akan tinggal (serumah) denganmu lagi. Aku tidak akan makan dan minum hingga kau kafir terhadap agama Muhammad dan kembali kepada agama nenek moyangmu.” Sa'ad bin Abi Waqqas tetap dengan pendiriannya berpegang teguh dengan akidah Islam.

Meninggal dalam usia 70 tahun (ada yang meriwayatkan 82 tahun) dan dikuburkan di Baqi’.

8. Sa’id Bin Zaid r.a.
Sudah Islam sejak kecilnya, mengikuti semua peperangan kecuali Perang Badar. Beliau bersama Thalhah Bin Abdullah pernah diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W.  untuk mengentai-intai  gerakan musuh (Quraish). 

Nama lengkapnya adalah Sa’id bin Zaid bin Amru bin Nufail Al Quraisy Al Adawi. Beliau terkenal sebagai seorang sahabat yang gagah berani dan  cemerlang dalam peperangan. Beliau termasuk sahabat yang mula-mula masuk Islam. Beliau pula yang menjadi faktor keIslaman Umar bin Khattab.

Isterinya, Fatimah binti Khattab, merupakan saudara perempuan Umar. Sementara itu, Umar juga berkahwin dengan saudara perempuan Said, iaitu Atikah. Selain itu, Sa’id berkesempatan mengikuti beberapa pertempuran yang disertai nabi, kecuali Perang Badar. Beliau ikut dalam Perang Yarmuk, penaklukan negeri Syam dan sekitarnya, serta pengepungan kota Damaskus dan pembebasannya.
 
Meninggal dalam usia 70 tahun dikuburkan di Baqi’.

9. Abdurrahman Bin Auf r.a.
Memeluk Islam sejak kecilnya melalui Abu Bakar Siddiq dan mengikuti semua peperangan bersama Rasul. Turut berhijrah ke Habasyah sebanyak dua kali. 

Beliau adalah seorang dari sahabat nabi yang terkenal. Beliau  merupakan salah seorang dari delapan orang pertama (As Sabiqun al awwalun) yang menerima Islam, iaitu dua hari setelah Abu Bakar as Shiddiq. Nama lengkapnya adalah Abdurrahman bin Auf bin Abdul Auf bin Abdul Harits.

Beliau juga dikenal sebagai orang kaya yang dermawan. Beliau banyak mendermakan hartanya untuk kepentingan Islam dan memerdekakan banyak hamba sahaya. Nabi S.A.W bersada maksudnya :  “Aku melihat Abdurrahman masuk syurga dengan merangkak.” 

Mendengar berita gembira itu, ia langsung mendermakan satu kafilah dagang seraya berkata, “Kalau aku boleh  masuk syurga dengan berdiri, nescaya akan kulakukan.”

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :  “Abdurrahman bin Auf adalah orang terpercaya di langit dan orang terpercaya di bumi.” (Hadis Riwayat Harits bin Usamah)

Meninggal pada umur 72 tahun (ada yang meriwayatkan 75 tahun), dimakamkan di Baqi’.

10. Abu Ubaidah Amir Bin Jarrah r.a.
Masuk Islam bersama Usman bin Math’uun, turut berhijrah ke Habasyah pada fasa kedua dan mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah S.A.W.  

Beliau adalah seorang panglima perang yang perkasa dan kemenangan dan kejayaannya menjadi pembicaraan semua umat Islam. Beliau tidak merasa riak dan berbangga dengan pujian orang ramai terhadapnya dan menerjunkan dirinya ke dalam berbagai medan perang untuk mencari mati syahid. Dia juga seorang sahabat yang dapat dipercaya dan pernah dipilih oleh Rasulullah S.A.W menjadi guru di Najran.

Menurut beberapa ahli tafsir, surah al-Mujadalah ayat 22 diturunkan berkenaan dengan Abu Ubaidah bin Jarrah apabila beliau membunuh ayah kandungnya dalam Perang Badar. Ayahnya adalah pasukan kaum musyrikin. Apabila terjadi perangdi antara anak dan ayah saling berhadapan dan Abu Ubaidah berjaya mengalahkan ayahnya.
 
Meninggal pada tahun 18 H di Urdun (Syam) kerana penyakit , dan dimakamkan di Urdun yang sampai saat ini masih sering diziarahi oleh kaum muslimin.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita mencontohi peribadi unggul sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang telah dijamin masuk syurga seramai sepuluh orang, kerana Nabi S.A.W pernah bersabda bahawa sahabat-sahabat baginda adalah umpama bintang-bintang di langit dan sesiapa yang mengikutinya maka mereka tidak akan sesat. Begitulah mulianya sahabat-sahabat Nabi S.A.W yang telah di didik oleh baginda sendiri yang digelar oleh Sayyid Qutb sebagai "Genarasi al-Quran yang unik"

Empat Perkara yang Membahagiakan Orang Mukmin.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan rumah tangga iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Setiap manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupan. Tanpa kebahagiaan hidup manusia seolah-olah hilang keselesaan dan kesempurnaan. Nabi S.A.W.  menjelaskan bahawa ada empat perkara yang boleh membawa  kebahagiaan untuk orang mukmin iaitu 1. wanita yang baik . 2. tempat tinggal yang luas  3. jiran yang baik dan 4. kenderaan yang baik.
Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Wanita yang baik.

Wanita yang baik adalah wanita solehah yang memiliki ciri-ciri isteri dan ibu yang solehah.
Wanita solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah S.W.T., bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif  dan sentiasa menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiyyah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

Wanita solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

Wanita solehah bersedia menjadi ibu misali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan akidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah solehah di dalam rumah hingga menjadikan  "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiyyah.
 
Sabda Rasullah s.a.w: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

Wanita yang beragama sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana Allah berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi Tuhannya.

Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.

Isteri solehah adalah idaman setiap suami yang soleh. Bila suami memandangnya terasa sejuk hati suami dan terbina rasa kasih dan sayang. Bila suaminya diluar rumah teringat akan kebaikan akhlak isterinya dan layanan istimewa yang diterima dari isteri yang tercinta.

Isteri  yang solehah adalah wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan rukun-rukun Iman yang lain. Mempunyai akhlak yang mulia, hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan rumahtangga yang terbina adalah rumahtangga Islam (baitul Muslim). Semua masa dan waktunya dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

 Kedua : Tempat tinggal yang luas.

Tempat tinggal yang luas adalah rumah yang lapang dan selesa.
Pertama perlu diambil perhatian bahawa pembelian rumah hendaklah mengikut syariat Islam iaitu pembeliaan mengunakan pinjaman cara Islam samaada BBA atau murabahah.
Rumah yang dibeli dengan cara riba' akan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. kerana sistem riba' telah diharamkan oleh Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)
Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”

Rumah merupakan tempat pertama sesi pendidikan bermula sebelum masuknya kita ke alam persekolahan. Guru yang pertama adalah isteri kita sendiri sebab itulah wanita yang solehah merupakan asas dan tunjang utama dalam kebahagiaan anak adam kerana merekalah yang akan menjadi pendidik pertama kepada bakal-bakal da'i yang akan datang selepas kita. Kelahiran rumah yang lapang dan selesa ini akan memberi kemudahan dan ketenangan semasa proses didikan berjalan di rumah. Pendidikan kepada anak-anak khususnya, perlu kepada suasana yang tenteram dan harmoni. Dari suasana inilah yang akan membentuk jiwa dan akhlak mereka.

Bukan ini sahaja malahan suasana begini akan dapat mengisi ketenteraman jiwa kepada para suami setelah penat bekerja seharian suntuk mencari nafkah . Rumah yang lapang adalah rumah yang sempurna dari segi kedudukannya, kebersihannya dan kemudahan-kemudahan asas. Sebaik-baiknya eloklah seseorang itu membuat pelan rumah itu sendiri bagi menyusun sendiri struktur rumah antara ruang tamu, bilik dan sebagainya. Bilik-bilik yang asas adalah untuk ibu bapa sendiri, bilik untuk anak perempuan, bilik untuk anak lelaki, bilik pembantu rumah, bilik tetamu, bilik perpustakaan kecil dan bilik solat.

Untuk bilik perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan buku-buku dan majalah-majalah Islam untuk meningkatkan ilmu syara dan ilmu waqei (realiti). Dari segi kebersihan pula sentiasa diuruskan dengan sempurna. Tidak dibiarkan kotoran dan abuk-abuk begitu saja. Dari pandangan luarnya sudah cukup menerangkan sifat dan akhlak penghuninya. Di keliling rumah ditanami sedikit bunga sebagai perhiasan, dipotong mana-mana rumput yang
panjang dan dicat sekadarnya untuk memberi pandangan luar yang lebih elok.

Perhiasan yang mahal-mahal dan perabut yang mewah jika boleh dikurangkan kerana sifat seorang mukmin ia tidak suka kepada kemegahan dan pembaziran. Lebih baik wang yang berlebihan disimpan untuk pendidikan anak-anak. Segala alat-alat moden yang boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja-kerja rumah adalah perlu digunakan sepenuhnya bergantung kepada kemampuan masing-masing, kerana dengan ini akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan. Janganlah jadikan patung-patung manusia atau binatang menjadi perhiasan rumah. Jangan gantung gambar keluarga di dinding-dinding rumah. Malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah yang ada patung-patung makhluk yang bernyawa. Rumah yang lapang juga sentiasa bersedia untuk digunakan dalam rangka menjalankan aktiviti-aktiviti pengajian dan pendidikan Islam.

Rumah yang lapang dan selesa adalah penghuninya sentiasa membaca al-Quran, berzikir, mendirikan solat-solat  sunat dan jika berkemampuan panggil guru datang kerumah untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran dan membuat pengajian ilmu Islam. Rumah seperti ini akan menjadikan penghuninya sentiasa tenteram dan tenang hatinya kerana malaikat rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah tersebut.

Rumah yang baik juga sentiasa di datangi tetamu kerana tetamu yang hadir membawa rezeki dan bila tetamu balik dosa penghuni rumah itu akan di ampunkan oleh Allah S.W.T.
Nabi S.A.W. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya :  "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

"Wahai Ali ! Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada lukisannya atau patung atau orang yang menyakiti kedua orang tuanya atau rumah yang tidak pernah dikunjungi tetamu."

Ketiga : Jiran yang baik.

Islam menggariskan dengan jelas mengenai tatacara hidup dengan meletakkan akhlak dan adab sebagai panduan. Tanpa akhlak yang baik, kehidupan manusia menjadi kucar-kacir. Allah Swt telah mengutuskan Nabi Muhammad Saw sebagai model terbaik dan contoh akhlak yang terpuji kepada seluruh umat Islam.

Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. dan hari kiamat ialah mereka yang memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang tidak menjaga hak jiran dan tidak pula berbuat baik kepada jiran mereka, maka ia sebenarnya bukanlah orang yang benar-benar beriman.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Berdasarkan hadis di atas salah satu kewajipan seorang mukmin adalah menghormati jiran tetangganya. Jiran tetangga mendapat penghormatan yang besar di sisi Islam sehingga Nabi S.A.W. menyatakan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah menghormati jira tetanggannya. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup berjiran yang mufakat adalah asas keimanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

Islam memandang berat perihal menjaga hak jiran sehingga jiran itu boleh di anggap sebagai orang yang boleh mewarisi harta. Memuliakan jiran merupakan budi pekerti yang mulia dan terpuji. Menurut Imam Nawawi, jiran ialah mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dalam lingkungan jarak 40 buah rumah, samada dari kiri atau sebelah kanan, depan mahupun dari sebelah belakang. Dalam menghayati hak-hak jiran, Islam membahagikan jiran itu kepada tiga bahagian berdasarkan hadis Nabi Saw yang bermaksud :

" Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran dikalangan bukan Islam ".

 Keempat : Kenderaan yang baik.

Hidup di dalam dunia penuh cabaran dan cangih memiliki kenderaan adalah satu keperluan bukannya kemewahan. Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang dibeli secara tunai, jika tidak berkemampuan hendaklah dibeli dengan mengunakan sistem pinjaman cara Islam iaitu bebas daripada sistem riba'. Jenis dan kualiti kenderaan adalah bergantung kepada kemampuan kewangan kita. Carilah kenderaan yang berkualiti dan murah penyelengaraannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba’) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba’), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang sentiasa dijaga dengan baik dan di servis setiap kali habis tempuh perjalanan yang ditetapkan. Dipereksa tayar, bateri, lampu, brek, minyak hitam dan injen supaya kenderaan tersebut tidak membahayakan pemandu dan penumpangnya bila digunakan dijalan raya. Kita sering dengar kemalangan berlaku disebabkan kerosakkan brek atau tayar botak dan ianya akan membahayakan keselamatan terutama bila waktu hujan.

Selain pembelian pinjaman secara Islam , insuran untuk kenderaan juga perlulah diambil takaful (insuran Islam) supaya kita tidak terikat dengan riba' yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang akan digunakan untuk mencari rezeki halal, untuk solat berjemaah dimasjid dan kuliah agama dan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Kenderaan ini juga akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita gunakan kenderaan ini untuk jalan kebaikan dan ia tidak digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memiliki dan mencari empat kebahagiaan di dunia ini  seperti yang dinyatakan hadis di atas supaya dengan kebahagiaan yang kita perolehi di dunia sebenarnya ada kaitan dengan keimanan dan kebahagiaan kita dihari akhirat, kerana dunia adalah jambatan menuju ke hari akhirat.

Wanita yang baik,  rumah yang luas , jiran yang baik dan kenderaan yang baik adalah wasilah menuju ke hari akhirat. Jika ianya baik maka ianya memudahkan proses kita bertemu Allah S.W.T. Di dalam empat perkara ini yang paling penting sekali adalah perkara pertama iaitu wanita yang baik lagi solehah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah. Para suami akan berada di dalam keadaan yang paling bahagia apabila memiliki isteri solehah yang bersedia bersama-sama susah hidup di dunia ini iaitu bersifat reda dan qanaah untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.

Thursday, December 23, 2010

Tanggungjawab Orang Mukmin Memberi Nasihat Untuk Lima Perkara.

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Abu Hurairah pernah mendengar Rasulullah S.A.W. berwasiat kepadanya yang bermaksud :
“Siapakah yang sudi mengambil dari diriku lima wasiat ini, lalu mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang mahu mengamalkannya?”

Abu Hurairah segera menyambut kata-kata Rasulullah ini dengan ucapan, “Saya, ya Rasulullah”

Maka baginda menjabat tangan Abu Hurairah dan menghitung lima kali seraya berkata,
yang bermaksud :

1.Jagalah dirimu dari perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.

2.Berpuas hatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.

3.Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi seorang mukmin sejati .

4.Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.

5.Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.

(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah S.A.W.  sering memberi panduan yang berharga sedemikian rupa. Semuanya disesuaikan dengan permintaan para sahabat atau sesuai dengan kadar potensi orang yang baginda ajak berbicara.

Nasihat atau wasiat yang baginda sampaikan walaupun ringkas namun padat serta suatu yang praktikal. Apa sahaja yang baginda ungkapkan sentiasa terbukti kebenarannya dalam sepanjang sejarah kehidupan manusia.

Setiap muslim dan muslimah yang baik bukan mereka yang mengasingkan diri dari masyarakat sekitarnya, sehingga mereka mewujudkan satu kelompok yang terasing. Muslim dan muslimah tidak berhak menuduh masyarakat sebagai masyarakat yang jahil  sebelum mereka cuba untuk memperbaikinya.

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
“Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyarakat dan sabar atas gangguannya lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dalam masyarakat dan tidak sabar terhadap gangguan mereka.”

Oleh itu sebagaimana lima nasihat dari hadis Nabi S.A.W. di atas, memberikan arahan kepada kita untuk hidup dalam masyarakat. Nasihat ini sangat penting, berharga dan berguna ketika berinteraksi dengan masyarakat. Nasihat ini mestilah diamalkan serta disampaikan kepada saudara sesama muslim dimana jua mereka berada.
 
Pertama : Menjaga diri dari perbuatan yang haram.

Kunci pergaulan Islam di tengah masyarakat adalah memelihara diri dari perkara yang di haramkan Allah. Kaum muslimin boleh melakukan apa saja perkara selagimana perkara itu tidak haram atau syubhat. Perkara syubhat juga perlu dijauhi kerena ia akan menyeret kepada yang haram. Apabila perkara yang haram telah ditinggalkan, yang syubhat pun dihindari, sanggup melawan hawa nafsu serta membentengi diri dari tipu daya syaitan maka itulah jalan menuju takwa. Jalan yang akan mempertemukan kita bersama dengan orang-orang soleh yang di janjikan pelbagai bentuk kenikmatan oleh Allah S.W.T.
 
Kedua : Puas dan reda dengan kurnia yang dilimpahkan Allah padanya :

Wasiat kedua ini menjelaskan kepada kita bahawa hakikat ‘kaya’. Kaya bukanlah bererti melimpah ruahnya harta, memiliki rumah yang tersergam indah, perabut mewah, kenderaan hebat atau perhiasan yang dipakai oleh seseorang. Tetapi kekayaan yang hakiki terletak pada lubuk hati. Ia merupakan ketenteraman dan ketenangan jiwa kerana puas dengan segenap kurnia yang diberikan Allah S.W.T. Sehingga ia tidak memburu dan rakus terhadap harta lalu menghalalkan segala cara bagi memperolehinya.

Walaubagaimanapun apabila kita bersyukur diatas rezeki yang di kurniakan Allah, nescaya Allah akan tambah lagi rezeki kepada  kita dengan berlipatkali ganda dan kekayaan yang di miliki akan membawa kita lebih hampir dengan Allah S.W.T.

Kekayaan juga bermakna apabila kita memiliki nikmat Iman dan Islam yang mampu menyelamatkan kita dari seksa neraka, tentulah ianya tak mungkin dapat dinilai dan diukur dengan nilai-nilai kebendaan.
 
Ketiga : Berbuat baik kepada jiran tetangga.

Rasulullah S.A.W.  memerintahkan kita agar berbuat baik terhadap orang yang paling hampir rumahnya iaitu jiran. Jiran yang paling berhak mendapat perlakuan baik kita. Maka ajaran Islam mengatur masaalah rumah tangga secara terperinci termasuk kewajipan berinteraksi dengan baik terhadap jiran tetangga.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Keempat : Mencintai Orang Lain.

Prinsip dasar ajaran Islam adalah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Mencintai orang lain kerana Allah termasuk dalam tuntutan Islam. Mencintai orang lain yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W. adalah sesama muslim sebagaimana yang disabdakan baginda dalam hadis lain yang bermaksud :
“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sama sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala terhadap orang yang bukan Islam, tidak boleh ada hubungan cinta selain daripada seruan dakwah ke jalan Allah. Sebagai pendakwah kita perlulah berlemah lembut kepada mereka bagi tujuan memperlihatkan kemuliaan akhlak Islam.
 
Kelima : Tidak banyak bergurau .

Keceriaan dan kegembiraan merupakan tuntutan hidup yang sihat dan bahagia. Islam menganjurkan umatnya untuk bersikap riang gembira, tidak kaku dan sentiasa bersikap optimis. Rasulullah S.A.W.  mengatakan bahawa senyum terhadap saudara seakidah merupakan perbuatan makruf dan tergolong dalam ibadah.

Sabda Rasulullah S.A.W.  maksudnya :
“Janganlah kamu meremehkan yang makruf meskipun hanya dengan memberi senyuman kepada saudaramu.”

“Senyum terhadap saudaramu adalah sedekah.”

Namun hal ini bukan bererti kita harus banyak bergurau. Gurauan adalah ucapan yang diada-adakan yang sering kali terjerumus pada perlecehan dan seumpamanya. Apabila perlecehan ini berkaitan dengan masaalan agama dan perkara yang berkaitan maka kita akan berdosa dan berhak mendapat kemurkaan Allah. Manakala jika gurauan itu terseleweng lalu melecehkan sesama manusia maka ia juga berdosa kerana mencemarkan kehormatan orang lain.

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
“Allah melaknat orang-orang yang membuat orang lain ketawa.”

Sahabat yang dimuliakan,
Inilah lima pedoman dalam bergaul dalam masyarakat. Marilah sama-sama kita amalkan dalam kehidupan kita. Setiap muslim yang mengamalkannya tentu akan berjaya di dunia dan di akhirat sebagaimana yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W. seperti hadis diatas. Di dunia ia akan menjadi muslim sejati yang di cintai sesama insan sedang di akhirat ia akan terhindar dari kemurkaan Allah.

Monday, December 20, 2010

Orang Mukmin Sentiasa Bersabar dengan Musibah dan Reda dengan Ketentuan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai manusia biasa dan sebagai hamba Allah s.w.t hidup kita di dunia ini tidak akan sunyi dengan kesusahan, dugaan,  ujian, musibah dan kedukaan. Samaada musibah ini berlaku ke atas diri kita sendiri, ahli keluarga, jiran tetangga , sahabat-handai maupun di dalam masyarakat .

Tetapi orang mukmin sentiasa bersikap positif dan reda dengan qada dan qadar daripada Allah S.W.T.

Setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah S.W.T.dianggap sebagai baik kerana mengandungi hikmah yang mungkin tidak dapat dijangka oleh akan fikiran mausia. Dan hanya Allah S.W.T. sahaja yang Maha Mengetahu segala hikmah di atas setiap kejadian dan ketentuan-Nya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ; "Inna lillahi wa inna illahi rajiun" (sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali). Merekalah yang memperoleh ampuna dan rahmat dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-Baqarah ayat 155-157)  

Kalimat "Inna lillahi wa inna illahi rajiun" dinamakan kalimat "istirja" (penyataan kembali kepada Allah). Disunatkan menyebutnya ketika ditimpa musibah baik besar atau kecil.     

Sahabat yang dimuliakan,
Sifat sabar adalah sifat orang mukmin yang sentiasa hati dan jiwanya berhubung dengan  Allah S.W.T. dan apabila sesuatu yang mendukacitakan berlaku atas dirinya lidahnya terus menyebut "Inna lillahi wa inna illahi rajiun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali.)

"….Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat". 
(Surah al-Hijr ayat 56)

Orang mukmin yang sabar dan  yakin dengan janji-janji Allah sebenarnya mempunyai tujuh prinsip yang menyebabkan dia tidak kecewa dan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T.:

Pertama : Kita mesti yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi kami tenang menerima apa saja ketentuan Allah keatas diri kami. Kita yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untuk kita. Sekalipun pada zahirnya  nampak tidak baik.

Kedua : Kita hendaklah yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana. Tiada sesiapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada sesiapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah kita reda dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya.

Ketiga: Kita hendaklah yakin bahawa apa yang kita hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan dalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan kita sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untuk kita keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Dengan itu kita tidak dihimpit kerisauan dan keluh kesah.

Keempat : Kita hendaklah yakin bahawa jika kita tidak sabar maka apalah gunanya kita merintih? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan, kerisauan, keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tak lena, makan tak selera dan ibadah tak sempurna.

Kelima : Adalah tidak mustahil kita  akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang dialami sekarang. Lantaran itu kita hendaklah bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang kita terima ini. Bukankah pepatah ada menyebut ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan berasa ringan kesusahan yang ditanggungnya?'.

Keenam : Musibah yang menimpa diri kita bukan pada agama. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah S.A.W. berdoa maksudnya : “ Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan musibah kami atas agama kami”

Ketujuh : Dan yang akhir, sesungguhnya kita sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud “…Dan demikianlah Kami tukar gantikan hari-hari itu di antara manusia…”
(Surah Ali- Imran ayat 140)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita berpegang kepada tujuh prinsip di atas semoga hati kita sentiasa reda dan tidak keluh kesah atas apa saja dugaan dan cabaran di dalam kehidupan ini. Ingatlah hidup kita hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi . Apabila kita bersabar maka Allah S.W.T. telah berjanji di dalam al-Quran yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
(Surah az-Zumar, ayat10).

Kenapa Hati Kita Masih Terhijab?

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah s.w.t dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah s.w.t dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah.

Ini di firmankan Allah s.w.t. yang bermaksud : "Apabila disebut nama Allah,gementarlah hati-hati mereka".
(Surah Al Anfaal ayat 2)

Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para orang muttaqin, muhlisin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah.

Ini juga ada difirmankan oleh Allah s.w.t maksudnya :

"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperti orang yang buta (mengetahui) ? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran."
(Surah Ar Ra’d ayat 19)

Firman Allah s.w.t.lagi maksudnya :
"Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang orang yang lalai"
(Surah An Nahl ayat 108)

Dari Umar bin Al Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Cap penutup hati tergantung di kaki Arasy maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan-Nya dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati ini lalu hati para pelanggar dikenakan cap ini".

Bila hati sudah buta, sudah dikunci mati oleh Allah s.w.t., tidak dapat lagilah ia mengenal Allah. Begitulah hati orang-orang kafir dan munaflk yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Walaupun kita sebagai umat Islam, ada juga dikalangan kita hatinya  masih buta. Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah . Orang yang tidak takutkan Allah . ialah orang yang tidak kenal siapa Allah . Tidak kenal Allah  ialah lantaran kerana hati telah buta.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dan berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya."

Sabda baginda lagi yang maksudnya:
"Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."

Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakkal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi. Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.

Firman Allah s.w.t.maksudnya :
"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."
(Surah Al Baqarah: 10)

Mereka akan terseksa di dunia dan di akhirat. Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang. Di akhirat lagi pedih. Antara penyakit hati yang Allah s.w.t. maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, cinta dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.

Sahabat yang dimuliakan,
Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruhanggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati".
(Hadis Riwayat Bukhuri dan Muslim)

Masaalah besar penyakit manusia adalah penyakit hati.Bila hatinya rosak , kotor, sakit dan berselaput maka akan rosaklah seluruh anggota manusia yang lain.

Terdapat beberapa sebab kenapa hati boleh terhijab . Perkara-perkara tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat :

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
"Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan".

Memakan makanan yang haram bukan sahaja hati menjadi terhijab tetapi do'a seseorang juga tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul dengan firman-Nya (seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud) : Wahai sekalian rasul, makanlah makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Firman-nya lagi : Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik yang telah kami beri rezeki kepada kamu. Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:

1. Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.

2.Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).

3. Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.

4.Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal). Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi dan tipu.

5.Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain. Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan ‘batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.

Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan “HALAL” dan “ISLAM” untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab orang bukan Islam telah menyalahgunakan perkataan  "HALAL” dan “ISLAM” itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja. Mereka tidak langsung takut pada Allah s.w.t. kerana mereka bukan orang beriman dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya.

Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.

Rasulullah s.a.w. maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".

Allah s.w.t. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.

Rasulullah s.a.w.  selalu berlapar perut. Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perut baginda dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong. Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang. Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.

Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya. Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk.

Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka. Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, “Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah s.w.t. yang memberikan rezeki.”

Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina. Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.

Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan.

Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk. Ini adalah amalan Sayidina Umar. Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk. Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.
(contoh sayur dan ikan, atau sayur dan ayam dll jangan campur ayam, daging, telor , udang dan sotong dalam satu hidangan)

Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap. Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.

Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.

Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.

Allah s.w.t menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah s.w.t menyuruh wanita beriman  supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".
(Surah an-Nur ayat 30)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..."
(Surah an-Nur ayat 31)

Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah. Hati itu tidak lagi takut pada Allah s.w.t., malah hilang cinta dan rindu pada Allah s.w.t

Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa. Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program hiburan di TV, melihat filem-filem dalam CD, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu rock, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa akhirat.

Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran.

Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.

Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:

1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah. Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.

2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, tahlil dan zikrullah dan elakkan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.

3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.

4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati.

Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah, hati orang Mukmin ialah hati yang sihat dan ceria manakala hati orang yang fasiq (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa itu akan mengundang resah dalam jiwa. Hati yang terhijab tidak akan merasai kebesaran Allah s.w.t. dan tidak akan bersalah apabila melakukan dosa. Oleh itu marilah kita sama-sama perbaiki hati-hati kita supaya sentiasa sihat, ceria dan sejahtera dan tidak terhijab. Kerana hati yang sejahtera dan salim akan dijemput oleh Allah s.w.t untuk memasuki Syurga-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku”
(Surah Al-Fajr ayat 27-30)