Saturday, December 5, 2009

Tiga Amalan Yang Membantu di Alam Barzah

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Apabila mati seseorang manusia itu, akan terputus daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendo'akannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia di dunia ini akan mengalami kematian. Apabila datang ianya tidak boleh ditangguhkan lagi walaupun sesaat. Oleh itu sebelum kematian datang, kita perlulah membuat persiapan dengan melaksanakan amal-amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah dan membuat sebanyak mungkin kerja-kerja kebajikan yang akan mendatangkan keredhaan Allah s.w.t, dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. yang boleh mendatangkan dosa.

Teman yang setia yang akan mengiringi seseorang apabila ia kembali ke alam barzah adalah segala amalan-amalan kebaikan dan kejahatan yang di kerjakan ketika di dunia. Alam barzah adalah alam persingahan sementara sebelum berlakunya Hari Qiyamat dan menuju ke alam akhirat. Samaada seseorang itu tinggal disini seperti duduk ditaman-taman Syurga atau pun duduk di salah satu lubang dari lubang-lubang api Neraka, bergantung dengan amalan mereka ketika di dunia. Mereka yang berdosa akan mendapat siksaan disini iaitu siksa kubur sebelum siksaan sebenar yang akan diterima semasa di hari akhirat nanti.

Walau bagaimana pun, berdasarkan hadis di atas, masih terdapat lagi tiga peluang seseorang yang telah meninggal dunia untuk dia mendapat tambahan pahala yang berterusan membantunya sebagai saham akhirat yang akan membantunya ketika proses timbangan amal dijalankan nanti atau untuk mengurangkan azab siksaan kubur yang diterimanya. Tiga perkara tersebut adalah sedekah jariah, ilmu yang dimanfatkan dan anak soleh yang mendo'akannya.

Pertama, sedekah jariah :
Termasuk dalam sedekah jariah adalah mewakafkan tanah dan membina rumah anak-anak yatim dan miskin, masjid, sekolah agama dan tahfiz,  hospital, rumah kebajikan, pusat pemulihan dadah dan akhlak, menghadiahkan al-Qur'an dan kitab-kitab agama.

Kedua, ilmu yang dimanfatkan :
Mengajarkan ilmu kepada orang lain. Termasuk juga menulis buku, risalah dan menyebarkan ilmu melalui vedio, internet dan teknologi makluman lain. Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud, "Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat." (Riwayat al-Bukhari). Termasuk juga ilmu sains dan teknologi yang mendatangkan banyak manfaat kepada kehidupan manusia.

Ketiga, do'a daripada anak yang soleh :
Anak yang soleh sebenarnya lahir daripada didikan ibu bapanya semasa hidup di dunia. Ibu bapa menghantar ke sekolah diberinya didikan agama, di ajarkannya iman dan akhlak yang mulia. Segala pengorbanan ibu bapa membesarkannya dari aspek fizikal, pemikiran, emosi dan kerohanian. Ibu bapa telah memberikan segala-galanya hingga ia menjadi anak yang soleh. Untuk membalas jasa baik ibu bapa yang telah meninggal dunia anak yang soleh sentiasa mendo'akan mereka dengan kata-kata, "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi diriku sewaktu aku kecil dahulu."

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai persiapan untuk bekalan kita untuk bertemu Allah s.w.t. maka perlulah di pertingkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan dan meninggalkan segala bentuk kejahatan yang membawa kepada dosa.  Kita sediakan dua bekalan iaitu bekalan yang kita akan bawa bersama-sama ketika kematian dan amal kebaikan kita tinggalkan di dunia tetapi sahamnya dapat kita perolehi (tiga perkara seperti hadis di atas).

Friday, December 4, 2009

Mukjizat Nabi s.a.w. : Pokok Dari Rekahan Batu.


Bersama beberapa orang kawannya, Abu Jahal pergi ke rumah Abu Talib untuk bertemu Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hendak menduga Nabi dengan membuat tipu muslihat terhadap baginda. Pada perkiraan mereka, pasti Nabi tidak akan mampu melaksanakan permintaan mereka.

"Wahai Abu Talib, kalau benarlah anak saudaramu ini seorang pesuruh Allah, suruhlah dia tunjukkan kepada kami tanda-tanda kerasulannya." cabar Abu Jahal sebaik saja Abu Talib muncul bersama-sama Nabi s.a.w. di hadapan pintu.

Abu Talib berpaling ke arah Nabi seraya berkata, "Wahai anak saudaraku, engkau sendiri telah mendengar apa yang diberitahu oleh Abu Jahal. Apa pendapatmu tentang permintaannya itu?".

"Apakah mereka mahu beriman jika aku boleh membuktikannya?" tanya Nabi pula. Arah pertanyaan kepada Abu Talib tetapi sebenarnya ditujukan kepada Abu Jahal dan rakan-rakannya.

"Sekarang, apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh mereka?" tanya Nabi lagi.

Abu Jahal pun segera membelingas, seperti mencari-cari sesuatu di sekitar rumah itu. Ternampak seketul batu yang besar di tepi rumah. Pantas dia berseru, " Muhammad! Jika engkau benar-benar Pesuruh Allah, cubalah keluarkan sebatang pokok bercabang dua dari batu itu. Satu cabangnya condonng ke barat dan satu cabang lagi condong ke timur."

Nabi Muhammad s.a.w tenang sahaja mendengar permintaan Abu Jahal. Nabi beredar ke suatu sudut rumah dan berdo'a kepada Allah. Baginda meminta pertolongan Allah agar Allah menunaikan permintaan Abu Jahal itu. Tidak lama kemudian, dengan kehendak Allah s.w.t. batu besar yang keras itu tiba-tiba merekah, lalu mengeluarkan sepohon pokok. Pokok itu bercabang dua, sepertimana yang diminta boleh Abu Jahal. Satu dahan bergerak ke timur dan satu lagi condong ke barat.

"Alangkah hebatnya apa yang telah engkau datangkan, wahai Muhammad," ucap seorang di kalangan kawan-kawan Abu Jahal dengan nada menyindir.

Tidak puas hati dengan apa yang mereka saksikan, mereka menyuruh Nabi menjadikan pokok itu mengecil dan masuk semula ke dalam batu. Dengan kehendak dan kuasa Allah, pokok itu pun mengecil dan masuk semula ke dalam batu. Terpegun Abu Jahal dan kawan-kawannya menyaksikan kejadian yang amat luar biasa itu.

"Alangkah hebatnya permainanmu, wahai Muhammad, " kata Abu Jahal dengan sombong sebelum berlalu dari situ. Diekori rakan-rakannya yang lain. Tidak ada seorang pun yang mahu tunduk dan mengaku beriman kepada Allah dan Rasul.

Pengajarannya :
1. Sifat sombong, bongkak dan ego yang ada pada jiwa manusia akan menutup pintu kebenaran walaupun ianya wujud di hadapan mata. Contoh yang jelas berlaku pada diri Abu Jahal dan kawan-kawannya yang menolak kebenaran walaupun telah melihat mukzijat Nabi s.a.w.

2. Manusai telah di ilhamkan oleh Allah s.w.t. kedalam jiwanya jalan ketakwaan dan jalan kefasikan. Manusai boleh memilih salah satu jalan tersebut. Sekirannya ia memilih jalan takwa maka akan terbentang luas  rahmat dan jalan kebenaran. Tetapi sekiranya manusia memilih jalan kefasikan maka pintu rahmat dari Allah s.w.t. akan tertutup dan ia akan menjadi sesat. Oleh kerana pilihan ini telah dibuat oleh manusia sendiri ketika di dunia ia tidak boleh menyalahkan Allah s.w.t. apabila ia dihumbankan kedalam api Neraka di hari Akhirat nanti.

(Kisah ini di petik dari tulisan Zuraimi Ismail dari Galeri Ilmu Sdn Bhd)

Untuk Sahabatku Hafiz Ng!

Salam Ukuwah!
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita tidak pernah bertemu wajah, tetapi takdir Allah menemukan kita dialam siber ini! Sebenarnya pertemuan ini telah di atur oleh yang Maha Esa sejak azali lagi. Di alam arwah dahulu rohmu, rohku dan roh semua manusia telah berikrar dihadapan Rabbul Jalil , firman Allah s.w.t. dalam Surah al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'."


Sahabat yang dimuliakan,
Bersyukurlah kepada-Nya dengan syukur yang sebenar-benarnya kerana kau dipilih menjadi hamba-Nya yang beriman, dikurniakan taufik dan hidayah-Nya dan menjadi umat Nabi s.a.w. Kau telah dipilih menjadi Muslim dikalangan beribu-ribu mereka yang bukan Islam, yang sedang sesat diatas dunia yang fana ini.

Ingatlah sahabatku! Bahawa sesungguhnya hidayah dari Allah ini lebih berharga dari dunia serta isi-isinya.Sekiranya diberi pilihan untuk menukarkan seluruh nikmat dan harta dunia ini dengan nikmat iman yang kau miliki sekarang ini, adakah kau sanggup menukarkannya?. Jawapannya pasti kau tidak mahu kerana harta di dunia ini hanyalah fartamogana dan umpama bangkai yang tidak bernilai. Mereka-mereka yang mengejar dunia sebenarnya mereka mengejar bayang-bayang yang lemah dan akan hilang apabila cahaya mentari sudah tidak ada lagi .Di dunia umpama tempat bermain-main bukanlah hakikat kehidupan sebenarnya, di akhiratlah tempat hidup yang sebenarnya yang kekal abadi.

Al-Imam Hasan al-Banna ada berkata, " Orang yang bijak adalah orang yang sanggup bersusah payah sedikit di dunia ini untuk mendapat kebahagiaan di hari Akhirat"

Sahabatku,
Sesungguhnya hidayah untuk beriman kepada Allah s.w.t adalah urusan dan pilihan-Nya sendiri. Para Nabi dan Rasul tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang mereka kasihi. Contoh di dalam al-Qur'an ada menceritakan bagaimana Nabi Nuh a.s. tidak mampu untuk mengajak isteri dan anak lelakinya untuk beriman kepada Allah s.w.t. Do'a baginda ditolak oleh Allah s.w.t. kerana urusan hidayah adalah urusan Allah s.w.t. Keadaan yang sama berlaku juga kepada Nabi Luth a.s. apabila isteri baginda enggan mengikuti suaminya yang telah dipilih oleh Allah s.w.t. menjadi Rasul sebaliknya bersekongkol dengan golongan homoseksual yang kafir kepada Allah s.w.t. sehingga Allah s.w.t. menurunkan bala yang amat dahsyat keatas mereka.

Peristwa hidayah berlaku juga pada Nabi Muhammad s.a.w apabila bapa saudara baginda Abu Talib di saat kematiannya masih enggan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dihadapan Nabi s.a.w. , baginda merasa amat sedih kerana orang yang paling banyak berjasa kepada kehidupan dan perjuangan baginda tidak mahu mengikrarkan Kalimah Syahadah.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Apakah tanda syukur kita kepada Allah s.w.t hanya cukup sekadar kita ucapkan 'alhamdulillah' sahaja? Sebenarnya hanya ucapan tersebut tidak memadai kerana apabila kita mengucapkan kalimah  'Laa ila ha illallah. Muhammadur Rasulullah' ini bermakna kita berikrar dengan lisan, yakin dengan hati dan melaksanakannya dengan perbuatan. Seluruh hidup kita di serahkan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. untuk taat dan patuh kepada segala perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya dan beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mengikuti semua Sunnahnya.

Sahabat,
Tugas kepada Allah s.w.t. bukan setakat kita melaksanakan amal soleh untuk diri kita sahaja tetapi kita perlu berdakwah kepada orang lain. Tugas kita ada dua iaitu pertama, kita mengajak saudara-saudara Islam kita yang meninggalkan ajaran Islam untuk kembali kepada Islam dan kedua kita berdakwah kepada orang-orang bukan Islam yang ada kecenderungan untuk menerima Islam.

Mungkin sahabat Hafiz ada ramai saudara mara dan kenalan dikalangan masyarakat Tionghua yang bukan Islam, maka inilah masanya sahabat gunakan peluang dan masa yang Allah kurniakan untuk  berdakwah kepada mereka.Menjaga hubungan kekeluargaan dan kenalan dengan menunjukkan akhlak yang baik dan peribadi yang mulia adalah asas penting untuk kita berdakwah, ingatlah tugas kita adalah menyampaikan 'message' Islam dan hidayah itu urusan Allah.

Sekiranya dengan izin Allah di atas usaha kita seorang bukan Islam beriman kepada Allah dan memeluk agama Islam maka pahalanya lebih baik dari dunia dan isi-isinya. Kita akan mendapat saham di atas segala amalan soleh yang ia kerjakan insya Allah.

Wednesday, December 2, 2009

Mencapai Darjat Takwa Di sisi Allah


Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di Konstantinopel (Istanbul), timbul pertanyaan siapakah yang layak untuk menjadi imam. Muhammad al-Fateh memerentahkan semua tentera, termasuk dirinya untuk bangun. Baginda pun lantas berkata, "Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat Fardu, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, menandakan tiada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan solat Fardu.

Muhammad al-Fateh berkata lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat Rawatib, sila duduk!" Kali ini, sebahagian tenteranya duduk.

Muhammad al-Fateh meneruskan pertanyaan untuk kali ketiga, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga saat ini pernah meninggalkan solat Tahajjud, sila duduk!" Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang iaitu Muhammad al-Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak akil baligh. Beliau merupakan anak didik Shamsuddin al-Wali dan ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.

Muhammad al-Fateh adalah ketua tentera Islam pertama yang dapat mengalahkan kerajaan Kristian yang memerentah Konstantinopel (Istanbul Turki), sebelum ini ratusan tahun lamanya tentera Islam cuba menawannya tetapi tidak berjaya. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa sesiapa di kalangan tentera Islam yang dapat menawan dan mengalahkan Konstantinopel, mereka adalah tentera yang terbaik.

Daripada secebis kisah Muhammad al-Fateh dan tenteranya itu membawa mesej bagaimana untuk seorang Muslim memperolehi darjat takwa yang tinggi di sisi Allah s.w.t.dan akan diberi kejayaan oleh-Nya, mestilah mempunyai dua kunci utama iaitu berguru kepada guru mursyid dan sentiasa memelihara solat Tahajjud (malam).

Oleh itu kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dua perkara ini untuk menuju ketinggian takwa di sisi Allah s.w.t.

Tuesday, December 1, 2009

Hari Akhirat : Alam Mahsyar


1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail dan beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran dan keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa Padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam ( Ű­ÙˆŰ¶ ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama "Al-Kausar" yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari Syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
1. Pemimpin yang adil.
2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di Padang Mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara berkata, “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

15. ‘Arasy ( Űč۱ێ ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi ( ÙƒŰ±ŰłÙŠ ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib dan ‘Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir dan munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b. Memasukkan manusia ke dalam Syurga tanpa hisab.
c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari Neraka.
Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.

27. Para Nabi dan Rasul serta golongan Khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70,000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70,000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju Syurga melintasi Jambatan Sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya Neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata, "Perjalanan di Sirat memakan masa 15,000 tahun. 5,000 tahun menaik, 5,000 tahun mendatar dan 5,000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api Neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya."

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri Sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1,000 orang yang meniti Sirat, hanya seorang sahaja yang berjaya melepasinya, 999 orang akan terjatuh ke dalam Neraka.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

(Diambil dari website Jejari Access)

Berhiburlah Sebentar Supaya Hati Segar

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan hiduplah kalian sebagai orang-orang yang berserah diri kepada-Nya. Taatlah Allah dengan melaksanakan semua perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Hanya hamba-hamba Allah yang mengerti sahaja yang takut kepada-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Telah kalian maklum bahawa ketenangan jiwa sangat dihajati oleh setiap orang yang mengharapkan kebahagiaan. Dapatkah kalian perolehi ketenangan dari harta dan kekayaan? Tentu kalian ada jawapannya bahawa ketenangan jiwa bukan dari harta dan kekeyaan tetapi ia datang dari iman yang mendalam kepada Allah s.w.t. dan Rukun Iman yang lain. Iman yang tidak dicampuri dengan ragu-ragu dan kepalsuan.

Sahabatku sedarilah!
Ketenangan jiwa membawakan keteguhan pendirian untuk kalian. Tiadak akan ada perasaan cemas dan dukacita maupun tekanan ketakutan dan kegentaran. Tidak pula digoncang oleh ragu-ragu dan keluh kesah. Kalian akan merasai keyakinan diri semasa orang lain merasai kegelisahan. Kalian akan mampu bersabar ketika orang lain mengalami kegoncangan jiwa!

Setelah kalian sedari hakikat kebahagiaan dikecapi dari keimanan, bagaimana langkah kalian memeliharanya? Tentunya kalian tidak mahu kehilangan sesuatu yang sangat berharga kerana dengannya akan menentukan kejayaan masa-masa seterusnya.

Ingatlah sahabat!
Kebahagiaan iman itu mesti dikawal dengan takwa. Dengan takwa kalian akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakkan supaya tidak mencacatkan keimanan serta menyebabkan hilangnya ketenangan. Tanpa ini semua kebahagiaan masa depan seakan-akan pudar serta sukar dicapai.

Dalam ketekunan serta kesungguhan kalian mengejar kebahagiaan, situasi kebosanan sesekali akan cuba mengalahkan kalian. Usah merasa lemah. Hadapilah dengan tenang. Berilah hak kepada hati untuk merasakan suasana istirehat dan gembira, supaya beroleh kesegaran dalam meneruskan usaha yang masih panjang.

 Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. pernah berkata, "Sesungguhnya hati itu boleh bosan dan letih seperti badan. Oleh itu carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati." Katanya lagi, "Istirehatkanlah hatimu sekadarnya, sebab hati itu apabila telah bosan, boleh pula menjadi mati."

 Abu Darda' pula ada berkata, "Sesungguh hatiku akan ku isi dengan sesuatu yang ringan supaya lebih dapat membantu untuk menegakkan yang hak."




 Oleh itu, tidak salah sekiranya seorang Muslim bergurau. bermain atau berhibur yang dapat melapangkan hati. Syaratnya tidak menguasai seluruh waktunya sepanjang pagi dan petang sehingga menganggu kewajipan harian.

 Maka tepatlah pepatah mengatakan : "Campurkanlah perbicaraan itu dengan sedikit gurauan, seperti makanan yang dicampur dengan sedikit garam."

 Hiburan yang dibolehkan dalam Islam termasuklah bentuk-bentuk permainan yang boleh menyegarkan badan seperti perlumbaan dan olaraga. Boleh juga meliputi kegiatan memanah, menembak, menunggang kuda dan 'mencari harta karun'.

 Manakala hiburan dalam bentuk syair, nasyid, sajak dan nyanyian lagu-lagu petrotik yang boleh menenangkan hati dan mengenakkan telinga. Hal ini dibolehkan oleh Islam, selagi tidak dicampuri perkataan kotor, keji serta cabul yang mengarah kepada perbuatan dosa. Tidak salah pula kalau disertai dengan muzik yang tidak keterlaluan. Bahkan hiburan dalam bentuk ini disunatkan dalam situasi gembira seperti majlis perkahwinan, hari-hari perayaan Islam dan juga kelahiran bayi.

Sahabat,
Didalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. ada dijelaskan dari Ibnu Abbas r.a. : "Aisyah pernah menghantar pengantin dari seorang kerabatnya kepada seorang Ansar, kemudian Rasulullah bertanya : "Apakah ada dikirim bersamanya orang yang akan menyanyi?"
Aisyah menjawab, "Tidak!." Kemudian Rasulullah berkata, "Sesungguhnya orang-orang Ansar gemar sekali kepada hiburan. Oleh itu alangkah baiknya kalau dikirim seorang yang menyanyikan- 'Kami datang, kami datang! Selamat datang kami, selamat datang kamu....!"
(Riwayat Ibnu Majah)

 Berdasarkan hadis di atas jelaslah soal hiburan menurut kacamata Islam. Kita layani fitrah hati untuk merasakan keringanan serta menyuburkan kesegaran. Bukannya tenggelam dalam kelekaan.

 Barangsiapa berniat menghiburkan hati supaya kuat berbakti kepada Allah serta tangkas berbuat kebajikan maka dia akan dikira sebagai hamba yang taat kepada Allah. Manakala bagi hamba Allah yang berhibur dengan tidak berniat untuk berbakti kepada Allah, dia akan membuang masa dengan sia-sia. Tetapi bagi mereka yang berhibur hingga lupa kewajipannya kepada Allah, percampuran bebas lelaki dan wanita dan membuka jalan kepada dosa, maka dia dianggap fasik. Oleh itu kalian jauhilah bentuk-bentuk perbuatan seperti ini supaya terhindar dari kemurkaan Allah s.w.t.

Begitulah hak hati yang perlu kita penuhi agar ia tidak kecewa dan mati. Supaya nanti usaha-usaha yang mendatang akan lebih mantap dalam memburu kebahagiaan hakiki.

Sahabat yang dihormati,
Kalian sepatutnya hidup dengan hati yang sentiasa damai kerana pengaruh keimanan menimbulkan perasaan aman. Zaman bergilir dan masa berubah. Sesudah kecemasan datang keamanan, sesudah kelemahan timbul kekuatan. Sesudah kesulitan datang kelapangan, sesudah gelap terbitlah terang. Disinilah hakikat kebahagiaan yang kalian cari?

 Marilah sama-sama kita berdo'a kepada Allah s.w.t.semoga diberinya kesihatan dan ketenangan jiwa sebenarnya dalam kita untuk melalui hari-hari yang mendatang.

 "Ya Allah, limpahkanlah hati kami dengan belas kasih-Mu pada siang hari maupun pada saat pagi dan petang yang silih berganti. Tidak lengah dari hati kami, semasa tidur ataupun jaga; kecuali mengingati-Mu antara jiwa dan nafas kami. Tunjukkanlah kami pada jalan yang telah ditempuh oleh hamba-hamba-Mu yang soleh. Bimbinglah kami di dunia dan bahagiakanlah kami di akhirat. Cerahkanlah wajah kami pada saat orang-orang bermuka masam. Amin ya Rabbal Alamin."

Kembalilah Kepada Islam Untuk Mencapai Tamadun Yang Gemilang


Sahabat yang dikasihi Allah,
Di saat saudara-saudara kita seaqidah di dunia luar dizalimi, ditindas dan dinyahkan, masih ada di kalangan kita yang tidak merasai kesangsaraan itu. Lihat penderitaan yang menimpa rakyat Palestin. minoriti di Cina, Ronhiya di Myanmar, Khasmir, Selatan Thailand, Iraq dan Afghnistan (sempadan Pakistan dan Afghnistan). Kita cukup yakin bahawa semua ini adalah konspirasi jahat musuh Islam, Yahudi (Israel) dan Nasrani (Amerika dan sekutunya).

  Alhamdulillah pada zahirnya kita aman dan negara stabil kerana tidak dilanda peperangan atau mengalami nasib sebagai pelarian. Namun, sedar atau tidak, sebenarnya kita sedang diserang dan dihancurkan secara halus, secara evolusi dengan tektik yang cukup rapi. Memang, cara mereka bukan menggunakan senjata api, bom atau seumpamanya, tetapi sasaran mereka ialah akhlak dan aqidah umat kita. Buktinya, lihat gaya dan budaya hidup masyarakat kita, khususnya anak muda yang di lalaikan dengan hidangan dengan berbagai keseronokan serta kebebasan.

Ingat, jika ini berterusan begini, kehancuran akibat runtuhnya akhlak dan aqidah ini adalah jauh lebih teruk berbanding kesan peperangan. Sebab itu, kita harus bangunkan umat ini, khususnya generasi muda supaya sedar yang mereka sedang dirosakkan. Jadi, untuk selamat dari kehinaan dan kemurkaan Allah, mari kita kembali menghayati wahyu Ilahi. Kita selamatkan dua perisai ini (akhlak dan aqidah) dengan al-Qur'an dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam masa yang sama, ketepikan runtunan nafsu dan pengaruh kebendaan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebenarnya kita adalah umat yang cemerlang dan gemilang 14oo tahun yang silam. Umat Islam pada zaman itu diikhtiraf sebagai umat terhebat dan termulia pernah ujud di atas muka bumi ini. Mereka telah dipimpin oleh seorang insan yang agung di kalangan manusia iaitu Muhammad s.a.w.


Kita dahulunya umat yang cemerlang dan gemilang, tetapi sekarang kita hidup di bawah tapak kaki musuh. Kita lemah dari segi ekonomi, ketenteraan, sains dan teknologi dan teknologi maklumat. Bukan setakat itu sahaja, malahan mereka berani mempermain dan memperlagakan sesama umat Islam. Adakah kehinaan ini kita boleh katakan disebabkan oleh ajaran Islam itu sendiri yang tidak berkesan membawa kemuliaan?

Mengapa Islam yang dianuti ini tidak menjadikan kita sebagai umat yang cemerlang dan gemilang seperti Rasulullah s.a.w. dan generasi sahabat perolehi? Jawapannya ada pada setiap dari kita, yang mengaku sebagai umat Muhammad s.a.w. Jika kita renungi kembali siri perjalanan hidup baginda s.a.w. dan generasi awal akan tahu bahawa punca kecemerlangan dan kegemilangan mereka ialah ilmu dan amal. Mereka sungguh-sungguh dalam mengamalkan seluruh intipati ajaran Islam yang bersumberkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Sehinggakan, diceritakan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab r.a. tidak menghapal 10 ayat lain kecuali setelah mengamalkannya.

Sahabatku,
Jika kita melihat takrif perkataan iman, menurut kesepakatan ulama ia bererti kepercayaan pada hati, ikrar dengan lisan dan amalan dengan anggota. Maka tidak timbul alasan bagi orang yang berilmu itu untuk tidak beramal denga apa yang dimilikinya. Tidak wujud golongan yang mengajak kepada Sunnah, tetapi tidak mengamalkannya. Bahkan tidak seharusnya ada golongan yang hanya tahu melaungkan rasa cinta pada Islam, tetapi tidak mahu mengikut cara hidup Rasulullah s.a.w.dan generasi sahabat dalam memperjuangkan Deen ini.

Ingat, hanya kita umat Islam yang mampu mengubah keadaan masyarakat kita hari ini. Jangan sekali-kali percayakan bangsa lain yang tidak menjunjung aqidah dan akhlak Islamiah untuk mengubah nasib kita. Mari kita bekerja dengan ikhlas dan semoga Allah mengurniakan kejayaan pada kita. Maka, bebaskan umat ini dari kehinaan dengan memiliki secukupnya ilmu dan beramal secara amanah. Ilmu yang kita miliki itu sebenarnya menjadi ukuran sejauh mana kekuatan umat untuk bangun dan meninggikan tamadun Islam. Semoga masa dan tenaga yang kita curahkan ini mendapat rahmat dan keredhaan Allah s.w.t. insya Allah.

Monday, November 30, 2009

Keikhlasan Dalam Matlamat Hidup

Sahabat yang dimuliakan,
Lazimnya kita melihat keikhlasan seseorang pada amal yang dilakukan. Namun ada aspek keikhlasan yang lebih luas iaitu keikhlasan pada matlamat hidup. Seseorang manusia wajib nampak bahawa hidupnya adalah untuk Allah, kerana sememangnya itulah tujuan penciptaan. Segala tindakannya bukan setakat untuk mencari redha Allah tetapi segala apa yang ada pada dirinya, termasuk kekayaannya dan umurnya adalah untuk Allah. Hidupnya untuk Allah kerana ia memandang kebaikan yang Allah lakukan atas dirinya amat banyak.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apa sahaja ujian yang menimpa diri kalian, hendaklah kalian sentiasa bersabar dan bertawakal kepada Allah. Teruskanlah berbakti kepada Allah s.w.t.tunaikanlah tugas dengan ikhlas kerana-Nya. Ini telah berlaku kepada Khalid ibn Walid. Apabila Umar al-Khattab menjadi khalifah, Khalid telah diturunkan dan digantikan oleh Usamah bin Zaid. Para tentera yang pernah berada di bawah perintah Khalid bertanya, "Apakah sudah dilucut, kamu terus berjuang?" Jawab Khalid, "Aku bukan berjuang kerana Umar...."

Perkara seumpama ini mudah dibicara tetapi berat dilaksana. Sungguh pun demikian ada Mukmin yang mampu mewarisi sifat ikhlas ini. Sifat ikhlas inilah yang disebut oleh Allah sebagai jaminan menangkis seribu satu macam godaan Iblis. Iblis menggoda manusia menjadi Muslim, jika Muslim digoda pula supaya tidak berpegang teguh kepada perintah Allah, jika berpegang teguh digoda supaya tidak berkorban dan berjuang menyebarkan agama Allah, jika berjuang digoda supaya tidak ikhlas.

Sahabatku,
Sesuatu nilai amalan kebaikan tidak akan bernilai di sisi Allah s.w.t. apabila tidak ikhlas kepada-Nya. Keikhlasan sebenar bukan boleh diukur dengan kata-kata atau dakwaan seseorang, tetapi keikhlasan adalah suatu perasaan murni di dalam hati dan jiwa yang bersih dan beriman kepada Allah s.w.t. Tidak mungkin ikhlas dapat dipisahkan dengan iman kerana ikhlas akan lahir dari jiwa yang beriman kepada Allah s.w.t.Keikhlasan juga boleh dapat di lihat dalam amalan perbuatannya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Para Malaikat cemburu kepada pemuda yang mati muda (dalam perjuangannya) sedang ia tidak dikenali semasa hayatnya, dan tidak ramai yang mengkebuminya." Ia terkenal di langit kerana keikhlasannya, tidak mencari publisiti di kalangan manusia, tetapi hatinya hampir kepada Allah, serta sumbangannya kepada agama sangat besar.

Sayyidina Uthman r.a sering memberi bantuan makanan kepada jiran dan rakyatnya secara senyap. Selama beberapa tahun lamanya orang-orang miskin mandapat ada makanan di muka pintu tanpa diketahui siapa pemberinya. Mereka dapati sejak kematian Sayyidina Uthman Affan tiada lagi bekalan makanan.

Sahabat,
Oleh itu jadikanlah diri kalian ikhlas dalam semua perkara. Jadikanlah matlamat yang satu iaitu mencari redha Allah, walau apapun sikap manusia terhadap kalian. Sayyidina Umar al-Khattab r.a berkata, "Balaslah perlakuan orang kepada kamu dengan tindakan takwa."

Usahakanlah menanam sifat ikhlas dalam matlamat hidup ialah dengan merenung 'hidup sesudah mati.' kerana ianya boleh menghidupkan hati kalian dan tamakkan redha Allah.Apabila hati kalian sentiasa mengingati Hari Akhirat perasaan tamakkan dunia akan hilang dari hati kalian dan terhakislah sifat-sifat mazmumah seperti penyakit batin termasuk hasad dengki sesama Mukmin kerana berebut pengaruh, meninggalkan perjuangan, merasa jemu dalam berjuang dan fitnah memfitnah.

Oleh itu kalian carilah teman yang baik dan ikhlas, yang sanggup bersama-sama semasa kesusahan bukannya teman yang hanya bersama semasa senang dan meninggalkan kalian semasa mendapat kesusahan.

Sunday, November 29, 2009

Murnikan Aqidah Hingga ke Akhir Hayat

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Mereka yang beriman, dan tidak mencampuradukkan iman dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan mereka itu orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah Al-An’am ayat 82)

Ibnu Katsir dalam mentafsirkan ayat di atas ini telah mengemukakan hadis berikut :
Jarir bin Abdullah r.a berkata, kami keluar bersama Nabi s.a.w.. Dan ketika keluar dari kota Madinah tiba-tiba ada seorang berkenderaan cepat menuju kearah kami. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Mungkin kenderaan itu menuju kita.”

Maka sampailah orang itu dan member salam, kami menjawab salamnya, lalu bertanya kepadanya, “Anda datang dari mana?”

“Dari daerah anak keluargaku.” Jawabnya.

“Ke mana tujuanmu?”

“Menemui Rasulullah.” Jawabnya.

Bersabda Nabi s.a.w. “Anda sedang berhadapan dengannya.”

Lalu ia berkata, “Ya Rasulullah, ajarkan kepadaku apakah iman itu?”

Jawab Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Menyaksikan bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, dan Nabi Muhammad itu utusan Allah. Dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa dalam bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah.”

Berkata ia, “Aku telah mengakui itu.”

Tiba-tiba kaki untanya masuk ke dalam lubang tikus, dan jatuhlah unta itu, maka ia jatuh tersungkur kepalanya sehingga mati. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabatnya, Sambutlah orang itu!”

Maka cepat-cepat melompat Ammar bin Yasir dan Hudzaifah bin Alyamaan dan langsung mendudukkan orang itu, lalu berkata keduanya, “Ya Rasulullah, dia dah mati.”

Maka Rasulullah berpaling muka daripadanya, kemudian bersabda pada kedua sahabat itu, “Apakah kalian tidak melihat aku berpaling muka, kerana aku melihat ada dua malaikat sedang memasukkan makanan daripada buah-buahan Syurga ke dalam mulutnya, maka aku ketahui bahawa ia mati kelaparan.”

Kemudian sabdanya pula, “Ini termasuk dari mereka yang difirmankan Allah : ‘Mereka yang beriman dan tidak mencampur adukkan imannya dengan syirik.” (Ayat yang disebutkan di atas)

Kemudian Nabi s.a.w. bersabda, “Rawatlah saudaramu!”

Maka kami mandikannya serta mengkafan jenazah dan kami kebumikan. Kemudian datang Nabi s.a.w., dan duduk di tepi kubur lalu bersabda, “Buatlah lahat dan jangan membuat lubang di tengah kubur, tabad (lubang pinggir) itu untuk kami dan lubang tengah untuk selain kami.”

Pengajarannya :
Berdasarkan sirah di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa orang yang beriman di saat-saat akhir kematiannya, bertanyakan tentang iman dan membuat pengakuan bahawa ia tetap istiqamah dengan iman. Dari itu kita mestilah sentiasa murnikan aqidah kita dan jangan dicampuradukkan dengan kesyirikan kepada Allah s.w.t. Walau dalam keadaan genting sekalipun mesti istiqamah dan berpegang teguh kepada aqidah Tauhid dan Rukun Iman dan tidak sedikit pun merasa ragu-ragu.