Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Anas ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Hadis Riwayat Ibnu Ady)
Keterangannya :
Nabi SAW menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada golongan jahil yang rajin beribadat dan ada pula golongan orang alim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang-orang yang berlainan pula. Bagi si jahil, syaitan selalu menyuruhnya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah SWT. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji dan menuntut ilmu kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah SWT yang bererti kekalahan di pihak syaitan.
Begitu pula halnya dengan si alim yang banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga si alim itu meninggalkan kefarduannya ataupun rasa ujub dengan ilmu yang ia miliki. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti. Maka itulah kejayaan syaitan dalam usahanya menyesatkan para ulama atau orang alim.
Gejala sebegini rupa dapat di lihat di dalam masyarakat kita, di mana yang rajin beribadat itu adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan hal-hal ibadat itu pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Lebih teruk lagi apabila orang alim dan berilmu berdiam diri tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan sangaup membiarkan perkara maksiat berlaku dihadapan matanya sedangkan dia hanya berdiam diri.
No comments:
Post a Comment