Showing posts with label Syukur. Show all posts
Showing posts with label Syukur. Show all posts

Saturday, May 14, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Amalkan Syukur, Taubat, Istikharah dan Musywarah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Imam Al-Ghazali berkata:
"Kata setengah hukama : "Barangsiapa diberi Allah Taala akan dia akan empat perkara nescaya tiada ditegahkan daripada empat perkara:

Pertama : Barangsiapa diberi akan syukur nescaya tiada ditegahkan akan tambahan nikmatnya.

Kedua : Barangsiapa diberi akan taubat nescaya tiada ditegahkan kabulnya.

Ketiga : Barangsiapa diberi akan istikharah nescaya tiada ditegahkan akan kebajikan.

Keempat : Barangsiapa diberi akan musywarah nescaya tiada ditegahkan akan kebenarannya."

Hurainanya :

Pertama : Barangsiapa diberi akan syukur nescaya tiada ditegahkan akan tambahan nikmatnya.

 Sekiranya kita sentiasa bersyukur kepada Allah SWT maka Dia akan memberi tambahan nikmat di jalan yang tidak disangka-sangka.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Kedua : Barangsiapa diberi akan taubat nescaya tiada ditegahkan kabulnya.
Sekiranya seorang mukmin itu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang sebenar-benarnya nescaya doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Allah SWT cukup cinta dan kasih kepada para hamba-hamba-Nya yang bertaubat hingga menitiskan air mata penyesalan.

Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."
Ketiga : Barangsiapa diberi akan istikharah nescaya tiada ditegahkan akan kebajikan.

Sekiranya kita melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk daripada Allah SWT supaya diilhamkan kebaikan dan kebenaran nescaya kita akan mendapat kebajikan di sisi Allah SWT. Pemilihan kita akan bertepatan dengan kehendak Allah SWT bukannya berdasarkan nafsu dan akal fikiran kita semata-mata.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa..."

Dari sebuah hadis yang maksudnya : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada Tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda atau perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” 
(Hadis Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi)
Keempat : Barangsiapa diberi akan musywarah nescaya tiada ditegahkan akan kebenarannya."

Sekiranya kita sentiasa bermusywarah (bermasyuarat) di dalam semua urusan yang penting nescaya Allah SWT akan berikan pertolongan-Nya  dan ditunjuki jalan kebenaran.

Al-Hasan Al-Bashri mengatakan : "Tidaklah sebuah kaum bermusyawarah di antara 
mereka kecuali Allah akan tunjuki mereka kepada yang paling utama dari yang 
mereka ketahui saat itu." (Ibnu Hajar mengatakan: "Diriwayatkan oleh Al-Bukhari 
dalam Al-Adabul Mufrad dan Ibnu Abi Hatim dengan sanad yang kuat." Lihat Fathul 
Bari, 13/340)
  
Allah perintahkan Nabi SAW untuk bermusyawarah dengan sahabat-sahabat baginda 
padahal baginda sudah cukup dengan bimbingan dari Allah. 
Hal ini dalam rangka memberi contoh 
kepada umatnya sehingga mereka mengikuti baginda ketika dilanda suatu masalah, 
dan ketika mereka bersepakat dalam sebuah perkara, maka Allah akan memberikan 
taufiq-Nya kepada mereka kepada yang paling benar. (Tafsir Ath-Thabari, 
4/152-153 dengan diringkas)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama melaksanakan amalan yang disukai oleh Allah SWT dan amalan ini sentiasa dihayati oleh Nabi SAW iaitu bersyukur, bertaubat, beristikharah dan bermasywarah semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi pula adalah ditambah nikmat dan rezeki , dikabulkan doa, sentiasa diberikan kebajikan dan sentiasa memperolehi jalan kebenaran.