Wednesday, March 30, 2011

Terdapat Empat Tanda-tanda Awal Hampirnya Hari Kiamat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak terhadap hadis-hadis Nabi S.A.W. yang menceritakan tanda-tanda awal kiamat. Salah satu daripadanya adalah hadis riwayat Anas bin Malik r.a.

Daripada Anas ra berkata : "Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh perempuan". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi kita SAW menerangkan bahawa di antara tanda hampirnya kiamat ialah :

1. Sedikit ilmu agama

2. Banyak kejahilan

3. Banyak berlaku perzinaan

4. Sedikit kaum lelaki dan ramai kaum perempuan.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Sedikit ilmu agama

Apabila umat Islam mula jahil tentang ilmu agama. Banyak melakukan maksiat, menentang hukum-hukum Islam dan memandang sepi segala peraturan agama yang terdapat di dalam al-Quran dan as-sunah, maka ini adalah petanda awal sudah hampir kita dengan kedatangan hari kiamat. Masyarakat yang kurang ilmu lebih utamakan orang jahil menjadi pemimpin mereka, walaupun telah jelas pemimpin tersebut jahil tentang ajaran Islam dan tidak berminat untuk menjadikan Islam sebagai sistem dalam pentadbiran sebuah negara.

Ilmu agama perlu dituntut seperti sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)

2. Banyak kejahilan

Sesungguhnya orang yang berilmu adalah tidak sama dengan orang jahil (bodoh). Orang jahil yang melakukan maksiat dan membuat dosa, tidak akan terlepas seksaan Allah S.W.T di atas kejahiliannya kerana kemalasannya untuk menuntut ilmu. Pepatah ada mengatakan 'bodoh sombong'. Orang jahil jika dia memberi pendapat ia hanya berkata menurut fikiran logik sahaja dan mengikut hawa nafsu, dan keadaan ini amat berbahaya jika silap memberi komen bab agama boleh sesat dan menyesatkan orang lain. Golongan yang jahil ini adalah salah satu golongan yang akan di masukkan kedalam neraka sebelum hisab kerana kejahilannya.

Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran" (Hadis Riwayat Ahmad)

3. Banyak berlaku perzinaan

Apabila di dalam satu masyarakat telah menjadi kebiasaan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, kemudian dengan kebebasan ini  melahirkan pula anak-anak luar nikah ini adalah petanda bahawa telah hampir berlakunya kiamat.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Pada tahun 2008, dilaporkan terdapat lebih 250,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa dikeluarkan.
Menurut sumber berita, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai 2008.

kira-kira 28,000 lebih kes berlaku dalam setahun (2,500 kes dalam sebulan / 78 kes dalam sehari /
Satu kes pendaftaran bagi setiap 17min 17saat.

Ini adalah hasil perzinaan yang menyebabkan kehamilan dan yang didaftarkan. Bagaimana dengan kelahiran yang tidak didaftarkan? Berapakah jumlah sebenar bayi-bayi yang dibuang atau di bunuh begitu sahaja, samada yang dijumpai atau yang tidak dijumpai?

4. Sedikit kaum lelaki dan ramai perempuan.

Statistik penduduk dunia pada hari ini menunjukkan bahawa jumlah perempuan adalah lebih ramai dari jumlah kaum lelaki. Di sesetengah negara terdapat nisbah bagi bilangan setiap lelaki berbanding dengan sebelas wanita (1:11). Dan kalau kita meneliti di merata tempat, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa perempuan adalah lebih ramai daripada lelaki.

Menurut Imam Ibnu Hajar, sebab bilangan perempuan lebih ramai dari kaum lelaki adalah akibat dari peperangan yang berlaku, kerena yang banyak terbunuh dalam peperangan adalah kaum lelaki, bukannya perempuan dan juga Allah SWT menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan dan sedikit sekali dari kalangan lelaki.

Jika dilihat di pusat pengajian tinggi awam dan swasta majoriti penuntutnya adalah pelajar perempuan. Begitu juga kakitangan awam kaum wanita melebihi kaum lelaki darisegi bilangannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika kita perhatikan keempat-empat tanda tersebut telah wujud di dalam kehidupan masyarakat kita maka tanda-tanda hampir kiamat itu telah berlaku. Maka perlulah kita bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T. Jauhkan diri daripada amalan dan perbuatan yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah S.W.T. Kerana saat datangnya kiamat besar hanya di dalam ilmu Allah S.W.T. termasuk kiamat kecil (kematian) kita  juga di dalam ilmu-Nya.

No comments: