Thursday, May 28, 2015

Mampukan Kita Melepasi Tujuh Sekatan Di Titian Sirat?

Sesungguhnya pemeriksaan amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan meniti.

Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi SAW : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” (Hadis Riwayat Muslim)

Orang Mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal soleh yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya.

Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang memimpin umat lain.

Dari Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” (Hadis Riwayat Bukhari)

Tahap kelajuan seseorang Mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, semakin laju menuju titian itu.

Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang As-Sirat: “…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuh sekatan tersebut adalah seperti berikut :

Sekatan Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain.

Apabila seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah ia boleh bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan aqidah ini terdapat syirik kepada Allah SWT dan telah rosak aqidahnya maka seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan ia akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.

Firman Allah SWT yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka sungguh ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat 48)

Sekatan Kedua : Mengenai solat fardu.

Soalat fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun tidak. Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas waktunya. Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya akan diperiksa satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di periksa solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat fardu tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )

Sekatan Ketiga : Mengenai puasa Ramadan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.

Jika puasa Ramadannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.

Sekatan Keempat : Mengenai zakat.

Jika ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya cukup nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan perjalanan ke sekatan kelima.

Terdapat hadis Nabi SAW yang menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu membayar zakat. Sabda baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya,“Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahwa dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)

Sekatan Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.

Sekiranya semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak akan diterima oleh Allah SWT

Manakala jumhur ( kebanyakan ) `ulama` berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan pada akhir tahun ke-9 Hijriah setelah turunnya firman Allah SWT :

ولله Űčلى Ű§Ù„Ù†Ű§Űł Ű­ŰŹ Ű§Ù„ŰšÙŠŰȘ من ۧ۳ŰȘ۷ۧŰč Ű§Ù„ÙŠÙ‡ ŰłŰšÙŠÙ„Ű§ ومن ÙƒÙŰ± ÙŰ„Ù† Ű§Ù„Ù„Ù‡ Űșني Űčن Ű§Ù„ŰčŰ§Ù„Ù…ÙŠÙ†

“ Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan haji , bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya . Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya AllahMaha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Surah Ali `Imran ayat 97)

Sekatan Keenam : Mengenai wuduk dan mandi hadas besar.

Jika diperiksa wuduknya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wuduknya tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.

Nabi SW bersabda maksudnya, “Sewaktu seorang muslim atau mukmin itu berwuduk, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Dikala ia membasuh kedua tangannya, maka terusirlah semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan air terakhir. Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka bersihlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah).

Sekatan Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan hubungan terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim yang dilakukan kepada orang lain).

Imam al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa adab anak-anak kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada menderhakai kedua ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga atau sesama Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan sebagainya.Pemimpin yang menzalimi rakyat dan membebankan dengan cukai yang tak sepatutnya akan tersekat di sekatan ke tujuh ini.

Tuesday, May 26, 2015

Multy Level Marketing Menurut Syariat Islam

Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. 

Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. 

Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus. 

Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;

1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli

2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.

3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhai

Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).

Syarat-syarat bagi akad perniagaan

Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. 

Di antara syarat-syarat tersebut ialah;

1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.

2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.

3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.

4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram)

5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.

6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.

Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan

Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;

a) Membantu kepada perbuatan maksiat

b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan

c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan

d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad. (Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)

Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;

(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.

(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah SAW. menegah daripada jualan secara gharar” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah SAW.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh penipuan ialah;

( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan at-Taghrir iaitu memperdaya.

(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.

(d) Mengurangi timbangan

(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah SAW.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)

Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.

Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.

Syarat-syarat yuran keahlian 

Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan dari peserta.

2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan dijalankan oleh syarikat.

3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit akan dikembalikan.

4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.

Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).

Bonus 

Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang, baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;

“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. (Surah Yusuf ayat  72)

Menurut ulamak, keharusan al-Ji'alah terikat dengan beberapa syarat, antaranya;

1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki keahlian untuk melakukan akad.

2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.

3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)

Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji'alah tersebut, maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di atas.

Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn. Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai ganjaran/upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam melakukan perkara-perkara tersebut;

1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai

2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat

3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.

4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan, perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan terbaru syarikat.

Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh Syarak tadi.

Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus 

Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak- dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW.; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang hak (yakni hukum Allah)” (Hadis Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah r.a.).

Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah al-Ji'alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai mana-mana orang.

Jauhi “Sistem Piramid” 

Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru. 

Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah; 

1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan.

2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.

3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.

4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.

5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.

6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.

(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.

Harga barangan/produk 

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;

a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.

b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.

Wallahu A’lam.

(Di petik daripada tulisan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil)

Rujukan; 

1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr. Nazih Hamad, ter. Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami, Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam al-‘Arabi, Kaherah, Mesir (1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar al-Fikr, Damsyiq, Syria (1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar al-Manar, Mesir (1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif Mualamat Islam, Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)

Hayati Lima Pesanan Saidina Ali k.w Mengenai Ilmu dan Harta

Orang bertanya kepadan Saidina Ali k.w  kenapa beliau mencintai ilmu lebih dari harta.

Jawab Saidina Ali k.w :

Pertama : Ilmu itu jika diberi kepada orang lain, akan bertambah, manakala harta jika diberi akan menyusut.

Kedua : Ilmu dapat memelihara diri kita, manakala kita pula terpaksa melindungi harta.

Ketiga : Makin banyak ilmu hati semakin tenang, sedang semakin banyak harta semakin berat menjaganya.

Keempat : Orang yang menyimpan ilmu tanpa bimbang didatangi pencuri, sedang banyak menyimpan harta sentiasa cemas dan curiga kedatangan orang.

Kelima : Orang yang berilmu mempunyai kenalan luhur, sedang si punya banyak harta mempunyai ramai lawan dan musuh.

Saidina Ali k.w berpesan lagi :

Hendaklah engkau berlindung kepada Allah dalam semua urusan, kerana dengan itu engkau mendapat perlindungan yang kukuh, kuat dan mulia.

Harta kekayaan tidak akan kekal menemanimu, dan kamu pula tidak akan dikekalkan oleh hartamu. Salah satu akan musnah terlebih dahulu, samaada kamu atau hartamu. 

Ketahuilah kamu diciptakan untuk akhirat, tidak untuk dunia. Kamu dihidupkan untuk dimatikan, tidak untuk dikekalkan. Dengan itu sesungguhnya berada di tempat sementara inilah kamu berbekal untuk menuju akhirat yang pasti.

Engkau selalu dikejar maut, yang tiada siapa terlepas siapapun yang cuba lari daripadanya. Dengan itu hendaklah waspada jangan tertangkap maut ketika berbuat jahat, atau telah merancang berbuat jahat lalu menemui maut maka binasalah engkau.

Oleh itu utamakanlah ilmu daripada harta tetapi jika kalian berharta maka jadikanlah harta kalian untuk menuntut ilmu, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan jadilanlah hartamu untuk sedekah jariah maka harta tersebut akan membantu kalian walaupun kalain berada dialam barzakh, jangan jadikan harta sebagai hamba nanti kalain akan binasa.

Perbezaan Di Antara Masjid dan Surau.

Para ulama’ telah menetapkan beberapa pengenalan ( takrif ) mengenai hal tersebut sebagaimana berikut ini :

1- MASJID : ialah satu tempat solat tertentu yang bukan menjadi milik orang-perseorangan, ataupun milik sesebuah badan / syarikat, yakni ianya merupakan satu tempat yang sudah pun diwaqafkan untuk dijadikan tempat solat awam.

2- MUSOLLA : ialah satu tempat solat orang ramai , yang tempatnya masih lagi menjadi milik individu ataupun badan tertentu, yakni ianya belum lagi diwaqafkan untuk solat bagi orang-orang awam. “ Musolla “ ini adalah perkataan Arab ( sebagaimana juga perkataan “ MASJID “ ) yang biasanya kita ertikan sebagai : “ Tempat Sembahyang “.

3- SURAU : ialah perkataan berbahsa Melayu. Saudara-saudara kita di sebelah utara Semenanjung Malaysia menggelarnya sebagai “ MANAQSAH “ , dan bagi masyarakat Pantai Timur pula menggelarnya sebagai “ BALASOH “. Surau juga seperti masjid dimana ianya diwaqafkan untuk kegunaan masyarakat awam, tetapi perbezaannya dengan masjid ialah di surau tidak didirikan syiar Solat Jumaat , akan tetapi ianya didirikan di tempat yang digelar sebagai “ MASJID “.

4- MASJID : ianya juga ialah satu nama umum bagi mana-mana tempat yang disitu didirikan solat, samada ianya milik orang perseorangan ataupun sudah diwaqafkan untuk kegunaan awam, ataupun ianya adalah milik sesebuah badan ataupun syarikat mahupun sebaliknya.

Walhal, Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah tidak pula menetapkan sama-sekali apakah yang disebut “ MASJID “ , dan apakah pula “ MUSOLLA “ itu. Oleh sebab itu dalam perkara yang seperti ini perlu kita timbang-timbangkan dan banding-bandingkan dengan keterangan-keterangan di dalam agama kita yang mulia ini .

Marilah kita cuba timbang-timbangkan dan banding-bandingkan dengan keterangan-keterangan daripada Hadist-Hadist Rasulullah s.a.w ;

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda :

( I ) - HADIS PERTAMA :

Daripada Abu Said Al-Khudry , beliau berkata : (( “ Rasulullah SAW pernah bersabda : Bumi itu keseluruhannya adalah MASJID , KECUALI kawasan bilik air / tandas dan kawasan perkuburan “ )) ~ Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal rh – didalam musnadnya : Baqi Musnad Al-Muktsirin : 11, 483.

( II ) - HADIS KEDUA :

Hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah r.a : Pernah Rasulullah SAW bersabda : “….Maka sesungguhnya aku tidak halalkan masjid bagi wanita yang haidh dan orang-orang yang berjunub “. ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud di dalam Sunanya : Kitab At-Toharah : 201.

PERBINCANGAN MENGENAI HADIS-HADIS DI ATAS :

Di dalam Sirah ( Kisah Perjalanan Hidup ) Rasulullah SAW sendiri dinyatakan bahawa, pada awalnya ( asalnya ) rumah Baginda Rasulullah SAW sendiri adalah di sebelah Masjid An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah. Namun, setelah diperluaskan beberapa kali Masjid An-Nabawi itu, maka rumah Baginda Rasulullah SAW sendiri terkena dan termasuk di dalam kawasan Masjid yang mulia itu. Sirah juga membuktikan bahawa Maqam Rasulullah SAW itu juga pada awalnya ( asalnya ) adalah bilik Baginda SAW, yang mana sekarang maqam itu juga termasuk di dalam kawasan ( ruang dalaman ) bagi Masjid An-Nabawi Asy-Syarif.

Jadi kalau kita berpegang dengan hadis yang menyatakan bahawa seluruh bumi ini adalah MASJID, maka sudah tentu rumah Baginda SAW itu juga adalah masjid. Walhal sebenarnya tidak begitu, kerana kalau kita pegang hadis itu secara “ harfiah “ ( keterangan secara zahir ), maka sudah tentu isteri-isteri Baginda SAW yang juga merupakan Ibu-Ibu bagi orang-orang Islam yang suci itu kesemuanya TIDAK PATUT berada di dalam rumah baginda SAW ketika di dalam keadaan “ tidak suci “ , kerana tatkala itu juga mereka turut berada di dalam Masjid An-Nabawi. Namun realitinya, hadis-hadis Rasulullah SAW dan sirah sendiri tidak pernah ada yang menunjukkan bahawa isteri-isteri Baginda SAW  yang suci-murni itu meninggalkan rumah Baginda SAW  ketika mereka didatangi “ waktu tidak suci “ !.

Dan begitulah juga, andainya kita berpegang kepada keumuman hadis yang menjelaskan bahawa seluruh bumi ini adalah masjid , maka sudah tentu akan menyebabkan kesukaran bagi wanita-wanita yang sedang haidh dan juga mereka yang berjunub. Ke mana mereka hendal pergi kerana kesemua bumi ini difahami sebagai “ masjid “ ?. Ini sudah tentu bertentangan dengan tujuan Islam itu diturunkan Allah Ta’ala iaitu bersifat : MEMUDAHKAN . BUKANNYA MENYUKARKAN !.

Oleh kerana itu, tidak boleh kita berpegang dengan keumuman hadis yang menyifatkan bahawa seluruh bumi ini adalah masjid ( kecuali tandas-tandas dan perkuburan ). Yang jelas, yang dimaksudkan dengan masjid adalah sebagaimana di dalam di dalam takrif 1 , dan bukannya sebagaimana di dalam takrif ke-4.

MASALAH WANITA HAID DI DALAM SURAU :

Sebagaimana dijelaskan, perkataan surau tiada di dalam istilah Bahasa Arab. Oleh kerana itu, ianya perlulah difahami menurut ‘uruf ( kebiasaan ) masyarakat kita. Apatalah lagi ‘uruf ini juga merupakan salah-satu daripada sumber-sumber perundangan Islam.

Masyarakat kita biasanya membezakan bahawa MASJID : Ialah satu tempat umum untuk didirikan solat jemaah dan Solat Jumaat . Manakala SURAU pula tidak didirikan di dalamnya Solat Jumaat.

Walaupun begitu , ada juga masjid-masjid kecil ( kebiasaannya di kampung-kampung ) yang sudah tidak lagi mengadakan Solat Jumaat kerana adanya Masjid Besar yang berhampiran dengan beberapa buah kampung itu yang mampu menampung dan menyatukan penduduk beberapa buah kampung berdekatan untuk mengadakan Solat Jumaat di situ. Masjid Besar seperti ini dikenali sebagai : “ MASJID JAMIK “. Digelar sebagai “ JAMIK “ kerana makna asalnya di dalam Bahasa Arab bermaksud : “ Yang Menyatukan “. Digelar juga sebagai “ JAMIK “ kerana di situlah didirikan Solat Jumaat.

Jadi di sini sudah jelas adanya PERBEZAAN DI ANTARA SURAU DENGAN MASJID , dari sudut didirikan Solat Jumaat di dalamnya !.

AKAN TETAPI, Surau pula sama dengan masjid daripada sudut : KEDUA-DUANYA ADALAH DIWAQAFKAN KEPADA MASYARAKAT AWAM UNTUK DIDIRIKAN SOLAT BERJEMAAH.

Merujuk kepada ‘uruf yang berlaku di kalangan masyarakat kita , maka : SEBAHAGIAN BESAR ASHABUS-SAMAHAH MUFTI-MUFTI KITA, TUAN-TUAN GURU KITA, PARA ULAMA’ KITA telah menyatakan :

1 – Wanita-wanita yang haid boleh memasuki surau, tetapi haram memasuki masjid.

2 – Di dalam masjid boleh didirikan solat sunat Tahiyatul-Masjid, tetapi tidak pula di surau dan di tempat lain. .

Namun begitu, ada juga di kalangan beberapa ulama’ di Nusantara ini yang membantah kenyataan di atas dengan hujah-hujah :

1 – Bagaimana wanita-wanita yang sedang haidh boleh memasuki surau, tetapi tidak pula ke dalam masjid, walhal surau dan masjid itu kedua-duanya adalah tempat umum yang diwakafkan untuk didirikan solat berjemaah ?.

2 – Jika di dalam masjid kita boleh mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid , maka mengapa pula tidak boleh di surau-surau walhal kedua-duanya itu juga adalah tempat umum yang diwaqafkan untuk didirikan solat berjemah ?.

PANDANGAN SAYA :

Perselisihan pendapat ini berlaku kerana tiadanya satu panduan yang tepat daripada Baginda Rasulullah SAW mengenai “ Perbezaan Di Antara Masjid Dengan Surau “ . Lantaran itu semua hukum-hakam yang berkaitan dengan perbezaan di antara kedua-dua tempat sembahyang itu lahir daripada keputusan yang dicedok dan diperbahaskan daripada sudut-sudut tinjauan dan perbahasan di atas.

Menurut pandangan saya : Lebih baik kita berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh sebahagian besar ( majoriti ) ulama’ mengenai perbezaan di antara Masjid dengan Surau dan hukum-hakam yang berkaitan dengan kedua-duanya kerana , keputusan yang diambil oleh majoriti ulama’ LEBIH HAMPIR KEPADA KEBENARAN DAN LEBIH SELAMAT DARIPADA KESILAPAN berbanding dengan keputusan sebahagian kecil ( minoriti ) para ulama’.

Kita juga menasihatkan agar masyarakat awam tidak masuk campur di dalam perkara-perkara khilafiyah ( yang diperselisihkan ) di kalangan ulama’ memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan ilmu untuk memahami setiap hujah dan sudut pandangan para ulama’ yang berselisih pendapat itu.

Kita juga bimbang, andainya masyarakat awam yang tidak mempunyai kemampuan ilmu yang kental ini “ cuba-cuba “ masuk ke dalam “ arus-perbincangan “ dan “ titik-perselisihan “ di kalangan ulama’ ini, mereka pula yang akan menjadi “ pening “ dan “ bingung “ yang akhirnya mereka akan mula mencemuh ulama’ itu dan ulama’ ini, ataupun mereka sendiri akan dipermainkan oleh Golongan Yahudi dan Kristian yang suka melihat umat Islam ini “ tenggelam “ di dalam “ perkara-perkara khilafiyah seperti ini “.

Akhir kata, saya lebih cenderung andainya saudari yang bertanya berpegang dengan apa yang telah diputuskan oleh golongan majoriti ulama’ di atas !. Wallahu a'lam.

Monday, May 25, 2015

Solat Tahajud Adalah Amalan Orang Mukmin.

“Tahajud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajud dikerjakan dua rekaat.

1. Berdoa Sebelum Memulakan Solat Tahajud.

Dari Ibnu Abbas r.a : Apabila Rasulullah SAW  bangun tengah malam hendak solat tahajjud, Nabi SAW membaca : 

Wahai Allah.. Untuk-Mulah segala puji. Engkau penanggung langit dan bumi beserta isinya. Untuk-Mulah segala puji. 

Penguasa langit dan bumi dan segala isinya. Untuk-Mulah segala puji ; 

Cahaya langit dan bumi. Untuk-Mulah segala puji. 

Engkau Maha Benar, janji-Mu Maha Benar, menemui Engkau (di akhirat) Maha Benar, syurga Maha Benar, neraka Maha Benar, 

Para Nabi Maha Benar dan Muhammad Sallallaahu ‘Alaihi Wassalam Maha Benar dan hari kiamat Maha Benar. 

Wahai Allah..Aku pasrah kepada-Mu dan dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku menyerah dan kepada Engkau aku kembali; dan kerana (mempertahankan agama) Engkau aku bermusuhan dan kepada Engkau aku meminta hukum. 

Oleh  itu ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terakhir, ampunilah apa yang ku rahsiakan mahupun yang ku nyatakan. 

Engkaulah yang mendahulukan dan yang mengemudiankan, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan di tangan Engkau ). 

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 0581)

2. Bangun Di Waktu 1/3 Akhir  Malam.

Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda, “Allah Tabaaraka Wa Ta’aala (Allah yang Maha Suci lagi Tinggi) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. 

Dia (Allah) berfirman : ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia.” 

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 0602)

3. Kebaikan Tahajud Menurut Al-Quran.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)