Saturday, April 23, 2011

Orang Mukmin Akan Menyediakan Amal Soleh Yang Berterusan Ketika di Dunia ini

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mukmin akan bercita-cita apabila kembali menemui Allah S.W.T. untuk menempah tempat duduknya di syurga di hari akhirat nanti. Cita-cita yang murni ini tidak akan berjaya diperolehi apabila tidak ada apa-apa pelaburan yang dibuatnya ketika di dunia. Dunia adalah tempat berusaha dan membuat pelaburan sebanyak mungkin untuk mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat nanti.

Jika kita bercadang untuk memperolehi keuntungan yang besar dalam perniagaan ketika di dunia ini maka kita akan berusaha, merancang dan menyediakan modal yang besar dan mengawasi setiap perjalanan perniagaan kita tanpa dibuat sambil lewa sahaja. Begitu juga hasil pelaburan yang akan kita perolehi  di akhirat nanti maka kita kena jalankan amalan dan kerja-kerja luar biasa untuk mendapat ganjaran pahala besar yang berlipatkali ganda.

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13)

Terdapat 9 golongan yang akan mendapat ganjaran yang besar di hari akhirat kerana kerja-kerja cemerlang yang telah disumbangkannya ketika di dunia.

 Golongan tersebut adalah seperti berikut :

1. Pemimpin yang adil.

2. Ulama yang menulis kitab (ilmu yang bermanfaat)

3. Pengasas Jemaah Islamiah

4. Ahli Sains yang menciptaan alat yang bermanfaat.

5. Dermawan sentiasa menyumbang untuk amal jariah

6. Pendakwah Islam (mengIslamkan ramai orang bukan Islam dan laksanakan amar makruf nahi mungkar

7. Para mujahidin (berjihad dijalan Allah)

8. Penulis Islam yang mengajak kepada kebaikan menulis dan menyampaikannya ilmu yang bermanfaat.

9.  Pengasas rumah anak yatim, maahad tahfiz dan sekolah agama.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Pemimpin yang adil.

Pemimpin yang adil akan mendapat naungan Arasy di Padang Mahsyar nanti.

Dari Abu Hurairah Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Tujuh Golongan yang akan dinaungi oleh Allah dibawah Naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya yaitu pemimpin yang adil, pemuda yang senantiasa rajin beribadah kepada Allah swt, laki-laki yang hatinya selalu terpaut dengan masjid, 2 orang yang saling mencintai karena Allah, berkumpul dan berpisah hanya karena Allah. Laki-laki yang diajak berzina oleh perempuan yang berkedudukan tinggi lagi berparas cantik lantas ia berkata “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT”, Laki-laki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan laki-laki yang senantiasa berdzikir kepada Allah hingga mengalir deras airmatanya”. ( Hadist Riwayat Bukhari-Muslim )

Pemimpin yang adil adalah pemimpin umat Islam yang menjadikan undang-undang Allah sebagai peraturan hidup dalam pemerentahannya. Adil dalam pembahagiaan kekayaan negara kepada rakyat yang berhak mendapatkannya. Tidak rasuah dan mengutamakan kroni dan ahli keluarganya tetapi mendahulukan keperluan rakyat. Segala pembangunan dan perancangannya yang dibuat untuk kemaslahatan rakyat jelata dan kebaikan itu berterusan maka dia akan mendapat pahala yang besar walaupun dia sudah meninggal dunia. Dia akan dimasukkan ke dalam syurga yang tinggi. Tetapi bila dia mengabaikan amanah dan berlaku zalim maka dia tak akan mencium bau syurga.

Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya :"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya". (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Ulama yang menulis kitab (ilmu yang bermanfaat)

Pahala yang besar diperolehi oleh para sahabat yang membukukan al-Quran, ulama-ulama hadis , ulama-ulama yang menulis kitab tauhid, feqah, tasauf dan ilmu-ilmu Islam yang lain yang mengandungi  peduman hidup umat Islam sepanjang zaman.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Allah senang terhadap orang yang belajar, namun lebih senang terhadap orang yang belajar dan mengajarkannya".

Termasuk juga ulama-ulama yang mampu memberikan fatwa dan ijtihad dalam urusan agama dan bila di amalkan oleh umat Islam maka mereka akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT.

Ketiga : Pengasas Jemaah Islamiah

Ketika umat Islam berpecah belah dan mereka membawa diri masing-masing maka Allah S.W.T. memberi hidayah dan datangkan pemimpin umat Islam yang menyatukan balik mereka supaya kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W. dan mencontohi manhaj tarbiah yang dibawa oleh  Nabi S.A.W. maka pengasas ini mempunyai saham yang cukup besar.

Setiap seratus tahun akan ada ulama besar yang akan lahir memberi semangat baru kepada umat Islam yang berpecah belah dan mengajak kembali kepada al-Quran dan as-sunnah Nabi SAW.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan hendaklah dikalangan kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah Ali-Imran ayat 104)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Keempat : Ahli sains yang menciptaan alat yang bermanfaat.

Para ahli sains yang mencipta alat-alat yang  bermanfaat untuk kegunaan manusia seperti letrik, telefon, komputer, kenderaan, alat untuk orang buta membaca (tulisan braille), mesin basuh, peri sejuk dal lain-lain lagi akan mendapat saham pahala yang berterusan jika penciptanya adalah orang Islam yang beriman. Termasuk juga kajian saintifik untuk sesuatu ilmu seperti ilmu falak, sains, matematik, geografi, sejarah dan lain-lain lagi. Jika hasil kajian itu dimanfaatkan oleh manusia lain hingga kehari kiamat pengkajinya akan mendapat pahala yang berterusan. Para saintis Islam dahulu sebenarnya adalah pengasa kepada ilmu sians sekarang ini maka mereka yang memulakan penemuan baru hingga digunakan oleh ahli sains terkemudian adalah mendapat saham yang besar.

Kelima : Dermawan sentiasa menyumbang untuk amal jariah

Islam mengalakkan umat Islam mencari harta yang halal supaya harta tersebut boleh di keluarkan sebagai zakat dan juga boleh disumbangkan untuk kemaslahatan umat Islam dan jihad fisabilillah. Kedudukan seorang hartawan yang dermawan sungguh mulia di sisi Allah S.W.T.

Berdasarkan hadis di atas seorang hartawan lagi dermawan akan mendapat perlindungan Arasy dihari kiamat. Dalam hadis yang lain mengatakan seorang dermawan akan masuk syurga dahulu sebelum ulama dan para syuhada.

Sedekah jariah yang disumbangkan untuk sekolah agama, masjid, maahad tahfiz, wakaf tanah perkuburan dan lain-lain lagi akan mendapat pahala yang berterusan.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat pula dengan manusia dan dekat dengan syurga, jauh dari neraka. Sesungguhnya orang yang kikir (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh pula dari manusia dan jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka. Seseorang yang bodoh tetapi dermawan itu lebih dicintai Allah daripada seorang alim yang pandai tetapi kikir. Penyakit yang paling parah adalah kikir."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Dar al-Quthni)

Keenam : Pendakwah Islam (mengIslamkan  orang bukan Islam dan laksanakan amar makruf nahi mungkar)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Menyampaikan seruan kepada perkara yang makruf dan menjauhi perkara mungkar itulah yang dinamakan dakwah kepada Allah. Dengan adanya umat Islam yang berdakwah, agama akan terus hidup dan berkembang di atas muka bumi Allah ini. Berdakwah perlu jalan serentak iaitu kepada orang Islam yang lemah imannya dan kepada orang bukan Islam.

Perlu ditegaskan, kewajipan berdakwah terpikul pada bahu setiap muslim dari pelbagai lapisan dan kedudukan berdasarkan kemampuan masing-masing dalam menegakkan kebenaran serta menghapuskan kebatilan.

Dalam konteks dakwah, Allah menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap santun dalam tindak tanduk kerana orang bukan Islam tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam jika yang digambarkan adalah kekasaran.

Bersifat santun bukan bererti tidak tegas atau menyerah kalah menurut kehendak orang bukan Islam. Bukankah Rasulullah SAW pada era permulaan dakwah Islam pernah diberikan tawaran harta benda, pangkat kedudukan dan wanita oleh Musyrikin Makkah supaya meninggalkan dakwahnya.

Namun, Rasulullah tetap istiqamah dan tegas dengan dakwahnya menyeru kepada keadilan dan keindahan Islam. Oleh itu, setiap Muslim perlu insaf, menyedari peranan dan tanggung jawab masing-masing memikul amanah dakwah Islam.

Jika kita berdakwah kepada orang bukan Islam , dengan izin Allah mereka beriman di atas usaha-usaha kita , maka pahala yang besar dan berterusan akan kita perolehi daripada orang tersebut hingga kepada keturunannya sehingga ke hari kiamat.

Ketujuh : Para mujahidin (berjihad dijalan Allah)

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : "Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar"

Kesungguhan dan kecekalan nabi Muhammad s.a.w dan pejuang Islam dalam menjaga dan mengembangkan dakwah Islam sehingga sanggup gugur syahid di medan perjuangan wajib diteruskan barulah kita dianugerahkan dengan kemuliaan di dunia dan akhirat. Tugas menyebarkan Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang mudah sebaliknya menuntut kepada penat dan lelah, tidak dihamparkan dengan permaidani merah.

Kelapan : Penulis Islam yang mengajak kepada kebaikan menulis dan menyampaikannya ilmu yang bermanfaat.

Kemajuan sains dan teknologi , internet dan ICT jika digunakan dengan baik akan memberi banyak manfaatnya. Ilmu-ilmu Islam yang banyak terdapat dibuku-buku ilmiah, penulisan ulama-ulama terdahulu yang merangkumi berbagai bidang ilmu pengetahuan telah dipermudahkan . llmu-ilmu Islam yang bermanfaat telah di catatkan dalam blog-blog, facebook, web site, E-Mail dengan mudah boleh dibaca dan difahami untuk dimanfaatkan bersama oleh umat Islam dan para pendakwah Islam.

Para penulis Islam perlulah berhati-hati dalam setiap penulisan, perlulah merujuk kepada bahan-bahan yang sahih iaitu daripada al-Quran sendiri, tafsir al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, penulisan ualam-ulama muktabar yang dahulu dan terkini dan merujuk fatwa dan ijtihad ulama yang tersohor masa kini . Setiap bahan yang disampaikan dan diambil menfaat oleh umat Islam seluruh dunia maka saham pahala yang berterusan tidak putus-putusa akan diperolehinya, insya Allah.

Kesembilan : Pengasas rumah anak yatim, maahad tahfiz dan sekolah agama dal lain-lain.

Kelebihan membela anak-anak yatim banyak disabdakan oleh Nabi SAW.  Cukup dengan hadis  berikut sebagai pembakar semangat:

“Aku dan pengasuh anak yatim (kelak) di syurga seperti dua jari ini (Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya.” (Hadis Riwayat  Bukhari)

“Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…”  (Hadis Riwayat at-Tabhrani)

Sungguh mulia bagi yang menjadi pembela anak-anak yatim.  Membena rumah untuk anak-anak yatim, memberi kasih sayang, menyara kehidupan mereka dan memberi pendidikan yang sempurna maka ganjaran besar akan mereka perolehi. Mereka akan mendampingi Nabi SAW  pada hari akhirat nanti dengan dampingan yang sangat rapat.

Begitu juga pengasas kepada maahad tahfiz, sekolah agama, sekolah pondok, pusat pengajian Islam dan madrasah yang menganjurkan pengajian ilmu-ilmu Islam akan mendapat saham bangunan yang dibena dan juga ilmu yang bermanfaat yang akan diterima oleh para penun tutnya.

Sahabat yang dikasihi,
Jika kita bergantung sepenuhnya amal soleh dan amal ibadah yang kita kerjakan ditakuti ianya tidak mampu nak menampung dengan dosa-dosa yang banyak telah kita kerjakan setiap hari tanpa kita sedari. Dosa mengumpat, dosa fitnah dan dosa tidak laksanakan amanah adalah merupakan dosa-dosa yang akan menghapuskan amalan-amalan kita tanpa disedari. Bukan itu saja malahan  ibadah kita pula tidak khusyuk, mungkin kita membuat sesuatau kerana riak atau ujub dan tidak melakukan dengan ikhlas.

Oleh itu untuk mendapat pahala yang luar biasa dan kebaikan yang berpanjangan perlulah kita melaksanakan perkara-perkara diatas yang telah dinyatakan. Marilah sama-sama kita beramal dan meyediakan prasarana berupa bangunan fizikal, buku-buku yang bermanfaat, bahan-bahan tarbiah, penulisan-penulisan yang mendatangkan kebaikan dan ilmu Islam, mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah SWT, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada kemunkaran adalah merupakan pakej-pakej pahala yang besar dan berterusan insya Allah akan dapat membantu kita ketika berada di hari akhirat nanti.

Orang Mukmin Sentiasa Menjauhi Tujuh Strategi Syaitan Untuk Mempengaruhi Manusia

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iblis telah berjanji dihadapan Allah SWT bahawa dia akan menggoda dan menyesatkan seberapa ramai manusia di muka bumi ini supaya mereka akan bersama-samanya di neraka.

Iblis dan bala tenteranya terdiri daripada syaitan dan jin akan bekerja siang malam tanpa jemu dan rehat untuk menyesatkan manusia yang leka dan lalai dan sentiasa mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT maksudnya : " ... dan (syaitan) itu mengatakan, 'Aku pasti akan mengambil bagian tertentu dari hamba-hamba-Mu, dan pasti akan ku sesatkan mereka, dan akan ku bangkitkan angan-angan kosong pada mereka..."
(Surah an-Nissa' ayat 118-119)

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah telah menyatakan terdapat tujuh strategi syaitan untuk menyesatkan manusia ke lembah nista yang akan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

Strategi tersebuat adalah seperti berikut :

PERTAMA : Syaitan menawarkan kekufuran.

Manusia dengan kadar keimanan yang tidak stabil sangat mudah terumbang ambing dalam kehidupannya. Peluang inilah yang dimanfaatkan sebaiknya oleh iblis atau syaitan untuk menggoda dan menghasut manusia untuk mengingkari Tuhan. Contohnya jika seseorang manusia itu ditimpa bencana, sakit atau sebarang musibah, lalu orang itu akan mudah berkata bahawa "Tuhan ini tidak adil". Sejak mendengar ucapan itu, syaitan telah mendorong manusia untuk terus mengingkari jalan Tuhan dan para nabi dan rasul-Nya bahkan memesongakn ajaran yang telah dipegang sehingga menjadi kufur dan sesat. Na'uzubillahiminzalik

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang jahiliah."
(Surah Ali-Imran ayat 154)

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan (kecurigaan), kerana sebahagian dari sangkaan itu dosa."
(Surah al-Hujurat ayat 12)

Do'a Sa'id bin Jabir, "Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu dan sebaik-baik sangkaan dengan-Mu."

KEDUA: Syaitan menawarkan segala hal yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Apabila manusia lari daripada sunnah Rasulullah SAW , dan mengambil sunnah yang lain iaitu amalan Yahudi dan Nasrani maka sebenarnya syaitan telah berjaya menguasainya. Segala bentuk penipuan dalam perniagaan, mengambil rasuah, malas menuntut ilmu, tidak mahu solat jemaah, menghina para ulama, mengambil asabiyah dalam perjuangannya dan banyak lagi. Semua hal itu adalah kenikmatan yang ada di dunia yang kosong dan menipu.

Oleh itu pastikan hidup kita sentiasa dihiasi dengan amalan, ajaran dan sunnah Nabi SAW semoga kita terselamat daripada tipu daya syaitan.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat petunjuk..(”Musnad Imam Ahmad, 4/126-127, Abu Daud, 5/13.no.4607, at-Tirmidzi, Kitab al-ilm, 5/44.no.2676, dia berkata, hadits Hasan Sahih, Ibnu Majah.no.96.43.)

KETIGA: Syaitan menawarkan dosa-dosa kecil .

Dalam kehidupan sehari-hari, manusia sangat mudah melakukan dosa-dosa kecil. Semua sifat-sifat mazmumah adalah dosa-dosa kecil seperti makan dan minum berlebih-lebihan, suka membuang masa dengan sia-sia, suka membazir, marah, hasad dengki, iri hati, kasih pada harta, riak, takbur, ujub dan kasih dunia.

Akhbar arus perdana  atau media elektronik juga turut menyuburkan dosa-dosa kecil ini dengan menyajikan sajian berita atau gosip-gosip artis, politik bahkan sesiapapun. Perlu diingat berterusan melakukan dosa-dosa kecil akan menjadi dosa besar. Jika satu dosa kecil dilakukan akan menjadi satu titik hitam, bila titik-titik hitam ini menjadi banyak maka hati akan mati dan tertutup hijab dengan Allah SWT.

Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”
(Surah Ali Imran: 135)

Kita tidak boleh menganggap remeh ke atas dosa-dosa kecil kerana Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

KEEMPAT: Syaitan menawarkan hal-hal yang melalaikan sehingga manusia terlalai dengan sifat-sifat yang wajib.

Ia dipanggil mubah atau boleh ertinya hal yang boleh dilakukan, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala dan tidak juga menjadi dosa. Bagaimana pun, mubah adalah awal kepada perbuatan dosa.

Contohnya dalam konteks keluarga, ibu-bapa yang leka dengan hiburan atau banyak membuang masa menonton television,  melayan hobi-hobi yang kurang manfaatnya sehingga terlupa mendidik anak-anak dan menguruskan rumah tangganya dan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat. Suka kepada kemewahan dalam menyediakan makanan, menghias rumah, kereta, kerap kali melancung tetapi rukun Islam ke 5 (menunaikan fardu haji) belum ditunaikan.

Sikap orang mukmin pula akan menjadikan perkara harus itu menjadi sunat apabila dia niatkan kerana Allah SWT. Makan, minum, tidur dan riadah semuanya adalah kerana Allah, insya Allah akan mendapat pahala.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

KELIMA: Syaitan menawarkan dosa besar seperti syirik, rasuah, zina, derhaka pada orang tua, fitnah, minum arak dan dosa besar yang lain.

Matlamat utama iblis dan syaitan laknatullah adalah untuk mensyirikkan dan memurtadkan  orang yang beriman jika ini berjaya maka iblis dan syaitan tak perlu bekerja keras lagi kerana matlamat utamanya telah tercapai. Jika yang ini gagal dia akan menggoda orang beriman supaya melakukan dosa-dosa besar yang lain kerana janji Allah SWT bahawa sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar sedangkan dia tak bertaubat maka nerakalah tempat tinggalnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ; “Wahai Iblis, bagaimanakah caranya kamu memperdayakan manusia?”

Berkata Iblis ; “ Ya Nabi Allah, pertama sekali aku palingkan imannya supaya manusia itu berubah I’tikadnya dari Mukmin kepada musyrik, baik dari segi perkataan maupun dari segi perbuatan dan niatnya. Kalau aku tidak dapat memalingkan dia dari I’tikad, maka aku akan mencari jalan supaya mengurangkan pahalanya didalam ibadah. Lama kelamaan dia akan terjerumus juga kedalam perangkap aku. Sebenarnya aku tak pernah lalai dan letih didalam melaksanakan kerjaku ini”.

KEENAM: Syaitan menawarkan ibadat yang dianggap utama sehingga ibadat yang lain  lebih utama sampai dilupakan.

Hal ini biasanya berkaitan dengan ibadat kepada Tuhan yang berlebihan sehingga ibadah kepada sesama manusia dan alam tidak ditunaikan. Contohnya kerana sibuk dengan amalan berzikir dan melakukan ibadah khusus maka mereka melupakan amalan kerja-kerja kebajikan dan  sosial seperti membantu kaum dhu'afa, menyelamatkan ekonomi umat Islam, membantu pendidikan dan keperluan  sosial yang lain. Malas menuntut ilmu kerana banyak berzikir (ibadah khusus) sebenarnya adalah datangnya daripada hasutan syaitan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu daripada sesuatu bab terlebih baik daripada kamu sembahyang seratus rakaat."

KETUJUH: Syaitan membawa bala tentera yang terdiri daripada jin dan pengikut manusia yang lainnya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (Surah al-An'am ayat 112)

Manusia yang menjadi  pengikut syaitan adalah manusia yang suka mencaci, saling memfitnah, berjudi, pelacuran, ataupun mengambil dadah sebagai makanannya. Manusia pengikut ajaran syaitan itulah yang akhirnya akan menjadi iblis besar.

Sahabat yang dikasihi,
Begitulah tujuh  strategi syaitan dalam menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan dan paling menakutkan kita adalah ianya sering berlaku di dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati Tuhan dengan membaca al-Quran, sentiasa beristighfar, solat malam, mengingati mati, memohon doa dan perlindungan dari Allah SWT semoga kita semua terpelihara dan di jauhkan-Nya daripada hasutan syaitan yang menyesatkan.

Friday, April 22, 2011

Jauhi 10 Sifat Orang Islam Yang Zalim Menurut Sufwan Atsauri

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang ulama dan ahli sufi yang terkenal bernama Sufwan Atsauri mengatakan terdapat 10 sifat orang Islam yang zalim (tidak melaksanakan hak sebagai seorang muslim).

Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan orang-orang mukmin .

Seorang muslim apabila berdoa hendaklah dia berdoa untuk dirinya sendiri dan juga untuk anak-anaknya, isterinya dan kaum muslimindan muslimat.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya (no.1982), bahwa Rasulullah SAW  pernah mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk Anas bin Malik, “Ya Allah, karuniakanlah harta dan anak kepadanya dan berkahilah dia.” (Lantaran doa itu, di kemudian hari), Anas bin Malik termasuk orang Anshar yang paling banyak memiliki harta.

Rasulullah SAW, dalam banyak riwayat diceritakan bahwa baginda juga sering berdoa untuk anak-anak baginda dan untuk anak-anak kaum muslimin.

Jangan lupa berdoa dan munajat untuk anak dan isteri selepas solat. Doanya: “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama.”

Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa.”

Kedua : Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

Jadikanlah bacaan al-Quran itu sebagai amalan harian yang tidak ditinggalkan sekurang-kurangnya membaca 100 ayat dan membaca terjemahannya sekali.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air" Seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi SAW. " Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran."

Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.

Ketiga : Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

Dari Abi Qatadah as-Salmi r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, hendaklah ia mengerjakan sembahyang (tahyatul masjid) dua rakaat sebelum ia duduk.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat : Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

Adalah menjadi sunnah Rasulullah SAW pergi menziarahi kubur dengan memberi salam dan berdoa kepada ahli kubur.

Dalam satu riwayat, ('Aisyah bertanya) "Bagaimana harus aku katakan (doakan) kepada mereka (ahli kubur) wahai Rasulullah?"

Nabi SAW  menjawab, "Katakanlah: 'Semoga keselamatan dilimpahkan ke atas ahli kubur, dari kalangan orang mukmin dan muslim. Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang telah meninggal dunia terdahulu atau terkemudian. Sesungguhnya, insyaAllah kami akan menyusul bertemu kamu semua." (Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Disunnahkan (atau dibolehkan) mengangkat tangan ketika mendoakan ahli kubur berdasarkan dari hadis yang sama:

فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ انْحَرَفَ فَانْحَرَفْتُ

Maksud: (Ketika di perkuburan Baqi') Baginda berdiri cukup lama dan kemudian mengangkat kedua tangannya tiga kali. Dan baginda pun kemudiannya terus pulang... (Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Kelima : Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak solat jemaah  (solat Jumaat)

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah SAW, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya yang bermaksud :”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”
(Hadis Riwayat Muslim)

Keenam : Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

Menunutut ilmu adalah dituntut dalam Islam, apabila berpeluang menuntut ilmu dengan orang alim maka janganlah dipersia-siakan peluang tersebut.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah akan memahamkannya dalam urusan agama.: (Hadis Riwayat Bukhari no. 71 dan Muslim no. 1037)

Nabi SAW berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj. "Wahai Ali ! Apabila seorang mukmin yang lebih dari empat puluh hari tidak berkumpul duduk dengan ulama maka hatinya menjadi keras dan berani mengerjakan dosa-dosa besar. Kerana sesungguhnya ilmu itu penghidup hati."

Ketujuh : Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

Apabila bertemu seorang muslim dengan muslim yang lain dan mereka saling memberi salam dan menyanyakan nama mereka (bertaaruf) maka dosa-dosa mereka akan dihapuskan oleh Allah SWT.

Apabila Rasulullah SAW bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata :
"Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu".
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a).

Kelapan : Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

Memenuhi undangan untuk hadir dimajlis jamuan saudara kita adalah wajib melainkan ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Hak Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam". (Baginda) ditanya: "Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah?" Jawab baginda:

1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.
2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya.
3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.
4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.
5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.
6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Kesembilan : Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

Seorang pemuda yang sihat tubuh badan, suka duduk menganggur dan tidak mahu bekerja dan menuntut ilmu adalah perbuatan yang tercela.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah, al-Baihaqi, Ibnu Abdil Barr dan Ibnu Adi daripada Anas bin Malik)

Kesepuluh : Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

Seorang mukmin yang membiarkan jiran tetangganya kelaparan sedangkan dia kenyang dan dia mengetahui keadaan tersebut maka perbuatan tersebuat adalah tercela dan dilarang dalam agama.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Tidak beriman kepadaku orang yang bermalam dengan kenyang sementara jirannya lapar padahal dia mengetahui hal itu."
(Hadis Riwayat al-Bazzar)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita tinggalkan 10 amalan yang zalim (amalan yang tidak baik) sebagaimana yang dijelaskan oleh Sufwan Atsauri dengan digantikan dengan amalan soleh dan dikasihi oleh Allah SWT. Semoga kita menjadi hamba Allah  yang taat dan patuh kepada-Nya dengan dihiasi akhlak Islam dan sifat-sifat mahmudah.

Thursday, April 21, 2011

Kesabaran Dalam Menahan Gelora Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang sempurna sifatnya telah diciptakan oleh Allah SWT dengan diberikan-Nya  akal dan nafsu. Akal akan berfikir dan menilai segala kebenaran yang di turunkan oleh Allah SWT melalui ar-RasulMuhammad SAW lalu mengimani dan meyakini di dalam hatinya. Manakala nafsu yang suka mendorong kepada keburukan perlu diawasi dan ditundukkan dibawah telunjuk iman  dan akal fikiran yang waras.

Bersabar di dalam konteks amalan hati ialah menahan nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, resah gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman kesusahan, ketidak selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau diingini. Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan iaitu :

1. Tabah dan tekun di dalam melakukan taat
2. Menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran
3. Memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan.
4. Tenang atau teguh hati menghadapi cobaan musibah

Sabar adalah satu tuntutan agama dan satu perisai untuk menahan diri daripada fitnah nafsu yang bergelora. Orang yang gagal bersabar akan gagal di dalam hidup dan akan rugi di dunia dan akhirat. Antara tujuan kita di suruh bersabar itu ialah:

1) Supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tenteram dan dapat kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya.

2) Untuk kita berfikir dengan lebih matang. Apabila nafsu telah menguasai akal, akal tidak dapat berfikir secara rasional di dalam menghadapi tindakan yang akan dilakukan. Segala yang dilakukan itu hanya betul mengikut ukuran nafsu. Akibatnya apabila terjadi kerusakan atau kecelakaan disebabkan tindakan itu, diri manusia sudah tidak dapat mengelak, jadilah manusia itu terbelenggu disebabkan perbuatannya sendiri. Kerana itu di dalam menangani nafsu yang bergelora, sabar itu sangat perlu. Di samping kita disuruh untuk bermujahadah (berperang) dengan nafsu yang jahat.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sejahat-jahat musuh kamu iaitu nafsu yang di antara dua lambungmu." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Selain daripada itu, sifat takwa perlu diusahakan dengan menanamkan iman di dalam diri. Untuk mendapatkan sifat takwa, kelemahan diri perlu diperbaiki. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki dirinya, hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Bukan kerana kaya atau berada, tetapi kerana puas kepada apa yang ada.

“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”(Hadis Riwayat Muslim)

Di samping itu apabila orang yang memiliki iman, sembahyangnya akan kusyuk, mereka menyempurnakan puasa dan menunaikan pembayaran zakat dengan segala adab dan tuntutannya, menunaikan Haji dengan memahami segala tujuan dan tuntutannya, menjauhkan diri dari maksiat dan dosa, menjauhi perbuatan zina dan perkara yang menghampirinya, tidak mengumpat, mengadu domba, menfitnah, tidak hasad dengki, tidak sombong, tidak ujub dan sum'ah (mencari nama dan pangkat), tidak pendendam dan lain-lain.

Bila dapat kemanisan iman. penderitaan menjadi kecil dan dunia tiada ruang di dalam hatinya. Hatinya akan asyik dengan Allah. Ini berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah SAW contoh Sayyidina Bilal apabila dijemur di tengah panas serta diazab untuk dipaksa kembali kepada kekufuran, dengan tenang dia menjawab, "Ahad, Ahad." Azab sengsara, tidak terasa dan mampu dihadapinya dengan tenang.

Ini juga berlaku kepada seorang sahabat Nabi SAW yang dicuri untanya ketika sedang bersembahyang, dia tidak menghentikan sembahyangnya itu. Kerana terasa kemanisan sembahyang dan tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Banyak lagi hal-hal yang sedemikian yang boleh kita baca di dalam sejarah kehidupan para sahabat RasulullahSAW.

Kerana itu kita perlu melakukan Mujahadatun Nafs (melawan hawa nafsu) dan membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah ( yang tercela ) seperti iri hati, dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, gila pangkat, gila puji, gila dunia, bakhil, sombong dan sebagainya.

Langkah pertama untuk mendapatkan iman ini, maka seseorang itu perlu mempunyai :

Pertama : Ilmu  Islam .

Perlu memiliki ilmu Islam yang sempurna dan tepat agar segala tindakan dapat diselaraskan dengan syariat dan kehendak Allah melalui hukum-hukum yang telah ditetapkannya.

Firman Allah SWT maksudnya : “………Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat……..”. (Surah al-Mujadillah ayat 11).

Kedua : Mempunyai keyakinan.

Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu wajiblah kita belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata.

Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk ragu-ragu dan mewas-waskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita akan terperangkap di dalam perangkap syaitan. Jikalau kita terperangkap di dalam jerat syaitan bagi soal-soal keyakinan, maka hapuslah segala pahala amal dan hapuslah iman. Jikalau terjadi demikian, maka matilah kita sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di dalam neraka.

Ketiga : Beramal dengan ilmu yang telah difahami dan diyakini.

Firman Allah SWT. dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
Keempat : Bermujahadah.

Bermujahadah melawan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan menghalang diri dari melakukan maksiat lahir dan batin.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan (fujur) dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."
(Surah As-Syams ayat 7-10)
Dan Ibnu Abbas berkata “ Takwa itu ialah bermudjahadah pada jalan Allah dengan benar-benar jihad, dan tidak dipengaruhi pada jalan Allah oleh celaan para pencela, dan menegakkan keadilan kerana Allah, walaupun terhadap diri sendiri, ibu dan bapak."

Kelima : Istiqamah beramal.

Istiqamah untuk melakukan amalan ketaatan dan ibadah serta menjauhi kemungkaran secara berterusan.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: "Istiqamahlah kamu semua, dan beruntunglah jika kamu istiqamah." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sayyidina Ali bin Abu Talib k.w. berkata: "Istiqamah adalah melaksanakan kewajiban-kewajiban."

Keenam : Mempunyai guru yang Mursyid yang dapat memimpin dan mendidik diri agar sentiasa taat kepada Allah.

Ketujuh : Selalu berdoa kepada Allah.

Doa adalah senjata orang mukmin kerana jikalau hanya usaha lahir saja dilakukan tanpa mengharapkan bantuan dari Allah, maka ia amat mustahil untuk membuang nafsu yang jahat di dalam jiwa manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal-Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan do’a orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku, serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Baqarah ayat 186)


3. Kita disuruh bersabar adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah :

" Dan Allah  mencintai orang-orang yang sabar." - (Surah Ali Imran ayat 146)

" Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas "
(Surah az Zumar ayat 10)


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersabar dalam menahan gelora nafsu amarah kerana hanya dengan bersabar akan menjadi ubat yang pahit tetapi mujarab di dalam menahan diri daripada nafsu dan godaan dunia. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita, sekaligus menolak kemudaratan kepada kita. Sebagai ubat 'kepahitan' hanya sesaat, akan tetapi 'kemanisannya' akan berpanjangan iaitu mendapat balasan syurga.

Wednesday, April 20, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Berhati-hati Dengan Bisikan dan Godaan Iblis

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Matlamat hidup Iblis adalah untuk menyesatkan anak Adam supaya mereka dapat tinggal bersama-samanya di neraka. Iblis akan menggunakan berbagai cara untuk membawa anak Adam kelembah maksiat dan meninggalkan amal soleh. Oleh itu berhati-hatilah terhadap hasutan dan tipu daya Iblis laknatullah.

Terdapat suatu kisah Iblis bertemu dengan Nabi Musa untuk pengajaran kita semua.

" Suatu hari Iblis datang bertemu Nabi Musa a.s. dengan memakai kopiah yang bersambung dengan baju sekali serta warna-warni. Apabila telah dekat dengan Nabi Musa, Iblis pun membuka kopiah itu. Kemudian ia mendekati Nabi Musa a.s. dan memberi salam,

"Assalamualaikum ya Musa!"

Nabi Musa a.s. menyahut : "Siapa engkau?"

Iblis menjawab : "Aku Iblis"

Nabi Musa lalu berkata : "Engkau tidak di beri penghormatan oleh Allah. Mengapa engkau datang ke mari?"

Iblis menjawab : "Aku datang untuk mengucapkan selamat kepada engkau, kerana kedudukan engkau dan tempat engkau di sisi Allah."

Nabi Musa selanjutnya bertanya : "Apakah yang aku lihat di kepala engkau itu?"

"Ini kopiah, untuk aku gunakan bagi menarik hati anak Adam," jawab Iblis.

Nabi Musa a.s. selanjutnya bertanya : "Bagaimanakah engkau selalu berjaya mempengaruhi manusia?"

Iblis menjawab ; "Aku berjaya kerana manusia itu menghairani dirinya (ujub), merasa banyak amalnya dan lupa akan dosanya."

Iblis selanjutnya mengingatkan Nabi Musa a.s. tiga perkara :

Pertama : Engkau jangan berada di tempat sepi (berdua-duaan) dengan wanita yang tidak halal bagi engkau.

"Apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, maka akulah temannya. Aku akan goda lelaki itu dengan wanita tersebut dan goda wanita itu dengan lelaki tersebut," kata Iblis.

Kedua : Engkau jangan berjanji dengan nama Allah sesuatu perjanjian kecuali engkau tepati janji itu.

Ketiga : Engkau tidak akan jadi mengeluarkan sedekah, kecuali engkau laksanakan terus.

"Sesungguhnya seseorang yang berniat hendak mengeluarkan sedekah, tidak jadi hendak melaksanakannya kerana aku menjadi temannya. Aku halangi dari menepati janji sedekahnya itu,"terang Iblis.

Selepas itu Iblis pun meninggalkan tempat tersebut dengan rasa kesal kerana perkara-perkara yang menakutkan anak Adam itu telah di ketahui oleh Nabi Musa a.s.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kisah tersebut di atas perlulah kita menjadikan ikhtibar bahawa tiga perbuatan tersebut janganlah kita lakukan kerana Iblis atau syaitan laknatullah berperanan menguasai manusia.


Pertama : Janganlah menghampiri zina (bertemu berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahram) kerana berkhalwat boleh mendatangkan perbuatan zina . Sedangkan zina adalah perbuatan yang terkutuk dan akan dilaknat Allah SWT.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al- Israa’ ayat 32)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.” (Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)


Dari Abu Hurairah katanya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Tiap-tiap anak Adam (manusia) itu mempunyai bahagian dari zina. Dua matanya berzina iaitu dengan memandang (yang di haramkan). Dua tangannya berzina iaitu dengan memegang. Dua kakinya berzina iaitu dengan berjalan. Mulutnya berzina iaitu dengan mencium. Dan hatinya bercita-cita atau berangan-angan, dan ia dibenarkan oleh kemaluannya atau didustakannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Apabila kita berjanji dengan nama Allah SWT maka tunaikanlah janji tersebut jangan kita mungkiri.

Firman Allah SWT  maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian." (Surah al-Maaidah ayat 1)

Perjanjian adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan menganggap ringan perjanjian dan tidak menepati apa yang diucapkan adalah dosa besar yang dibenci dan dimurkai Allah SWT. Sebagaimana Firman Allah SWT. dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Ketiga : Apabila kita berhajat untuk bersedekah  maka jangan ditunggu-tunggu maka terus ditunaikan kerana sikap bertangguh-tangguh amat disukai oleh Iblis.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW berpesan kepada umatnya supaya jangan tangguh-tangguh amal soleh dan amal kebaikan sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran yang boleh kita ambil iktibar daripada kisah diatas  pertemuan Nabi Musa dengan Iblis, kita hendaklah berhati-hati di dalam setiap amalan supaya kita dapat menjauhkan diri  daripada sifat ujub, elakkan perhubungan di antara lelaki dan perempuan tanpa ada mahramnya, jika berhajat untuk mencari jodoh pastikan mengikut nilai-nilai akhlak Islam dalam pemilihan jodoh. Begitu juga dalam perjanjian yang sudah dipersetujui bersama mestilah ditunaikan seperti yang ditetapkan dan juga jangan bertangguh-tangguh untuk bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim dan infak dijalan Allah SWT.

Letakkanlah Al-Quran dan sunnah Nabi SAW di hadapan kita, tanda kita beriman kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain dan gunakanlah sepenuhnya panduan ini yang akan membawa kita kejalan yang lurus dan di redai oleh Allah swt  di dunia dan akhirat.

Orang Mukmin Sentiasa Memakan Makanan Yang Halal dan Menjauhi Makanan Haram dan Syubhat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah menyediakan rezeki yang banyak dimuka bumi ini untuk semua makhluk-Nya. Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT semuanya halal kecuali apa yang dijelaskan di dalam al-Quran  dan hadis Nabi SAW.

Halal ertinya boleh, jadi makanan yang halal ialah makanan yang dibolehkan untuk dimakan menurut ketentuan syariat Islam, segala sesuatu baik berupa tumbuhan, buah-buahan ataupun binatang pada dasarnya adalah halal dimakan, kecuali apabila ada nash Al-Quran atau Al-Hadis yang menjelaskannyanya. Ada kemungkinan sesuatu itu menjadi haram kerana memberi mudarat bagi kehidupan manusia seperti racun, barang-barang yang menjijikan , binatang yang mempunyai bakteri atau kuman dan sebagainya.

Allah berfirman SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT adalah Zat Yang Maha Baik, tidak mau menerima kecuali yang baik, dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin sesuai dengan apa yang diperintahkan kepada para Rasul. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu sekalian…”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW, ditanya tentang minyak sanin, keju dan kulit binatang yang dipergunakan untuk perhiasan atau tempat duduk. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam Kitab-Nya adalah halal dan apa yang diharamkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah haram, dan apa yang didiamkan (tidak diterangkan), maka barang itu termasuk yang dimaafkan”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Turmudzi).

Berdasarkan firman Allah dan hadis Nabi SAW, dapat disimpulkan bahwa jenis-jenis makanan yang halal ialah :

1. Semua makanan yang baik, tidak kotor dan tidak menjijikan.
2. Semua makanan yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
3. semua makanan yang tidak memberi mudarat, tidak membahayakan kesihatan jasmani dan tidak merosak akal, moral, dan akidah.
4. Binatang yang hidup di dalam air, baik air laut maupun air tawar.

Kategori produk dan pemakanan dalam Islam

1- Halal - Guna, perkenal dan niagakan. (Semua bahan mentah dan ramuan yang terbabit dalam penghasilannya dalah halal. Selamat untuk akal dan tubuh badan, bebas dari bahan mentah dan ramuan najis, tidak dari sumber babi, anjing dan binatang najis, tidak diproses, disedia atau dikilang alat-alat yg tidak bebas dari benda najis.)

2- Haram -Jauhi sejauh-jauhnya produk yang yang tidak diizinkan syarak untuk diguna atau dinikmati oleh umat Islam khususnya.(kerana boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh badan , akal, guna bahan ramuan dianggap najis, ramuan dari binatang yang tak dibenarkan, binatang yang tak disembelih dan cara pemprosesan yang melanggar kehendak syarak)

3- Syubhah - Diragui status samaada halal atau haram. Langkah yang terbaik adalah meninggalkannya.

An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya...".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama ialah: asal hukum dalam semua perkara -kecuali ibadah yang mempunyai kaedah lain- adalah harus hingga datang dalil yang menunjukkan kepada haram. Ini berdasarkan kaedah: "Perkara yang haram ialah apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya manakala apa yang didiamkan daripadanya adalah suatu yang dimaafkan."

Sungguhpun begitu al-Quran telah memberikan panduan tentang makanan yang bagaimanakah yang perlu dan boleh dimakan.

1. Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan  kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” (Surah al-Baqarah ayat 168)

2. Firman Allah SWT maksudnya : “Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157)

Al-Quran telah menegaskan bahawa makanan yang dihalalkan oleh Allah ialah yang baik-baik sahaja. Justeru itu makanan yang memudaratkan agama dan kesihatan adalah haram dan termasuk di dalam al-khbai’th.

Perkara-perkara yang diharamkan:

 1) Bangkai.

Ini berdasarkan firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah; 'Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’am ayat 145)

2) Darah yang mengalir.

Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.
Ibn Abbas r.a telah ditanya tentang limpa, lalu beliau menjawab: “makanlah”, lalu mereka berkata: “ia adalah darah”, jawab beliau: “yang diharamkan kepada kamu hanyalah darah yang mengalir”.

3) Babi.

Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.(Surah al-An'am ayat 145)

4) Sembelihan untuk selain daripada Allah.
Dalilnya ialah ayat-ayat di atas. (Surah al-An'am ayat 145)

Maksudnya ialah binatang disebutkan nama selain dari Allah semasa penyembelihan itu. Begitu juga sembelihan yang ditujukan kepada selain daripada Allah, samada disebut namanya atau tidak semasa penyembelihan, bahkan sekalipun dibacakan bismillah.

5) Semua binatang buas (as-Siba’) yang bertaring.

Kata Ibn al-Athir: “iaitu binatang pemangsa yang memakan secara menerkam seperti: singa, harimau, serigala dan seumpamanya.

Sabda Nabi SAW maksudnya :“Setiap yang memiliki taring dari kalangan pemangsa, maka memakannya adalah haram“. (Hadis Riwayat Malik, Muslim dan lain-lain dari hadis Abi Tha’labah al-Khusyani).

Al-Syafi’e berpandangan bahawa as-siba’ yang diharamkan ialah yang menyerang manusia seperti singa, harimau dan serigala.

6) Semua jenis burung berkuku tajam dan menyambar.

Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas dan setiap yang berkuku (claw) dari burung.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan burung yang mempunyai kuku ialah: yang kukunya tajam digunakan untuk menangkap dan melukakan serta mengoyak mangsa. Contohnya: helang, enggang, gagak dan layang-layang. Dikecualikan daripadanya: merpati dan burung-burung kecil; kerana ia termasuk dalam al-mustatob (perkara yang dipandang baik).

7) Keldai peliharaan.

Di antara perkara yang diharamkan oleh Nabi SAW dalam peperangan Khaibar ialah keldai peliharaan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Para ulama sepakat tentang halalnya keldai liar -dan kuda belang dan seladang

Nabi SAW telah dihadiahkan dengan keldai liar lalu baginda memakannya. (Hadis Riwayat al-Bukhari dari hadis Abi Qatadah).

Al-Jallalah (Binatang yang memakan kotoran).

Iaitu binatang yang memakan kotoran dan sesuatu yang menjijikkan. Ibn Hazm menghadkannya hanya kepada yang berkaki empat sedangkan Ibn Hajar menyatakan ianya umum. Dalilnya:

1. Hadis Ibn Umar: Rasulullah SAW melarang dari memakan al-jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi yang mensahihkannya).

2. Hadis Ibn Abbas: Larangan itu ialah tentang memakan al-jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim. At-Tirmizi mensahihkannya).

9) Anjing dan kucing.
Hampir tiada khilaf di kalangan ulama tentang pengharaman anjing .Pengharaman anjing datang dengan beberapa faktor:

a).  Ia adalah najis menurut jumhur ulama; lantaran arahan Nabi SAW supaya bekas yang dijilat oleh anjing hendaklah dibasuh 7 kali yang pertama dengan air tanah. (Hadis Riwayat Muslim).

b). Ia termasuk di dalam al-mustakhbath (yang dipandang jijik);

c). Ia memakan kotoran.
    Larangan Nabi SAW daripada memakan harga anjing dan kucing. (Riwayat as-sahih).

10) Semua jenis binatang yang menjijikkan.

Firman Allah SWT:
” dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157)

Kebanyakan ulama memberikan garis panduan dalam hal ini seperi berikut:

Apa yang dipandang jijik dan kotor oleh manusia (yang murni fitrahnya) dari jenis haiwan – bukan kerana sesuatu ‘illah atau kerana tidak biasa sebaliknya semata-mata kerana menganggapnya jijik, maka ia adalah haram.
Apabila sebahagian manusia menganggapnya jijik sedangkan yang tidak, maka yang diambil kira ialah tanggap majoriti.

Setiap yang jijik di sisi syarak itu tentulah akan memudaratkan diri dan agama manusia.
Kebanyakan haiwan yang tidak dimakan oleh manusia sedangkan tiada dalil yang jelas menunjukkan ia haram, merupakan haiwan dari kategori ini.

11) Semua binatang yang diarahkan untuk dibunuh atau dilarang dari dibunuh.

Sebilangan ulama berpendapat bahawa binatang-binatang yang dilarang oleh Nabi SAW dari membunuhnya atau yang diarahkan untuk membunuhnya adalah haram.

Binatang yang diarahkan bunuh:

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Dari ‘Aisyah bahawa Rasul SAW bersabda: "5 jenis binatang semuanya fawasiq boleh dibunuh di Tanah Haram: burung gagak, burung layang-layang, kala jengking, tikus, anjing dan al-’aqur (sejenis binatang yang menggigit).” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai).

Binatang yang dilarang bunuh:

Sabda Nabi SAW maksudnya :Dari Ibn Abbas bahawa Nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri.

12) Binatang beracun samada yang ikan atau selainnya, diburu atau dijumpai mati.

Ini adalah jelas kerana Islam melarang al-khabai’th. Juga dengan umum ayat:
Firman Allah SWT  maksudnya : ” Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah ayat 195)

13) Haiwan dua alam:

Kata al-Qadi Ibn al-’Arabi: Pendapat yang sahih berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang; kerana terdapat percanggahan dalil halal dan haram. Lalu kami memenangkan dalil haram sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat).

Sementara sebilangan ulama pula berpandangan bahawa semua haiwan yang memang hidup di laut adalah halal sekalipun ia mungkin boleh hidup di daratan kecuali katak kerana ada dalil lain berhubungnya.

14) Binatang yang tidak disebutkan statusnya:

Berdasarkan sabda Nabi SAW maksudnya :“Apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, maka ia halal. Apa yang Allah haramkan, maka ia haram. Apa yang Allah diamkan tentangnya, maka ia adalah dimaafkan.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dan katanya: sanadnya sahih, juga disahihkan oleh al-Hakim).

Apa yang dinyatakan di sini adalah secara ringkas saja jenis-jenis perkara-perkara yang diharamkan memakannya berhubung persoalan halal dan haramnya binatang-binatang yang mempunyai berbagai-bagai spesis. Pendetailan tajuk boleh dirujuk di dalam kitab-kitab tafsir dan hadis ahkam serta buku-buku Fiqh.

Sahabat yang dimuliakan,
Selain daripada perkara yang diharamkan seperti  di atas, terdapat lagi beberapa  perkara lain yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

1. Minuman keras (arak) (Terdapat 10 perkara yag dilarang mereka yang  terlibat dengan arak)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesuatu yang memabukkan dalam keadaan banyak, maka dalam keadaan sedikit juga tetap haram.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, Abu Dawud dan Turmudzi).

2. Makan hasil curi dan penipuan, pelacuran dan perbomohan.

Rasululullah SAW enggan makan daging kambing yang dihidangkan kepadanya dan berkata yang bermaksud : “Aku mendapati daging kambing ini diambil tanpa izin dari pemiliknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

 Abu Mas’ud al-Ansari ra berkata:  “Nabi SAW menegah dari harta hasil jualan anjing, hasil pelacuran dan hasil perbomohon (dengan cara yang dilarang).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Hasil daripada menggambil riba

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu ..." (Surah al Baqarah ayat 278-279)

4. Menggambil duit rasuah

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani)

5. Hasil daripada bermain judi

Allah berfirman maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. (Surah al-Baqarah ayat 219)

6. Hasil daripada jualan barang haram seperti daging babi, anjing, arak, dadah dan lain-lain

Haram ertinya dilarang, jadi makanan yang haram adalah makanan yang dilarang oleh syarak untuk dimakan. Termasuk sumber daripada jualan barang-barang yang haram adalah haram.

 Apakah kesan dan akibat buruk yang akan diterima oleh sesiapa yang memakan dan mengambil benda haram?
Akibat-akibatnya adalahg seperti berikut :

1. Doa orang yang memakan daripada sumber yang haram atau makanan dan minuman yang haram tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Di riwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya : “Kemudian Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menyebutkan orang yang lama bepergian, rambutnya kusut, berdebu, dan menengadahkan kedua tangannya ke langit, 'Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,' padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan diberi makan dengan yang haram, bagaimana doanya dikabulkan?”

2. Kehidupan seseorang yang menggunakan sumber yang haram atau makanannya dari barang yang haram tidak berkat, rumah tangga akan porak peranda dan jiwa anak-anak tidak akan tenang, syaitan akan mudah menguasai mereka.

Nabi berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Orang yang mencari rezeki haram, apabila ia berjalan kaki , syaitan selalu mememaninya. Dan kalau ia naik kenderaan, syaitan ikut membonceng. Orang yang mengumpulkan harta haram, syaitan selalu ikut makan bersamanya. Wahai Ali ! Seorang mukmin selalu meningkat agamanya selama ia tidak memakan yang haram."

2. Jika meninggal dunai dan  tidak sempat bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam api neraka .

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya". (Hadis Riwayat Al-Tarmizi)

3. Menyebabkan Allah S.W.T murka. (Apabila perkara haram menjadi amalan manusia samaada daripada makanan, minuman, perbuatan, pekerjaan dan lain-lain)

Alllah S.W.T. akan menurunkan bala dalam bentuk kehancuran sesebuah negara. Mereka yang terlibat secara langsung juga telah turut menyumbang kepada kehancuran tamadun bangsa dan negaranya sendiri. Sebab itulah seseorang yang mempunyai sifat amanah dan tanggungjawab yang tinggi serta iman yang mantap dan kuat, sudah pasti tidak sanggup melakukan dosa yang sebegini berat, yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada diri dan umat manusia seluruhnya. Firman Allah S.W.T. bermaksud :
"Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya saat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri binasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya".(Surah Al-Isra' ayat 16)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita supaya dapat dijauhi semua perkara-perkara yang haram  dan mendatangkan dosa samaada makanan, minuman, pekerjaan, pergaulan, perjuangan dan amalan kehidupan sehari-hari. Ambillah ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan kita dan laksanakan semua perintah Allah SWT  dan tinggalkan semua larangan-Nya. Ikutilah sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan perkara bid'ah dalam agama kerana banyak bid'ah yang di ajarkan oleh Yahudi dan Nasrani adalah  sesat dan menyesatkan.Sentiasalah bertaubat kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Monday, April 18, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Di mana Punca Kebinasaan Seseorang

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Selagi akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak di capai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah SWT. 

Maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik-beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya:". 

Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?" (Kebinasaan seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau orang tuanya, atau keluarganya, atau jirannya). 

Nabi Muhammad SAW menjawab, "Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya di jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya".

(Hadis Riwayat Baihaqi )

Huraiannya :

Benar sekali sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang yang mengetahui perkara-perkara yang diharamkan dalam agama tetapi terpaksa juga mereka menceburkan diri ke dalam lumpur kemaksiatan untuk melayan kehendak isteri, anak, orang tua, keluarga ataupun jiran mereka.

Jauhi 15 Bahaya Lidah Yang Boleh Mencampakkan Seseorang ke Neraka Jahanan

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia dikurniakan oleh Allah SWT lidah. Lidah adalah daging yang lembut terletak di dalam mulut manusia. Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh mendatangkan dua akibat (kesan) yang besar iaitu samaada ke syurga atau ke neraka. Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya insya Allah ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalah gunakan akan membawa pelakunya ke neraka. Nabi SAW pernah memberi isyarak kepada sahabat bahawa dua anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : "...sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di bantingkan muka mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat Bukhari)l

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :

"Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)".

Terdapat 15 bahaya yang timbul akibat ucapan (lidah) yang membawa pelakunya ke neraka, perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Mengucapkan sesuatu yang tidak perlu

Kita hendaklah menahan lidah daripada mengucapkan perkataan yang tidak berfaedah dan boleh mendatangkan dosa. Lidah perlu dibasahkan dengan zikir kepada Allah SWT

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sebahagian daripada bukti keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Kedua : Terdorong mengucapkan perkara yang batil (dosa)

Bermegah-megah dan menceritakan pada orang lain perbuatan maksiat yang dia lakukan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk juga suka berbantah-bantahan dengan orang alim dan tidak mahu menerima teguran dan mempertahankan pendapatnya yang jahil.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka perbantahan dan permusuhan".

Ketiga : Bercakap membuta tuli (tidak ikut hukum Islam dan bercakap tidak berdasarkan ilmu disebabkan kejahilannya)

Nabi SAW telah menyatakan bahawa orang yang paling dibenci dan jauh tempatnya dari baginda pada hari kiamat nanti, ialah orang yang banyak bercakap tapi tidak tentu arah kerana ia tidak berfikir sebelum bercakap.

Keempat : Memaki hamun dan cakap kotor

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji dan bercakap kotor".

Nabi SAW berpesan kepada Sayidina Ali k.wj. maksudnya :

"Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri.

Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya.

Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."

Kelima : Nyanyian

Nabi SAW telah memperingatkannya melalui sebuah hadis yang bermaksud : "Nyanyian akan menumbuhkan kemunafikan (nifiq) di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur-sayuran". (Hadis Riwayat Baihaqi dan Ibnu Abu Dunya)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Selagi akan ada di kalangan umatku orang-orang yang memakai (menghalalkan) kain sutera dan nyanyian"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud : "Dan sebahagian manusia ada yang membeli percakapan kosong (lahwal hadis) untuk menyesatkan (orang lain) daripada Allah."

Apabila ditanya Ibnu Mas'ud makna 'lahwal hadis' dalam ayat tersebut, beliau mengatakan 'nyanyian' bukan yang lain.

Nyanyian yang dimaksudkan di sini adalah nyanyian yang melekakan daripada mengingati Allah SWT. Senikata lagunya membenarkan perbuatan maksiat. Penyanyinya pula seorang wanita yang mendedahkan aurat, berhias (tabaruj), menggunakan suara yang merdu dan mempersonakan.

Tetapi sekiranya nyanyian tersebut berunsur dakwah, tidak melalaikan kewajipan, tidak menghalalkan yang haram dan nyanyian itu dilakukan oleh lelaki atau mahram kaum lelaki dan tidak nyaring serta tidak diiringi dengan sesuatu yang haram.

Keenam : Bergurau

Bergurau tidak berdosa selagi gurauan itu tidak melampau batas, kerana Nabi SAW sendiri pernah bergurau tapi tidak pernah terkeluar daripada memperkatakan yang benar. Itu pun jarang dilakukan Nabi. Pada umumnya , banyak bergurau akan mengurangkan ketenangan dan boleh menumbuhkan kedengkian, tapi gurauan yang sedikit atau sekadar menghilangkan kebosanan, tidak mengapa.

Ketujuh : Mengejek atau memperolok-olokkan

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olakkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan (ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat ayat 11)

Diriwayatkan bahawa ayat diatas diturunkan kerana utusan Tamim telah menghina golonqan fakir miskin dari kalangan sahabat Nabi SAW. seperti Bilal, 'Ammar, Shuhaib, Khabbab, Ibnu Fuhairah, Salman Al Farisy, Salim maula Abi Huzaifah dan lain lain.

Kelapan : Menyebarkan fitnah, sumpah palsu, berdusta dan berbohong.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumpah palsu termasuk perbuatan yang mendapatkan azab besar. Selanjutnya, dalam suatu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. disebutkan, sumpah palsu termasuk di antara perbuatan yang berdosa besar (Hadis Riwayat Tirmidzi).  

Bahkan, masih menurut riwayat Abu Hurairah, termasuk dalam lima dosa besar yang tidak diampuni dengan kafarat ialah sumpah palsu dengan maksud mengambil harta orang lain.  

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

Kesembilan : Tidak mengambil undang-undang Allah SWT dalam memutuskan sesuatu perkara.

Golongan yang mengunakan lidah-lidah mereka untuk menggubal, bersetuju dan membahaskan dan meluluskan rang undang-undang ciptaan manusia walaupun bertentangan dengan  al-Quran dan sunnah dan berhukum dengan hukuman yang di cipta oleh manusia sebenarnya golongan ini meletakkan Allah dan Rasul-Nya  dibelakangnya. Al-Quran melebalkan golongan ini samaada kafir, zalim atau fasik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir" (Surah al-Maidah ayat 44)

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim" (Surah al-Maidah ayat 45)

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang fasik." (Surah al-Maidah ayat 47)

Kesepuluh : Mengumpat.

Ketika Haji Widak, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya darah kamu , dan kehormatan kamu adalah haram atas kamu (mencabulinya) (Hadis Riwayat Jamaah)

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah SAW. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah SAW  di tanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Kesebelas : Mengadu domba (menghasut)

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba."

Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj: "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Kedua belas : Lidah bercabang dua

Maksud lidah bercabang dua adalah seorang yang berulang alik di antar dua orang yang bermusuhan, untuk menyampaikan ucapan salah seorang daripada mereka kepada yang seorang lagi. Tujuannya adalah supaya dia disanjung oleh kedua-dua pihak dan untuk dia mendapat habuan dunia, dan supaya kedua-dua pihak sentiasa bermusuhan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Manusia paling jahat ialah sidua muka, apabila ia mendatangi kelompok  manusia maka ia membawa muka yang satu, dan apabila ia datangi kelompok manusia yang lain maka ia membawa muka yang satu lagi."

Ketiga belas : Memuji

Ini juga termasuk bahaya yang timbul daripada lidah. Sebab , memuji seseorang yang tidak sepatutnya menerima pujian itu atau pujian yang berlebihan yang tidak sesuai dengan hal yang sebenarnya sehingga jatuh kepada dusta atau memuji orang yang sepatutnya dicela.

Suatu pujian sering membuat orang yang menerimanya besar diri dan ujub, sedangkan Nabi SAW melarang demikian.

Nabi SAW berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Apabila engkau disanjung orang dihadapanmu, ucapkanlah : 'Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka katakan, ampunilah dosaku apa yang mereka tidak ketahui, janganlah aku disiksa tentang apa-apa yang mereka ucapkan' . "

Keempat belas : Bersumpah setia kepada selain Allah

Allah SWT telah menerangkan di dalam al-Quran bahawa kita tidak boleh bersumpah setia kepada sesuatu sebagai tandingan bagi keagungan atau kebesaran Allah. Sumpah setia seperti itu boleh menjerumuskan orang berkenaan ke dalam neraka.

Kelima belas : Jangan berkata "kalau" pada kejadian yang telah berlaku.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud ; "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini kerana perkataan “kalau” membuka pintu perbuatan syaitan." (Hadis Sahih Riwayat Muslim , no: 4816)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga lidah kita supaya sentiasa bercakap benar dan janganlah kita menyempang daripada jalan Allah SWT. Allah SWT  sentiasa bersifat benar, begitu juga para rasul bersifat sidek. Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.Mereka berjuang melupuskan segala pendustaan, kepalsuan dan kepura-puraan dalam hidup.Mereka memperjuangkan keadilan dan nilai kemanisan hidup berteraskan kebenaran.

Apabila kebenaran di abaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan lidahnya sentiasa buat pendustaan amalan kehidupan seharian. Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan ummat manusia.Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas, jujur dan didikasi.Benar pada niat dan kemahuan fikiran dan tindakkan dan benar pada kata-kata pernyataanya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikkan dan kebajikan itu membawa kepada Syurga. Seorang yang sentiasa berlaku benar, nescaya akan tercatat di sisinya Allah s.w.t sebagai sidek (org yg benar) dan sesungguhnya bohong membawa keburukkan dan keburukkan itu membawa ke neraka. Seseorang yang suka berbohong, nescaya tercatat disisi Allah SWT sebagai kazab(pembohong)''

 Semoga kita semua patuh dan tunduk kepada semua yang disuruh-Nya dan sentiasa diredai-Nya  di dunia dan akhirat dan dimasukan Allah SWT kedalan syurga-Nya.