Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Menurut Imam Abu Bakr al-warraq (guru al-Ghazali) : "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalan suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".
Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan nikmat Islam dan nikmat terlepas daripada kemungkaran, kerana kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat terakhir hayatnya".
Kita tidak boleh berperasaan terlalu yakin yang nikmat Islam yang kita miliki sekarang dapat kekal sehingga akhir hayat kita.
Untuk mengatasi perasaan terlalu yakin ini, kita mesti mempunyai perasaan khauf dan raja'.
Khauf ialah perasaan bimbang, takut atau cemas kepada Allah.
Raja' ialah perasaan mengharap kepada Allah.
Biasanya khauf dan raja' juga disebut dengan istilah "harap-harap cemas".
Kita juga kena sentiasa menaruh perasaan cemas, perasaan kalau-kalau, perasaan mana tahu, kerana kuasa mutlak adalah milik Allah.
Selayaknya sebagai hamba kepada Allah, kita kena sentiasa menaruh perasaan mengharap.
Mari pastikan perasaan khauf dan raja' ini telah kita miliki.
(Di petik daripada tulisan Tazkirah)
http://lenggangkangkung-my.blogspot.com
No comments:
Post a Comment