Saturday, May 8, 2010

Iman Ada Masa Naik dan Turun

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ketika terdengar suara azan menggema memanggil-manggil diri kita untuk menghadap Allah s.w.t  kadang-kala tak terdetik sedikit pun keinginan di hati kita untuk memenuhinya dengan alasan sibuk dan ada urusan lain yang perlu di siapkan lagi. Sedangkan Nabi s.a.w. menyatakan tidak ada amalan yang lebih baik dilakukan oleh seseorang melainkan menunaikan solat setelah mendengar azan.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara. Contohnya, dengan menghadiri majlis ilmu, tilawah dan tadabbur Al-Qur'an, berusrah, sentiasa bermuhasabah, beristiqamah melakukan kebaikan atau berkumpul dengan orang-orang soleh dan sebagainya.


Terdapat beberapa tanda menunjukkan iman kita mula turun :

1. Terjerumus dalam kemaksiatan itupun dalam maksiat-maksiat kecil yang kita lakukan seperti mata kita lihat, apa yang telinga kita dengar, apa yang kaki dan tangan kita lakukan, dan apa yang mulut kita bicarakan.

2. Tidak tekun dan malas beribadah. Solat dibuat tidak tepat pada waktunya dan tidak membaca al-Qur'an atau pun solat-solat sunat duha, witir, tahajud dan sebagainya.

3. Pudarnya ikatan silaturahim dan lemahnya ikatan ukhwah Islamiyah. Tidak suka menziarahi saudara mara dan sahabat handai.

4. Sibuk dengan urusan duniawi hinggakan sampai tak ada masa solat berjemaah bersama keluarga atau solat berjemaah di masjid.

5. Banyak alasan apabila diajak kepada program tarbiyah dan majlis ilmu.

6. Tidak suka mengajak yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran.

Jadi... apa ya penyebabnya?

1. Jauh dari suasana keimanan (seperti Pengajian dan berkumpul dengan orang2 sholeh)

2. Jauh dari pelajaran dan teladan yang baik.

3. Jauh dari menuntut Ilmu syari'ah.

4.. Berada di lingkungan yang penuh maksiat.

5. Tenggelam dalam kesibukan duniawi.

6. Panjang angan-angan.

7. Berlebih-lebihan dalam hal tidur, makan dan tertawa.

Sebenarnya masih banyak lagi penyebab dan tanda-tandanya. Kita patut bersyukur jika Allah s.w.t masih mengingatkan kita disaat iman kita sedang turun. Kita masih sedar dan ingat. "Ya Allah imanku sedang turun. Segala puji bagi Engkau ya Allah yang telah mengingatkan aku,  aku harus kembali kejalan-Mu aku tidak boleh larut dengan suasana jahiliyah. Engkau yang mengawal hati ini Ya Allah, maka sentiasa tetapkanlah aku di jalanMu."

Apa kata kalau kita melakukan sedikit anjakan paradigma dengan mengajukan soalan "Kaifahaimanuka (Bagaimana iman kamu)" Macamana  nak jawab? Tepuk dada tanyalah kepada iman.

Namun yang teruknya atau dalam bahasa doktor "sudah sampai tahap kritikal ni", iman kita turun,  turun dan terus turun, namun kita tidak pernah tau keadaan iman kita sendiri. Kita tidak tahu kalau kita sudah begitu jauh dari Allah.

Kita tenang dan tidak melakukan apa-apa seolah-olah tidak terjadi apa-apa sementara syaitan gembira mempermainkan kita dalam lingkaran mereka. Berdo'alah kepada Allah "Ya Allah... wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati ini dijalanMu Ya Allah"

Sekaranglah saatnya, sebelum semuanya menjadi terlambat. Marilah kita sama-sama menanam pada diri kita bahwa "Aku perlu meningkatkan imanku kepada Allah dan membuangkan segala sifat-sifat mazmumah"

Semoga ALLAH swt melimpahkan rahmat maghrifah dan inayah-Nya kepada kita semua. Ameen.

Tujuh Kebahagiaan Dunia

Dari Ibnu Abbas r.a katanya : " Ada tujuh petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

1. Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur

2. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh

3. Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh

4. Albiatu sholihah, iaitu suasana yang kondusif (baik)  untuk iman kita

5. Al malul halal, atau harta yang halal

6. Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama

7. Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah."

Lima Amalan Membantu Untuk Menghadapi Kematian

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali."
(Surah al-Anbiyak ayat 35)

Hidup dizaman kemajuan ICT dan dunia tanpa sempadan, kejadian mati mengejut dan mati ditimpa musibah adalah sesuatu perkara biasa. Di negara kita sendiri kematian disebabkan kemalangan jalan raya, mati disebabkan sakit jantung dan mati dibunuh (samaada kerana rompakan atau dendam) adalah beberapa kes kematian mengejut yang sering berlaku setiap hari.

Soalannya, apakah persiapan kita bila mati datang mengejut? Adakah kita telah membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Ketika itu apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh?

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat lima amalan atau persiapan yg perlu kita lakukan sebelum ajal datang menjelma, maksudnya kita dah buat persiapan awal tanpa kita tunggu masa yg sesuai, selagi boleh kita buat kita terus buat.


Amalan Pertama : Setiap hari hendaklah bertaubat dan beristighfar.
Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Rasulullah s.a.w .beristigfar lebih tujuh puluh kali sehari supaya lidah dan hati sentiasa menyebut dan mengingati Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)”
(Surah Al-Anfal ayat 33)

Amalan Kedua : Betulkan solat kita dan cuba untuk khyusuk. Jangan lambat-lambatkan solat bagi lelaki cuba solat berjemaah dimasjid. Solat adalah amalan yg pertama disemak jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain.
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Amalan Ketiga selesaikan semua hutang :
Roh seorang muslim yang beriman atau pun roh seorang syuhada' akan tergantung diantara langit dan bumi kerana hutangnya yg belum diselesaikan. Jangan tanguh-tanguh untuk membayar hutang. Apabila mempunyai wang yang cukup terus membayarnya.

Salah satu perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan. Anak-anak ,isteri dan waris-watis pula tidak tahu ataupun tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut Hadis org yg mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya terapung-apung dilangit dan semua amalannya tergantung.

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah saw:" Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.''
(Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Oleh itu tulislah satu surat wasiat menyenaraikan semua hutang-hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang, serahkan kepada waris terdekat apabila mati minta warisnya tolong selesaikan supaya rohnya kembali kepada Allah s.w.t. dalam keadaan tenang tidak tergantung.

Amalan Keempat :Banyakkan tiga perkara yg boleh membantu ketika dialam barzakh :
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu :
1.Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
2.Ilmu yang di menfaatkan. dan
3.Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”

Oleh itu banyakkan sedekah jariah,membina rumah anak-anak yatim, sekolah tahfiz dan madrasah, membina masjid dan surau dan rumah-rumah kebajikan.

Sekiranya mempunyai ilmu, perlulah ilmu tersebut diajarkan dan disebarkan kepada umat Islam supaya ilmu tersebut boleh dimanfaatkan. Penyebaran ilmu boleh dibuat melalui internet, ceramah, penulisan buku atau risalah dan pengajian di sekolah-sekolah dan masjid-masjid.

Didiklah anak-anak kita semuanya supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan kita sekiranya kita telah berada dialam barzakh.

Amalan Kelima : Meminta maaf kepada semua orang yang kita melakukan dosa kepada mereka. Tidak perlu menunggu Hari Raya. Dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati orang dan mengambil hak mereka. Jika kita telah terambil hak atau barang-barang mereka maka pulangkanlah.

Anak segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapa. Isteri hendaklah segera memohon ampun kepada suami.Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru. Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan dosa kerana Allah s.w.t. tidak akan mengampunkan dosa yang dibuat sesama manusia.

Sahabat yang dihormati,
Amalkanlah lima perkara tersebut sebagai usaha-usaha kita semasa di dunia ini supaya apabila kita bertemu Allah di alam barzakh dan hari akhirat nanti kita telah membuat sesuatu yang dapat membantu kita dan menyelamatkan kita daripada halangan dan gangguan untuk mendapat keampunan di sisi Allah s.w.t.

Thursday, May 6, 2010

Lapar Rasulullah s.a.w.

Muslim dan Tirmidzi telah meriwayatkan dari An-Nu'man bin Basyir ra. dia berkata: "Bukankah kamu sekarang mewah dari makan dan minum, apa sahaja yang kamu mahu kamu mendapatkannya? Aku pernah melihat Nabi kamu, Muhammad saw hanya mendapat kurma yang buruk sahaja untuk mengisi perutnya!"

Dalam riwayat Muslim pula dari An-Nu'man bin Basyir ra. katanya bahawa: "Pada suatu ketika Umar ra. menyebut apa yang dinikmati manusia sekarang dari dunia! Maka dia berkata, aku pernah melihat Rasulullah saw seharian menanggung lapar, kerana tidak ada makanan, kemudian tidak ada yang didapatinya pula selain dari kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya."

Suatu riwayat yang diberitakan oleh Abu Nu'aim, Khatib, Ibnu Asakir dan Ibnun-Najjar dari Abu Hurairah ra. dia berkata: "Aku pernah datang kepada Rasulullah saw ketika dia sedang bersembahyang duduk, maka aku pun bertanya kepadanya: 'Ya Rasulullah saw! Mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk, apakah engkau sakit?' Jawab baginda: 'Aku lapar, wahai Abu Hurairah!' Mendengar jawapan baginda itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan beliau itu. Beliau merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata: 'Wahai Abu Hurairah! Jangan menangis, kerana beratnya penghisaban nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia.' (Kanzul Ummal 4:41)

Bukhari dan Muslim meriwayatkan pula dari Urwah dari Aisyah r.ha. dia berkata: "'Demi Allah, hai anak saudaraku (Urwah anak Asma, saudara perempuan Aisyah), kami senantiasa memandang kepada anak bulan, bulan demi bulan, padahal di rumah-rumah Rasulullah Saw tidak pernah berasap.' Berkata Urwah ra: 'Wahai makcikku, jadi apalah makanan kamu?' Jawab Aisyah r.ha: 'Kurma dan air sahaja, melainkan jika ada tetangga-tetangga Rasulullah Saw dari kaum Ansar yang membawakan buat kami makanan. Dan memanglah kadang-kadang mereka membawakan kami susu, maka kami minum susu itu sebagai makanan'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:155)


Tarmidzi memberitakan dari Masruq, katanya: "Aku pernah datang menziarahi Aisyah r.ha. lalu dia minta dibawakan untukku makanan, kemudian dia mengeluh: 'Aku mengenangkan masa lamaku dahulu. Aku tidak pernah kenyang dan bila aku ingin menangis, aku menangis sepuas-puasnya!' Tanya Masruq: 'Mengapa begitu, wahai Ummul Mukminin?!' Aisyah r.ha menjawab: 'Aku teringat keadaan di mana Rasulullah saw telah meninggalkan dunia ini! Demi Allah, tidak pernah baginda kenyang dari roti, atau daging dua kali sehari'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:148)

Ibnu Majah dan Baihaqi meriwayatkan pula dari Abu Hurairah ra. katanya: "Sekali peristiwa ada orang yang membawa makanan panas kepada Rasulullah saw maka beliau pun memakannya. Selesai makan, beliau mengucapkan: 'Alhamdulillah! Inilah makanan panas yang pertama memasuki perutku sejak beberapa hari yang lalu'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:149)

Tirmidzi memberitakan daripada Abu Talhah ra. katanya: "Sekali peristiwa kami datang mengadukan kelaparan kepada Rasulullah Saw lalu kami mengangkat kain kami, di mana padanya terikat batu demi batu pada perut kami. Maka Rasulullah saw pun mengangkat kainnya, lalu kami lihat pada perut baginda terikat dua batu demi dua batu." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:156)

Bukhari dan Ibnu Abid Dunia meriwayatkan dari Aisyah r.ha. dia berkata: "Bala yang pertama-tama sekali berlaku kepada ummat ini sesudah kepergian Nabi saw ialah kekenyangan perut! Sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan merajalelalah syahwatnya!" (At-Targhib Wat-Tarhib 3:420).

Muhasabah dari tauladan kita untuk sama-sama kita renungkan....

Mata Kerohanian (mata batin)

Inilah mata hati atau mata rohaniah. Ia bersifat maknawiah atau abstrak. Yakni hanya pada makna saja, tidak pada rupa. Dilihat tidak ada, tetapi terasa adanya. Fungsinya sangat berbeza dengan mata lahir yang hanya mampu melihat objek-objek lahir saja itu. Mata hati ini berkemampuan melihat benda-benda yang batin atau benda-benda yang ghaib atau benda-benda maknawiah seperti alam roh, alam malakut, alam jin, alam Barzakh, alam Akhirat, Loh Mahfuz, mampu menampung ilmu wahyu, ilmu laduni atau ilmu ilham hatta mampu tajalli terus dengan Allah s.w.t. secara laisakamislihi syaik ( – tidak seumpamaNya bagi sesuatu) dan lain-lain lagi dengan izin Allah.
Mengikut kaedah kekuatan mata lahir tadi yang terbahagi kepada empat itu, ditafsirkan kekuatan mata batin juga terbahagi kepada empat kategori iaitu:

1. Pandangan mata hati yang tajam atau luar biasa.
Ini hanya dimiliki oleh para Rasul dan para Nabi. Mata hati mereka mampu melihat alam-alam ghaib tadi dengan izin Allah. Mampu menampung ilmu wahyu dan sesetengah mereka dapat tajalli terus dengan Allah Azzawajalla, yang tidak dapat digambarkan secara material atau secara makhluk atau benda.

2. Kekuatan pandangan mata hati biasa.
Ini hanya dimiliki oleh para wali atau orang yang bertaqwa yang mata hati mereka tembus, dapat melihat alam-alam ghaib dan dapat menampung ilmu laduni dengan izin Allah.

3. Pandangan mata hati yang rosak (kabur biasa dan kabur kuat).
a. Kabur biasa .Ini mata hati orang-orang soleh yang walaupun mereka tidak mampu melihat alam-alam ghaib tetapi diberi keyakinan dan keteguhan hati tentang persoalan iman dan persoalan ghaib. Kalau ada pun golongan ini yang dapat melihat alam ghaib atau menangkap alam rohaniah atau dapat ilmu laduni, itu terlalu sedikit atau sekali-sekala. Mungkin ia dibantu oleh berkat seseorang seperti berkat gurunya.

b. Kabur kuat (hampir buta)
Ini mata hati orang mukmin `asi atau mukmin yang derhaka atau fasik atau zalim. Mata hati ini sudah ada hijab, tidak dapat melihat alam ghaib dan keyakinan tentang alam ghaib pun tidak begitu padu, sudah samar-samar tetapi tidak menolaknya.

4. Pandangan mata hati yang buta.
Ia langsung tidak nampak alam ghaib. Dan tidak ada keyakinan langsung tentang alam kerohanian dan alam ghaib yang tepat. Ini dimiliki oleh orang kafir atau orang munafik.

Bagaimana pula dengan mata batin? Kaedah yang berlaku pada mata lahir ini berlaku juga pada mata batin. Mata batin ini kalau tidak sakit atau tidak berpenyakit, ia dapat menangkap objek-objek maknawiah atau yang berbentuk rohaniah yang Allah hadapkan padanya dengan baik. Kalau ia tidak sakit, ia bersih dan tidak berselaput atau istilah syariatnya, ia tidak ada hijab.

Apabila hati itu bersih, ia macam cermin yang bersih. Ia dapat menangkap apa saja objek yang ada di hadapannya dengan baik dan jelas. Kalau cermin itu makin bersih kerana rajin menggilapnya maka makin bertambah jelaslah gambar-gambar (arca atau imej) yang ada di hadapannya. Kalau ia terlalu bersih, kekuatan mata hati macam cermin yang digilap dihadapkan setentang dengan Loh Mahfuz; yakni tempat segala suratan takdir Allah tercatat di sana sama ada yang sudah berlaku, yang sedang berlaku atau yang akan berlaku. Semua hal ada di sana tanpa tertinggal satu pun. Bagi hati yang terlalu bersih seperti hati para rasul dan nabi-nabi itu, kekuatan mata hati mereka itu mampu melihat atau menangkap gambaran (objek maknawiah atau rohaniah) yang ada di Loh Mahfuz dengan izin Allah s.w.t.. Hatta mereka dapat terus tajalli dengan Allah Al Khalik dengan secara `laisakamislihi syaik'.

Taraf yang di bawah ini ialah hati para wali iaitu mempunyai kekuatan mata hati di peringkat kedua. Yakni mata hati tembus yang dapat melihat alam ghaib. Mungkin dapat melihat alam roh atau alam jin atau alam malaikat, alam Barzakh atau dapat membaca hati manusia atau diperlihatkan hal-hal masa depan yang akan berlaku dengan izin Allah. Itulah yang dikatakan kasyaf. Jika berlaku kepada Rasul dan Nabi, ia dikatakan sebagai mukjizat maknawiah. Tetapi bila berlaku pada wali-wali, ia dianggap sebagai karamah maknawiah.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Takutlah kamu akan firasat orang mukmin. Sesungguhnya mukmin itu melihat dengan nur Allah."
(Riwayat at-Tabrani).

Bagaimana hati boleh melihat alam batin atau maknawiah atau alam bukan material itu? Umpama burung, hati terkurung dalam sangkar badan. Oleh kerana sangkar itu kuat dan berat, maka burung terpaksa terkurung dalam sangkar yang sempit dan menyeksakan itu. Sempit gelanggangnya, terbatas juga penglihatannya. Iaitu sekitar dalam sangkar atau di luar sangkar yang jaraknya hanya beberapa depa saja.

Walhal kalau burung itu besar dan kuat, tentu saja dia dapat terbangkan sangkar tersebut. Yakni kekuatan sangkar itu dapat dikalahkannya. Maka dibawalah sangkar tersebut terbang ke merata-rata tempat, sekadar yang termampu. Padahal waktu itu dia masih berada di dalam sangkar. Tetapi sekurang-kurang- nya penglihatan, pandangan dan pengalamannya sudah jauh. Bukan sekadar sekitar jarak dua tiga depa saja. Penglihatannya seluas mana dan sejauh mana kemampuannya membawa sangkar itu.

Paling hebat kalau burung itu mampu pecahkan sangkar. Tidak terkurung dan terikat lagi. Di waktu itu ia bebas terbang ke mana saja. Boleh pergi ke jarak yang lebih jauh lagi. Ikut saja kemahuan hati. Tidak ada halangan apa-apa lagi. Dapat terbang sebebas-bebasnya seperti burung-burung yang lain. Atau boleh terbang ke tempat yang burung lain tidak boleh pergi. Tentulah pandangan dan penglihatannya juga makin jauh. Tentu sekali sangat berbeza dari alam sangkar yang sempit sebelumnya.

Demikianlah hati, kalau ia gagah, kuat dan teguh (kerana terlalu bersih), ia mampu menerobos keluar daripada sangkar badan dan bebas terbang ke mana saja ia suka. Atau kalau dia tidak terlalu kuat mungkin tidak dapat bebas daripada sangkar badan tetapi mampu terbangkan badan secara rohaniah. Macam burung yang dapat terbangkan sangkar tadi. Ertinya di waktu itu dia terkeluar daripada pengaruh benda (material). Pengaruh itulah yang menjadi penghalang besar selama ini. Walhal bila pengaruh itu tidak ada lagi, dia cukup bebas, merdeka, boleh berlegar-legar terbang ke mana saja. Sehingga dapat melihat alam yang selama ini bukan alamnya iaitu alam ghaib atau alam rohaniah. Maka tersingkaplah alam ghaib yang penuh rahsia itu.

Kalau burung yang kecil dan lemah terkurung selama-lamanya dalam sangkar, maka hati yang lemah juga akan terkurung selama-lamanya dalam jasad. Roh dan hati yang lemah tidak dapat mengatasi jasad. Pengaruh materiallah yang melemahkan hati. Itulah penyebab utama hati terkurung dan terpenjara. Akhirnya hati itu jadi kabur dan buta. Maka terhijablah ia selama-lamanya daripada melihat alam rohaniah atau alam ghaib. Bagaimanakah proses terhijabnya mata hati ini? Proses yang berlaku pada mata lahir jadi rosak atau buta ialah berpunca daripada penyakit dan sakit, hingga berselaput dan tidak boleh melihat objek-objek yang ada di hadapannya. Proses atau kaedah yang sama juga berlaku pada mata batin. Mata batin juga boleh rosak atau buta disebabkan penyakit-penyakit batin. Inilah yang jadi selaput atau hijab sehingga tidak dapat melihat alam rohaniah atau alam ghaib serta tidak dapat menangkap sesuatu yang bersifat rohaniah.

Hijab-hijab hati antaranya disebabkan oleh:
1. Penyakit syirik jali atau kekufuran atau kemunafikan.
2. Penyakit syirik khafi iaitu riyak, ujub, sombong, sum`ah, pemarah, pendendam, bakhil, penakut, cinta pangkat, cinta nama dan lain-lain lagi.
3. Penyakit cinta dunia dalam semua hal. Baik yang halal, haram, makruh dan syubhat.
4. Penyakit cinta dunia yang harus atau halal sahaja.

Jadi hati boleh dikategorikan kepada empat peringkat:

PERTAMA: Hati para rasul, nabi-nabi dan wali-wali Allah
Hati mereka terlalu bersih. Tidak terlibat langsung dengan penyakit-penyakit hati yang menghijabkan. Pada para rasul dan nabi-nabi, Allah perlihatkan alam ghaib, alam malakut, alam Barzakh, alam jabarut, alam Akhirat, alam jin, Loh Mahfuz dan lain-lain lagi.

Mata hati mereka mampu menangkap benda-benda maknawiah iaitu ilmu yang bersifat wahyu. Yakni ilmu yang jatuh ke hati secara direct daripada Allah. Ini adalah anugerah-Nya atau wahbiah yang ianya didapati tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar atau tanpa berguru. Kalau ada perantaraan pun, ianya daripada malaikat. Ini hati peringkat pertama iaitu hati para rasul dan nabi-nabi. Sementara hati wali-wali berada di bawah sedikit daripada hati para rasul dan para nabi ini. Mereka juga dapat menangkap sesuatu yang berbentuk maknawiah seperti ilham atau ilmu laduni.

KEDUA: Hati orang soleh
Hati mereka ini sedikit terhijab kerana tersangkut dengan hijab keempat iaitu terpaut dengan dunia yang harus atau halal sahaja. Walhal mereka tidak terhijab dengan hijab-hijab lain. Walau bagaimanapun mata hati mereka masih bersih daripada kekufuran, bersih daripada kemunafikan, bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta terlepas daripada cinta dunia yang haram, makruh dan syubhat. Tahap hati ini mungkin sekali-sekala Allah perlihatkan juga alam ghaib. Atau mungkin dapat menangkap objek-objek (benda-benda) yang bersifat rohaniah atau maknawiah iaitu ilmu yang bersifat ilham atau ilmu laduni. Yakni ilmu yang terus jatuh ke hati, yang datang terus daripada Allah secara wahbiah. Mendapat ilmu tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar dan tanpa berguru. Atau ia juga diberi rasa hati atau gerakan hati yang tepat dan benar, yang disebut juga sebagai ilmu firasat.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu Hadis Qudsi:
Maksudnya: "Namun hamba-Ku itu sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan perkaraperkara yang sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya untuk dia mendengar, dan penglihatannya untuk dia melihat."
(Riwayat Bukhari)

Bagi rasul dan nabi, Allah kurniakan ilmu wahbiah ini melalui perantaraan malaikat saja. Manakala pada wali-wali atau orang soleh, ilmu ilham ini diberi melalui perantaraan malaikat, rasulrasul, nabi-nabi, wali atau jin-jin yang soleh.

KETIGA: Hati mukmin yang `asi atau yang derhaka
Mata hati mereka terhijab dengan penyakit. Yakni hati yang cinta dunia dalam semua hal. Tidak kira halal, haram, makruh atau syubhat. Juga mereka masih mengekalkan sifat-sifat mazmumah. Walau bagaimanapun mereka terlepas daripada syirik dan kekufuran serta kemunafikan. Mata hati golongan ini sangat kabur macamlah cermin yang kotor disebabkan habuk, wap atau air. Ia akan gelap atau terus jadi kabur. Akibatnya benda-benda yang ditangkapnya juga jadi kabur dan samar. Tidak dapat menangkap alam ghaib atau alam maknawiah (ilmu laduni). Mereka bagaikan orang yang teraba-raba dalam gelap walhal matanya celik.

KEEMPAT: Hati orang kafir atau munafik
Mata hatinya terhijab dengan penyakit syirik jali iaitu kufur dan munafik. Atau terhijab dengan keempat-empat kategori di atas. Jadi hijabnya sangat tebal. Mata hati jadi buta, gelap dan tidak nampak apa-apa. Macam cermin yang terlalu tebal karatnya hingga menutupi seluruh cermin. Apa saja yang ada di hadapannya, tidak dapat ditangkap gambar (arca) itu. Oleh itu dia tidak nampak tentang alam ghaib, langsung tidak kenal tentang adanya Tuhan, Allah yang wujud itu. Seperti firman Allah maksudnya: "Dan barangsiapa buta (di dunia) ini akan buta pula di Akhirat dan terlebih sesat lagi dari jalan yang benar." 
(Surah Al Israk: 72)

Untuk golongan ini Allah berfirman:
Maksudnya: "Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta." (Surah Al Baqarah: 10)

Tuesday, May 4, 2010

Hak Muslim Terhadap Muslim

Hak sebagai seorang Muslim kepada Muslim yang lain.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda:
1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.
2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya.
3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.
4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.
5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.
6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Malaikat Maut Memerhati Wajah Manusia 70 kali Dalam Sehari


MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

BERSEMADI...alam barzakh menjadi tempat persemadian sebelum manusia dibangkitkan pada hari akhirat.SEDIH...kematian adalah dugaan bagi menilai keimanan selepas berpisah dengan insan tersayang.

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup.

Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian.

Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.

Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).

Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian 'menjemput' manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.

Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."


Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas.

Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

"Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

"Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.

Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan.Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.

Sayyidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.

Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.

Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.

Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam(berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.

"Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

"Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya," katanya.

Dr Mahmood Zuhdi berkata tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

"Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

"Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian," katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan."Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

"Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah," katanya.