Wednesday, September 29, 2010

Jauhi Sikap Buruk Sangka Sesama Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita di dunia ini, kita akan bertemu dengan berbagai sikap dan perangai manusia. Manusia yang beriman dan bertaqwa akan bersangka baik dan positif dan akan menjauhkan dirinya daripada membuat fitnah dan mengumpat. Tetapi bagi mereka yang lemah imannya dan mempunyai akhlak yang rendah akan mudah membuat tuduhan dan sentiasa berprangsaka buruk, sedangkan kebanyakkan prasangka itu membawa kepada dosa.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita melihat kisah Luqman al-Hakim. Bagaimana beliau berhadapan dengan sikap dan perangai manusia yang suka berperasaan buruk sangka sesama manusia.

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, "Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t. saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara iaitu  :

Pertama, tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya.

Kedua, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang).

Ketiga, hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya).

Dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Sahabat yang dikasihi Allah,
Allah ‘Azza wa-Jalla telah mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama Mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam anggota jemaah Islam.  Apabila sikap buruk ini terdapat di kalangan anggota jamaah ia boleh mengwujudkan perasaan saling tidak percaya, saling meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.

Allah s.w.t. mengharamkan hambaNya yang beriman dari menyimpan perasaan persangkaan atau sangka-sangka buruk terhadap Allah dan terhadap saudara-saudaranya yang seagama.  Malah  Allah mengharamkan juga segala unsur, bibit atau segala punca yang boleh menyebabkan timbulnya rasa buruk sangka di kalangan anggota jemaah Islam.

Pengharaman ini telah ditegaskan oleh Nabi s.a.w. seperti sabdanya yang bermaksud :"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong.  Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke’aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama).  Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara". 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang lain nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Dari Haritha bin an-Nukman berkata:  Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tiga perkara yang sentiasa ada pada umatku:  Kepercayaan sial.  Hasad dengki.  Prasangka.  Beliau bertanya:   Apakah yang boleh menghilangkan dari itu (semua) wahai Rasulullah bagi sesiapa yang telah ada pada dirinya perkara-perkara tersebut?   Baginda bersabda:  Apabila berhasad dengki mintalah ampun, apabila berprasangka janganlah diteruskan dan apabila mempercayai tataiyur hendaklah dihapuskan".
(Hadis Riwayat at-Tabrani.)

Sahabat,
Semua punca-punca timbulnya buruk sangka yang dijelaskan oleh  hadis-hadis di atas berpangkal dari hati yang rosak dan berpenyakit lantaran kejahilan (tidak berilmu agama).  Akhirnya menyebabkan lemah iman, lemah keperibadian, hilang panduan dan tidak tahu ke arah mana mahu dituju sehingga mudah berburuk sangka. 

Orang-orang yang mempunyai penyakit ragu-ragu, was-was dan buruk sangka sesama Mukmin dan terhaap perjuangan Islam ia perlu segara meninggalkan penyakit tersebut dan segera beristighfar kepada Allah agar ia tidak berulang, maka perlu dirawat dengan ilmu agama dan menjalani proses tarbiyah. Oleh itu setiap Mukmin sewajarnya menyebukkan dirinya dengan menuntut ilmu seperti menghadiri majlis-majlis ilmu yang memperkatakan tentang agama.  Kerana hanya ilmu agama yang dapat merawat dan menyembuhkan penyakit ragu-ragu, was-was dan buruk sangka.

No comments: