Saturday, October 2, 2010

Amalkanlah Lima Penawar Untuk Hati.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yang sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.

Hati yang sejahtera dipanggil juga sebagai jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Tuhan ikhtiraf sebagai hamba-Nya dan layak memperolehi ganjaran Syurga-Nya di akhirat nanti.

Untuk memiliki hati yang sejahtera dan tenang maka ianya perlu kepada penawarnya. Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada lima :

Pertama : Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya.
Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah  ramai di kalangan umat Islam yang membaca al-Qur'an tetapi melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kekuatan besar dari sentuhan Al-Qur’an ini dirasakan benar oleh para sahabat Rasulullah kerana memang mereka menerima Al-Qur’an ini dengan segenap hati, pikiran dan kemauan mereka.

Seperti yang diriwayatkan oleh Ath-Thobroni dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin Amr bin Ash bahwa ia berkata: “Ketika turun surah Az-Zalzalah, maka serentak Abu Bakar yang sedang duduk waktu itu menangis.

Maka Rasulullah s.a.w. pun menghampirinya dan bertanya, “Apa yang membuat engkau menangis wahai Abu Bakar?”.

Surah inilah yang membuat aku menangis”.

Maka Rasulullah menenangkan dengan sabdanya:“Jika kalian tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka itu melakukan salah dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni mereka.”

Maka sangat tepat ungkapan Dr. Yusuf Al-Qaradlawi yang menegaskan bahawa:“Al-Qur’an adalah “roh Rabbani” kekuatan Rabbani yang akan mampu menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati. Sebagaimana Al-Qur’an juga undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa secara kolektif.”

Kedua : Mengosongkan perut.
Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi s.a.w. sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Orang Islam itu tidak makan kecuali lapar, dan mereka berhenti makan sebelum kenyang. "

Kata Imam Shafie, perut kita terbahagi kepada tiga iaitu sepertiga makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi udara."

Jika keseimbangan antara ketiga-tiganya tidak di capai, maka kita akan menjadi malas untuk beribadat ataupun untuk bekerja. Apabila perut kurang diisi dengan makanan, maka kita menjadi rajin dan ringan tulang untuk menambahkan ibadat kita. Tidak hairanlah jika kita dapat menggandakan amalan kita pada bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain.

Ketiga : Bangun bersolat malam.
Ramai orang boleh bangun malam tetapi bangun kerana untuk qadha' hajat atau kerana anak menangis, atau kerana ingin melihat perlawanan bola sepak, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau dua rakaat, memang sangat berat.

Solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat mu’akkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Keempat : Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur.
Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab do'a ialah ketika waktu sahur.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.
(Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :"Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Kumakbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Kuampunkan?"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Duduk di majlis orang-orang soleh.
Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan hati dan jiwa.

Firman Allah s.w.t. maksudnya :“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Az-Dzariyat ayat 55)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : “Sesungguhnya para Malaikat mengepakkan sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi).

Hadis yang lain sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu niscaya Allah akan mudahkan baginya jalan menuju Syurga "(Hadis Sahih Riwayat Al Jami)

"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga". (Hasid Riwayat Muslim).

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.”(Hadis Riwayat Bukhari)

"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sampai dia kembali" (Hadis Shahih Riwayat Tirmidzi)

“Siapa yang mati ketika menuntu ilmu, untuk menobat dan memperkasakan Islam maka jarak antaranya dengan para nabi di Syurga kelak adalah sekadar satu tingkat sahaja.”(Hadis Riwayat  ad-Darini)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan lima penawar atau petua untuk memulihkan hati-hati kita supaya ianya sejahtera dan sihat daripada segala penyakit hati. Jika kita biarkan hati kita yang sedang sakit dan tidak di cari penawarnya dikhuatiri hati yang sakit ini akan terus menjadi parah dan payah untuk diubati. Syarat untuk memasuki Syurga Allah hati itu mestilah hati yang bersih, sihat dan sejahtera.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Wahai mereka yang berjiwa mutmainnah (tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku."
(Surah Al-Fajr ayat 27-30).

Fiqh Dakwah : Syeikh Juma'ah Amin.

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang ulama' terkenal bernama Syeikh Juma'ah Amin mengatakan bahawa terdapat 10 kaedah atau cara berdakwah yang berkesan yang perlu diperhatikan oleh setiap para pendakwah. Kaedah tersebut adalah seperti berikut :

Kaedah 1 : Al-qudwah qabla dakwah ( menjadi qudwah sebelum berdakwah )

Kaedah 2 : Ar-Ta’lif qabla ta’rif ( menjinak dan mengikat hati sebelum memperkenalkan )

Kaedah 3 : At-ta’rif qabla taklif (memperkenalkan sebelum member tugas )

Kaedah 4 : At-tadarruj fi taklif ( bertahap dalam memberikan tugasan )

Kaedah 5 : At-taisir la ta’sir ( memudah bukan memayah)

Kaedah 6 : Al-Usul qabla furu’ ( memulakan yang pokok sebelum cabang )

Kaedah 7 : At-targhib qabla tarhib ( member harapan bukan ancaman)

Kaedah 8 : At-tafhim la al-talqin ( memberi kefahaman bukan menyampaikan semata-mata)

Kaedah 9 : at-tarbiyah la at-ta’riyah ( pendidikan bukan menelanjangi keburukan)

Kaedah 10 : Tilmizu imam la tilmiz kitab ( murid kepada guru bukan murid kepada buku)

Friday, October 1, 2010

Suami Yang Soleh

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suami soleh adalah seorang suami yang berpegang teguh dengan syariat Allah dalam kehidupannya. Dia menunaikan segala kewajipan Allah, keluarga dan semua orang yang menjadi tanggungannya dengan penuh semangat dan lapang dada. Dia juga tidak tamak, tidak menuntut hak lebih banyak dari yang semestinya bahkan bertolak ansur dengan kekurangan yang ada.

Antara ciri-ciri suami yang soleh ialah seperti berikut.
 
1. Memiliki hati yang lemah lembut.
Suami soleh haruslah memiliki hati lembut dan perasan yang peka, dapat merasakan perasan orang lain. Ia dapat merasakan derita orang lain dan berusaha meringankan tanpa diminta. Ia ubati luka itu dengan kata-kata indah, senyuman tulus serta hadiah-hadiah yang menyenangkan.  Kadang-kadang seorang isteri tertimpa musibah, ia seorang diri menanggung bebannya, hatinya luka, fikirannya keruh dan ghairah pun padam.

Rasulullah s.a.w.  memberikan petunjuk agar suami selalu berusaha mengubati hati isteri-isterinya apabila ia terluka.
 
Dari Anas ra. berkata: “Shafiyyah mendengar bahawa Hafshah berkata Shafiyyah itu anak Yahudi. Maka menagislah ia. Lantas Rasulullah s.a.w. menghampiri sedangkan Shafiyyah masih dalam tangisannya.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Apa yang menyebabkan kamu menangis?”
Shafiyyah menjawab: “Hafshah berkata kepadaku bahawa aku anak Yahudi.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : “Enkau adaalah anak Nabi, bapa saudaramu Nabi dan engkau menjadi isteri Nabi. Dengan apa dia membanggakan dirinya atas dirimu?”

Kemudian Nabi bersabda maksudnya : “ Bertaqwalah kepada Allah wahai Hafshah.”

(Hadis Riwayat Nasai dan Tirmidzi)

Oleh itu pentingnya para suami mengambil teladan hikmah nabawiyyah yang agung ini dalam mengubati hati isteri yang terluka.
2. Menjaga rahsia rumah tangga.
Suami yang soleh mengetahui tenteang kewajipan menjaga rahsia terutamanya rahsia rumahtangga. Islam melarang keras suami isteri memceritakan rahsia rumah tangga mereka kepada orang lain. 
   
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :-
Dari Abu SA’id Al Khudriy r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. majsudnya : "Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukana manusia di hadapan Allah pada hari kiamat adalah seorang suami yang membuka rahsia dirinya kepada isteri dan isteri yang membuka rahsia dirinya kepada suami lantas salah seorang daripadanya menceritakan kepada orang ketiga.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
 
Keharmonian hubungan suami isteri terjaga apabila keduanya saling menjaga rahsia. Menyebarkan rahsia itu menimbulkan kesan yang sangat buruk, akan meruntuhkan dinding keprcayan suami isteri, menambah keruhnya hati serta membuka pintu pengkhianatan lebih lebar. Selesaikanlah  segala permasalahan rumah tangga dengan bijak. Sekiranya gagal untuk menyelesaikan sendiri rujuklah kepada kepada orang yang yang boleh dipercayai. 
 
3. Mentaati perintah Allah
Suami soleh dan isteri solehah hendaklah selalu bekerjasama dalam menegakkan ketaatan kepada Allah serta saling menasihati dalam mencari redha Allah.
 
Allah s.w.t.  berfirman dalam surah Al Maidah ayat 2:                                                                  
Maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan  bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum karena mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
 
Sesungguhnya bekerjasama dalam ketaatan dan ibadah khususnya seperti solat, zikir, sedekah dan lain-lainnya memiliki pahala yang agung dan kesan positif dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Rasulullah s.a.w. memuji suami isteri yang saling tolong menolong dalam taat kepada Rabbnya, rukuk dan sujud di tengah malam .

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda ertinya: “Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun mengerjakan solat dan membangunkan isterinya. Jika ia enggan, disiramkan air diwajahnya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun malam mengerjakan solat dan membangun suaminya, apabila ia enggan disiramkan air di wajahnya.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
 
4. Memuliakan keluarga isteri   
Suami yang baik ialah suami yang memuliakan isteri dan memuliakan kedua orang tuanya serta kerabat dan sahabat-sahabatnya.
Dari Anas ra. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda ertinya: “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hubungkanlah silaturrahim.”
(Muttafaqun Alaihi)
 
Bagi suami yang ingin membahagiakan isterinya hendaklah menjaga perangai ini. Kunjungilah keluarga isteri, selalu bertanya khabar mereka dan membantu bila mereka memerlukan. Bukankah seorang suami juga suka jika isterinya memuliakan saudara-saudara dan sahabatnya.
 
5. Memberi nasihat terhadap isteri.
Suami yang soleh hendaklah mampu mendidik dan mengajar isterinya dengan ilmu-ilmu yang bermanafaat seperti ilmu tentang halal dan haram, ilmu kekeluargaan, ilmu fekah, akhlak , fiqhud dakwah dan ilmu kemasyarakatan.
 
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
(Surah  At-Tahrim ayat 6)
 
Isteri yang solehah memperhatikan dan mencintai ilmu. Usahakanlah untuk memberi pengajaran kepadanya dan lapangkanlah jalan menuju kesana.
 
Rasulullah s.a.w. melarang orang yang menghalang wanita ke masjid.
Dari ibnu Umar r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w.  bersabda maksudnya : “ Apabila isteri-isterimu meminta izin untuk ke masjid pada malam hari izinkanlah.”
(Muttafaqun Alaihi)
 
Daripada hadis di atas jelas sekali bahaa wanita mempunyai hak untuk mempelajari ilmu agama di luar rumah sekiranya suami tidak mampu mengajarnya sendiri.
 
6. Memiliki rasa cemburu (tidak dayus)
Sifat seorang lelaki soleh adalah memiliki rasa cemburu kepada isterinya kerana itu mengisyaratkan cinta dan tinggi nilai isteri dihatinya. Islam memuji lelaki yang memiliki rasa cemburu dan mencela yang tidak memilikinya kerana bererti lemahnya emosi dan tanggungjawab. Namun, Islam juga menetapkan batas-batasnya agar keharmonian rumah tangga tetap terpelihara.
 
Dari Abu Huraurah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. maksudnya : “ Allah itu pencemburu dan seorang Mukmin juga pencemburu. Kecemburuan Allah adalah bila ada seorang hamba datang kepadaNya dengan perbuatan yang diharamkan.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
 
Seorang yang tidak memiliki rasa cemburu terhadap kehormatan isterinya dengan membiarkan isterinya bersolek, membuka aurat, bercampur bebas dengan lelaki bukan mahram merupakan seorang yang dayus dan layak untuk mendapat azab ysang pedih diakhirat nanti.
 
Dari Ibnu Umar ra. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :” Tiga golongan yang yang tidak akan masuk Syurga; orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang yang dayus dan wanita yang menyerupai lelaki.”
(Hadis Riwayat  Nasai dan hakim)
 
7. Memiliki sifat sabar dan penyantun.
Seorang suami harus memiliki sifat sabar dan penyantun. Ini kerana tiada sesuatu yang begitu ideal dalam kehidupan berumahtangga. Sebuah keluarga pasti pernah mengalami goncangan dan masalah. Jangan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Dengan berbekal sifat sabar segala masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sifat santun dan pemaaf merupakan perangai yang dicintai Allah dan RasulNya.
   
Firman Allah s.w.t maksudnya : “(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
(Surah Ali-Imran ayat 134)
 
8. Memiliki sifat pemaaf.
Suami perlu memiliki jiwa pemaaf kerana  Allah telah menghendaki wanita bersifat seperti dari tulang rusuk yang bengkok. Banyak masalah akan dapat diselesaikan sekiranya suami bersifat pemaaf. Kadang-kadang suami keliru membenci sesuatu yang ada pada isteri. Ternyata yang dibenci itu mengandungi kebaikan dan akan diperlukan pada saat tertentu.
   
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata . Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
(Surah An Nisa' ayat 19)
Kita tidak harus mengharapkan wanita sebagaimana malaikat, tanpa cacat. Wanita adalah makhluk Allah yang memiliki kelebihan dan kekurangan. Janganlah disebabkan sedikit kekurangannya telah menenggelamkan kesemua kebaikannya. Contohilah akhlak Rasulullah s.a.w. terhadap isteri-isteri baginda.
     
Dari Abu Hurairah ra., bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : “Janganlah seorang Mukmin membenci seorang Mukminah. Bila benci terhadap sebahagiannya ada bahagian lain yang menyenangkan.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah lapan ciri-ciri suami soleh yang diambil daripada ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Nabi s.a.w untuk menjadi pedoman setiap suami yang ingin mendapat status suami yang soleh. Sekiranya dalam satu keluarga itu trdapat suami yang soleh maka suami yang soleh ini akan mendidik dan memproses isterinya untuk menjadi solehah. Dari sinilah akan melahirkan rumah tangga Muslim atau baitul Muslim yang memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam.

Hayatilah Sifat Mahmudah dan Jauhi Sifat Mazmumah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Asas penting dalam kehidupan seorang Mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki  akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.

Adapun sifat-sifat Mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan. 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." 
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (taqwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah s.w.t.

 Firman Allah maksudnya :  “ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah s.w.t ).”( Surah Ali Imran ayat 102 )

3. Mahabbah (kasih sayang) sesama Mukmin.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia.  Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).

 6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah s.w.t yang banyak diperolehi.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).

9. Redha dengan Qadha' dan Qadar.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah  Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

Sabda Nabi saw bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”. 

Sahabat yang dikasihi Allah,
Berlawanan dengan sifat mahmudah adalah sifat mazmumah (sifat yang dicela). Untuk menjadi seorang Mukmin dan berhajat untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t maka hendaklah kita menjauhi sifat mazmumah. Sifat Mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik yang dimiliki oleh mereka yang lemah imannya dan sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Menurut Imam Ghazali antara sifat2 Mazmumah ialah seperti berikut:

1. Gemar Makan dan Minum:

Hadis Nabi saw maksudnya ” Yang terlebih Afdhal(utama) pada Allah s.w.t ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.

2. Banyak berkata-kata (yang sia-sia):
Telah menjadi lumrah manusia suka berkata dan membuang masa dengan sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Firman Allah swt yang bermaksud:“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”(Surah AnNisa ayat 114)

3.  Marah:
Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya  didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. 

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Berilah aku wasiat?."Nabi s.a.w. bersabda: : "Janganlah engkau marah"Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"(Hadis Riwayat. Bukhari).

4.  Hasad dengki, dan iri hat:
Sifat di atas lahir  daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

5. Kasih kepada harta:
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Tidak akan berkumpul dalam hati seorang hamba bersifat bakhil dan keimanan"

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"Nabi Muhammad s.a.w.  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".(Hadis Riwayat Abu Daud) 

6. Takbur:
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti  nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat. 

Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

7. Riyak :
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah s.a.w. menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah s.a.w. dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

8. Ujub :
Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujud bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi  kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain. Berapa banyak ibadah yang rusak karena penyakit ujub?

Dalam sebuah hadis qudsi disebutkan bahwa seorang lelaki berkata: “Allah tidak akan mengampuni si Fulan! Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun berfirman:“Siapakah yang lancang bersumpah atas namaKu bahwa Aku tidak mengampuni Fulan?! Sungguh Aku telah mengampuninya dan menghapus amalanmu!” (Hadis Riwayat  Muslim)

9. Kasih akan Dunia:
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan  dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati.

Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah s.w.t.dalam firmaNya yang bermaksud :" Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."

Sahabat,
Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki dan menghayati sifat mahmudah dan berusaha pula untuk menjauhkan sifat mazmumah. Orang Mukmin tidak akan mensia-siakan hidupnya di dunia yang sementara ini dengan mempertingkatkan amal solehnya dan berikhtiar semoga seluruh hidupnya mendapat redha Allah s.w.t.

Thursday, September 30, 2010

Isteri Yang Solehah


Sahabat yang dimuliakan,
Isteri yang  baik secara total akan mudah membentuk rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir. Kita sedar dan faham rumahtangga yang bahagia lahir dari isteri yang soleh, tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna.
Dan wanita adalah penentu buruk baik sebuah masyarakat. Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia. Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t. sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami. Dari sifat asal dengan kehalusan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal agar kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang soleh, sudah pasti berhasil.

1. Taat dan kasih kepada Allah dan Rasul
Ketaatan kepada Allah akan jelas dilihat dari segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan dipatuhi dengan sesungguhnya. Perintah dan larangan ini tergambar dengan jelas sebagaimana yang dibawakan oleh Rasulullah s.w.a. Ketaatan yang tidak terbelah-bahagi dengan sendirinya akan melahirkan disanubari perasaan kasih kepadanya.
 
Firman Allah maksudnya :    
"Katakan: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu peroleh,perniagaan yang kamu khuatiri akan rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan Rasulnya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik." (Surah At-Taubah ayat 24)

Jelaslah pada kita bahwa ketaatan kepada Allah s.w.t.akan melahirkan kasih dan cinta yang tidak ternilai di sisi manusia. Ketaatan dan cinta kepada Allah ini bukanlah mudah diperoleh sekiranya persiapan kearah itu disambil lalukan.
Pendidikan jiwa supaya beriman sesungguhnya kepada Allah dan Rasul-Nya, perlulah dididik sejak awal. Didikan ini akan menjadi benteng dan memahami akan batas-batas yang dilarang dan dibolehkan dalam agama.
 
Keimanan yang kukuh, perbuatan yang soleh dan mengikuti ketetapan yang ditentukan dengan sendirinya secara mudah akan dapat melawan hawa nafsu lahiriah dan bathiniah.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
" Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat kamu menghitungnya.,"
(Surah An Nahl ayat 18).

Dari rasa kenikmatan yang diberikan oleh-Nya yang tidak terkira akan memahami betapa hamba sangat-sangat memerlukan pada Khaliqnya. Sifat ihsan dengan sendiri mengungkung diri insan; kerana sifat wanita biasanya tidak akan puas dengan hiasan duniawi.
 
2. Akhlak mulia dan sempurna sebelum kecantikan
Kita fahami bahwa Allah tidak memandang paras rupa (kecantikan) seseorang tetapi akhlak yang mulia menjadi nilaian yang kukuh disisiNya. Akhlak mulia dan sempurna menjadi pakaian yang kekal manakala kecantikan akan luntur dimakan atau dimamah usia.
Untuk melahirkan wanita yang berakhlak baik perlulah dididik dan diasuh dengan nilai-nilai yang begitu rupa agar meninggikan taraf kemanusian dan sekaligus membezakannya dengan sifat kehaiwanan.
 
Isteri yang berakhlak mulia dengan mudah dapat memahami akan bentuk-bentuk pakaian yang harus dikenakan pada tubuhnya dalam keadaan tertentu; dapat mengawal perkataan-perkataan yang maaruf ketika berbicara dan mengetahui akan batas-batas bergaul sesama rakan, suami, keluarga dan juga saudara-mara yang lainnya.
 
Di samping itu segala tindakannya mempunyai perbezaan dengan wanita yang tidak soleh. Ia tidak gemar membeli tanpa izin suaminya, apatah lagi penjualan dengan cara berhutang sebagaimana kaedah sistem jualbeli yang berleluasa sekarang. Ia lebih mirip pada kemaksiatan daripada yang maaruf.
 
Juga tidak bertindak menggunakan harta dan wang suami tanpa izinnya. Sekiranya tidak mencukupi maka ambillah secara yang maaruf sebagaimana yang dilakukan oleh isteri Abu Sufian; Rasulullah menasihatkan agar mengambil dengan maaruf dan yang dibutuhkan saja. Isteri yang soleh juga akan mudah mengawal / jaga harta benda suami ketika ketiadaannya.
 
3. Memperdulikan kewajipan rumahtangga dan berusaha memperbaikinya.
Wanita yang telah dididik sejak awal dengan akhlak yang mulia secara matang mengetahui akan persiapan berumahtangga dan memahami kewajipannya memperbaikinya dari masa ke masa dengan patuh dari petunjuk-ajar suaminya.
 
Sabda Rasulullah s.a.w. dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : "Maukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu  wanita yang soleh. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari hadis di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bahagi asalkan yang diredai Allah s.w.t dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.
 
Ketaatan dan kepatuhan ini akan memudahkan penerimaan hidayah Allah s.w.t dan ketenangan hati suami dalam menjalani hidup berumahtangga.
 
Dan sekaligus seolah-olah menjadi suatu simpanan yang sangat berharga bagi seorang lelaki berumahtangga apabila memiliki isteri yang baik budi pekerti atau perangainya dan mampu mengendalikan rumahtangga dengan baik.
 
Walaupun di dalam Islam tanggungjawab di dalam rumahtangga seperti menjaga anak-anak dan memasak serta lain-lain tidak diwajibkan sepenuhnya kepada isteri tetapi isteri yang soleh merasakan tanggungjawab ini biarlah ia yang menanggungnya. Kerana ia tidak mau tangan orang lain menggendong anaknya ketika hendak tidur; tidak mau tangan lain memasakkan makanan suaminya atau sebagainya dan memahami tugasnya adalah melayani suaminya semata-mata.
 
Isteri yang soleh sungguh cekap dan teratur melayani suaminya menjaga dan mendidik anak-anak, menyediakan makan minum keluarga, mengemas tempat tinggal dengan rapi dan lainnya. Sedaya upaya berusaha memperbaiki kewajipan yang telah diamanahkan oleh suaminya.
 
Isteri yang begini akan melahirkan rumahtangga yang tenteram, riang gembira dan menjadi rumahtangga contoh dalam masyarakat. Begitulah yang dikehendaki dalam Islam.
 
4. Malu dan taat
Sifat malu memang lumrah bagi seorang wanita.
Malu seorang isteri adalah hormat dan taat yang sebenarnya kepada suaminya, selagi suaminya taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
 
Isteri akan diam saat suami berbicara, membenarkan kata-katanya dan menghormati segala pesanannya. Bermuzakarah boleh juga diadakan tetapi  perlu dikawal oleh akal kerana wanita itu berakal pendek walaupun mempunyai rambut yang panjang. Perbincangan yang mengikuti nafsu syaitan dan sikap memberontak, menangan dan menghentak-hentak kaki yang akhirnya akan memporak-porandakan rumahtangga.
 
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Ketahuilah dan hendaklah kamu berpesan-pesan kepada kaum wanita dengan baik-baik, kerana sesungguhnya mereka itu tawanan bagi kamu, tidak ada kekuasaan sedikitpun bagimu dari mereka itu selain yang demikian itu, kecuali jika mereka itu mendatangi/mengerjakan sesuatu kedurhakaan yang nyata."
(Hadis Riwayat Termizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Maka jika mereka berlaku curang, berbuat durhaka, hendaklah kamu tinggalkan tempat tidurnya dan berilah pukulan yang tidak menyakitkan. Kemudian bila mereka taat dan patuh kepadamu, janganlah kamu cari jalan yang bukan-bukan untuk berbuat tidak senonoh kepada mereka.  Ketahuilah, sesungguhnya bagi kamu ada suatu kewajipan atas isteri-isterimu, dan isteri-isterimu ada kewajipan ke atas kamu pula. Adapun kewajipanmu (suami) atas isteri-isterimu ialah bahwa mereka itu janganlah menginjakkan tempat tidurmu dengan orang yang tidak kamu sukai, dan mereka janganlah memperkenankan orang-orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumahmu; dan kewajipan mereka (isteri) atas kamu ialah bahwa kamu hendaklah berbuat baik atas mereka itu dalam urusan pakaian dan makanan mereka."
 
Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai terjadi yang tidak sesuai dengan kewanitaannya dan dilarang oleh agama.
 
Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.
 
5. Mulia dan menghormati  suami dan kerabatnya
Bermula selepas ijab dan qabul, tugas dan tanggungjawab ibu bapa selama ini berpindah secara automatik ke bahu suami sepenuhnya. Dan sebagai seorang isteri, suamilah tempat ia bergantung kasih sayang. kerana itu tidak syak lagi seorang isteri itu menghormati (adik-kakak) suami, saudara-saudara dan kerabatnya menurut batas yang tertentu. Dan hubungan dan pertaliannya mempunyai had dan batas yang dibolehkan di dalam Islam.
 
Kedatangan mereka terutama ibu bapanya perlulah disanjung dan hubungan ini perlu dititik-beratkan. Ada di kalangan keluarga Islam, perhubungan antara suami dan ibu bapanya renggang disebabkan oleh sikap isteri yang tidak menyenangkan orang tua suami.
Kadangkala isteri itu meminta barang-barang keperluan yang tidak dimampui oleh si suami hingga menyebabkan keluarganya akan juga menjadi punca perpecahan antara suami isteri dan kaum keluarganya.
   
Memuliakan dan menghormati suami dan kaum kerabatnya merupakan satu tanggungjawab isteri yang baik. Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai berlaku yang tidak sesuai denga kewanitaannyadan dilarang oleh agama.
 
Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami berarti murkalah Allah kepadannya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Begitulah lima ciri-ciri isteri solehah yang perlu ada pada diri seorang Muslimah. Tanpa ciri-ciri ini seorang Muslimah belum boleh dikatakan telah menjadi isteri solehah. Walaupun belum sempurna dengan ciri-ciri tersebut seorang Muslimah perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdo'a dan berazam untuk mencapai tahap solehah yang akan meletakkan nya menjadi perhiasan terbaik di dunia seperti  hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.

Keadaan Golongan Manusia di Akhir Zaman


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w menceritakan keadaan manusia di akhir zaman iaitu tanda-tanda awal akan berlakunya hari kiamat. Terdapat dua hadis yang menceritakan tentang keadaan manusia di akhir zaman yang mana telah berlaku kerosakan dan maksiat yang bermaharajalela hinggakan orang yang bertaqwa ketika itu akan dipandang asing dan tidak dihormati

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala buas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu. Akan tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya. Anak kecil mereka jahil, pemuda mereka licik. Sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang yang mungkar. Mereka itu sentiasa membangga diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan. Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat, dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh. Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasiq menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah, sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”(Hadith Riwayat Thabrani- Kitab Al-Mu’jam Al-Kabir)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w maksudnya :"Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".
(Hadis Riwayat Ibnu Ady)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdasarkan hadis pertama kita dapati kerosakan akan berlaku seperti berikut :

1.  Di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala buas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.
(Mereka sanggup membunuh dan menyeksa mangsanya kemudian mayat mereka dibakar dan abu-abunya dibuangkan disungai)

2. Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian.
(Mereka membunuh manusia-manusia yang tidak berdosa tidak kira wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua tanpa belas kasihan dengan penyembelihan dan bom-bom berangkai)

3. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu.
(Hidup mereka sentiasa menipu dan memperdayakan manusia dengan berbagai janji-janji palsu)

4.  Akan tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu.
(Jika manusia jauhi mereka mereka pula menuduh  sesat, fanatik, extremis dan ketinggalan zaman)

5. Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu.
(Mereka suka berbohong dan mungkir janji)

6. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya.
(Bila diberi amanah untuk memimpin umat mereka menghianatinya)

7. Anak kecil mereka jahil.
(Anak-anak kecil tidak diberi didikan agama yang sempurna bila masuk alam remaja menjadi jahil dengan ajaran agama hingga berlakunya gejala sosial yang parah)

8. Pemuda mereka licik.
(Pemuda yang suka menipu, melakukan jenayah dan maksiat, berzina dan membuangkan bayi-bayi yang tak berdosa dan menghisap dadah)

9. Sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang yang mungkar.
(Warga emasnya hanya buang masa dikedai kopi dan meninggalkan amal maaruf nahi mungkar)

10. Mereka itu sentiasa membangga diri dalam kehinaan.
(Mereka berbangga dengan maksiat dan dosa tidak takut akan azab Allah)

11. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan.
(Tidak ada kebaikan pada diri mereka yang ada hanyalah cara-cara melakukan maksiat, menipu  dan melakukan dosa sahaja)

12. Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat.
(Mereka menganggap orang yang baik (berakhlak Islam) itu sebagai golongan fanatik dan  sesat)

13. Dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh.
(Mereka membenci bila ada seruan untuk membuat amal maaruf dan menuduh mereka sebagai sesat)

14. Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah,
(Orang Mukmin menjadi lemah kerana tidak mempunyai kuasa untuk menyekat maksiat yang mereka lakukan))

15. Sedangkan orang fasiq menjadi mulia.
(Orang fasik dipuja dan disanjung dan diberi kekuasaan untuk memerentah)

16. Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah,
(Mereka menolak sunnah dan ajaran Nabi s.a.w )

17. Sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah.
(Mereka menghidupkan bida'ah dan peraturan yang bertentangan dengan Islam)

18. Maka ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka.
(Orang-orang yang jahat, perasuah, penjenayah menjadi pemimpin yang disanjungi)

19. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.
(Orang beriman dan baik akhlaknya tidak dihiraukan kebaikan yang ingin dibawanya)”

Sahabat yang dikasihi,
Dalam hadis ke dua Nabi s.a.w. menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan:

Pertama :
Ahli ibadah yang jahil ialah orang yang rajin beribaadah tetapi tidak mempelajari syarat rukun ibaadah tu. Ibadah hanya dilakuakn dengan cara ikut-ikutan semata-mata atau direka-reka tidak dipastikan dengan kaedah ilmu yang betul. Sebenarya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang-­orang yang berlainan pula. Bagi sijahil, syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah s.w.t. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah s.w.t yang bererti kekalahan di pihak syaitan.

Kedua :
Begitu pula halnya dengan orang alim (ulama')  yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga orang alim (ulama') ini meninggalkan kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti. Maka itu lah kejayaan syaitan dalam usahanya. Sabda  Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tangungjawabnya untuk mengubah masyarakat. Sesungguhnya kefahaman dalam beragama itu adalah kurniaan Allah. Ramai dikalangan orang alim (ulama') yang sepatutnya faham dengan kewajiban mereka akhirnya tunduk dengan tujuan lain. Seperti ramainya ustaz di sekolah tetapi gagal untuk mewujudkan ruh Islam di sekolah berkenaan.

Sahabat,
Marilah sama-sama kita perbaiki iman dan amal kita. Teruskan menuntut ilmu agama supaya kita benar-benat menjadi orang bertaqwa dan dapat mengamalkan ilmu yang kita miliki. Berdo'alah kepada Allah s.w.t supaya kita dijauhi fitnah hidup di dalam suasana akhir zaman yang penuh dugaan dan cabaran yang boleh menjejaskan iman kita jika tidak berhati-hati dan waspada.

Wednesday, September 29, 2010

Jauhi Sikap Buruk Sangka Sesama Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita di dunia ini, kita akan bertemu dengan berbagai sikap dan perangai manusia. Manusia yang beriman dan bertaqwa akan bersangka baik dan positif dan akan menjauhkan dirinya daripada membuat fitnah dan mengumpat. Tetapi bagi mereka yang lemah imannya dan mempunyai akhlak yang rendah akan mudah membuat tuduhan dan sentiasa berprangsaka buruk, sedangkan kebanyakkan prasangka itu membawa kepada dosa.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita melihat kisah Luqman al-Hakim. Bagaimana beliau berhadapan dengan sikap dan perangai manusia yang suka berperasaan buruk sangka sesama manusia.

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, "Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t. saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara iaitu  :

Pertama, tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya.

Kedua, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang).

Ketiga, hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya).

Dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Sahabat yang dikasihi Allah,
Allah ‘Azza wa-Jalla telah mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama Mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam anggota jemaah Islam.  Apabila sikap buruk ini terdapat di kalangan anggota jamaah ia boleh mengwujudkan perasaan saling tidak percaya, saling meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.

Allah s.w.t. mengharamkan hambaNya yang beriman dari menyimpan perasaan persangkaan atau sangka-sangka buruk terhadap Allah dan terhadap saudara-saudaranya yang seagama.  Malah  Allah mengharamkan juga segala unsur, bibit atau segala punca yang boleh menyebabkan timbulnya rasa buruk sangka di kalangan anggota jemaah Islam.

Pengharaman ini telah ditegaskan oleh Nabi s.a.w. seperti sabdanya yang bermaksud :"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong.  Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke’aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama).  Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara". 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang lain nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Dari Haritha bin an-Nukman berkata:  Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tiga perkara yang sentiasa ada pada umatku:  Kepercayaan sial.  Hasad dengki.  Prasangka.  Beliau bertanya:   Apakah yang boleh menghilangkan dari itu (semua) wahai Rasulullah bagi sesiapa yang telah ada pada dirinya perkara-perkara tersebut?   Baginda bersabda:  Apabila berhasad dengki mintalah ampun, apabila berprasangka janganlah diteruskan dan apabila mempercayai tataiyur hendaklah dihapuskan".
(Hadis Riwayat at-Tabrani.)

Sahabat,
Semua punca-punca timbulnya buruk sangka yang dijelaskan oleh  hadis-hadis di atas berpangkal dari hati yang rosak dan berpenyakit lantaran kejahilan (tidak berilmu agama).  Akhirnya menyebabkan lemah iman, lemah keperibadian, hilang panduan dan tidak tahu ke arah mana mahu dituju sehingga mudah berburuk sangka. 

Orang-orang yang mempunyai penyakit ragu-ragu, was-was dan buruk sangka sesama Mukmin dan terhaap perjuangan Islam ia perlu segara meninggalkan penyakit tersebut dan segera beristighfar kepada Allah agar ia tidak berulang, maka perlu dirawat dengan ilmu agama dan menjalani proses tarbiyah. Oleh itu setiap Mukmin sewajarnya menyebukkan dirinya dengan menuntut ilmu seperti menghadiri majlis-majlis ilmu yang memperkatakan tentang agama.  Kerana hanya ilmu agama yang dapat merawat dan menyembuhkan penyakit ragu-ragu, was-was dan buruk sangka.

Tuesday, September 28, 2010

Jauhkan Diri Daripada Mengejek dan Mencela Sesama Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang Muslim adalah bersaudara. Seorang Muslim lain tidak boleh mengejek dan mecela sesama saudara Muslim. Boleh jadi orang yang dicela itu lebih baik daripada orang yang mencela.

Firman Allah s.w.t bermaksud :|"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh Jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh Jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”
(Surah al Hujurat ayat 11).

Terkait dengan ayat ada dua catatan iaitu:

1. Jangan mencela dirimu sendiri, maksudnya ialah mencela antara sesama Mukmin kerana orang-orang Mukmin adalah bersaudara seperti satu tubuh.

2. Panggilan yang buruk ialah gelar yang tidak disukai oleh orang yang digelari, seperti panggilan kepada orang yang sudah beriman, dengan panggilan seperti hai fasik, hai kafir , hai orang hitam dan sebagainya.

Ahmad ash Shawi al Maliki mengatakan, “Makna ayat adalah janganlah seorang itu mengolok-olok yang lain kerana boleh jadi pihak yang diolok-olok itu lebih agung dan mulia dibandingkan pihak yang mengolok-olok. Ringkasnya tidaklah patut seorang Muslim mengolok-olok saudaranya seagama bahkan semua makhluk ciptaan Allah. Boleh jadi yang diolok-olok itu lebih baik hatinya dan lebih ikhlas dan lebih bertakwa dibandingkan yang mengolok-olok.

Syeikh Abdurrahman as Sa’di mengatakan, “Dalam ayat ini terdapat penjelasan tentang sebagian hak seorang mukmin dengan mukmin yang lain. Yaitu janganlah sekelompok orang mengejek sekelompok yang lain baik dengan kata-kata ataupun perbuatan yang mengandung makna merendahkan saudara sesama muslim.

Perbuatan ini terlarang dan hukumnya haram. Perbuatan ini menunjukkan bahwa orang yang mengejek itu merasa kagum dengan dirinya sendiri. Padahal boleh jadi pihak yang diejek itu malah lebih baik dari pada pihak yang mengejek. Bahkan inilah realita yang sering terjadi.

Mengejek hanyalah dilakukan oleh orang yang hatinya penuh dengan akhlak yang tercela dan hina serta kosong dari akhlak mulia.

Oleh kerana itu Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, “Cukuplah seorang itu dinilai jahat jika dia merendahkan saudaranya sesama Muslim” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)”

Syeikh Muhammad bin Shalih al Utsaimin berkata, “Jika telah diketahui bahwa manusia itu bertingkat-tingkat. Di antaranya manusia itu bertingkat-tingkat dalam masalah ilmu. Sebagian orang itu lebih berilmu daripada yang lain dalam ilmu-ilmu agama atau ilmu-ilmu alat yang sangat membantu untuk mengusai ilmu agama semisal ilmu-ilmu tentang bahasa Arab sebagaimana nahwu, balaghah dan yang lainnya.

Manusia itu juga bertingkat-tingkat dalam masalah rezeki. Ada yang diberi rezeki yang melimpah. Ada pula yang diberi rezeki hanya cukup sekadarnya.

Manusia juga bertingkat-tingkat dalam akhlak. Ada yang memiliki akhlak luhur dan mulia, ada pula yang tidak demikian.

Manusia juga bertingkat-tingkat dalam masalah bentuk fizikal luaran .  Ada yang fizikalnya sempurna, ada juga yang tidak (cacat anggota).

Manusia juga bertingkat-tingkat dalam masalah status sosial. Ada yang status sosialnya tinggi, (berpangkat dan ternama)  ada pula yang biasa-biasa saja.

Apakah seseorang diperbolehkan untuk mengejek orang yang lebih rendah dalam berbagai hal di atas? Pasti ianya dilarang oleh Allah s.w.t.

Allah s.w.t. memanggil kita dengan panggilan wahai orang-orang yang beriman  agar sebagian dari kita tidak mengejek sebagian yang lain. Yang melebihkan sebagian orang atas yang lainnya adalah Allah. Orang yang paling mulia disisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertaqwa.

Sesiapa yang mengejek orang lain kerana kekurangannya sebenarnya dia mengejek takdir Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Mengapa kita ejek orang yang lebih rendah dibandingkan kita dalam masalah ilmu agama, harta, akhlak, bentuk fizikal, status sosial, dan keturunan? Bukankah Allah s.w.t. yang memberikan anugerah kepada kita, Dia juga yang menakdirkannya untuk berada di bawah kita, dalam pandangan kita, dalam banyak hal?

Suasana masyarakat kita sekarang ini berada di dalam keadaan parah kerana ejek-mengejek, merendahkan orang lain atau menjatuhkan maruah seseorang sudah menjadi perkara biasa.

Media arus perdana setiap hari membawa berita-berita fitnah, mengumpat, menghina orang lain tanpa usul periksa sehingga berita tersebut menjadi sensasi terutama seliberiti yang terkenal. Berita dibilik tidor pun di dedahkan kepada masyarakat umum untuk mendapat habuan keduniaan dan melariskan jualan. Akhlak seperti ini amat di tegah oleh Islam kerana sesiapa yang mendedahkan keaifan orang lain, Allah s.w.t akan dedahkan keaifannya dihari akhirat, mungkin di dunia lagi dia akan menerima balasannya daripada Allah s.w.t.

Sada Nabi s.a.w. maksudnya : "Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."(Hadis Riwayat Muslim).

 Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan salah seorang sahabat Ansar adalah ahli Syurga, maka Abdullah bin 'Amr r.a. ingin mengetahui apakah amalannya hingga dia telah terpilih menjadi ahli Syurga.

Abdullah bin 'Amr telah meminta izin ingin menjadi tetamu selama tiga hari dirumah lelaki tersebut untuk melihat amalan-amalannya. Dalam masa tiga hari beliau tidak nampak amalan-amalannya yang istimewa.Apabila Abdullah bin Amr hendak pulang lelaki tersebut pun berkata : "Engkau telah melihat amalanku, tetapi ada satu sebagai tambahan, aku tidak mempunyai perasaan buruk dalam hatiku tentang seorang Muslim. Aku tidak irihati jika Allah menganugerahkan kepada orang lain suatu nikmat istimewa.

Abdullah berkata : "Inilah amalan yang telah menaikkanmu kepada kedudukan itu, dan inilah suatu amalan yang tidak dapat kami lakukan."(Hadis Riwayat Ahmad, Bazzar dan Mujma uz Zawaid)

Sikap orang politik kadangkala sanggup meremehkan dan menghina musuh politiknya di sebabkan perbezaan ideologi. Para ulama kadangkala menjadi sasarannya dengan membuat penghinaan dan tuduhan tidak berasas. Mereka sanggup merendahkan hukum-hukum Allah s.w.t semata-mata untuk menjaga dan mempertahankan sistem hidup ciptaan manusia yang  mereka laksanakan.

Islam melarang seseorang Muslim menghina orang lain disebabkan bangsa atau warna kulit. Sesiapa saja samaada dari Bangladish, Indonesia, Pakistan, Afrika, India, Cina dan lain-lain selagi mereka orang Islam dan orang beriman sebenarnya mereka adalah saudara kita. Allah s.w.t tidak pandang seseorang kerana bangsanya atau warna kulitnya tetapi Allah s.w.t pandang taqwanya kepada-Nya.

Abu Zar r.a pernah terkeluar kata-kata kepada Bilal r.a. apabila berlaku sedikit perselisihan antara mereka, "Wahai budak hitam". Maka Bilal r.a terasa hati lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda memanggil Abu Zar dan mengatakan kepada beliau, "Kamu adalah seorang lelaki yang masih ada karat jahilaiah dalam hati kamu"
Bila mendengar teguran Nabi s.a.w Abu Zar terasa hina dan minta Bilal memijak kepalanya. Begitulah sensitif hati sahabat Rasulullah s.a.w. bila menerima tarbiyah dari baginda. s.a.w. Kerana menghina seseorang disebabkan keturunannya adalah dilarang kerana setiap anak Adam adalah serupa samaada kulit hitam atau putih semuanya adalah hamba Allah s.w.t.

Betapa banyak orang yang pada saat ini mengejek orang lain,pada masa yang lain Allah s.w.t timpakan pula kepadanya kehinaan hingga orang lain pula akan mengejek pada dirinya sebagai balasan di atas dosa yang ia lakukan.

Dari Muadz bin Jabal, Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya, “Siapa saja yang mencela saudaranya sesama Muslim karena sebab dosa yang pernah dia lakukan maka orang yang mencela tersebut tidak akan mati sampai melakukannya”.

Dari Watsilah bin al Asqa’, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya, “Janganlah engkau menampakkan rasa gembira saat saudaramu sesama Muslim menderita kesusahan. Hal itu menjadi sebab Allah menyayanginya dan menimpakan cobaan pada dirimu”
(Hadis Riwayat Tirmidzi.)

Sahabat,
Marilah kita bina hubungan ukhwah Islamiyah dan silaturahim sesama Mukmin. Jauhilah sikap suka mengejek, menghina atau memerendahkan sesama Mukmin kerana setiap orang Mukmin adalah bersaudara. Jika kita jaga hubungan ini dan memperbaikinya maka kita akan mendapat redha Allah s.w.t samaada di dunia dan hari akhirat.





Perbaikilah Hati dan Lidah Kita Untuk Mencari Redha Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam diri manusia terdapat dua ketul daging yang akan menjadi daging terbaik jika digunakan dengan baik dan betul dan akan menjadikan manusia  berjaya disisi Allah s.w.t. tetapi jika disalah gunakan maka ianya akan menjadi daging terburuk dan akan membinasakan diri manusia sendiri.

Terdapat nama mulia yang disebut  dalam al-Qur'an seorang lelaki bertaqwa yang memiliki ilmu dan kebijaksanaan bernama Luqman al-Hakim.

Mengikut Ibn Jarir At-Tabari pula, berpandukan riwayat daripada Khalid ar-Raj’ii: Lukman al-Hakim adalah seorang hamba dari Habsyah yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.

“Pada suatu hari, tuan Lukman menyuruh beliau menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terbaik.

Perintah itu dilaksanakan Lukman dan dibawa kepada tuannya dua ketul daging terbaik iaitu hati dan lidah. Pada keesokan harinya, tuannya menyuruh beliau menyembelih seekor kambing lain dan membawa kepadanya dua ketul daging terkeji.

Perintah itu juga dilaksanakan oleh Lukman dan dibawa kepadanya dua ketul daging terkeji iaitu hati dan lidah. Tuannya berasa pelik dan bertanya kepada Lukman maksud perbuatannya itu dan Lukman berkata: “Sesungguhnya, bagi orang yang mulia, inilah harta terbaik dimilikinya dan bagi mereka yang keji, inilah harta terkeji terdapat dalam jasadnya.”

Begitulah contoh kebijaksanaan Lukman dikurniakan hikmah dari Allah selain mendapat kedudukan dan makam yang amat mulia di sisi Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kisah Luqman di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat dua ketul daging pada diri manusia iaitu hati dan lidah. Apabila hati dan lidah  ini baik maka baiklah seluruh anggota mausia tetapi sebaliknya apabila ianya  buruk dan busuk maka akan rosaklah manusia itu sendiri.

Pertama : Hati mausia.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan apabila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, dia ialah hati."

Hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik kepada Allah s.w.t. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dan hati yang sentiasa bersikap positif terhadap semua perkara dan hati yang ghairah dengan perkara-perkara kebaikan dan kebajikan, dan membenci kejahatan walaupun sekecil mana sekalipun.

Jika hati kalian telah menjadi hati yang sejahtera maka kalian akan merasai dekat dengan Allah dan menjadikan  kehidupanmu berpaksikan keredhaan Allah, bebas dari pengaruh nafsu amarah, syahwat dan syaitan.

Kalian akan dipandu oleh nilai-nilai murni, dan dapat memandu kepada kebaikan orang lain. Hati yang sejahtera juga  sentiasa akan melahirkan sifat tawaduk dan merendahkan diri dan tidak berskap sombong dan bangga diri.

Di dalam proses tarbiyyah Imaniah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w, baginda menekankan aspek pembersihan hati dan jiwa daripada syirik dan karat-karat jahiliah. Tidak mungkin manusia mampu melaksanakan amanah dan tugasnya kalau hatinya masih kotor dengan hawa nafsu dan  kotoran jahiliah.

 Hati sangat sensitif, peka dan perasa. Ia adalah wadah tempat mengisi 'barang-barang'. Siapa yang mengisinya? Samaada syaitan atau malaikat, yang berebut-rebut mengisinya. Kalau malaikat yang mengisi, maka baiklah hati. Jika syaitan yang mengisi maka jahatlah hati. Yang diisi oleh malaikat ialah hidayah, wahyu dan ilham kebaikan. Jika syaitan yang mengisi, akan diisi dengan kekufuran, was-was dan keraguan.

Oleh itu marilah sama-sama kita perbaiki hati kita dengan diisi dengan iman dan taqwa supaya hati ini baik , sempurna, sejahtera dan bersih maka akan baiklah seluruh anggota kita.

 Kedua : Lidah manusia.

Lidah yang baik adalah lidah yang berzikir, membaca al-Qur'an, berkata benar dan mengajak manusia  kepada amal maaruf dan mencegah kemungkaran. Sedangkan lidah yang buruk adalah lidah yang digunakan untuk mendatangkan dosa kepada Allah s.w.t.

Abu Sufyan bin 'Abdullah al-Saqafi telah bertanya kepada Rasulullah saw, "Apakah anggota manusia yang paling merbahaya?". Rasulullah menunjukkan lidah baginda dan bersabda, "Inilah". Mulut dan lidah itu menjadi begitu merbahaya apabila disalahgunakan. Penggunaannya yang betul akan mendatangkan kebajikan dan kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

Abu Sa'id al-Khudri meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Setiap pagi segala anggota manusia berpesan kepada lidah: 'Engkau hendaklah selalu menjalankan perananmu dengan betul, mengikut perintah Allah. Jika engkau betul, maka betullah kami. Jika engkau bengkok, maka turut bengkoklah kami".

Lidah adalah anggota manusia yang akan memandu anggota-anggota lain bila lidah lurus dan benar maka anggota-anggota lain akan mengikut perjalanan lidah.

Rasulullah saw bersabda maksudnya :  "Ada tiga perkara yang sesiapa terlibat dengan salah satu daripadanya, maka dia adalah munafiq, walaupun dia mengamalkan puasa dan sembahyang, iaitu, apabila bercakap dia berdusta, apa berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianati"

Berdasarkan hadis ini lidah yang buruk adalah apabila bercakap dia berdusta dan apabila berjanji dia mugkiri. Dua daripada tiga ciri-ciri munafiq adalah datangnya daripada lidah.

Salah satu kejahatan yang dilakukan lidah adalah suka mengumpat, memfitnahkan orang, menghasut atau menjadi batu api, mencerca, memaki-hamun dan sebagainya.

Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih jahat daripada berzina. Penzina, apabila bertaubat, mungkin diampuni Allah, tetapi pengumpat tidak diampuni oleh Allah sehingga dia diampuni oleh orang yang diumpatnya".

Ibnu al-Mubarak berkata : "Peliharalah lidahmu, kerana lidah itu menempah kebinasaan dirimu"

Imam Sufyan al-Tsauri pula berkata : "Jangan gunakan lidahmu untuk berbicara tentang apa yang boleh mematahkan gigimu".

Peribahasa melayu ada mengatakan : "Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya" dan "Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa".

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah kita bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t disebabkan dosa hati dan lidah kita. Dosa hati adalah kerana ada perasaan hasad dengki, iri hati, riak , sombong ,bongkak dan takbur kepada Allah s.w.t. Dosa lidah pula banyak mungkir janji, bercakap bohong, mengumpat, menghina dan menyakiti orang lain. Ramai manusia  dihumbankan Allah s.w.t ke dalam Neraka adalah disebabkan dosa-dosa lidah yang dilakukan oleh manusia.

Sunday, September 26, 2010

Tiga Kebahagiaan Anak Adam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."

Setiap manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupan. Tanpa kebahagiaan hidup manusia seolah-olah hilang keselesaan dan kesempurnaan. Nabi s.a.w menjelaskan bahawa ada tiga kebahagiaan anak Adam iaitu 1. isteri yang solehah. 2. kenderaan yang baik dan 3. rumah yang lapang.

Pertama : Isteri yang solehah.


Sabda Rasullah s.a.w:
“Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.


Wanita yang beragama sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana Allah berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi Tuhannya. 

Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.

Isteri solehah adalah idaman setiap suami yang soleh. Bila suami memandangnya terasa sejuk hati suami dan terbina rasa kasih dan sayang. Bila suaminya diluar rumah teringat akan kebaikan akhlak isterinya dan layanan istimewa yang diterima dari isteri yang tercinta.


Isteri  yang solehah adalah wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan rukun-rukun Iman yang lain. Mempunyai akhlak yang mulia, hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan rumahtangga yang terbina adalah rumahtangga Islam (baitul Muslim). Semua masa dan waktunya dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap isteri yang solehah. 
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Sentiasa malu kepada suami.
2. Menutup keaifan suami dan tidak menceritakan kepada orang lain.
3. Mentaati perintah suami dan tidak suka berbalah dengan suami.
4. Diam ketika suaminya sedang berbicara.
5. Berdiri ketika suaminya pulang dan ketika keluar.
6. Dekatkan dirinya kepada suaminya (ketika tidur).
7. Memakai wangi-wangian hanya untuk suami.
8. Memelihara mulutnya dengan bersugi dan dengan bau-bauan yang harum.
9. Sentiasa berhias di hadapan suami.
10. Tidak berhias ketika suami tidak ada.
11. Tidak berkhianat kepada suaminya ketika tidak ada ditempat tidur.
12. Menghormati keluarga suami dan kerabatnya.
13. Merasa puas dan bersyukur jika di beri sedikit oleh suami.
14. Tidak menolak ajakan suami (untuk bersanggama).
15. Tidak boleh berpuasa sunat kecuali mendapat keizinan daripada suami.
16. Tidak boleh keluar rumah kecuali mendapat keizinan daripada suami.
17. Tidak membenarkan masuk ke dalam rumah orang yang tidak diredhai oleh suami.
18. Memelihara harta suami.
19. Tidak berbicara kepada setiap orang dengan perkataan yang lunak.
20. Menjauhkan diri dari tempat-tempat yang jelek.
21. Mampu melahirkan ramai anak.
22.Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya untuk mengurusi anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik.
23. Tidak mengadu domba dan mengumpat.
24. Memelihara auratnya.
25. Tidak menyakiti suaminya.
26. Mengutamakan solat di rumah dari di masjid kecuali untuk mengikuti majlis ilmu dengan izin suaminya.
27. Tidak memakai perhiasan yang berlebihan ketika keluar rumah.
28. Tidak berjalan dengan gaya yang jelek.
29. Suaminya merasa senang dan rasa kasih apabila memandangnya.
30. Menahan pandangan (tidak liar pandangannya).
31. Mendidik anak-anak dengan iman dan takwa.
32. Banyak bersabar dalam menempuh segala kesusahan dan ujian Allah, dan dalam mengerjakan perintah-perintah Allah.
33. Menjaga rahsia suami dan tidak menceritakannya walaupun kepada ibu bapanya.

Sekiranya setiap wanita Islam yang telah berumahtangga, yang ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat perlulah memiliki ciri-ciri sebagai isteri solehah seperti yang di nyatakan di atas. Wanita yang derhaka kepada suaminya dan tidak mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak maka jika ia mati (tidak mendapat keampunan dari suaminya), maka ia tidak akan dapat mencium bau Syurga. Terdapat ramai dikalangan ahli Neraka adalah terdiri daripada kaum wanita, salah satu kesalahan mereka adalah kerana derhaka kepada suami.

Oleh itu bersiapkanlah diri kalian untuk menjadi isteri  solehah kerana sesungguhnya redha Allah bergantung kepada redha suami kepadamu. Inilah ciri pertama yang membawa kebahagiaan anak Adam

 Kedua : Kenderaan yang baik.

Hidup di dalam dunia penuh cabaran dan cangih memiliki kenderaan adalah satu keperluan bukannya kemewahan. Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang dibeli secara tunai, jika tidak berkemampuan hendaklah dibeli dengan mengunakan sistem pinjaman cara Islam iaitu bebas daripada sistem riba'. Jenis dan kualiti kenderaan adalah bergantung kepada kemampuan kewangan kita. Carilah kenderaan yang berkualiti dan murah penyelengaraannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba’) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba’), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)
Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang sentiasa dijaga dengan baik dan di servis setiap kali habis tempuh perjalanan yang ditetapkan. Dipereksa tayar, bateri, lampu, brek, minyak hitam dan injen supaya kenderaan tersebut tidak membahayakan pemandu dan penumpangnya bila digunakan dijalan raya. Kita sering dengar kemalangan berlaku disebabkan kerosakkan brek atau tayar botak dan ianya akan membahayakan keselamatan terutama bila waktu hujan.

Selain pembelian pinjaman secara Islam , insuran untuk kenderaan juga perlulah diambil takaful (insuran Islam) supaya kita tidak terikat dengan riba' yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang akan digunakan untuk mencari rezeki halal, untuk solat berjemaah dimasjid dan kuliah agama dan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Kenderaan ini juga akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita gunakan kenderaan ini untuk jalan kebaikan dan ia tidak digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.

 Ketiga : Rumah yang lapang.

Pertama perlu diambil perhatian bahawa pembelian rumah hendaklah mengikut syariat Islam iaitu pembeliaan mengunakan pinjaman cara Islam samaada BBA atau murabahah.
Rumah yang dibeli dengan cara riba' akan mendapat kemurkaan Allah s.w.t kerana sistem riba' telah diharamkan oleh Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)
Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”


Rumah merupakan tempat pertama sesi pendidikan bermula sebelum masuknya kita ke alam persekolahan. Guru yang pertama adalah isteri kita sendiri sebab itulah wanita yang solehah merupakan asas dan tunjang utama dalam kebahagiaan anak adam kerana merekalah yang akan menjadi pendidik pertama kepada bakal-bakal da'i yang akan datang selepas kita. Kelahiran rumah yang lapang dan selesa ini akan memberi kemudahan dan ketenangan semasa proses didikan berjalan di rumah. Pendidikan kepada anak-anak khususnya, perlu kepada suasana yang tenteram dan harmoni. Dari suasana inilah yang akan membentuk jiwa dan akhlak mereka.

Bukan ini sahaja malahan suasana begini akan dapat mengisi ketenteraman jiwa kepada para da'i setelah sibuk berjuang dan menghadapi masyarakat jahiliah yang penuh dengan maksiat dan kemungkaran. Rumah yang lapang adalah rumah yang sempurna dari segi kedudukannya, kebersihannya dan kemudahan-kemudahan asas. Sebaik-baiknya eloklah seseorang itu membuat pelan rumah itu sendiri bagi menyusun sendiri struktur rumah antara ruang tamu, bilik dan sebagainya. Bilik-bilik yang asas adalah untuk ibu bapa sendiri, bilik untuk anak perempuan, bilik untuk anak lelaki, bilik pembantu rumah, bilik tetamu, bilik perpustakaan kecil dan bilik solat.

Untuk bilik perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan buku-buku dan majalah-majalah Islam untuk meningkatkan ilmu syara dan ilmu waqei (realiti). Dari segi kebersihan pula sentiasa diuruskan dengan sempurna. Tidak dibiarkan kotoran dan abuk-abuk begitu saja. Dari pandangan luarnya sudah cukup menerangkan sifat dan akhlak penghuninya. Di keliling rumah ditanami sedikit bunga sebagai perhiasan, dipotong mana-mana rumput yang
panjang dan dicat sekadarnya untuk memberi pandangan luar yang lebih elok.

Perhiasan yang mahal-mahal dan perabut yang mewah jika boleh dikurangkan kerana sifat seorang Mukmin ia tidak suka kepada kemegahan dan pembaziran. Lebih baik wang yang berlebihan disimpan untuk pendidikan anak-anak. Segala alat-alat moden yang boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja-kerja rumah adalah perlu digunakan sepenuhnya bergantung kepada kemampuan masing-masing. Kerana dengan ini akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan. Janganlah jadikan patung-patung manusia atau binatang menjadi perhiasan rumah. Jangan gantung gambar keluarga di dinding-dinding rumah. Malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah yang ada patung-patung makhluk yang bernyawa. Rumah yang lapang juga sentiasa bersedia untuk digunakan dalam rangka menjalankan aktiviti-aktiviti pengajian dan pendidikan Islam.

Rumah yang lapang dan selesa adalah penghuninya sentiasa membaca al-Qur'an, berzikir, membuat solat-solat  sunat dan jika berkemampuan panggil guru datang kerumah untuk mengajar anak-anak membaca al-Qur'an dan membuat pengajian ilmu Islam. Rumah seperti ini akan menjadikan penghuninya sentiasa tenteram dan tenang hatinya kerana malaikat rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah tersebut.

Rumah yang baik juga sentiasa di datangi tetamu kerana tetamu yang hadir membawa rezeki dan bila tetamu balik dosa penghuni rumah itu akan di ampunkan oleh Allah s.w.t.
Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya :  "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

"Wahai Ali ! Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada lukisannya atau patung atau orang yang menyakiti kedua orang tuanya atau rumah yang tidak pernah dikunjungi tetamu."

Nabi s.a.w menyatakan juga bahawa kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik.

Pertama : Tempat yang tidak baik .
Rumah seperti ini adalah rumah yang sempit iaitu tidak ada dikerjakan ibadah-ibadat sunat di dalamnya seperti bacaan al-Qur'an, zikir, solat dan majlis ilmu. Rumah yang sentiasa dimeriahkan dengan filem-filem melalui CD, didengarkan muzik-muzik yang melalaikan akan mematikan hati penghuni rumah tersebut, dan dihiasi pula dengan patung-patung binatang maka malaikat rahmat yang membawa rezeki tak akan singah dirumah tersebut. Rumah seperti ini disukai oleh jin kafir dan syaitan.

Kedua : Isteri yang tidak baik.
Isteri yang tidak baik adalah isteri yang suka menderhakai suaminya, tidak menghormati suami dan keluarga suami. Isteri seperti ini suka pada hiburan, bermegah dengan perabut dan perhiasan mewah untuk kebangaan. Utamakan kebendaan lebih daripada kehidupan dihari akhirat. Suka berhias diri untuk orang lain bukan untuk suami dan tidak suka pada majlis ilmu dan pengajian Islam.

Ketiga : Kenderaan yang tidak baik.
Kenderaan yang kerap kali rosak dan sentiasa dibaiki dan kerap kali menyusahkan pemiliknya.


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memiliki dan mencari tiga kebahagiaan anak Adam seperti yang dinyatakan hadis di atas supaya dengan kebahagiaan yang kita perolehi di dunia sebenarnya ada kaitan dengan keimanan dan kebahagiaan kita dihari akhirat. Kerana dunia adalah jambatan menuju ke hari akhirat. Isteri yang solehah, kenderaan yang baik dan rumah yang lapang adalah wasilah menuju ke hari akhirat. Jika ianya baik maka ianya memudahkan proses kita bertemu Allah s.w.t. Begitulah sebaliknya jika di dunia lagi kita memiliki tiga kesengsaraan maka ianya akan menyulitkan urusan kita menuju ke hari akhirat terutama perkara pertama memiliki isteri yang tidak baik. Kita akan menghadapai banyak masaalah untuk menjawab persoalan pertama yang akan ditanya oleh Allah s.w.t. dihari akhirat nanti.