Thursday, September 30, 2010

Keadaan Golongan Manusia di Akhir Zaman


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w menceritakan keadaan manusia di akhir zaman iaitu tanda-tanda awal akan berlakunya hari kiamat. Terdapat dua hadis yang menceritakan tentang keadaan manusia di akhir zaman yang mana telah berlaku kerosakan dan maksiat yang bermaharajalela hinggakan orang yang bertaqwa ketika itu akan dipandang asing dan tidak dihormati

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala buas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu. Akan tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya. Anak kecil mereka jahil, pemuda mereka licik. Sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang yang mungkar. Mereka itu sentiasa membangga diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan. Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat, dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh. Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasiq menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah, sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”(Hadith Riwayat Thabrani- Kitab Al-Mu’jam Al-Kabir)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w maksudnya :"Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".
(Hadis Riwayat Ibnu Ady)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdasarkan hadis pertama kita dapati kerosakan akan berlaku seperti berikut :

1.  Di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala buas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.
(Mereka sanggup membunuh dan menyeksa mangsanya kemudian mayat mereka dibakar dan abu-abunya dibuangkan disungai)

2. Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian.
(Mereka membunuh manusia-manusia yang tidak berdosa tidak kira wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua tanpa belas kasihan dengan penyembelihan dan bom-bom berangkai)

3. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu.
(Hidup mereka sentiasa menipu dan memperdayakan manusia dengan berbagai janji-janji palsu)

4.  Akan tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu.
(Jika manusia jauhi mereka mereka pula menuduh  sesat, fanatik, extremis dan ketinggalan zaman)

5. Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu.
(Mereka suka berbohong dan mungkir janji)

6. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya.
(Bila diberi amanah untuk memimpin umat mereka menghianatinya)

7. Anak kecil mereka jahil.
(Anak-anak kecil tidak diberi didikan agama yang sempurna bila masuk alam remaja menjadi jahil dengan ajaran agama hingga berlakunya gejala sosial yang parah)

8. Pemuda mereka licik.
(Pemuda yang suka menipu, melakukan jenayah dan maksiat, berzina dan membuangkan bayi-bayi yang tak berdosa dan menghisap dadah)

9. Sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang yang mungkar.
(Warga emasnya hanya buang masa dikedai kopi dan meninggalkan amal maaruf nahi mungkar)

10. Mereka itu sentiasa membangga diri dalam kehinaan.
(Mereka berbangga dengan maksiat dan dosa tidak takut akan azab Allah)

11. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan.
(Tidak ada kebaikan pada diri mereka yang ada hanyalah cara-cara melakukan maksiat, menipu  dan melakukan dosa sahaja)

12. Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat.
(Mereka menganggap orang yang baik (berakhlak Islam) itu sebagai golongan fanatik dan  sesat)

13. Dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh.
(Mereka membenci bila ada seruan untuk membuat amal maaruf dan menuduh mereka sebagai sesat)

14. Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah,
(Orang Mukmin menjadi lemah kerana tidak mempunyai kuasa untuk menyekat maksiat yang mereka lakukan))

15. Sedangkan orang fasiq menjadi mulia.
(Orang fasik dipuja dan disanjung dan diberi kekuasaan untuk memerentah)

16. Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah,
(Mereka menolak sunnah dan ajaran Nabi s.a.w )

17. Sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah.
(Mereka menghidupkan bida'ah dan peraturan yang bertentangan dengan Islam)

18. Maka ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka.
(Orang-orang yang jahat, perasuah, penjenayah menjadi pemimpin yang disanjungi)

19. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.
(Orang beriman dan baik akhlaknya tidak dihiraukan kebaikan yang ingin dibawanya)”

Sahabat yang dikasihi,
Dalam hadis ke dua Nabi s.a.w. menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan:

Pertama :
Ahli ibadah yang jahil ialah orang yang rajin beribaadah tetapi tidak mempelajari syarat rukun ibaadah tu. Ibadah hanya dilakuakn dengan cara ikut-ikutan semata-mata atau direka-reka tidak dipastikan dengan kaedah ilmu yang betul. Sebenarya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. Oleh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orang-­orang yang berlainan pula. Bagi sijahil, syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah s.w.t. Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh Allah s.w.t yang bererti kekalahan di pihak syaitan.

Kedua :
Begitu pula halnya dengan orang alim (ulama')  yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga orang alim (ulama') ini meninggalkan kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti. Maka itu lah kejayaan syaitan dalam usahanya. Sabda  Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tangungjawabnya untuk mengubah masyarakat. Sesungguhnya kefahaman dalam beragama itu adalah kurniaan Allah. Ramai dikalangan orang alim (ulama') yang sepatutnya faham dengan kewajiban mereka akhirnya tunduk dengan tujuan lain. Seperti ramainya ustaz di sekolah tetapi gagal untuk mewujudkan ruh Islam di sekolah berkenaan.

Sahabat,
Marilah sama-sama kita perbaiki iman dan amal kita. Teruskan menuntut ilmu agama supaya kita benar-benat menjadi orang bertaqwa dan dapat mengamalkan ilmu yang kita miliki. Berdo'alah kepada Allah s.w.t supaya kita dijauhi fitnah hidup di dalam suasana akhir zaman yang penuh dugaan dan cabaran yang boleh menjejaskan iman kita jika tidak berhati-hati dan waspada.

No comments: