Saturday, August 20, 2011

Kelebihan Orang-orang Yang Mati Syahid (Syuhada)

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mati dan kematian datang bila-bila masa samaada manusia sudah buat persiapan atau belum membuat persiapan. Kematian ditentukan oleh Allah SWT samaada kematian dengan  mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Nabi SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa semoga Allah SWT kurniakan kita husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk).

Di kalangan hamba-hamba Allah SWT ada diantara mereka dipilh oleh Allah SWT mendapat mati syahid iatu kematian yang sangat mulia, dan menjadi idaman para mukmin dan solihain kerana mati syahid adalah kematian yang terlepas daripada seksa kubur dan kegawatan di Padang Mahsyar. Mereka yang mati syahid akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Dalam Islam, mati syahid (bahasa Arab: ŰŽَÙ‡ÙŠŰŻ ‎ ĆĄyahÄ«d, jamak: ŰŽُهَۯۧۥ ĆĄyuhadā’) ertinya muslim yang mati ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid. Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).

Sejarah membuktikan bukan sedikit umat Islam yang gugur sebagai syahid terutama melalui perjuangan menentang golongan kafir.

Dalam perjuangan peringkat awal kebangkitan Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW jumlah yang syahid ialah perang Badar (14) , perang Uhud (71), perang Khandak/Ahzab (6), perang Khaibar (21), perang Muktah (12) serta perang Hunain dan Taif (16).

Dalam perang Uhud,  bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah bin Abd Mutalib, gugur syahid.

Orang pertama gugur syahid dalam Islam ialah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar bin Yasir yang mati kerana mempertahankan agama Allah di tangan pemuda Quraisy Makkah, Abu Jahal.

Hakikat sebenarnya mereka yang mati syahid bukanlah mati tetapi mereka hidup di sisi Allah SWT dan sentiasa mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki;(169)
(dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(170). Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman" (171)
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Asbabun Nuzul ayat 169-171 :

Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan ruh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini.(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (Surah al-Baqarah ayat 154)

Asbabun Nuzul ayat 154 :

Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Umar bin al-Hammam r.a gugur dalam Perang Badar, Allah lalu menurunkan ayat ini, terkait dengan Umar r.a dan sahabat-sahabat lain yang gugur sebagai syuhada. (Hadis Riwayat Ibnu Mandah. Lihat al-Wahidi : 36-37)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhadah , sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah SWT  jika boleh mereka ingin kembali kedunia dan mereka ingin mati syahid sekali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhadah.

Anas bin Malik ra.berkata : Dari Nabi SAW. baginda bersabda maksudnya : "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid."(Hadis Riwayat Muslim : 3488)

Dalam hadis riwayat Jabir ra., ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh? Baginda menjawab: "Di surga." Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur. Dalam hadis Suwaid: Seorang lelaki berkata kepada Nabi saw. pada waktu perang Uhud."(Hadis Riwayat Muslim : 3518)

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:

1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar

2. melihat tempatnya didalam syurga.

3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar

4. merasakan kemanisan iman,

5. dikahwinkan dengan bidadari, dan

6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."
Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya."
(Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).

Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya.

Friday, August 19, 2011

Amalan-amalan Nabi SAW di 10 Malam Terakhir

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

Pertama : Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

Kedua : Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud : “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi mereka bersepakat bahawa Rasulullah SAW melebihkan ibadahnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadah yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud : “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting sehingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat-ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah SWT memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat-ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah SWT daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasullah SAW  dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud :”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

Ketiga : Memperbanyak doa.

Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadah. Doa juga kunci daripada semua ibadah. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Aishah. Doanya berbunyi : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: "Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa 1. orang meminum arak, 2. anak yang derhaka kepada ibu bapa, 3. orang yang selalu bertengkar dan 4. mereka yang memutuskan silaturahim.”

Pentingnya doa pada malam al-Qadar sehingga Syofyan al-Sauri berkata: “Doa lebih aku sukai pada malam itu daripada solat.”

Demikianlah amalan sebaiknya dilakukan pada malam itu.

Semoga kita termasuk orang yang mendapat keberkatan malam itu hingga selepas Ramadan, seakan-akan anak yang baru lahir dari rahim ibunya, bersih daripada segala dosa.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di 10 malam terakhir Ramadan semoga persediaan jiwa kita untuk memperolehi Lailatul Qadar akan dikabulkan oleh Allah SWT dan jadilah kita mukmin yang bersih dari segala kotoran dosa dan maksiat. Ingat pesanan Ibnu Abbas empat golongan doa mereka tidak diterima oleh Allah SWT dimalam Lailatul Qadar.

Muhasabahlah diri kita, jika kita ada berdosa dengan ibu bapa segeralah minta ampun kepada mereka, jauhilah mereka yang suka bertengkar dan suka timbulkan perbalahan dan perpecahan dan juga hubungkanlah semula ikatan silaturahim jika kita ada memutuskan silaturahim dengan ahli keluarga atau saudara seagama.

Fasa Ketiga Ramadan Pembebasan Daripada Api Neraka

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah kita berada dihari terakhir fasa ke 2 iaitu "Pertengahannya keampunan daripada Allah " kita akan masuk fasa ke 3 iaitu "Pembebasan dari api neraka"

Apabila kita masuk saja fasa terakhir dalam bulan Ramadan iaitu pembebasan dari api neraka ini bermakna kita juga sedang berada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Malam kemuliaan atau Lailatul Qadar terdapat di dalam 10 malam terakhir iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Di fasa ini kita di tuntut menggandakan amal ibadah, bertahajjud, berikhtikaf di masjid, membaca al-Quran, zikrullah, berdoa, bermunajat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dari segala dosa dan kesalahan dan memohon untuk di bebaskan dari siksaan api neraka!

Teruskanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh,  ikutilah amalan Nabi SAW yang merasa terlalu sibuk lebih dari masa-masa sebelumnya kerana fasa terakhir ini amat penting iaitu memohon kepada Allah SWT supaya kita  mendapat pembebasan dari siksaan api neraka.

Nabi SAW. masa 10 malam terakhir mengikat kain sarung baginda (tidak mendekati isteri-ister baginda) .Kita amat berharap belas kasihan Allah SWT. semoga Allah memberi pembebasan dan menyelamatkan kita dari seksaan api neraka. Malaikat Jibril mengatakan celaka pada mereka yang berakhir Ramadan tetapi namanya masih tercatat sebagai ahli neraka.

Allah SWT Maha Mendengar atas rintihan hamba-hamba-Nya yang mengaku atas dosa dan kesalahannya meminta rahmat , rahim dan pengampunan daripada  Allah SWT. dimalam yang penuh sahdu hingga menitiskan air mata penyesalan.

Alangkah bahagianya hidup kita apabila Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita dan diredai-Nya dan dipilih untuk memasuki syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari neraka sebanyak tiga kali, maka neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,
Amalkanlah doa-doa yang terdapat di dalam al-Quran untuk memohon keampunan daripada Allah SWT dan memohon rahmat-Nya dan terselamat daripada api neraka.

Doa-doa tersebut adalah seperti berikut :

1. "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka." (Surah Ali-Imran ayat 16)

2."Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat yang paling baik." (Surah al-Mukminun ayat 109)

3. "Ya Tuhanku berilah ampunan dan rahmat, kerana Engkau adalah Pemberi rahmat yang paling baik." (Surah al-Mukminun ayat 118)

4. "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pastilah kami menjadi orang yang merugi." (Surah al-A'raf ayat 23)

5. "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari permohonan yang aku tiada ketahui (hakikatnya). Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan menjadi orang yang merugi."
(Surah Hud ayat 47)

6. "Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya perhitungan (hari kiamat)." (Surah Ibrahim ayat 41)

7. "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah at-Tahrim ayat 8)

8. "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan (alam) ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan kedalam neraka, sungguh telah Engkau hinakan dia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolongpun. Ya Tuhan kami, kami telah mendengar penyeru yang mengajak : Berimanlah kalian kepada Tuhanmu. Maka kami telah beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, dan wafatkanlah kami bersama orang-orang yang abror (banyak berbakti). Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan Rasul-Rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami dihari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menyalahi janji."
(Surah Ali-Imran ayat 191-194)

9. "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal." (Surah al-Furqan ayat 65)

Sahabat yang dihormati,
Lailatul Qadr sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah  SWT. Lailatul Qadr adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadr 97  Ayat 3.
Maksudnya: " Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan"

Ertinya menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr) dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadr seperti sabda Nabi SAW .maksudnya : " Sesiapa menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh  akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Lailatul Qadr berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadan. Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa  Lailatul Qadr jatuh pada malam 27 Ramadan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa  Lailatul Qadr jatuh dalam bulan Ramadan manakala Lailatul Qadr pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul Qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih)

Tanda-tandanya Rasulullah SAW telah memberitahukan tanda-tanda Lailatul Qadr di dalam beberapa hadisnya, antara lain: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Kami memperbincangkan Lailatul Qadr di sisi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, lalu baginda bersabda: ”Siapa diantara kalian yang mengingat ketika bulan muncul, yang bulan itu seperti separuh piring”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.”  (Hadis riwayat Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).

Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (Hadis Riwayat at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Sahabat yang dikasihi,
Kenapakah  Lailatul Qadr menjadi rahsia? Terdapat kisah pertengkaran dua orang sahabat Nabi SAW. Dan memang ilmu tentang hal tersebut telah diambil oleh Allah daripada Nabi gara-gara kesalahan (iaitu pertengkaran) yang dilakukan oleh dua lelaki di antara umat baginda.

‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).

Akhirkata marilah kita bersama-sama hidupkan malam-malam sepuluh terakhir ini dengan hati yang khusyuk dan tawaduk. Sibukkanlah hati dan fikiran kita dengan ibadah dan hubungan hati kita dengan Allah SWT. Jangan dipersia-siakan malam yang penuh berkat ini. Masa untuk membeli belah dan  persiapan hari raya gunakanlah waktu siang hari dan jangan di ganggu waktu malam hari kerana masa berharga ini tak akan di dapati digantikan lagi ianya datang setahun sekali dan masa yang berlalu tidak akan ada penggantinya. Inilah masa untuk kita buat pelaburan untuk saham akhirat. Pelaburan ini tak perlukan wang ringgit tetapi ianya memerlukan masa dan hati yang cekal dan azam yang tinggi.

Sesuatu yang berharga tidak mungkin boleh kita perolehi dengan usaha sambil lewa, oleh itu berusahalah semaksima mungkin, berdoalah dengan bersungguh-sungguh hingga mampu mengalirkan air mata penyesalan. Solatlah dengan khusyuk seolah-olah kalian melihat Allah, jika kalian belum sampai ketahap itu maka yakinlah Allah sedang melihat apa yang kalian kerjakan.

Thursday, August 18, 2011

Sepuluh Kebaikan Menanti Orang Mukmin Yang Bersifat Sabar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati diatas kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugiaan dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut . Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah SWT atau ianya sebagai satu cara Allah SWT ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan kedalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah SWT kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Di ampunkan dosa untuknya.

Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman:  'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn)

Kedua : Allah SWT merasa malu kepadanya semasa di neraca timbangan dan membuka buku catatannya diakhirat.

Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW  bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:
'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.

Ketiga : Allah SWT ingin mendengar sendiri ucapan hamba yang diuji-Nya .
(mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT dengan dia bersabar dan tidak mengeluh)

Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.

Keempat : Di bebaskan daripada seksaan api neraka.

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman:  'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.

Kelima : Di berikan kesihatan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.” (Hadis riwayat Hakim)

Keenam : Di berikan ganjaran pahala tanpa batas.

Firman Allah SWT  maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas) " (Surah az-Zumar ayat 10).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Ketujuh : Mendapat selawat dan rahmat daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Kelapan : Mendapat balasan syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis riwayat Bukhari).

Kesembilan : Jaminan mendapat pertolongan Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125).

Kesepuluh : Di berikan oleh Allah SWT sifat penyabar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah beruntungnya seseorang mukmin yang memiliki sifat sabar dan dia praktikan kesabarannya tanpa mengeluh dan bersikap negatif . Sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dan putus asa dengan rahmat Allah, tidak reda dengan musibah yang menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain. Jika kalian berhajat untuk menjadi hamba-hamba Allah SWT yang mendapat reda dan rahmat-Nya maka kalian perlulah sentiasa bersabar, tenang dan berfikiran positif dan meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1000 hikmah kebaikan di sisi Allah SWT.







Wednesday, August 17, 2011

Kejahatan Bangsa Yahudi Terdapat Di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW  bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: " Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali pokok gharqad (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi"

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi  akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Pertembungan di antara Islam dan Yahudi tidak akan berakhir hingga ke hari kiamat. Yahudi akan memusuhi Islam dan tidak akan berdamai, tanah dibumi para ambia di Palestin tidak akan dipulangkannya kepada umat Islam dan mereka tidak akan membiarkan Palestin membentuk negara sendiri. Untuk menjelaskan kezaliman kaum Yahudi ini dan mereka adalah satu bangsa yang tidak boleh dipercayai terdapat di dalam buku Qabaih al-Yahud dijelaskan 12 kejahatan Yahudi yang termaktub dalam Al-Quran. Kejahatan itu adalah seperti berikut:

1. Menuduh Nabi Musa punya penyakit kusta kerana tidak mahu mandi bersama mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah Dia seorang yang mulia di sisi Allah.” (Surah al-Ahzab ayat 69)

2. Enggan melaksanakan Taurat, sehingga Allah mengangkat gunung Tursina untuk mengambil perjanjian yang teguh.

“Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman):

“Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) Yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (Apa Yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”.

Mereka menjawab:

“Kami dengar, dan Kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad):” amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman." (Surah al-Baqarah ayat 93)

3. Tidak mahu beriman kecuali jika melihat Allah langsung.

"Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga Kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.” (Surah al-Baqarah ayat 55)

“Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (Wahai Muhammad) supaya Engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah Engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu.

Mereka berkata:

“(Wahai Musa) Perlihatkanlah Allah kepada Kami dengan nyata (supaya Kami dapat melihatnya dan percaya kepadaNya)”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).” (Surah an-Nisaa ayat 153)

4. Merubah perintah Allah.

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah daripada benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa Kami ‘; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah ayat 58)

“Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).” (Surah al-Baqarah ayat 59)

5. Menuduh Nabi Musa mengolok-olok mereka saat mereka disuruh menyembelih sapi betina.

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. mereka berkata: “Adakah Engkau hendak menjadikan Kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)." (Surah al-Baqarah ayat 67)

6. Menulis Al kitab dengan tangan mereka, lalu mengatakan ini dari Allah.

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.” (Surah al-Baqarah ayat 79)

7. Memutar-mutar lidahnya untuk meyakinkan bahawa yang dibacanya itu adalah wahyu yang asli.

“Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. dan mereka pula berkata: “(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Surah Ali-Imran ayat 78)

8. Mengubah Firman Allah.

“(Sesudah kamu - Wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?” (Surah al-Baqarah ayat 75)

9. Menyembah patung sapi.

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).” (Surah al-Baqarah ayat 51)

“Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah ayat 92)

10. Mengatakan tangan Allah terbelenggu.

”Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (Nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Maidah ayat 64)

11. Menuduh Allah itu faqir.

”Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) Yang mengatakan: bahawasanya Allah miskin dan kami(yahudi) ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasanyYang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa Yang sentiasa membakar." (Surah Al-Imran ayat 181)

12. Menyuruh Nabi Musa dan Tuhannya berperang untuk mereka.

"Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, Sesungguhnya Kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya Kami di sinilah duduk menunggu." (Surah al-Maidah ayat 24)

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam sirah Rasulullah SAW telah terbukti bahawa kaum Yahudi telah beberapa kali membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW tidak akan membantu kafir Quraish untuk memerangi umat Islam Madinah tetapi telah terbukti bahawa mereka tidak pernah menunaikan janji-janji mereka kepada baginda Nabi SAW. Apakah umat Islam  tidak mahu mengambil iktibar daripada sirah yang berlaku jika bersama Nabi SAW pun mereka sanggup mungkir janji apakah dengan negara umat Islam, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau dunia seluruhnya mereka boleh mematuhi janji-janji mereka? Pasti sukar mereka akan penuhi. Sebagai umat Islam yang yakin dengan  janji-janji Allah SWT melalui lisan Nabi-Nya bahawa umat Islam akan mampu mengalahkan kaum Yahudi laknatullah dan sekaligus dapat merampas balik bumi Palestin yang telah dirampas oleh puak Yahudi laknatullah ini.

Tuesday, August 16, 2011

Al-Quran di Turunkan di Malam Nuzul al-Quran

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita telah berpuasa 16 hari, pada malam ini sampailah saatnya pada malam 17 Ramadan, tarikh ini dipanggil Nuzul al-Quran iaitu masa al-Quran diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW.

Kita sedang berada dipenghujung fasa kedua iaitu pengampunan dari Allah SWT. dan akan memasuki fasa terakhir iaitu pembebasan dari api neraka.

Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu puasa darisegi zahir dan batin.

Puasa pada hati iaitu menghidupkan hati dengan zikrullah, mengingati Allah, meningkatkan iman, takwa, tawakkal, tawaduk, sabar dan membuangkan sifat-sifat mazmumah (sifat –sifat yang dikeji seperti hasad dengki, iri hati, sombong , takbur dan buruk sangka).

Puasa pada nafsu tidak makan dan minum disiang hari dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan tidak makan dan minum berlebihan ketika berbuka. Kontrol nafsu makan dan tidak melakukan pembaziran.

Puasa pada pancaindera iaitu menjaga mulut, mata, telinga dan anggota lain supaya tidak melakukan sesuatu yang ditegah oleh syarak.

Darisegi ibadah yang lain pula berjalan dan berterusan secara konsistan iaitu solat tarawih 20 rekaat, solat witir 3 rekaat, solat duha, solat tahajjud, solat taubat,solat hajat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan, sedekah , bermunajat, berdoa dan berzikir . Tidak ada ruang langsung untuk membuang masa yang sia-sia.

Sekiranya apa yang dinyatakan diatas terdapat didalam puasa kita dan perlaksanaan ibadah-ibadah yang lain, memenuhi ciri-ciri tersebut insya Allah kita mempunyai puasa yang berkualiti seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Untuk pengetahuan kalian pada awalnya Allah SWT menempatkan keseluruhan Al-Quran di Luh Mahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Ketika ini, Allah SWT  sejak awal lagi menunjukkan kemutlakan kebijaksanaan-Nya dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Keyakinan akan kemuliaan al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam firmanNya yang bermaksud :
"Bahkan (yang didustakan itu) ialah al-Quran yang mulia, yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Luh Mahfuz)" (Surah al-Buruj ayat 21-22)

Langkah kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul
Izzah yang terletak di langit dunia pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Kemuliaan (lailatul qadr) di bulan Ramadan. Hal ini tercatat dalam firmanNya yang bermaksud : " Bulan Ramadan  adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).." (Surah al-Baqarah ayat 185)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran)  pada malam kemulian (lailatul qadr). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (lailatul qadr) itu?.  Malam kemuliaan itu (lailatul qadar)   lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar." (Surah al-Qadr ayat 1-5)

Kemudian al-Quran itu diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril. Peristiwa itu bermula dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah SAW di Gua Hira’, tepatnya ketika baginda berusia 40 tahun.

Ibnu Abbas menyatakan: "Al-Quran itu diturunkan pada malam kemuliaan (lailatul qadr) dalam  bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur."

Lailatul qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Lailatul qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain .

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah  SAW ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam kemuliaan (lailatul qadr ) pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Sahabat yang dikasihi,
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada kalian semua beberapa panduan iaitu :

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran.

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan pena dan tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; "Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan." Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadan, kita akan berpeluang mendapat malam al-qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Marilah sama-sama kita menghayati di malam nuzul al-Quran ini dengan azam menjadikan al-Quran sebagai peduman hidup kita, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya . Semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Nuzul Al-Quran


Kelebihan dan Keutamaan Azan dan Iqamah Dalam Islam

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Adapun azan menurut syarak bererti zikir yang ditentukan untuk pemberitahuan Sembahyang Fardu Lima Waktu dan mula disyariatkan pada Tahun Pertama Hijrah di Madinah. Perkara ini telah diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar katanya yang bermaksud :

"Semasa orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu sembahyang dan tidak ada seorang pun yang menyerukan untuk sembahyang. Pada suatu hari mereka pun membincangkan hal itu. Berkata sebahagian mereka : Ambillah 'nakus' (loceng) seperti nakus orang-orang Nasrani (Kristian). Berkata sebahagian yang lain pula : Ambillah 'buuq' (terompit) seperti terompit orang-orang Yahudi. Lalu berkata Umar : Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan sembahyang? Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Wahai bilal, berdirilah dan serulah untuk sembahyang".

Maka buat kali pertamanya azan pun dilaungkan dengan kalimah-kalimah yang suci dan ini membuktikan betapa seruan azan itu merupakan simbol syiar Islam yang unggul lagi tersendiri dan bukannya ditiru dari mana-mana adat atau budaya asing.

Sesungguhnya seruan azan itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihannya. Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata bahawa azan itu mempunyai empat hikmah iaitu :

Pertama : Untuk menzahirkan tanda Islam dan Kalimah Tauhid.

Kedua : Untuk memberitahu tanda masuk waktu sembahyang.

Ketiga : Untuk memberitahu tempat sembahyang.

Keempat : Untuk memanggil berjemaah.

Selain daripada itu, laungan azan mempunyai banyak kelebihan-kelebihan antaranya ialah laungan azan itu dapat mengusir syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata : Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang".(Hadis Riwayat Bukhari).

Perlu diketahui juga bahawa waktu atau masa di antara azan dan iqamah merupakan di antara saat-saat mustajab di mana doa diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana itu kita disunatkan untuk berdoa pada ketika itu seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Annas bin Malik katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah. Mereka berkata : Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah? Baginda bersabda : Kamu memohon kepada Allah afiat (keselamatan) di dunia dan di akhirat". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi).

Islam telah mengajar kita cara-cara untuk menghormati azan, antaranya ialah jika kita mendengar seruan azan atau iqamah sedang dilaungkan, maka sunat kita berhenti sekejap untuk menjawab seruan azan, bukan dengan mengambil sikap sambil lewa dan tidak acuh seperti tidak memperdulikan seruan azan yang dilaungkan, seolah-olah tidak mendengarnya apatah lagi untuk menyahut seruan azan tersebut.

Oleh itu hormatilah azan dengan menjawab azan yang dilaungkan oleh muazzin iaitu dengan mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazzin itu kecuali pada

Ű­ÙŠ Űčلى Ű§Ù„Ű”Ù„Ű§Ű© ŰŻŰ§Ù† Ű­ÙŠ Űčلى Ű§Ù„ÙÙ„Ű§Ű­

maka katakanlah

Ù„Ű§Ű­ÙˆÙ„ ÙˆÙ„Ű§ Ù‚ÙˆŰ© Ű§Ù„Ű§ ŰšŰ§Ù„Ù„Ù‡

Dan pada azan Subuh apabila dikatakan,

Ű§Ù„Ű”Ù„Ű§Ù‡ ŰźÙŠŰ± من Ű§Ù„Ù†ÙˆÙ…

maka katakanlah

Ű”ŰŻÙ‚ŰȘ ÙˆŰšŰ±Ű±ŰȘ

Doa Selepas Azan .

Sebelum kita membaca doa selepas azan sunat kita berselawat keatas Nabi SAW terlebih dahulu dan diikuti dengan membaca doa selepas azan.

Berselawat kepada Nabi Muhammad saw selepas azan adalah sahih dan thabit dari baginda SAW melalui sabdanya yang bermaksud : “Sekiranya kamu mendengar muazzin (azan) , maka ikutlah seperti apa yang disebutkan. Kemudian, berselawatlah kamu kepadaku. Maka barangsiapa yang berselawat kepada ku sekali selawat, nescaya Allah swt akan berselawat kepadanya 10 kali.” (Hadis Riwayat Muslim : 384 , Abu Daud : 523 , Tirmizi : 3614)

Doa selepas azan atau iqamah adalah sebagaimana berikut;

(Allahumma rabba hazihid da' watittamah. Wassolatil qaimah. Ati saiyidana Muhammadanil wasilata wal fadhilah. Wassyarafa waddarajatal 'aliatar rafi'ah. Wab'athhul maqamal mahmudal lazi wa'adtah. Innaka laatukhliful mii'ad.)

Maksudnya: "Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji. "

Agama Islam sendiri telah mengajar bahawa jika seseorang itu mendengar azan atau iqamah, walaupun ketika itu dia sedang membaca al-Quran, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, maka sunat bagi orang itu berhenti sekejap untuk menjawab azan atau iqamah. Sunat juga menjawab azan dan iqamah walaupun dalam keadaan berhadas, junub, haid atau nifas kerana ianya adalah zikir, melainkan ketika dalam sembahyang fardu atau sunat, bersetubuh dan qadak hajat (buang air kecil atau besar) namun sunat dijawab kemudian jika tidak lama jaraknya.

Ini jelas kepada kita sedangkan ketika beramal ibadat juga kita disunatkan menjawab azan, maka apatah lagi ketika berbuat perkara-perkara yang lain seperti sedang berbual-bual, menonton televisyen, bersukan dan sebagainya, bukankah lebih utama baginya untuk berhenti seketika bagi mendengar dan menjawab azan yang sedang dilaungkan?.

Dalam perkara ini juga terdapat suatu keadaan yang tidak menyenangkan berlaku di mana terdapat sebilangan orang yang seolah-olah tidak mendengar seruan azan apabila ia dikumandangkan, baik ketika berada di dalam masjid atau berdekatan masjid atau di mana saja ia berada. Begitu juga keadaan di pasar-pasar raya khususnya yang berdekatan dengan masjid, pada masa seruan azan dilaungkan, ketika itulah juga lagu-lagu nyanyian dan muzik dimainkan tanpa diberhentikan. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara Islam dan selaku umat Islam, kita hendaklah menghormati azan sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama kita.

Kelebihan Azan Dan Iqamah.

Muazzin (tukang azan) itu juga merupakan pemegang amanah (amin). Manakala menjadi imam itu adalah penjamin (dhamin). Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kebaikan di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Imam-imam itu dhumana (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan itu umana (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah memberi petunjuk kepada imam-imam dan mengampunkan orang-orang yang azan.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maka azanlah untuk kamu oleh salah seorang di kalangan kamu, kemudian hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang akhbar (berilmu) di kalangan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, banyak lagi disebutkan di dalam hadis mengenai kelebihan-kelebihan azan dan iqamah dan orang yang melaungkannya. Antaranya ialah:

1. Sehingga Orang Sanggup Berundi Untuk Medapatkannya .

Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui tentang apa (kelebihan) dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka berundi, nescaya mereka akan berundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada at-tahjir (sembahyang zohor di awal waktu) nescaya mereka akan berlomba-lomba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang isyak) dan subuh nescaya mereka mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya.

Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya maksudnya: “Bahawasanya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh suaranya dan akan dipersaksikan dia  oleh sesiapa yang mendengarnya daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

3. Mengusir Syaitan.

Hadis daripada Abu Hurairah katanya maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)

4. Mendapat Pahala Yang Banyak.

Sebagaimana di dalam hadis daripada Mu‘awiyah katanya maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Muazzin-muazzin itu ialah orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak.

Menurut an-Nadhr bin Syumail, adapun kelebihannya ketika berada di Padang Mahsyar melepaskannya daripada kesusahan dan kesesakan disebabkan ramainya orang pada hari perhitungan itu.

5. Balasan Syurga.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Barangsiapa azan selama dua belas tahun wajiblah baginya syurga dan ditulis untuknya dengan azannya itu pada setiap hari enam puluh kebajikan dan pada setiap iqamah pula tiga puluh kebajikan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

6. Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Kiamat

Sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman katanya maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy radhiallahu ‘anhu berkata kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu ketika melaungkannya. Kerana tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi baginya di hari kiamat. Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’ie)

7. Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya: “Jika dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit dan dimakbulkan doa.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa, iaitu ketika iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Allah tidak menolak doa hambanya diantara waktu azan dan waktu iqamah". (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menyahut seruan azan apabila dikumandangkan oleh muazzin menandakan masuknya waktu solat fardu. Ingatlah tidak ada amalan yang terlebih baik dikerjakan oleh seorang mukmin melainkan dia mengerjakan solat selepas menengar azan. Tinggalkan semua perkerjaan duniawi dan utamakan seruan panggilan kepada Allah SWT (untuk solat). Tidak akan berkat sesuatu amalan yang membelakangkan suruhan Allah SWT.

Monday, August 15, 2011

Konsep Ibadah Dalam Islam

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah merupakan salah satu daripada perkara yang penting bagi setiap muslim.Ibadah juga antara cara bagaimana kita hendak mendekatkan diri kita kepada Allah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu,Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi aku makan.Sesungguhnya Allah,Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”(Surah Az-Zariat ayat 56-58)

Pada hakikatnya pengabdian terhadap Allah SWT. merupakan suatu kebebasan yang hakiki, jalan bagi mencapai kepada ketuanan yang sejati, kerana Allahlah yang boleh membebaskan hati nurani manusia dari perhambaan kepada sebarang makhluk dan memerdekakannya dari perhambaan dan kehinaan serta tunduk kepada yang lain dari Allah seperti tunduk kepada tuhan-tuhan palsu, berhala, manusia yang selalunya memperhamba dan mengongkong keyakinan manusia dengan sekuat-kuatnya miskipun pada lahirnya mereka bertindak seperti tuan yang bebas dan merdeka.


Perhambaan diri kepada Allah SWT itu membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kerana dalam hati manusia ada keperluan sejati kepada Allah, kepada Tuhan yang disembah yang mana dia bergantung kepada-Nya dan berusaha serta bekerja untuk mencapai keredaan-Nya. Jika yang disembah itu bukan Allah Yang Maha Esa tentulah manusia akan meraba-raba meyembah bermacam-macam tuhan dari setiap objek benda dan khayalan yang ada dalam pemikiran dan yang berada di sekeliling mereka.


Tidak ada sesuatu pekerjaan yang paling mulia bagi manusia yang berakal selain dari beribadah menyembah Allah SWT yang menciptanya dan menjadikan dirinya dengan sebaik-baiknya dan perkerjaan yang seburuk-buruknya kepada seorang manusia itu pula ialah menafi dan mendustakan Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka menyembah dan mengabdikan diri mereka kepada tuhan yang lain dari Allah SWT.


Seorang hamba abdi yang taat kepada tuannya tentulah akan merasa senang dan gembira kerana ia tahu apa yang disukai oleh tuannya lalu disempurnakannya suruhan itu dengan segala senang hati dan disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Manakala seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang tuan selalu bertelingkah antara sesama mereka; yang satu menyuruh hamba itu melakukan sesuatu yang ditegah oleh yang lain, maka alangkah susah dan deritanya hamba tersebut itu untuk melakukan perintah-perintah tuan yang saling bertentangan perintahnya antara satu tuan dengan tuan yang lain.


Kalau orang yang menyembah selain dari Allah SWT menjadi musyrik (kafir di- sebabkan ia melakukan perbuatan syirik), maka begitulah juga orang yang takabur menjadi musyrik (orang syirik),


Kajian menunjukan bahawa semakin besar keangkuhan seseorang yang enggan tunduk dan patuh beribadah (mengabdi diri) kepada Allah SWT, semakin besar kesyirikannya dengan Allah, kerana menurut kebiasaannya semakin banyak takabur tidak mahu menyembah Allah semakin bertambahlah pergantungan manusia itu terhadap makhluk yang dicintainya yang menjadi pujaan utama bagi hatinya; yang demikian mereka akan menjadi musyrik dengan sebab menjadikan dirinya hamba (menyembah) kepada selain dari Allah SWT.


Hati atau keyakinan manusia tidak akan terlepas dari perhambaan kepada makhluk kecuali mereka menjadikan Allah sebagai Tuhannya yang sebenar dan sejati (Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah), tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT, tiada tempat bergantung dan meminta pertolongan melainkan dari-Nya, Tidak merasa gembira melainkan dengan apa yang disukai dan diredai-Nya, tidak ia benci melainkan apa yang dibenci oleh Allah, tidak ia memusuhi kecuali orang yang Allah memusuhinya, tidak ia kasih melainkan kepada orang yang di kasihi oleh Allah, tidak ia memberi kecuali kerana Allah dan tidak ia melarang kecuali kerana Allah.


Semakin tulus keikhlasan seseorang itu kepada Allah maka semakin sempurnalah ubudiyahnya (perhambaanya) kepada Allah SWT dan terlepas dari pergantungannya kepada sesama makhluk, dengan sempurna ubudiyahnya kepada Allah SWT maka sempurnalah kesuciannya dari sifat syirik.

Terdapat beberapa perkara yang perlu kita amalkan untuk menjadikan ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

1.  Ibadah kita mestilah dilakukan dengan penuh khusyuk. Bagaimana hendak khusyuk dalam beribadah?Antaranya kita mestilah mengetahui maksud yang terkandung dalam bacaan kita seperti ayat al-Quran mahupun zikir kita.

2. Buangkan segala kesibukan dunia sewaktu beribadah kepada Allah SWT.

Berkata ulama : "Sembahyang itu merupakan urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari urusan dunia."

3. Sentiasa rasa tidak cukup dengan ibadah yang telah dilakukan dan rasa ingin menambah ibadah yang kita lakukan.

4. Sentiasa mengambil berat terhadap ibadah yang perlu dilakukan (qiamullail, solat fardu, solat duha, solat terawih, puasa Ramadan dan puasa pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain)

5. Luangkan sedikit masa untuk  membaca al-Quran. dan baca terjemahannya sekali.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kamu wajib melazimkan dirimu dengan membaca al-Quran kerana ia adalah cahaya untuk untuk kamu di bumi dan perbendaharaan untuk di langit”(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

6. Sentiasa berdoa kepada Allah, memohon perlidungan dari segala bala bencana dan fitnah dunia akhir zaman. Jadikan doa sebagai perantaraan antara kita dengan Allah SWT . Kita mestilah memilih doa-doa yang mathur seperti al-Mathurat, ia adalah antara amalan yang baik untuk diamalkan, baik diamalkan pada waktu pagi dan petang.

7. Setiap ibadah yang kita lakukan mestilah disertakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

8. Ibadah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan melahirkan sifat ihsan. Ihsan ditakrifkan sebagai yang disabdakan oleh Nabi SAW maksudnya : "Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau (Hadis Muttafaqun 'Alaih).

9. Ibadah yang  di lakukan mestilah mempunyai hubungan dengan Allah SWT.

Sekiranya ibadah yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata inginkan pujian atau menunjuk-nunjuk, maka dia hanya peroleh penat dan letih sahaja.

Sahabat yang dimuliakan,
Kelazatan beribadah ini dapat digambarkan dari beberapa peristiwa yang berlaku kepada baginda Rasulullah SAW. para sahabat, tabi’in dan para solihin, kelazatan ini akan timbul apabila adanya hubungan hamba dengan Tuhannya yang begitu erat dan di mana seorang hamba begitu gembira dan begitu senang memuji-muji kebesaran Allah SWT. ini semua berlaku dari sebab makrifat-nya (kenalnya) seseorang hamba itu kepada Tuhannya sehingga hamba itu merasa rindu apabila ia tidak dapat menghadap Tuhannya, dan merasa gelisah kerana tidak dapat bertemu dengan yang dicintai dan dikasihinya. Begitu juga apabila seorang hamba mengalami sedikit kesusahan tentulah ia akan mengadu ketempat yang dapat menerima pengaduan dan boleh menyelesaikan masalah dan kesusahannya. Tiada tempat yang layak untuk berbuat demikian melainkan kepada Yang Maha Agung dan Maha Berkuasa.

Firman Allah SWT maksudnya:
“Demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka katakan maka hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu serta jadilah dari golongan orang-orang yang sujud beribadah dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba kepadmu perkara yang tetap (iaitu mati)”. (Surah al-Hijr ayat 97-99)

Begitu juga di waktu orang-orang mukmin mendapat kurnia ia bersyukur seterusnya memuji kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. maksudnya:
“Bila datang pertolongan Allah dan kemenangan (pembukaan Makkah) dan engkau lihat manusia berduyun-duyun masuk agama Allah . maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia suka menerima taubat”. (Surah an-Nasr ayat 1-4)

Sahabat yang dikasihi,
Sebagaimana yang telah kita faham sebelum ini runglingkup ibadah itu adalah terlalu luas sebagaimana yang telah dijelaskan iaitu ibadah merupakan semua kegiatan hidup manusia itu sendiri yang sesuai dengan syariat Islam yang suci dan murni itu, oleh itu bolehlah difaham ibadah dalam Islam bermula sejak dari adab-adab masuk ketandas mengerjakan qadak hajat hinggalah sampai kepada bagaimana cara mengurus kewangan dan mentadbir negara.

Kegiatan hidup manusia ini akan termasuk ke dalam makna ibadah yang diberi ganjaran dan pembalasan pahala baik di akhirat apabila ia menepati dengan kehendak syarak, tidak menyeleweng dari kehendak dan ketentuan Allah SWT dikerjakan mengikut peraturan dan syarat-syaratnya, disertai pula dengan niat yang betul dan ikhlas semata-mata dilakukan kerana mencari keredaan Allah SWT.

Apabila kita lakukan ibadah kepada Allah SWT jauhkan diri dari perasaan riak (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai dan juga suka berbangga dengan memberi tahu kepada orang lain akan amal kebajikannya. Kita juga hendaklah menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan berbuat amal ibadah.

Oleh itu ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan-amalan ibadah yang ritual semata-mata seperti sembahyang, zikir, puasa, haji dan sebagainya yang disebut sebagai ibadah khusus, tetapi ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sahinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara; semuanya itu akan menjadi ibadah sekiranya ia dilakukan menurut cara dan kehendak Islam serta niat dari hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Sunday, August 14, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Menghayati dan Memiliki 10 Sifat Akhlak Terpuji

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Akhlak berasal dari perkataan al-khuluq. Al-khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya yang bermaksud :“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Aisyah r.ha. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan."
(Hadis riwayat Ad-Dailami).

Jabir ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Sahabat yang dimuliakan,
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.

Terdapat 10 ciri-ciri akhlak yang mulia akan menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang mukmin yang benar.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Bersifat warak dan meninggalkan perkara yang syubhat

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnya :Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat warak adalah sebagaimana  Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”

Kedua : Memelihara penglihatan.

Seseorang muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah SWT maksudnya :

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
(Surah an-Nur ayat 30)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.” (Hadis Riwayat At Tabrani)

Ketiga : Memelihara Lidah

Seseorang muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, memfitnah, berdusta, berbohong, memaki-hamun dengan perkataan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.

Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “Ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”

Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (buruk) lidahnya”
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah ia seorang mukmin (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Sabda baginda lagi maksudnya : “Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Hasid Riwayat Baihaqi)

Keempat : Bersifat Pemalu.

Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Iman itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti ditengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman”. (Hadis Riwayat Muslim, bab menerangkan bilangan cabang iman, bil. 153)

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

Kelima : Bersifat Lembut dan Sabar

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”.
(Surah al-Syura ayat 43)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(Surah an-Nur ayat 22)

“Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan”.
(Surah al-Furqan ayat 63)

Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud : “Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal”

Keenam : Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah SWT dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya.

Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.

Rasulullah Sallallahu’ Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Muttafaqun ‘alaihi)

Ketujuh : Bersifat rendah diri

Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu’Alaihi Wasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda maksudnya :

“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis qudsi Allah berfirman maksudnya : “Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadis Qudsi Riwayat Muslim)

Kelapan : Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.

Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah SWT maksudnya :

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”. (Surah al-Hujurat ayat  12)

Allah SWT berfirman lagi: “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Surah al-Ahzab ayat 58)

Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesembilan : Bersifat pemurah.

Seorang muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam al-Quran al-Karim sendiri terdapat banyak ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.”  (Surah al-Anfal ayat 3)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”.(Surah al-Baqarah ayat 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesepuluh : Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)

Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al-Ahzab Ayat 21 )

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita beramal dengan 10 ciri-ciri akhlak mulia dan terpuji seperti yang dinyatakan diatas. Akhlak yang mulia dan terpuji adalah asset yang besar di dunia dan akhirat. Jika di dunia kita akan dikasihi oleh  manusia dan akan menjadi ikutan dan jika di akhirat akhlak yang mulia dan terpuji adalah menjadikan amalan yang memberatkan timbangan (mizan) kita di sana. Jadikanlah akhlak yang terpuji ini sebagai pakaian hidup kita dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang diredai-Nya di dunia dan akhirat.