Saturday, September 15, 2012

Orang Mukmin Sentiasa Berwaspada Terhadap Hasutan Dan Godaan Syaitan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Siapakah musuh kita yang paling utama? Musuh utama kita adalah apa yang dikatakan musuh oleh Allah SWT .

Firman Allah SWT maksudnya : “Bukankah Aku telah memerintahkan kamu wahai anak cucu Adam iaitu agar kamu jangan menyembah (mengikuti godaan dan rayuan) syaitan, sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata. Dan hendaklah kamu hanya menyembah (patuh) padaKu. Inilah yang lurus”. (Surah Yasin ayat 60-61)

Berdasarkan ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa iblis dan syaitan adalah musuh kita yang paling utama sekali. Dia enggan sujud menghormati datok kita Adam. Sikapnya yang sombong itu akhirnya mendapat kemurkaan Allah SWT. Allah SWT mengutuk Iblis. Dan Iblis tahu bahawa yang menjadi sebab utama dia dikutuk adalah kerana Adam a.s. Iblis dendam kepada Adam a.s lalu dia memohon kepada Allah SWT agar Dia mengizinkannya untuk menggoda Adam dan anak cucunya. Permohon Iblis itu dikabulkan oleh Allah SWT. Dan semua kita tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan oleh Allah SWT dari syurga adalah kerana tipu daya Iblis (laknatullah ‘alayhi). Iblis terus bekerja keras untuk memesongkan anak cucu Adam dari jalan Allah yang lurus.

Allah SWT memanggil manusia dalam ayat ini dengan istilah: “Wahai anak cucu Adam”, bukan dengan istilah “wahai manusia”. Ini memberi isyarat agar kita hendaknya selalu ingat tentang peristiwa pahit yang pernah menimpa datok kita Adam dan Hawa, yang kerana tipu syaitanlah mereka akhirnya dikeluarkan dari syurga.

Allah SWT menyuruh kita agar menyembah-Nya iaitu dengan mematuhi suruhanNya dan menjauhi laranganNya.

Di dalam solat kita di wajibkan membaca surah al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari semalam. Di dalam surah al-Fatihah terdapat doa kepada Allah SWT pada ayat ke enam berbunyi :

  Ű§Ù‡ْŰŻِنَۧ Ű§Ù„Ű”ِّ۱َۧ۷َ Ű§Ù„ْمُŰłْŰȘَقِيمَ

Maksudnya : "Tunjukilah kami jalan yang lurus."

Jalan yang lurus bermaksud jalan kebenaran, jalan Islam dan jalan yang diredai oleh Allah SWT bukannya jalan sesat dan menyesatkan iaitu jalan iblis dan syaitan.

Firman Allah SWT maksudnya : “Segala kebenaran adalah dari Tuhanmu, oleh sebab itu janganlah kamu ragu-ragu lagi”. (Surah al-Baqarah ayat 147)

Allah SWT perintah setiap muslim  untuk mengerjakan solat, puasa, menutup aurat, ihsan kepada ibu bapa dan menerima hukum-hukum-Nya semua peraturan ini   datang daripada Allah SWT, maka itu semua adalah Al-Hak atau kebenaran. Oleh sebab itu syaitan akan berusaha agar kita jangan melakukan perintah –perintah itu. Begitu juga dengan larangan jangan berzina, homosex, onani, merogol, berjudi, minum arak, berkata bohong. Semuanya datang daripada Allah SWT. Oleh sebab itu bisikan yang mendorong kita agar melakukan dosa-dosa itu adalah datangnya dari syaitan.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT menjelaskan kepada kita bahwa syaitan ada dua jenis iaitu syaitan dari jenis jin dan syaitan dari jenis jenis manusia. Lihat firman Allah dalam surah Al-an’aam 112 (yang bermaksud):

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu ada musuh, iaitu syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia”.

Pertama : Untuk kita menjauhi syaitan dikalangan jin :

Terdapat empat pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaitan untuk merasuki manusia. Empat pintu itu ialah:
  • Terlalu marah
  • Terlalu gembira/ seronok/ leka
  • Terlalu dukacita
  • Terlalu syahwat
Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan lain-lain lagi.

Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi diri dengan zikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah sifat-sifat tercela.

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan Nabi SAW boleh kita amalkan :

1. Banyakkan membaca doa perlindungan kepada Allah SWT . Membaca doa perlindungan daripada Allah SWT seperti terdapat di dalam al-Quran surah al-Mukminun ayat 97-98.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah :'Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan, dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, agar mereka tidak mendekatiku'."

Baca doa perlindungan : Auzubillahi minas syaitannir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syitan yang direjam)

2. Baca "bismillahirahmanirrahim" setiap perbuatan yang hendah dilakukan.

3. Banyakkan berzikir dan berdoa , seperti doa-doa yang di ajarkan oleh Nabi SAW. (doa makan, doa masuk tandas, doa sebelum berjimak, doa naik kenderaan, doa keluar rumah dan lain-lain lagi)

4. Banyakkan bersedekah dengan ikhlas.

5. Banyakkan bertaubat kepada Allah SWT.

6. Banyak membaca al-Quran. (terutama ayat Kursi,  surah al-Baqarah dan Surah Ali-Imran)

7. Sentiasa berwuduk.

8. Banyakkan solat malam.

9. Sentiasa memberi salam , ketika masuk kerumah atau ketika berjumpa saudara muslim yang lain.

10. Amalkan membaca zikir al-Mathurat Kubra waktu pagi dan petang.

Kedua : Untuk kita jauhkan syaitan dikalangan manusia.

1. Perlu berhati-hati mencari kawan kerana kawan yang jahat akan mendorong untuk melakukan maksiat dan dosa.

Allah juga memerintahkan agar selalu bersama dengan orang-orang yang baik. Allah SWT berfirman,

يَۧ ŰŁَيُّهَۧ Ű§Ù„َّŰ°ِينَ ŰąَمَنُÙˆŰ§ ۧŰȘَّقُÙˆŰ§ Ű§Ù„Ù„َّهَ وَكُونُÙˆŰ§ مَŰčَ Ű§Ù„Ű”َّۧۯِقِينَ

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar(jujur)." (Surah At- Taubah ayat 119).

Dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang yang beriman supaya bersama-sama (berkawan) dengan orang-orang yang benar (jujur) .

Oleh sebab itu kita mestilah hati-hati kalau mencari kawan. Bahwa sesungguhnya kawan-kawan yang suka mengajak kita melakukan maksiat, sebenarnya mereka adalah syaitan dari jenis manusia. Atau dengan kata lain mereka telah ditonggangi olih syaitan jin untuk memesongkan kita dari jalan yang lurus.

2. Jangan mengambil orang kafir, zalim dan fasik sebagai pemimpin.

Hakikat sebenarnya pemimpin di kalangan orang kafir, zalim dan fasik adalah terdiri daripada syaitan yang berbentuk manusia. Pemimpin seperti ini banyak mendorong kita kepada maksiat dan dosa, berusaha untuk menghalang untuk menegakkan kebenaran Islam di dalam masyarakat. Mereka benci kepada alim ulama dan sentiasa menentang hukum hudud dan banyak memberi alasan untuk merelisasikan Islam dalam kehidupan.

Firman Allah SWT.

يَۧ ŰŁَيُّهَۧ Ű§Ù„َّŰ°ِينَ ŰąÙ…َنُÙˆŰ§ Ù„Ű§ ŰȘَŰȘَّŰźِŰ°ُÙˆŰ§ Ű§Ù„ْيَهُÙˆŰŻَ وَŰ§Ù„Ù†َّŰ”َۧ۱َى ŰŁَوْلِيَۧۥَ ŰšَŰčْ۶ُهُمْ ŰŁَوْلِيَۧۥُ ŰšَŰčْ۶ٍ وَمَنْ يَŰȘَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَŰ„ِنَّهُ مِنْهُمْ Ű„ِنَّ Ű§Ù„Ù„َّهَ Ù„Ű§ يَهْŰŻِي Ű§Ù„ْقَوْمَ Ű§Ù„ŰžَّŰ§Ù„ِمِينَ

Maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim."(Surah al-Maidah ayat 51)

Ulama menyatakan bahawa bukan setakat dilarang kita mengambil orang kafir sebagai pemimpin tetapi orang zalim dan fasik juga dilarang kita mengambilnya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama jauhi diri kita daripada godaan dan hasutan syaitan dikalangan jin dan juga hasutan syaitan dikalangan manusia. Kedua-duanya boleh membawa kita kepada kemurkaan Allah SWT dan menjauhkan kita daripada syurga-Nya di akhirat nanti.



Friday, September 14, 2012

Siapa Yang Mendapat Haji Mabrur Di Jamin Masuk Syurga

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mengerjakan fardu haji ke Baitullah adalah termasuk di dalam rukun Islam ke lima bagi sesiapa yang berkemampuan dan cukup perbelanjaan. Sekiranya seseorang muslim itu telah cukup perbelajaan tidak ada halangan quata dan masaalah kesihatan tetapi dia enggan menunaikan haji dan tidak ada langsung niat untuk menunaikannya , jika sekiranya dia mati maka matinya adalah kematian jahilaih. (kerana mengingkari kefarduan rukun Islam ke 5).

Ingatlah! Pemergian kalian ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji adalah jihad dijalan Allah SWT. Banyakkan bertaubat kepada Allah SWT, memohon kemaafan saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai, jika ada hutang-hutang yang lama belum dibayar maka diselesaikanlah atau minta halal kerana kita telah bebas daripada perkara-perkara yang wajib di selesaikan.

Ketika di Tanah Suci janganlah merosakkan ibadah kita dengan melakukan perkara mungkar serta kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti mengumpat, mencaci, memaki hamun dan mengutip batu di Tanah Suci untuk dibawa balik ke tanah air.

Oleh itu bagi setiap orang Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji mestilah mengetahui segala rukun, syarat-syaratnya dengan betul supaya hajinya diterima oleh Allah SWT.

Apalah gunanya jika ibadat haji yang mempunyai ganjaran dan kelebihan begitu besar seperti ganjaran orang yang berjihad di jalan Allah itu rosak dan binasa disebabkan perkara mungkar dan khurafat yang kita kerjakan. Malah ibadat haji yang kita kerjakan itu tidak diterima oleh Allah dan ia menjadi sia-sia.

Oleh yang demikian, bakal jemaah haji seharusnya mengambil perhatian berat berhubung perkara ini dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan khurafat. Mudah-mudahan dengan kita menjauhi segala perkara mungkar dan khurafat itu ibadat haji kita akan diterima oleh Allah.

Daripada Abdullah bin Masu'd bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Hubungkanlah sekalian kamu antara haji dan umrah kerana ia menghapuskan dosa dan kemiskinan seperti menghembus tukang besi akan kotoran besi, emas dan perak. (Hadis riwayat Tirmizi).

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan". (Hadis riwayat Bukhari).

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah yang bermaksud : "Dan (diantara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.".
(Surah Ali-Imran ayat 97)

Sesiapa yang telah mencukupi perbelanjaan untuk menunaikan haji maka dia wajib mengerjakannya tanpa ditangguh-tangguh lagi kerana ajal dan maut seseorang tidak siapa mengetahuinya. 

Lantaran itu, jelas di sini bahawa ibadah haji wajib ke atas setiap muslim, baligh, berakal, merdeka, aman perjalanan dan berkemampuan. Satu syarat tambahan untuk wanita iaitu adanya mahram bersamanya.

Yang dimaksudkan dengan kemampuan ialah:

1. Memiliki bekalan yang mencukupi bagi perjalanan pergi ke Tanah Suci dan perjalanan pulang ke tanah airnya untuk dirinya dan perbelanjaan mereka yang di bawah tanggungannya semasa pemergiannya.

2. Pengangkutan yang sesuai.

 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Islam itu dibina atas lima perkara: Kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa (pada bulan) Ramadan)." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih).

Dalam satu hadis Nabi SAW melarang keras sesiapa yang enggan atau tidak berniat langsung untuk menunaikan salah satu rukun Islam yang lima iaitu mengerjakan fardu haji  tanpa alasan yang dibenarkan syarak dan dia pula berkemampuan maka matinya adalah mati sebagai Yahudi atau Nasrani. na'uzubillahiminzalik.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki bekalan dan kemudahan pengangkutan yang menyampaikannya ke Baitullah tetapi ia tidak berhaji, maka tiada halangan baginya untuk mati sebagai Yahudi atau Nasrani".(Hadis Riwayat Tirmizi dan Baihaqi).

Terdapat 4 tingkatan ibadah haji yang dilakukan oleh orang-orang Islam sama seperti ibadah solat dan puasa iaitu :

Pertama : Haji Mardud.

Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima olah Allah SWT lantaran kerana kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah SWT.

Kedua : Haji Maqbul.

Haji Maqbul adalah haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah dan telah menyempurnakan rukun Islam yang ke lima tanpa diberi ganjaran pahala.

Ketiga : Haji Makhsus.

Haji Makhsus adalah ibadah haji yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah SWT tetapi diampunkan segala dosanya. 

Haji ini termasuk ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud :
” Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya ”

Keempat : Haji Mabrur

Haji Mabrur adalah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua muslim boleh mendapatkannya. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga. 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas yang bermaksud :” Haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga ”

Sahabat yang dihormati,
Setiap mukmin yang telah dipilih menjadi tetamu Allah SWT dan berpeluang mengerjakan fardu haji maka dia perlulah berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT semoga ibadah haji yang dikerjakannya adalah mendapat Haji Mabrur.

Adapun perkataan “MABRUR” di segi pengertian bahasanya ialah perbuatan yang tidak ada syubahat atau keraguan padanya atau hanya diertikan dengan makna yang diterima.

Makna Haji Mabrur pada istilah ialah haji yang diterima dan balasannya yang luarbiasa iaitu syurga, manakala lawannya ialah Haji Mardud iaitu haji yang ditolak dan tidak diterima.

Apakah syarat-syarat untuk mendapat Haji Mabrur?

Untuk mencapai tingkatan haji yang mabrur, tidak semudah seperti yang disangkakan tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Ia memerlukan beberapa syarat yang tertentu berdasarkan masa-masa tertentu.

Sebelum menunaikan fardu haji ada beberapa perkara yang seharusnya diperbetulkan sebelum berangkat keTanah Suci iaitu :

1. Niat semata-mata kerana Allah SWT.

Niat semata-mata kerana Allah swt, jangan sekali dicampur-adukkan dengan perasaan riak dan takbur. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Umar Al-Khattab yang bermaksud ” Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkan ”

2. Wang perbelanjaan diperolehi daripada sumber yang halal.

Wang yang diperolehi dan akan digunakan untuk tujuan  menunaikan ibadat Haji hendaklah daripada sumber yang halal, jangan sekali dicampur-adukkan dengan sesuatu yang haram atau yang syubahat.

3. Kewajipan diri sendiri telah sempurna dan tidak mempunyai tanggungan lain yang wajib disempurnakan.

Setelah cukup syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan haji tanpa memaksa diri sendiri dan semua tanggungan yang lain telah disempurnakannya tanpa menjejaskan pemergiaannya ke tanah suci untuk mengerjakan haji.

4. Semasa mengerjakan haji dijaga semua perkara iaitu :

a. Menyempurnakan segala rukun-rukun haji.

b. Menyempurnakan segala perkara-perkara wajib haji.

c. Membayar segala jenis dam yang dikenakan.

d. Tidak melakukan larangan ketika berihram haji seperti persetubuhan, kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud :
” Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat mengerjakan Ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji ”

5. Selepas menunaikan haji (sudah balik ketanah air)

Orang yang telah menunaikan Haji, dianggap telah membersihkan dirinya daripada segala dosa dan kesalahan, setelah menunaikan ibadah haji khasnya setelah kembali ke tanah air maka beberapa perkara perlu diawasi :

a. Mengekalkan diri sentiasa dalam keadaan bersih dari sebarang noda dan dosa dengan menjauhkan perkara-perkara mungkar yang dilarang.

b. Memperbanyakkan amal soleh untuk meningkatkan iman dan ketakwaannya.

c. Memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna di segi akhlak dan kelakuannya. 

Dengan terlaksananya segala apa yang dinyatakan seperti di atas, maka besar kemungkinan seseorang itu akan mencapai ke tahap Haji Mabrur yang diidamkan oleh setiap pengunjung Baitullahil Haram.

Sahabat yang dikasihi,
Dengan huraian yang ringkas ini, diharap akan dapat memberikan satu gambaran tentang Haji Mabrur dan pencapaiannya atau sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai panduan untuk mencapai Haji Mabrur.

Sesiapa di antara kalian yang belum lagi menunaikan haji maka berdoalah kepada Allah SWT semoga dipermudahkan oleh Allah SWT dan diberikan-Nya rezeki  untuk menjadi tetamu-Nya kerana mereka yang terpilih sahaja layak menjadi tetamu-Nya. 

Untuk bakal-bakal haji yang telah dipilih tahun ini maka kalian perlulah membuat persiapan serapi mungkin iaitu persiapan fizikal, mental, emosi dan kerohanian. Saya doakan kalian semua semoga dikurniakan taufik dan hidayah-Nya serta kemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan penuh ketakwaan, terhindar dari sifat riak yang merosakkan amalan.

Kepada Allah SWT diserahkan segala urusan dan kepada-Nya dipohonkan ganjaran di atas setiap amal yang dikerjakan.

Thursday, September 13, 2012

Menjaga Adab-adab Islam Semasa Kempen Pilihanraya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa ini, rakyat Malaysia hangat membicarakan mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan bila-bila masa. Parti dan calon yang akan bertanding pula giat berceramah, berkempen dan menyatakan manifesto masing-masing bagi memastikan kemenangan mereka walaupun pilihanraya belum diistiharkan lagi.

Pilihanraya adalah satu cara demokrasi untuk memilih pemimpin dan wakil rakyat . Rakyat jelata yang berkelayakan dan cukup syarat-syaratnya diberi hak dan mandat untuk membuat pemilihan untuk mengundi di dalam pilihanraya. Mana-mana parti politik yang memenangi majoriti mudah akan di beri mandat untuk membentuk kerajaan dan menyediakan barisan kabinet dan bertanggungjawab untuk mentadbir negara setelah diperkenankan oleh Yang di Petuan Agong.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian setiap pemimpin parti, ahli-ahli parti dan para penyokong mereka perlulah memiliki akhlak Islam dan moral yang baik semasa berkempen, memberi ceramah politik dan meraih undi dari rumah kerumah.

Kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pemilihan calun dan pembantu calun maka perlulah mempunyai akhlak yang mulia, menjaga adab sopan dan ingat akan batas-batas agama yang diajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu perlu dijauhi perkataan kotor dan maki hamun, fitnah memfitnah, mengumpat, mendedahkan aib musuh politiknya dan membuat tuduhan tanpa membawa bukti yang sahih.

Bagi rakyat yang bukan muslim perlulah pula membawa nila-nilai moral, sivik dan tata susila iaitu nilai-nilai umum peribadi yang baik sebagai seorang rakyat Malaysia.

Masing-masing parti atau calun berhak berkempen untuk memenangkan calun-calun mereka tetapi biarkan cara yang sopan dan tidak dicemari dengan sumpah seranah, maki hamun dan  tuduhan yang membuta tuli. Jauhkan diri daripada bertindak agresif menghalang dan membuat provokasi semasa pihak lain berkempen dan berceramah. Hanya mereka yang berfikiran sempit dan bersikap fanatik sahaja akan bertindak diluar batas-batas kemanusiaan dan akhlak yang mulia.

Islam  melarang kita menghina orang lain dalam berkempen kerana terlalu banyak cara yang mulia dan berakhlak untuk menyatakan kebenaran dan menarik sokongan. Cubalah kita lihat cara pergerakan Islam di luar negara seperti Ikhwan Muslimin di Mesir yang terlibat dalam pertandingan merebut calun-calun Parlimen dan calun President mereka berkempen menggunakan cara-cara yang di benarkan syarak dan tidak mengadaikan prinsip Islam untuk meraih sokongan rakyat jelata.

Larangan daripada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain kerana mungkin kaum yang dihina itu lebih baik daripada kaum yang menghina dan janganlah pula wanita menghina wanita yang lain kerana mungkin wanita yang dihina itu lebih baik daripada wanita yang menghina. Janganlah kamu mencela diri kamu sendiri dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan fasik sesudah beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat merekalah orang yang zalim."

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah sifat banyak syak wasangka kerana sebahagian syak wasangka itu perbuatan dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah seseorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentulah kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, ayat 11-12).

Berdasarkan maksud ayat itu, terserlah hikmah daripada larangan berkenaan iaitu Islam ingin menghalang perbuatan atau amalan yang boleh mengeruhkan dan menimbulkan permusuhan di kalangan komuniti Islam. Islam juga ingin mengelakkan umat Islam daripada terjebak dalam kancah pergaduhan, permusuhan dan fitnah memfitnah yang hanya menempah kesengsaraan yang tidak berkesudahan.


Justeru, umat Islam sewajibnya menginsafi peranan mereka semasa berkempen supaya setiap ucapan dan tuduhan perlulah mempunyai bukti dan asas yang kukuh sebelum memberi pandangan dan sangkaan kepada pihak lawannya. Pastikan pertandingan merebut jawatan wakil rakyat adalah pertandingan yang sihat bukannya pertandingan yang menimbulkan kebencian dan dendam kesumat. Perlulah diinsafi bahawa adat pertandingan adakalanya menang dan ada kalanya kalah, maka pihak yang kalah perlulah menerimanya dengan hati yang terbuka bukannya menimbulkan huru hara dan persengkitaan dan mengarahkan penyokongnya untuk membuat kacau bilau dalam masyarakat.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Islam tidak boleh dipisahkan daripada amalan seharian, pekerjaan, dan interaksi sesama manusia,  malah hubungan dengan haiwan dan alam sekitar juga ada adab-adab yang telah digariskan oleh Islam.

Jika kita benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka kita perlu berpegang teguh dengan ikatan Islam dan tidak boleh terpisah walaupun sedikit. Oleh itu, semua perkataan, perbuatan, amalan, tulisan, arahan, gagasan, perancangan kita tidak boleh lari daripada ajaran Islam yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya.


Jika kita ke tandas atau ke tempat tidur, pasti ada doa dan adab-adab yang disisipkan, maka adakah ketika hendak berkempen dan memilih pemimpin, kita bebas daripada adab-adab dan peraturan yang telah digariskan oleh agama Islam?

Jawabnya pasti tidak boleh, kerana dalam Islam kita tidak boleh menggunakan kaedah “Matlamat menghalalkan cara”. Jika cara itu haram dan berdosa, maka Islam melarang kita menggunakan cara tersebut  walaupun matlamatnya baik .

Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan dalam kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang yang bergelar mukmin. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukanlah masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan sehingga menelanjangkan sesama sendiri. Perkara negatif seperti ini wajib kita jauhkan demi menjaga ukhuwah yang telah terjalin, juga atas dasar saudara sesama Islam.

Apakah adab-adab dan akhlak yang perlu dijaga ketika hampir pilihan raya dan sewaktu menjalani pilihan raya. Di sini ada beberapa kaedah yang baik untuk kita jadikan panduan, antaranya:

1.   Bertanggungjawab iaitu menunaikan hak diri kita sesama muslim yang lain. Di dalam memahami konsep ini dengan situasi kita sekarang ialah dengan memberi sokongan serta dorongan kepada calon-calon yang bertanding di samping memberikan nasihat-nasihat yang berguna buat mereka supaya dapat difikirkan apabila di lantik ke dalam barisan kepimpinan kelak.

2.   Setiap penyokong atau pun calon yang membuat manifesto dan kempen, pastikan bahawa kita melaksanakannya dengan penuh akhlak seorang muslim. Ini sangat penting ketika saat-saat genting seperti ini, kerana pada waktu ini sangat mudah tercetusnya suasana yang tidak baik jika kita sama-sama tidak mengawalnya, mungkin boleh terjadinya pergaduhan, kutuk mengutuk, memfitnah, mendedahkan aib dan sebagainya.

Nabi SAW telah memberi nasihat kepada kita dengan sabdanya: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan hari akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

3.   Setiap pengundi yang hendak memilih calon-calon yang bertanding, pastikan kita memilih bukan atas dasar fanatik, populariti, kawan baik dan sebagainya. Tetapi pilihlah atas dasar ketokohan yang dipamerkan, idea yang bernas diberikan, dan ulasan-ulasan menarik sejajar dengan realiti semasa. Semua ini memainkan peranan yang sangat penting untuk masa depan sesebuah negara yang berjaya dan disegani dan bebas daripada rasuah, ketirisan dan penyelewengan pemimpin yang silam.

Ini bersesuaian dengan firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az-Zumar ayat 18)

4.   Setiap calon hendaklah memberi manifesto yang tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Memberi manifesto yang baik serta ulasan yang bagus kerana apa memilih gagasan yang sedemikian adalah sangat membantu untuk membuka mata pengundi sejurus membawa kejayaan kepada apa yang dipimpin kelak.

Selain itu, isi manifesto tersebut hendaklah releven untuk dilaksanakan dan rasa ada kemampuan untuk melaksanakannya, ini sangat penting untuk mengelakkan diri daripada difitnah kelak. Tidak menunaikan janji adalah salah satu sikap orang munafik, maka berhati-hatilah ketika memberi manifesto dan berkempen. Fikir dahulu sebelum bercakap.

5.   Tidak terlalu melampau sehingga melanggar batas-batas Islam ketika berjalannya sesi berkempen dan pilihan raya sehingga membawa kepada perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri agar kita semua beroleh petunjuk dan rahmat, ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Ketenteraman, kasih-sayang dan kedamaian adalah elemen-elemen yang sangat penting di dalam masyarakat Islam. Permusuhan dan pergaduhan pula adalah musuh yang paling besar dalam sesebuah komuniti. Maka di dalam kehangatan untuk kita menjalani tanggungjawab kita sesama insan, maka sikap dan akhlak itu sangat penting, agar segala tindak tanduk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT sejurus membawa komuniti kita menuju keredaan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Umat Islam perlu bijak memilih calun dan tokoh pemimpin yang akan di diberi mandat untuk mentadbirkan negara. Carilah calun terbaik yang akan merubah keadaan negara kearah yang lebih baik. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang akan memertabatkan Islam dan hukum-hukum Islam dalam kehidupan harian demi kepentingan rakyat. Tolaklah pemimpin yang mempunyai sejarah  silam yang buruk seperti terlibat dengan rasauh, akhlak yang buruk,  pembaziran dan menindas rakyat dengan akta-akta yang zalim dan menyekat kebebasan bersuara dan menghalang demontrasi secara aman.

Perlu di ingatkan bahawa undi-undi kalian mengandungi nilai ibadah jika disalurkan ditempatnya yang betul dan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, sebaliknya jika tersilap memilih semuanya akan disoal di akhirat nanti.










Wednesday, September 12, 2012

Allah SWT Tidak Pandang Rupa Paras Kamu Tetapi Dia Pandang Kepada Hati Kamu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
 Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT menciptakan manusia dengan sempurna yaitu diberikannya bentuk tubuh yang baik, akal fkiran dan nafsu, kemudian manusia itu sendiri yang menentukan mampu atau tidaknya menggunakan pemberian Allah SWT dengan baik.

Allah SWT menciptakan roh kepada manusia sebagai pengerak untuk menghidupkan seluruh anggota badan. Akal sebagai alat untuk menerima ilmu pengetahuan atau untuk mengetahui hakikat sesuatu secara nyata. Anggota tubuh seperti panca indra berfungsi untuk mendengar, melihat, berkata-kata dan bergerak secara fizikal.. Dari semua anggota tubuh manusia hanya hati yang dapat menerima sesuatu yang mutlak dari Allah SWT yang Maha Berkuasa kerana hati adalah sebagai tuan kepada anggota tubuh, semua aktiviti anggota tubuh digerakkan oleh hati dan hati adalah Allah SWT yang menggerakkan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu"
(Hadis Riwayat Muslim).

Manusia hanya dapat memandang sesuatu secara zahir (nyata) saja tidak dapat menembus apa yang ada dalam hati, maka manusia sering kali tertipu dengan penampilan atau gambaran luaran yang sebenarnya menurut pandangan Allah adalah berlainan. Niat dan prasangka (zan) yang menjadi penilaian Allah SWT dalam menilai baik dan buruknya manusia.
 Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Amal itu hanya tergantung dengan niat "
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Niat seorang mukmin untuk nilai amalnya " (Hadis Riwayat Abu Daud).

Dalam hadis qudsi Allah SWT berfirman maksudnya : "Aku tergantung prasangka hambaKu kepadaKu dan Aku beserta hambaKu apabila ia berzikir kepadaKu " (Hadis Riwaayt Bukhari).

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila kalian sakit fizikal kalian akan berusaha untuk berjumpa doktor  mencari ubat untuk menyembuhkan penyakit kalian. Kalian cukup jaga dan prihatin terhadap kesihatan fizikal apabila sakit, tetapi sering lupa apabila hati dan jiwa kalian sakit untuk mencari menawar dan ubat yang sesuai terhadap penyakit tersebut.

Imam al-Gazali berkata: "Saya heran manusia sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan dari kotoran-kotoran batin dan maksiat, padahal Allah hanya memandang hati mereka sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syams ayat 7-10 maksudnya :

“Dan jiwa/roh serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa/roh itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah asy-Syams ayat 7-10)

Roh manusia dicipta Allah untuk membeza perkara benar dengan yang batil. Justeru, kejayaan manusia akan dicapai apabila rohnya sentiasa berada dalam keadaan suci.

Setiap manusia dapat memperoleh kelebihan daripada Allah SWT berupa taufik dan hidayah yang dikurniakan-Nya  asalkan mereka mampu menjalannya dengan baik dan hati yang bersih jauh dari syirik, riak sombong dan takbur.

Firman Allah SWT maksudnya : " Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu " (Surah al-Hujarat ayat 13).

Firman-Nya lagi yang bermaksud : " Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat, Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan " (Surah al-Mujadilah ayat 11).

Jika hati baik maka akan baik pula kelakuan anggota tubuhnya sebaliknya jika hati buruk maka buruk pula kelakuan anggota tubuh dan gerakan hati atas Iradat Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas r.a.: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) di sepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik penciptaan. Bermulanya dengan setitik air yang hina sehinggalah bergelar seorang insan bernama manusia. Diberikan pula berbagai-bagai nikmat yang tak ternilai banyaknya tanpa mengira siapa kita. Namun, kita sering lalai dan lupa untuk mensyukuri di atas anugerah yang dikurniakan, bahkan kita masih lagi berlumba-lumba mengejar kemewahan yang bersifat sementara itu.

Nikmat yang paling berharga dikurniakan kepada manusia ialah nikmat hati, yang merupakan raja segala gerak-geri dan tingkah-laku yang dipertontonkan oleh manusia. Hati yang diciptakan Allah semulia-mulia kejadian, di situlah akal manusia, di situlah buruk, baik, sihat, lemah manusia, di situlah segala-galanya.

Benarlah apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya didalam jasad manusia ada segumpal darah apabila segumpal darah itu baik maka baik pula sekalian anggota tubuh sebaliknya, apabila buruk maka buruk pula anggotanya, ketahuilah yaitu hati " (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).

Oleh itu jagalah hati kalian dengan sebaik-baiknya kerana hati yang bersih dan sejahtera adalah merupakan jalan menuju kebahgiaan di dunia dan ianya juga adalah tiket untuk memasuki syurga Allah SWT.



Tuesday, September 11, 2012

Pembahagian Roh Dan Huraiannya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
 
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Israa’ ayat 85)
 
Menurut Imam al-Bukhari, Ibn Mas’ud ra. meriwayatkan bahawa kaum Yahudi telah bertanya Nabi SAW berkenaan dengan roh, dan Nabi SAW berdiam sehinggalah ayat ini diturunkan sebagai jawapannya.

Didalam tafsir Jalalain ada menyatakan bahawa apa-apa perkara mengenai roh maka manusia tidak mengetahuinya (melainkan diberitahu oleh Allah), dan manusia diberikan pengetahuan mengenainya dengan kadar yang sedikit apabila dinisbahkan kepada ilmu Allah SWT.

Dr Wahbah al-Zuhaily didalam kesimpulan penafsiran ayat diatas menjelaskan bahawa : "Sesungguhnya ilmu manusia sangatlah sedikit apabila dibandingkan dengan ilmu Allah. Didalam ayat tersebut mereka bertanya mengenai perkara roh yang dimiliki oleh Allah SWT, dan Dia tidak memberitahu kamu mengenainya, dan Dia memberitahu kamu hanya sedkit mengenai ilmu tesebut." (Tafsir al-Munir, 8/168).

Perkataan roh didalam al-Quran disebut sebanyak 21 kali. Roh didalam al-Quran boleh membawa maksud spirit (jiwa) yang berada didalam badan manusia yang hidup, iaitu roh manusia, dan juga boleh membawa maksud malaikat; iaitu Malaikat Jibril as. Contohnya didalam – perkataan al-Roh didalam surah al-Qadr, surah al-Maryam ayat 17, Roh al-Quddus didalam al-Baqarah ayat 87 dan 253. Disini kita dapat lihat bahawa ia bukan hanya melibatkan roh manusia, akan tetapi skopnya melibatkan malaikat, dimana Allah SWT sahaja yang tahu hakikat sebenarnya.

Perkara mengenai roh ini adalah perkara ghaib, dimana skop pengetahuan manusia tidak menjangkau mengenainya. Ia sangat kompleks, dan tidak mungkin boleh difaham oleh makhluk yang bernama manusia, sebagaimana dinisbahkan kepada soalan kaum Yahudi kepada Nabi SAW dan baginda menjawab dengan firman Allah yang maksudnya : “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”.
 
Sahabat yang dimuliakan,
Roh yang ada di dalam diri kita ini terlalu abstrak (seni). Sifatnya sensitif, selalu berubah-ubah, sekejap baik dan sekejap jahat. Perubahan ini berlaku terlalu cepat sekali sehingga susah untuk kita mengesannya. Ini menyebabkan banyak sifat-sifat yang baik telah terabai dan sifat-sifat yang buruk (jahat) dibiarkan bermaharajalela dalam diri sama ada disengaja atau tidak, disedari atau tidak.

Sifat-sifat roh terbahagi kepada dua iaitu:

1. Sifat-sifat mahmudah (sifat positif atau sifat-sifat yang baik)

2. Sifat-sifat mazmumah (sifat negatif atau sifat-sifat yang keji)

Apakah makanan  roh supaya ianya sihat dan sejahtera?

Jika jasad memerlukan makanan untuk menjadi sihat dan bertenaga maka roh juga memerlukan makanan kerohanian untuk menjadi sihat , kuat dan bertenaga. Makanan untuk roh adalah ibadah khusus seperti berzikir, membaca al-Quran, beristighfar, solat, puasa, mengerjakan haji dan umrah, berdoa dan bermunajat. Tanda roh seseorang menjadi sihat dan sejahtera apabila jiwa, hati, emosi dan perasaan seseorang sihat, bersih, tenang dan sejahtera tidak ada sifat hasad dengki dan buruk sangka.
 
Allah SWT memanggil roh yang tenang sebagai jiwa yang tenang (nafsu mutmainah) untuk memasuki syurganya, sebagimana firman-Nya yang bermaksud :

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan di redaiNya, maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu"(Surah al- Fajr ayat 28-30).

Sahabat yang dimuliakan,
Ilmu rohaniah atau ilmu rohani adalah ilmu mengenai roh. Yakni ia mengkaji, memerhati, mengesan dan menilai tentang perjalanan roh. Perkataan rohaniah itu berasal dari perkataan ‘ruhun’. Apakah yang dikatakan roh itu?

Para ulama ada menyatakan bahawa roh boleh dibahagikan kepada dua bahagian.
 
Pertama : Ruhul Hayah

Kedua : Ruhul Tamyiz

Huraiannya :

Pertama : Ruhul Hayah.

Ruhul hayah terdapat pada semua makhluk termasuk manusia, jin, malaikat, binatang dan setiap benda yang bernyawa. Mengikut kajian ahli biologi atau para saintis, batang kayu juga ada roh. Begitu juga pada semua jamadat (benda mati) seperti batu, kayu dan sebagainya.

Ruhul hayah yang ada pada binatang, manusia, malaikat dan jin, kiranya ia keluar dari badan, mereka akan mati. Kalau ia keluar dari malaikat, malaikat akan mati. Begitu juga kalau ia keluar dari jin, jin akan mati. Kalau ia keluar dari manusia, manusia akan mati. Kalau ia keluar dari hewan, hewan itu juga akan mati. Kerana ruhul hayah ini menjadi penyebab pada manusia dan lain-lain makhluk itu hidup.

Apabila sudah sampai masa kematian maka Malaikat Maut akan datang untuk mencabut roh hayah daripada jasad manusia. Roh hayah akan berbahagia di alam barzakh jika simati semasa hidup di dunia banyak melakukan amal ibadah dan amal soleh, tetapi roh hayah ini akan terseksa dan tergantung-gantung di antara langit dan bumi apabila si mati semasa didunia mempunyai hutang sesama manusia yang belum ditunaikan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud : ”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Dan dalam hadis yang lain daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang maksudnya : “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Orang yang mati syahid diampuni semua dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Demi yang jiwaku ada ditanganNya, seandainya seorang laki-laki terbunuh di jalan Allah, kemudian dihidupkan lagi, lalu dia terbunuh lagi dua kali, dan dia masih ada hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sampai hutang itu dilunaskan." (Hadis Riwayat Ahmad)

Kedua : Ruhul Tamyiz.

Ruhul tamyiz (ruhul amri) lebih dikenali sebagai akal. Ia tidak ada pada binatang tetapi hanya ada pada manusia, malaikat dan jin. Dengan adanya roh tamyiz inilah maka malaikat, jin dan manusia menjadi makhluk yang mukalaf. Yakni mereka dipertanggungjawabkan untuk mendirikan syariat. Mereka memikul beban untuk mendirikan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebaliknya roh tamyiz atau ruhul amri itu tidak ada pada binatang. Binatang hanya ada ruhul hayah dan nafsu tanpa akal. Ia hanya memiliki roh yang memungkinkan seseorang atau binatang itu hidup dengan izin Allah. Jadi roh tamyiz ini tidak ada pada binatang dan seluruh jamadat. Oleh kerana itulah binatang dan jamadat itu tidak mukalaf dan tidak diwajibkan mendirikan syariat. Ia tidak terlibat melaksanakan perintah suruh dan menjauhi perintah larang dari Allah SWT.

Bagi para malaikat, manusia dan jin, mereka wajib melaksanakan perintah suruh dan menjauhi larangan dari Allah SWT. Dengan lain perkataan, mereka dianggap makhluk yang mukalaf yang mesti bertanggungjawab kepada Allah kerana adanya ruhul tamyiz ini.

Roh tamyiz terkenal dengan sebutan akal. Hadis ada meriwayatkan yang maksudnya: “Ketika Allah menciptakan akal, Dia memanggil akal itu dan akal itu pun datang. Dia menyuruh akal itu pergi maka pergilah ia. Kemudian Allah berfirman kepada akal: ‘Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, Aku tidak menciptakan sesuatu makhluk yang lebih Aku sayangi daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku akan menyuruh, melarang dan menyeksa serta memberi pahala’.” (Hadis Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Inilah yang membedakan antara manusia, jin dan malaikat dengan lain-lain makhluk yang hanya semata-mata ada ruhul hayah. Umpamanya binatang, ia tidak mukalaf. Sebab itu pada binatang walaupun ia berbuat baik, tidak diberi pahala. Ia berbuat jahat pun tidak berdosa. Maka bila mati mereka jadi tanah. Ke Syurga tidak dan ke Neraka pun tidak.
 
Dari ketiga-tiga makhluk ini hanya malaikat yang terselamat daripada seksaan neraka kerana malaikat tidak ada nafsu dan ianya di ciptakan hanya untuk melakukan ketaatan kepada perintah Allah SWT. Tetapi manusia dan jin , oleh kerana memiliki akal atau ruhul tamyis atau ruhul amri maka mereka akan dibalas baik ke syurga dengan rahmat-Nya atau ke neraka dengan keadilan-Nya. Kalau mereka berbuat baik akan diberi pahala. Sebaliknya bila berbuat jahat, mereka berdosa dan akan dicampakkan ke neraka.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika roh tamyiz keluar dari badan manusia, maka manusia tidak akan mati. Sebaliknya ia akan pergi ke alam-alam lain. Mungkin dapat melihat alam malakut, dapat melihat alam roh, dapat melihat alam ghaib, dapat melihat alam kubur, dapat melihat alam jin, dapat melihat alam malaikat, alam yang halus-halus (alam mawaraa-ul maddah ) iaitu dapat melihat alam di luar material (kebendaan) ini dengan izin Allah SWT.

Ini yang berlaku apabila roh tamyiz keluar dari jasad semasa seseorang itu tidur , dia akan bermimpii. Bila ia jumpa roh yang suci, seseorang itu akan dapat mimpi yang baik-baik. Tetapi apabila roh tamyiz itu bertemu dengan ruhul khabitah (roh yang jahat ) ia akan berjumpa dengan jin kafir yang jahat, syaitan, iblis atau benda-benda yang menakutkan.
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila Allah SWT mengasihi para hamba-Nya dan menjadi wali-Nya iaitu mukmin yang bersih hati dan jiwanya maka Allah SWT akan memberikan kelebihan luar biasa (melalui roh tamyiz) yang di panggil karamah, kashaf, maunah, firasat mukmin dan pandang dengan mata hati dan mimpi-mimpi yang benar. Inilah kelebihan roh tamyiz.

Tetapi ruhul hayah itu apabila keluar dari badan mana-mana makhluk, samaada jin, manusia dan haiwan maka makhluk tersebut akan mati.

Sahabat yang dikasihi,
Untuk memberi penjelasan yang lebih mengenai malaikat, jin, manusia dan binatang adalah seperti berikut :

1. Malaikat ada roh, ada akal tetapi tidak ada nafsu. Dia mukalaf yang taat atau tabiat makhluknya taat, patuh dan tidak pernah ingkar. Seperti yang disebutkan di dalam Al Quran:

Maksudnya: (Malaikat itu) tidak pernah menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6 )


2. Jin ada roh, ada akal dan ada nafsu. Jin telah diberi tanggungjawab untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jika jin beriman dan taat kepada Allah SWT maka dia akan diberi balasan syurga di hari akhirat tetapi sebaliknya jika dia engkar dan derhaka kepada Allah SWT dan sentiasa menggoda dan menyesatkan manusia maka jin akan di azab dan dimasukkan ke dalam neraka.

3. Binatang ada roh, ada nafsu tetapi tidak ada akal dan tidak mukalaf. Tidak dipertanggungjawabkan syariat kepada mereka. Bila mati jadi tanah. Tidak ke syurga dan tidak ke neraka.

4. Manusia ada roh, ada nafsu dan ada akal. Maksudnya ada ketiga-tiga sekali. Kalau diasuh, dididik dan dibersihkan hatinya, ia akan berwatak malaikat yang berupa manusia. Bila tidak dididik dan diasuh atau tidak dibersihkan hatinya, dia akan jadi watak binatang atau watak jin atau syaitan yang berupa manusia.


Monday, September 10, 2012

Politik Islam Perlu Di Fahami Dan Di Hayati Dalam Kehidupan Seorang Muslim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang indivudu muslim mukmin apabila kita membicarakan mengenai politik , adakah ianya boleh dipisahkan dengan Islam dan ajarannya?

Jawapannya pasti tidak boleh di pisahkan kerana setiap masa dan ketika kita tidak boleh lari daripada ajaran Islam samaada ketika kita bekerja, beribadah, berriadah, bermuamalah, bersosial dan berinteraksi sesama masyarakat dan berpersatuan dan berorganisasi.

Semua peraturan hidup manusia samaada dari perkara yang besar hingga perkara yang kecil terdapat di dalam ajaran Islam. Sebagai contoh dalam Islam terdapat hukum dan peraturan cara-cara untuk membina dan menguruskan kerajaan atau negara  hinggakan perkara kecil untuk ketandas ada adab-adab dan doa yang perlu diucapkan.

Oleh itu dalam urusan politik iaitu organisasi yang bertanggungjawab urusan mentadbir negara (adalah perkara besar) seperti pemilihan pucuk pemimpin negara, gerak kerja berkempen dan terlibat dalam pilihan raya  dan hak-hak untuk mengundi,  apakah kita  boleh lari daripada akhlak Islam atau ajaran Islam.?Jawapannya pasti tidak boleh. Kerana dalam Islam matlamat tidak boleh menghalalkan cara, jika matlamat kita bersih maka cara-cara yang perlu kita gunakan juga perlu bersih dan tidak bertentangan dengan syarak.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila kita membicarakan mengenai politik Islam kita bukanlah bermaksud 'parti politik' atau ' organisasi yang berdaftar sebagai parti politik' 

Politik Islam (bahasa Arab: ŰłÙŠŰ§ŰłÙŠ Ű„ŰłÙ„Ű§Ù…ÙŠ) adalah Politik di dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah siyasah. Secara ringkas maksud Politik Islam adalah pengurusan atas segala urusan seluruh umat Islam.

Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya :
"Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) ”

Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu bermakna adalah mengurusi urusan masyarakat. 

Rasulullah SAW. bersabda : "Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum muslim). (Hadis Riwayat Thabrani).

Wajib setiap muslim mukmin bangun dipagi hari untuk membantu dan menguruskan keperluan kaum muslimin. Untuk melaksanakan kewajipan tersebut perlulah kepada perancangan dan pengurusan yang cekap dan berterusan maka untuk melaksanakan tugas tersebut maka perlulah ada satu badan atau organisasi. Maka pengurusan seperti ini termasuk dalam urusan politik (siyasah) Islam. Jika urusan kebajikan ini di kira wajib maka lebih-lebih lagi untuk pengurusan pentadbiran negara perlu kepada politik Islam.

Dalam Islam semua aktiviti umat Islam untuk menguruskan kehidupan umat Islam sendiri dan masyarakat samaada melalui pertubuhan, organisasi, persatuan, parti-parti politik, kelab dan jemaah Islam semuanya tidak boleh terpisah dengan politik Islam. Islam memiliki adab-adab, etika, peraturan, sistem yang lengkap dan sempurna dalam apa sahaja aktiviti kehidupan. 

Asas politik Islam adalah Al Quran dan As Sunnah yang dijadikan sebagai undang-undang dan peraturan dan ijtihad ulama-ulama muktabar yang memahami realiti semasa yang memerlukan fatwa dan ijtihad.

Sistem politik Islam mempunyai kelainan berbanding sistem politik yang lain. Dengan adanya beberapa keistimewaan yang unik dan beberapa ciri penting, ini membolehkannya memimpin manusia keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan budaya. Ciri-ciri tersebut juga telah menjadikannya relevan untuk dilaksanakan dan dipraktikkan di mana-mana dan pada bila-bila masa saja.

Terdapat enam ciri sistem politik Islam, ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :-

Pertama : Sistem Rabbani

Apa yang menjadikan sistem politik Islam itu sangat istimewa berbanding dengan sistem-sistem politik yang lain ialah sistem politik Islam itu adalah sistem Rabbani yang mana asas-asas, peraturan-peraturan dan hukum-hukumnya bukanlah ciptaan manusia yang dibelenggu oleh kelemahan dan kekurangan selain ia dipengaruhi oleh hawa nafsu dan naluri. 

Akan tetapi yang mengatur segala peraturan dalam sistem Rabbani ini ialah Tuhan dan Pencipta kepada sekalian manusia. Dialah yang Maha Mengetahui akan apa yang memberi kebaikan da keburukan kepada manusia, sepertimana firman-Nya yang bermaksud :

"Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian mahluk itu mengetahui (segala-galanya) sedang Ia Maha Halus urusan pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya” (Surah al-Mulk ayat 14)

Firman-Nya yang bermaksud :”Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah” (Surah al-Ma’idah ayat 50)

Sistem-sistem politik yang lain merupakan ciptaan manusia. Merekalah yang mencipta dan mereka sistem tersebut dengan rekaan mereka sendiri. Tiada bezanya antara Negara-negara demokrasi, komunis mahupu diktator. Hak perundangan adalah terletak pada Allah sahaja dan tidak boleh dimiliki oleh orang lain selain daripada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan daripada agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah” (Surah al-Syura ayat 21)

Hukum Allah bersifat adil sepenuhnya. Ia juga mempunyai berbagai ketinggian hikmah dan hidayah. Tidak terdapat padanya sebarang pertentangan mahupun kecondongan kearah kepentingan golongan tertentu terhadapt golongan yang lain. Hukum Allah juga tidak membebankan dan memberatkan. Yang lain dari hukum Allah adalah zalim dan batil. Manusia tidak dikehendaki mengambil dan menerima hukuman yang lain selain daripada hukum Allah.

Kedua : Sistem Akhlak

Sistem politik Islam tertegak diatas kemurnian akhlak serta menghormati hak-hak asasi manusia. Sistem ini menyeru kepada pemeliharaan dan kesetiaan terhadap perjanjian dan piagam serta memelihara hak-hak asasi manusia dan melindunginya daripada sebarang fitnah dan keterlaluan. Sebagai contohnya ia telah berurusan dengan tawanan dengan cara yang baik dan penuh belas kasihan, sehinggalah mereka itu dibebaskan melalui bayaran denda atau ganti rugi. 

Sehubungan dengan itu Allah SWT telah berfirman maksudnya : ”Setelah selesai pertempuran itu maka terserahlah kepada kamu sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusan) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya” (Surah Muhammad ayat 4)

Firman Allah SWT lagi maksudnya :”Mereka juga memberi makan makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan”
(Surah al-Insan ayat 8)

Peperangan dalam Islam bukanlah cara untuk menunjuk kekuatan dan melakukan kemusnahan. Dengan demikian Islam tidak mengharuskan membunuh mereka yang tidak berperang seperti wanita-wanita,kanak-kanak,oarng tua,orang tidak berupaya dan orang awam. Sehubungan dengan ini Ibn Umar telah berkata “Wanita didapati terbunuh dalam beberapa peperangan, maka Rasulullah telah melarang daripada membunuh wanita dan juga kanak-kanak”.

Perbuatan memotong atau mencincang mayat musuh setelah mereka dibunuh juga dilarang. Tidak dibenarkan dikudungkan telinga mereka, dipotong hidung mereka atau ditebuk perut mereka, melainkan sekiranya perkara-perkara yang sama seperti itu diperlakukan terlebih dahulu terhadap orang Islam. Ketika itu boleh orang Islam memperlakukan sepertimana yang mereka lakukan itu, tetapi adalah lebih afdal tidak melakukannya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yag telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar”
(Surah al-Nahl:126)

Ketiga : Sistem Akidah.

Sesungguhnya sistem Islam ini tegak berasaskan akidah. Akidahlah yang merupakan sumber kearah penglihatan dunia dan kehidupan ini. Sistem politik Islam tidak dapat menerima bila sesuatu negara itu tertegak berdasarkan bangsa tertentu, warna kulit mahupun kedudukan geografi, kerana penerimaan terhadap pengelasan yang sedemikian itu bertentangan dengan konsep global dan keluasan serta kesyumulan risalah Islam itu sendiri. 

Ikatan yang dapat mengumpul kesemua anak watan dan penduduk sesuatu negara adalah akidah tanpa memandang kepada asal keturunan dan etnik, bangsa dan warna kulit. Hubungan melalui ikatan inilah yang seumpama inilah yang perlu diperkukuhkan berbanding dengan ikatan-ikatan lain seperti ikatan keturunan dan kekeluargaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Engkau tidak akan dapati sesatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka” (Surah al-Mujadalah ayat 22)

Keempat : Sistem yang Lengkap dan Menyeluruh.

Sistem pemerintahan Islam mempunyai keistimewaan dengan kesempurnaan serta syumul atau lengkap. Ini adalah seperti firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu” (Surah al-Ma’idah ayat 3)

Kesempurnaan ini disertai oleh kesyumulan yang bermaksud meliputi segala segi dan aspek. Ini menunjukkan kepada kesempurnaan syariah dengan segala yang diperlukan oleh manusia. Sesuatu peristiwa dan kejadian tidak akan terpisah daripada syariah, tidak kira dimana dan bagaimanakah ia berlaku dan terjadi.

Syariah Allah merupakan syariah yang syumul kepada individu, peraturan kekeluargaan dan peraturan serta keperluan masyarakat sama ada dalam hubungan sivil dan juga perdagangan. Ia juga meliputi segala apa yang berkaitan dengan jenayah serta hukuman-hukuman keatasnya yang telah ditentukan oleh syariah terlebih dahulu, seperti hukum hudud dan hukum qisas. Manakala ada pula hukum yang tidak ditetapkan oleh syariah terlebih dahulu, seperti takzir yang mana penentuannya dibuat oleh mereka yang pakar dalam bidang yang berkaitan.

Kelima : Sistem Keadilan dan Persamaan.

Firman Allah SWT berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia,(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil” (Surah al-Nisaa ayat 58)

Ayat ini menyuruh manusia berlaku adil tidak kira dengan bangsa mana sekalipun, dengan etnik mana sekalipun dan tidak kira apa warna kulit sekalipun. Allah SWT telah memerintahkan Rasul-Nya dengan jelas dan terang supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan, seperti firman-Nya yang bermaksud : "Dan aku perintahkan supaya berlaku adil antara kamu” (Surah al-Syura ayat 15)

Keenam : Sistem Global.

Ciri-ciri politik Islam serta daasr-dasarnya telah menjadikan sistem politik Islam itu sebagai satu sistem global. Segala undang-undang dan peraturannya sesuai bagi setiap masa dan tempat. Ini adalah kerana undang-undang Islam itu meliputi segala kepentingan dan keperluan serta memberi faedah dan manfaat kepada semua manusia. Ini adalah kerana undang-undang dan peraturan itu kesemuanya datang daripada Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui bagi segala-gala yang telah, sedang dan yang akan berlaku.

Seperti firman Allah SWT yang bermaksud : "Ia (al-Quran) itu tidak lain hanyalah peringatan bagi umat manusia seluruhnya” (Surah al-Qalam ayat 52)

Kesemuanya ini telah menjadi kenyataan dalam sejarah Islam di mana Negara Islam telah dapat menguasai kawasan-kawasan yang amat luas diatas muka Bumi ini, serta telah memerintah pelbagai kaum dan bangsa, bahkan mereka (bangsa-bangsa lain) juga turut sama dalam pemerintahan Islam. Ramai daripada kalangan bangsa lain (atas dasar mereka sebagai seorang Islam) telah menjawat jawatan yang terpenting dalam Negara Islam. Pemerintahan mereka turut ditaati oleh orang Arab sendiri.

Sahabat,
Berdasarkan huraian di atas setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan rukun-rukun Iman yang lain wajib menerima politik Islam sebenar dengan hati yang yakin dan terbuka. Maka semua pertubuhan , persatuan, organisasi, parti-parti politik, kelab dan jemaah Islam tidak boleh lari daripada garis panduan yang Islam benarkan.

Oleh itu perkara pertama yang perlu difahami dan dihayati matlamat pertubuhan sesuatu pertubuhan, persatuan, organisasi , parti-parti politik, kelab dan jemaah Islam mesti untuk mendaulatkan Islam, berusaha kearah merealisasikan hukum-hukum Allah SWT bukan bermatlamat menegakkan semangat asabiyah yang sempit dan bukan untuk kepentingan duniawi semata-mata. Bukankah hidup kita di dunia ini untuk mengabdikan diri kita kepada Allah SWT dan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi? Maka peraturan-peraturan Islam wajib dipatuhi dan diamalkan.

Perkara kedua yang perlu diambil perhatian adalah pemilihan pemimpin untuk setiap organisasi tersebut di atas perlulah dipilih di kalangan mereka yang beriman, bertakwa,  jujur dan amanah dan tidak boleh dipilih dikalangan mereka yang fasik dan tidak amanah (rasuah) yang sering melakukan dosa besar dan kemugkaran. Ahli-ahlinya juga perlulah terdiri dikalangan mereka yang memiliki akhlak Islam, amanah dan mampu menegur pemimpin jika mereka melakukan penyelewengan. Bukannya ahli-ahli yang mengikut dengan membuta tuli dan hanya untuk pangkat dan wang semata-mata.

Jika mereka semua (pemimpin dan ahli-ahlinya) memiliki akhlak Islam dan beramal dengan ajaran Islam tidak akan timbul beberapa perbuatan yang melaggar batas dan adab Islam yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. 

Perbuatan buruk yang wajib dijauhi dan dihindari adalah seperti berikut :

1. Membuat berita fitnah (menuduh zina atau lewath) dengan menyebarkan vedio palsu dan gambar-gambar superimpose untuk menjatuhkan maruah seseorang pemimpin atau ahli pertubuhan tersebut.

2. Mengeluarkan kata-kata kesat dan makin hamun kepada pihak lawan di dalam blog, facebook, e-mail, twitter, hand phone, sistem pesanan ringkas (sms) dan muat turun gambar-gambar lucah dan disebarkan kepada orang ramai.

3. Memijak gambar-gambar pemimpin, atau kencing gambar tersebut atau membakarnya tanda protes . Semua perbuatan tersebut bukan dari akhlak Islam ianya lebih mirip kepada sifat kebinatangan dan kesyaitanan.

4. Membaling kasut kepada penceramah di dalam masjid (rumah Allah) perbuatan ini adalah amalan jahiliah yang akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT kerana mengotorkan masjid dan menghina orang Islam secara terang-terangan. Perbuatan tersebut adalah perbuatan orang fasik, jika tidak bertaubat dan meminta maaf akan dilaknat oleh Allah SWT dan para malaikat-Nya kerana malaikat sentiasa berada di dalam rumah Allah.

5. Semua pemimpin , ahli-ahli dan penyokong tegar perlulah berhimah, tenang dan tidak membuat provokasi dengan menyerang pihak lawan cara makin hamun, membuat fitnah, menghina cara lisan  dan juga dengan perbuatan cara kekerasan (ala samseng jalanan) untuk menakutkan pihak lawannya. 

6. Islam melarang umatnya menggunakan kaedah "matlamat menghalalkan cara"
Teori ini menurut sumbernya dipopularkan oleh NiccolĂČ Machiavelli di dalam buku tulisannya bertajuk ‘The Prince'.

Jika dirujuk kepada konsep yang digagaskan oleh Machiavelli ini, sudah tentunya Islam menolak ideanya kerana ia tidak mempunyai sebarang limitasi dan panduan. Ia terbuka, untuk apa sahaja cara, selagi mana boleh membawa sesuatu objektif yang ingin diraih dan dikira perlu. Maka lakukankanlah cara itu, ia akan berubah menjadi mulia dan diterima.

Dalam Islam semua perbuatan, amalan dan niat dan cara-caranya mesti dibenarkan syarak dan matlamatnya juga jelas tidak bertentangan dengan syarak. Kita di larang menggunakan kaedah matlamatnya baik (syarak benarkan) tetapi cara dan jalannya haram.
Salah satu cara yang dilarang dalam Islam adalah penipuan dalam daftar pemilih, menggunakakan undi hantu, memberi kewarganegara kepada mereka yang tidak berkelayakan semata-mata untuk memenangi pilihanraya. Matlamatnya baik bila berjaya dalam pilihanraya boleh meneruskan pembangunan dan membantu rakyat jelata tetapi cara-caranya jelas haram kerana hak menggudi diberikan kepada yang tidak layak.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita ubah fikiran dan cara kita bekerja dengan mengikut syariat Islam dan berfikiran positif. Tinggalkanlah cara-cara batil yang terkeluar daripada roh dan akhlak Islam. Kita dibenarkan berpolitik dan berkempen untuk memilih pemimpin yang kita sayangi tetapi janganlah kerana kecintaan kita kepada mereka boleh mengadaikan prinsip-prinsip Islam dan melakukan perbuatan yang dilarang Islam untuk mencapai maltamat yang diidamkan.

Setiap muslim yang merasakan tanggungjawab dihadapan Allah SWT akan berhati-hati ketika membuat pemilihan semasa mengundi di dalam pilihan raya. Tangan kalian semua akan ditanya di akhirat nanti kepada siapa hak tersebut telah diberikan. Adakah kalian memilih pemimpin yang jujur dan amanah ataupun pemimpin yang tidak amanah dan sentiasa melakukan kezaliman? Tepuk dada tanya iman, itulah jawapan yang sebenarnya.



Sunday, September 9, 2012

Apakah Tujuan Dan Tugas Manusia Hidup Di Dunia Ini.?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang yang beriman kepada Allah SWT adalah orang yang kuat. Kuat disini bermaksud kuat jasmani dan rohani, sehingga ia tidak pernah gentar menghadapi hidup, sekalipun hidup itu penuh dengan cubaan dan rintangan.

Kekuatan orang yang beriman diperoleh kerana harapan kepada Allah SWT. Ia tidak akan mudah putus asa, kerana ia yakin bahawa Allah SWT bersamanya. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud : "Dia (Allah) beserta kamu dimanapun kamu berada dan Allah Maha Teliti akan segala sesuatu yang kamu kerjakan. Maka kemanapun kamu menghadap, maka disanalah wajah Allah. ( Surah al-Baqarah ayat 115).

Oleh kerana itu, orang yang beriman akan selalu mengantongkan dirinya hanya kepada Allah SWT semata-mata bukan kepada yang lain.  Sebab ia yakin dan percaya Allah SWT pasti menolongnya dan tidak akan membiarkan dirinya menghadapi cubaan dan rintangan itu secara bersendirian. Dugaan dan rintangan itu pasti dapat dihadapinya sebab dia yakin akan firman Allah SWT yang bermaksud : "Allah tidak akan memberatkan seseorang kecuali sekedar kemampuannya (ia mampu memikulnya). (Surah al-Baqarah ayat 286).

Dengan demikian, iman menghasilkan pengharapan, tiadanya pengharapan pertanda tiadanya iman. Orang yang tidak ada pengharapan terhadap Allah SWT, pertanda orang tersebut tidak percaya kepadaNya.

Oleh kerana itu, di dalam al-Quran kita selalu diingatkan oleh Allah SWT seperti apa yang disampaikan oleh Nabi Yakub a.s. kepada anak-anaknya dalam mencari Yusuf dan Bunyamin di Mesir maksudnya :  "..dan janganlah kamu berputus asa dari  rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir."
(Surah. (12) ayat 87)

Untuk menjadi hamba Allah yang beriman maka kita dituntut untuk senantiasa menjaga dan bahkan meningkatkan iman dari masa ke masa, sebab sesuai sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan La ilaha illallah “. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa iman kita boleh bertambah atau berkurang setiap hari bahkan berkemungkinan, iman boleh hilang sama sekali. Oleh kerana itu, kita harus melakukan amalan untuk mempertahankan dan meningkatkannya. Salah satu cara adalah dengan memperbanyakkan zikir kalimah 'Lailaha illallah'

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita lemah (rendah) kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.

Adapun usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mempertahankan iman adalah dengan menghayati dan mengamalkan tiga soalan :

1. Dari mana kita datang?

2. Apakah tujuan kita diciptakan di dunia?

3. Kemana kita akan pergi setelah kematian?

Huraiannya :

1. Dari mana kita datang?

Kita diciptakan oleh Allah SWT dari roh di alam arwah. Ketika ini apabila ditanya oleh Allah SWT siapakahTuhan mereka,  maka semua roh menjawab Allah SWT sebagai Tuhan mereka.

Fitrah manusia pada asalnya adalah suka kepada kebaikan dan telah mengaku kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'alah di alam arwah lagi bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa.

Allah Subhanahu Wa Taa'la berfirman yang bermaksud : "(Allah bertanya pada roh) "Bukankah Aku Tuhanmu?". Roh menjawab: 'Ya', kami akui Engkaulah Tuhan kami." (Surah al ‘Araaf ayat 172)

Sebelum masuk ke badan kita roh sudah mengenal Allah SWT, bahkan sudah menyaksikan ketuhanan Allah dan sudah mengaku kehambaan pada Allah. Tetapi ketika dilahirkan ke dunia, roh dikurung dalam jasad lahir bersama-sama musuhnya nafsu dan syaitan.

Manusia barasal daripada tanah (ciptaan Nabi Adam a.s) , selepas ciptaan Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa, manusia diciptakan daripada air mani lelaki dan wanita selepas berlaku persenyawaan maka akan terbentuk  janin di dalam kandungan perut ibunya. Apabila dilahirkan sahaja maka manusia telah memasuki alam dunia. Ketika inilah manusia diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalfah Allah dimuka bumi.

2. Apakah tujuan kita diciptakan di dunia?

Selama ini kita sering mendengar dari ulama yang menjelaskan bahwa tujuan hidup manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT sebagaimana ayat surah az-Dzaariat ayat 56 menjelaskannya “ Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku”

Beribadah (menyembah) kepada Allah SWT dimaksud ialah menyembah(solat) kepada Allah, berpuasa, naik haji, berbuat kebaikan-kebaikan dan lain-lain lagi.

Kalau sudah menjalankan rukun Islam ini ramai menyangka bahawa mereka sudah merasa beragama dengan benar. Sesungguhnya bukanlah demikian menurut perintah Allah SWT. Penjelasan seperti diatas itu belumlah sempurna, sehingga hasilnya pun juga tidak sempurna. Seperti kita lihat masarakat Islam sekarang ini yang masih terbelakang.

Beribadah kepada Allah SWT bukanlah menyembah Allah SWT sahaja bukan menjalankan rukun Islam yang lima saja, dan berbuat kebajikan saja, tetapi maknanya jauh dari itu.

Beribadah kepada Allah SWT bermaksud melaksanakan semua perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya dengan bersungguh-sungguh. Allah SWT adalah Raja  di bumi dan di langit ini. Sebagai para hamba kepada Allah SWT maka manusia seharusnya patuh dan taat mengikuti semua peraturan-peraturan Allah SWT bagaimana cara hidup dan bagaimana cara berkerja di dunia ini.

Selain daripada menjadi hamba Allah SWT di dunia ini, kita juga telah dipilih oleh Allah SWT menjadi khalifah Allah SWT iaitu memakmurkan muka bumi ini dengan Islam dan undang-undang Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : " Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi" (Surah al-Baqarah  ayat 30).

Khalifah bermaksud menjadi wakil Tuhan untuk mengurus tadbir bumi dengan baik berpandukan peraturan dan ketetapan yang termaktub dalam AlQuran dan Sunnah Nabi SAW untuk kesejahteraan umat manusia sejagat sebagai "rahmatan lil 'alamin" . Tanggungjawab khalifah tidak diberi kepada makhluk lain kerana mereka tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

3. Kemana kita akan pergi setelah kematian?

Apabila manusia meninggal dunia maka rohnya akan kembali ke alam barzakh . Alam barzakh adalah alam di antara dua alam iaitu alam dunia dan hari akhirat. Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.

Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya.  Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam al-Quran Surah Ibrahim ayat  27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)

Asbabun Nuzaul ayat 27 :

Al-Barra' r.a menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan tentang azab kubur dan keadaan yang terjadi di alam kubur. (Hadis Sahih Riwayat Nasai).

Selepas berlakunya hari kiamat maka semua makhluk Allah SWT samaada jin atau manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar. Ketika inilah proses keadilan bermula dan setiap manusia akan di adili seadil-adilnya di mahkamah Allah SWT dan dijalankan timbangan amal (Mizan). Selepas Mizan akan ada pula titian yang perlu dilalui untuk ke syurga iaitu Siratul Mustakim. Ada manusia yang berjaya melalui titian ini dan ramai yang kecundang hingga terjatuh ke gaung dibawahnya iaitu  tempat terletaknya Neraka Jahanam dengan api yang menyala-nyala.

Sahabat yang dikasihi,
Tujuan hidup adalah mencari reda Allah SWT bukan mencari reda syaitan, atau reda manusia. Tugas hidup adalah beribadah kepada Allah SWT . Peranan hidup adalah sebagai khalifah Allah di muka bumi yang bertindak mengolah dan melindungi, bukan sebagai perosak dan penghancur bumi. Pedoman hidup adalah Al-Quran dan Al-Hadis bekal hidup adalah ilmu dan amal, teladan hidup adalah Rasulullah SAW, kawan hidup adalah orang-orang yang beriman dan tidak  memusuhi Islam dan lawan hidup adalah syaitan laknatullah.

Apabila tiga persoalan di atas dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan sehari-hari, maka iman seseorang akan dapat dipertahankan dan bahkan dapat ditingkatkan dari masa kemasa. Apabila imannya kuat maka pengharapannya akan sebab ia sadar bahawa ia tidak sendirian sebab Allah SWT selalu menyertainya.