Saturday, July 16, 2011

Berdoa di Malam Nisfu Syaaban Mustajab di Sisi Allah SWT

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban) adalah salah satu malam yang mustajab doa. Umat Islam digalakkan pada malam Nisfu Syaaban banyakkan berdoa dan memohon keampunan disisi Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)

Hadis di atas merupakan hadis yang sahih dari Rasulullah SAW berkenaan fadhilat Nisfu Syaaban.

Berdasarkan hadis di atas hanya dua golongan manusia sahaja yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT iaitu :

Pertama : Orang yang syirik kepada Allah SWT.

Kedua : Orang yang bermusuhan iaitu yang memutuskan silaturahim.

Huraiannya :  

Pertama : Orang yang syirik kepada Allah SWT.

Dosa yang paling besar disisi Allah SWT. adalah syirik kepada-Nya.  Allah SWT. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)

Para sahabat Rasulullah SAW keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rasulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab, "Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar nasihat Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).

Syirik besar (akbar) adalah menyekutukan Allah dengan yang lain. Misalnya dalam agama Kristian ada tuhan anak, tuhan emak dan tuhan bapa. Semua agama penyembah berhala, yang menjadikan patung-patung berhala sebagai perantaraan dengan Allah SWT. dan menganggap dewa-dewa mempunyai kuasa seperti Tuhan. Mempercayai dan meyakini bahawa jin-jin dan syaitan mempunyai kuasa yang boleh mudaratkan manusia dan meminta pertolongan kepadanya. Termasuk syirik besar (akbar) juga meyakini undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan lebih adil daripada undang-undang ciptaan Allah SWT dan menganggap undang-undang ciptaan Allah SWT sudah ketingalan zaman.

Sekiranya seseorang telah melakukan syirik maka perlulah dia kembali mengucapkan dua kalimah syahadah dan bertaubat kepada Allah SWT barulah dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT.

Kedua : Orang yang bermusuhan iaitu yang memutuskan silaturahim.

Perlu diingat bahawa kita tidak boleh memutuskan silaturahim kerana dengan memutuskan silaturahim itu boleh menyebabkan mendapat kutukan dan laknat Allah Subhanahu Wata'ala serta tidak akan dimasukkan ke dalam syurga, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya  : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Riwayat Al-Imam Muslim)

Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim dalam berkeluarga dan bermasyarakat.

Begitulah juga dalam menghubungkan silaturahim ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyuruh seorang sahabat untuk tidak memutuskan hubungan silaturahim walaupun ia dizalimi atau disakiti oleh saudaranya itu, sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim : Bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : "Sesungguhnya saya mempunyai keluarga dan saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya dan saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya dan saya memaafkan mereka tetapi mereka berlaku zalim terhadap saya. Bolehkah saya buat sebagaimana yang mereka buat?"

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : "Tidak boleh dan jika kamu buat yang demikian bererti kamu juga telah memutuskan silaturahim dengan mereka. Tetapi bersikap mulialah terhadap mereka dan teruskanlah menghubungkan silaturahim dengan mereka kerana sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa bersama kamu selagi kamu berbuat yang demikian".

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang maksudnya :
"Kalau kamu tidak mematuhi perintah maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya".

Oleh itu sesiapa sahaja yang memutuskan silaturahim di malam Nisfu Syaaban doa-doanya tidak diterima oleh Allah SWT. Dari itu mana-mana perselisihan dan pergaduhan yang telah berlaku maka perlulah dipulihkan semula dan hubungkanlah balik silaturahim yang terputus tanda kita mengharapkan reda dan pertolongan Allah SWT.

Sahabat yang di muliakan,
Marilah sama-sama kita pergunakan kesempatan dimalam Nisfu Syaaban ini untuk kita bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT semoga Dia mengkabulkan doa dan hajat kita untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
 
Menyedut pendapat Imam asy-Syafiie dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: 'Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
 
Mintalah kepada Allah SWT sebanyak-banyak-nya samaada yang bersangkutan perkara duniawi dan ukhrawi kerana Dia sahaja akan mengkabulkan doa-doa kita.

Tiga Golongan Yang Akan Memasuki Neraka Jahanam 7 Kali Umur Dunia

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan keadaan di neraka terdapat ramai kaum wanita di neraka dan wanita mendapat berbagai-bagai seksaan disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan ketika di dunia.

Bagi wanita yang menjadi isteri hanya empat syarat untuk mereka ke syurga. Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Wanita tidak perlu keluar berjihad atau berperang, cukup sekadar mengerjakan haji atau umrah bagi yang cukup syaratnya. Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur."

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : ” Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.”

Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?”

Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. "

Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? “

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama”

Dalam hadis yang lain dari Ali bin Abi Talib r.a. : Aku dengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Tiga golongan dari umatku akan mengisi nereka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-

1. Orang yang gemuk tapi kurus

2. Orang yang berpakaian tetapi telanjang

3. Orang yang alim tapi jahil"

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa 3 golongan manusia yang akan meneriama seksaan di Neraka Jahanam selama 7 kali umur dunia ini. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui berapa juta tahun umur dunia ini daripada mula-mula penciptaan-Nya hingga ke berlaku hari kiamat .

Huraian untuk 3 golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Orang yang gemuk tapi kurus

Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat. Kenapakah wanita dikatakan kurang beribadat?

Ramai wanita yang meninggalkan solat terutama diakhir habisnya haid. Wanita kurang ambil perhatian sebahagiannya tidak begitu prihatin. Contoh bagi wanita yang bekerja dipejabat dan habis darah haidnya jam 3 petang biasanya dia tidak akan mandi hadas dipejabat dan dia akan mandi hadas apabila  balik kerumah, hakikat sebenarnya dia telah meninggalkan solat fardu yang wajib. Wanita juga tidak mengambil berat bab solat ketika kesebukkan dalam majlis kenduri-kendara.

Begitu juga dengan puasa Ramadan yang ditingalkan semasa haid atau nifas, apabila melebihi tahun berikutnya maka disamping puasa wajib dibayar dan dikenakan fidyah, tetapi ramai wanita tidak mengambil berat tentang fidyah yang wajib ditunaikan.

Sebahagian pula wanita yang berkemapuan masih menagguh-nangguhkan kewajipan menunaikan fadu haji, dia lebih suka menghabiskan waktu cuti untuk melancung .

Kedua : Orang yang berpakaian tetapi telanjang

Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama. Ditafsirkan juga wanita yang sudah lengkap menutup aurat tetapi masih tidak taat pada agama seperti wanita yg sudah elok menutup aurat tetapi kain pakaiannya masih nipis, jarang atau ketat sehingga menampakkan bentuk badan mereka dan menampakkan perhiasan didada mereka. Mereka ini seolah-olah tiada berpakaian (bertelanjang).

Sesuailah dengan hadis Nabi SAW yang mengatakan bahawa wanita berpakain seksi tidak mencium bau syurga .Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Lelaki yang tangan mereka menggenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukuli orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan berlenggak lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang bak punuk onta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian. ” (Hadis Riwayat Muslim)

Syarat-syarat pakaian menutup aurat bagi wanita :
Pada dasarnya seluruh bahan, model dan bentuk pakaian boleh dipakai, asalkan memenuhi syarat-syarat berikut

1. Menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan telapak tangan.

2. Tidak tipis dan tidak jarang.

3. Longgar dan tidak memperlihatkan lekuk-lekuk dan bentuk tubuh (tidak
ketat)

4. Bukan pakaian lelaki atau menyerupai pakaian lelaki.

5. Tidak berwarna-warni dan bermotif terlalu menjolok mata.Sebab pakaian yang menjolok mata  akan mengundang perhatian laki-laki.

Ketiga : Orang yang alim tapi jahil.

Orang yang alim tapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

Syarat untuk layak disebut sebagai ulama adalah takutkan Allah. Walaupun seorang itu alim yang faqih sekalipun, namun apabila tidak ada takwa, disisi Allah dia tidak layak disebut ulama walaupun manusia seluruhnya memanggilnya ulama.

Takut kepada Allah bagi seorang ulama ada dalam beberapa hal. Antaranya, mengeluarkan pandangan atau fatwa benar-benar kerana Allah dan untuk kepentingan Islam, bukan pandangan atau fatwa kerana takutkan individu-individu tertentu atau kelompok-kelompok tertentu atau untuk menagih sesuatu habuan dari sesiapa.

Selain itu, takut pada Allah bagi seorang ulama adalah sentiasa hidup dalam keadaan amanah kepada ilmu dengan cara beramal dengan ilmunya dan memperjuangkan kebenaran ilmu tersebut agak manusia benar-benar menerimanya sebagai panduan kehidupan.

Sekiranya seseorang ulama itu sanggup menghalalkan yang diharamkan Allah SWT atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah SWT atau membisu sahaja walaupun kemungkaran dilakukan oleh umarak di hadapan matanya maka ulama seperti ini amat dibenci oleh Allah SWT inilah yang dikatakan 'orang alim tetapi jahil'

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita menginsafkan diri kita dan janganlah melakukan sesuatu yang mendatangkan dosa kepada Allah SWT. Berbuatlah amal soleh sebanyak-banyaknya semoga kita menjadi orang mukmin yang sentiasa diredai dan dirahmati oleh Allah SWT. Kita diberikan pilihan oleh Allah SWT untuk memilih jalan yang lurus atau jalan yang bengkuk. Jalan yang lurus adalah jalan ke syurga sedangkan jalan yang bengkuk adalah jalan menuju neraka. Orang yang cerdik pasti memilih jalan ke syurga.

Thursday, July 14, 2011

Penyakit-penyakit Hati dan Lima Penawar Untuk Mengubatinya

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ

 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.
Nabi SAW  bersabda maksudnya :"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." 
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir
 
Hati yang sejahtera dipanggil juga sebagai jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Tuhan ikhtiraf sebagai hamba-Nya dan layak memperolehi ganjaran syurga-Nya di akhirat nanti.
Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah SWT;
Ű§Ù„َّŰ°ِينَ ŰąÙ…َنُÙˆŰ§ وَŰȘَŰ·ْمَŰŠِنُّ قُلُÙˆŰšُهُمْ ŰšِŰ°ِكْ۱ِ Ű§Ù„Ù„َّهِ ŰŁَلَۧ ŰšِŰ°ِكْ۱ِ Ű§Ù„Ù„َّهِ ŰȘَŰ·ْمَŰŠِنُّ Ű§Ù„ْقُلُÙˆŰšُ
Maksudnya; "Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."(Surah al-Ra'd ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW :

Ù‚Ű§Ù„ Ű±ŰłÙˆÙ„ Ű§Ù„Ù„Ù‡ Ű”Ù„Ù‰ Ű§Ù„Ù„Ù‡ Űčليه ÙˆŰłÙ„Ù… Űčۏۚۧ Ù„ŰŁÙ…Ű± Ű§Ù„Ù…Ű€Ù…Ù† Ű„Ù† ŰŁÙ…Ű±Ù‡ كله ŰźÙŠŰ± Ű„Ù† ۣ۔ۧۚŰȘه ۳۱ۧۥ ŰŽÙƒŰ± ÙÙƒŰ§Ù† ŰźÙŠŰ±Ű§ له ÙˆŰ„Ù† ۣ۔ۧۚŰȘه ۶۱ۧۥ ۔ۚ۱ ÙˆÙƒŰ§Ù† ŰźÙŠŰ±Ű§ له ÙˆÙ„ÙŠŰł Ű°Ù„Ùƒ Ù„ŰŁŰ­ŰŻ Ű„Ù„Ű§ Ù„Ù„Ù…Ű€Ù…Ù†.
 
Maksudnya; "Sungguh menghairankan urusan orang beriman, semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman." (Hadis Riwayat Muslim)
 
Sebaliknya orang yang hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.
Penyakit hati ialah sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh dibahagikan kepada dua bahagian;
 
1. Penyakit hati terhadap Allah.
2. Penyakit hati terhadap manusia.
 
Antara penyakit hati terhadap Allah :

1. Lalai dalam beribadah
2. Lalai dari mengingati Allah
3. Ragu-ragu terhadap dengan Allah
4. Tidak ikhlas dengan Allah
5. Tidak takut pada ancaman Allah
6. Tidak harap pada rahmat Allah
7. Tidak redha akan takdir Allah
8. Tidak puas dengan pemberian Allah
9. Tidak sabar atas ujian Allah
10.Tidak syukur atas nikmat Allah
11.Tidak terasa diawasi Allah
12.Tidak terasa hebatnya Allah
13.Tidak rindu dan cinta dengan Allah
14.Tidak tawakal pada Allah
15.Tidak rindu pada Syurga dan tidak takut pada Neraka
16.Cintakan dunia.
17.Penakut (takut pada selain Allah)
18.Ujub
19.Riak
20.Sukakan pujian dan kemasyhuran
 
Antara penyakit hati terhadap manusia :
 
1. Benci membenci
2. Gembira atas kesusahan orang lain.
3. Dukacita atas kejayaan orang lain.
4. Harap keburukan terhadap orang lain.
5. Tidak mau minta maaf dan tidak memaafkan orang lain
6. Hasad dengki
7. Dendam
8. Bakhil
9. Buruk sangka
10.Tidak bertolak ansur
11.Tidak bertimbang rasa
12.Rasa Berat Tulang,Tidak tolong-menolong
13.Tamak
14.Degil dan keras hati
15.Mementingkan diri sendiri
16.Sombong
17.Tidak sabar dengan ragam manusia
18.Memandang hina kepada seseorang
19.Riak
20.Ujub
21.Rasa diri bersih dan suci.
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk memiliki hati yang sejahtera dan tenang maka ianya perlu kepada penawarnya. Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli makrifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada lima :

Pertama : Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya.

Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah  ramai di kalangan umat Islam yang membaca al-Quran tetapi melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kekuatan besar dari sentuhan Al-Quran ini dirasakan benar oleh para sahabat Rasulullah SAW kerana memang mereka menerima Al-Quran ini dengan segenap hati, pikiran dan kemauan mereka.

Seperti yang diriwayatkan oleh Ath-Thobroni dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin Amr bin Ash bahwa ia berkata : Ketika turun surah Az-Zalzalah, maka serentak Abu Bakar yang sedang duduk waktu itu menangis.

Maka Rasulullah SAW  pun menghampirinya dan bertanya, “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abu Bakar?”.

"Surah inilah yang membuat aku menangis”.

Maka Rasulullah menenangkan dengan sabdanya :“Jika kalian tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka itu melakukan salah dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni mereka.”

Maka sangat tepat ungkapan Dr. Yusuf Al-Qaradlawi yang menegaskan bahawa:“Al-Quran adalah “roh Rabbani” kekuatan Rabbani yang akan mampu menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati. Sebagaimana Al-Quran juga undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa secara kolektif.”

Kedua : Mengosongkan perut.

Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW. sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.

Kata Imam Shafie : "Perut kita terbahagi kepada tiga iaitu sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi udara."

Jika keseimbangan antara ketiga-tiganya tidak di capai, maka kita akan menjadi malas untuk beribadat ataupun untuk bekerja. Apabila perut kurang diisi dengan makanan, maka kita menjadi rajin dan ringan tulang untuk menambahkan ibadah kita. Tidak hairanlah jika kita dapat menggandakan amalan kita pada bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain.

Ketiga : Bangun bersolat malam.

Ramai orang boleh bangun malam tetapi bangun kerana untuk qada hajat atau kerana anak menangis, atau kerana ingin melihat perlawanan bola sepak, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau dua rakaat, memang sangat berat.

Solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat muakkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah SAW. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Keempat : Bermunajat dan berdoa kepada Allah pada waktu sahur.

Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sahur sahaja sebelum berpuasa dalam bulan Ramadan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.  (Surah al-Zaariyaat ayat15-18)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :"Allah SWT. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Duduk di majlis orang-orang soleh.

Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang soleh tentu menenangkan hati dan jiwa.

Firman Allah SWT. maksudnya :“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Az-Zariyat ayat 55)

Sabda Nabi SAW. maksudnya : “Sesungguhnya para malaikat mengepakkan sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi).

Hadis yang lain sabda Nabi SAW. maksudnya : "Seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu niscaya Allah akan mudahkan baginya jalan menuju Syurga "(Hadis Sahih Riwayat Al Jami)

"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga". (Hasid Riwayat Muslim).

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.”(Hadis Riwayat Bukhari)

“Siapa yang mati ketika menuntu ilmu, untuk menobat dan memperkasakan Islam maka jarak antaranya dengan para nabi di syurga kelak adalah sekadar satu tingkat sahaja.”(Hadis Riwayat  ad-Darini)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada penyakit-penyakit hati dan amalkan lima penawar atau petua untuk memulihkan hati-hati kita supaya ianya sejahtera dan sihat daripada segala penyakit . Jika kita biarkan hati kita yang sedang sakit dan tidak di cari penawarnya dikhuatiri hati yang sakit ini akan terus menjadi parah dan payah untuk diubati. Syarat untuk memasuki syurga Allah hati itu mestilah hati yang bersih, sihat dan sejahtera.

Sebagaimana firman Allah SWT. yang bermaksud :"Wahai mereka yang berjiwa mutmainnah (tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) reda dan diredai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah Al-Fajr ayat 27-30).

Wednesday, July 13, 2011

Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Rasulullah SAW

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah, "ialah orang yang takbur." (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Berdasarkan hadis di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat ciri-ciri orang yang dikasihi dan dibenci oleh Rasulullah SAW. Ciri-ciri tersebut adalah sepaerti berikut :

Pertama : Orang yang paling dikasihi oleh Nabi SAW dan paling dekat tempat duduknya dengan baginda di hari akhirat adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Kedua : Orang yang paling dibenci dan paling jauh tempat duduknya dengan Nabi SAW adalah :

1. Banyak cakap perkara sia-sia.

2. Berlagak angkuh dan sombong.

3. Merasa bangga dengan kesombongan.

Huraiannya :

Pertama : Orang yang paling dikasihi oleh Nabi SAW dan paling dekat tempat duduknya dengan baginda di hari akhirat adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Islam mengajar umatnya untuk berakhlak mulia dan bergaul secara sopan santun dengan manusia. Sopan santun dalam pergaulan tidak mengenal dinding atau tembok pemisah kerana sifat tersebut adalah bersifat universal samaada dengan muslim atau bukan muslim. Demikian juga sikap saling bermusuhan, benci membenci dan saling memfitnah adalah merupakan akhlak yang tidak baik.

Dalam beberapa hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Jangan kamu saling membenci, jangan saling menghasut. Jangan belakang membelakangi, Jangan memutuskan hubungan. Jadilah hamba Allah yang bersaudara dan tidak boleh seorang muslim memulau sesama muslim lebih daripada tiga hari.”
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih)

Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran bahawa akhlak yang baik dan mulia itu adalah saling bantu membantu kepada golongan fakir miskin dan sifat suka memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya yang bermaksud : “Janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat (nya), orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan, serta berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampuni kamu? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nur ayat 22)

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman. Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.

Dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, "Rasulullah SAW. ditanya tentang (amalan) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga. Baginda menjawab, 'Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).' Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke neraka. Baginda menjawab, 'Mulut dan kemaluan'." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kedua : Orang yang paling dibenci dan paling jauh tempat duduknya dengan Nabi SAW adalah :

1. Banyak cakap perkara sia-sia.

Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia , mengumpat dan  membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja.” (Hadis riwayat Bukhari)

Seseorang insan dianggap beriman kepada Allah SWT dan juga hari akhirat jika dia dapat memelihara lidah daripada perkara batil dan dilarang Islam. Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan serta mengelak perkara yang melalaikan.

2. Berlagak angkuh dan sombong.

Dari Abdullah Bin Mas'ud r.a., dari Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Baginda bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (Hadis Riwayat Muslim)

Imam An-Nawawi rahimahullah memberi komentar tentang hadis ini, "Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran". (Syarah Shahih Muslim 2/269).

3. Merasa bangga dengan kesombongan.

Nabi SAW menyatakan bahawa merasa bangga dengan kesombongan adalah orang yang takbur. Sifat  takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin.

Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.

Takbur batin pula adalah hati dan jiwanya menganggap dialah orang yang lebih baik dan mulia, berharta, berilmu pengetahuan sedangkan orang lain darjatnya lebih rendah daripada dirinya sendiri. Sifat takbur ini adalah sifat iblis laknatullah yang menganggap penciptaan dirinya (daripada api) lebih mulia daripada Adam (daripada tanah).

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita  mendidik diri kita menjadi mukmin yang berakhlak mulia dan menghiasi diri dengan pakaian takwa  dan sifat mahmudah. Kerana sifat ini adalah sifat ahli syurga yang akan dekat dengan Nabi SAW di hari akhirat. Dan jauhilah diri kita dengan amalan yang sia-sia dan sifat sombong , bongkak, takbur dan iri hati. Kerana semua sifat-sifat mazmumah ini adalah pewaris ahli neraka. Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dipilih menjadi hamba-hamba-Nya yang di kasih dan diredai-Nya.

Tuesday, July 12, 2011

Wacana Tarbawi Sheikh Jum'ah Amin Abd Aziz Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam yang ingin kita hayati ini tidak boleh dipisahkan dengan jemaah. Kerana jemaah adalah sunah Rasulullah SAW. Daripada jemaah yang dibentuk oleh Nabi SAW  inilah yang telah melahirkan Daulah Islamiah Madinah.

Oleh itu apabila kita berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT di dalam Daulah Islamiah (negara Islam) maka perlu dimulakan dengan jemaah. Tidak mungkin Islam yang lengkap dan sempurna hanya dilakukan oleh individu-individu saja tanpa wujud satu barisan kepimpinan jemaah yang lengkap dan sempurna.

Untuk tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya keperluan kepada jemaah Islam pihak Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menjemput seorang ulama muktabar dunia yang terkenal Sheikh Jum'ah Amin Abd Aziz Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin memberi wacana tarbawi bertajuk "Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya Dalam Membangunkan Masyarakat" diadakan diDewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bermula jam 8.00 malam hingga 11.30 malam 11.07.2011.

Permulaannya, Syeikh Jum’ah menekankan bahawa Islam tidak akan tertegak dengan usaha individu, bahkan Islam tertegak dengan usaha secara kolektif iaitu dengan jamaah. Tanpa usaha secara kolektif, tidak akan akan tertegak syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Tambahnya, Islam bukanlah milik individu atau jamaah, tetapi Islam adalah milik setiap Muslim yang wajib diperjuangkan dan dibela oleh mereka.

Katanya, apa yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj perubahannya yang tersendiri berasaskan aqidah, syariat dan akhlak antaranya memperjuangkan hubungan kasih sayang dan ukhuwwah sesama ahli supaya kasih sayang itu tersebar kepada masyarakat dan seluruh alam.

Seterusnya, Ikhwan Muslimin berjuang melahirkan umat yang berkorban dalam menegakkan Islam. Menurutnya dalam perjuangan Islam, sudah pasti ada halangan dan cabarannya daripada musuh Islam, yang memerlukan insan yang ditarbiah dan mampu menghadapi dan mengatasi halangan daripada golongan tersebut.

Beliau menegaskan di hadapan ribuan hadirin bahawa tarbiah yang dibawa oleh Ikhwan Muslimin kepada masyarakat adalah tarbiah ke arah tercapainya pengisian dua kalimah syahadah iaitu jalan yang lurus, bertitik tolak dengan cahaya berupa petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, dan penghujungnya berakhir dengan syurga. Perubahan masyarakat yang ingin dilakukan mestilah dengan menggunakan pendekatan lemah lembut dan berakhlak mulia. Beliau menyebut kata hikmah Saiyidina Ali r.a. iaitu “Sesiapa yang lembut kata-katanya, maka wajiblah mencintainya.

Beliau menyorot kembali bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Al-Banna di Mesir. Katanya, keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu amat menyedihkan ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.

Tambahan pula, kata beliau, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hassan Al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin lantaran untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam  dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.


Menurutnya, antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu mengubah diri sebelum mengubah masyarakat. Mereka yang mampu mengubah dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu mengubah masyarakat di sekelilingnya.

Untuk mengubah ummah katanya, perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah swt dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah swt.
“Jadilah kamu hamba (Allah swt) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesannya.
Beliau mengambil contoh program perubahan diri yang dilakukan oleh Ikhwan iaitu Katibah, iaitu malam kerohanian melalui mendengar tazkirah (peringatan) pada malamnya, pada paginya qiyamullail dengan solat tahajjud, berzikir  dan membaca Al-Quran dengan penekanan tarbiah individu sebagai elemen perubahan.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah swt dengan membaca Al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Syeikh Jum’ah mengambil kata hikmah Saiyidina Abu Bakr r.a. kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.

Beliau menyeru hadirin supaya rapatkan diri kepada Allah dengan solat apabila ada masalah. Beliau juga menasihatkan supaya sebelum merancang dan berbincang apa-apa program dakwah, hendaklah berwuduk dan melakukan solat hajat supaya pendakwah itu ingat bahawa Allah sentiasa bersama mereka. Setiap masalah dan ujian dalam dakwah akan mudah dihadapi dengan mendirikan solat.

Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Syeikh Jum’ah turut berpesan supaya jangan kedekut masa dengan Allah swt dalam perjuangan Islam, jika kedekut, nescaya Allah akan ganti dengan kaum lain yang akan memperjuangkannya. Antara tanda Allah swt mencintai kita ialah Allah swt sentiasa memberi taufik kepada kita untuk taat kepada-Nya.

Beliau juga mengingatkan usaha para orientalis yang cuba memesongkan makna sebenar ayat-ayat Al-Quran daripada hati umat Islam supaya lahir individu Muslim yang cacat kefahamannya terhadap Islam yang sebenar. Menurutnya, orientalis cuba memomokkan bahawa isi kandungan Al-Quran adalah isi lama, tiada yang baru.

Beliau menambah, dalam membangunkan masyarakat, pentingnya pendakwah menunjukkan akhlak yang mulia yang merupakan kurniaan daripada Allah swt. Allah kurniakan akhlak seperti rezeki, berbeza antara satu sama lain. Dengan akhlak yang mulia, pendakwah itu akan dicintai oleh Allah SWT.

“Allah SWT memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah SWT tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya,” akhir pesanan beliau.


Sahabat yang dimuliakan,
Tarbiah dalam jemaah akan melahirkan kasih sayang kerana Allah SWT semata-mata seperti dalam hadis Nabi SAW di bawah :

Dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :

"Seorang yang keluar untuk mengunjungi saudaranya dikampung yang lain dan Allah mengutus seorang malaikat untuk menunggunya di perjalanan. (Apabila orang itu sampai ketempat dimana malaikat berada) Malaikat bertanya :
'Kemana engkau hendak pergi? 'Dia menjawab : 'Aku pergi kepada saudaraku dikampung ini'.

Malaikat bertanya :' Adakah dia meminjamkan kamu sesuatu yang mana kamu hendak mengambilnya kembali?'

Orang itu menjawab :' Tidak. Kedatanganku semata-mata kerana aku mencintainya kerana Allah'.

Malaikat berkata :' Aku adalah pesuruh Allah yang dihantar kepada engkau untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintainya semata-mata kerana Allah."

(Hadis Riwayat Muslim).

Salah satu golongan yang akan mendapat naungan Allah  SWT di Padang Mahsyar nanti adalah dua saudara yang bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT.

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
”Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan 'arashNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau perempuan sedangkan ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan ". (Surah an-Nahl ayat  97)


Kesimpulan yang dapat kita ambil pengajaran daripada wancana tarbawi yang disampaikan oleh Sheikh Jum'ah Amin adalah seperti berikut :

1. Dakwah dan manhaj Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam As-Syahid Hasan al-Banna adalah berdasarkan sirah dan sunah Rasulullah SAW. iaitu bermula dengan asas iman dan akidah kepada Allah SWT.

2. Islam dan hukum-hukumnya tidak akan mampu dihayati sepenuhnya di dalam masyarakat apabila tidak dimulakan dengan pembentukan jemaah. Setakat Islam dalam bentuk individu tidak akan mampu untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya. Hidup bersama-sama jemaah adalah satu kefarduan.

3. Iman dan ukuwah Islamiah tidak dapat dipisahkan, tidak ada iman tanpa ukhwah dan tidak ada ukhwah tanpa iman. Jemaah Ikhwan Muslimin amat menekankan asas iman dan pembentukan ukhwah (persaudaraan Islam).

4. Kerja-kerja dakwah dan mengajak manusia kepada Islam adalah kewajipan setiap muslim dan tugas ini tidak boleh ditinggalkan kerana tugas ini adalah amanah daripada Allah SWT dan sunah Nabi-Nya.

Akhirkata marilah sama-sama kita menghayati kata-kata Imam As Syahid Hasan al-Banna : "Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda, aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah.."

Sunday, July 10, 2011

Sembilan Ciri-ciri Wanita Solehah Yang Perlu di Hayati

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kecantikan  dan kemanisan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya atau pada kemanjaannya, tetapi ianya terletak pada akhlak dan budi pekertinya. Daya penarik wanita solehah itu, bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,

dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu, bukan dan tidak sama sekali tetapi daya tarikannya terletak pada iman dan takwanya kepada Allah S.W.T.

Wanita solehah tidak berbangga dengan kecantikan luaran, kerana satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman, tetapi yang di jaga dan pelihara adalah kecantikan dalaman , agar diri nya bersih dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi. Wanita solehah tidak berbangga dengan ilmu duniawi yang dikuasainya, kerana  ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darinya. Wanita solehah tidak pula berdukacita atas kekurangan dirinya kerana  ada lagi insan yang lebih malang darinya.

Wanita solehah sentiasa menjaga iman dan takwanya dan membuangkan segala sifat-sifat keji yang ada di dalam hatinya. Wanita solehah merasakan bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Wanita solehah sentiasa menghiasi dirinya dengan akhlak Islam, menutup aurat, berhati-hati di dalam percakapan dan pergaulannya supaya terhindar daripada kemurkaan Allah. Wanita solehah sentiasa menjaga lidahnya daripada mengumpat, memfitnah dan berkata dusta. Wanita  solehah melakukan ketaatan kepada Allah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah

Di manakah kecantika wanita solehah sebenarnya? Terdapat sembilan keistimewaan wanita solehah yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita yang lain. Dengan menghayati sembilan  perkara wanita solehah akan memiliki kecantikan yang sebenar.

Pertama : Menundukkan pandangan (ghadhdul bashar)  kepada yang bukan mahramnya, nescaya hati dan jiwa akan semakin bening dan jernih.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (Surah an-Nur ayat 30-31)

Kedua : Sentiasa bersikap jujur, nescaya akan menjadi  semakin manis.

Daripada Abdullah bin Masud r.a. katanya sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut siddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (zalim) dari perilaku menyimpang mengantarkan kepada neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi).

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, yang maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan bersamalah kamu dengan orang-orang yang benar (jujur)" (Surah  At-Taubah ayat 119).

Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman, yang maksudnya: “Jikalau mereka jujur kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (Surah Muhammad ayat 21)

Ketiga : Rasa malu yang lahir daripada Iman.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)  

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat malu adalah sifat yang terpuji. Dengan memiliki sifat ini seseorang wanita solehah akan terlepas daripada segala kejahatan kerana adanya sifat ini akan terhindarlah segala keburukan. Dengan sifat malu juga akan meningkatkan darjat keimanannya.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib berkata : “Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, nescaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”

Keempat : Sentiasa beristighfar yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang di lakukan.

Istighfar merupakan syiar para nabi dan rasul, tidak ada seorang Nabipun yang tidak beristighfar dan selalu mengajak umatnya untuk beristighfar. Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa beristighfar atas dosa yang telah mereka perbuat sepertimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Araf ayat 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi".

Sabda Nabi SAW  maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Kelima : Sentiasa menjaga kehormatan diri dan menutup aurat.

Wanita solehah dalam perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. " (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Firman Allah SWT maksudnya :"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung". (Surah An.Nur ayat 31)

Keenam : Sentiasa bersifat tawaduk dan membina rasa ukhwah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..." (Surah al-Fath ayat 29)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh Nabi-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud : "dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman." (Surah Asy-Syu'ara ayat  215)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Maukah kamu aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat? Memberi maaf orang yang menzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah  kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh : Mengelakkan fitnah untuk menjaga kesucian diri .

Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk Syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " Kamu adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Hakim )

Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-isteri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah SWT dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga "

Dari Aisyah ra berkata : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki beberapa kelebihan. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita lain yang lebih baik daripada wanita kaum Anshar dalam hal keimanannya terhadap kitabullah dan apa-apa yang diturunkan-Nya. Ketika turun surat An-Nur, pada potongan ayat (yang artinya) : Dan hendaknya mereka memakai tudung sampai menutupi dada mereka. Maka saat itu pula para suami membacakan kepada anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan kerabat-kerabatnya setelah dibacakan, maka tidak ada satu wanita pun kecuali mereka memakai tudung (jilbab) lalu mereka melipatkannya di atas kepala mereka. Hal itu dilakukan kerana kepercayaan dan keimanan mereka terhadap apa yang telah diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Kemudian tatkala mereka berada di belakang Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam , mereka terlihat sudah mengenakan jilbab. Seolah-olah di atas kepala mereka ada seekor burung ghirban.”

Hadis di atas menunjukkan contoh perempuan yang tidak menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah yang akan menjerumuskan pada fitnah yang lebih besar. Semoga semua para wanita  senantiasa menjaga kesucian diri mereka dan elakkanlah segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.

Fitnah dizaman morden ini adalah berhati-hati di dalam perhubungan dengan lelaki yang bukan mahram di alam maya samaada melalui facebook atau blog atau hubungan telifon bimbit dan mengelakkan meletakkan gambar-gambar peribadi yang mungkin boleh disalah gunakan oleh mereka yang telah rosak akhlaknya.

Kelapan : Sentiasa berwuduk nescaya akan bercahaya wajahnya di hari akhirat.

Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Umatku akan tampil pada hari kiamat dengan  wajah bersinar tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wuduk."

Kesembilan : Sentiasa menimba ilmu yang bermanfaat

Nabi SAW  bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)

Wanita solehah mengharapkan balasan syurga daripada Allah SWT sebagai  ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendakinya. Maka wanita solehah akan sentiasa  belajar dan menuntut  ilmu yang bermanfaat samaada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kerana sesiapa yang menutut ilmu akan dinaungi dan didampingi oleh para malaikat dan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi SAW  bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.

Sahabat yang dimuliakan,
Wahai wanita solehah! Apabila piala hati kalian telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah mudah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama dilakukan oleh wanita solehah yang sedar ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai seluruh hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga akan digembeling untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.

Oleh itu berhati-hatilah didalam menjalani kehidupan ini, hiasilah akhlak kalian dengan sembilan perkara seperti yang dinyatakan di atas. Jangan kecundang dengan tipu daya dunia dan terpengaruh dengan pujuk rayu anak Adam. Sekiranya kalian kekal dengan status wanita solehah insya Allah pasti kalian akan mendapat kebahagiaan di dunia dan mendapat kemuliaan di hari akhirat. Yakinilah bahawa kalian bakal menjadi ketua bidadari di syurga yang lebih cantik daripada bidadari bermata jeli!






Sesiapa Yang Menzalimi Manusia Akan Mendapat Balasan di Hari Akhirat

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).

Jambatan (qanthrah) disini, bukan sirat yang letaknya di atas Neraka Jahannam. Jambatan ini dibentangkan setelah orang mukmin berjaya  melewati sirat  yang berada di atas Neraka Jahannam.

Perlu diingatkan disini sesiapa pun dikalangan orang muslim , samaada pemimpin, menteri, penguat-kuasa unsang-undang atau pegawai keselamatan tidak boleh sama sekali menganyanya dan menzalimi orang lain samaada yang dizalimi itu seorang muslim atau bukan muslim. Terutama yang dizalimi itu rakyat biasa yang tidak berdosa, yang hanya berkumpul untuk menyatakan pendapat dan pandangan mengenai sesuatu isu yang melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa pemerentah. Ingat setiap titis darah yang mengalir tanpa hak akan dibalas oleh Allah SWT di hari akhirat. Mungkin di dunia ini mereka akan terlepas tetapi ingat dijambatan (qanthrah) akan diadili seadil-adilnya. Orang yang zalim tidak akan terlepas dijambatan tersebut, walaupun dia telah berjaya meniti di Siratul Mustakim masih adalah qisas yang akan dijalankan keatas dirinya oleh Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Orang yang melakukan kezaliman ketika di dunia ini akan menjadi muflis di hari akhirat nanti terutama yang dizalimi ini adalah rakyat jelata yang ramai bilangannya. Jika di dunia ini mereka tidak minta ampun kepada orang yag dizalimi maka orang yang dizalimi akan menuntut dimahkamah Allah SWT. Jika difikir-fikirkan hampir mustahil beribu-ribu orang yang cedera samada dipukul dengan kayu cota atau disembur dengan bahan kimia boleh memaafkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut. Mereka yang terlibat adalah daripada pihak atasan (yang memberi arahan)  hingga kepada mereka yang melaksanakan arahan tersebut akan mendapat saham yang sama.

Dosa menzalimi atau menganyanya manusia  tidak akan diampunkan oleh Allah SWT dengan bertaubat kepada-Nya kerana dosa sesama manusia mesti minta maaf sesama manusia dahulu baru taubatnya di terima oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini , MENUMPAH DARAH orang itu dan juga MEMUKUL orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan seperti menumpahkan darah orang, memukul, menangkap, dan menyeksa orang yang membawa kepada dosa. Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis , semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“ Anggota manusia akan menjadi saksi bahawa pelakunya ketika di dunia menggunakan untuk menyakiti orang lain. Tangan yang digunakan untuk memukul, dan tangan ini juga yang digunakan untuk menyembuhkan bahan kimia, kaki yang digunakan untuk menendang manusia dan berjalan untuk melakukan kezaliman semuanya akan mengaku dihadapan Allah SWT sehinggakan manusia yang melakukan perbuatan tersebut menyesal tidak berkesudahan dengan perbuatannya itu.

Sahabat yang dikasihi,
Dari itu kita perlulah membuat persiapan di dunia ini dengan mengerjakan amalan-amalan soleh dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan tinggalkan segala perbuatan dosa dan menyakiti orang lain. Sebelum melakukan sesuatu tindakkan perlulah berfikir terlebih dahulu, janganlah mengikut hawa nafsu amarah dan mengikut godaan syaitan hingga membawa penyesalan dikemudian hari. Hanya melalui proses tarbiah imaniah yang berterusan sahaja akan dapat memandu kita di jalan yang lurus dan di redai Allah SWT.