Saturday, April 2, 2011

Jauhi Kepercayaan dan Amalan Syirik dan Kurafat Untuk Menjaga Akidah Kita

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjaga akidah kita supaya tidak dicemarkan oleh kepercayaan dan amalan syirik dan kurafat maka kita perlulah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W. Banyak terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang melarang umatnya daripada kepercayaan yang membawa kepada syirik dan juga kepercayaan kurafat .

Di dalam kepercayaan masyarakat melayu terdapat beberapa kepercayaan dan amalan yang dipegang turun temurun yang mana kepercayaan tersebut  boleh menjejaskan akidah kita kerana pergantungan  kepada kejadian tersebut. Oleh itu perlulah kita jauhi perkara syirik, kurafat dan kepercayaan yang tidak ada sandaran yang sahih :

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mempercayai bulan safar membawa sial dan bala bencana.

2. Mempercayai burung hantu berbunyi diwaktu malam akan ada orang nak mati atau ada bala bencana.

3. Percaya bahawa apabila hujan panas ada orang nak mati.

4. Percaya kalaulah cicik berbunyi maknanya betullah cakap kita.

5. Biawak lintas jalan ada petanda urusan hari itu gagal tak boleh diteruskan. Jika diteruskan akan gagal.

6. Bila ada kupu-kupu masuk rumah akan ada tetamu nak datang ke rumah.

7. Bila tangan kanan bergerak-gerak akan ada rezeki, begitu juga bila tangan kiri bergerak akan habiskan rezeki yang ada.

8. Telik tapak tangan dan mempercayai urat-urat tertentu boleh membawa tuah atau sebaliknya.

9. Apabila ada pingan pecah maka akan ada bala nak datang atau ada sesuatu kemalangan akan berlaku.

10. Bila makan tersedak ada orang sebut nama kita atau ada orang sedang mengingati kita.

Masyarakat melayu morden pula percaya :

1. Rahsia tarikh lahir untuk motivasi diri.

2. Nombor tertentu membawa tuah dan nombor tertentu membawa bencana. Contoh no. 8888,9999 boleh bawa tuah dan no. 4444, 13 bawa musibah.

3. Percaya setiap individu ada nombor peribadi yang bertuah.(Nombor 1 hingga 9)

4. Percaya bahawa  dalam bulan Januari hingga bulan Disember terdapat bintang-bintang tertentu jika lahir dalam bulan tersebut ada tuah-tuah tertentu dan keburukan-keburukan tertentu. Contoh bila lahir pada 20 Januari- 18 Februari (Bintang Aquarius) dan  22 Desember - 19 Januari (Bintang Capricorn). dan lain-lain.

{Kepercayaan ini telah berakar umbi dalam masyarakat kita terutama belia dan remaja oleh itu kita perlu menjelaskan kepada masyarakat percaya pada bintang ini adalah boleh bawa kepada syirik)

Sahabat yang dimuliakan,
Kita wajib membuangkan segala bentuk kepercayaan orang-orang melayu yang tidak ada nas dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W. kerana semua perkara ghaib mestilah ada nas dan rujukkan kepada dua sumber tersebut.

Sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya :  " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunnah Rasul-Nya."
(Hadis Riwayat Malik)

Perlu ditegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan persoalan akidah, syariah dan akhlak dalam kehidupan muslim seharian. Oleh itu, apa saja amalan, perkataan dan kepercayaan yang tidak berasaskan kepada sumber yang dijelaskan di atas adalah ditolak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Dan berjaga-jagalah kamu. Jauhkanlah diri kamu daripada perkara baru (bidaah) kerana setiap perkara yang diadakan itu bidaah, dan setiap bidaah itu sesat. (Hadis riwayat Abu Dawud)

Rasulullah S.A.W. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi S.A.W. bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Tambahan daripada itu, Rasulullah S.A.W. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Kepercayaan dan amalan khurafat hanya boleh dibanteras jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan dalam segala tindakan.

Disebabkan sejak turun temurun masyarakat melayu percaya bulan Safar dikaitkan dengan bala bencana dan musibah,hingga menerbitkan beberapa amalan khurafaat dan tahyul dengan harapan dapat menangkis dan menolak musibah tersebut.Amalan-amalan khurafat bulan safar seperti mandi safar, membuat ancak, melarang mengadakan kenduri kahwin dan percaya adanya burung hantu sebagai tanda kematian masih berurat nadi dalam kehidupan masakini.

Amalan, fahaman dan kepercayaan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan syariat Islam tetapi juga boleh menyebabkan rosaknya akidah.Nahas dan bala bencana bukan hanya berlaku dalam bulan Safar  . Kepercayaan seperti ini perlu ditolak kerana Allah Taala telah memberi amaran kesan dalam surah At Taubah ayat 51 yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”

Baru-baru ini satu kepercayaan karut sotong dijadikan manusia untuk menentukan menang atau kalahnya suatu perlawanan bola sepak. Di ramalkan dalam perlawanan Piala Suzuki bahawa Indonesia akan menang melawan Malaysia, dengan izin Allah berlaku sebaliknya Malayasia menang perlawanan tersebut, ini menunjukkan tidak ada siapa yang tahu akan berlakunya perkara akan datang melainkan Allah S.W.T. Apa yang disangka-sangka oleh manusia adalah daripada bisikan syaitan untuk menyesatkan akidah manusia.

Sekarang ini kita kita digemparkan ramai pakar motivasi mengunakan kaedah tarik lahir untuk menentukan kejayaan masa depan, apakah benar dakwaan tersebut?

Yang pasti kaedah tersebut tidak menepati kaedah yang dibenarkan oleh syarak. Kerana setiap anak yang lahir tidak kira masa, hari, bulan, tahun semuanya sama saja tetapi yang mencurakkan anak tadi samaada akan jadi majusi, nasrani, yahudi atau Islam adalah kedua ibu bapanya dan suasana disekelilingnya.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Setiap anak dilahirkan di atas fitrah (bersih), kedua orangtuanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani, atau Majusi.' (Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari no. 1278 dan Muslim no. 2658 dari hadits Abu Hurairah)

Kenapa kita menggunakan suatu kaedah yang boleh menimbulkan keraguan dan boleh membawa risiko yang besar jika keyakinan seseorang kepada tarikh lahirnya dan dia tak yakin dengan qadak dan qadar Allah S.W.T.? Sedangkan semua perkara ghaib adalah berada di dalam ilmu Allah S.W.T.

Walaupun mereka yang menggunakan kaedah 'rahsia tarikh lahir' berkata bahawa ini adalah satu cara untuk mengenal diri dan potensi diri untuk maju kehadapan, tetapi kaedah yang dijalankan adalah sama seperti seorang yang meramalkan masa hadapan seperti cara orang  bukan Islam gunakan (telik nasib). Sedangkan telik nasib haram disisi Islam.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W di dunia ini lebih 1430 tahun yang lalu, telah sempurna dan lengkap. Di dalam al-Quran sendiri, hadis-hadis Nabi S.A.W, tulisan ulama-ulama muktabar daripada sahabat Nabi S.A.W. , tabiin, tabi-tabiin dan ulama mazhab cukup jelas memberikan kaedah untuk mendidik manusia untuk melahirkan insan beriman dan bertakwa. Kenapa kita menggunakan kaedah yang meragukan dan tidak ada nas yang jelas dan kaedah ini tidak pernah diamalkan oleh ulama-ulama terdahulu?

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Dr. Ustaz Haji Zahazan bin Mohamad berkata di dalam mengupas tafsir al-Quran diradio IKIM (Isnin-Jumaat jam 6.30 pagi) bahawa kepercayaan kepada nombor-nombor tertentu boleh membawa tuah dan kepercayaan kepada rahsia tarikh lahir adalah syirik dan boleh menjejaskan akidah.

Umat Islam perlulah kembali kepada kaedah pendidikan Islam yang sebenarnya dan janganlah mudah terpengaruh kepada satu kaedah baru yang meragukan dan boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan kita kepada Allah S.W.T.

Berbagai cara orang kafir cuba memesongkan akidah umat Islam, kepercayaan orang-orang Cina kepada huruf tertentu dan 'feng shui' telah mempengaruhi umat Islam dengan memilih nombor tertentu untuk plat kereta, meletakkan hantaran dengan bilangan hantaran  6666, 8888, 11,111 semua ini amalan kurafat dan tak ada kena mengena langsung dengan kebahagiaan rumah tangga. Asas Iman, Islam dan takwa saja yang akan menjamin kerukunan rumah tangga bukan nombor tertentu.

Kita boleh menggunakan bilangan 1, 3, 7, 10, 21, 33 , 40 dan 100 untuk berzikir kerana ada nas hadis daripada Rasulullah S.A.W untuk menggunakan bilangan tersebut.

Contoh angka 40 yang di suruh Nabi S.A.W. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Barangsiapa mempunyai apa-apa hajat, hendaklah ia berwuduk, kemudian sujud kepada Allah, sambil membaca tasbih Nabi Yunus sebanyak 40 kali dengan cara jari telunjuknya menghadap ke arah kiblat ketika ia sujud. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian akan diperkenankan doa dan permintaannya.”

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sesungguhnya aku ketahui satu kalimah yang apabila dibaca oleh mereka-mereka yang ditimpa bala atau kesusahan, Allah akan lepaskan si pembacanya dari kesusahan. Kalimah tersebut ialah tasbih saudaraku Nabi Yunus AS “La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin.”

Sahabt yang dikasihi,
Marilah kita meninggalkan semua amalan-amalan dan kepercayaan syirik dan kurafat samaada datangnya daripada budaya orang melayu, cina, barat atau daripada daripada kaedah-kaedah tertentu yang meragukan dan syubahat. Supaya kita dapat menjaga akidah dan keyakinan kita kepada Allah S.W.T.

Ingat! Dosa syrik adalah dosa yang paling besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu berhati-hati dan berwaspada supaya akidah kita sentiasa bersih dan tidak ada kecacatannya, hingga kita menemui Allah S.W.T dalam keadaan Dia reda kepada kita dan kita reda kepaba-Nya.

Sentiasalah gunakan nas al-Quran dan hadis dan berfikirlah secara logik dan rasional, insya Allah tidak akan terlibat dengan syirik dan kurafat .

Madah pujangga Islam :
Tanpa agama manusia binasa,
Tanpa ilmu manusia buta,
Tanpa iman manusia sengsara,
Tanpa ukhwah manusia tersiksa.

Ada agama datangnya pelita,
Ada ilmu datangnya harta,
Ada harta datangnya derma,
Ada ukhwah datangnya saudara.

Tanggungjawab Suami Memberi Nafkah Zahir dan Batin Pada Isterinya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tidak semua wanita yang tidak mahu berkahwin itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar. Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita ingin mencari suami yang bertakwa dan berilmu dan beramal diatas segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Oleh itu mereka terpaksa bertangguh untuk mendirikan rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang beramal soleh di akhir zaman ini ibarat payahnya mencari sebutir mutiara asli. Sebabnya, ramai suami dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja.

Seorang suami yang bertanggungjawab akan menyediakan nafkah zahir seperti makan-minum, pakaian, rumah, kenderaan dan pendidikan formal (bersekolah). Kedudukan keperluan zahir ini bergantung kepada kemampuan suami dan Islam tidak membebankan suami yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas yang lengkap seratus peratus.

Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu. Bila pandangan mereka menjadi sempit, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai membaca al-Quran, meninggalkan berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.

Nabi S.A.W. telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:
"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."


Sahabat yang dimuliakan,
Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka.

Nabi S.A.W. pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah S.W.T. dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardu ain iaitu ilmu tauhid, fekah dan tasauf.

Tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya akidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Mengajarkan konsep Kalimah Tayyibah itu (yakni kalimah la ilaha illAllah - Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù‡ Ű§Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù„Ù‡) dan memberi kefahaman mengenai Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Menjelaskan dan mempercayai satu persatu mengenai rukun-rukun Iman.

Suami diwajibkan mengajar isteri dan anak-anaknya ilmu fekah iaitu rukun-rukun Islam,
Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan istihadah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.

Tujuan mempelajari ilmu tasauf adalah untuk melahirkan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah di dalam amalan setiap hari. Ilmu tasauf di ajarkan untuk melahirkan  amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub (hairan kepada diri sendiri) sombong, bongkak, takbur dan lain-lain lagi.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isteri-isterinya (jika berpoligami) , rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa ; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata yang tidak elok maka di khuatiri akhlak anak seperti apa yang diucapkannya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya.

Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain. Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah S.W.T.

Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.

Kemampuan sesorang itu memimpin diri dan ahli keluarganya ke jalan yang benar akan dapat mengelakkan dirinya dari kebinasaan (terjun ke dalam neraka). Jadi, kalau dia dapat mengelakkan dirinya dan ahli keluarganya dari terjun ke neraka, maka itulah bukti cintanya yang sebenar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah at-Tahrim ayat 6)


Allah S.W.T. menyuruh orang-orang beriman agar memelihara dirinya dan ahli keluarganya daripada api neraka, maksudnya; 'Peliharalah diri kamu' itu bukan sahaja sekadar mentaati segala perintah Allah tetapi juga adalah menjauhi segala larangan Allah kepada diri kita seperti dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan juga larangan yang mendatangkan boleh menimbulkan fitnah dan syubhah.  Contoh  dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, makan riba, mencuri dan lain-lain. Manakala dosa-dosa kecil seperti melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah atau bergaul lelaki perempuan yang diharamkan oleh Allah dan sebagainya. Dalam perkara syubhah dan makruh juga perlulah dielakkan kalau kita hendak memelihara diri daripada seksa api neraka.

Allah S.W.T. . maksudkan 'Ahli keluarga kamu' itu ialah, isteri-isteri kita, anak-anak, orang-orang gaji dan sesiapa saja yang di dalam jagaan kita. Tanggungjawab kita kepada ahli keluarga ialah menjaga, mendidik, mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan perkara-perkara sepertimana yang Allah S.W.T. memberi tanggungjawab pada diri kita sendiri. Perlulah disuruh anak isteri melakukan perkara-perkara yang berbentuk fardu ain dan fardu kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain. Wajib pula menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina, mencuri, dedah aurat, mengumpat, hasad dengki, takbur, riak dan lain-lain lagi.

Jelaslah di sini bahawa peringatan Allah dalam memelihara diri kita bukanlah terhad kepada diri kita sahaja, ia adalah meliputi seluruh keluarga kita serta mereka-mereka yang berada di dalam jagaan dan keluarga kita. Kalau kita tidak memimpin dan mendidik ahli keluarga kita, kita masih lagi belum terlepas dari seksaan api neraka. Kerana Allah telah perintahkan,
"Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu."

Daripada hadis Rasulullah S.A.W. yang menunjukkan bagaimana amalan seseorang itu walau sebesar manapun akan hapus disebabkan ia tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya dan semua mereka yang berada di dalam jagaannya, maka berkatalah malaikat, bahawa inilah orangnya yang telah menghapuskan semua amalan kebajikan oleh ahli-ahlinya dan anak-anaknya semasa di dalam dunia.

Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama bahawa sesungguhnya pertama yang bergantung kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan anak-anaknya. Apabila seorang lelaki hendak dibawa ke syurga kerana amal solehnya, tiba-tiba isteri, anak-anak dan orang-orang yang dibawah tanggungannya berkata di hadapan Allah S.W.T. :


"Wahai Allah! Ambil olehmu bagi kami dengan hakmu daripada lelaki ini. Iaitu selesaikan dulu hak kami dan kewajipan lelaki ini terhadap kami, sebab ia tidak mengajar kepada kami suatu hukum pun. Lelaki ini tidak menunjuk ajar kepada kami tentang hukum-hukum syariat dan hukum-hukum agama yang telah Engkau turunkan ke dunia. Oleh itu kami sekarang hendak menuntut hak kami. Kerana dialah kami jahil. Kami tidak kenal apa-apa melainkan makan minum dan rumahtangga kami sahaja. Hati kami gelap dan akal kami pun gelap dan hati kami juga buta. Dan lelaki ini telah memberi kami makanan daripada harta-harta yang haram. Dia menerima harta riba dan rasuah dan diberinya kami makan. Dia membeli barang-barang najis dan menyuruh kami makan. Sedangkan kami tidak mengetahui pada ketika itu samada barang itu haram atau halal. baru hari inilah kami sedar. Oleh itu Wahai Tuhan, tahanlah ia dahulu, dan kami minta segala kesalahan yang ada pada kami serahkan padanya."

Maka pada ketika itu setelah anak dan isteri mengadu dan merayu kepada Allah, Allah menerima segala pengaduan kerana saksi-saksinya telah jelas. Dan kalaulah pada ketika itu dia masih cuba berbohong, maka setiap helai rambutnya dan anggotanya yang lain, semuanya akan menjadi saksi. Setelah diadili setiap kesalahan yang diadukan oleh anak isteri itu, maka Allah membalas akan kesalahan itu dengan siksa yang amat pedih dan dahsyat walaupun kebajikannya banyak dan walaupun timbangan amalnya begitu berat sekali. Kesalahannya terhadap anak isteri kerana tidak menyampaikan seruan agama ketika di dunia hingga menyebabkan mereka jahil itu boleh menghapuskan semua amal kebajikannya. Akhirnya suami itu terjerumus sama ke dalam neraka.


Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar. Semoga dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.

Ibnu Abbas pernah berkata: :
"Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang mulia kepada mereka."

Sahabat yang dikasihi,
Suami bertanggungjawab memenuhi nafkah zahir dan batin kepada isterinya dan dia bertanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. di hari akhirat nanti jika dia gagal melaksanakan amanah ini.

Untuk isteri pula apakah kewajipan dan akhlak isteri kepada suaminya?


Akhlak seorang isteri terhadap suami adalah sebagai berikut:

1. Wajib mentaati suami, selama bukan untuk bermaksiat kepada Allah SWT :

Al Bazzar dan Ath Thabrani meriwayatkan bahwa seorang wanita pernah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Aku adalah utusan para wanita kepada engkau: jihad ini telah diwajibkan Allah kepada kaum laki-laki; jika menang diberi pahala, dan jika terbunuh mereka tetap hidup diberi rezeki oleh Rabb mereka, tetapi kami kaum wanita yang membantu mereka, pahala apa yang kami dapatkan?” Nabi SAW menjawab, “Sampaikanlah kepada wanita yang engkau jumpai bahwa taat kepada suami dan mengakui haknya itu sama dengan jihad di jalan Allah, tetapi sedikit sekali di antara kamu yang melakukannya.”

2. Seorang istri harus pandai mengatur dan mengerjakan tugas-tugas rumah tangganya.
 
3. Menjaga kehormatan dan harta suami :

Allah SWT berfirman, “Maka wanita-wanita yang baik itu ialah yang mentaati suaminya dan menjaga hal-hal yang tersembunyi dengan cara yang dipelihara oleh Allah.”
(Surah an-Nisa’ ayat 34)

4. Menjaga kemuliaan dan perasaan suami :

Ketika Asma bin Kharijah Al-Fazariyah menyerahkan anak perempuanya kepada suaminya di malam pernikahannya, ia berkata,”Wahai anakku, sesungguhnya engkau telah keluar dari kehidupan yang selama ini engkau kenal. Sekarang engkau akan berada di tempat tidur yang belum pernah engkau ketahui, bersama pasangan yang belum sepenuhnya engkau kenali. Kerana itu, jadilah engkau bumi baginya dan dia akan menjadi langit bagimu, jadilah engkau hamparan baginya dan dia akan menjadi hamba sahaya bagimu. Janganlah engkau menentangnya, sehingga ia membencimu. Jangankah engkau menjauh darinya, sehingga ia melupakanmu. Jika ia menjauh darimu, maka menjauh pulalah engkau darinya, dan jagalah hidungnya, pendengarannya dan matanya; jangan sampai ia mencium darimu kecuali yang harum, janganlah ia mendengar kecuali yang baik, dan jangan ia memandang kecuali yang cantik.”

5. Melaksanakan hak suami, mengatur rumah dan mendidik anak :

Anas r.a berkata, “Para sahabat Rasulullah SAW apabila menyerahkan pengantin wanita kepada suaminya, mereka memerintahkan agar melayani suami, menjaga haknya, dan mendidik anak-anak.”

6. Tidak boleh seorang isteri menerima tamu yang tidak disenangi suaminya.

7. Seorang isteri tidak boleh melawan suaminya, baik dengan kata-kata kasar maupun dengan sikap sombong.

8. Tidak boleh membanggakan sesuatu tentang diri dan keluarganya di hadapan suami, baik kekayaan, keturunan maupun kecantikannya.

9. Tidak boleh menilai dan memandang rendah suaminya.

10. Tidak boleh menuduh kesalahan atau mendakwa suaminya, tanpa bukti-bukti dan saksi-saksi.

11. Tidak boleh menjelek-jelekkan keluarga suami.

12. Tidak boleh menunjukkan pertentangan di hadapan anak-anak.

13. Agar perempuan (isteri) menjaga iddahnya, bila ditalak atau ditinggal mati oleh suaminya, demi kesucian ikatan perkawinannya.

14. Apabila melepas suami pergi bekerja, lepaslah suami dengan sikap kasih, dan apabila menerima suami pulang bekerja, sambutlah kedatangannya dengan muka manis dan tersenyum, pakaian bersih dan berhias.

15. Setiap wanita (isteri) harus dapat mempersiapkan keperluan makan, minum, dan pakaian suaminya.

Sahabat yang dihormati,
Marilah sama-sama kita muhasabah diri kita samaada sebagai suami dan isteri supaya kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita semua. Sama-sama perbaikilah kelemahan diri sendiri dan janganlah asyik menyalahkan pasangan kita. Satu keaiban diri sendiri yang kita perbaiki dan buangkan lebih baik daripada kita tambah satu kebaikan sunat kerana membaiki keaiban itu adalah satu kebaikan.


Friday, April 1, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Orang Minum Khamar (Arak) dan Menamakannya Bukan Khamar

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Malik Al-Asy'ari ra, bahawasanya ia mendengar Rasulullah S.A.W   bersabda maksudnya : " Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum khamar (arak) dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. (Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis.. Allah S.W.T akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah S.W.T akan merobah mereka menjadi kera atau maaf".
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Maksudnya akan ada di kalangan orang Islam ini yang meminum khamar (arak) dan mereka mengatakan bahawa yang diminum itu bukanlah khamar. Ia hanyalah sejenis minuman yang dapat menyegarkan badan atau yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan memberikan suatu nama kepada minuman ini yang menunjukkan bahawa ia bukan khamar, tetapi sebenarnya ia adalah khamar yang telah diharamkan oleh syarak.

Kemudian, menjadi kelaziman pula, suasana mabuk itu akan disertai dengan alunan muzik dan juga nyanyian artis-artis kenamaan.

Rasulullah S.A.W, menerangkan bahawa golongan ini akan ditimpa gempa bumi atau tubuh badan mereka diubah kepada bentuk kera atau maaf.

Sungguh benar apa yang disabdakan oleh Junjungan Besar Nabi S.A.W ini. Gempa bumi demi gempa bumi yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini sebagai seksaan daripada Allah S.W.T dan jikalau golongan ini belum sampai ke peringkat di ubah bentuk badan mereka menjadi kera atau maaf tetapi perangai dan cara hidup mereka sudah banyak menyerupai perangai dan cara hidup kera atau maaf.

Akhlak Anak-anak Kita Adalah Tanggungjawab Kita


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Akhir akhir ini kita melihat pelbagai gejala-gelaja sosial yang melibatkan anak-anak muda dan remaja terutamanya yg beragama Islam, sebagai contoh baru-baru ini saya ada menerima link video yang mengejutkan saya bertajuk ' budak sekolah diraba' (lebih kurang). tanpa segan silu budak-budak sekolah berani pemperlakukan sedemikian dan berani pula memperlihatkan wajah mereka yang tidak langsung memikirkan kesan pada keluarga mereka nanti.

Kalau diikutkan hati hendak saya kongsikan link itu disini dan post kan pada semua sahabat-sahabat, supaya nanti mungkin ada yang mengenal mereka, atau mungkin keluarga mereka sendiri ada disini dapat mendidik kembali anak-anak mereka yg terlibat ke jalan yang baik, tetapi memandangkan ia bakal mengundang aib dan malu pada keluarga mereka saya batalkan hasrat berkenaan.

Sahabat-sahabat yang saya hormati, 
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah S.W.T. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.

Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia dan dirahmati serta diredai Allah S.W.T.

Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya“.

Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardu ain dan fardu kifayah.

Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh ialah :

1.  Sentiasa Berdoa Kepada Allah S.W.T.

Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali – Imran ayat 38 maksudnya : ”Ya Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doaku".

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah S.W.T. agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

2.  Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak

Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

3.  Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah

Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah S.W.T. sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya pada setiap masa.

Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah S.W.T. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 maksudnya : “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam “.

4.  Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak

Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar Nabi Muhammmad S.A.W. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah S.W.T. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :“Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia“.

5.  Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.

Firman Allah S.W.T.  dalam surah al-Baqarah ayat 168 maksudnya : ”Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu “.

Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya.

Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah S.W.T. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna. Kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina insani yang sempurna dan merupakan modal insan yang akan memainkan peranan untuk anak-anak kita dalam membangun masyarakat dan negara. 

Ustaz Noramin.com

(Di petik daripada tulisan Ramli Jonet)


Thursday, March 31, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Harta Riba Wujud di Merata Tempat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah S.A.W  bersabda maksudnya : "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Keterangannya :

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)
Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”

Sahabat yang dimuliakan,
Riba telah menjadi sebahagian daripada sistem ekonomi yang dilaksanakan dalam masyarakat kita. Sehinggakan umat Islam menjadi keliru disebabkan tidak ada penerangan yang jelas halal haram dalam pelaburan amanah saham dan wang simpanan pekerja untuk hari tua (dimana pelaburan yang dilakukan?). Para pelajar bidang agama juga, terpaksa mengambil pinjaman pelajaran yang mengandungi unsur riba.

Semua produk yang ditawarkan seperti amanah saham, penggunaan kad kredit, pelaburan dibank-bank, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, insuran nyawa dan insuran kenderaan dan pinjaman kenderaan rata-rata di buat atas perjanjian menggunakan sistem riba. Ini tidak termasuk lagi sistem pajak gadai yang sedia ada di pasaran, pelaburan melalui internet (tidak jelas jual beli), sistem piramid , skim cepat kaya dan pinjaman tanpa lesen di panggil 'along' semuanya jelas terlibat melalui sistem riba yang diharamkan Islam.

Begitu hebat sekali sistem riba menguasai pasaran di dalam masyarakat kita, yang sedihnya mereka yang terlibat dalam sistem riba majoritinya adalah terdiri daripada orang-orang Islam sendiri sedangkan jelas Allah S.W.T mengharamkan sistem riba dan  terdapat di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 278-279. Walaupun sudah ada altenatif menggunakan sistem muamalah secara Islam (melalui Bank Islam, Takaful dan sebagainya) tetapi kurang mendapat sambutan di kalangan orang Islam sendiri, kerana sistem riba sudah sebati dengan jiwa mereka dengan alasan sistem muamalah cara Islam lebih mahal dan menekan para peminjam berbanding dengan sistem konvensional.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

Jelaslah kepada kita bahawa di zaman kita sekarang ini, ciri-ciri penguasaan sistem riba telah berlaku di dalam kehidupan kita, setidak-tidaknya debu-debu riba telah terkena pada kita. Oleh itu perlulah kita mengambil sikap pro aktif dan berhati-hati supaya kita tidak terlibat dengan riba untuk mengelakkan daripada mendapat kemurkaan Allah kerana sistem riba jelas haram dan berdosa besar jika kita menggunakannya. Gunakanlah sistem muamalah cara Islam walaupun secara zahirnya nampal lebih mahal tetapi hakikat sebenarnya ianya jauh lebih baik untuk jangka masa panjang dan yang lebih penting ianya membawa keberkatan daripada Allah S.W.T.

Mencari Ketenangan Jiwa Dengan Beriktikaf di Masjid

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang yang hidup di dunia ini mahukan ketenangan dan kesenangan. Tiada siapa pun yang mahukan hidupnya rungsing, gelisah dan menghadapi berbagai-bagai masalah. Dalam menghadapi masalah ini, umat Islam sangat beruntung dan bertuah kerana Islam sentiasa membimbing dan menunjukkan umatnya jalan selamat yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi, tetapi terpulanglah kepada kita samada mahu mengikut atau sebaliknya.

Islam menyediakan banyak jalan bagi umatnya untuk mencari ketenangan jiwa yakni mengurangkan perasaan yang tidak senang yang bersarang di hati atau di jiwa individu.

Ketenangan hati bagi seseorang insan adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya, yang sepatutnya tidak diabaikan bahkan hendaklah dijaga dan dipelihara, kerana itu pohonlah kepada Allah Subhanahu Wataala supaya dikurniakan hati yang tenang, jauh dari ketegangan.

Banyakkanlah berzikir kepada Allah Subhanahu Wataala, memuji, memohon keampunan dan keredaannya. Itulah cara mendapatkan ketenangan. Jangan mencari ketenangan dengan perkara yang dilarang dan diharamkan oleh Allah Subhanahu Wataala seperti menghisap dadah, meminum arak dan bermacam-macam lagi kemungkaran yang ditegah dan dilarang, kerana semua itu bukan jalan penyelesaian masalah tetapi sebaliknya akan mendatangkan masalah dan padah terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat bahkan negara.

Salah satu cara dan penawar bagi mengubati jiwa dan hati ialah dengan banyak-banyak mengingat Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala di dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 maksudnya : "Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram."

Salah satu cara atau jalan untuk memperolehi ketenangan jiwa ialah dengan jalan beriktikaf di masjid.

Sahabat yang dimuliakan,
Iktikaf bererti diam (berhenti) dalam masjid dengan niat dan cara yang tertentu, khususnya beribadat . Manakala jika seseorang itu duduk sahaja di dalam masjid, tanpa berniat iktikaf, maka perbuatan tersebut tidaklah dikira iktikaf.

Apabila seseorang itu beriktikaf dengan tulus ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala dengan niat bagi mendapatkan ketenangan, insya Allah, Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan ketenangan jiwa untuk menghadapi hidup ini.

Oleh itu, sebelum melangkahkan kaki ke masjid untuk beriktikaf, maka kita hendaklah mempersiapkan diri kita secara zahir dan batin dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wataala.

Perlulah diketahui bahawa amalan-amalan yang sangat baik untuk dilakukan semasa beriktikaf ialah sembahyang, berzikir, bertahlil iaitu mengucap ‘La ilaha illallah’, bertahmid iaitu mengucap al-hamdulillah, bertasbih iaitu mengucap subhanallah, berdoa, membaca Al-Quran, membaca buku-buku Islam, mendengar tazkirah, mengajar dan sebagainya. Itulah di antara cara bagi melatih jiwa dan fikiran untuk mengingati Allah Subhanahau Wataala.
Beriktikaf adalah merupakan amalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam khususnya di waktu bulan Ramadhan, kerana beribadat ketika itu sangat tinggi nilainya dan besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wataala, lebih-lebih lagi dilakukan pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya :
Dari Aishah Radiallahu-Anha ia berkata : Bahawasanya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan, sehinggalah baginda wafat, kemudian para isteri baginda meneruskan amalan beriktikaf selepas kewafatannya.

Selain daripada bulan Ramadan, ikhtikaf juga digalakkan di antara magrib dan isyak, kerana menunggu satu solat ke solat yang lain akan menghapuskna dosa.

Kebaikan melaksanakan aktiviti dakwah dimasjid seperti ceramah, tazkirah, forum perdana, majlis zikir dan qiyamulalil di samping mendapat pahala menuntut ilmu ianya juga mendapat pahala kerana berikhtikaf.

Terdapat banyak hikmah dan kebaikan berikhtikaf :


Pertama :
Mendatangkan ketenangan kepada fikiran dan jiwa dari bermacam-macam kesibukan dan boleh merehatkan seluruh anggota badan dari kepenatan dan keletihan.

Kedua :
Dari segi rohani : ia akan mendorong kita supaya memikirkan kelemahan diri dan merenung tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu Wataala kerana dengan jalan demikian akan mendekatkan kita lagi kepada Allah Subhanahu Wataala.

Ketiga :
Iktikaf boleh mendidik diri kearah jiwa Muthma’innah ( jiwa yang tenang ) dan tidak tunduk kepada dorongan hawa nafsu, sebaliknya tunduk dan taat kepada Allah Subhanahu Wataala dengan akal yang sihat.

Keempat :
Iktikaf juga akan meningkatkan iman dan takwa kerana dengan memperbanyakkan ingat kepada Allah Subhanahu Wataala sahajalah kita akan gementar dan terasa kebesaran Allah Subhanahu Wataala.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah ayat 125 maksudnya :
"Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan berfirman: 'Bersihkanlah rumah ku (Kaabah dan Masjidil-haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang ruku’ dan sujud."


Iktikaf juga bermaksud bertafakur dalam masjid mencari keredaan Allah S.W.T.
Jenis-jenis iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

Iktikaf sunnat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah SWT seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Dan iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: "Kalau Allah SWT menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf."

Waktu iktikaf

Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

Ya'la bin Umayyah berkata: " Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."

Syarat-syarat iktikaf

Orang yang iktikaf harus memenuhi kriteria-kriteria sebagai berikut:
1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

Oleh kerana itu, iktikaf tidak sah bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.

Rukun-rukun iktikaf

1. Niat . Firman Allah S.W.T. maksudnya :"Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama.." (Surah al-Bayyinah ayat 5)

2. Berdiam di masjid . Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka, ketika kamu berikhtikaf." (Surah al-Baqarah ayat 187)

Sahabat yang dikasihi,
Orang mukmin sentiasa hati dan jiwanya terpaut dimasjid, kerana di masjid terdapat pahala berikhtikaf,  tempat untuk beribadah kepada Allah S.W.T, terdapat majlis ilmu, perhimpunan umat Islam setempat dan di sini juga boleh membina ukuwah dan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam.

Salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat nanti adalah lelaki yang hati dan jiwanya terpaut dimasjid.

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya.
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu marilah kita mendekatkan diri kita dengan masjid, pastikan setiap solat berjemaah di lakukan dimasjid dan mengisi masa terluang kita untuk menimba ilmu di masjid-masjid kerana disinilah tempat yang mudah untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat tanpa perlu membayarnya. Di masjid juga tempat untuk mententeramkan jiwa kerana para malaikat rahmat sentiasa berada di masjid melakukan ibadah dan mendoakan dan merahmati ahli-ahli masjid yang solat, berikhtikaf dan menuntut ilmu.

Wednesday, March 30, 2011

Khauf (Bimbang) dan Raja' (Mengharap) Kepada Allah S.W.T.


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Menurut Imam Abu Bakr al-warraq (guru al-Ghazali) : "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalan suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".

Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan nikmat Islam dan nikmat terlepas daripada kemungkaran, kerana kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat terakhir hayatnya".

Kita tidak boleh berperasaan terlalu yakin yang nikmat Islam yang kita miliki sekarang dapat kekal sehingga akhir hayat kita.

Untuk mengatasi perasaan terlalu yakin ini, kita mesti mempunyai perasaan khauf dan raja'. 


Khauf ialah perasaan bimbang, takut atau cemas kepada Allah. 

Raja' ialah perasaan mengharap kepada Allah.


Biasanya khauf dan raja' juga disebut dengan istilah "harap-harap cemas".


Kita juga kena sentiasa menaruh perasaan cemas, perasaan kalau-kalau, perasaan mana tahu, kerana kuasa mutlak adalah milik Allah.

Selayaknya sebagai hamba kepada Allah, kita kena sentiasa menaruh perasaan mengharap.

Mari pastikan perasaan khauf dan raja' ini telah kita miliki.

(Di petik daripada tulisan Tazkirah)

http://lenggangkangkung-my.blogspot.com

Terdapat Empat Tanda-tanda Awal Hampirnya Hari Kiamat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak terhadap hadis-hadis Nabi S.A.W. yang menceritakan tanda-tanda awal kiamat. Salah satu daripadanya adalah hadis riwayat Anas bin Malik r.a.

Daripada Anas ra berkata : "Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh perempuan". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi kita SAW menerangkan bahawa di antara tanda hampirnya kiamat ialah :

1. Sedikit ilmu agama

2. Banyak kejahilan

3. Banyak berlaku perzinaan

4. Sedikit kaum lelaki dan ramai kaum perempuan.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Sedikit ilmu agama

Apabila umat Islam mula jahil tentang ilmu agama. Banyak melakukan maksiat, menentang hukum-hukum Islam dan memandang sepi segala peraturan agama yang terdapat di dalam al-Quran dan as-sunah, maka ini adalah petanda awal sudah hampir kita dengan kedatangan hari kiamat. Masyarakat yang kurang ilmu lebih utamakan orang jahil menjadi pemimpin mereka, walaupun telah jelas pemimpin tersebut jahil tentang ajaran Islam dan tidak berminat untuk menjadikan Islam sebagai sistem dalam pentadbiran sebuah negara.

Ilmu agama perlu dituntut seperti sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)

2. Banyak kejahilan

Sesungguhnya orang yang berilmu adalah tidak sama dengan orang jahil (bodoh). Orang jahil yang melakukan maksiat dan membuat dosa, tidak akan terlepas seksaan Allah S.W.T di atas kejahiliannya kerana kemalasannya untuk menuntut ilmu. Pepatah ada mengatakan 'bodoh sombong'. Orang jahil jika dia memberi pendapat ia hanya berkata menurut fikiran logik sahaja dan mengikut hawa nafsu, dan keadaan ini amat berbahaya jika silap memberi komen bab agama boleh sesat dan menyesatkan orang lain. Golongan yang jahil ini adalah salah satu golongan yang akan di masukkan kedalam neraka sebelum hisab kerana kejahilannya.

Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran" (Hadis Riwayat Ahmad)

3. Banyak berlaku perzinaan

Apabila di dalam satu masyarakat telah menjadi kebiasaan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, kemudian dengan kebebasan ini  melahirkan pula anak-anak luar nikah ini adalah petanda bahawa telah hampir berlakunya kiamat.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Pada tahun 2008, dilaporkan terdapat lebih 250,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa dikeluarkan.
Menurut sumber berita, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai 2008.

kira-kira 28,000 lebih kes berlaku dalam setahun (2,500 kes dalam sebulan / 78 kes dalam sehari /
Satu kes pendaftaran bagi setiap 17min 17saat.

Ini adalah hasil perzinaan yang menyebabkan kehamilan dan yang didaftarkan. Bagaimana dengan kelahiran yang tidak didaftarkan? Berapakah jumlah sebenar bayi-bayi yang dibuang atau di bunuh begitu sahaja, samada yang dijumpai atau yang tidak dijumpai?

4. Sedikit kaum lelaki dan ramai perempuan.

Statistik penduduk dunia pada hari ini menunjukkan bahawa jumlah perempuan adalah lebih ramai dari jumlah kaum lelaki. Di sesetengah negara terdapat nisbah bagi bilangan setiap lelaki berbanding dengan sebelas wanita (1:11). Dan kalau kita meneliti di merata tempat, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa perempuan adalah lebih ramai daripada lelaki.

Menurut Imam Ibnu Hajar, sebab bilangan perempuan lebih ramai dari kaum lelaki adalah akibat dari peperangan yang berlaku, kerena yang banyak terbunuh dalam peperangan adalah kaum lelaki, bukannya perempuan dan juga Allah SWT menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan dan sedikit sekali dari kalangan lelaki.

Jika dilihat di pusat pengajian tinggi awam dan swasta majoriti penuntutnya adalah pelajar perempuan. Begitu juga kakitangan awam kaum wanita melebihi kaum lelaki darisegi bilangannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika kita perhatikan keempat-empat tanda tersebut telah wujud di dalam kehidupan masyarakat kita maka tanda-tanda hampir kiamat itu telah berlaku. Maka perlulah kita bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T. Jauhkan diri daripada amalan dan perbuatan yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah S.W.T. Kerana saat datangnya kiamat besar hanya di dalam ilmu Allah S.W.T. termasuk kiamat kecil (kematian) kita  juga di dalam ilmu-Nya.

Yakinilah Janji Allah Bahawa Setiap Manusia Telah Ada Rezeki Untuknya

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap kali kita menghadapi makanan dan minuman, kita berdoa kepada Allah agar di berikan barakah dari rezeki yang akan kita santapi. Setiap kanak-kanak muslim juga di didik sejak dari tadika lagi untuk berdoa sebelum makan. Barakah dari rezeki itulah yang kita hajatkan.

Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan akidah seorang muslim, Allah S.W.T. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah S.W.T.  untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah S.W.T. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).

Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?

Pengajaran yang boleh di perolehi daripada kisah ini adalah semut lebih yakin  jaminan rezeki daripada Allah S.W.T.(bertawakal kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.

Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah S.W.T? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah S.W.T. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. telah ditetapkan rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah S.W.T. yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.

Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah S.W.T. dimuka bumi ini.

Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Takwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling hampir dengan Allah S.W.T.  Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling tinggi takwanya maka dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah S.W.T. Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup berhati-hati didalam menjalani kehidupan didunia ini, amat takut kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.
Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T, malahan semua yang harus pula di niatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.

Allah S.W.T. akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang dihadapinya, akan terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah S.W.T. Bukan setakat ini saja, malahan Allah S.W.T.akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka samaada rezeki datang dari langit, bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan, yang sedikit diperbanyakkan dan yang banyak dipermudahkan.
Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, "Kenapa rezekiku  sempit?  Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan Allah tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?"

Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku kepada para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hambanya sendiri. Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak ia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala yang besar kepadanya. Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah S.W.T.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud : "Allah S.W.T. berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah S.A.W.  bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap.

Sahabat yang dikasihi,
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :
"Jika sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh."

Orang-orang yang bertawakkal ialah mereka yang  yakin dengan jaminan rezeki daripada Allah S.W.T. dan mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat nanti.
Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah S.W.T. hanya berada ditangan-Nya dan Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa berwuduk, menghubungkan silaturahim, solat duha, solat tahajjud , berzikir dan membaca al-Quran. Amalan-amalan soleh ini jika diamalkan akan membina jambatan hati kita dengan Allah S.W.T. dan apabila Dia kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan doa kita dimakbulkan-Nya dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada disangka-sangka.

Kesimpulannya, dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu, kita perlu bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini.

Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah.

Tuesday, March 29, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Ahli Ibadat Yang Jahil dan Ulama Yang Fasiq

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Anas ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Hadis Riwayat Ibnu Ady)

Keterangannya :

Nabi SAW menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada golongan jahil yang rajin beribadat dan ada pula golongan orang alim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan pula. Bagi si jahil, syaitan selalu menyuruhnya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah SWT. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji dan menuntut ilmu kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah SWT yang bererti kekalahan di pihak syaitan.

Begitu pula halnya dengan si alim yang banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga si alim itu meninggalkan kefarduannya ataupun rasa ujub dengan ilmu yang ia miliki. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti. Maka itulah kejayaan syaitan dalam usahanya menyesatkan para ulama atau orang alim.

Gejala sebegini rupa dapat di lihat di dalam masyarakat kita, di mana yang rajin beribadat itu adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan hal-hal ibadat itu pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Lebih teruk lagi apabila orang alim dan berilmu berdiam diri tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan sangaup membiarkan perkara maksiat berlaku dihadapan matanya sedangkan dia hanya berdiam diri.

Monday, March 28, 2011

Perbicaraan , Hukuman dan Balasan Yang Adil Ketika Berada di Hari Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Apabila habis orang-orang yang disoal oleh Tuhan yang Maha Adil;  maka suratan amal manusia dikeluarkan untuk diberi ke tangan masing-masing yang apabila menerimanya ia dapati suratan amalnya itu terbuka,  boleh ditatap dan dibaca olehnya sendiri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan setiap manusia telah Kami kalungkan (catatan) amal perbuatannya dilehernya. Dan pada hari kiamat Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka. 'Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung atas dirimu." (
Surah al-Isra' ayat 13-14 )

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Adapun orang yang kitabnya diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, "Ambillah, bacalah kitabku (ini)."
(Surah al-Haqqah ayat 19)

"Dan adapun orang yang kitabnya diberilkan ditangan kirinya, maka dia berkata, "Alangkah baiknya jika kitabku (ini) tidak diberikan kepadaku."
(Surah al-Haqqah ayat 25)

Selepas itu perbicaraan diteruskan - perbicaraan perkara-perkara yang berkenaan dengan hak-hak makhluk dan perkara-perkara yang berhubung dengan amal ibadat kepada Allah.  Perkara-perkara berkenaan dengan hak-hak makhluk meliputi :

Pertama : Perkara-perkara yang berkenaan dengan melakukan jenayah ke atas nyawa dan tubuh badan satu-satu makhluk seperti bunuh membunuh,  tikam menikam, pukul memukul, seksa-menyeksa, sabung-menyabung, laga-melaga dan sebagainya.

Kedua : Perkara-perkara yang berkenaan dengan melakukan jenayah terhadap kehormatan diri dan maruah,  seperti caci-mencaci, buruk-memburuk, maki-hamun, umpat-keji, tuduh-menuduh, ceroboh-mencerobohi, fitnah- memfitnah dan sebagainya.

Ketiga : Perkara-perkara yang bersabit dengan harta benda seperti curi-mencuri, rompak -samun, ragut, rebut-merebut, tipu-menipu, hutang-piutang dan lain-lainnya.


Hukuman ke atas sesiapa yang di dapati bersalah dalam perbicaraan ini ialah:

Pertama - Menerima balasan dari makhluk yang dilakukan jenayah itu terhadapnya.

Kedua - Memberi amal kebajikannya kepada orang yang ia aniayakan, untuk membayar hutang orang itu atau mengganti-ruginya; dan apabila tidak ada lagi amal kebajikannya untuk diberi kepada orang itu, maka ia terpaksa menanggung kesalahannya.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Ketiga - Dimasukkan ke dalam penjara yang disediakan Tuhan (Neraka Jahanam)

Sahabat yang dikasihi,
Untuk menyelamatkan seseorang daripada menghadapi perbicaraan yang tersebut, maka Nabi Muhammad  S.A.W. mengingatkan umatnya serta menerangkan jalan keselamatan masing-masing - dalam hadis-hadis yang berikut:

1. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

2. Dari Sa'id bin Zaid r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengambil tanah secara zalim sekalipun sejengkal, akan dibelitkan pada hari kiamat dengan tanah yang diperintahkannya mengangkut sebanyak itu dari tujuh petala bumi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. melarang menyeksa binatang sampai mati dengan jalan mengikatnya untuk dijadikan sasaran panah,  rejaman dan sebagainya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


4. Dari Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah S.A.W. melarang perbuatan melagakan binatang. "
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

5. Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, niscaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Ada pun perkara-perkara yang berkenaan dengan ibadat kepada Allah,  maka yang mula-mula dibicarakan ialah ibadat sembahyang yang lima sehari semalam - sesiapa yang sembahyangnya itu diterima Tuhan maka berjaya dan beruntunglah dia; sebaliknya rugi dan menderita orang yang tidak diterima sembahyangnya. Sesiapa yang didapati sembahyang fardunya terkurang, sama ada terkurang bilangannya, rukun,  syaratnya, sunatnya atau khusyuknya maka ditampal dan dicukupkan dengan sembahyang-sembahyang sunatnya jika ada, kalau tidak ada terpulanglah hukumnya kepada keadilan atau kemurahan Tuhan Rabbul `Alamin.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah sembahyangnya jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: "Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?" Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Demikianlah pula halnya ibadat-ibadat puasa,  zakat dan haji dibicarakan seperti sembahyang juga, iaitu apabila di dapati mana-mana fardunya terkurang maka ditampal dan dicukupkan dengan sunatnya yang ada.

Tiap-tiap perbicaraan dibuat keputusannya oleh Tuhan yang Maha Adil dengan berdasarkan keterangan-keterangan saksi, iaitu selain daripada dua Malaikat yang menulis amal seseorang maka anggotanya, hartanya, tempatnya dan masanya juga menjadi saksi .

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Pada hari, (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu Allah menyempurnakan balasan yang sebenarnya bagi mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan." (Surah an-Nur ayat 24-25)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W.  membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:" Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"

Para sahabat menjawab:" Allah S.W.T. dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya."
Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Sahabat yang di hormati,
Setiap amalan manusia yang dikerjakan ketika di dunia akan dihisab di hari akhirat nanti di Hari Penimbangan Amal (Yaumul Hisab) samaada amalan kebaikan atau amalan kejahatan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :  “Barangsiapa yang mengerjakan amal kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya”. (Surah al-Zalzalah ayat 7)     

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Kebersihan itu separuh iman dan (kalimat) alhamdulillah dapat memenuhi mizan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a., katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Diletakkan neraca pada hari kiamat, lalu ditimbang amal-amal yang baik dan amal-amal yang jahat; maka sesiapa yang berat timbangan amal-amal baiknya daripada amal-amal jahatnya, masuklah ia ke syurga dan sesiapa yang berat timbangan amal-amal jahatnya daripada amal-amal baiknya, masuklah ia ke neraka. "
(Hadis Riwayat Abu Al-Syeikh)

Setelah perbicaraan selesai dan hukuman balas-membalas dan bayar-membayar dijalankan, maka apa jua amalan yang tetap ada atau yang baki bagi tiap-tiap seorang ditimbangkan dengan neraca keadilan Tuhan untuk ditentukan apakah balasan yang masing-masing berhak menerimanya, lalu neraca itu dibawa datang dan penimbangannya pun dijalankan.

Tentang ini, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya : "Penimbangan amal pada hari kiamat adalah satu keadilan yang benar, maka sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, mereka itulah orang-orang yang berjaya memperolehi apa yang mereka harapkan dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan diri sendiri dengan sebab mereka telah meletakkan ayat-ayat keterangan Kami pada bukan tempatnya." ( Surah Al-A'raaf ayat 8-9).

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami akan adakan penimbangan-penimbangan yang adil pada hari kiamat, oleh sebab itu maka tidak ada seseorang yang akan teraniaya barang sedikit pun, walau amalannya seberat biji sawi Kami tetap menghitungnya dan cukuplah Kami menjadi penghitung." (Surah al-Anbiya' ayat 47)

Dari Abdullah bin `Amr r.a., katanya: Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah akan memberi keistimewaan kepada seseorang dari umatku dengan memanggilnya di hadapan khalayak yang ramai pada hari kiamat, serta membentangkan kepadanya sembilan puluh sembilan gulung suratan amalnya, tiap satu gulung panjangnya sejauh mata memandang; kemudian Tuhan bertanya kepada orang itu: "Adakah engkau hendak menafikan sesuatu dari apa yang ada dalam suratan ini? Adakah penulis-penulis yang Aku tugaskan menjaga amalmu itu telah menzalimkanmu?" Orang itu menjawab: "Tidak, wahai Tuhanku"; Tuhan bertanya lagi: "Kalau demikian, maka adakah engkau mempunyai sebarang alasan atau kebaikan untuk engkau melepaskan diri?" Ia menjawab: "Tidak ada juga wahai Tuhanku"; Tuhan berfirman maksudnya : "Ia, ada sebenarnya engkau ada mempunyai satu kebajikan yang tersimpan pada Kami dan sebenarnya engkau tidak akan menanggung sebarang kezaliman pada hari Kami; lalu dikeluarkan sehelai kertas kecil yang tertulis padanya

ŰŁَŰŽْهَŰŻُ ŰŁَنْ لَۧ Ű„ِلَهَ Ű„ِلَّۧ Ű§Ù„Ù„َّهُ وَŰŁَŰŽْهَŰŻُ ŰŁَنَّ مُŰ­َمَّŰŻًۧ ŰčَŰšْŰŻُهُ وَ۱َŰłُولُه

maka Tuhan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Melihat timbangan amalmu", lalu ia berkata: "Ya Tuhanku! Apakah nilainya kertas yang secebis ini berbanding dengan suratan jahat amalku yang bergulung-gulung itu?" Maka Tuhan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Walau bagaimanapun, sesungguhnya engkau tidak akan di zalimi." Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Kemudian suratan amalnya yang bergulung-gulung itu diletakkan pada sebelah daun neraca dan kertas kecilnya, diletakkan pada daun neraca yang sebelah lagi lalu suratan amal buruknya itu terangkat ringan dan kertasnya yang secebis itu berat menurun, kerana tidak ada sesuatu benda pun yang boleh menjadi berat berbanding dengan apa yang mengandungi nama Allah".
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi dan lbn Majah)

Setelah habis timbangan amal manusia akan terbagi tiga golongan :

Pertama : Golongan  yang mempunyai timbangan kebaikan lebih berat daripada timbangan kejahatan , maka golongan ini akan masuk ke syurga.

Kedua : Golongan yang mempunyai timbangan kejahatan lebih berat daripada timbangan kebaikan maka golongan ini akan masuk ke neraka.

Ketiga : Golongan yang sama berat kebaikan dan kejahatan iaitu  50 : 50, ke  syurga tidak dan ke neraka pun tidak. Maka golongan ini  sangat memerlukan syafaat daripada Rasulullah S.A.W, syafaat daripada anaknya yang hafal al-Quran atau anaknya yang mati semasa kecil dan dia reda dan bersabar. Dia juga memerlukan syafaat daripada guru-gurunya dan sahabat-sahabatnya yang terpilih untuk memasuki syurga.

Apakala penimbangan amal itu selesai, maka manusia diperintahkan dan dibawa pergi ke kampung tempat balasan yang diuntukkan bagi masing-masing mendiaminya melalui satu titian (al-Sirat) yang biasa disebut dengan nama "Titian Siratal Mustaqim", titian yang diletakkan untuk menyeberangi lautan api Neraka,  titian yang di kiri kanannya terdapat banyak pengait-pengait untuk mengait kaki sesiapa yang berhak dikait.

Orang-orang yang terkait kakinya itu ada dua golongan:

Pertama : Golongan yang gugur jatuh ke dalam lautan api itu ialah orang-orang yang pada masa hidupnya di dunia telah terkait, terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan syaitan atau galakan nafsu liarnya sehingga jatuhnya ke dalam lubang kejahatan dan kederhakaan sampai matinya dengan tidak sempat bertaubat.

Kedua : Golongan yang rebah bangun, rebah bangun, dan akhirnya selamat sampai ke seberang, iaitu orang-orang yang pada masa hayatnya di dunia kerap-kali dikait, dipengaruhi dan diperdaya oleh syaitan atau nafsu amarahnya melakukan maksiat,  tetapi pada tiap-tiap kali mereka jatuh ke dalam satu-satu kesalahan,  mereka segera ingatkan azab seksa Tuhan,  lalu mereka menyesal dan bertaubat sampai mati dengan keadaan taatkan Allah.

Pendeknya orang-orang yang melalui titian itu terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama - Golongan yang selamat sentosa menyeberangi lautan api Neraka.

Kedua - Golongan yang diputus-putuskan perjalanannya oleh pengait-pengait titian itu, tetapi dapat juga menyeberangi lautan api itu.

Ketiga - Golongan yang terkait kakinya lalu jatuh terus ke dalam api Neraka.

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri kita akan menjadi golongan yang mana? Adakah kita akan terlepas setiap soalan dan siasatan , timbang amal dan dipermudahkan meniti Siratul Mustaqim tanpa terjatuh ke dalam jurang api Neraka? Justeru itu perbanyakkan amal soleh, amal ibadah, amal kebajikan dan niat-niat yang baik untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Sunday, March 27, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - (Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan)

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Ummul Mu'minin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw.) ,beliau berkata," (Pada suatu hari) Rasulullah saw. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cernas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini", dan baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebe!ahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyararkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang­orang yang soleh?" Lalu Nabi S.A.W. bersabda "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Keterangannya :

Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan. 

Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu. 
Dalarn hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa arab secara khusus adalah kerana Nabi S.A.W. sendiri dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain . Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju-mundurnya bangsa arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa arab.


Kemudian Yakjuj dan Makjuj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as.) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari kiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan dipermukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tibanya.