Saturday, December 31, 2011

Orang Mukmin Tidak Akan Meredai, Merayakan, Mengikuti Perayaan, Amalan Dan Pakaian Sesuatu Agama Yang Lain

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” Hadis ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa umat Islam dilarang menyerupai amalan atau pakaian sesuatu kaum yang bertentangan dengan syariat Islam terutama amalan keagamaan sesuatu agama yang bukan agama Islam. Sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk.

Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H): “Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bidah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).

Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau serban seperti penganut sikh, amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.

Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi SAW memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi SAW  memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):

“Rasululah SAW itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat.

Daripada Anas bin Malik, katanya: “Apabila Nabi SAW  ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: 'Seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi SAW. berukir Muhammad RasululLah”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut.

Kata al-Imam al-Munawi: “Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).

Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.

Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.

Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.

Untuk menjelaskan maksud hadis di atas kita bahagiakan kepada beberapa perkara :

Pertama : Menyambut dan meraikan perayaan sesuatu agama. (samaada agama Kristian, Yahudi, Majusi, Budda, Hindu, Agama Orang Asli, Bahai, Hari Kekasih, Menyambut Tahun Baru Masihi, Hari Vesak, Thaipusam dan lain-lain lagi)

Umat Islam dilarang membuat ucapan atau menghadiri sambutan sesuatu perayaan yang mempunyai kaitan dengan akidah sesuatu agama kerana dengan membuat ucapan atau menghadiri sambutan tersebut kita meredai dan merestui agama mereka. Jika kita bercadang mengadakan perhubungan yang baik dengan agama lain cuba cari waktu lain bukannya ketika mereka menyambut hari kebesaran agama mereka.

Sambutan Tahun Baru Masihi ( 1 Januari setiap tahun) sebenarnya adalah bersangkut paut dengan perayaan agama Kristian iaitu mereka menyambut kelahiran Nabi Isa a.s itu sebagai 'anak tuhan', sedangkan Nabi Isa adalah salah seorang rasul yang utus oleh Allah SWT kepada Bani Israel untuk membetulkan akidah mereka yang telah menyeleweng. Nabi Isa membawa kitab Injil untuk Bani Israel.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Reda kepada kufur menjadi kufur"

"Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka” (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).

"Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuatu yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain” (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).

Kedua : Pakaian yang melambangkan agama . Wanita Islam haram dan boleh jatuh kufur apabila memakai tudung seperti padri wanita Kristian (nun). Tudung wanita Islam berbeza dengan wanita Kristian atau Yahudi.





Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah:

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)

Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya yang bermaksud :

“Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).

Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;
“Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu Umar).

Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).

Kesalahan tudung yang dipakai itu (wanita Islam di atas) adalah kerana ia terlalu menonjol, menarik perhatian dan tabarruj. Selain itu kesalahan besar pakaian itu juga adalah kerana ia telah menimbulkan fitnah yang besar di kalangan masyarakat Islam di negara ini kerana tudungnya sama seperti padri wanita Kristian (nun).

Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, samaada lambang agama, ibadah, kepercayaan, pakaian keagamaan atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.





Friday, December 30, 2011

Orang Mukmin Akan Melawan Hawa Nafsunya Semoga Di Jauhi Daripada Neraka dan Dapat Memasuki Syurga

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:"Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis si atas terdapat dua perkara penting yang perlu difahami oleh orang-orang mukmin iaitu :

Pertama : Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu.

Kedua : Syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.

Huraiannya :

Pertama : Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu.

Nabi Musa a.s. pernah bertanya kepada Allah SWT. yang bermaksud :
"Ya Rabbi, bagaimanakah saya akan mengetahui samaada seseorang itu Kamu cintai dan reda ataupun kamu benci dan murka?".

Jawab Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Bila sahaja Aku cinta dan reda kepada seseorang maka Aku permudahkan baginya untuk berzikir kepada-Ku dan Aku pelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang haram, sebaliknya bila Aku benci dan murka kepada seseorang maka akan Ku lalaikan ia daripada memperingati-Ku dan Aku biarkan ia dikuasai oleh hawa nafsunya supaya terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram sehinggalah ia layak menerima seksaan dan balasan-Ku".

Nafsu manusia sentiasa mendorong mereka melakukan perbuatan dan pekerjaan yang bertentangan dengan kehendak Allah SWT, meninggalkan suruhan-Nya dan melaksanakan larangan-Nya. Contoh perbuatan-perbuatan yang disukai oleh hawa nafsu adalah minum arak, berzina, ambil riba, berhibur, berjudi, ambil rasuah, membuat fitnah, mengumpat, mengadu domba dan menzalimi manusia. Semua perbuatan ini menuju ke neraka.

Nafsu juga suka meninggalkan kewajipan kepada Allah SWT seperti meninggalkan solat, puasa,   zakat, meninggalkan jihad dan berdakwah dijalan Allah SWT.

1. Nafsu sentiasa mendorong kepada kejahatan.

Setiap orang mempunyai potensi menjadi baik, tapi nafsu sangat bencikan kebaikan. Sebaliknya apa saja sifat buruk serta perbuatan jahat cukup serasi dengan nafsu.Oleh itu, usaha membina sikap yang baik sering memerlukan kesungguhan yang kental. Contohnya, sangat payah menahan marah dan bersifat sabar, memaafkan kesalahan orang lain, bersangka baik, tidak berdendam dan tidak iri hati. Ia sukar kerana ada saja bisikan berlawanan yang datang dari nafsu.

2.Nafsu hanya mahu kesenangan dan kelazatan.

Nafsu suka kepada kesenangan, kemewahan, bermalas-malas dan bersedap-sedap. Dengan itu nafsu tidak memujuk hati menempuh untuk jalan ke syurga kerana jalannya penuh dengan susah payah. Kerana jalan ke Neraka penuh dengan hal-hal yang bersenangan dan keseronokan.

3.Nafsu tidak takut pada neraka.

Nafsu tidak akan berjaya ditundukkan sekadar dengan ancaman seksa neraka. Ia mesti juga sentiasa diperingatkan bertalu-talu tentang kebenaran janji syurga.

4.Nafsu tidak pernah puas.

Sudah menjadi tabiat nafsu, kehendaknya tidak akan habis. Dapat sejengkal hendak sehasta. Dapat sehasta hendak sedepa. Bila kehendak nafsu dituruti, kita akan diperhambakannya. Kecuali kita menyedari hakikat yang berlaku dan berani mengatakan 'tidak' kepada desakan nafsu.

Begitulah ragam hawa nafsu yang sentiasa menanti peluang dari kelemahan iman. Justeru itu, apabila berlaku kecuaian dalam beribadat, kembalilah kepada Allah SWT dengan bertaubat dan beristighfar. Ingatlah Allah SWT tidak akan membiarkan kamu tenggelam dalam perdayaan hawa nafsu selagi kamu benar-benar mengharap rahmat-Nya. Jika nafsu dituruti ianya akan membawa kepada neraka.

Firman Allah SWT  :


Maksudnya : "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik."(Surah al-Maaidah ayat 49)

Firman Allah SWT  :

Maksudnya : "Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya." (Surah an-Nisaa ayat 27)

Kedua : Syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.

Untuk memasuki syurga Allah SWT perlu kepada pengorbanan dan menentang kehendak hawa nafsu.

Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia untuk melakukannya sedangkan perkara yang mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.

Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah SWT bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.

Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqamah di dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan tersebut. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi oleh sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka.atau dengan lain perkataan kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab untuk seseorang itu sampai ke syurga.

Firman Allah SWT yang bermaksud :  “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi ayat 110)

Firman Allah SWT yang bermaksud : ‘’Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sungguh ia telah beruntung.'’ (Surah Ali-Imran ayat 185)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  ‘’Tidak seorang jua pun di antara kamu melainkan tempatnya telah ditentukan Allah di syurga atau di neraka. Maka bertanya seorang sahabat, ‘’Ya Rasulullah ! Kalau begitu apakah tidak lebih baik kita diam saja menunggu suratan takdir nasib kita tanpa beramal.'’

Jawab baginda : "Orang yang telah ditetapkan Allah menjadi orang bahagia, adalah kerana ia beramal dengan amalan orang yang berbahagia, dan orang yang telah ditetapkan Allah menjadi orang yang celaka adalah kerana ia beramal dengan amalan orang celaka. Kerana itu beramallah ! Semua sarana telah disediakan.

Ada pun orang-orang bahagia, mereka dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan orang berbahagia. Dan orang-orang celaka, mereka dimudahkan untuk beramal dengan amalan orang-orang celaka.

Kemudian baginda SAW  membaca ayat (al-Quran maksudnya): ‘’Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.'’ (Surah al-Lail ayat 5-10)'’
 (Hadis Riwayat Muslim.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjauhkan diri kita daripada hawa nafsu dan amalan-amalan yang boleh memasukkan kita kedalam neraka, dan beramallah dengan istiqamah segala jalan-jalan dan amalan-amalan yang akan membawa kita ke syurga. Kita diberi peluang untuk memilihnya, oleh itu "tepuk dada tanya iman kita" itulah jawapan yang sebenarnya.




Wednesday, December 28, 2011

Tujuh Nasihat Untuk Merasai Takut Kepada Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru (ahli sufi). Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T.

Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredaan Allah daripadanya."

 Huraiannya :

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

Orang yang banyak berbicara perkara-perkara yang tidak berfaedah tidak boleh diharapkan kesedaran hatinya kepada Allah SWT. Kerana hati yang sentiasa ingat kepada Allah SWT dan ingat kepada kematian banyak berzikir dan akan berkata perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan orang lain.

Setiap manusia dikurniakan oleh Allah SWT lidah. Lidah adalah daging yang lembut terletak di dalam mulut manusia. Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh mendatangkan dua akibat (kesan) yang besar iaitu samaada ke syurga atau ke neraka. Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya insya Allah ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalah gunakan akan membawa pelakunya ke neraka. Nabi SAW pernah memberi isyarak kepada sahabat bahawa dua anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : "...sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di bantingkan muka mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
 Orang yang banyak makan akan mematikan kejernihan hatinya kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut" (Hadis Riwayat Bukhari)


Hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Tiadalah wadah yang diisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, dimana dia menyangka bahawa dengan beberapa suap makanan, maka punggungnya (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian juga, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan yang sepertiga lagi (kosongkan) untuk pernafasan (bernafas)." (Hadis Riwayat Turmudzi)

Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang.”

Hukama’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala ubatan.” 

3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

 Banyak bergaul dengan manusia yang berbagai ragam sedikit sebanyak akan mempengaruhi hatinya dan khusyuknya ketika beribadah kepada Allah SWT. Rakan atau teman yang tidak baik boleh mempengaruhi hati dan hubungan kita dengan Allah SWT.

Nabi SAW juga mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.

مَŰ«َلُ Ű§Ù„ْŰŹَلِÙŠŰłِ Ű§Ù„Ű”َّŰ§Ù„ِŰ­ِ وَŰ§Ù„ْŰŹَلِÙŠŰłِ Ű§Ù„ŰłَّوْŰĄِ كَمَŰ«َلِ Ű”َِۭۧŰšِ Ű§Ù„ْمِŰłْكِ ، وَكِÙŠŰ±ِ Ű§Ù„ْŰ­َŰŻَّۧۯِ ، Ù„Ű§َ يَŰčْŰŻَمُكَ مِنْ Ű”َِۭۧŰšِ Ű§Ù„ْمِŰłْكِ Ű„ِمَّۧ ŰȘَŰŽْŰȘَ۱ِيهِ ، ŰŁَوْ ŰȘَŰŹِŰŻُ ۱ِÙŠŰ­َهُ ، وَكِÙŠŰ±ُ Ű§Ù„ْŰ­َŰŻَّۧۯِ يُŰ­ْ۱ِقُ ŰšَŰŻَنَكَ ŰŁَوْ Ű«َوْŰšَكَ ŰŁَوْ ŰȘَŰŹِŰŻُ مِنْهُ ۱ِÙŠŰ­ًۧ ŰźَŰšِÙŠŰ«َŰ©ً

Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang buruk (jahat) adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan berteman dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia." (Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 4/324, Darul Ma’rifah, Beirut, 1379)

4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

Sesiapa yang cintakan dunia, dia akan melupakan kehidupan di hari akhirat. Cinta dunia bermaksud hati dan jiwanya tertawan dengan keindahan dunia, harta, wanita dan pangkat kedudukan. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memilikinya walaupun terpaksa menggunakan cara yang diharamkan oleh Allah SWT, baginya kematian, azab kubur, hari akhirat masih jauh dan dia tidak lagi puas menikmati keseronokan dunia hinggakan hawa nafsunya menjadi tuhan yang disembah dan diikuti. Jika dia tidak segera bertaubat dan insaf terhadap dirinya dia amat sukar untuk mendapat husnul khatimah diakhir hayatnya nanti.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
 Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".
 Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"
Nabi Muhammad SAW  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

Saidina Umar r.a begitu takut akan munculnya ulama yang fasiq dan ahli ibadah yang jahil. Begitu juga ada disebut dalam hadis, dari Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW, "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Hadith riwayat Ibnu Ady)

Jangan lah pula kerana kita takut digelar sebagai orang alim yang fasiq hingga kita sanggup menjadi jahil selama-lamanya. Ianya adalah pilihan kita sendiri, dan jika menuntut ilmu perlulah ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana dunia semata. Jika menjadi ulama kerana dunia, maka ditakuti akan tergolong dalam ulama yang disebut dalam hadis di atas.

Orang bodoh (jahil) apabila beribadah tidak di takuti oleh syaitan kerana amal ibadah yang dikerjakan tanpa ilmu amat mudah disesatkan oleh syaitan kerana ibadah tersebut tidak sah kerana tidak memenuhi rukun dan syarat sah ibadah tersebut, jika ibadahnya tidak diterima Allah SWT bagaimana boleh hatinya hidup , bersih, sejahtera dan yakin kepada Allah SWT? Tidak mungkin perkara ini boleh berlaku.

6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.


Orang yang berkawan dengan orang zalim pasti akan melakukan kezaliman juga kerana seseorang akan mengikut agama sahabatnya. Sekurang-kurangnya dia akan bersyubahat dengan orang yang melakukan kezaliman tadi. Bagaimana kita boleh percaya kelurusan agama orang seperti ini?

Orang yang melakukan kezaliman ketika di dunia ini akan menjadi muflis di hari akhirat nanti terutama yang dizalimi ini adalah rakyat jelata yang ramai bilangannya. Jika di dunia ini mereka tidak minta ampun kepada orang yag dizalimi maka orang yang dizalimi akan menuntut dimahkamah Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).

7. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredaan Allah daripadanya.

Orang yang sentiasa mengharapkan keredaan manusia dengan membuat sesuatu amal kerana riak  maka amalannya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Amalannya di dunia umpama debu yang berterbangan kerana di akhirat nanti Allah SWT tidak akan terima amalan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Yang paling saya takutkan terhadap umatku adalah syirik kecil (ashghar)". Para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu hai Rasulullah?" Maka, baginda menjawab, "Riak".

Allah berfirman kepada mereka pada hari kiamat ketika semua manusia telah diberikan semua balasannya, 'Pergilah kepada orang-orang yang kalian beramal di dunia kerananya, dan lihatlah apakah kalian akan mandapatkan balasan dari mereka?"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhi daripada tujuh sifat mazmumah yang dinyatakan di atas dan beramal dengan amal-amal soleh yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Sentaiasalah kita bermuhasabah dan berhati-hati di dalam kehidupan ini supaya kita terselamat daripada godaan hawan nafsu dan tertipu dengan keseronaokan dunia yang sementara ini dan kita berjaya menjadi hamba Allah SWT yang beriman dan bertakwa dan mendapat kebahagiaan yang hakiki di hari akhirat nanti.

Monday, December 26, 2011

Laksanakanlah Lima Wasiat Allah SWT Kepada Rasulullah SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya : "Pada waktu malam saya di Israkkan sampai ke langit, Allah S.W.T. telah memberikan lima wasiat, antaranya :

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

5.  Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Berdasarkan hadis tersebut di atas Allah S.W.T telah memerintahkan Rasul-Nya untuk melaksanakan wasiat tersebut di dalam kehidupan dan memerintahkan baginda untuk sampaikan kepada umatnya.

Huraian lima perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan. Dunia juga adalah tempat main-main dan senda gurau bukan tempat yang kekal abadi.

Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan.

Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.

Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah S.A.W. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah S.A.W. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah SAW  pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah S.A.W.?"

Berkata Rasulullah SAW : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Kedua : Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Manusia perlu mencintai dan di cintai. Cinta paling agong dan paling tinggi adalah cinta kepada Allah S.W.T. Cinta-cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah, kerana cinta bukan kerana Allah menyebabkan cinta itu palsu dan tidak akan kekal lama dan ianya berasakan nafsu semata-mata. Allah S.W.T. akan murka kepada sesiapa yang mencintai orang lain bukan kerana-Nya.

Untuk mendapatkan cinta kepada Allah S.W.T. seorang hamba itu mestilah membanyakkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikann. Sentiasa bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya . Apabila berkumandang suara azan, jiwa dan hatinya rasa seronok kerana menuju ketempat solat menyahut panggilan muazin dan dapat bertemu dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah ayat 24)

Oleh itu marilah kita memberikan memberikan cinta kita kepada Allah S.W.T. dengan hati yang ikhlas dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga cinta yang agung ini akan menyelamatkan kita daripada seksaan yang daksyat di hari akhirat nanti.

Ketiga : Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

Terdapat tujuh amal soleh apabila dilaksanakan bersungguh-sungguh akan mendapat balasan syurga. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Bertakwa kepada Allah.

Menurut syarak, ‘takwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah SWT. dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.

Allah SWT berfirman maksudnya :‘’Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Rabbnya.'’ (Surah al-Qalam ayat 34).

2. Beriman dan beramal dengan ikhlas serta sesuai dengan yang diajarkan Rasulullah SAW.

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW.  bersabda :(Setiap umatku masuk ke dalam syurga kecuali yang enggan, para sahabat bertanya : ‘’Siapa yang enggan itu wahai Rasulullah ?'’ Baginda  menjawab : ‘’Siapa yang taat kepadaku nescaya ia masuk syurga, dan siapa yang bermaksiat (melanggar) kepadaku maka sesungguhnya dia lah orangnya yang enggan itu.'’ (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Melaksanakan seluruh perintah Allah SWT. menjauhkan seluruh larangan-Nya dan melaksanakn hal-hal yang diwajibkan serta meninggalkan hal-hal yang diharamkan.

Dari Jabir katanya seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah SAW. : "Bagaimana pendapatmu, apabila aku telah melakukan solat wajib, dan berpuasa Ramadan, aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, dan tidak kutambah yang demikian itu dengan yang lainnya, dapatkah aku masuk syurga ? Jawab baginda : ‘’Ya, dapat !.'’  (Hadis Riwayat Muslim.)

4. Bertaubat dan memohon ampunan kepada Allah SWT. dari seluruh dosa dan kesalahan. Suka bersedekah, mampu menahan marah serta memiliki sifat pemaaf.

Allah SWT berfirman maksudnya :‘’Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah . Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Rabb mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.'’ (Surah Ali-Imran ayat 133-136).

5. Berhijrah dari keburukan (jahiliyah) kepada kebaikan (Islam), serta berjihad dengan harta dan jiwa demi meninggikan kalimah Allah.

Firman Allah SWT. maksudnya : ‘’Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapatkan kemenangan. Rabb mereka mengembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.'’ (Surah at-Taubah ayat 20-22)

6. Istiqamah dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam menjalankannya.

Firman Allah SWT.  maksudnya  : ‘’Sesunguhnya orang-orang yang mengatakan : ‘’Rabb kami ialah Allah'’, kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berdukacita. Mereka itulah penghuni - penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.'’(Surah al-Ahqaf  ayat 13-14)

7. Khusyuk dalam solat, meninggalkan perbuatan yang tidak berguna dan membayar zakat, menjaga kemaluan serta memelihara amanah.

Firman Allah s.w.t maksudnya : ‘’Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.'’(Surah al-Mukminun ayat 1-11)

Keempat : Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya." (Surah At-Talaq ayat 2-3)

Apa itu tawakal? Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.

Orang mukmin akan putuskan harapan dari makhluk kerana makhluk tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kerana kekuatan sebenar adalah kekuatan Allah S.W.T. Dia bertawakal dan berserah diri hanya kepada Allah S.W.T. Makhluk tidak boleh mendatangkan sedikit pun mudarat melainkan dengan izin Allah SWT.

Kelima : Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Solat satu ibadah khusus, solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang mukmin adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah SWT.

“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita laksanakan lima wasiat Allah SWT kepada Nabi SAW ketika baginda di Israkkan untuk bertemu Allah SWT. Sesungguhnya kelima-lima wasiat tersebut akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan akan mendapat balasan syurga di hari akhirat nanti.








Sunday, December 25, 2011

Keikhlasan Penentu Amalan di Terima Oleh Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat ikhlas adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi muslim bertakwa. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah SWT sama ada amalan dilaksanakan setiap muslim diterima Allah SWT atau sebaliknya.

Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan muslim di dunia dan di akhirat.

Jika ditinjau rangkaian ayat suci al-Quran, kita dapati betapa ciri keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi muslim yang bertakwa.

Di antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2).

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari muslim melalui sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan nas ini, dapat disimpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah SWT.

Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman muslim kepada Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri pun kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sesungguhnya, sifat ikhlas amat penting disemai dan dibaja dalam hati setiap muslim dalam semua lapangan hidup agar dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah SWT yang bertakwa.

Perlu disedari sifat ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan haji, malah niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat diberi ganjaran pahala.

Sebaliknya, niat tidak baik seperti riak atau ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai sesuatu amalan walaupun ia adalah amalan ibadat dan akan menukarkannya menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksaan pedih di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perkara boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah SWT seperti sifat riak, ujub dan sombong.

Sahabat yang dimuliakan,
Pernah suatu ketika Rasulullah SAW menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud: "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa memusuhi wali Allah, nescaya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir di situ, mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang menyuluh mereka keluar dari tempat gelap gelita." (Hadis riwayat Hakim).

Demikian gambaran indah diterangkan Rasulullah terhadap hamba-Nya yang mengikhlaskan diri kepada Allah SWT.

Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Itulah impian mereka dalam setiap detik kehidupan mereka yang sarat dengan pengabdian penuh tulus semata-mata kerana Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah al-An'am, ayat 162-163).

Dari satu segi, gambaran orang tidak ikhlas dalam amalan mereka dan mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang beriman.

Ini kerana Rasulullah SAW sebagai rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang tidak ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa-apa dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi).

Di samping itu, Islam adalah agama amat unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan muslim dianggap sebagai ibadat.
Setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan kerjanya kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah SAW  sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa-i, menjelaskan (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya”

Dalam hadis riwayat Ahmad dijelaskan tentang kepentingan niat dan ikhlas serta implikasinya dalam realiti kehidupan (yang bermaksud): “Barangsiapa menikahi wanita dengan mas kahwinnya, sedangkan ia tidak berniat memberinya, maka ia berzina. Dan sesiapa berhutang, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya, maka ia adalah pencuri”

Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan: “Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap urusan dengan apa yang diniatkannya”

Muslim yang ikhlas dalam kerjanya akan terhindar daripada sombong, riyak dan mengharapkan penghargaan makhluk. Ali bin Abi Talib k.wj pernah berkata (yang bermaksud):
“Orang riyak itu memiliki empat tanda:
1. Malas ketika bersendirian
2. Bersemangat ketika berada di tengah manusia ramai
3. Bertambah amalannya jika dipuji, dan
4. Berkurangan amalan jika tidak mendapat pujian”
 
Oleh itu, setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah SWT.

Hal ini ditegaskan sendiri Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala hinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau."(Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah, ada padanya pahala sedekah." (Hadis riwayat Ahmad).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menyerahkan dirinya kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan semata-mata mencari keredaan-Nya. Oleh itu segala tingkah laku dan diam kita, tidur dan jaga kita akan dinilai sebagai ibadah apabila kita lakukan semata-mata menuju kepada keredaan Allah.

Jika begini kedudukan seorang ikhlas kepada Allah SWT dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT, maka kita sebagai umat Islam sewajarnya menghiaskan diri dengan sifat mulia dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Dengan penjanaan sifat ikhlas ini barulah hati bersih dan suci dari sebarang kekotoran serta penyakit yang boleh menghancurkan ummah.

Harta dan kemewahan dunia tidak bererti, sebaliknya harta paling bernilai adalah hati yang ikhlas.

Ia bertepatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." (Hadis riwayat Muslim).

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan takwa kepada-Nya.